Monday 28 April 2014

Pertemuan...

 
 
 
 
(sumber gambar : harakahdaily & sinar harian)
 
 
Alhamdulillah...
Sebuah pertemuan yang baik dan indah.
Saya betul-betul suka tengok gambar-gambar ni.
Mungkin ada yang berkata...ini semua agenda politik!
 
Tapi bagi saya, biarlah kita fikir yang baik-baik sahaja.
Moga hasilnya nanti yang baik-baik juga.
 
Kita kan sesama Muslim....
Masih ada tali Allah yang mengikat hati-hati kita.
Dengan kasih-sayang dan persaudaraan.
 
 
-------------------------------------------------------------
 
http://almaribajuaisyah.blogspot.com/2014/04/tudung-empat-segi-bidang-50.html
Suka tudung empat segi TURKI? Sila klik pada gambar ya... ^_^
 


Friday 25 April 2014

Obama Oh Obama



Kuala Lumpur - Kawalan keselamatan diperketatkan menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di ibu negara pada Sabtu ini.

Menjadi tradisi apabila pemimpin tertinggi AS itu berada di luar negara, tahap keselamatan sama ada di jalan raya mahupun ruang udara sering dititik-beratkan. Selain kehadiran polis, beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dengan 'zon larangan terbang' dikuatkuasakan menjelang ketibaan Obama di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, petang Sabtu.

Perkhidmatan Rahsia AS telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu, bagi 'melindungi' laluan, hotel dan lokasi yang akan ditujui Obama. Pesawat kargo tentera AS telah mula menghantar peralatan logistik untuk lawatan Obama termasuk kenderaan sokongan dan trak sarat dengan kepingan kaca kalis peluru untuk melindungi cermin hotel yang menempatkan presiden itu.

Lawatan Obama ke Malaysia merupakan yang pertama dilakukan Presiden AS dalam tempoh 48 tahun lalu selepas kunjungan terakhir oleh Lyndon B. Jonhson pada 1966.


Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan langkah keselamatan di ruang utama akan diperketatkan.

Presiden AS ke-44 itu akan dibawa menggunakan kereta berperisai, Cadillac One yang dilengkapi dengan semua ciri-ciri keselamatan.

(sumber : berita.rtm.gov.my)

--------------------------------------------------------------------------------------
Khabarnya juga, semua aktiviti/program di Universiti Malaya (UM) pada 26-27 April 2014 dibatalkan sempena kehadiran Obama ke kampus UM pada hari Ahad nanti. Ia adalah atas nasihat PDRM bagi tujuan keselamatan. Hmmmm....

Berita kedatangan Obama kali ini nampak macam 'disambut baik' oleh semua pihak (cuma ada sedikit pihak yang berbunyi). Tak seperti berita kedatangannya pada tahun 2013 yang menerima banyak bantahan dari pelbagai pihak di negara kita. Hal ni buat saya musykil. Apa disebalik semua ini? Biarlah soalan bertemu soalan. Apa yang saya harapkan, esok (sabtu) saya dapat shopping di Jalan TAR, KL dengan aman (walaupun kat situ memang tak aman sebab sesak). Bukan shopping saja-saja, tapi beli stok jualan. Sambil-sambil tu boleh tarik suami tengok sale kat SOGO. Bukan beg/kasut yang jadi perhatian saya, tapi perkakas dapur/rumah yang jadi perhatian.


Thursday 24 April 2014

1st GIVEAWAY BY DIANARASHID.COM

 
http://www.dianarashid.com/2014/04/1st-giveaway-by-dianarashidcom.html
 
Ini BUKAN entri penyertaan, tapi sekali lagi (sebelum ni dah pernah bagitau...) nak ajak korang join GA dianarashid.com ni. Sebab? Sebab blogshop saya antara penaja hadiah untuk GA ni. Hadiahnya...
 
http://almaribajuaisyah.blogspot.com/
Tudung Twist ni cuma RM39 dan Shawl pulak RM49.
 
Kalau korang dapat baucer ni, bolehlah beli apa-apa je produk yang korang suka. Asalkan tak lebih RM50. Kalau lebih boleh jugak, cuma kenalah tambah duit. Kalau kurang pulak, takde refund ya. Dan...percuma pos untuk 500gram yang pertama. Selain tudung (produk utama), korang boleh pilih t-shirt muslimah, kaftan lengan panjang, telekung kanak-kanak sulam strawberi dan sabun susu beras.
 
Selain blogshop saya, ada ramai lagi penaja lain yang menawarkan hadiah menarik. Kalau nak tau, boleh tengok kat SINI. Ikut hati, nak jugak join (sebab tertarik dengan hadiah penaja lain). Walaupun penaja dibenarkan join, tapi rasa seganlah pulak kan. Jadi, apa lagi? Jom meriahkan GA blogger Diana Rashid ni sebelum tarikh tutup 1/5/2014. Cuma klik banner GA di atas untuk info lanjut. Semoga berjaya!
 


Tuesday 22 April 2014

Gambar-Gambar Mesra Suami Isteri...Salah Ke?

Ada orang yang rajin letak gambar mesra dia dan pasangan di Facebook.
Pasangan yang halal...suami dan isteri.
Gambar berpeluk-pelukan, laga-laga pipi.
Nampak mesra dan intim sekali!

Kalau sesekali mungkin kawan-kawan boleh terima.
Kalau kerap sangat, kawan pun mula meluat.
Timbullah kata-kata..
...macam dia sorang ada bini...
...macam dia sorang ada laki...
...macam dia je yang bahagia!

Eh, salah ke? Kan pasangan yang halal?
Secara asasnya, memang tak salah sebab suami isteri.
Tapi kita kena fikir dari sudut agama dan pandangan masyarakat.
Agama mengajar kita sifat MALU. Malu itu tanda orang beriman.
Budaya Melayu kita turut mendidik sifat MALU.
Maka, selitkanlah rasa malu itu dalam diri kita.
Simpanlah gambar-gambar intim untuk tatapan sendiri.
Tak perlulah umum tahu bagaimana kita berpeluk dengan pasangan!

Dan...gambar sebegini mampu mengundang kemungkinan lain.
Kemungkinan yang negatif...fikir-fikirkanlah!


p/s: entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa, sekadar pandangan saya. Mohon maaf jika ada yang terasa ya. Berbeza pandangan...itu biasa.



 

Monday 21 April 2014

Susu Segar Jabatan Veterinar


Korang pernah minum susu segar yang macam ni? Susu segar keluaran Jabatan Veterinar. Dulu, masa zaman kanak-kanak (pertengahan tahun 80-an)  memang selalu sangat minum. Ada van datang menjual kat kawasan rumah kami. Biasa mak beli banyak, sebab adik-beradik ramai. Ada botol kecik dan ada botol besar. Dan ada beberapa perasa. Harga dah tak ingatlah.

Bila masuk asrama, saya masih kerap membelinya. Kalau 'outing' hujung minggu memang cari susu segar ni. Ada dijual tak jauh dari Stesen Bas Seremban. Lepas penat jalan-jalan, sebelum naik bas singgah beli dulu. 

Kelmarin, jalan-jalan ke pasar malam terjumpa pulak orang jual susu ni. Dah lama tak nampak orang jual (atau saya yang tak perasan??). Harga? RM2.20 untuk sebotol yang kecik ni. Saya rasa mahal...botol ni cuma berisi sekitar 200ml susu segar. Tapi sebab teringin nak minum susu segar perasa jagung macam zaman lalu, saya belilah jugak sebotol. Bolehla minum sorang, sebab suami memang tak 'lalu' minum susu. Rasanya? Emmm..sedap!




Friday 18 April 2014

Apa Itu Jangkitan MERS-CoV?

Satu lagi musibah/ujian melanda kita....seorang rakyat Malaysia meninggal akibat jangkitan MERS-CoV. Dan ini adalah kes pertama bagi negara kita.
 
BATU PAHAT: Seramai 64 penduduk Kampung Bintang Laut, dekat sini, dikuarantin di rumah masing-masing sejak kelmarin kerana mempunyai tanda awal Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) susulan kematian seorang penduduk akibat penyakit itu.
(untuk berita penuh sila baca DI SINI.)
 
 ------------------------------------------------------------------

Apa Itu Jangkitan MERS-CoV?
 
Novel Coronavirus, yang juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada masa kini berlaku di Arab Saudi dan dilaporkan di beberapa Negara Timur Tengah lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenainya pada September 2012. Sehingga 31 Mei 2013, sejumlah 53 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 30 kematian. Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi. Justeru para Jemaah atau pelawat diingatkan agar sentiasa berwaspada mengenai jangkitan MERS-CoV ini.
 
Untuk makluman, MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut di kalangan manusia. Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). Pihak World Health Organization (WHO) menyatakan punca jangkitan dan cara jangkitan bagi MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).
 
Sehubungan itu, memandangkan buat masa ini punca jangkitan dan cara jangkitan masih belum dikenalpasti, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.
 
Oleh itu, pihak KKM ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara berikut untuk mengelakkan jangkitan respiratori:
 
i) Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
 
ii) Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (medical mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu.
 
iii) Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari menjamah makanan mentah atau tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan mahupun sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
 
iv) Mereka yang pulang ke Malaysia dengan gejala jangkitan respiratori (demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (medical mask). Jika gejala yang dialami berterusan dan menjadi bertambah teruk, segera dapatkan rawatan perubatan serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat. 
 
KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan terus berhubung dengan pihak WHO untuk memantau situasi terkini MERS-CoV, seterusnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan sebagaimana yang disarankan.
 
Disediakan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 Jun 2013
 
 (sila KLIK DI SINI untuk sumber asal.)

------------------------------------------------------------------

Apabila mendengar wabak sebegini, disunatkan untuk membaca

لا إله إلا الله العظيمُ الحليمُ . لا إله إلا الله رب
 

 العرشِ العظيمُ . لا إله إلا اللهُ ربُّ السماواتِ وربُّ الأرضِ وربُّ العرشِ الكريمُ 
(Riwayat Sahih Muslim)

Selain itu, diriwayatkan ketika penyakit Taun tersebar, disunatkan solat khas untuk menjauhi penyakit itu dan baginda Nabi s.a.w diriwayatkan (كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - إذا حزبه أمر صلى ) Ertinya : Nabi s.a.w apabila membimbangkan olehnya sesuatu perkara, baginda akan mendirikan solat (sunat).

PARA ULAMA JUGA menyebut agar segera MEMANTAPKAN SOLAT YANG WAJIB dan disunatkan berqunut nazilah.

Selain itu, amalkanlah bacaan ini 3 kali pada pagi dan petang :

بسمِ اللهِ الذي لا يضُرُّ مع اسمِهِ شيءٌ في الأرضِ و لا في السماءِ ، وهُوَ السميعُ العليمُ

Ertinya : Dengan nama Allah yang tiada mudarat bersama namaNya sesuatu di bumi dan langit dan Dialah yang maha mendengar dan maha mengetahui.
(dari hadis sahih)
 

 

Thursday 17 April 2014

Pencuri di Siang Hari

Beberapa hari lalu...
Ada sebuah rumah di kejiranan saya di pecah masuk.
Bukan malam hari, tapi di siang hari.
Tuan rumah bukan keluar bekerja pun.
Cuma keluar sebentar cari barang keperluan.
Dikesempatan sesingkat itulah si pencuri buat kerjanya.
Macam biasa...wang tunai, barang kemas dan laptop jadi sasaran.

Risau...memang risau.
Saya memang tinggal sendirian di siang hari.
Di kala kebanyakkan jiran  yang ada keluar bekerja.
Rumah kanan, kiri dan hadapan pun masih kosong.
Masih belum ramai yang berpindah masuk.
Blok yang saya duduk ni pun, baru empat buah rumah berpenghuni.
Blok hadapan saya, baru sebuah berpenghuni.

Sebelum ni risau waktu malam,
Kadang-kala saya bersendirian bila suami ada tugasan luar.
Sekarang...siang dan malam sentiasa rasa berjaga-jaga.
Siang hari nak keluar dari pagar rumah pun puas jenguk keliling.

Guard? memang ada, tapi serupa tiada!
Sesuatu perlu dilakukan!

Wednesday 16 April 2014

Tak Pakai Tudung, Tapi Jual Tudung?

Ni bukan nak cerita pasal wanita Islam yang tak bertudung tapi pandai menjual tudung. Yang tu kes lain. Yang saya nak cerita adalah mengenai KESUNGGUHAN dan MINAT. Kalau kita memang ada minat dalam bisnes, kita hampir mampu menjual semua barang/servis. Kalau kita memang ada kesungguhan, kita hampir mampu berjaya dalam apa jua bidang. Macam tulah kisah rakan niaga saya yang lelaki. Lelaki, tapi bukak page Fb jual tudung! Sambil buat tugas hakiki, sambil-sambil layan pelanggan di Fb. Siapa pun tak tahu si penjual tu lelaki. Tak perlu pakai tudung pun, dia mampu jadi penjual tudung. Hakikatnya juga, dah beberapa orang tauke pembuat tudung yang saya temui adalah LELAKI! Dan ada yang mahir bercerita mengenai jenis material tudung apa yang cantik dan kurang cantik, rekaan yang sesuai untuk tudung labuh dan lain-lain lagi. Kalau minat berbisnes, apa pun boleh jadi!

Saya sendiri, asalnya tak yakin nak jual tudung. Sebab saya cuma pakai tudung empat segi je. Sedangkan tudung yang perlu dijual semua jenis tudung segera (sarung dan siap!) dan shawl. Macam mana nak jual, kalau diri sendiri pun tak pakai? Itu bukan halangan, kita cuba! Atas galakkan suami, saya mulai menjual tudung selepas musim raya aidilfitri tahun lepas (2013). Dan sekarang, saya dah mula suka pakai tudung sarung (yang saya jual) sebab mudah, cepat dan selesa (tanpa pin sana sini). Tapi tudung empat segi tetap saya pakai. Yang masih saya tak pandai pakai adalah shawl. Ya, saya jual shawl tapi tak pernah pakai shawl. Kalau ada yang bertanya mengenainya (cth: senang tak nak bentuk kat muka?), cepat-cepat saya tanya dengan rakan niaga yang pakai shawl tersebut. Mereka pun pantas membantu, selesai masalah.

Shawl Alina (jenama Modern Hijab...tauke seorang lelaki ya..)

p/s : Bagi korang yang nak mendapatkan BAUCER RM50 membeli-belah di blogshop saya, boleh join GA DIANA RASHID. Kot ada rezeki korang.



Friday 11 April 2014

Memoir SHAMSIAH FAKEH : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10

(notis : ulasan buku kali ni agak panjang ya..)
 

 
Tajuk : Memoir Shamsiah Fakeh : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10
Penulis : Shamsiah Fakeh
Penerbit : Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Harga : RM30
Muka surat : 142
 
 
Sebelum ini saya hanya pernah membaca novel sejarah berkaitan Shamsiah Fakeh (SF), iaitu Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan hasil tulisan Azzah AR. Berbeza dengan buku di atas (pertama kali diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 dan edisi baru diterbitkan oleh SIRD pada 2007), ianya adalah hasil catatan SF sendiri yang mula ditulis pada Mei 1991 dan selesai pada 17 Jun 2002. Inilah yang mendorong saya terus membaca, ingin mengetahui peristiwa lalu dari empunya diri.
 
Pada bahagian prakata, SF berpesan dalam satu perenggan berikut :
Sejarah ditulis oleh rakyat. Kita mesti berpegang pada fakta (kenyataan) yang benar berlaku pada masa itu dan keadaan serta situasi ketika itu. Yang penting adalah membuat GARIS PEMISAH yang jelas di antara zaman sebelum merdeka (zaman dijajah oleh imperialis British) dan zaman setelah merdeka. Mencampuradukkannya membuat satu kekeliruan. Kita mesti kenal yang mana musuh dan yang mana kawan. United Front (Front Persatuan) juga tidak sama di antara zaman ini dan zaman dulu iaitu tergantung pada KEADAAN, MASA dan TEMPAT.
 
Sinopsis
Catatan riwayat hidup SF dimulai dengan menceritakan latar belakang beliau. Merupakan anak kelahiran Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mulai tertarik kepada perjuangan menuntut kemerdekaan daripada PENJAJAH BRITISH sewaktu bersekolah di Bagan Serai, Perak.
 
Beliau kemudiannya memilih Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wadah perjuangan. Pada masa tersebut ada dua parti nasionalis iaitu PKMM (dianggap haluan kiri) dan UMNO (dianggap haluan kanan). Kenapa beliau tidak memilih UMNO? Kerana UMNO yang dipimpin oleh golongan bangsawan/atasan Melayu pada masa itu, berpendirian untuk bekerjasama dengan penjajah British dan menentang pertubuhan kebangsaan haluan kiri.
 
SF seterusnya dilantik menjadi ketua AWAS (Angkatan Wanita Sedar), iaitu sayap wanita PKMM pada tahun 1947. Penjajah British kemudiannya mengisytiharkan Undang-Undang Darurat pada Jun 1948. Ia sekaligus telah mengharamkan parti-parti haluan kiri dan beribu-ribu para pejuang kemerdekaan telah ditangkap, ditahan dalam penjara, dibuang negeri dan dihukum gantung. Semenjak dari detik itulah bermulanya zaman perjuangan bersenjata bagi SF. Beliau berjaya menyembunyikan diri dari ditangkap pihak British dan menyertai PKM (Parti Komunis Malaya), iaitu satu-satunya parti pada ketika itu yang sanggup memimpin perjuangan bersenjata. Pada Mei 1949, PKM telah menubuhkan REJIMEN KE-10 yang mana semua anggotanya adalah orang Melayu.
 
Pada April 1957, SF dan beberapa anggota Rejimen Ke-10 telah dihantar oleh PKM ke China untuk belajar. Ia bertujuan untuk meninggikan taraf ideologi dan teori untuk keperluan jangka masa panjang. Bagaimanapun pada tahun 1968, SF telah dipecat dari menjadi anggota PKM (disebabkan pergolakan dalaman).
 
Akhirnya pada 12 Julai 1994, SF dan keluarganya telah kembali ke Malaysia atas kebenaran kerajaan setelah hampir 10 tahun memohon.
 
 
Petikan Buku
Siapakah pengganas? Penjajah British menuduh para pejuang yang masuk hutan mengangkat senjata itu sebagai 'pengganas Komunis'. Memang begitulah taktik penjajah hendak memburukkan para pejuang kemerdekaan kita yang berani melawan kekuatan penjajah yang kuat itu. Disamping jumlah tentera yang agak ramai, penjajah menggunakan senjata canggih untuk menentang pasukan rakyat termasuk menggugurkan bom dan menembak dengan mesin gan. Sebenarnya penjajah Britishlah yang benar-benar pengganas. Mereka membakar rumah rakyat dan tentera-tenteranya telah memperkosa ramai wanita Melayu kita di kampung-kampung. (muka surat 62)
 
Permusuhan yang utama ialah melancarkan perjuangan bersenjata melawan penjajah British iaitu ringkasnya bermusuh dengan penjajah British. Kenapa boleh jadi, maka kami atau PKM boleh bermusuhan dengan kerajaan Malaysia? Dari segi fakta sejarah dapat kita lihat sebabnya ialah kerajaan Malaya yang sudah merdeka mengambil alih tugas membasmi Komunis daripada penjajah British. Dengan kata lain, kerajaan Malaya yang merdeka mewarisi sifat penjajah Inggeris yang hendak menghapuskan Parti Komunis dan Tentera Pembebasan Nasional (TPNM). Sebab itu jelaslah permusuhan itu berterusan sehingga memakan masa 41 tahun iaitu sampai 2 Disember 1989, barulah permusuhan itu tamat dengan termeterainya Perjanjian Haadyai. (muka surat 122)
 
------------------------------------------------------
 
Catatan yang telah dibukukan ini menjawab banyak persoalan dan kenyataan/tuduhan palsu oleh sesetengah pihak terhadap SF. Bagi saya, ia bukan sekadar catatan riwayat hidup SF tetapi ia adalah sebahagian daripada fakta sejarah yang tiada dalam buku teks sekolah. Saya bukan pengkaji sejarah, tetapi sekadar meminati bidang sejarah. Juga saya tidak berada pada masa dan keadaan tersebut (zaman penjajahan British). Maka tidaklah wajar untuk saya menilai samada SF itu seorang pejuang atau pengganas. Apa yang saya pasti, beliau pernah menyumbang kepada kemerdekaan negara kita. Tidaklah adil hanya kerana beliau pernah menjadi anggota PKM (yang dianggap pengganas), maka kita melupakan bahawa beliau pernah berjuang di bawah PKMM/AWAS. Semangat dan pengorbanan beliau wajar dikagumi dan dihargai. Pada akhirnya, yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan. Itu pesanan SF bagi para pembaca riwayat hidupnya ini.
 



Tuesday 8 April 2014

Hobi Lama...

Sukaaaa sangat dapat setem-setem lama ni!
 
Hobi yang dah lama saya tinggalkan...mengumpul setem. Nampaknya 'hidup' kembali bila dapat setem-setem lama kat gambar atas ni. Saya dapat daripada dokumen dan resit-resit lama Allahyarham Bapak. Dah 5 tahun Bapak tiada, barulah berkesempatan saya mengemas fail-failnya yang banyak. Itu pun bukan semua, masih ada lagi yang menanti untuk diteliti, dipilih dan buang yang tak perlu. Ada dokumen yang berusia hampir/lebih 40 tahun. Dengan gaya bahasa lama yang menarik untuk saya ajuk!
 
Mengemas fail-fail lama ni perlukan kesabaran, sebab kena membaca semua dokumen yang ada. Barulah boleh diasingkan mana yang masih perlu disimpan dan mana yang dah boleh dibuang. Bila tengok dokumen dan buku-buku yang ada, saya dapati Bapak seorang yang teliti. Setiap perbelanjaan samada untuk pembinaan rumah kami dan bisnes kedai makan & kedai runcit dicatat dengan baik dalam buku yang khusus dan ada fail khas untuk surat perjanjian dan segala resit. Lagi satu, saya dapati zaman dulu tiada setem hasil. Jadinya setem biasa digunakan menggantikan setem hasil. Sebab itulah saya dapat banyak setem lama seperti di atas ni.
 
Berbalik kepada cerita setem...saya rasa gembira sangat sebab dapat ambil setem lama ni secara terus dari dokumen/resit. Lain perasaannya bila dapat setem lama melalui pertukaran dengan peminat setem atau dibeli. Yang paling best, saya dapat setem 'Persidangan Pentadbiran Pos Komanwel Ke-4, 1978' (yang ada gambar orang ramai beratur kat kenderaan warna merah tu). Saya anggap ia koleksi yang mesti ada dalam simpanan peminat setem, sebab ia berkaitan langsung dengan sistem pos di Malaysia.