Monday 31 July 2023

Riadah Pagi Ahad di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam

Pagi ini (sewaktu saya mula menulis entri ini), hujan turun membasahi bumi Pulau Pinang. Suasana sejuk dan nyaman dengan suhu 25℃. Alhamdulillah.

Pagi semalam (Ahad, 30 Julai 2023), cuaca sesuai untuk aktiviti rekreasi. Kalau ikutkan hati saya yang merindui suasana hutan, memang nak ke Bukit Juru (antara lokasi pendakian yang agak dekat dengan rumah). Tapi kenangkan Encik Suami yang dah beberapa hari balik lewat dek tuntutan kerja di pejabat dan nak bekerja di luar kawasan pada hari ini, maka kita pilih saja aktiviti yang lebih santai. Tak terlalu penat, tapi masih mencapai tujuan - bersenam dan menikmati keindahan alam.

Kami ke kawasan rekreasi di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam. Dah beberapa entri saya catatkan berkenaan tempat ini, jadinya kali ni saya sekadar berkongsi foto alam dan foto kenangan.

Kiri tasik empangan, kanan laluan atau kawasan untuk rekreasi. Oleh kerana tempat ini tak ada pokok peneduh, memang terasa panas kalau kita datang lewat.

Kami datang hampir pukul 9 pagi, kira lewatlah. Orang ramai dah mula meninggalkan kawasan ini. Sisi bagusnya - suasana lebih tenang, lebih mudah bagi saya menikmati indah alam dan memotret foto hidupan alam yang ada.

Memerhati riak air dipermukaan tasik yang bergerak perlahan di sini menjadi satu terapi mata dan jiwa buat saya.

Paling teruja, bila pandangan mata dapat menangkap gerakan ikan di gigi air. Sebelum ni saya cuma nampak ikan berwarna kemerahan, kali ini nampak ikan berwarna hitam dengan corak seakan berbintik di badannya. Entah ikan apa kami tak kenal, Encik Suami kata mungkin juga ikan toman iaitu spesis ikan berbadan panjang yang biasa dijumpai di perairan air tawar.

Kumbang dengan sayap cantik ini pun jadi ‘sasaran’ saya. Tak mudah jugak nak memotret kumbang yang asyik terbang bila didekati, tapi saya pujuk suruh duduk diam sekejap je untuk berfoto. Maka, inilah hasilnya 😄

Rama-rama cantik dengan sayap warna biru ini pula saya temui sewaktu ia sedang terbang. Saya minta dia berhenti sekejap supaya saya boleh memotret fotonya. Terima kasih sudi berfoto ☺️

Fotografi bayang-bayang, bukti cuaca panas terik di sini. Kami pakai topi fabrik anti-UV sebagai pelindung cahaya matahari yang dibeli di Decathlon. Alhamdulillah memang membantu, kepala tak rasa terik matahari.



Rekod aktiviti riadah saya - bukan joging, cuma berjalan. Kadang jalan laju, kadang jalan santai dan kadang berhenti memerhati/memotret itu ini. Tak mampu habiskan laluan hujung kanan ke hujung kiri tasik, dapat 5 km gini pun dah cukup penat kaki tapi puas hati. Alhamdulillah!






.

Friday 28 July 2023

Malam Terakhir di Bangkok

[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Keempat | Sabtu, 1 Julai 2023]

Keluar dari Chatuchak Weekend Market, kami terus balik ke hotel KC Place Pratunam dengan menaiki tren. Kami berehat melegakan penat kaki dan menunaikan solat jamak di bilik.

Lebih kurang dua jam kemudian iaitu sekitar pukul 6.20 petang, kami keluar untuk ke Central Rama 3. Semalam (hari ketiga) kami gagal sampai ke Central Rama 3 - baca kisahnya DI SINI. Jadinya kali ini kami gunakan cara paling mudah, iaitu pergi naik teksi atau e-hailing.

Mulanya nak gunakan khidmat e-hailing, tapi setelah beberapa ketika Encik Suami mencari masih tak dapat jugak. Mungkin sebab waktu puncak, permintaan melebihi penawaran. Jadinya kami keluar ke jalan besar dan menghampiri teksi yang ada di situ. Encik Suami buat tawar menawar harga tambang dengan pemandu teksi berdasarkan tambang di aplikasi e-hailing tadi. Dapatlah kami ke Central Rama 3 dengan bayaran 300 Baht dan tol 50 Baht. Berkenaan laluan tol, pemandu teksi akan tanya kita sama ada nak ikut tol atau tidak. Terpulanglah kita nak cepat sampai atau nak santai-santai menghadap sesak di jalan biasa.


CENTRAL RAMA 3, YAN NAWA, BANGKOK

Central Rama 3, Bangkok
Central Rama 3 - sebuah pusat beli-belah yang terletak di Jalan Ratchadapisek, Yan Nawa, Bangkok.

Jalan-jalan di pusat beli-belah bukanlah perkara yang saya suka lakukan, tapi saya ikut saja kehendak Encik Suami yang beria nak ke sini. Sewaktu ke Medan, Indonesia saya ajak beliau ke Sun Plaza semata-mata nak menambah koleksi karya Tere Liye 😁. Jadinya kali ini giliran Encik Suami pula ‘heret’ saya ke Central Rama 3 bagi menambah koleksi beliau pula. Koleksi apa? Biarlah rahsia 🤫

Central Rama 3, Bangkok
Sedang berlangsung ‘The Greatest Grand Sale’. Jangan tanya barang apa yang ‘sale’ dan berapa banyak diskaun. Saya tak tengok barangan lain pun, cuma buat-buat membelek barangan yang Encik Suami cari 😄

Central Rama 3, Bangkok
Sebelum beredar keluar, kami ternampak gerai menjual buah. Geram pulak tengok buah-buahan yang dijual, besar dan segar. Kami cuma beli buah laici, ini pun kena makan habiskan cepat sebab esok petang penerbangan pulang ke Malaysia.

Tadi kami datang naik teksi, baliknya kami dapat naik kenderaan e-hailing Bolt. Perjalanan dari Central Rama 3 ke Jalan Phetchaburi dikenakan tambang 129 Baht dan tol 50 Baht. Kami tak terus balik ke hotel di Jalan Ratchaprarop sebab nak makan malam.


SANTAI MALAM
Selesai makan malam di Asma Kitchen di Lorong Phetchaburi 7, kami berjalan santai menuju ke stesen Phaya Thai. Menikmati suasana pada malam terakhir kami di Bangkok.

Pukul 9 malam | Lorong Aram Si.
Inilah antara laluan yang menghubungkan Lorong Phetchaburi 7 dengan jalan besar menuju ke stesen Phaya Thai. Lorong yang kami lalui selama empat hari berturut.

Dalam foto di atas merupakan antara bahagian laluan paling sempit, melewati rumah-rumah penduduk di kanan dan kiri laluan. Biasanya kalau lalu waktu siang kami berjalan tak memandang kanan kiri bagi menghormati privasi penduduk. Saya ambil foto waktu malam supaya tak kelihatan jelas rumah penduduk, namun cukup sebagai memori untuk saya kenang pada masa akan datang.

Phaya Thai station
Di sebelah kiri itulah stesen Phaya Thai yang menempatkan tren ARL dan BTS. Foto dirakam dari jejantas menuju ke stesen.

Sebelum tu kami duduk melepak di bawah, di sebuah dataran kecil berhadapan bangunan The Unicorn. Kami duduk menikmati suasana malam yang nyaman dengan hembusan angin dan memerhati suasana sekitar yang tidaklah terlalu sibuk seperti waktu siangnya. Saya memerhati langit malam di sini yang kelihatan cerah, juga gumpalan awan memutih bergerak laju.

Pukul 9.15 malam | The Unicorn
Sambil duduk melepak, saya cuba memotret foto bulan yang bersinar indah.

Pukul 10 malam | Jalan Ratchaprarop
Dah puas bersantai, kami meneruskan perjalanan menaiki tren ARL di stesen Phaya Thai dan turun di stesen Ratchaprarop untuk kembali ke hotel penginapan.

Di lorong menuju ke hotel. Bangunan penginapan kami terletak di sebelah kiri.

Hari keempat mencatatkan rekod tertinggi langkah kaki saya, iaitu sebanyak 21,981 langkah dengan kiraan jarak sejauh 14.53 km. Terima kasih Allah yang memberi upaya untuk kaki terus melangkah.






.

Thursday 27 July 2023

Rotinis Halal Breakfast, Ratchathewi, Bangkok

Sebelum ke Chatuchak Weekend Market, kami bersarapan di Rotinis Halal Breakfast. Iaitu tempat di mana kami menikmati hidangan jamuan pada pagi hari raya Aidiladha. Tetapi saya tak pasti sama ada Bang Li (lelaki budiman yang menjemput kami makan) merupakan pemilik tempat ini atau tidak. Sewaktu kami bersarapan di sini, tak kelihatan kelibat beliau.

Kembali kepada cerita makan di Rotinis, pelanggan agak ramai pada pagi tersebut. Syukur masih ada meja kosong, bolehlah kami bersarapan di sini.

Rotinis Halal Breakfast, Ratchathewi, Bangkok
Kad menu dan borang pesanan tersedia di atas meja. Kita pilih dan tanda pada borang tersebut, lepas tu serahkan kepada pekerja kedai. Konsep layan diri.

Walaupun saya tergoda nak mencuba nasi kerabu, tapi kena tahan diri. Saya cuma memesan roti telur, risau pulak kalau makan beria (nasi kerabu) waktu pagi nanti perut meragam habis rosak program sehari 😅. Encik Suami pula memesan roti bakar sapu kaya.

Tapi lepas tu pekerja kedai datang ke meja kami, memaklumkan pesanan kami yang berasaskan roti tak dapat dibuat. Stok roti habis. Akhirnya kami pilih hidangan Set C, kongsi berdua.

Rotinis Halal Breakfast, Ratchathewi, Bangkok
Minuman panas pilihan kami - teh tarik dan teh hijau. Tapi bila sampai, dapat empat cawan begini. Kami tanya pekerja kedai, katanya air teh o tu ‘free’. Oh, percuma rupanya. Tak pasti percuma sebab beli dua jenis minuman tersebut atau sebab termasuk dalam hidangan set C. Mujur juga dapat air teh o, bolehlah saya tambah pada air teh tarik yang sangat manis pada deria rasa saya.

Rotinis Halal Breakfast, Ratchathewi, Bangkok
Hidangan Set C - dua keping roti canai, telur mata, kuah (macam kuah kari) dan hirisan bawang, cili & tomato. Bukan roti canai yang biasa kami makan. Satu warna kehijauan dan satu warna hitam 😀

Rotinis Halal Breakfast, Ratchathewi, Bangkok
Beginilah rupa roti canai pandan dan roti canai arang (charcoal). Roti pandan tu memang ada rasa pandan, tapi roti arang tu tidaklah rasa arang pun (eh, macam mana rasa arang? 😄). Saya rasa biasa je, tak ada rasa pelik. Walaupun ini cuma roti canai segera, Alhamdulillah lembut dimakan.

Kalau ada kesempatan, teringin juga saya nak mencuba hidangan lain. Tapi nampaknya cuma sekali itu sajalah kami sempat makan di Rotinis.

Rotinis terletak bersebelahan dengan Masjid Darul Aman, satu lorong dengan hotel Noursabah dan Asma Kitchen. Dibuka mulai pukul 7 pagi, mudahlah bagi yang nak mencari sarapan halal di awal pagi.

————————————————————————

ROTINIS HALAL BREAKFAST

Lorong Phetchaburi 7,
Ratchathewi, Bangkok,
Thailand.






.

Wednesday 26 July 2023

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand

[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Keempat | Sabtu, 1 Julai 2023]

Pukul 8.30 pagi kami bergerak dari hotel KC Place ke Chatuchak Weekend Market dengan menaiki tren. Kami ikut saja panduan perjalanan di aplikasi Google Maps seperti berikut :
Naik tren ARL di stesen Ratchaprarop → stesen pertukaran Phaya Thai (naik tren BTS) → turun stesen Mo Chit → jalan kaki 450 meter ke Chatuchak Weekend Market | Kos 70 Baht / seorang / sehala.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami keluar dari stesen Phaya Thai untuk menikmati sarapan di Rotinis yang terletak di Lorong Phetchaburi 7. Perut dah kenyang, barulah seronok nak berjalan.


CHATUCHAK WEEKEND MARKET
Chatuchak Weekend Market is home to a whopping 15,000 stalls spanning 30 sections and is the world's largest weekend market. At this colossal market, scout for local delicacies, clothing, second-hand merchandise, home decor, handicrafts, antiques, and even plants.
Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Gate 18
Pukul 10.20 pagi, kami tiba di lokasi pasar Chatuchak. Kami ikut saja langkah kaki orang ramai menuju pintu masuk di Gate 18. 

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Beginilah suasana di pasar Chatuchak. Sebuah kawasan dengan deretan bangunan kedai. Dalam bangunan tu ada lagi lorong-lorong kedai tau. Jadinya tempat ni memang sangat luas dan sangat banyak kedai.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Entrance 2 - sudut pandang dari luar pasar.
Ada 3 pintu masuk utama di sini. Tapi tadi kami masuk ikut Gate 18, melalui celah deretan kedai iaitu kedudukan paling hampir dengan stesen BTS Mo Chit.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Peta kawasan pasar Chatuchak. Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Bagi mengelakkan sesat sewaktu menjelajah pasar Chatuchak, eloklah kita ada peta kawasan pasar ini. Boleh dapatkan peta secara percuma dari kaunter informasi di Entrance 3, atau boleh terus rujuk papan tanda peta yang tersedia di dalam kawasan pasar.

Kedai-kedai di sini dibahagikan mengikut bahagian. Ada bahagian barang antik, lukisan, pakaian, kraf tangan dan lain-lain. Jadinya kita boleh terus menuju ke bahagian yang kita suka, boleh jimat masa dan tenaga tanpa perlu menjelajah keseluruhan kawasan. 

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Terdapat papan tanda nombor bahagian (section) dan lorong (soi) di setiap laluan yang kita masuk.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Suasana di dalam lorong yang menempatkan kedai di kanan dan kiri laluan. Sesak.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Pun begitu, ada juga lorong yang tak begitu meriah dengan kehadiran pengunjung. Sama ada sebab banyak kedai tak beroperasi atau produk yang ditawarkan bukan barang kesukaan ramai.

Saya tak suka sesak, jadi pada kebanyakkan masa saya akan menjelajah ke lorong yang tak ramai orang. Antaranya lorong yang menempatkan arca dan lukisan. Saya memang suka lukisan tema alam semulajadi, tapi tidaklah membeli. Sekadar memasang impian dengan Encik Suami “Kalau kita duduk rumah tetap, nak letak lukisan macam gini lah…”.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Membelek pashmina. Ada macam-macam jenis material dan pilihan corak.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Berkenan saya tengok barang-barang di kedai ni. Tapi berkenan tak mesti kena memiliki kan. Banyak lagi barang lain yang menarik perhatian saya - selipar corak comel, beg tote boleh letak tulisan/gambar pilihan dan pinggan mangkuk cantik.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Pukul 1.15 petang, baru lepas hujan.
Ini pula kawasan yang menempatkan deretan gerai makanan/minuman. Ada lagi di bahagian belakang. Tapi kami tak pergi tengok pun, tak larat dah.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Kita Muslim tak bolehlah nak makan sebarangan, kena cari dan pilih yang halal. Antara tempat makan halal yang kami jumpa terletak di Section 2, Soi 21. Selain itu, ruang solat dan tandas pun ada disediakan. Saya tak pasti berkenaan lokasinya, jadinya tak dapat kongsikan di sini.

Sepanjang di sini, kami makan dan gunakan tandas di pusat membeli-belah Mixt Chatuchak. Bangunannya terletak bersebelahan je dengan pasar Chatuchak.


MIXT CHATUCHAK
Mulanya kami tak tahu pun kewujudan pusat membeli-belah di sebelah pasar Chatuchak. Bila sampai di lokasi barulah nampak ada bangunan besar elok. Jadinya lepas penat berjalan dan rasa nak ke tandas, teruslah kami menuju ke Mixt Chatuchak.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Aahhh…lega sungguh dapat masuk tempat sejuk! ☺️

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Bagi yang nak membeli-belah, makan, solat dan menggunakan tandas dalam suasana lebih selesa, bolehlah ke Mixt Chatuchak ni ya. Nak legakan kaki (berurut) dengan selesa pun boleh. Tadi di pasar Chatuchak pun banyak tempat berurut di lorong-lorong. Tapi saya tak mencubalah, tak sesuai bagi kita muslimah berurut di ruang terbuka begini dan bercampur pelanggan lelaki perempuan.

Sepanjang berada di pasar Chatuchak, dua kali kami masuk ke Mixt Chatuchak ni. Dua kali itu jugak tujuan nak ke tandas dan makan. Alhamdulillah kami jumpa sebuah kedai makan halal tak jauh dari pintu masuk bangunan di Entrance 2 (kedai makan terletak di sebelah kanan selepas kita masuk bangunan).

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Pilihan menu.

Chatuchak Weekend Market - Pasar Hujung Minggu Terbesar di Thailand
Foto atas | Makan pukul 11.30 pagi. Roti pisang lembut sedap, diberi pencicah susu pekat manis. Cicah sikit jelah, buat merasa. 

Foto bawah | Makan pukul 2.30 petang. Nasi putih, telur dadar dan tom yum. Sedap!

——————————————————-

Berapa lama kami menghabiskan masa di Chatuchak Weekend Market ni? Masuk pukul 10.20 pagi, keluar pukul 3.30 petang. 5 jam! Ehh…macam tak percaya kami berada di sini begitu lama 😄

Tapi tetap jua kami tak mampu nak menjelajah keseluruhan kawasan. Mampu bertahan 5 jam tu pun mungkin sebab dapat melegakan diri di Mixt Chatuchak. Rasa panas rimas penat je, masuk mall. Lepas tu sambung jalan lagi sampai lenguh betis kaki. Hasilnya, dapatlah 15,000 langkah!

Menurut pendapat saya, Chatuchak Weekend Market merupakan tempat ‘cuci mata’ dan ‘cuci poket’ yang seronok. Sangat banyak pilihan barangan daripada yang biasa hingga yang unik, segala-galanya ada di sini! Peniaga di sini pun baik melayan dan bukan jenis mendesak. Sememangnya ia syurga bagi ‘kaki shopping’. Saya bukanlah seorang yang suka shopping dan melakukan kembara hanya dengan beg galas, cukuplah beli satu dua barang kecil sebagai kenangan.

Kalian nak ke sini? Usahakan datang awal pagi (kebanyakkan kedai mula dibuka pukul 9 pagi) supaya lebih selesa berjalan di sini - cuaca tak terlalu panas dan pengunjung belum ramai. Pakai pakaian yang selesa untuk suasana panas dalam pasar dan pakai kasut yang bagus untuk berjalan lama.






.

Monday 24 July 2023

Apa Ada di 7-Eleven Thailand?

Sepanjang beberapa hari di Bangkok, sudah beberapa kali kami masuk ke kedai serbaneka 7-Eleven bagi mendapatkan barang keperluan dan makanan.

Terdapat banyak cawangan kedai 7-Eleven di sini, memang mudah ditemui di mana-mana. Contohnya di Lorong Phetchaburi 7 (lokasi hotel Noursabah) terdapat dua buah kedai 7-Eleven. Sebuah kedai terletak di bahagian depan lorong dan sebuah lagi terletak di bahagian hujung lorong.

Kedai 7-Eleven menjadi antara tempat yang saya suka masuk sebab seronok membelek barang jualan mereka 😁. Segalanya ada di sini, insyaAllah kita tak akan ada masalah jika kekurangan barang keperluan dan tak akan kelaparan sebab terdapat pilihan makanan halal yang boleh kita beli.

Apa ada di 7-Eleven Thailand? Antaranya…

7-Eleven Thailand
Minuman berasaskan kanabis (nama lain : ganja, marijuana). Yang ini boleh tengok sajalah ya, kita tak boleh minum atau beli bawa balik ke Malaysia. Selain minuman, saya perasan juga ada produk kecantikan berasaskan ganja di jual (bukan dalam 7-Eleven tapi nampak di dalam sebuah pusat membeli-belah). Jadinya kita perlu berhati-hati sebelum membeli apa-apa, kalau dikesan bawa balik ke negara kita memang susahlah hidup kita.
⏵ Pada 9 Jun 2022, Thailand menjadi negara pertama di Asia yang mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik susulan langkah FDA mengeluarkan marijuana dan 'hemp' daripada senarai narkotik Kategori 5.
⏵ Membawa masuk produk berasaskan ganja ke Malaysia boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, begitu juga sekiranya positif ujian saringan air kencing.
7-Eleven Thailand
Pelbagai jenis buah-buahan turut dijual di sini. Buah kelapa pun ada! Pilihan bebola dan sosej sedia dimakan pun ada, yang ni saya tak belek peknya jadi tak pasti status halal produk.

7-Eleven Thailand
Nak makan telur rebus pun ada.

7-Eleven Thailand
Pilihan bedak dalam saiz kecil.
Selain makanan, saya suka jugak tengok pilihan produk kecantikan dan penjagaan diri. Banyak dijual dalam pek kecil, mudahlah nak membeli kalau setakat nak mencuba serasi atau tidak dengan kulit kita. Kebetulan juga saya nak cari bedak muka dalam saiz kecil untuk diletak dalam beg telekung, ternampaklah pilihan bedak jenama POND’S ni. Keliru nak pilih mana satu, akhirnya saya ambil POND’S Watermelon Fresh & Bright Translucent Facial Powder 50 g. Bedaknya warna pink dengan aroma harum yang lembut. Saya suka!

Apa pula makanan yang biasa kami beli? Eh, beberapa kali membeli tu kira biasalah kan 😁. Kami beli air mineral, buah pisang dan kekacang (ada tanda halal pada pek) sebagai kudapan dan juga bekalan sewaktu berjalan-jalan. Senang nak makan bila-bila dan di mana-mana jua supaya tak kelaparan sementara belum jumpa kedai makan halal.






.

Janji Temu Kedua Rawatan Susulan Bagi Penyakit Gusi

Inilah sebabnya mengapa saya dan Encik Suami perlu bergerak awal pagi Sabtu dari Perlis balik ke Pulau Pinang (PP) - saya ada janji temu kedua rawatan susulan bagi penyakit gusi dengan doktor Freeda. Kali terakhir saya bertemu beliau adalah pada bulan Oktober 2022.

Janji temu selepas 6 bulan sepatutnya pada bulan April 2023 lalu, tapi tertangguh membawa kepada tarikh 22 Julai 2023, hari Sabtu pukul 12.30 tengah hari. Silap saya tak perasan tarikh pada bulan April tu rupanya pada minggu raya puasa, kami masih bercuti raya di Johor.


LOKASI BARU
Kunjungan kali ini klinik dah bertukar lokasi dari Bayan Lepas ke Pulau Tikus, George Town. Terasa susah sungguh perjalanan ke klinik disebabkan kesesakan lalu lintas di George Town. Nak cari ruang parkir pun sangat susah 😥

Lokasi klinik di Jalan Burma, Pulau Tikus, George Town. 

Klinik baru dengan ruang lebih luas.

RAWATAN SUSULAN
Tujuan rawatan susulan adalah bagi memastikan gusi saya berada dalam keadaan baik, kekal bebas daripada penyakit gusi.

Proses rawatan kali ini berlangsung sekitar 30 minit saja, paling sekejap rasanya sepanjang saya berjumpa dengan doktor Freeda. Sebab kali ini doktor cuma lakukan prosedur scaling. Ikatan gigi (splinting) pun masih berkeadaan baik, tak perlu dibaiki atau diganti. Kos bagi rawatan kali ini sebanyak RM350. Saya catatkan secara terperinci di blog untuk tujuan rekod rujukan sendiri.

Alhamdulillah doktor maklumkan semuanya berkeadaan baik, cuma perlu teruskan rawatan susulan setiap 6 bulan sekali. InsyaAllah janji temu seterusnya pada awal Februari 2024.

Saya ada menerima beberapa pertanyaan menerusi e-mail dan juga di ruangan komen pada entri lepas. Ramai yang ada masalah serupa tetapi tak tahu di mana nak mulakan rawatan. Bagi yang nak tahu, boleh klik DI SINI untuk membaca catatan pengalaman rawatan gusi saya sejak Februari 2022.






.

Sunday 23 July 2023

Telur Dadar Cha Om

Kelmarin (hari Jumaat), saya ikut Encik Suami ke Perlis atas urusan kerja. Sekejap je, cuma satu malam. Hari Sabtu awal pagi dah bergerak kembali ke Pulau Pinang (PP). Tak sempat nak berjalan-jalan, tapi sempatlah kami menikmati hidangan makan malam di Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar.

Selain hidangan yang biasa (tomyam dan daging bakar), kali ini kami mencuba telur dadar Cha Om. Pertama kali kami nak mencubanya.

Telur Dadar Cha Om
Telur dadar Cha Om - telur dadar yang dicampur dengan daun Cha Om.

Telur Dadar Cha Om
Rupa telur dadar yang menarik. Rasanya sedap, rangup. Ianya sedap dimakan panas. Bila dah sejuk, jadi kurang rangup.

Sumber foto : asian-ingredients.com
Hasil carian berkenaan Cha Om, beginilah rupa pucuk daun pokok Cha Om atau dikenali juga sebagai daun pokok Petai Siam yang digunakan dalam masakan telur dadar tadi.

Cha-om, botanically classified as Senegalia pennata, is an herbaceous tropical plant belonging to the Fabaceae family. The fast-growing shrub is native to Southeast Asia and can reach up to five meters in height, found along roadsides, in forests, and cultivated in home gardens.
Cha-om is a productive plant that develops new leaf growth year-round, providing a steady source of tender greens for foragers. The plant is harvested for its young and tender leaves, and the dark green leaves are cooked and used as a favored vegetal flavoring. Cha-om is also botanically known under the scientific name Acacia pennata and has several common names, including Climbing Wattle, Khang, Stinky Leaf, Petai Duri, and Rau Thoi. The slender leaves have a pungent odor, especially when raw, and are most commonly cooked to reduce their smell and develop a pleasant, subtly crisp texture. - sumber info : specialtyproduce.com

Walaupun katanya ada bau, saya dan Encik Suami tak perasan sebarang bau atau rasa daun Cha Om dalam telur dadar tadi. Yang pasti, masakan telur dadar Cha Om memang sedap.






.

Friday 21 July 2023

Bukan Semua Kisah Kembara Itu Indah...

[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Ketiga | Jumaat, 30 Jun 2023]

Mengembara ke tempat asing sememangnya memberi keseronokan dalam hidup kerana menemukan kita dengan perkara-perkara baru dan melalui pengalaman-pengalaman baru. Tetapi bukan semua kisah kembara itu indah, ada cabaran yang perlu dilalui dan ada hal-hal yang berlaku di luar kawalan kita. Semuanya menjadi rencah dalam kisah kembara kita.

Catatan kisah hari ketiga kami…

6 pagi | Pantri hotel Noursabah.
Seawal pukul 6 pagi kami dah berada di pantri hotel. Encik Suami buat kopi dengan menggunakan mesin kopi tersedia. Kami bersarapan murtabak yang dibeli daripada peniaga jalanan di luar hotel. Murtabak daging dan murtabak dengan isi pisang, kismis & halwa. Dua-dua jenis murtabak ni sedap rasanya, lembut dimakan. Diberi juga potongan timun dan bungkusan plastik kecil air cuka (saya agaklah, tak bukak pun).

Perancangan kami, pagi ni nak keluar berjalan lebih awal ke tempat-tempat yang tak begitu jauh dari hotel. Jadinya nanti kami boleh balik semula ke hotel sebelum pukul 12 tengah hari untuk daftar keluar hotel, juga bolehlah Encik Suami menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Aman pada pukul 12.21 tengah hari.

BILA PERUT MERAGAM | Tetapi apa yang berlaku, selepas bersarapan saya rasa tak selesa perut. Bukan sakit perut nak ke tandas tu, tapi entahlah macam rasa kembung perut dan rasa sakit perut. Saya kunyah pil Actal Plus warna kuning yang dibekal dan berehat saja di bilik. Lepas beberapa ketika perut saya masih belum pulih, kami akhirnya memutuskan untuk tak ke mana-mana pagi ini. Kalau dah keluar lambat, nanti tak sempat pulak nak balik semula ke hotel.

10 pagi | Lorong Phetchaburi 7
Alhamdulillah beberapa jam kemudian, perut saya kembali pulih. Rugi pulak duduk saja dalam bilik kan, jomlah kita jalan-jalan melihat sekitar kawasan hotel. Kami menuju ke arah bahagian lorong yang belum pernah kami lalui. Terus ke belakang lagi sampai jumpa jalan mati.

Seronok juga jalan-jalan santai gini tau, kita dapat melihat kehidupan harian penduduk. Ada yang sedang bersembang depan pintu rumah dan ada yang sedang menyiapkan bungkusan makanan (nampak bersusun bungkusan pek nasi dalam bakul, sedap aromanya).

Selepas singgah membeli sedikit barang di 7-Elevan, kami kembali ke bilik penginapan. Berkemas dan daftar keluar awal, iaitu pada pukul 11 pagi. Kami minta tumpang beg di lobi hotel sementara kami pergi makan di Asma Kitchen. Selesai makan, Encik Suami pergi menunaikan solat Jumaat dan saya pula duduk menunggu di lobi hotel. Alhamdulillah, seronok dengar azan berkumandang diikuti dengan khutbah dan bacaan solat.

Selesai solat Jumaat, dengan berat hati kami beredar dari hotel Noursabah untuk ke hotel seterusnya. Kami datang disambut dengan ucapan ‘sawadikap’ dan diberi ucapan ‘selamat jalan’ sebelum beredar keluar dari pintu hotel. Lucu pulak dengar staf kaunter berusaha bercakap dalam bahasa Melayu 😁. Kami je yang langsung tak cuba bercakap sepatah pun bahasa Thai, tak yakin.

1.45 petang | Jalan Ratchaprarop
Untuk ke hotel seterusnya, kami menaiki tren Airport Rail Link (ARL) di stesen Phaya Thai dan turun di stesen Ratchaprarop. Tak terlalu jauh, sekitar 1.9 km jika berjalan kaki. Tapi tak sangguplah nak jalan kaki, tren kan ada.

Pertama kali sampai di stesen Ratchaprarop, kami tercari-cari laluan keluar paling mudah untuk melintas jalan menuju ke hotel. Jadinya dari tingkas atas, kami memerhati jalanan di bawah. Kemudian kami perasan sesuatu, eh…jalan di bawah ni lima lorong arah sini dan satu lorong arah bertentangan.

2 petang | KC Place Hotel Pratunam
Alhamdulillah, setelah turun naik tangga stesen beberapa kali, kami jumpa laluan ke hotel. Hanya perlu melintasi landasan keretapi. Seterusnya, kami ikut saja panduan berjalan kaki di Google Maps melalui sebatang lorong sehinggalah tiba di lokasi hotel.

BILIK HOTEL YANG TIDAK SELESA | Entah deretan ‘online review’ yang saya baca tu hanya rekaan (mengatakan hotel ini bagus) atau saya yang terlampau cerewet. Penginapan kami di KC Place Hotel Pratunam dapat bilik yang nampaknya bersih tetapi tidak selesa - tilam keras terasa macam baring atas papan kayu, ruang bilik serta bilik air sempit dan juga ada seekor lipas! Harganya pula lebih tinggi berbanding hotel Noursabah yang jauh lebih selesa.

SESAT dan PENAT | Sebelah petang kami merancang nak ke pusat membeli-belah Central Rama 3 dan baliknya terus ke pasar malam Ramkhamhaeng. Tapi rupanya tak begitu mudah perjalanan menaiki kenderaan awam ke Central Rama 3. Perlu naik tren ARL, tukar tren MRT, kemudian perlu naik bas. Rumit! Tapi takpelah, kami berfikiran positif nak cuba jugak.

4.30 petang | Jalan Rama IV
Dah bertukar dua jenis tren, kami berjalan kaki pula di sebuah bulatan jejantas. Ia seperti roundabout jalan raya, tetapi berada di atas bagi kegunaan pejalan kaki. Kita boleh naik/turun di empat tangga tersedia. Memang hampir mustahil untuk orang melintasi jalanan yang sibuk di bawah, sebab itu dibina jejantas unik ini.

Bulatan jejantas untuk pejalan kaki. Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Dari bawah, kami perlu meniti anak tangga kecil untuk naik di jejantas ini. Bila sampai di atas, saya rasa seram pulak nak melangkah sebab laluannya kecil. Lebih seram bila berada di tengah perjalanan, saya nampak bawah jalanan sesak dengan kenderaan.

Fuh, rasa lega sangat bila dah selamat turun dari jejantas unik ni. Lepas tu bermulalah satu lagi kisah yang tak indah apabila kami hilang arah. Jalan punya jalan, tak sampai pun tempat bas yang dicari. Saya mula hilang semangat nak meneruskan perjalanan sebab dah penat kaki melangkah. Cubaan Encik Suami mencari kereta e-hailing pula gagal. Mungkin semuanya tak sanggup ke jalanan sesak ni.

Akhirnya, kami batalkan saja rancangan dan berpatah balik ke hotel penginapan. Cuma sebelum sampai hotel tu kami singgah makan malam di sebuah restoran halal berhampiran. Malamnya kami tidur awal sebab esok nak keluar awal ke pasar hujung minggu yang terbesar di Thailand.

Begitulah kisah kembara saya dan Encik Suami pada hari ketiga kami di Bangkok - berlakunya perkara-perkara di luar kawalan dan perancangan kami. Bukanlah perkara yang terlalu buruk, tetapi ia cuma cabaran biasa dalam sebuah kembara.






.

Wednesday 19 July 2023

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok

Kedai makan Asma Kitchen terletak di hadapan bangunan hotel penginapan kami iaitu Noursabah Boutique Bed Bangkok. Hanya dipisahkan dengan sebatang jalan kecil (lorong). Sepanjang berada di Bangkok, sudah tiga kali kami makan di sini.

Seawal hari pertama tiba, di sinilah kami menikmati hidangan masakan Thai yang pertama di kota Bangkok. Sudah pasti Tom Yum menjadi pilihan utama kami. Sekali cuba, lepas tu Tom Yum menjadi hidangan wajib setiap kali makan di sini. Sedap!

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Buku menu dengan tulisan bahasa Thai dan bahasa Inggeris.

Kali Pertama | Rabu, 28 Jun 2023

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Hidangan makan malam kami.

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Minuman Teh Bunga ais, Teh Hijau panas, Tom Yum seafood dan Pad Kra Pao.

Kali Kedua | Jumaat, 30 Jun 2023

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Pad Kra Pao sekali lagi, layan selera Encik Suami. Dan Tom Yum sekali lagi, kali ini kami cuba Tom Yum Salmon. Rasa tulang/kepala ikan Salmon dimasak Tom Yum ini tidaklah begitu sedap seperti Tom Yum seafood yang kami makan sebelumnya.

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Minuman Teh Hijau ais dan Longan ais.

Kali Ketiga | Sabtu, 1 Julai 2023

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Malam terakhir kami di Bangkok, haruslah makan sekali lagi Tom Yum seafood yang sedap ni. Warna kuahnya tidak begitu merah dan rasanya pula tidak pedas. Macam ada letak santan. Isi udang dan sotongnya pun cukup memuaskan, juga tak banyak bawang dan serai seperti yang biasa kami dapat bila memesan Tom Yum di Malaysia.

Asma Kitchen Som Tum Yum Sap, Ratchathewi, Bangkok
Mencuba Som Tam (kerabu betik muda). Sedap!

Alhamdulillah…syukur jumpa tempat makan sedap dan dekat dengan hotel. Walaupun pada malam ketiga tu kami dah pindah hotel di lokasi lain, tetap juga kami datang makan di sini. Kebetulan pula, kedai Muslim Thai yang lain masih bercuti sempena Aidiladha.

Kalau kalian ada ke Masjid Darul Aman di Lorong Phetchaburi 7, bolehlah mencuba makan di sini. Tempatnya agak tersorok, dari Jalan Phetchaburi menuju masjid tu perlu jalan ke hadapan lagi untuk sampai di Asma Kitchen.


**********************

ASMA KITCHEN SOM TUM YUM SAP
(Krua Assma Somtum Yumzab)

Lorong Phetchaburi 7,
Ratchathewi, Bangkok,
Thailand.

Waktu operasi :
Isnin - Sabtu | 11 pagi - 9 malam
Tutup | Ahad






.