Tuesday 16 June 2015

Pasar Minggu Kampung Serikin, Bau

24 MEI 2015 / AHAD

HARI TERAKHIR di Sarawak. Pagi-pagi lagi kami dah bersiap untuk ke Pasar Minggu Kampung Serikin, terletak di daerah Bau. Istimewanya pasar ni, ia terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia. Saya difahamkan, kebanyakkan barang yang dijual dibawa masuk dari Indonesia oleh para penjual Indonesia.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 1jam dari Kuching, dalam hujan renyai. Sepanjang perjalanan disajikan dengan keindahan bukit/gunung, dilatari kabus tebal yang bergerak perlahan. Indah!

1. Inilah kawasan parking Pasar Serikin. Kami sampai kira-kira 9.30pagi dalam keadaan masih gerimis. Bayaran RM2 dikenakan.

2. Inilah rupa Pasar Serikin. Di kiri dan kanan jalan terdapat deretan gerai/kedai. Walaupun hujan dan jalan lecak, orang ramai tetap ghairah nak shopping. Termasuklah kami! 

3. Antara yang banyak dijual - telekung. Katanya dari Bandung. Entahlah...yang pasti emak saya 'tersangkut' kat kedai ni agak lama. Hasilnya, dapatlah beberapa pasang telekung. Lebih murah dari biasa (setelah puas tawar menawar) dan cantik-cantik, kata mak saya. 

4. Kedai menjual tikar Sarawak dan tikar kayu Palembang. Yang ni saya minat, dah lama teringin nak ada tikar kayu Palembang. Cari kat Nilai3 pun takde saiz yang besar. Akhirnya...'terbeli' jugak! Tikar kayu Palembang ni unik, sebab ia hasil cantuman kayu kecil bentuk empat segi. 
(Gambar kecil) Tikar kayu Palembang dibungkus rapi untuk memudahkan kita bawa naik kapal. Macam tak percaya buat kerja camni..angkut tikar jauh-jauh. Minat punya pasal!


5. Sungai yang cantik dan bersih. Tapi sampah berlonggok kat tebingnya. Cacat pemandangan sungguh. Tandas ada berhampiran sungai ni, kot ada yang mencari.

6. Lukisan tangan menggunakan cat minyak. Saya beli satu sebab saya memang minat lukisan asli yang biasanya mahal-mahal. Yang ni saya dapat dengan harga RM40. Frame kena buat sendiri ya. 

Barang-barang lain yang dijual termasuklah kain pasang sulam, barang kraftangan dan barang antik. Sempat jugak berbual dengan seorang penduduk tempatan, katanya pasar ni popular dikalangan orang Semenanjung. Orang tempatan cuma datang bila nak dekat hari perayaan je. Dan katanya lagi..tak lama lagi Pasar Serikin ni akan dibuat di tempat lain yang lebih jauh (betul-betul di sempadan Malaysia/Indonesia).

Ok, setelah lebih 2jam kat pasar ni..kami pun bergerak balik. Inilah lokasi terakhir kami sebelum berangkat pulang ke Semenanjung. Tamat sudah catatan ke Sarawak, ditulis untuk rekod peribadi dan panduan/perkongsian pengalaman untuk yang lain.


~ Ramadhan bakal menjelang, jom siap-siapkan (luaran & dalaman) apa yang patut!~


Monday 15 June 2015

Hari ke-3 : Sepetang di Kuching

23 MEI 2015 / SABTU

Kuih Corot / Celorot
Hari terakhir di Betong, Sarawak. Antara menu sarapan kami pagi ini, sebelum memulakan pemanduan ke Kuching :

Kuih Corot ni rasanya seakan-akan kuih kasui. Kenyal sikit kot. Cara makan, lurutkan ke bawah daun yang membaluti kuih ni. Kalau tak pandai, bukak ajelah gelungan daun tu.

Selesai makan dan berkemas, kami bergerak meninggalkan Betong kira-kira jam 10 pagi. Terasa sedikit sayu hati, kejap betul rasanya.


Homestay Petrajaya
Alhamdulillah...selamat tiba di Kuching setelah memandu selama 4jam (berbeza dengan masa perginya, 5 jam!). Mula-mula sekali, terus je ke homestay di Petrajaya yang dah ditempah awal oleh adik saya. Nak solat, mandi dan rehat jap. 


Rumah dengan konsep gaya Inggeris. Bersih, luas dan kemas. Siap ada buaian kat luar rumah. Puashati. Cuma rumah ni baru di cat masa kami masuk dan baunya sangat kuat sampai sakit hidung. Oklah, bagi yang berminat nak sewa rumah ni bolehlah hubungi 010-969 7171 ya. Deposit dikenakan.


Taman Orkid
Disebabkan dah petang, tak banyak tempat boleh dikunjungi. Kami pergi Taman Orkid je, sebab mak saya minat sangat dengan bunga. Inikan misi jalan-jalan bawak mak, haruslah ikut citarasa mak ya..

Taman Orkid yang dijaga rapi. (Gambar kecil) : Tumbuhan yang menarik perhatian saya, berdaun tajam sampai luka jari saya dek sibuk nak ambil gambarnya.

Sayangnya, tak dapat berlama-lama jalan-jalan kat taman ni sebab hujan. Perut pun dah lapar, kita bergerak ke pusat bandar Kuching. Makan-makan di sebuah restoran berhampiran Sungai Sarawak, lupa namanya. Memang sedap, dan pertama kali juga merasa tiram bakar. Gambar tak ambil pun sebab dah kelaparan sangat!


Kek Lapis & Ikan Terubuk Masin
Selesai makan, kami pun mula bejalan-jalan untuk shopping kek lapis pulak. Masa ni dah pun lewat senja. Maklum jelah kat sini matahari lebih cepat menyembunyikan diri berbanding di Semenanjung.

Mira Cake House...punyalah penuh orang berebut kek! 

Kek Lapis Dayang Salhah...pun kami pergi. Tak sesak, mungkin sebab lokasinya yang agak tersorok.

Beli jugak ikan terubuk masin yang terkenal kat Sarawak ni. Bukan nak makan sendiri pun, tapi kiriman orang. Uniknya kat tempat jualan ni, siap ada kipas untuk halau lalat kot..

Pemandangan yang indah di Sungai Sarawak, berhadapan kedai Kek Lapis Mira tadi. Disebabkan dah keletihan, kami tak cuba naik pun sampan/bot kat sini. Lagipun mak tak berminat nampaknya.

Lepas membeli-belah, kami pusing-pusing bandar Kuching jap. Sekadar melihat-lihat dari dalam kereta je. Pastu terus balik rumah (homestay), nak berehat. Esok pagi-pagi kami merancang nak ke Pasar Serikin pulak. 


Sedikit tips :
1. Kek Lapis yang sedap dan tahap wajib beli adalah Kek Lapis India @ Kek Lapis Cadbury. Harganya RM20 sebuku. Yang lain tu tak beli pun takpe kot. Hehee..sekadar pendapat dari tekak saya.

2. Masa beli kek dan terubuk, bagitau yang kita nak naik kapal terbang. Nanti penjual akan bungkuskan elok-elok. 


Thursday 11 June 2015

Tatacara Berpakaian...Perlu Sangat Ke?

(saya tangguh cerita ke Sarawak, nak cerita isu semasa dulu..)

Ni tatacara berpakaian jika kita nak berurusan di JPJ.

Kenapa kena ada tatacara berpakaian begini?
Sebab ia adalah sebahagian daripada prinsip Rukun Negara...
KESOPANAN DAN KESUSILAAN.

Disebabkan maksud SOPAN mungkin berbeza mengikut individu/kaum/agama,
Maka perlulah diwujudkan tatacara seperti di atas.
Tak suka? Tak puas hati? Tak mahu ikut peraturan?
Senang je...tak payah masuk tempat yang ada etika berpakaian begini.
Masuk tempat orang, HORMAT peraturan orang!

Ada yang berkata...
"Yang ni pun nak sibuk-sibuk. Pekerja kerajaan lembab, tak nak sibuk pulak!"
Fahamilah, selagi kita mencampur adukkan masalah...
Selagi itu ia tak mampu selesai, malah bertambah rumit.
Kita bincang satu persatu ya.

----------------------------------------------------------------------------------------

Kalau korang baca betul-betul tatacara kat banner tu, bukan tak boleh pun pakai skirt. Cuma kena pakai bawah paras lutut. Pasal selipar, yang tu saya rasa ada toleransi. Kalau yg datang tu pakai baju lusuh (jelas nampak orang yang tak mampu), rasanya takdelah kena halau kan....tatacara je, bukan undang-undang.

Berkenaan kes pelancong asing yang berbogel di Gunung Kinabalu, bagi mereka memang tak salah sebab tu hak masing-masing. Tapi mereka sebenarnya bersalah sebab TAK HORMAT budaya Malaysia. Tak tahu? Lagi tak logik, nak melancong mestilah ambil tau sedikit sebanyak mengenai budaya tempat tu. 

Tapi ada hikmahnya kes ni, ia membuka mata pihak berwajib bahawa perlunya PAPAN TANDA NOTIS larangan berbogel atau hampir bogel (pemandangan biasa pelancong asing di pantai-pantai kita) di kawasan pelancongan. Kes ni jugak membuka mata para pelancong asing supaya MENGHORMATI budaya di Malaysia. 


-Rumah saya, peraturan saya. Tak mahu ikut, silakan keluar.-





Wednesday 10 June 2015

Manok Pansoh

22 MEI 2015 / JUMAAT

Ni cerita sebelah malamnya pulak. Balik dari Sri Aman, sampai rumah adik je dah ada beberapa orang lelaki (kawan adik ipar). Rupa-rupanya diorang ni di bawa khas untuk masak MANOK PANSOH (ayam dimasak dalam buluh), iaitu makanan tradisional kaum Iban. Wah...merasa jugaklah saya makanan tradisi kaum majoriti di sini!

1. Manok Pansoh yang dalam buluh tu tau. Selain tu, diorang bakar ayam dan ikan jugak. Saya tak join sebab masa ni semua orang lelaki. Meriah diorang berborak sambil membakar ni. Untuk info, nak masak Manok Pansoh ni perlu guna buluh yang tertentu (lebih tebal). Buluh yang dipakai kat dalam gambar ni, bukanlah buluh yang sepatutnya. 


2. Diorang tukang bakar, saya tukang makan je! Ayam bakar tu sedap sangat. Ikan...tak sempat nak makan sebab dah kekenyangan makan ayam bakar dan ayam Pansoh.


3. Inilah dia hasil masakan ayam di dalam buluh tadi...berkuah rupanya. Saya bayangkan kering. Rasanya? Ok, sedap jugak. Boleh diterima tekak sebab rasa dia takdelah pelik pun. Antara bahan yang digunakan untuk masak ayam ni - serai, halia & daun ubi kayu (untuk tutup bahagian atas buluh). Kot ada yang nak resepi Manok Pansoh ni, boleh klik DI SINI.


~ terima kasih buat adik dan suaminya yang bersusah payah import chef untuk bagi kami rasa masakan tradisi kaum Iban ni. ^__^ ~

Tuesday 9 June 2015

Hari Ke-2 : Sepetang di Sri Aman (Bandar Benak)

...sambungan catatan perjalanan ke Sarawak...

22 MEI 2015 / JUMAAT

Pagi tadi dah meninjau sekitar bandar Betong (catatannya DI SINI), di sebelah petangnya kami buat keputusan nak melihat-lihat bandar Sri Aman pulak. Iaitu bandar paling dekat dari Betong, kira-kira 1jam pemanduan. Menurut adik saya, kalau dia nak mencari ikan laut memang Sri Aman bandar yang dituju. Sebab kat Betong susah nak jumpa ikan laut. 

Kami pergi berdua (saya & suami). Mak berehat je di rumah adik, sambil tu bolehlah merasa duduk kat rumah adik lama sikit. Sebab esok dah nak meninggalkan Betong. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan mudah. Kami mengikut papan tanda arah menuju Benak (Tidal Bore).

1. Taman Panorama Benak, di sungai Batang Lupar.

2. Panorama sungai - Batang Lupar yang kini terkenal dengan Pesta Benak. Apa tu 'benak'? Benak adalah fenomena alam yang berlaku pada musim air pasang besar, apabila air dari muara Batang Lupar memasuki sungai yang cetek dan menghasilkan ombak besar. (info lanjut : DI SINI)

3. Kat taman ni di sediakan laluan bertingkat. Mudahlah kita nak tengok panorama indah sungai Batang Lupar ni. Terutamanya masa musim Pesta Benak.

4. Yang ni dah di luar kawasan taman tadi. Meriah...ramai yang sedang memancing dan makan-makan di gerai tepi sungai. 

5. Kami singgah minum petang di kawasan gerai-gerai ni, di tepi sungai tadi.

6. Hidangan petang kami. Semuanya sedap dan harga berpatutan. 
Sambil makan, kami memerhatikan kehidupan masyarakat setempat dan bandar Sri Aman.

Hari dah lewat petang, kami tak boleh berlama-lama. Kat sini pulak cepat gelap. Alhamdulillah...selamat sampai semula di rumah adik, kira-kira jam 7.30pm. Sampai je, ada beberapa orang rakan adik ipar kat rumah. Rupa-rupanya import chef untuk masak Manok Pansoh! ^__^


....bersambung, tak larat nak tulis banyak-banyak dalam satu entri...


Monday 8 June 2015

Hari Yang Buat Aku Termenung Panjang...

...cerita SEMALAM...

Ahad 7 Jun 2015

Cerita 1
Lokasi : Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya 
Pagi ni aku dengan semangat menuju ke JPN Putrajaya, nak buat kad pengenalan (I/C) yang tercicir entah di mana sewaktu dalam perjalanan dari KLIA2 ke Kuching, Sarawak tempohari. Aku tau dendanya banyak - RM100. 

[Imbas kembali] Sewaktu tiba semula di KLIA2 tempohari, gigih aku masuk pejabat Air Asia bahagian bagasi kalau-kalau ada dalam simpanan mereka (ini dengan andaian I/C aku cicir dalam kapal terbang mereka). Lepas tu aku ke Balai Polis KLIA2 pulak, pegawai polis membelek satu persatu kepingan-kepingan kad yang ada dalam simpanan mereka. Pun tiada. Usaha terakhir, beberapa hari kemudian aku telefon bahagian 'Lost & Found Malaysia Airport Berhad' di talian 03-8778 5409 / 03-8778 5540. Pun hampa.

Terpaksalah jugak harini bayar denda untuk buat I/C baru. Dalam dompet dah sediakan sekeping RM100 dan sekeping RM50 (dengan harapan dapat diskaun dan bayar RM50 je). Tapi bila tiba di kaunter, staf JPN memaklumkan aku kena denda sebanyak RM200 + bayaran permohonan RM10! Sebabnya ini kehilangan kali kedua. Terdiam seketika. Baru teringat, lebih 13 tahun lalu I/C aku hilang sebab beg diragut sewaktu nak melintas jalan di Johor Bahru. Dahlah dulu kena denda, ni pun kena lagi!

Dengan muka sedih, aku mintak pengurangan denda (sebenarnya seorang kawan yang bagitau kita boleh mintak kurang). Aku bukan buat-buat sedih tau, tapi memang sedih sebab terasa banyaknya duit hangus! "Maksima 30% je pengurangan", kata staf tersebut. Aku pasrah, terus isi borang pengurangan yang dihulur. Dan, duit RM150 pun bertukar tangan. 

Lepas tu, aku terus termenung panjang. Nak ambil gambar je aku senyum jugak sikit (nanti gambar buruk sepanjang hayat pulak). Lepas tu aku terus membisu dan termenung (sampai banyak kali suami tegur/pujuk). Aku tak puas hati, bukan sengaja hilangkan tapi kena denda punyalah banyak! Tapi aku pun faham, pihak kerajaan pun ada sebab letak mahal. Haishh... 


Cerita 2
Lokasi : Suruhanjanya Syarikat Malaysia, UTC Kuala Lumpur, Pudu Sentral
Dari Putrajaya, aku ke Pudu Sentral. Alhamdulillah tak susah sangat dapat parking dan servis di SSM pun pantas walaupun orang agak ramai. Tujuan aku nak perbaharui perakuan pendaftaran perniagaan aku yang dah tamat tempoh pada 31 Mei 2015.

Sampai di kaunter, staf bagitau yang aku kena denda RM20 sebab dah lewat! Aduhai...baru 7 hari lewat. Staf bagitau, walau sehari lewat pun tetap kena denda. Aku menghela nafas panjang, sekali lagi pasrah. Dan untuk penukaran alamat utama perniagaan (sebab aku pindah rumah), kena caj RM30.60 termasuk GST ya. Wang RM110.60 bertukar tangan (lagi RM60 bayaran pembaharuan untuk 2 tahun, aku buat nama sendiri murah sikit).

Sekali lagi aku termenung panjang...aku marahkan diri sendiri sebab lalai sampai terlewat dan kena denda. Dan tetap tak puas hati lewat 7 hari pun kena denda RM20. Kalau tak kerana aku dah ada komitmen akaun dengan Poslaju, malas jugak nak perbaharui pendaftaran syarikat ni kot. 

Jumlah denda / kerugian hari ini...RM170


~ terima kasih sudi membaca luahan hati aku yang panjang ni. Esok baru sambung cerita di Sarawak, Insya Allah. ~

Thursday 4 June 2015

Hari Ke-2 : Ronda Pagi di sekitar BETONG, Sarawak

22 Mei 2015 / Jumaat

Latar belakang Betong
Betong yang saya pergi ni di Sarawak ya. Bukan Betong, Thailand atau Betong, Indonesia. 

Betong mendapat nama atas persetujuan bersama kaum Iban dan kaum Melayu ketika itu kerana di kawasan tersebut ditumbuhi oleh sejenis buluh yang dikenali dengan nama buluh Betong. 

Bahagian Betong dibentuk pada 26 Mac 2002 dan merupakan bahagian pentadbiran yang ke-11 dan terbaru daripada 11 bahagian pentadbiran di Sarawak. Sebelumnya Betong merupakan sebahagian daripada Bahagian Sri Aman. 

Betong terletak di kawasan Saribas. Ia mempunyai keluasan 4,1808.8 kilometer persegi. Bahagian Betong terdiri daripada dua daerah pentadbiran iaitu Betong dan Saratok. Jumlah penduduk bahagian ini seramai 99,800 orang. Penduduknya terdiri daripada pelbagai budaya dengan majoriti Iban bercampur mesra dengan Melayu dan Cina. (sumber rujukan DI SINI.
-----------------------------------------------------------------

1. Sarapan pagi kami, MEE KOLOK! Ipar saya yang beli dan kami makan di rumah. Rupa macam mee maggi, ada kuah sup dan ada daging yang sedap dan lembut. Suami saya kata, inilah Mee Kolok paling sedap yang dia makan (setelah makan Mee Kolok di beberapa buah kedai di Kuching, sebelum berangkat pulang ke Semenanjung).

2. Lepas sarapan, kami keluar melihat kehidupan masyarakat di sini. Tempat wajib tentunya pasar! Lain tempat, lain budayanya. Lain pasar, lain barang jualannya. Dan kat sini segala macam jenis makanan tempatan dan pelbagai jenis daun di jual (daun timun pun di jual tau). Kami beli buah Keranji dengan harga RM10/kg. Berbeza dengan Keranji di Terengganu, yang kat sini lebih besar, sedikit manis tapi lebih kering.

3. Nampak tak kepala ayam jantan tu? Ini gambar yang sama kat atas, cuma saya besarkan untuk bagi korang tengok camne diorang jual ayam. Ayam hidup akan dibungkus dalam kertas surat khabar dan diikat luarnya. Susun atas meja dan sedia untuk di jual! Unik caranya. Ayam tu pulak boleh je duduk diam.

4. Kat sepanjang laluan ni pun ramai yang menjual. Semuanya hasil kampung. Dan kali ni saya berpeluang lihat sendiri ulat Sagu atau Mulong! Gemuk-gemuk semuanya. Dijual dalam bungkusan plastik. Geli jugak tengok ulat gemuk dan banyak dok bergerak-gerak dalam bungkusan tu. Tapi janganlah buat muka geli, tu kan makanan diorang. Lain kaum, lain makanannya. Yang pasti, kita orang Islam tak boleh makan tau..haram hukumnya (rujuk DI SINI).

5. Betong yang aman dan bebas sesak.

6. Lepas tu kami di bawa ronda-ronda sekitar Betong (di Spaoh kalau tak silap). Nampaklah rumah panjang moden ni. Biasa tengok yang kayu tu je kan.

7. Juga sebuah rumah lama yang cantik seni binanya. 

Ini je untuk sesi pagi, dah nak tengahari kena balik cepat. Hari ni solat Jumaat, waktu solat kat sini awal iaitu sekitar 12.30 tengahari.

...bersambung...

Wednesday 3 June 2015

Hari Pertama : Kuching - Betong

Maaf, catatan ni panjang untuk tujuan rekod peribadi.

21 Mei 2015 / Khamis

Perjalanan ke Betong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bermula kira-kira jam 11.30pagi. Lewat dek menguruskan hal hilang I/C. Terus lupa nak beli makanan (nasi/mee) buat bekalan sepanjang jalan yang dijangkakan selama 4 jam. Kenapa kena bawak bekal? Sebab kita bakal melalui jalan biasa, takde lebuhraya (maksudnya takdelah RnR dengan kemudahan lengkap). Tapi kami ada bekalan roti (termasuk roti putih Gardenia kiriman adik, sebab kat sini takde roti Gardenia).

1. Untuk ke Betong, kita ikut sign board arah ke Serian dan lepas tu ikut arah ke Sri Aman. Kat atas tu ada tercatat tempat-tempat menarik kat Kuching ni. Tapi, satu pun saya tak sempat pergi.  

2. Hijau alam...inilah pemandangan yang kami lalui sepanjang laluan ke Betong (seperti yang diberitahu oleh adik saya dan pegawai polis tadi..'hutan kanan kiri'). Tapi bukanlah hutan tebal, belukar tebal mungkin. Sesekali ada jugak melalui pekan-pekan kecil dan kadang-kadang ada jugak rumah-rumah penduduk. Jalan raya kat sini elok je, dan sunyi. Mula-mula saya seronok dapat tengok hijau semua, lama-lama...ngantuknyaaaa!

3. Kira-kira jam 2.30petang, kami tiba di RnR Temudok (sila jangan bayangkan macam RnR kat Lebuhraya PLUS). Tiga jam perjalanan yang terasa lama sangat. Sampai je terus cari tandas. Tandasnya sangat usang (tak payah ceritalah camne rupa tandas usang), tapi tak berbau hancing pun. Kena bayar? Ya, 20sen atau 30sen..lupa dah. Perut memang dah lapar, tapi kami cuma makan roti bekalan dan teruskan perjalanan.

4. Tak jauh dari RnR Temudok, ada simpang ke kanan untuk ke Betong. Tapi kami terlajak sikit sebab tak perasan sign board. Kalau terus, boleh ke Sri Aman.

5. Banyak tanaman pokok lada hitam di tepi-tepi jalan. Bukan komersil, sebab masing-masing tanam sikit-sikit je. 

6. Juga kelihatan ramai yang tanam pokok jagung. Ada yang tanam betul-betul kat bahu jalan raya. 
Kelihatan jugak bunga anggerik/orkid warna putih/purple macam kat tepi-tepi jalan Cameron Highlands tu. Tumbuh sendiri, bukan di tanam. Yang tu takde gambar. 

7. Cakap omputih...kadang-kadang ada jugak yang Bahasa Melayu. 

8. Sepanjang jalan ni, memang akan melalui banyak sungai. Dan sepanjang yang saya perasan, jambatannya akan berstruktur seperti di atas. Lebih kukuh mungkin.

9. Sepanjang jalan ni, memang tak kelihatan banyak rumah. Mungkin ada kat dalam-dalam, sebab nampak tanaman ada kat tepi jalan. Yang kat atas ni, saya nampak dari jalan raya. Rumah panjang moden kot (macam rumah teres..).

10. Pintu gerbang ke Betong. Alhamdulillah, akhirnya...
Tapi tak semudah tu, sekali lagi kami terlajak masa nak masuk simpang ke bandar Betong ni. Kiranya dah dua kali terlajak.

Cabaran seterusnya, nak cari rumah adik. Rumah kat taman perumahan, tapi sign board nama taman pun takde. Pusing punya pusing, akhirnya jumpalah jugak rumahnya. Lagi best, rumah tu pun takde tanda no. rumah. Mujur kenal baju kat jemuran dan keretanya. Fuh...rasa nak pengsan dengan perjalanan hari ni. Perjalanan yang dijangkakan 4jam (ikut Google Maps dalam 3jam setengah), jadi hampir 5 jam

Dan petang tu tak ke mana-mana pun. Sampai rumah adik dah 4.15petang. Kami bertiga pun dah letih sangat-sangat. Berehat dulu. 


TIPS untuk yang nak pergi ke arah Betong / Sri Aman :

1. Hentian yang selesa untuk ke tandas dan menunaikan solat adalah di Stesen Petronas Gedong. Masih di awal perjalanan sebenarnya. Stesen ini terletak di sebelah kanan jalan (dari Kuching). Selepas tu, tandas ada di Tenggang dan Temudok tapi tak selesalah (bagi saya). Surau seterusnya juga ada di Temudok. Tepi-tepi jalan takde surau tau, sebab ni bukan kawasan penduduk Islam.

2. Makanan sebaik-baiknya kita bekal sendiri, sebab susah nak cari kedai makan pengendali Muslim. Tapi ada satu restoran makanan segera berstatus 'Halal' iaitu Sugarbun, terletak di pekan Lachau (sebelah kiri jalan dari Kuching). 

Kalau ada yang tau info lain, sila tambah di ruangan komen ya. Kita kongsi info.

...bersambung...

Monday 1 June 2015

Hari Pertama : KLIA2 - Kuching - Betong

[kisah bulan Mei lalu...]

Sebenarnya, tiada langsung dalam perancangan kami untuk ke Sarawak dalam waktu terdekat ini. Tapi demi memenuhi hajat mak saya yang teringin sangat nak ke tempat adik bongsu di Betong, Sarawak, maka perancangan singkat terus dibuat. Tiket Air Asia dibeli kurang tiga minggu sebelum tarikh berlepas. Kos pergi-balik tiga orang untuk tiket asas dengan tambahan caj pilihan tempat duduk, kira-kira RM600 lebih. Bila dah dekat tarikh berlepas, barulah kami buat penambahan belian makanan dan bagasi.


21 Mei 2015 / KHAMIS

Disebabkan penerbangan kami pada jam 8.30pagi, maka seawal sebelum subuh kami dah keluar rumah. Bila bawak mak ni, tak boleh dalam keadaan tergesa-gesa. Jadinya lebih selamat kami keluar awal walaupun dah buat check-in secara online. Kereta kami parking di stesen ERL Salak Tinggi (untuk 4 hari tersebut kami di caj RM2). Lepas tu naik ERL ke KLIA2.

HILANG KAD PENGENALAN!
Semuanya berjalan lancar, sehinggalah kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak kira-kira jam 10.15pagi. Masing-masing keluarkan Kad Pengenalan (I/C) untuk kegunaan di Imigresen (untuk dapatkan pas lawatan kemasukan ke Sarawak). Dan...masa tu la baru sedar yang I/C saya takde! Puas geledah beg yang di bawa, tak jumpa jugak. Akhirnya saya tunjuk lesen memandu je kat kaunter Imigresen. Memang boleh lepas, tapi pegawai tu arahkan saya buat laporan polis untuk menggantikan I/C yang hilang. Dan untuk langkah keselamatan, pas lawatan saya dan mak bagi suami pegang. Sebab ia cuma sehelai kertas nipis kecik, mudah tercicir. I/C yang keras tu pun aku tercicir!

Suami dan mak saya tunggu dalam kereta sewa, dan saya sorang-sorang pergi Balai Polis yang terletak di tingkat dua (masih dalam airport). Mujur dua pegawai polis wanita yang melayan saya tu sangat mesra, hilang rasa gementar. Tiada bayaran dikenakan. Fuh..pertama kali ke Sarawak dan hilang I/C pulak!


KERETA SEWA
Kami dah siap-siap tempah awal, sebuah kereta Myvi (Auto). Saya buat carian di internet, hubungi beberapa pengendali kereta sewa dan akhirnya memilih booking dengan Hanna ( 012-895 2003 ). Untuk sewa dari hari Khamis pagi sehingga hari Sabtu jam 2petang, caj dikenakan RM240. Puas hati sangat sebab dapat kereta yang bersih luar dalam dan berkeadaan baik. Minyak pun masih banyak, ada 3 bar. Pertama kali sewa kereta yang rasa puas hati. Bila nak pulang pun suami basuh dulu kat rumah adik, sebab segan orang bagi memang bersih. Minyak pun kami pulangkan ada 4 bar. Terlebih, tapi tak kisah sebab puas hati. Memang recommended! 


PERJALANAN KE BETONG

Google Maps bagitau - 239km dengan masa 3jam 28minit
Pegawai polis bagitau, dalam 4 jam. Yang terjadi kepada kami? Nanti saya cerita..

Perjalanan ke Betong pun bermula. Ikut je signboard, mula-mula ni kita cari arah ke Serian.

...bersambung...