Wednesday, 30 September 2026

Menginap 3 Malam di STEG Hotel, Kuala Lumpur

Dari Royal Park Hotel di Bangi, Selangor kami ke penginapan seterusnya di Kuala Lumpur pula.

Selama dua hari penuh (Isnin dan Selasa) Encik Suami ada kerja di KL, jadinya kami perlu menginap selama tiga malam di STEG Hotel - daftar masuk hari Ahad dan daftar keluar hari Rabu. Lokasi hotel berhampiran dengan tempat kerja Encik Suami, pergi/balik kerja jalan kaki je.

STEG Kuala Lumpur (Transitioning to Boutech Hotel KL Chow Kit) - ini paparan nama pada Google Maps. Setelah menginap di sini, barulah saya tahu bahawa STEG Hotel telah diambil alih oleh pengurusan baharu sekitar Mac lalu dengan nama baharu - Boutech Hotel.

Dalam entri ini, saya kekalkan penggunaan nama STEG Hotel sebab ia nama yang digunakan ketika kami buat pembelian secara online. 

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Bangunan STEG Hotel. Tiada kemudahan kawasan tempat letak kereta yang khusus dan percuma untuk tetamu hotel.

Terdapat tiga pilihan - sama ada kita letak kereta di kawasan parkir terbuka yang terletak sedikit jauh dari hotel dengan kadar caj RM4/hari, atau valet parking di hadapan hotel dengan kadar caj RM12/hari, atau petak parkir di sekitar bangunan berhampiran dengan kadar caj mengikut jam.

Pintu masuk hotel.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Laluan ke bilik penginapan kami bernombor 611 di aras 6.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Alhamdulillah biliknya luas, dalam keadaan baik dan bersih.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Tilamnya pun empuk selesa untuk tidur 3 malam.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Bilik gaya moden dan ceria dengan padanan dinding warna kuning.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Saya suka bilik air warna cerah dan ceria begini, rasa lapang dan tak suram.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Tuala muka dengan sulaman nama baharu - Boutech Hotels.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pemandangan luar dari jendela bilik kami. Rupa-rupanya hotel ini terletak berhampiran kawasan perumahan. Rumah lama tapi tentu mahal harganya kini, sesuai dengan lokasinya di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Banyak juga rumah yang telah diubah suai kepada premis niaga, antaranya restoran Herman Ayam Kampung Signature dan Kampunglah yang terletak berhadapan dengan STEG Hotel.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pintu masuk ke ruang makan. Harga bilik kami sudah pun termasuk sarapan, tapi kami cuma makan dua kali saja di sini. Pagi terakhir tu kami beli makanan luar.

Menarik rekaan tangga kayu dengan tempat duduk bertingkat ni, sesuai untuk mereka yang gemar berfoto. Tangga kayu ini terletak bersebelahan dengan pintu masuk ke ruang makan tadi. 

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pilihan sarapan agak banyak jugalah, cuma nampaknya tiada yang kena dengan selera saya. Boleh makan tapi kurang menikmati.

Sepanjang dua hari kami bersarapan di sini, rata-rata tetamu merupakan kumpulan pelancong asing berwajah Cina. Terasa seperti saya sedang berada di negara China 😄

Ada satu kisah sewaktu bersarapan di sini pada pagi kedua. Saya ikut beratur di bahagian telur, panjang jugalah barisan pagi tersebut. Di hadapan saya semuanya orang Cina, saya nampak beberapa orang yang dah ambil telur masing-masing minta dalam kuantiti yang banyak - menimbun telur mata di piring mereka. Jadinya sebab itulah tukang masak ambil masa lama. Saya rasa kurang sabar nak menunggu, terus saja keluar barisan.

Sedang saya makan hampir separuh hidangan, tiba-tiba datang tukang masak tadi membawa piring berisi telur dadar - diletakkan di hadapan saya sambil tersenyum dan meminta maaf atas kelewatan. Tukang masak bahagian telur - seorang perempuan muda manis bertudung. Tak pasti bangsa/warga mana, berkulit hitam manis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. MasyaAllah! Saya rasa tersentuh hati dengan budi baik beliau. Terkejut pun iya juga, tak sangka siap dihantar ke meja. Perbuatan yang nampak kecil tapi besar nilainya pada saya.

***

Secara keseluruhannya, saya rasa puas hati sepanjang 3 malam menginap di STEG Hotel. Bilik penginapan dengan ruang luas, lengkap pelbagai kemudahan, berada dalam keadaan baik dan paling penting bersih. Kalau pun perlu ditambah baik, ia berkaitan kebersihan ruang shower dan mangkuk tandas yang perlu deep cleaning.

Bufet sarapannya pula tidak sesuai dengan selera saya (setakat yang saya makan pada hari tersebut), kalau perlu menginap di sini lagi saya akan pilih bilik tanpa sarapan.







Friday, 25 September 2026

Nostalgia Masa Lalu : Jaket Vintaj Tahun 1991

Kali pertama saya membeli dan memiliki jaket sendiri, ketika tinggal di asrama sekolah pada tahun 1991. Alhamdulillah sehingga hari ini, jaket tersebut masih ada dalam simpanan saya. Malah masih dalam keadaan baik, cuma mungkin dah tak muat 😅

Saya tak ingat dengan jelas berapa harganya ketika itu, mungkin sekitar RM50.

Jaket Vintaj Tahun 1991
Bahagian hadapan jaket ada cetakan nama. Punyalah skema (baca : lurus, naif), orang lain letak nama panggilan tapi saya letak nama sebenar 😆

Jaket Vintaj Tahun 1991
Gaya fesyen zaman tersebut - warna color blocking. Bagusnya warna begini, jaket susah nak nampak lusuh.

Sudah 35 tahun berlalu, ia bukan sekadar sehelai jaket vintaj tetapi menyimpan nostalgia masa lalu saya sebagai budak asrama.







Thursday, 24 September 2026

Menginap 1 Malam di Royal Park Hotel @ UNITEN, Bangi

Biasanya kalau perlu menginap di Bangi, kami akan pilih menginap di Hotel Tenera. Tapi disebabkan semua bilik sudah pun penuh, kenalah cari hotel lain. Saya teringat blogger Fiza a.k.a. Pizzah pernah menginap di hotel dalam kawasan UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) Bangi. Alhamdulillah masih ada bilik kosong, dapatlah kami bermalam di Royal Park Hotel @ UNITEN ini.

Walaupun kami tiba pada waktu malam, tidaklah sukar nak mencari lokasi hotel dengan panduan Google Maps. Kami masuk ke kawasan universiti melalui Pintu 1. 

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Terdapat kawasan parkir terbuka yang cukup luas, sangat memudahkan tetamu hotel yang datang dengan kenderaan sendiri.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Ruang legar yang luas.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Laluan ke bilik penginapan kami yang terletak di aras 2.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Hasil foto zoom-out - saiz katil nampak berbeza tapi sebenarnya sama je.
Eh…agak terkejut bila masuk bilik penginapan kami, ada 3 buah katil single. Menurut Encik Suami, patutlah staf kaunter maklumkan bilik kami dapat upgrade - diberi 3 buah katil.

Semak semula tempahan yang dibuat, oh…rupa-rupanya kami tersilap tempah bilik dengan 2 buah katil single 😄

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Lengkap kemudahan untuk 3 orang.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Bilik air dengan keluasan yang selesa. Ruang shower ada sedikit masalah - air lambat turun jadi bertakung air di lantai. Memandangkan kami di sini cuma 1 malam, tak rajinlah nak minta tukar bilik.

Secara keseluruhannya, saya rasa selesa menginap di sini - keadaan bilik bersih, tilam tak keras dan lengkap kemudahan (ada peti sejuk mini dan set gosok pakaian). Walaupun ada bahagian nampak usang (soket dinding kekuningan dan fabrik sisi katil yang tercarik), tetapi itu cuma hal kecil yang tak mengganggu keselesaan.

Harga bilik penginapan kami - RM270 termasuk sarapan. Kami menginap pada hari hujung minggu, kadar harga bilik jadi lebih tinggi.


Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
BUFET SARAPAN YANG MEMUASKAN SELERA | Pintu masuk ke ruang bufet sarapan. Masuk je terus nampak sudut buah-buahan yang meriah dengan longgokan pelbagai jenis buah. Tapi kita cuma boleh ambil buah yang dah dipotong jelah ya.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Mencuba nasi goreng, mi goreng dan ayam goreng berempah. Sedap ayam gorengnya tu - garing rangup di luar, isi ayam lembut berjus.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Encik Suami ambil bihun bakso, saya merasa sikit - sedap.

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
Awalnya saya tak mahu makan nasi lemak, tapi tak tahan godaan tengok nasi lemak yang diletak dalam pengukus. Nasi lemaknya dah siap isi dalam mangkuk kecil untuk setiap hidangan. 

Tak rugi mencuba, memang sedap! Aroma lemak santan tu je dah cukup membuka selera. Butiran nasinya lembut dengan rasa santan, saya betul-betul menikmati nasi lemak. Makan pula dengan sambal tumis yang sedap kena dengan selera saya. Rasa bahagia sungguh tau sebab bukan selalu jumpa nasi lemak hotel yang betul-betul sedap.

Oh ya, omelette di sini pun sedap - ada campuran keju, lada benggala dan bahan lain. Nampaknya lepas ni kalau perlu menginap di kawasan Bangi, Royal Park Hotel mungkin menjadi pilihan saya 😀

Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor
9.30 pagi - kami mendaftar keluar hotel dan bergerak ke destinasi seterusnya di Kuala Lumpur. Foto suasana waktu siang di kawasan UNITEN. Sebelah kiri tu tasik.







Tuesday, 22 September 2026

9 Hari 8 Malam Merentas Semenanjung Malaysia : Utara - Tengah - Pantai Timur - Utara

Selama 9 hari 8 malam saya dan Encik Suami bermusafir ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Dari Perlis kami ke Selangor/Kuala Lumpur untuk urusan kerja Encik Suami, kemudian menyambung perjalanan ke Terengganu dan Kelantan untuk kembara santai.



RINGKASAN PERJALANAN KAMI SELAMA 9 HARI 8 MALAM :

Sabtu, 12 September 2026
  • Perjalanan dari rumah Perlis ke rumah NS - jenguk rumah NS dan ambil barang.
  • Menginap 1 malam di Royal Park Hotel @ UNITEN Bangi, Selangor.

Ahad, 13 September 2026
  • Ke Kuala Lumpur.
  • Menginap 3 malam di STEG Hotel, Kuala Lumpur.

Rabu, 16 September 2026
  • Perjalanan ke Pantai Timur.
  • Menginap 1 malam di Ombak Beach Inn, Dungun, Terengganu.

Khamis, 17 September 2026
  • Ke Kuala Terengganu, Terengganu.
  • Menginap 2 malam di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu.

Sabtu, 19 September 2026
  • Ke Kota Bharu, Kelantan.
  • Menginap 1 malam di Hotel ibis Styles, Kota Bharu, Kelantan.

Ahad, 20 September 2026
  • Perjalanan balik ke rumah Perlis.

Laluan perjalanan kami selama 9 hari 8 malam.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Perlis sekitar pukul 9 malam hari Ahad lalu, setelah melalui perjalanan sejauh kira-kira 1,748 km.

Permusafiran mengelilingi sebahagian dari Semenanjung Malaysia yang terasa sangat melelahkan tetapi merakam banyak memori baharu. Kembara kali ini juga menemukan saya dengan seorang sahabat blogger secara tak sengaja. Siapa dia? 😁







Monday, 14 September 2026

Che Roti La Farina : Kedai Bakeri Menarik di Kangar

Hampir tiga tahun saya menetap di Perlis, tapi baru bulan lepas saya ‘jumpa’ kedai roti yang menarik ni. Sebenarnya saya dah beberapa kali nampak (dari dalam kenderaan) kedai Che Roti La Farina bila ke bandar Kangar, cuma tak pernah singgah 😄
  
Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Kedai berkonsepkan kafe bakeri.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Pelbagai jenis bun, harganya RM2 sebungkus.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Kek dan roti.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Rambang mata nak pilih pelbagai jenis pastri dan roti.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Roti focaccia (bentuk empat segi, leper), biasa tengok blogger Mulan buat.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Saya beli roti sourdough rye bavarian. Harganya RM15. Roti ni tanpa pengawet, perlu simpan dalam chiller supaya tak cepat rosak.

Saya sangkakan roti sourdough teksturnya liat susah kunyah, tetapi yang ini rasa sedikit kenyal. Saya lebih suka buat one-pan egg toast sebab tekstur roti jadi lembut lebih sedap dimakan.

Che Roti La Farina, Kangar, Perlis
Beli juga set scones, harganya RM8.80. Tak perlu pergi jauh kalau saya teringin nak makan scone, senang dah ada jual di Perlis.



********************************

CHE ROTI LA FARINA
4A, Jalan Hospital,
Pusat Bandar Kangar,
01000 Kangar,
Perlis.

Carian Google Maps | Che Roti La Farina







Friday, 11 September 2026

Ke Muzium Wahyu dan Makan Nasi Unta di Kabsa Hashi

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Hira Cultural District, Mekah


MUZIUM WAHYU (REVELATION EXHIBITION)
Selepas menunaikan solat Maghrib, barulah kumpulan kami di bawa masuk ke Muzium Wahyu.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Dah masuk, kami perlu duduk menunggu giliran di ruang legar ini. Terfikir juga, kenapa masuk muzium pun perlu duduk menunggu? Rupa-rupanya ia bukan muzium konvensional yang sekadar memaparkan bahan pameran, tetapi di sini pengunjung akan di bawa merentas masa menerusi penceritaan digital.

Kami di bawa dari satu ruang ke satu ruang berbeza bagi menghayati jalan cerita sirah Rasulullah SAW. Itulah sebabnya pengunjung perlu menunggu giliran supaya tak bersesak.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Suasana di dalam salah satu ruangan yang memaparkan pameran audiovisual. Menarik teknik penceritaan digital begini, mata saya jadi segar dan lebih fokus menghayati kisah yang disampaikan.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Setelah beberapa kali duduk bangun berpindah di ruang-ruang kecil, kami di bawa ke suatu ruang dengan skrin lebih besar. Bukan setakat paparan skrin dengan visual memukau dan kesan bunyi yang mendebarkan, di hadapan kami terbentang replika panorama bukit dan gunung dengan kesan visual yang berubah selari dengan paparan kisah di skrin. Sangat menarik!

Selesai pameran audiovisual, kami dibawa ke ruang pameran konvensional. Sayang sekali, saya tak dapat fokus meneliti bahan pameran yang ada di sini. Maklum saja bila bergerak dalam kumpulan besar, memang susah sikitlah kita nak membelek setiap bahan pameran.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Simulasi visual Gua Hira’. Terdapat dua simulasi gua disediakan - satu untuk pengunjung lelaki dan satu untuk pengunjung perempuan.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Saya tak berkesempatan mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira’, simulasi visual begini sangatlah membantu memberi gambaran rupa Gua Hira’.

Oleh kerana keadaan di sini agak sesak dan masing-masing menunggu untuk berfoto, saya keluar lebih awal. Laluan keluar membawa pengunjung terus ke ruang cenderamata.

Muzium Wahyu (The Revelation Exhibition), Mekah
Menarik pilihan cenderamata yang ditawarkan di sini, ada pelbagai produk. Kita juga boleh buat ukiran nama pada sejadah dan botol minuman. Staf jualan di sini rajin bercakap memujuk kami membeli, mereka cuba bertutur bahasa Melayu/Indonesia dengan bunyi yang kedengaran lucu.

Walaupun pilihan produk nampak menarik, tapi belum cukup menggoda saya untuk dibawa balik ke Malaysia. Encik Suami tertarik dengan pilihan minyak wangi, tapi akhirnya tak membeli. Agaknya tengok saya tak beli apa-apa, Encik Suami pun tak jadi beli.

Kami berjalan keluar dan duduk menunggu rakan jemaah yang lain di luar bangunan. Tempoh masa kami di dalam Muzium Wahyu hanya kira-kira satu jam. Sejujurnya, saya rasa kurang puas sebab sekejap sangat.


MAKAN NASI UNTA DI KABSA HASHI
Dari Muzium Wahyu di kaki Jabal Nur, bas bergerak ke tempat makan nasi unta. Lokasinya di tepi jalan, tak jauh dari Jabal Nur.

Kabsa Hashi, Mekah
Bas kami parkir di tepi jalan. Sekali lagi, kumpulan kami perlu menunggu kumpulan pelanggan yang sedang menikmati hidangan nasi unta. Nampaknya mereka juga jemaah dari Malaysia, cuma berbeza syarikat pengendali umrah.

Kabsa Hashi, Mekah
Dari kedudukan ini juga, kita boleh menyaksikan kemeriahan cahaya lampu di Jabal Nur. Matahari waktu siang memancar garang, jadinya mendaki pada waktu malam merupakan pilihan popular para jemaah.

Semasa menunggu di dalam bas, saya tertidur. Mengantuk dan letih sangat rasanya. Bila tiba giliran makan, saya sudah pun hilang selera. Suasana dalam tempat makan pula sesak dan perlu makan secara duduk di lantai, kurang selesa buat saya kerana kaki saya cepat rasa kebas. Terus rasa malas nak ambil sebarang foto.

Kabsa Hashi, Mekah
Hidangan nasi unta. Setalam kongsi makan empat orang. Foto oleh Encik Suami.

Saya makan sekadar merasa, cuma beberapa suap. Bukan tak sedap, cuma saya yang tak selera. Encik Suami makan dengan berselera, malah siap menambah nasi dan daging.

Kalau ditanya bagaimana rasa daging unta? Saya kurang pasti nak jawab sebab makan sikit je. Yang pasti daging unta yang saya makan ni lembut. Tiada rasa yang pelik, rasanya mungkin macam daging lembu.

Lebih kurang pukul 10 malam (pukul 3 pagi waktu Malaysia), kami bergerak balik ke hotel penginapan. Sampai bilik, sibuk berkemas pula. Esok sebelum pukul 6 pagi, beg perlu letak di luar bilik untuk urusan perjalanan ke Madinah.







Tuesday, 8 September 2026

Hira Cultural District, Mekah

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026



Tiada aktiviti khusus pada hari ke-4 kami di Mekah, kecuali bagi para jemaah yang mahu melakukan umrah tambahan mereka dibawa ke tempat miqat di Tanaim oleh pihak Rayhar pada waktu awal pagi.

Kami para jemaah diberi pilihan menyertai aktiviti tambahan - lawatan ke Muzium Wahyu di Hira Cultural District dan makan nasi unta. Aktiviti ini dilakukan pada waktu petang/malam dengan tambahan bayaran, iaitu 100 riyal bagi orang dewasa dan percuma bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun. Pengumuman berkenaan aktiviti tambahan ini dimaklumkan di grup Telegram, sehari sebelumnya. Perlu isi nama, manakala bayaran dibuat semasa di dalam bas.

Pada mulanya, saya tak mahu ikut serta sebab saya berhasrat menunaikan solat fardu berjemaah di Masjidil Haram pada malam terakhir di Mekah. Tetapi selepas itu saya ubah fikiran.

Pukul 4.30 petang, saya dan Encik Suami berjalan kaki dari hotel penginapan kami menuju ke Hotel Olayan Ajyad - lokasi para jemaah berkumpul untuk menaiki bas.

Menyaksikan kemeriahan di kawasan dataran - para penjual membentangkan barang jualan di lantai. Para pembeli sibuk membelek dan memilih. Murah agaknya. Saya nak cepat, tak sempat memerhatikan jualan mereka. Apa yang saya tahu, mereka menjual secara tidak sah. Jika ada penguatkuasa datang, mereka terus bungkus barang jualan dan melarikan diri.

Berlaku kesesakan teruk di jalan raya, bas tak dapat masuk untuk ambil kumpulan kami. Jadinya kami perlu berjalan kaki ke suatu lokasi lain yang terletak di bahagian belakang bangunan hotel. Alhamdulillah akhirnya kami dapat naik bas dan bergerak menuju ke Hira Cultural District pada pukul 5.20 petang. 


HIRA CULTURAL DISTRICT
Hira Cultural District is located at the foot of Mount Hira in Makkah—near the place where the first verses of the Qur’an were revealed. More than just a location of historical significance, the district was created to offer visitors a meaningful way to explore that history today. Through immersive exhibitions, curated museums, and spaces designed for comfort and reflection, the district brings together culture, education, and visitor experience in one destination. - info lanjut di hiradistrict.com
Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Ada dua buah bas yang membawa kumpulan kami. Ini bas yang saya dan Encik Suami naik, tak selesa sebab kotor - berhabuk dan bersepah sampah jajan. Syukurlah perjalanan tak jauh, lebih kurang 20 minit saja.

Sebelum meninggalkan bas, saya ambil foto bas supaya mudahlah nanti nak kenal pasti bas mana satu yang saya naik - persediaan sekiranya terpisah daripada kumpulan.

Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Selesai taklimat ringkas dan sesi fotografi berkumpulan, kami berjalan masuk ke kawasan yang menempatkan bangunan Hira Cultural District.

Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Saya tak pasti sejak bila tempat ini wujud, tetapi nampaknya ia baru dibina. Ketika kumpulan kami tiba di sini, suasana agak meriah. Ramai pengunjung tetapi tidaklah sesak.

Tak banyak foto kenangan yang saya rakam di sini, entah kenapa. Mungkin kerana badan saya kurang sihat pada hari tersebut, jadi malas dan kurang bersemangat.

Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Kami berkumpul di tempat permulaan laluan pendakian ke Gua Hira’, mendengar penerangan dan kisah sirah yang disampaikan oleh para mutawif.

Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Inilah Jabal Nur, di puncaknya terletak Gua Hira’ - di sinilah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril.

Dari kejauhan, saya dapat menyaksikan ramai orang sedang mendaki Jabal Nur. Kalau ada rezeki, suatu masa nanti teringin juga saya cuba mendaki Jabal Nur.

Sementara menunggu giliran kumpulan kami untuk masuk ke Muzium Wahyu, kami dibenarkan berjalan-jalan melihat sekitar Hira Cultural District yang turut menempatkan deretan kafe dan kedai jualan.

Sekitar pukul 6.38 petang, masuk waktu solat Maghrib. Kedengaran azan berkumandang dari masjid yang terletak di salah satu bangunan di sini. Kalau kita biasa sebut surau, tapi di sini masjid merujuk kepada semua tempat solat tak kira besar atau kecil ruangnya.

Hira Cultural District, Mekah, Arab Saudi
Ruang solat perempuan terletak di tingkat bawah (ground floor) dan juga di tingkat atas (1st floor) dengan ruang lebih luas. Tandas dan tempat berwuduk hanya ada di tingkat bawah sahaja.

Kalau di Malaysia biasanya ada selipar untuk kita ke tandas dan berwuduk, tetapi di sini tidak disediakan. Masing-masing memakai kasut/sandal sendiri. Saya pula pakai kasut (walking shoes), kononnya supaya selesa untuk aktiviti luar begini tetapi rupa-rupanya kurang sesuai bila perlu singgah solat di surau/masjid.

Ruang solat di bawah dah penuh, jadinya saya naik tingkat atas. Di situ ada seorang penjaga perempuan yang mengatur dan mengarahkan para jemaah terus masuk saf hadapan dan berdiri rapat. Bagus begini kan, tidaklah saf lompong sana sini.

Selesai menunaikan solat secara berjemaah, kami berkumpul di kawasan hadapan Muzium Wahyu bagi menunggu giliran masuk.