Friday 20 November 2020

Kotak Misteri 11.11 JT Books

Yang ditunggu-tunggu, pembelian Kotak Misteri 11.11 oleh JT Books dah selamat diterima petang semalam. Hari-hari dok tengok kat aplikasi tracking.my, nampak pergerakan bungkusan agak perlahan. Biasalah kan...penangan 11.11, mesti semua kurier mengalami lambakan bungkusan.

Pembungkusan yang baik, siap tampal pelekat ‘mudah pecah’ untuk menjaga kotak di dalam. Juga siap disampul dengan bubble wrap. Tapi bila bukak bubble wrap...

...kemek sudah kotak-kotak ku 😅. Takpelah, kita pun faham memang susah pihak kurier nak jaga bungkusan yang berlambak. Lagi pulak bersusun tiga gini.

Yaaa...disebabkan rasa tamak, saya beli 3 set kotak misteri 😁. Berdebar nak buka....dapat buku apa lah agaknya? Saya dah ada ke belum? Dah pernah baca ke belum? Saya minat ke buku yang dapat tu? Gitulah perasaan bila beli kotak misteri ni tau. Teruja.

Tadaaa...inilah isi dalam ketiga-tiga kotak misteri yang saya dapat! Alhamdulillah...semuanya buku yang belum pernah saya baca, belum pernah ada dan minat nak baca. Seronok sungguh 🥰

Setiap kotak misteri yang berharga RM11 ni mengandungi sebuah buku, 2 penanda buku, 1 button badge JT, Buletin Kata JT dan coklat Cadbury 😋. Bonus...ada satu kotak tu saya dapat dua buah buku. Yeay!

Empat buah buku hasil pembelian Kotak Misteri 11.11 JT Books dengan harga RM41 (RM11 x 3 kotak misteri dan caj pos RM8/SM). Kalau pembelian biasa, tak dapat RM11 untuk satu buku ni. Sebagai contoh, buku Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor tu harganya RM28. Tak sia-sia saya tamak membeli tempohari 😄

Dengarnya pihak JT Books akan buat lagi jualan kotak misteri untuk 12.12 akan datang. Siapa berminat bolehlah follow rapat-rapat Warung Kaki Buku (ejen sah JT Books). Bolehlah buat kejutan untuk yang tersayang atau untuk diri sendiri (macam saya 😆).


Tuesday 17 November 2020

Moga Bunda Disayang Allah

Tajuk : MOGA BUNDA DISAYANG ALLAH
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Republika
Tahun terbit : 2006 (cetakan XXXII Nov. 2019)
Jumlah muka surat : 306
Harga : RM38

Sebuah lagi karya Tere Liye, penulis dari Indonesia yang selesai saya nikmati. Penulisan yang diinspirasikan daripada kisah benar Helen Adams Keller (Alabama, 1880 - 1968) - seorang penulis, aktivis politik dan pensyarah dari Amerika. Helen Keller merupakan orang pekak dan buta yang pertama berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Pembacaan saya pada awalnya agak terganggu dek terbayang watak dan babak dalam filem The Miracle Worker (filem berinspirasikan kisah hidup Helen Keller) yang pernah saya tonton sekitar awal tahun ini. Suami isteri dari golongan atasan, anak perempuan yang buta serta pekak dan guru perempuan. Bezanya dalam novel Moga Bunda Disayang Allah ini, penulis meletakkan watak seorang lelaki sebagai guru.


Novel ini mengangkat kisah anak kecil bernama Melati yang menjadi pekak dan buta disebabkan satu kemalangan sewaktu percutian keluarga. Bertahun-tahun ibu dan ayah Melati mencari solusi untuk permasalahan Melati, namun semuanya buntu. Sehingga akhirnya Bunda (ibu Melati) meminta pertolongan dari Karang, seorang lelaki dengan sejarah hidup yang menyedihkan namun mempunyai keistimewaan berinteraksi dengan anak kecil.

Di sinilah kita dapat menyaksikan kesabaran, kesungguhan dan keikhlasan Karang untuk membantu Melati ‘keluar’ dari dunianya yang gelap dan sepi, disamping dirinya sendiri sedang melawan trauma peristiwa pahit masa lalu yang sering mengganggu. Di sini juga kita dapat merasakan kasih sayang Bunda yang tak pernah berhenti berharap melalui doa-doanya yang tak putus buat Melati.


Kisah yang sangat menyentuh hati dan penuh nilai-nilai murni - jangan pernah merasa putus asa, jangan pernah berhenti bermohon kepada Allah, berhentilah merasa kecewa atas sesuatu yang berlaku di luar kawalan kita dan hiduplah dengan rasa syukur.

“Ya Allah, apakah kesabaran itu ada batasnya? Jika ada, maka apa ia tetap bisa dibilang sabar jika sudah tiba dibatasnya? Ya Allah, apakah beban yang kami pikul ada batasnya? Seperti janji-Mu dalam kitab. Jika ‘ya’, kami sungguh tidak mengerti di mana batasnya. Ajarkan kami. Berikan label berapa persen seperti petunjuk speedometer mobil untuk setiap ujian, untuk setiap kesabaran, dengan demikian hati kami pasti lebih kuat” - Bunda (petikan halaman 173)

Dari Novel Ke Layar Perak
Pada tahun 2013 novel ini telah diangkat ke layar perak di Indonesia. Sehingga catatan ini ditulis, saya masih belum dapat menonton filem Moga Bunda Disayang Allah. Tak jumpa nak tonton di mana.

Selain filem The Miracle Worker (1962), filem dari India berjudul Black (2005) juga berinspirasikan kisah hidup Helen Keller. Di penghujung novel ini, penulis menyebut bahawa penulisan beliau adalah berdasarkan filem Black. Barulah saya tahu mengenai filem Black, habis baca novel terus cari filem Black...hehe.

The Miracle Worker dan Black saya tonton di YouTube. Bagi saya, sama ada membaca novel ini atau menonton filem-filem tersebut, setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri dan sangat menyentuh hati. 

OST Moga Bunda Disayang Allah

Wednesday 11 November 2020

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi

 Sambungan dari catatan lalu DI SINI.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Selesai lawatan di Galeri 1, kami menuju ke bahagian luar bangunan yang menempatkan tinggalan senibina candi dari empat buah tempat di Lembah Bujang. Terdapat banyak tapak candi yang ditemui, tapi di sini cuma dibina candi dari tapak tertentu sahaja dari setiap tempat. Nombor tertera pada papan tanda di atas merujuk kepada nombor tapak.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Permulaan lawatan untuk melihat tinggalan senibina candi bermula di sini. Perlu mendaki anak-anak tangga, maklum saja tempat ni berada di kawasan berbukit di kaki Gunung Jerai. Tertera kata-kata aluan di pintu gerbang - ‘Selamat Datang Ke Lembah Bujang, Anda Sedang Menerokai Tamadun Kurun Ke 2-14 Masehi’. Jom kita mulakan penerokaan...


CANDI PENDIAT (TAPAK 16)

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Tinggalan senibina candi yang mula-mula kami temui - Candi Pendiat (Tapak 16). Asal tapak ini telah ditemui di Kampung Pendiat, Merbok, iaitu di sebelah timur Sungai Bujang. Ia telah ditemui pada tahun 1940, manakala pada tahun 1974 tapak ini telah dibina semula dan dipindahkan ke kawasan muzium ini.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Tinggalan senibina candi berunsur Hindu ini secara keseluruhannya dibina daripada batu lada (laterite) sebagai struktur bawah, bahagian tapak asas (foundation) pula terdiri daripada pebel sungai. Struktur atasnya terdiri daripada tiang-tiang kayu dan beratapkan genting.


CANDI BUKIT BATU PAHAT

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Kena naik nun atas lagi untuk meneruskan penerokaan ke tiga candi lain. Memang luas tempat ni. Saya suka suasana di sini, nyaman dan seronok dengar bunyi irama alam (boleh dengar dalam video yang saya kongsikan).

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Inilah tinggalan senibina Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8). Satu-satunya candi di sini yang berada di tempat asal.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Runtuhan Candi Bukit Batu Pahat ini telah dibina semula di tempat asalnya pada tahun 1960. Candi ini juga merupakan candi induk kepada candi-candi lain di Lembah Bujang.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Bahan binaan utamanya ialah batu granit yang dipahat dari batu hampar yang terdapat di tebing Sungai Merbok Kecil yang mengalir berhampiran tapak ini (rujuk gambar terakhir catatan ini).


CANDI PENGKALAN BUJANG (TAPAK 21)

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Candi Pengkalan Bujang (Tapak 21), asalnya tapak ni berada di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok, di tebing sebelah timur Sungai Bujang. Ia ditemui berkembar dengan Tapak 22, tetapi hanya Tapak 21 dibina semula dan dipindahkan ke kawasan muzium ini.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Struktur candi ini secara keseluruhannya terdiri daripada batu bata sebagai binaan asas.


CANDI BENDANG DALAM (TAPAK 50)

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Candi Bendang Dalam (Tapak 50). Asal tapak ini ditemui di Kampung Bendang Dalam, Merbok, di sebelah barat Sungai Bujang.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Terdapat tiga binaan dengan struktur berbeza di sini.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Rupa bahagian dalam salah satu struktur binaan candi. Bahan asas binaan candi ini adalah batu lada (laterite).


BUKAN SEKADAR MUZIUM...

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Di lereng bukit di mana terletaknya candi-candi tadi, terdapat pondok-pondok wakaf. Keseluruhannya terdapat enam buah pondok wakaf di sekitar kawasan muzium ini. Di belakang pondok wakaf (di dalam gambar), bunyi aliran air dari sebatang anak sungai jelas kedengaran. Nampaknya kawasan ini bukan sekadar muzium, tapi boleh jadi taman rekreasi.

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Senibina Candi
Inilah air terjun (kalau boleh dipanggil air terjun) yang saya nyatakan pada catatan terdahulu. Terletak tak jauh dari kawasan parkir. Kalau perasan, batuan di air terjun ni nampak agak pelik. Rupanya-rupanya inilah kesan tapak pahatan (batuan dipahat untuk membina candi).

Saya tak dapat turun ke bawah untuk mengambil gambar lebih jelas, sebab kawasan sebelah sini dah dihalang dengan tape merah putih tu. Ada tentera sedang menjalani latihan di sini. Di satu sudut lain  (seperti kolam), ada juga pengunjung datang bermandi-manda walaupun terdapat notis larangan berkenaan.

Video berdurasi 56 saat, cukuplah nak memberi gambaran sebenar kawasan candi.

————————————————————-
Bagi yang berkesempatan, nanti bila dah tamat PKPB bolehlah jalan-jalan bawa keluarga ke sini. Kalau selama ni kita tahu mengenai kerajaan Kedah Tua dan Candi Lembah Bujang melalui buku teks Sejarah, di sini kita saksikan sendiri tinggalan sejarah tersebut. Boleh juga berangan jadi Indiana Jones kejap kan 😄

MUZIUM ARKEOLOGI LEMBAH BUJANG
Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah.

Buka Setiap Hari : 9 pagi - 5 petang
(Tutup hari Isnin minggu pertama sahaja)

Masuk PERCUMA






.

Friday 6 November 2020

Jejak Sejarah | Muzium Arkeologi Lembah Bujang - Galeri 1

SABTU | 31.10.2020

Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak di Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah menjadi desinasi tujuan saya dan suami (yang terpaksa rela mengikut minat saya 😬) pada hujung minggu lalu. Ia terletak kira-kira 77 km dari rumah di PP, tak jauh pun.


KOMPLEKS ARKEOLOGI SUNGAI BATU
Dalam perjalanan (kurang 10km sebelum tiba di Muzium Arkeologi Lembah Bujang), iaitu sewaktu melalui Jalan Pintasan Semeling saya melihat deretan kawasan berbumbung begini (seperti dalam gambar). Ia terletak di kanan dan kiri jalan raya, di celahan barisan pokok kelapa sawit yang menjadi latar pemandangan di sini. Sempat saya baca papan tanda yang ada secara sepintas lalu, menyatakan ini adalah tapak arkeologi.

Selepas itu barulah saya tahu bahawa kawasan ini adalah Kompleks Arkeologi Sungai Batu. Pada tahun 2016 ia telah diisytiharkan secara rasmi sebagai tamadun tertua dan terawal di rantau Asia Tenggara pada Persidangan Antarabangsa Kedah Tua, bersempena Festival Kedah Tua 2016 (rujuk di sini). Kompleks ini dibuka kepada pelawat dengan bayaran tertentu kepada pemandu pelancong.


MUZIUM ARKEOLOGI LEMBAH BUJANG
Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah merupakan muzium arkeologi yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Ia telah dibuka secara rasmi oleh Sultan Kedah Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 23 Januari 1980.

Sebelum masuk ke kawasan muzium, kita perlu mendaftar dan melakukan pemeriksaan suhu di bangunan biru sebelah kiri tu.

Ruangan parkir yang agak luas di dalam kawasan muzium. Nampak banyak kereta, saya sangkakan ramai pelawat di dalam bangunan galeri. Tapi sangkaan saya meleset sebaik saja masuk ke galeri. Saya rasa orang ramai datang untuk berkelah/bermandi-manda di kawasan air terjun yang terdapat di sini (melangkah keluar dari kereta dah terdengar bunyi deruan air terjun).

Muzium ni terbahagi kepada dua bahagian pameran - di dalam bangunan (galeri pameran) dan di luar bangunan (senibina candi).


GALERI 1
Dari kawasan parkir tadi, kami menuju ke bangunan GALERI 1. Inilah bangunan ruang pameran yang menempatkan artifak yang ditemui melalui kerja-kerja ekskavasi di tapak-tapak arkeologi di sekitar Lembah Bujang. Galeri 2 yang terletak agak ke belakang, masih belum dibuka untuk lawatan.

Sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan galeri, kami mulakan lawatan dengan melihat Perahu Sagor yang berada di luar bangunan. Perahu Sagor diperbuat daripada sebatang pokok balak yang ditebuk.

Perahu Sagor yang dipamerkan ni merupakan sisa-sisa perahu yang ditemui dalam kerja penggalian arkeologi di beberapa penempatan di sepanjang Sungai Muda yang menjadi laluan utama membawa barang dagangan sejak kurun ke-3 Masihi.

Sebaik je masuk bangunan galeri, ada ruangan jualan cenderahati di sebelah kanan. Dan ada peta kawasan muzium di sebelah kiri. Sebaiknya kita fahamkan peta ini untuk memudahkan lawatan.

Menarik model bentuk muka bumi ni. Tengok gini barulah kami faham yang muzium ni terletak di kaki Gunung Jerai. Juga lebih mudah faham kedudukan tempat-tempat di sekitarnya, sesuai untuk kami yang baru menetap di utara ni.

Sebahagian ruang dalam galeri pameran. Tanpa pengunjung lain, agak selesa untuk saya menekuni bahan pameran yang ada.

Info penting berkenaan sejarah penyelidikan arkeologi di Lembah Bujang.

Model candi di Bukit Batu Pahat, mukim Merbok, daerah Kuala Muda, Kedah. Apa yang menarik, candi Bukit Batu Pahat (tapak 8) ini dibina semula di tempat asalnya (di kawasan muzium ini). Nanti kita akan tengok senibina candi ini di tempat asalnya.

Model candi yang terletak di Bukit Pendiat, Mukim Merbok, Daerah Kuala Muda, Kedah. Struktur candi Bukit Pendiat (tapak 17) ini berbentuk segi lapan (octagon), agak unik. Di luar nanti kita akan tengok senibina candi Bukit Pendiat (tapak 16) yang dibina semula dan dipindahkan ke kawasan muzium ini.

Antara koleksi arkeologi yang dipamerkan.

Artifak yang dipamerkan di muzium ini membuktikan kewujudan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara dari kurun ke-2 Masihi hingga ke-14 Masihi.

Kami menghabiskan masa di dalam galeri ini selama kira-kira 30 minit. Sebenarnya masa 30 minit tak mencukupi untuk kita membelek dari satu artifak ke satu artifak dan memahami fakta sejarah, tapi kami tak boleh berlama-lama. Nak melawat bahagian luar pulak - binaan candi.

Catatan seterusnya...melihat tinggalan senibina empat buah candi.






.

Wednesday 4 November 2020

Kupang dan Ketam Dari Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Kedah

Hari Sabtu lalu, suami beli kupang dan ketam di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Kedah. Dah lama suami teringin nak ke sini, tapi baru kali ini berkesempatan.

Hasil pembelian - kupang dan ketam bunga yang masih hidup. Rupanya penjual tak sediakan plastik, makanya ambil dan guna beg Ikea yang ada di kereta. Kemudian letak dalam bekas plastik yang memang sentiasa ada dalam kereta.

Harganya? Suami beli kupang 5kg dengan harga RM4/kg dan ketam bunga 2kg dengan harga RM28/kg. Harga tak tetap, lagi banyak beli lagi murah. Tapi ni pun rasanya dah cukup murah untuk hasil laut yang segar.

KUPANG CICAH AIR ASAM TO’KI
Kerja membersihkan kupang dan ketam tadi semuanya dibuat oleh suami. Kerja merebus kupang dan memasak kupang rebus/ketam barulah saya pulak yang buat.

Sebahagian kupang rebus yang dah dikeluarkan dari cengkerang. Terus makan cicah air asam. Memang sedap sangat! Gandingan kupang segar dan air asam To’ki memang membuat kami berdua jadi laju makan 😋

Inilah air asam To’ki yang kami beli semasa makan di kedai Lemang To’ki, Bentong. Harganya RM6.

Tadi dah puas makan cicah air asam, yang ni simpan dalam peti sejuk beku untuk masakan lain.

Makan kupang ni sebenarnya agak nostalgia bagi saya. Masa kecil dulu, keluarga saya di Pontian memang biasa makan kupang. Kupang direbus dan makan ramai-ramai cicah sos cili. Selepas itu (menetap di luar Johor), agak susah nak jumpa orang jual kupang.

Monday 2 November 2020

Pengalaman Beli Pokok Hidup Secara ‘Online’

Pada awalnya saya memang tak mau membeli pokok hidup secara online. Bimbang pokok yang diterima tak seperti yang saya jangkakan. Tapi akhirnya saya beranikan diri mencuba sebab ianya lebih mudah, tak perlu saya keluar rumah mencari nurseri.

Untuk mengurangkan risiko pembelian secara online, saya memilih untuk membeli di Shopee. Mula-mula saya pilih jenis pokok yang saya idamkan. Kemudian saya pilih seller yang berada di Pulau Pinang, ini untuk mengurangkan risiko pokok rosak atau mati dalam penghantaran. Saya menjangkakan pokok akan sampai dalam masa sehari dua saja sebab pergerakan dalam negeri yang sama. Sebelum buat pembelian, saya chat dengan seller berkenaan hari pengeposan.

Saya buat pembelian pada hari Rabu (malam) dan pada hari Jumaat (petang) bungkusan pokok hidup selamat sampai ke tangan saya melalui perkhidmatan kurier J&T. 

Berdebar buka kotak. Bimbang kot ada sebarang masalah.

Keluarkan dari kotak dan buka pembalut setiap pokok dengan berhati-hati. Saya beli tiga jenis pokok, ni cuma ada dua. Ada satu jenis yang seller tak pos. Terus chat dengan seller masalah ni.

Alhamdulillah...kedua-dua pokok idaman saya diterima dalam keadaaan memuaskan. Pothos N’joy harganya RM9 dan Sansevieria Moonshine harganya RM15. Berdasarkan carian, ini harga terbaik saya dapat (untuk kategori seller di PP dan ada stok kedua-dua pokok ni).

Pokok ke-3 iaitu Sweetheart Hoya Kerri Single Leaf sampai dua hari kemudian. Saya beli satu je, tapi yang sampai dua! Seller beri satu lagi secara percuma sebagai tanda maaf atas kesilapan. Yeayy...Alhamdulillah rezeki! Harga pokok ni RM4.90, tapi sebab beli add-on dengan pokok lain dapatlah harga RM4 je. Bukanlah pokok idaman, tapi beli sebab ia comel!

Alhamdulillah...pengalaman pertama yang menyenangkan. Semoga pokok-pokok ni hidup subur sebagai terapi mata dan jiwa saya.


Terima Kasih Blogger Dana

Sampul ‘berisi’ yang saya terima tempohari...

Datangnya daripada sahabat blogger - Dana.

Ada seutas tasbih dan dua lembar mask extender yang cantik di dalam dua sampul kecil tadi.

Mask extender tu tentu hasil sentuhan peribadi Dana sendiri. Sebab dia memang berbakat dalam kerja-kerja manik ni. Rajin dan teliti sungguh Dana.

Kebetulan, memang saya tak pernah ada mask extender yang elok gini pun. Selalunya saya guna washable mask bertali, atau kalau guna earloop mask tu saya gunakan semacam klip pada fail kertas sebagai mask extender. Asal boleh je kan...haha! Lepas ni dah boleh simpan la klip hitam keras tu. Dan kelmarin saya dah pun guna mask extender Dana yang ada kupu-kupu tu 🥰

Terima kasih Dana atas pemberian yang bermakna ni ❤️. Indah sungguh ukhuwah walau tak pernah bersua muka ni kan.