Thursday 28 February 2013

Belajarlah Membezakan

Belajarlah membezakan...
Apa itu kerajaan dan apa itu parti politik.

Fahamilah...
Bantuan, subsidi dan segala kemudahan untuk rakyat,
Adalah pemberian daripada kerajaan.
BUKAN pemberian daripada parti politik.
Pemberian yang menjadi tanggungjawab kerajaan,
Untuk membela rakyat di bawah naungannya.
Dengan menggunakan hasil kemakmuran negara,
BUKAN dengan hasil kutipan wang sesebuah parti politik.

Lalu, berterima kasihlah kita kepada kerajaan.
BUKAN kepada parti politik yang diberi kuasa menjadi kerajaan.
Atau mungkin tak perlu berterima kasih,
Kerana ia sebuah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Jadilah rakyat yang matang!

-----------------------------------------------------------------------------------
Ada yang kata, kenapa terima bantuan kalau tak sokong kerajaan Parti XY? Jawapannya, kita terima bantuan dari kerajaan dan bukan dari Parti XY. Juga ada yang kata, kalau dah terima bantuan haruslah undi Parti XY. Kalau benar begitu, ini adalah rasuah. Rasuah adalah haram.

Dan pernahkah kita terfikir, bagaimana dengan orang-orang yang membayar cukai pendapatan? Tanpa mengira parti politik mana yang disokong, mereka tetap membayar cukai kepada kerajaan Parti XY. Dan hasil cukai itulah yang digunakan untuk menggerakkan sebuah kerajaan, juga untuk bantuan rakyat. Mereka bayar kepada kerajaan, bukan kepada Parti XY.


p/s: Ini sekadar perkongsian pandangan peribadi, tidak lebih daripada itu.

Wednesday 27 February 2013

'Derma' Darah

(sambungan entri ke Taman Negara, Kuala Tahan)
Entri sebelumnya DI SINI dan DI SINI.

Alhamdulillah bangun paginya kaki dah kurang sakit, bolehlah meneruskan plan untuk ke LATA BERKOH & KELAH SANCTUARY. Semalam dah buat tempahan dengan satu travel agent untuk sewa bot awal pagi ni. 

8.30pagi- kabus tebal & udara yang nyaman.
Malam tadi hujan lebat.
Sampai di premis terapung travel agent tu, boleh pulak dia minta bayaran RM180. Semalam sebut RM160. Melalui pembacaan di internet memang RM160 untuk satu bot kecil (4 penumpang). Macam-macam alasan dia beri untuk tambahan RM20 tu. Ikutkan hati memang nak cancel. Tapi atas faktor kami memang nak cepat (kononnya lepas dari Tmn. Negara nak ke Gua Gelanggi) dan masih awal pagi susah nak cari bot lain, maka terpaksa terima RM180. TIPS: Cari pemilik bot, elak guna orang tengah (agen).

Sepanjang menyusuri Sungai Tahan ni, memang saat yang sangat indah!
Tak terucap dengan kata-kata. 
Untuk melalui Sungai Tahan ni, selain pemandu bot perlu ada pembantu (yang duduk di hadapan bot). Sebab airnya agak cetek dan kadangkala melalui tempat yang penuh batu, pembantu perlu guna dayung. Cuma masa kami pergi ni, paras air lebih tinggi daripada paras normal disebabkan musim hujan.


KELAH SANCTUARY
Dari jeti ke sini dalam 30 minit...  


1- Kita kena berdiri kat sini dan campakkan makanan ikan. Kalau kita nak masuk dalam air boleh, tapi agak bahaya sebab dalam. Lebih-lebih lagi musim hujan.

2- Airnya gelap, jadinya tak dapat nampak ikan secara jelas. Cuma nampak riak ikan di permukaan air. Saya boleh bayangkan ia besar berdasarkan kocakan air.

3- Inilah ikan Kelah. Tengok dalam akuarium kat situ.


LATA BERKOH
Jarak dari Kelah Sanctuary tadi kira-kira 10 minit naik bot, kalau tak silap saya. Kat sini kami menerima kejutan, bot cuma berhenti di suatu tempat dan kita kena berjalan kaki untuk ke Lata Berkoh! Aduhai...semalam terpaksa mendaki, pagi ni terpaksa berjalan dalam hutan. Dah bayar mahal, haruslah diteruskan. Lagipun salah saya sebagai pencari info.


1- Memulakan perjalanan. Boatman kata jaraknya kira-kira 800 meter, 15 minit perjalanan. Dan dengan pesanan hati-hati licin, kalau boleh JANGAN mandi kat Lata Berkoh (arus deras, batu licin). Ayat last paling tak best...lepas hujan ni banyak pacat! 

2- Antara laluan kami. Ikut je trek yang tersedia. Masa ni memang tak ambil gambar sebab sibuk perhatikan laluan yang nak dipijak. Akar berselirat dan tanah licin. Saya nampak banyak cendawan warna kuning cerah, cantik tapi tak larat nak berhenti amik gambarnya. 

3- Inilah LATA BERKOH. Akhirnya setelah lebih 20 minit berjalan, baru tiba. Memang cantik dan buat kita geram nak main air. Kat sini kami cuma bergambar je. Masa asyik bergambar nilah saya rasa ada benda bergerak kat kaki...

Dah tak sedap hati, kami menuju ke pondok berhampiran. Suami yang tolong check sebab saya tak sanggup. Tengok-tengok ada beberapa ekor pacat! Seekor dah selamat menghisap darah, dan yang lain sempat dibuang. Mujur suami bawa pisau, kalau tak memang susah nak tanggalkan pacat yang tengah menghisap darah. Rasa nak menangis pun ada, geli tengok pacat bergerak kat sekitar kami.

Terus hilang mood, kami pun cepat-cepat berjalan balik. Saya melangkah laju-laju sampai suami beberapa kali minta slow sebab dia tak terkejar. Punyalah laju, kami sampai ke bot semula dalam masa tak sampai 15 minit! Kelakar pun ada, takut punya pasal. 

Tak terus beredar, kami nikmati dulu suasana kat sini. Airnya jernih, sejuk. Boleh nampak ikan bersaiz sederhana. Info: Bot dengan hujung berwarna biru ni sahaja yang diberi permit untuk masuk ke kawasan Taman Negara. Dan sampai sini saja hadnya atas faktor keselamatan.
Damai...tenang.
Perjalanan balik...dengan berat hati. Masa ni dah mula ramai pelawat yang datang.
(bawah) antara pokok mati yang menarik perhatian...siap boleh nampak akar-akarnya yang berselirat.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Balik chalet cepat-cepat check pacat. Jumpa lagi satu bekas gigitannya, masih berdarah. Sebab dah terkejut dengan serangan pacat dan kaki pun sakit semula, plan ke Gua Gelanggi ditunda ke lain masa. Insya Allah...

Tips:
  • Kalau nak jimat, boleh berjalan kaki. Tak perlu sewa bot. Tapi fizikal kena mantap dan perlu masa yang cukup. Cth: ke Lata Berkoh naik bot cuma 40 minit, jika berjalan mengambil masa beberapa jam untuk jarak 8 km.
  • Bagi yang kurang mampu dari segi fizikal, masih boleh mengikuti aktiviti ringan seperti melawat penempatan Orang Asli.
  • Bagi pencinta hutan, laluan Sungai Tahan (menuju ke Lata Berkoh) adalah tempat yang MESTI pergi. Alam semulajadi yang memukau pandangan.

Tuesday 26 February 2013

Lain Dirancang, Lain Yang Jadi

(sambungan entri ke Taman Negara, mohon maaf terlalu panjang catatan saya.)

Selepas check-in di Mahseer Chalet, kami menuju ke kaunter Jabatan Perhilitan untuk membayar permit masuk ke dalam Taman Negara. Cuma RM1 seorang dan RM5 untuk kamera (lesen mengambil gambar). 

Pemandangan dari atas- ada banyak kedai makan terapung.
Premis 'travel agent' pun terapung.
Lepas bayar permit dan lesen, kami turun ke bawah untuk makan tengahari di kedai makan terapung sebelum memulakan aktiviti. Saya dapati setiap kedai makan ni turut menyediakan servis bot untuk menyeberang ke Taman Negara (bayaran RM1). Untuk info, Taman Negara terletak di seberang Kuala Tahan ni. Nampak murah kan? Murah sebab dekat je. Tapi yang terasa mahal masa nak bayar sewa bot ke tempat-tempat aktiviti. Lagi-lagi jika cuma pergi berdua macam kami.

Ada bermacam jenis bot...pendek, panjang. Berbumbung atau tiada.


1- Kat seberang tulah jeti Taman Negara. Dalam tu ada Mutiara Taman Negara, satu-satunya resort kat situ. Semua aktiviti bermula dari situ, kena berjalan kaki. Ada trek tersedia. Tapi kalau nak mudah dan cepat, kita sewa bot terus ke destinasi. 

2- Kat bahagian tengah tu kalau korang boleh nampak, ada perbezaan warna air. Sebelah sini agak keruh macam air teh, tapi sebelah sana bertukar warna macam teh o. Sebelah sana itulah Sungai Tahan. Dan cuma bot yang ada permit boleh masuk sana sebab ia termasuk dalam kawasan Taman Negara.

3- Lunch saya...Nasi Goreng Kampung berharga RM5. Isinya cuma ada ikan bilis dan sawi, tapi rasanya okey. Agak mahal, tapi bolehlah sebab makan atas restoran terapung dengan dikelilingi hutan hujan tertua. Sambil makan syok jugak tengok pelbagai bot yang lalu lalang.


CANOPY WALKWAY DAN BUKIT TERESEK

Plan asal nak ke Lata Berkoh/Kelah Sanctuary, esok pagi baru ke Canopy Walkway. Tapi sebab dah petang, semua bot ke Lata Berkoh/Kelah Santuary dah fully booked untuk hari tersebut. Terpaksa tukar plan sebab masa kami terhad. Terus buat keputusan untuk ke Canopy Walkway yang akan ditutup pukul 3ptg. Bayaran sewa satu bot kecil untuk 4 penumpang adalah RM60. Kat sini kami agak rugi sebab naik cuma berdua. Harga RM60 cuma untuk ke Canopy Walkway, kalau nak tambah aktiviti 'Rapid Shooting' dan melawat penempatan Orang Asli lain harganya ya. TIPS: Kalau nak ke Taman Negara, dapatkan sekurang-kurangnya 4 orang ahli ya. 

Dalam perjalanan ke Canopy Walkway. Masa ni rasa happy sangat, pengalaman berbeza naik bot kat sungai. Dan masa ni jugak hujan mula turun...oh!
Elok je kami sampai kat jeti ke Canopy Walkway tu, pegawai yang jaga bagitau...baru di TUTUP! Disebabkan cuaca, walaupun cuma gerimis tapi ada angin yang boleh bahayakan pelancong jika naik titian gantung tu. Hmmm...memang bukan rezeki kami. Sebab dah bayar RM60, kami teruskan juga melangkah. Tapi taklah kecewa sangat sebab dah pernah naik Canopy Walkway di Sg. Sedim (Kedah) dan di Poring Hot Spring (Sabah).



1- Sepanjang laluan dah disediakan anak-anak tangga. Baru awal pendakian pun saya dah tercungap. Masa ni ada terserempak sepasang pelancong warga asing, lega sikit. Pelancong lain semua dah turun masa hujan tadi.

2- Ternampak notis ni...'Titian kanopi akan ditutup bila-bila masa sekiranya...'. 

3- Kat sinilah kalau nak naik Canopy Walkway tu. Disebabkan misi gagal, kami terpaksa teruskan ke Bukit Teresek. Ikut plan memang cuma nak naik titian gantung je, tak larat nak daki bukit ni. Sekali lagi plan bertukar...mendaki!

Antara yang mencuri perhatian saya sepanjang pendakian...dan pokok-pokoknya yang besar-besar, tinggi menjulang. Puas mendongak pun tak nampak hujungnya. 
Masa dalam perjalanan ni kami jumpa sorang pakcik. Dia yang menegur kami dulu. Pakcik ni rupanya seorang guide, jadi ada la jugak dia bercerita bagi info. Patutla langkahnya laju je, dah biasa. Dalam pada kami mendaki tak sampai-sampai tu, dia dah beberapa kali lalu turun naik (dengan membawa kepingan kayu papan). Setiap kali tu kami bertegur sapa. Dia siap bagi semangat, dah dekat dah dengan '1st view'!


Pemandangan dari '1st view', dari sini boleh nampak sungai tadi.
(gambar kecil) selain melepas lelah kat batu-batu, bangku pun ada disediakan.
Disebabkan dah tak larat, dah terlalu lama tak buat kerja mendaki ni...kami tamatkan pendakian sampai sini je. Kalau naik atas lagi, boleh nampak puncak Gunung Tahan. Makan coklat dan minum air isotonik, lepas tu kami turun. Sampai bawah, call boatman untuk ambil kami. Kiranya kami habiskan masa turun naik dan melepak sini selama 2 1/2 jam. Puas tapi lutut menggigil!

Aktiviti malam sepatutnya nak buat Night Jungle Walk (berbayar) atau sekurang-kurang menonton video mengenai Taman Negara (percuma), tapi semua cancel sebab masing-masing sakit kaki. Kami cuma habiskan masa di restoran terapung dan bersantai di pondok rehat sambil menikmati udara malam Taman Negara. Dan malam itu jadi malam yang panjang bila saya tak dapat lena dek menahan sakit lutut, walaupun dah berkali sapu dengan minyak panas.


*entri sebelum ini...di sini. Entri selepas ini adalah yang terakhir...derma darah!

Monday 25 February 2013

TAMAN NEGARA : Merealisasi Impian!

(Sebuah catatan untuk perkongsian pengalaman dan panduan korang)

23 Feb. 2013 (Sabtu)

Seawal jam 7.25pagi saya dan suami bergerak menuju destinasi - TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN, PAHANG. Sebagai penggemar alam semulajadi, Taman Negara (hutan hujan terbesar dan tertua di dunia) sememangnya antara destinasi impian saya sekian lama. Persiapan mencari info dan membeli beberapa keperluan dah pun dibuat lebih awal. Termasuklah memerhatikan ramalan cuaca untuk Kuala Tahan. 

Sebenarnya kalau ikut ramalan cuaca, ini bukanlah masa terbaik. Tapi atas faktor lain yang perlu diambil kira, kami teruskan juga rancangan untuk ke sana pada 23 & 24 Februari 2013. Kesannya, ada aktiviti yang tak dapat kami lakukan (akan diceritakan dalam entri akan datang). Dalam perjalanan ke Kuala Tahan, kami singgah ke Gua Kota Gelanggi untuk mendapatkan info. Ikut plan kami akan ke sini untuk aktiviti caving selepas balik dari Taman Negara.

CARA KE SANA? Kami melalui Lebuhraya Karak, masuk Lebuhraya Pantai Timur dan kemudian pilih susur keluar Temerloh. Dari plaza tol Temerloh, ambil ke kanan (ada signboard ke Taman Negara). Perjalanan dari situ ke destinasi mengambil masa sekitar 1jam 50minit (berdasarkan pemanduan kami sendiri). Perjalanan agak mencabar bermula dari laluan felda sehingga ke Taman Negara, atas faktor bentuk muka buminya (berselekoh tajam, berbukit-bukit) dan jalannya yang kecil. Kena berhati-hati juga kerana kadangkala ada jalan yang rosak (berlubang, tak rata).


Kalau dah nampak lampu jalan yang cantik tu, tandanya kita dah hampir dengan kawasan Taman Negara. Kami tiba dah pun tengahari. Perkara pertama kami lakukan adalah mencari tempat penginapan. 


MAHSEER CHALET
Disebabkan kami ke sana dengan bajet rendah, kami memilih Mahseer Chalet untuk penginapan satu malam di Kuala Tahan ni. Chalet ni saya pilih setelah membaca review para pelancong lain. Kami memilih chalet berharga RM90 (harga sebenar dipaparkan RM100). 



Inilah bilik penginapan kami. Staf yang bertugas siap offer kami tengok bilik dulu sebelum bersetuju. Bersih dan dengan kemudahan minima. Ada air-cond dan water heater. Tapi tiada TV di sini ya. Untuk info, chalet ni dulunya dikenali sebagai Aki Chalet. Dan sejak hujung tahun 2012 ia berada di bawah pengurusan baru. Sebab itu kami dapat katil, tilam dan bantal baru. Luasnya pun okey, masih muat untuk kita solat. Satu-satunya perkara yang tak menyenangkan adalah air di bilik airnya yang berbau tak sedap (tapi air masih berwarna jernih). Kalau nak basuh muka tu memang kena tahan nafas sikitlah. Untuk berkumur saya guna bekalan air masak yang dibawa. 

Kelebihan tinggal di sini, lokasinya yang sangat dekat dengan jeti Kuala Tahan. Cuma perlu berjalan kaki 2-3 minit sahaja melalui celah-celah rumah penduduk dan sekolah. Untuk laluan kereta, lain jalannya tau. Bagi yang berminat nak tinggal kat sini, chalet ni terletak di belakang sekolah rendah. Untuk kereta, masuk ikut jalan tadika KEMAS. Mahseer Chalet boleh dihubungi melalui Fb atau 019-383 2633.

Kalau nak yang paling selesa (paling mahal tentunya), korang boleh pilih Mutiara Taman Negara. Satu-satunya resort yang beroperasi di dalam Taman Negara. Yang lain-lain ni beroperasi di Kg. Kuala Tahan. Ada banyak pilihan, dengan pelbagai harga dan lokasi. Cuma kena rajin buat carian kat internet dan baca review orang lain yang mungkin berguna.

............bersambung.............
 

Thursday 21 February 2013

Sedondon

Kain bahan- menanti untuk ditempah.
Buat PERTAMA kalinya, kami lapan beradik perempuan dan emak akan ada pakaian sedondon! Pakaian ni bakal kami pakai pada hari perkahwinan adik perempuan bongsu saya, Insya Allah bulan hadapan. Kecuali pengantin (adik bongsu) dia pakailah baju pengantin dia. 

Sebenarnya idea pakai sedondon ni saya kurang gemar. Yelah, citarasa (warna & corak) lain-lain. Tapi sebab majoriti suka idea ni dan ada yang sudi jadi penaja , haruslah saya terima. Apapun pakaian sedondon ni berguna jugak untuk majlis Hari Keluarga, yang diadakan pada setiap tahun dan menghimpunkan semua saudara-mara sebelah arwah bapa. Sebabnya setiap keluarga mesti memakai pakaian mengikut warna yang dah ditentukan untuk tujuan pengenalan. Macam keluarga kami kena pakai baju warna biru muda.


p/s: Rasa seronok jugak, pertama kali berpakaian sedondon dengan semua kakak-kakak, adik dan emak. :)

Wednesday 20 February 2013

Simpang Malaikat 44!

Simpang Malaikat 44!
Kata-kata biasa kita dengar/ucap kalau bercakap pasal perkara buruk.
Kononnya macam satu doa supaya ia tak menimpa kita jugak.

Soalnya...apa maksud 'Simpang Malaikat 44'?
Kita pun tak tahu apa maksudnya dan siapa yang memulakannya.
Tapi yang pasti ia bukanlah perkataan yang dianjurkan dalam Islam.
Jadinya, hindarkan lidah kita dari menuturkannya.
Dan gantikan ia dengan ucapan 'NAUZUBILLAH'.
Yang bermaksud 'Kami memohon perlindungan Allah'.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul ya!


-----------------------------------------------------------------------------
Ni antara isi kata-kata (ada sesi soal jawab) oleh Ustazah Norhafizah Musa. Ada program dia kat tv pagi tadi. Tak tengok pun, sekadar dengar sambil buat kerja lain. Apa pun saya suka ustazah sorang ni sebab penampilannya yang tetap sederhana dan masih bertudung labuh walau dah glamer. Bukan senang tau...


(sumber gambar: Fb Ustazah Norhafizah Musa)

Tuesday 19 February 2013

Malaya Heroes


Lukisan di tebing Sungai Klang, KL.
Gambar diambil dari dalam tren LRT.

Monday 18 February 2013

Tanpa Adab Sopan, Hilang Manisnya!

Ada suatu ketika tu saya dan suami sedang makan di sebuah kedai makan. Kebetulan di meja kecil yang kami duduki ada tersedia bekas berisi sudu/garfu dan tisu. Beberapa meja di sekeliling kami tidak tersedia bekas tersebut. Di sinilah ada ceritanya yang membuat saya berfikir-fikir...


Situasi 1
Datang seorang LELAKI ke meja kami, 'Bang, boleh ambik sudu ni?' tanyanya sopan merujuk kepada bekas berisi sudu/garfu di hadapan kami. Kami mengangguk kepala dan memberi senyuman. 

Situasi 2
Tak berapa lama kemudian, datang pula seorang PEREMPUAN ke meja kami. Tanpa sepatah kata mahu pun segaris senyuman, dia terus mengambil sudu/garfu. Dan berlalu pergi. 


Hmmm...sayang sekali. Perempuan yang kelihatan manis, hilang manisnya kerana tiada adab sopan. Lelaki yang nampak biasa-biasa tadi jadi manis kerana dia beradab. Perkara ni nampak kecil tapi memberi kesan besar kepada cerminan peribadi seseorang. Adab tu merujuk kepada tingkah laku yang baik. Memang sukar nak diterangkan secara terperinci bila dan di mana kita perlu beradab. Tapi kalau kita ada rasa sensitif, kita akan tau bagaimana nak beradab. 


p/s: Ingatan untuk diri sendiri jua...
Dan untuk bersangka baik, anggaplah perempuan tadi sedang ada masalah (lapar sangat atau tengah stress).

Friday 15 February 2013

Guinness Malaysia

Hairan...apa pasal anak-anak sedara saya LIKE page ni:


Saya pun mesej salah seorang darinya, bagitau yang dia mungkin dah TER'LIKE' page arak ni.


Jawapannya...memang dia ada LIKE sebab sangkakan tu page:


Laaa...itu kisahnya! 
Dia ingatkan tu 'Guinness World Record' - Malaysia.
Ni mesti kes main LIKE apa yang kawan LIKE.
Tak klik pun page tu untuk tengok yang sebenarnya.
Budak-budak...^___^

Thursday 14 February 2013

Kecelaruan Identiti - Mak Nyah

[Amaran: Sebuah cerita masa lalu yang panjang.]

Saya pernah tinggal di kuarters milik syarikat penternakan. Di situ makan sarapan, tengahari dan malam ada disediakan oleh pihak syarikat. Makanan akan dimasak oleh beberapa pekerja di kantin kuarters. Kita perlu datang dan ambil sendiri hidangan kita, boleh makan di situ atau bawa ke bilik/rumah masing-masing. 

Sebagai orang baru yang tak kenal sesiapa, tengahari tersebut saya datang sendirian ke kantin untuk mengambil hidangan tengahari. Kebetulan masih awal dan tiada sesiapa kelihatan melainkan seorang perempuan yang sedang memasak. Dia memakai seragam kerja (baju dan seluar warna kelabu) dan lengkap bertudung. Saya berada di belakangnya, maka tak dapatlah saya melihat wajahnya. Dengan yakinnya saya terus bertanya, "Kak, dah boleh ambik lauk?". Dia berpusing menghadap saya dan menjawab "Dah boleh, ambiklah", dengan suara lelaki yang sedikit lembut. Saya betul-betul terkejut, dia seorang LELAKI!

Selepas itu, barulah saya tahu dia seorang lelaki yang merasakan dirinya perempuan. Namanya pun sudah bertukar jadi perempuan, apatah lagi dari segi pemakaian. Dia memang memakai tudung di tempat kerja. Jika di waktu santai dia gemar mengenakan kain batik. Disebabkan hal demikian, dia tinggal bersendirian dalam bilik kuarters yang biasanya dihuni beberapa orang. Tiada pekerja lelaki yang sanggup sebilik dengannya. 

Agak lama selepas itu, saya mula berkawan dengannya. Mungkin sebab saya rasa dia sama jantina dengan saya. Dan memang kadangkala saya lupa hakikat dia seorang lelaki. Sesekali di waktu senggang saya dan kawan perempuan datang ke biliknya. Pernah sekali tu kami terlihat ada buku kecil Surah Yasin di atas katilnya. "Kau baca ke ni?" usik seorang kawan. "Bacalah. Kau ingat aku macam ni tak sembahyang, tak baca Quran?" jawabnya sedikit marah. Kami cuma ketawa.  

Antara perkara lain yang saya sangat ingat tentang dia, bila menjelang Hari Raya Aidilfitri dialah orang yang paling sibuk buat biskut raya. Bila jenguk biliknya, berderet bekas biskut raya yang dah siap dibuat. Selepas tu rajinlah dia memberi kepada kawan-kawan yang lain. Seperkara lagi tentang dia, bila nak keluar berjalan-jalan dia tak lagi memakai tudung tapi menggantikannya dengan rambut palsu untuk disuai padankan dengan pakaian perempuannya. Kalau keluar pun bukan dengan kawan lelaki sebaliknya dengan kawan perempuan.

Setahun selepas itu saya tidak lagi tinggal di kuarters tersebut, terus terputus khabar mengenai dia. Bagi saya dia seorang manusia/kawan yang baik. Banyak kebaikannya yang masih saya ingat sehingga kini. Cuma dari sudut psikologi dia mengalami kecelaruan identiti. Terperangkap dalam fizikal lelaki, tetapi mempunyai perasaan dan keinginan seperti perempuan. Dengan faktor kawan lelaki yang menyisihkannya dan kawan perempuan (termasuk saya) yang menerimanya, lebih membuatkan rasa lelakinya luntur. 

Cerita ini telah lebih 10 tahun berlalu. Masa tu saya berusia awal 20-an. Belum ada kesedaran untuk turut  membantu dia kembali kepada kejadian asalnya- seorang lelaki. Sepatutnya insan seperti ini perlu kita (masyarakat umumnya) dekati dan bantu. Bukan sekadar melemparkan hinaan. Bantu mereka menyedari hakikat kejadian dan bantu mereka melawan perasaan kewanitaan. Apapun, saya mendoakan agar kawan saya tadi telah kembali ke jalan Allah dan menemui identitinya yang sebenar. 


Nota:
Mak Nyah - menurut Kamus Dewan ia bermaksud panggilan kepada golongan pondan.
Untuk berita program JAKIM bersama Mak Nyah, klik SINI. 


Wednesday 13 February 2013

Hasil Jualan - RM10


Antara aktiviti sempena cuti CNY lalu...jual suratkhabar/majalah/kotak. Biasanya jual kat orang naik lori tu, tapi sejak tahun lepas lori tu dah tak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan saya atas alasan keselamatan. Nasib baik kat TESCO (Nilai) ni ada Pusat Kitar Semula, bolehlah jual kat situ. 

Yang jaga kat pusat ni seorang OKU. Lelaki bangsa Cina dengan berkerusi roda dan fasih berbahasa Inggeris. Waktu operasi kalau ikut yang tertulis kat dinding tu, setiap hari dari pukul 10pagi hingga 10malam. Harga jualan kertas (masa saya pergi aritu) 20sen untuk setiap kilogram. Hasil jualan yang kami dapat- RM10. Bolehlah buat ngeteh kat kedai biasa. Yang penting, nak bagi clear rumah. Lagi satu kalau nak jual TV rosak/lama kat sini pun boleh. Tapi cuma dapat RM4 je lah, orang tu kata cuma untuk tolong kita lupuskan TV semata.

Sebenarnya suratkhabar jadi banyak kat rumah saya bukan sebab beli. Kalau beli pun ada la sesekali, yang jadi banyak sebab suratkhabar The Sun yang suami ambil kat stesen LRT masa pergi kerja. Dah bagi free kan, ambik je lah. Lepas tu kalau ada kotak ubat gigi dan seumpamanya pun saya kumpul sekali dengan suratkhabar. Boleh jual sekali. Kononnya nak selamatkan bumilah tu, nak kurangkan sampah. 


p/s: Ada yang masih bercuti? Berbahagialah sesiapa yang masih bercuti kat kawasan tempat tinggal saya ni, sebab dari pagi tadi hujan dan langit pun suram je...^__^

Sunday 10 February 2013

SEGMEN BAGI PI - WWW.PENBIRU.COM


Segmen ni anjuran blogger PEN BIRU.
Syaratnya mudah je dan hadiah pun menarik.
Sebab tulah saya jadi tertarik nak sertai.
Sambil tu dapatlah meluaskan jaringan sahabat blogger.

Jujurnya saya baru je kenal dengan blog Pen Biru ni.
Masuk je blog beliau dah terserlah warna biru, sesuai dengan namanya.
Blogger Kedah dengan nama pena Pen Biru ni nampaknya gemar jahitan manik.
Juga seorang yang rajin berkongsi pengalaman jalan-jalannya.

Segmen ni cuma seminggu je tau.
Berakhir pada 15 Februari 2013.
Jadinya, apa lagi...JOM RAMAI-RAMAI SERTAI!
Cuma KLIK pada banner di atas untuk join.


Friday 8 February 2013

Isteri Berzakat Kepada Suami, Boleh Ke?

Persoalan:
Ada seorang isteri yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Bagaimanapun suaminya seorang yang telah diisytiharkan muflis. Lalu si isteri telah bertindak membantu menyelesaikan masalah kewangan suaminya dengan cara memberikan SEMUA wang zakat beliau kepada suaminya.  Persoalannya, adakah syarak mengizinkan perbuatan si isteri tadi?

Jawapan:
Secara asasnya, seorang suami BOLEH menerima zakat daripada isterinya. Kerana suami bukanlah menjadi tanggungjawab kepada isteri. Tambahan lagi orang yang berhutang (al-gharimin) merupakan salah satu asnaf zakat. Berbeza dengan isteri, dia TIDAK BOLEH menerima zakat daripada suami kerana memang tanggungjawab suami untuk beri nafkah kepada isterinya.

Tetapi untuk mencapai matlamat dan roh zakat, sebaiknya isteri TIDAK memberikan SEMUA wang zakatnya kepada satu sasaran asnaf sahaja (iaitu suaminya semata). Kerana ia menidakkan hak asnaf lain dan dikhuatiri menjurus kepada kepentingan peribadi. 

Sebaiknya isteri tadi membahagikan wang zakat kepada TIGA (3) BAHAGIAN, satu (1) bahagian untuk suaminya atas asnaf al-gharimin dan dua (2) bahagian lagi kepada Lembaga Zakat supaya boleh diagihkan kepada asnaf lain. 

*Sekadar jawapan ringkas. Untuk huraian yang lebih terperinci, sila rujuk majalah Solusi isu 51 atau klik DI SINI.


p/s: Selamat bercuti untuk korang semua (tak kisahlah kat mana pun- balik kampung, jalan-jalan atau duduk kat rumah je). Moga semua gembira dan selamat dalam lindungan-Nya.

Wednesday 6 February 2013

Sudut Pandangan

Lokasi: berhampiran A'Famosa, Melaka.

Aku melihat pokok ini UNIK,
Berseni, bagai ukiran dan seakan memberitahu usianya.
Unik sehingga aku tertarik merenungnya.

Kamu melihat pokok ini BIASA-BIASA SAJA,
Tiada yang menarik malah hodoh semata.
Mungkin jua menakutkan untuk direnung.

Aku dan kamu...
Sudut pandangan kita berbeza,
Namun tak perlu kita berhujah rasa,
Hanya pada hal sekecil cuma.

----------------------------------------------------------------------

Kadang-kadang kita terlupa, benda remeh atau bukan perkara pokok (asas) pun kita nak berhujah bermati-matian. Kita perasan kita betul dan nak pandangan kita diterima. Tak salah kita beralah demi sebuah kedamaian. Kecualilah ia melibatkan hal asas yang tidak boleh dipersoalkan lagi, maka berhujah itu perlu. Ingatan untuk saya jua...

Tuesday 5 February 2013

Cara Nak Dapatkan LIKE Banyak


Dulu-dulu ingatkan semua LIKE yang terlampau banyak pada entri blog, Fb status dan Fb page adalah asli. Rupa-rupanya boleh bikin. Macam ada seorang blogger tu bagitau (lupa sape), dia pun mula-mula buat gitu. Sekali orang tekan LIKE, terus jadi 10. Tapi lepas tu dia dah tak buat, rasa tak jujur. Sekarang ni orang sibuk pulak nak ada LIKE banyak-banyak kat Fb status / Fb Page melalui cara yang tak jujur (auto like).

Memang betullah tu kan. Buat apa nak menipu cuma untuk dapat rasa bangga dan gembira. Sebenarnya kita akan lebih gembira dan rasa puas bila dapat LIKE yang asli. Biarpun sedikit cuma. Dan jangan lupa, menipu itu mendatangkan dosa! 


p/s: Maaf jika ada yang terasa. Sekadar menulis sebuah kebenaran.

Aku Bercerita


Tajuk: Aku Bercerita
Penulis: Ramlee Awang Murshid (RAM)
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM25 (sem. m'sia)
Muka surat: 617

Karya terbaru novelis thriller yang baru selesai saya baca beberapa hari lalu. Gaya penceritaan kali ini berbeza, di mana ia menggunakan watak 'AKU' sebagai pencerita kepada lima (5) buah cerita pendek. Menurut RAM, watak 'Aku' boleh juga merujuk kepada dirinya sendiri. 

Secara peribadinya saya kurang puas hati dengan novel kali ini berbanding novel-novel terdahulu. Mungkin kerana ia seperti menghimpun cerita-cerita pendek, dan saya pulak lebih gemar kepada sebuah penceritaan yang berkembang. Apapun, cerita-cerita pendeknya tetap hebat. Paling saya suka cerita Bunian dan Cinta Matiku.

Sinopsis
Seorang pengarang novel cuba menulis naskhah terbaharu. Malangnya gejala writer's block melanda. Suatu masa...dalam keadaan separa sedar ketika terlena, dia terlihat 'seseorang' menggunakan komputer ribanya. Namun kelibat orang itu samar-samar.

Sebuah cerita yang siap ditaip terpamer pada skrin. Sebuah kisah yang mengujakan, tetapi bukan dia penulisnya. Teorinya mungkin dia berkarya tanpa disedari, tetapi minda logiknya ragu-ragu. Satu demi satu cerita baharu ditemui lagi dalam komputer ribanya.

Lima buah cerita yang ditemuinya...Bunian, Culik, Cinta Matiku, Sang Kancil dan Cut

Petikan Novel
(petikan cerita Bunian..)
Tatkala menghampiri tembok itu dia memejamkan mata. Kali ini Jailani sudah percaya dan yakin telah menembusi hijab tersebut. Dia berasa lariannya bergerak terus ke hadapan tanpa sebarang rintangan. Benar, tanpa disedarinya tembok itu berubah jisim menjadi tabir lutsinar yang lembut sesaat sebelum tubuh Jailani merempuhnya. Dia tidak merasakan perubahan itu.


Selamat membaca kepada para peminat novel RAM!

Monday 4 February 2013

Terkena

Semalam ke Alamanda, Putrajaya. Siap membeli barang-barang, saya dan suami terus menuju dengan yakinnya ke tempat letak kereta sambil di tangan masing-masing menjinjing beg plastik. Tapi seketika kemudian kami jadi sedikit cuak, kereta kami tiada di tempat sepatutnya. Kami berpecah, masing-masing memeriksa tiap barisan tempat letak kereta. Tiada! Kami pergi ke tempat parking aras lain, kali ni suami je yang mencari dan saya cuma menunggu di tepi dengan beg-beg plastik. Dari hujung ke hujung mencari, masih tak jumpa. Teknik imbasan semula gagal mengenalpasti di aras mana kami parking. Kami pergi ke aras lain pulak, sekali lagi suami yang pergi mencari dan saya menunggu. Alhamdulillah...tak lama kemudian suami berpatah balik dengan muka ceria. Sampai di kereta, kami ketawa sebab tak pernah jadi kes begini sepanjang ke Alamanda! Betul-betul terkena.

Imbas kembali, beberapa jam sebelum itu...
Kami baru tiba di kawasan letak kereta Alamanda, kereta bergerak mencari parking. Penuh. Kereta bergerak ke aras lain pulak, juga penuh. Kami berpatah balik ke aras sebelumnya, mengharap ada yang kosong. Ada sekali tu kami nampak seorang perempuan menjinjing beg-beg plastik menuju ke kereta, mestilah dia dah selesai berbelanja kan. Kami ekori langkahnya. Tiba di sebuah kereta, perempuan tadi berhenti. Kemudian dia kelihatan melihat-lihat sekeliling dan berjalan semula seperti mencari-cari. Adush! Macamanalah dia boleh lupa letak kereta sendiri kat mana? Kalau tak kita mesti dah dapat parking. Saya dan suami berkata-kata.

Pengajaran cerita...jangan cepat kata/kutuk orang. Kita tak tau apa masalah mereka yang sebenarnya. Kali ni betul-betul terkena! Insaf.


p/s: Sorry, cerita punya cerita...berjela pulak entri ni.

Friday 1 February 2013

Program Pemberian Makanan Kepada Asnaf 2013


Sama-samalah kita hebahkan program ni kepada mereka yang layak di luar sana.
Bagi yang nak jadi sukarelawan pulak, boleh hubungi urus setia seperti di atas ya.

(sumber : Bhg. Dakwah, JAKIM )