Setiap enam bulan sekali saya akan ke Pulau Pinang bertemu dengan doktor pakar periodontik untuk pemeriksaan dan rawatan gigi/gusi di Tria Dental Specialist Centre yang terletak di Pulau Tikus, Georgetown. Jauh ya dari Perlis, tapi sebab enam bulan sekali taklah rasa terbeban sangat.
Pukul 7.20 pagi - singgah sarapan di Dapoq Tok Su Lijah di Changlun, Kedah. Kami pelanggan pertama 😀
Kami selalu singgah makan sarapan di sini. Saya suka nasi lemaknya sedap cukup rasa lemak santan. Dah cuba beberapa menu lain tapi kurang menepati selera saya. Servis di sini pantas dan mesra, walaupun ramai pelanggan tapi tak perlu menunggu lama. Cuma sesekali kita akan terganggu dengan bau tak menyenangkan dari longkang berhampiran 😅
Pukul 9.30 pagi - di atas Jambatan Pulau Pinang menuju ke bahagian pulau. Landskap di sini sedikit berubah dengan kewujudan pembinaan tiang di sepanjang tepi jambatan (dalam foto - sebelah kiri). Carian saya mendapati ia merupakan projek pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kami tinggalkan kenderaan di kawasan parkir berhadapan dengan Queensbay Mall, Bayan Lepas dengan kadar caj RM1/jam. Dari situ kami naik kenderaan e-hailing menuju ke klinik. Cara begini lebih mudah sebab kami tak perlu memandu dalam kesesakan jalan di Georgetown (dinobatkan sebagai bandar paling sesak di Malaysia pada tahun 2024) dan tak perlu susah payah mencari parkir berhampiran klinik.
Mula-mula dulu je kami memandu terus sampai ke klinik, lepas beberapa kali terus ubah strategi. Saya ni dahlah seriau gigi nak ‘dikerjakan’, tapi belum jumpa doktor dah letih mental jadi pembantu driver nak tengok jalan mana nak masuk dan hadap ragam sesetengah pemandu, belum lagi penat melilau mata cari parkir 😅
X-ray Gigi | Rawatan kali ini dengan Dr. Ying. Saya maklumkan ada sedikit rasa sakit pada gusi bawah kanan, lepas diperiksa tak nampak apa-apa terus kena buat x-ray. Mula-mula x-ray fokus ke bahagian yang sakit, tapi tak jelas jadi buat pula x-ray untuk seluruh mulut. Masih juga tak jelas apa punca masalah. Jadinya rawatan kali ini - x-ray dan scaling sahaja. Kos rawatan sebanyak RM475. Janji temu seterusnya pada 4 Julai 2026.
Pukul 12.45 tengah hari - makan di The Chicken Rice Shop, Queensbay Mall. Saya order Crispy Wanton. Sekali bila dapat, terkejut tengok rupanya jauh berbeza dengan gambar menu. Pembelian yang tak berbaloi dengan rasa dan rupa persembahan hidangan 😅
Masjid Nagore Alor Setar - masjid yang dibina pada tahun 1881 oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India.
Pukul 6.30 petang - singgah makan sizzling yee mi di Sizzle Eatery, Alor Setar. Kunjungan kali kedua ke sini. Kali ini saya sempat memotret foto Masjid Nagore yang terletak berhadapan dengan restoran.
Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah kira-kira pukul 8.45 malam.
Janji temu saya dengan doktor pakar periodontik adalah pada pukul 3 petang. Dari Pen Mutiara Hotel ke Tria Dental Specialist Centre mengambil masa kira-kira 30 minit. Kali ini kami tak memandu sendiri, tetapi menaiki e-hailing - Grab. Lebih mudah sebab tak perlu memandu sendiri menempuh kesesakan bandar Georgetown dan tak perlu bersusah-payah cari parkir. Cuma perlu berbelanja lebih jelah 😆
PEMANDU GRAB WANITA
Buat kali pertama, kami dapat pemandu Grab seorang wanita. Orangnya peramah, terus memulakan perbualan ketika kami melangkah masuk kenderaan.
Terkejut saya bila tahu umurnya sudah melewati 60 tahun. Hebat! Seorang wanita berusia 60-an mampu jadi pemandu Grab di sebuah bandar yang sibuk dan sesak. Banyak juga hal yang kami bualkan, tapi lebih kepada mendengar kisah beliau. Perbualan yang menarik kerana beliau seorang yang positif melalui kehidupan dan juga seorang yang banyak pengetahuan.
Perbualan kami terhenti apabila tiba di destinasi. Kami bersalaman dan saling mendoakan.
PERIODONTAL THERAPY & PERIODONTAL SPLINT
Kali ini doktor Freeda yang memeriksa dan merawat, sesuai dengan permintaan saya. Dah biasa dengan beliau, saya rasa kurang selesa dan kurang yakin pula bila dirawat oleh doktor lain.
Menurut doktor, gigi dan gusi semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Proses rawatan pun tak begitu lama, cuma berlangsung kira-kira 35 minit. Tetapi, tetap jua terasa lama bagi saya yang ada masanya perlu menahan rasa sakit dan ngilu sepanjang proses rawatan. Hati sentiasa berzikir Rabbi Yassir Wala Tu’assir - Ya Allah, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan.
Rawatan kali ini - scaling, ukur gigi dan tukar ikatan gigi (splint) bahagian atas. Kos rawatan kali ini sebanyak RM450. Janji temu seterusnya pada 5 Julai 2025.
Dari klinik, kami naik Grab ke Plaza Gurney. Saja berjalan-jalan. Nampak ada pameran dua buah kereta Tesla, kami singgahlah sekejap membelek kereta elektrik ni. Rekaannya memang kemas dan moden.
Petang hari Sabtu lalu saya ada janji temu dengan doktor gigi di Georgetown, Pulau Pinang (PP). Penat sangat pulak kalau terus balik Perlis selepas jumpa doktor gigi tu, jadi malamnya kami rancang nak menginap saja di PP. Hari Ahad sebelum bergerak balik Perlis bolehlah jalan-jalan di PP membeli keperluan.
Buat pertama kali juga, kami ke klinik gigi naik e-hailing dari hotel penginapan. Tujuannya supaya tak perlu memandu sendiri menempuh kesesakan trafik di pusat bandar dan tak perlu bersusah-payah mencari parkir.
Untuk penginapan, saya buat carian di Google Maps lokasi hotel yang berhampiran dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah). Bolehlah kami santai-santai lalu jambatan kedua yang tidak sesak berbanding dengan jambatan pertama, lepas tu terus menuju ke penginapan.
Penginapan kami iaitu Pen Mutiara Hotel terletak di dalam kawasan kompleks Pelabuhan LKIM Batu Maung, Bayan Lepas.
Selain hotel, di sini juga terdapat sebuah restoran. Jadinya tempat ini sedikit sibuk dengan orang-orang yang bekerja/berurusan di pelabuhan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan pengunjung restoran serta tetamu hotel.
Bangunan yang menempatkan restoran dan hotel. Masuk ikut pintu yang sama untuk ke restoran dan hotel. Lobi hotel terletak di sebelah kanan. Terdapat juga sebuah surau di bahagian luar bangunan - kubah warna hijau di sisi bangunan.
Sebaik saja saya keluar dari kenderaan, terus terhidu bau hanyir ikan. Maklumlah, kita berada di kawasan pelabuhan ikan. Tapi jangan bimbang, bau kuat cuma di bahagian luar. Masuk dalam bangunan tak berbau pun.
Kami sampai di sini hampir pukul 12 tengah hari, belum boleh daftar masuk bilik jadi kami terus ke restoran untuk menikmati hidangan tengah hari.
Ruang restoran yang cukup luas. Boleh pilih nak duduk lebih santai di luar atau nak duduk lebih selesa di dalam. Bahagian dalam pun ada beberapa ruangan tempat duduk yang boleh kita pilih.
Nampak kosong je kan? Tapi tak lama kemudian, restoran ini dipenuhi dengan pengunjung yang datang untuk menikmati hidangan tengah hari.
Hidangan tengah hari kami, antaranya - kerang rebus RM20 dan kari ikan (beberapa potongan isi ikan) RM18.97. Alhamdulillah semua lauk habis kami makan walaupun tidak semua lauk menepati cita rasa.
Suasana makan di sini terasa lebih menarik dan santai dengan bunyi piano dimainkan dan nyanyian lagu-lagu lama. Layanan di sini juga mesra dan pantas. Hidangan makanan laut (seafood) segar tentunya menjadi tarikan utama untuk pelanggan datang makan di sini.
Selesai makan, kami ke lobi hotel untuk urusan daftar masuk. Tapi kena duduk menunggu sebab waktu daftar masuk pukul 2 petang, tak dapat nak masuk lebih awal. Penginapan di sini juga mengenakan deposit tunai sebanyak RM50.
Bilik penginapan kami di aras dua - Deluxe King / RM210 (kadar harga hujung minggu). Sebuah bilik dengan dekorasi gaya lama dan juga perabot lama. Sewaktu melangkah masuk ke bilik ini, memang berbau perabot lama.
Sebuah bilik yang agak luas dan lengkap dengan kemudahan seperti iron, iron board dan mini fridge. Cuma agak kurang kemas, tengok jelah macam mana rupa cadar tu 😄. Tapi syukurlah semuanya nampak bersih.
Bilik airnya luas dan bersih.
Pemandangan waktu awal pagi dari jendela bilik penginapan kami - di bawahnya bangunan LKIM dan nun di sana Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Menurut saya, penginapan kami di sini tidaklah begitu selesa tetapi cukup memenuhi keperluan kami untuk berehat satu malam. Lokasinya juga jauh dari kesibukan bandar dan berhampiran dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Restoran dan hotel bertaraf 3 bintang yang diuruskan oleh Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PEN Mutiara) ini terletak tidak jauh dengan Muzium Perang (Penang War Museum) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Pada hari Isnin hingga Rabu lalu, saya ikut Encik Suami ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas urusan kerja. Penginapan disediakan oleh penganjur di Wesley Hotel.
Awalnya saya rasa malas nak ikut, sebab memikirkan akan terperap 3 hari 2 malam di bilik hotel yang biasanya tak begitu luas dan belum tentu selesa. Memanglah rumah yang saya diami sekarang bukanlah begitu selesa sebab rumah lama banyak cacat cela, tapi bila dah menetap di sini lama-lama jadi serasi dan selesa jugaklah.
Alhamdulillah, rupa-rupanya dapat penginapan jenis suite 😊
Buka pintu je terus nampak ruang tamu, meja makan dan ruang dapur kecil (kitchenette).
Bilik tidur di ruang berasingan.
Ruang dapur kecil - ada sinki, peti sejuk mini dan kemudahan buat minuman panas.
Ruang bilik tidur dengan katil king dan meja serbaguna. Katil dan bantalnya empuk selesa tidur. Kekurangan bilik ini, tak ada cermin besar jadi bila nak bersiap pakai tudung kenalah masuk bilik air. Juga tak cukup ruang gantung pakaian/tuala, yang ada di luar pintu bilik air tu jelah tempat nak menggantungnya.
Bilik airnya selesa - bersih dan semua berfungsi baik. Pintu bilik air agak kurang selesa digunakan sebab jenis frosted glass. Bukanlah nampak jelas ya, tapi nampaklah bayang-bayang. Gaya moden tapi tak sesuai untuk bilik air.
Pemandangan luar hotel pada waktu senja. Hotel ni dekat dengan jalan besar, siang malam bising dengan bunyi kenderaan lalu-lalang. Mujur juga bilik tidur asing dan ada pintu bilik, taklah terganggu waktu tidur dengan bunyi kenderaan.
Kami sarapan pagi di Bosses Cafe yang terletak di aras bawah hotel. Sarapan tak disediakan secara buffet. Terdapat enam set hidangan pilihan, antaranya - local breakfast, American breakfast dan continental breakfast. Menurut saya dan Encik Suami, makanan di sini tahap biasa-biasa saja. Boleh makan tapi kurang menepati cita rasa kami.
Secara keseluruhannya, saya rasa puas hati sepanjang menginap di Wesley Hotel. Penginapan kami di bilik 4007 sangat selesa - semuanya dalam keadaan bersih dan berfungsi baik. Dalam bilik ni juga terdapat smart TV saiz 40 inci, bolehlah menonton/buka YouTube di skrin besar.
Kekurangan menginap di sini - masalah ruang parkir terhad dan sukar mendapatkan makanan halal berhampiran. Pihak hotel tak menyediakan ruang parkir, jadinya kita kena cari parkir di luar bangunan dan perlu bayar caj parkir. Bab makanan halal pula, petugas kaunter hotel (seorang perempuan Melayu bertudung) maklumkan makanan halal boleh didapati di Bosses Cafe dan restoran nasi kandar yang terletak di bangunan lain. Pilihan lain, bolehlah buat pesanan online menerusi aplikasi penghantaran makanan.
Hari Sabtu lalu saya dan Encik Suami ke Seberang Jaya, Pulau Pinang. Disebabkan urusan Encik Suami akan mengambil masa seharian, jadi kami memilih untuk bermalam di The Light Hotel.
Dekorasi sambutan Hari Raya menghiasi lobi hotel. Mungkin sebab pihak hotel ada menyediakan bufet buka puasa, maka hiasan begini penting dibuat awal bagi menghidupkan suasana.
Laluan menuju ke bilik penginapan kami yang terletak di tingkat 5.
Disebabkan buat tempahan hotel di saat akhir, maka kami tak dapat bilik dengan katil bersesuaian. Paling penting, dapat bilik yang selesa. Cadarnya kemas dan bersih tanpa sedikit pun cela. Bantalnya pun sangat empuk selesa.
Kemudahan yang disediakan dalam bilik. Semuanya dalam keadaan baik dan nampak bersih. Saya jadi tak ragu-ragu nak masak air dan bancuh minuman panas.
Saya pandang skrin tv, terpapar notis berkenaan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac 2024 kepada 8%, berbanding 6% sebelum ini. Tak perlu cepat melenting, tapi kita ambil tahu info yang tepat berkenaan kenaikan ini.
Ambil tahu supaya kita tak keliru :
Kenaikan SST kepada 8% tidak membabitkan keperluan asas atau harian seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi, logistik, penggunaan elektrik bawah 600 kilowatt-jam (kWj) dan perkhidmatan air dirawat.
Sebaliknya, SST 8% itu hanya dikenakan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan yang bukan keutamaan seperti mengunjungi pusat karaoke, hotel, loteri, mesin perjudian dan perkhidmatan e-dagang serta insurans dan takaful.
Bilik air bersih dan berfungsi baik. Saya tertarik dengan ruang tempat letak deretan sabun dan syampu, ringkas dan kemas. Kalau ada rezeki reka rumah sendiri, mungkin boleh ambil idea begini.
Pemandangan luar hotel dari jendela bilik.
Pagi Ahad, kami turun sarapan di bawah. Menariknya di sini, terdapat pelbagai pilihan makanan disediakan. Sampai susah nak memilih, semua nampak sedap. Roti canai telur dan kuetiau ni kami kongsi berdua. Sedap semuanya kena dengan selera kami.
Setakat ini dah dua kali kami menginap di The Light Hotel. Alhamdulillah belum ada pengalaman yang tak seronok. Servis memang terbaik dari detik kita masuk pintu lobi hingga keluar. Bilik penginapan yang sangat selesa dan hidangan sarapan yang memuaskan selera. Kalau pun ada kekurangan, mungkin masalah ruang parkir yang terhad ketika ada acara tertentu berlangsung di hotel ini.
Agak lama saya tak mencoret di blog ini. Sebenarnya banyak yang nak dicatat, tetapi cukuplah sekadar beberapa keping foto di bawah dan catatan yang cuba saya ringkaskan sebagai satu kenangan hidup.
BALIK RUMAH NS
Encik Suami ada urusan di Selangor pada pagi Jumaat, jadinya lewat petang Khamis kami bertolak dari rumah PP menuju ke rumah NS. Perjalanan kami mengambil masa hampir 7 jam dalam keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan.
19 Oktober 2023 | 6.20 petang.
Pemandangan yang indah di mata saya, suasana berkabus tebal di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Kuala Kangsar menuju ke Ipoh.
20 Oktober 2023 | 11 pagi
Hampir 4 bulan tak menjenguk rumah NS, banyak kerja pembersihan perlu saya lakukan di dalam dan di luar rumah. Dahan pokok bunga Cempaka Kuning depan rumah yang hampir menutupi nombor rumah kami perlu dipangkas. Saya buang dahan yang kecil jelah, kalau dahan besar kena tunggu Encik Suami buat. Pokok bunga Cempaka Kuning ini ditanam oleh pemaju. Bunganya berbau wangi, kalau waktu malam lebih kuat baunya sehingga ada yang fikir bukan-bukan 👻
Waktu petang selepas Asar, saya ke rumah jiran di lorong yang sama. Dapat berkumpul bertiga dengan jiran selorong pun dah cukup rasa seronok. Macam-macam kami bualkan sampai hampir waktu Maghrib barulah balik rumah. Saya kenal mereka ni sejak sama-sama berpindah masuk rumah baru, iaitu sekitar tahun 2014. Memang dah rasa mesra dan rasa bebas berbual macam saya jumpa kawan zaman sekolah. Terima kasih Allah atas ukhuwah ini ❤️
21 Oktober 2023 | 11.10 pagi
Hari Sabtu, saya dan Encik Suami ke Nilai 3 Wholesale Centre yang berjarak sekitar 6.6 km saja dari rumah kami. Kami ke sini untuk menempah langsir sliding door dan membeli bidai tingkap jenis Zebra untuk rumah di tempat baru nanti. Alang-alang ada urusan dan perlu balik rumah NS, bolehlah kami ke sini. Kalau tak, kami rancang nak beli saja di Kedah atau Perlis.
KEMBALI KE RUMAH PP
22 Oktober 2023 | 7.40 malam
Biasanya jika kami bertolak ke utara pada waktu pagi hari Ahad, trafik lancar kerana tiada deretan kenderaan berat dan tiada kerja baik pulih jalan pada hari cuti hujung minggu.
Tetapi kali ini kami bertolak waktu petang, pergerakan trafik perlahan di kebanyakkan tempat. Mungkin sebab ramai yang memilih bergerak lewat petang atau malam dan ditambah dengan keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan. Kami sampai rumah PP menghampiri waktu tengah malam. Letih sungguh.
PERSIAPAN PINDAH MASUK RUMAH DI TEMPAT BARU
Sebelum ini, dah dua kali kami berkunjung ke rumah di tempat baru untuk melihat keadaan rumah dan ambil ukuran sliding door serta tingkap. Kali ini kami datang untuk membuat persiapan masuk - nak buat kerja pembersihan rumah serta memasang langsir dan bidai.
23 Oktober 2023 | 2.30 petang
Kami ke IKEA Batu Kawan di Klippa Shopping Centre untuk membeli rod langsir sliding door. Lepas tu ke MR. DIY untuk membeli peralatan pembersihan. Kali ini kami bakal masuk rumah yang dah berusia puluhan tahun, memang berbeza dengan kerja pembersihan masuk rumah yang betul-betul baru.
Barang yang diperlukan semua dah cukup, kami pun bertolak menuju ke rumah di tempat baru…
Perlis
Insya Allah mulai bulan November kami akan berhijrah ke negeri Perlis. Berdebar rasanya nak ke tempat baru, suasana baru dan menghadapi cabaran hidup baru.
Perasaan saya berbelah bagi antara rasa seronok (kerana kehidupan saya akan lebih dekat dengan keindahan alam semula jadi) dan berat hati (atas beberapa sebab yang tak dapat saya nyatakan secara umum di sini). Apa pun, takdir Allah yang membawa saya ke sini maka kepada-Nya jua saya panjatkan doa memohon dipermudahkan segala urusan dan moga saya dapat sesuaikan diri menjalani hidup di tempat baru.
Semenjak 21 tahun terakhir, saya pernah menetap di Selangor, paling lama di Negeri Sembilan (NS) dan kini di Pulau Pinang (PP).
Cerita tentang bil air, semasa menetap di Selangor dulu saya pernah menikmati bil air percuma bagi penggunaan 20 m³ yang pertama. Ketika itu Selangor berada di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Disebabkan penggunaan air kami tidak melebihi 20 m³ setiap bulan, maka tiada sebarang bayaran dikenakan. Jadi satu motivasi jugaklah supaya berjimat pakai air, bimbang melebihi 20 m³ nanti tak layak dapat air percuma pulak 😀
BIL AIR DUA BULAN CUMA RM5!
Sebelum berhijrah ke PP, saya tak tahu atau tak perasan pun fakta bahawa Pulau Pinang merupakan negeri dengan tarif air domestik paling rendah di Malaysia.
Bila dah menetap di sini, saya dan Encik Suami rasa hairan tengok bil air sikit sangat. Bil air diterima setiap dua bulan sekali dengan caj cuma RM5! Seingat saya, cuma ada beberapa kali saja bil lebih RM5 iaitu tambahan beberapa puluh sen.
Ini bil air terkini rumah PP. Penggunaan 21 m³ untuk dua bulan, kalau bahagi dua bulan cuma 10.5 m³ sebulan dengan kadar RM0.22 bagi 20 m³ pertama.
Jadinya 10.5 m³ x RM0.22 = RM2.31 sebulan. Disebabkan caj minimum bil air adalah sebanyak RM2.50 sebulan, maka kami perlu bayar RM5 untuk kiraan dua bulan tersebut.
Cukup murah dan rendah sungguh caj minimum RM2.50 sebulan, berbanding rumah NS (rumah kami yang kini jadi tempat persinggahan) caj minimum dikenakan sebanyak RM5 sebulan.
SURCAJ PENJIMATAN AIR
Untuk mengelakkan pembaziran air kerana air PP murah, maka Surcaj Penjimatan Air dikenakan dengan kadar RM0.48 bagi penggunaan air melebihi 35 m³ sebulan. Menurut saya, ini satu langkah yang bagus untuk mendidik pengguna menggunakan sumber air secara berhemah.
Tarif air PP. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Manakala negeri kampung halaman saya dan Encik Suami pula, iaitu Johor merupakan negeri dengan tarif air paling tinggi di Malaysia dengan kadar RM0.80 bagi 20 m³ pertama. Cukup jauh berbeza!
Berapa tarif air domestik bagi bagi 20 m³ pertama di negeri tempat tinggal kalian?
Jadilah pengguna yang bijak, ambil tahu tarif air kita dan gunakan air secara berhemah supaya tak perlu bayar kadar lebih tinggi dan mengelakkan pembaziran sumber air.
Semalam merupakan hari yang sangat meletihkan, saya dan Encik Suami keluar rumah pada waktu pagi dan kembali pada waktu malam.
KE PERLIS BALIK HARI
Kami pergi dan balik hari ke negeri Perlis dengan perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam sehala dari rumah di Pulau Pinang (PP). Syukur perjalanan pergi dan baliknya lancar tanpa sebarang kesesakan teruk. Mungkin sebab kami melakukan perjalanan pada hari Sabtu, kalau hari Ahad biasanya keadaan trafik di lebuh raya menjadi lebih sesak.
Sekitar pukul 11.30 pagi, kami tiba di pintu gerbang negeri Perlis.
Panorama indah di suatu tempat di Perlis.
Urusan kami selesai sekitar pukul 1 tengah hari. Sebelum kembali ke PP, kami singgah di sebuah kedai makan yang terletak di Padang Besar untuk menikmati hidangan tengah hari.
Buat kali pertama saya mencuba hidangan Tom Yam Kelapa Muda, iaitu masakan tom yam yang dicampur dengan air kelapa muda serta isi kelapa muda dan dihidangkan pula dalam buah kelapa muda. Rasanya sama saja macam tom yam biasa tu, cuma ada tambahan isi kelapa muda. Sedaplah menurut cita rasa saya.
Pagi semalam juga merupakan hari bersejarah bagi pelakon sitkom terkenal Pi Mai Pi Mai Tang Tu, iaitu Sabri Yunus dan Angeline Tan yang telah dinikahkan oleh Mufti Perlis, Dr. MAZA. Upacara pernikahan mereka yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook Dr. MAZA itu juga menyaksikan perkara baru buat saya, iaitu akad nikah dijalankan tanpa perlu berjabat tangan di antara juru nikah dan pengantin lelaki dan juga tiada ucapan penerimaan akad yang panjang oleh pengantin lelaki. Semuanya ringkas dan sangat mudah!
Untuk pengetahuan kita bersama - tidak bersalaman ketika menyebut lafaz akad nikah adalah sah disisi syarak. Ini kerana syarat sah lafaz akad nikah hanya dengan menyebut lafaz ijab dan qabul dan bersertakan kalimah kahwin atau nikah sahaja. [sumber sahih : muftiwp.gov.my]
KLIPPA SHOPPING CENTRE @ IKEA BATU KAWAN, PULAU PINANG
Kami sampai di PP pada waktu lewat petang, kami tak terus balik ke rumah tetapi menuju ke Klippa Shopping Centre @ IKEA Batu Kawan untuk ke Harvey Norman.
Masih ingat cerita saya membeli Philips Induction Cooker di Harvey Norman pada bulan lepas? Entrinya DI SINI. Nampaknya prestasi induction cooker jenama Philips ni lebih teruk berbanding Tefal sebab baru sahaja saya gunakan selama beberapa minggu tapi dah timbul masalah ☹️
Butang pelarasan suhu memasaknya tak berfungsi. Tak boleh nak tekan + atau -. Tapi tetap jua saya bersyukur kerana masalah timbul semasa dalam tempoh waranti. Staf Harvey Norman memaklumkan urusan baik pulih mengambil masa 2-3 minggu. Nampaknya selama tempoh tersebut saya perlu memasak menggunakan alatan dapur yang lain, iaitu air fryer, pressure cooker dan microwave.
Selesai urusan di Harvey Norman, kami makan malam di sebuah restoran masakan Cina Muslim yang berasal dari NingXia, China. Kami memesan sepiring mi dan pau, kongsi berdua supaya tak kenyang sangat.
Selepas makan, kami menunaikan solat di sini. Saya ambil masa lama sedikit sebab ruang solat penuh sesak dengan pengunjung, perlu menunggu giliran untuk ambil wudhuk dan dapatkan ruang tempat solat. Tempatnya selesa tetapi terasa sedikit berbahang.
Alhamdulillah selesai solat badan rasa sedikit segar, terus sambung masuk ruang pameran IKEA pulak 😀. Kami membelek sofa dan meja makan di sini, cari idea untuk rumah seterusnya. Setakat cari idea jelah, sofa dan meja makan yang saya berkenan semuanya buat ternganga mulut bila tengok harga. Encik Suami kata cita rasa saya tinggi sangat, berkenan pada barang berharga tinggi je 😅
Sebelum bergerak balik rumah, saya ajak Encik Suami ngopi dulu di Swedish Cafe @ IKEA. Kami beli sepotong kek dan secawan Caramel Latte panas kongsi berdua.
Dalam perjalanan dari pintu keluar bangunan menuju ke kereta kami, mata saya terpandang pulak kesalahan ejaan pada papan tanda di atas. Siapalah punya kerja ni tak semak dengan teliti. Tak sangka pulak nama besar seperti IKEA boleh lepaskan kesilapan begini. Mungkin benda kecik, tapi nampak mencacatkan pemandangan.
Gitu gini ke sana ke sini seharian di dua buah negeri, akhirnya kami selamat sampai di rumah sekitar pukul 10.30 malam. Alhamdulillah.
5.32 pagi, 14 September 2023 | Pemandangan dari balkoni rumah PP, masa ni azan pertama sedang berkumandang.
LAUNGAN AZAN SUBUH DUA KALI DI PULAU PINANG
Laungan azan Subuh dua kali di Pulau Pinang sebenarnya bukanlah perkara baru. Tetapi saya hanya mengetahuinya selepas berhijrah ke sini pada tahun 2020. Sebelum itu, saya tak pernah mendengar laungan azan waktu Subuh sebanyak dua kali di mana-mana tempat yang pernah saya kunjungi di Malaysia.
Awalnya saya sangka ada kesilapan, muazin tersalah tengok jam jadinya laungkan azan awal dari waktu Subuh yang sepatutnya 😄. Tapi tak mungkinlah ianya satu kesilapan kalau selalu terjadi kan? Selepas itu barulah saya tahu apa sebabnya.
Ini penjelasannya :
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi surat pekeliling pada tarikh 6 Julai 2017, menggalakkan masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang melaungkan azan sebanyak dua kali pada waktu Subuh.
Ia bertujuan bagi menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad SAW.
Bagi pelaksanaan ini, azan pertama akan dilaungkan sekitar 30 minit sebelum masuk waktu Subuh dan azan kedua akan dilaungkan apabila masuk waktu Subuh dengan kedua-dua azan tersebut sunat menyebut kalimah الصلاة خير من النوم yang bermaksud solat itu lebih baik daripada tidur.
Pelaksanaan ini hanya digalakkan, tidak wajib dilakukan.
Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memaklumkan terlebih dahulu kepada ahli kariah berkaitan pelaksanaan ini agar tidak timbul kekeliruan.
Hasil carian saya juga mendapati terdapat dua negeri lain yang melaksanakan azan Subuh dua kali, iaitu negeri Kedah dan negeri Pahang. Tetapi sebab ianya bukanlah wajib, bermaksud bukan semua masjid dan surau melaksanakannya. Mungkin sebab itulah saya sendiri tak pernah mendengar azan Subuh dua kali sewaktu berkunjung ke Kedah dan Pahang.
AZAN TIDAK BOLEH DILAUNGKAN DI PULAU PINANG?
Beberapa bulan lalu, timbul isu berkenaan larangan melaungkan azan di Pulau Pinang. Fakta sebenarnya, penggunaan pembesar suara di luar masjid/surau hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja.
Maksudnya boleh melaungkan azan dan iqamah seperti biasa, tetapi perlu menggunakan pembesar suara di dalam masjid/surau bagi aktiviti selain azan dan iqamah (contoh : bacaan al-Quran sebelum waktu solat dan kuliah yang diadakan selepas waktu solat).
Ia bertujuan supaya tidak mengganggu mereka yang tinggal berhampiran masjid/surau. Entah ada orang sakit, anak kecil tidur, orang yang perlu berehat setelah penat bekerja atau orang yang sedang beribadah di rumah.
Selain itu juga, ia bagi mengelakkan salah faham orang bukan Muslim yang tidak dapat membezakan laungan azan dengan bacaan selain azan. Mereka mungkin menyangka azan terlalu lama dan mengganggu mereka, sedangkan azan sebenarnya cuma sekejap saja.
Sebagai memahami lebih mendalam berkenaan hukum bacaan kuat selain azan, saya sarankan kalian baca dengan teliti penjelasan lengkap oleh Dr. MAZA di pautan INI.
SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE-60 🇲🇾
16 September 1963 menjadi detik bersejarah pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965). Marilah bersama kita menjaga keharmonian di antara rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia demi kemakmuran negara.
Ini merupakan kali ke-3 saya dan Encik Suami melakukan aktiviti pendakian ke Bukit Juru. Kali terakhir kami ke sini sekitar bulan Mei lalu. Tetapi kali ini kami akan mencuba trek yang belum pernah kami lalui.
Terdapat dua pilihan tempat permulaan pendakian (trailhead) untuk kita mendaki Bukit Juru. Kalau sebelum ini kami naik ikut trek yang dikenali sebagai ‘1800 Steps Bukit Juru’, tetapi kali ini kami cuba naik ikut trek ‘646 Anak Tangga’. Carian Google Maps - Bukit Juru Hiking.
Trailhead ini terletak berhampiran Warung Pak Su Mee Udang, boleh parkir kenderaan di kawasan lapang berhadapan warung. Semasa kami tiba, terdapat sebuah kenderaan saja di kawasan parkir. Timbul rasa cuak dalam hati saya, sebabnya setiap kali kami ikut trailhead satu lagi tu sentiasa banyak kenderaan para pendaki. Kalau tak banyak kenderaan itu maksudnya tak ramai yang menggunakan trek yang bakal kami lalui ini 😬
Apa pun, jom kita teruskan perjalanan!
8.27 pagi
Perjalanan menuju ke kaki Bukit Juru bermula di sini. Papan tanda ‘Jom Kita Pi Naik Bukit Juru - 646 Anak Tangga’ jelas kelihatan dari jalan besar, sederet dengan warung Mi Udang tadi. Kami ikut saja laluan jalan tar ini untuk ke kaki bukit. Rekod aktiviti pendakian saya dengan menggunakan smart watch bermula dan berakhir di sini.
8.28 pagi
Seterusnya kami tiba di laluan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok buluh sebelum melalui kawasan semak belukar.
8.30 pagi
Kami berjalan sehingga tiba di kawasan yang tak nampak mana satu laluan, semak samun meninggi. Terkejut jugak saya tengok keadaan begini 😬
Di balik rimbunan semak tu nampaklah papan tanda warna kuning dan anak tangga. Di situlah permulaan trek pendakian. Langkah kaki diteruskan dengan diiringi lafaz doa memohon perlindungan Allah.
8.31 pagi
Papan tanda info berkenaan Bukit Juru.
Trek tangga konkrit menuju ke puncak bukit. Laluan di sini agak kecil dengan rimbunan pokok di kanan dan kiri tangga menjadikan persekitaran agak suram.
Suram ke seram? Jujurnya, terselit sedikit rasa seram melihat keadaan trek yang nampak macam terbiar seperti dah lama tak dilalui orang. Pun begitu, bunyi kicauan burung bernyanyi indah membuatkan hati saya rasa tenteram dan teruja untuk terus melangkah. Paling penting, penglihatan dan pendengaran kita harus peka pada persekitaran. Juga jangan riuh sangat bila berbual dan jangan senyap sangat bila berada di tempat begini. Sesekali saya bersuara, “Tumpang laluuu…ke tepi semua ya...”. Bimbang jugak kot jalan berdua senyap je, tiba-tiba muncul haiwan di laluan kami 😅
8.43 pagi
Di sepanjang perjalanan kita akan jumpa tanda kiraan anak tangga. Juga pokok-pokok hutan dengan tanda nama, bolehlah belajar nama-nama pokok hutan.
Semasa di pertengahan pendakian, kami berselisih dengan seorang lelaki yang sedang menuruni bukit. Alhamdulillah, ada jugak orang yang dah melalui trek ini pada hari ini. Saya rasa lega. Lelaki tersebut memberi salam kepada kami dan memaklumkan terdapat dua tempat dengan pokok rebah merintangi trek, perlu merangkak untuk melaluinya. Alamak!
9.05 pagi
Kami tiba di salah satu tempat yang dimaksudnya oleh lelaki tadi. Pokok-pokok kecil rebah merintangi trek tangga. Syukur jugaklah dah tahu lebih awal, taklah terkejut sangat kan. Kalau nak tengok macam mana rupa laluan bawah rimbunan pokok rebah ni, boleh tonton video di hujung entri.
Saya keluarkan sarung tangan dari beg, pakai sarung tangan di kedua belah tangan. Encik Suami tak ada sarung tangan, tapi dia tak kisah pun merangkak tak guna sarung tangan. Saya je rasa risau kot terpegang apa-apa. Uishh…jangan bayangkan yang bukan-bukan masa ni, perhatikan sekitar dan terus sajalah merangkak perlahan-lahan mendaki anak tangga.
9.20 pagi
Alhamdulillah! Setelah kira-kira 50 minit pendakian dengan jarak 1 km, akhirnya kami selamat tiba di puncak Bukit Juru. Ada pendaki yang boleh naik dalam masa 30 minit saja, kami ambil masa lebih sebab kurang stamina dan kerap berhenti dek tabiat saya yang gemar memotret itu ini 😄
Dari jauh kedengaran suara riuh orang berborak. Sekumpulan pendaki sedang berehat di sini. Saya fikir mereka naik ikut trailhead satu lagi sebab tak lama tu nampak beberapa orang rakan mereka baru tiba dari arah laluan trailhead tersebut.
Kami tak berhenti rehat di sini. Saya ajak Encik Suami berjalan-jalan dalam hutan dengan melalui trek tersedia untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
Di kawasan yang penuh dengan batu besar.
Saya suka tempat ni, Masya Allah cantik pokok-pokok di sini.
10 pagi
Selepas kira-kira 700 meter berjalan merentasi hutan, kami berpatah balik ke puncak bukit tadi untuk berehat. Kami makan tuna cheese sandwich dan minuman sejuk yang dibekal sebagai alas perut. Selepas berehat dan berfoto kenangan, kami kembali meneruskan perjalanan menuruni bukit.
Pemandangan dari puncak Bukit Juru.
Data dari Galaxy Watch.
Mula - 8.27 pagi, tamat - 10.46 pagi.
Secara keseluruhannya, menurut pendapat saya pendakian ke Bukit Juru melalui trailhead ‘646 Anak Tangga’ ini tidaklah terlalu susah sebab kita cuma perlu mendaki tangga konkrit tersedia. Treknya juga lebih pendek berbanding trek di trailhead ‘1800 Steps Bukit Juru’.
Tetapi cabarannya, trek bertangga di sini agak curam dan berliku. Mungkin sebab itu tak ramai yang suka lalu trek di sini, menjadikan laluan di sini agak terbiar dan dipenuhi semak samun. Sepanjang kami turun dan naik bukit, kami cuma berselisih dengan seorang pendaki saja. Bila tiba semula di kawasan parkir, cuma kenderaan kami saja yang ada di situ.
Seperkara lagi, bersedia juga dengan nyamuk yang banyak sewaktu mendaki. Besar saiz nyamuknya, terganggu jugaklah saya dengan bunyi dengung nyamuk yang cuba mendekati saya. Mungkin sebab bahagian bawah ni dipenuhi semak, habitat yang sesuai untuk nyamuk. Kalau di bahagian atas tak jumpa nyamuk.
Video berdurasi 1:29 minit sekitar pendakian kali ini.