Tuesday 30 March 2021

Sambal Pecel dan Khabar Dari Seberang Tambak

 Sambal Pecel Sedap!

Sambal Pecel Nabila - campuran sambal hitam (kurang pedas) dan sambal merah (pedas).

Kalau orang Jawa, pecel tu merujuk kepada hidangan sayuran dan gorengan yang dimakan bersama kuah kacang yang ditambah cekur (emm...sedapnya! Lama tak makan).

Sambal pecel dalam gambar ni pulak merujuk kepada sambal yang biasa dihidangkan dalam set nasi pecel lele (ikan keli) atau nasi ayam penyet. Sambal ni lah yang membuatkan hidangan nasi pecel lele atau nasi ayam penyet tu sedap dan istimewa.

Sambal Pecel ni saya beli dari sebuah kedai makan di Stadium Batu Kawan - Kafe MF Malindo. Selain menjual set nasi ayam penyet, mereka jual sambal pecel ni dalam botol dengan harga RM10. Memang sedap rasa sambal ni tau! Kat rumah saya masak lauk ringkas pun jadi laju makan bila ada sambal ni. Sebelum ni dah habis 2 botol sambal pecel, kali ni terus beli 2 botol untuk persediaan bulan puasa...hehe.


Khabar Dari Seberang Tambak
Baru-baru ni saya memutuskan untuk berhenti menjual tudung dan fokus kepada satu jenis jualan saja, iaitu menjual buku. Jadinya saya padam dan ‘sorok’ akaun jualan tudung saya di Facebook dan Instagram.

Tapi rupanya ada pelanggan lama yang masih mencari. Seorang pelanggan dari negara seberang tambak menghubungi saya bertanya perihal kedai tudung saya yang dah ‘hilang’ dari Instagram. Kak J namanya, antara pelanggan yang dah lama berurusan dengan saya sejak awal saya menjual tudung. Kak J ni baik orangnya, selalu belanja saya dengan cara melebihkan duit bayaran tudung.

Kak J bukan sekadar pelanggan biasa, tapi kadang-kala kami bertukar cerita tentang suasana di negara masing-masing. Macam situasi sekarang ni, Kak J bercerita di negaranya semua wajib terima vaksin dan sekarang sudah masuk kumpulan terakhir penerima vaksin. Yelah, negara penduduk tak ramai tentulah cepat siap berbanding negara kita.

Mungkin ini perbualan WhatsApp terakhir kami, memandangkan tiada lagi urusan jual beli tudung. Sengaja saya coretkan di blog sebagai satu kenangan.


Friday 26 March 2021

Jejak Sejarah | Rumah Api Muka Head, Pulau Pinang (Bahagian 2)

Bersambung dari catatan DI SINI. Entri terakhir untuk trip ke Taman Negara Pulau Pinang pada 13 Mac lalu. 

1. Alhamdulillah akhirnya nampak papan tanda ‘WELCOME TO LIGHT HOUSE’! Fuh...rasa sangat lega dah sampai ke lokasi terakhir trip kali ni. Jam menunjukkan pukul 1.51 petang, maksudnya kami ambil masa sekitar 1 jam untuk naik ke sini. Untuk info, masa melawat Rumah Api Muka Head ni dari pukul 9 pagi - 3 petang sahaja dan masuk percuma. Ok, jom kita masuk!

2. Beginilah pemandangan bahagian hadapan bangunan yang menempatkan rumah api. Tempat ni nampak usang dan persekitarannya mungkin nampak sedikit menyeramkan. Sesuai dengan usia ia dibina, iaitu 138 tahun lampau (rumah api ini dibina pada tahun 1883).

3. Di tepi tangga batu, terdapat meja dan sebuah buku rekod pelawat. Saya asyik melihat sekeliling bangunan (sampai ke bahagian belakang), akhirnya lupa terus nak tulis kat buku rekod tu. Untuk naik ke menara rumah api pulak, kita perlu pergi ke bahagian tepi bangunan ni. Pintu depan tu tak bukak pun tau. Dan tak nampak sesiapa pun di sini selain kami berdua.

4. Kat sinilah terletaknya pintu untuk kita naik ke menara rumah api. Berbeza dengan Rumah Api Tanjung Tuan di mana pelawat tak boleh masuk, kat sini pelawat boleh naik ke menara rumah api. Tentunya ini satu pengalaman yang menarik!

5. Beginilah rupa bahagian dalam bangunan. Sebaik melangkah masuk pintu tadi, kita akan terus jumpa tangga. Sebelum naik tangga, saya jenguk belakang tangga nampak pintu ni. ‘For staff only’ tapi nampaknya bermangga. Jadinya tak pastilah masa kami datang ni ada staf jaga atau tidak.

6. Untuk ke atas, kita perlu naik tangga batu spiral ni. Nampaknya bahagian dalam ni dijaga baik. Cantik dan klasik dinding menara ini  yang dibina daripada batuan granit putih. 

7. Mengintai dari tingkap menara.

8. Selepas habis mendaki anak tangga batu berpusing tadi, kita kena panjat tangga kayu pulak untuk sampai kat atas ni. Masa panjat tangga kayu tu, saya rasa gayat sikit. Gambar tangga kayu tak ada.

9. Sampai je kat atas ni kita akan terus nampak pintu untuk ke bahagian luar menara dan tangga di sebelah kanan untuk naik ke pelantar atas tu. Tertera ‘No Entry’, kalau boleh naik pun memang tak berani la saya nak naik.

10. Bahagian dinding menara. 

11. Lagi gambar tangga naik ke pelantar. Tangga kayu kat bawah tu.

12. Kita dongak kepala, nampak pemandangan gini.

13. Pandangan dari sudut berbeza. Ok, jom kita ke bahagian luar pulak.

14. Pemandangan indah terbentang di depan mata. Masya Allah, terpukau seketika! Beginilah pemandangan dari menara Rumah Api Muka Head yang berada di kedudukan 242 meter dari aras laut. Kat bawah tu nampaklah pintu pagar kita masuk awal tadi. Bila pandang bawah, aduhai...saya rasa kecut perut pulak. Mungkin sebab saya rasa seram tengok cuma besi begini, rasa tak selamat.

15. Berhati-hati bila kita kat luar ni tau, ruangan kecik dengan penghadang besi. Suami saya ok je, berjalan memerhati sekitar dan akhirnya duduk berehat di situ. Saya rasa seram, cukuplah memerhati dari pintu je...haha!

Walaupun cuaca panas terik, tapi angin kat atas ni bertiup nyaman. Kami berehat seketika sambil mata melayan keindahan alam ciptaan Allah. Kami juga disajikan dengan ‘persembahan’ oleh burung-burung berbeza spesis yang melayang-layang di udara. Ada yang bersaiz besar (mungkin burung helang), sangat cantik melayang menampakkan bahagian bawah sayapnya berwarna hitam, putih dan merah oren. Kalaulah ada binokular...

Kami kemudiannya mulai beredar bila ada seorang pengunjung tiba di sini. Kita kasi peluang pengunjung lain pulak nak melayan keindahan dari menara rumah api ni.

———————————————————-

Kalau masa naik tadi kami ambil masa sekitar 1 jam, untuk perjalanan turun kami cuma ambil masa 30 minit. Bila laluan bertangga je semua memang susah nak perlahankan langkah, jadi terlaju turun. Kesannya, betis dan pergelangan kaki sakit selama beberapa hari lepas trip ni.

Masa kami sampai kembali di pantai, orang bot dah sedia menanti. Nampaknya tadi bot tak beredar lepas hantar kami. Kalau ikutkan, kami kena telefon untuk bot datang ambil. Sempat melepas lelah kejap, kami terus naik bot untuk kembali ke jeti Teluk Bahang. Seronok dapat merasa naik bot, walaupun cuma mengambil masa kurang dari 15 minit.

Alhamdulillah selesai trip kali ni dengan catatan masa keseluruhan sekitar 4 1/2 jam. Terus pergi ke kereta ambil beg keperluan. Mandi, tukar pakaian dan solat Zohor di bangunan Taman Negara Pulau Pinang.



Wednesday 24 March 2021

Jejak Sejarah | Rumah Api Muka Head, Pulau Pinang (Bahagian 1)

Catatan ini merupakan sambungan kisah di DI SINI. Maaf kalau bosan baca catatan trip ke Taman Negara Pulau Pinang yang tak habis-habis ni 😅. Insya Allah lagi satu entri, habislah. Saya catatkan dengan agak terperinci sebagai satu kenangan dan rujukan sendiri pada masa akan datang. Sekarang ni pulak dah malas nak print gambar atau buat photobook, maka blog la jadi mangsa.

Ok, terus kepada catatan kali ini. 

Kami tiba di bahagian hujung pantai Teluk Duyung (Monkey Beach), di sinilah terletaknya laluan menuju ke Rumah Api Muka Head. Berdasarkan batu tanda yang ada kat permulaan laluan tu, jarak laluan adalah sejauh 1233 meter. Catatan masa bermula pada pukul 12.48 tengah hari.

Baca info dulu. Rumah api diuruskan oleh Jabatan Laut Malaysia. Dibina pada tahun 1883. Tengok nama tempat tertera Teluk Pahang. Mungkin itu nama lama bagi Teluk Bahang ni. Tapi kenapa nama rumah api ni Muka Head?

Inilah laluan ke rumah api. Perlu mendaki anak tangga.

Di sepanjang laluan terdapat batu tanda jarak dan aras kita berada. Macam sekarang ni masih ada 900 meter untuk kami meneruskan perjalanan.

Terus-menerus layan tangga. Sesekali kita akan jumpa pondok rehat yang nampak dah tak selamat untuk digunakan. Saya juga nampak ada binaan batu macam rumah kecil di sebalik rimbunan pokok. Entah apa sejarahnya.

Tiba di satu laluan, mata terpandang tulisan pada batu besar ni. Tertera tulisan ‘AWAS AULAR’. Siap lukisan gambar ular. Terus saya rasa sedikit seram, mata melilau pandang sekeliling sambil berjalan laju melewati kawasan ni. 

Walaupun penat mental dan fizikal, bab ambik gambar saya masih gigih...hehe. Pemandangan yang indah di mata saya.

Laluan yang mencabar bagi saya. Sebab hampir keseluruhan laluan kita perlu mendaki anak tangga. Kaki saya terasa berat. Entah berapa banyak kali saya berhenti bagi melegakan kaki. Melangkah pun makin lama makin perlahan. Ditambah pulak masa ni tengah hari, waktu biasanya berehat dan makan tengahari. Syukur jugak dalam hutan taklah panas dan angin bertiup lembut. Sebagai meningkatkan motivasi, suami selalu la baca batu tanda yang ada tu dan bagitau tinggal sekian-sekian meter je lagi!

Mampukah saya sampai ke Rumah Api Muka Head? Bersambung...


Sunday 21 March 2021

Selamat Hari Hutan Antarabangsa 2021



Hari ni merupakan Hari Hutan Antarabangsa. Hutan sememangnya menjadi kecintaan saya sejak dari dulu. Segala rasa marah, tertekan atau apa-apalah yang tak menyenangkan, akan hilang sebaik saja saya dapat menikmati keindahan hutan dan bunyi orkestra hutan. Atau sekurang-kurangnya duduk di dalam kereta yang dipandu melalui jalan dengan pemandangan hutan di kanan dan kiri. Hutan tau, belukar tak minat...hehe.

Kalau diperingkat lebih tinggi, antara topik utama sempena Hari Hutan Antarabangsa adalah bagaimana nak menjamin pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan lestari. Tapi bagi peringkat individu dan masyarakat, bagi pendapat saya cukuplah untuk kita memupuk kesedaran tentang pentingnya kita bersama-sama menjaga kebersihan hutan. 

Antara perkara yang sangat mengganggu saya bila masuk hutan adalah bila ternampak perkara-perkara seperti berikut :

Dah la masuk hutan Taman Negara pun masih nak hisap rokok, kau campak pulak puntung rokok ke lantai hutan! Memang rasa nak tegur je lelaki tersebut, tapi suami menghalang. Mereka berkumpulan, kami cuma berdua.

Ni tambahan jenis sampah sejak wabak COVID-19 melanda. Mungkin tercicir. Apa pun sebabnya, ia tetap bernama sampah bila terbuang begini.

Kemudahan pondok di hutan selalu menjadi mangsa orang-orang yang masuk hutan mungkin sekadar untuk berbangga atau suka-suka. Maka sibuklah mengukir nama di tiang pondok, di bumbung pondok pun ada! Pantang ada tiang, papan tanda, batu...semua pun nak diconteng.

Sampah lain yang paling biasa saya temui, tentunya botol plastik minuman. Setiap orang yang masuk hutan sememangnya akan bawa air minuman. Masalahnya, pandai bawa masuk tapi tak pandai bawa keluar.

Saya cadangkan, setiap orang yang nak masuk hutan bawalah beg masing-masing. Boleh isi semula sampah botol minuman juga bekas makanan dan mudah nak simpan elok-elok pelitup muka tu. Tak kiralah walau nak mendaki bukit rendah, asalkan masuk hutan bawa ajelah beg. Banyak kali saya jumpa pengunjung masuk hutan cuma bawa badan dan sebotol plastik minuman di tangan. Tak salah, cuma kebarangkalian tinggi untuk membuang botol tu merata lepas habis isinya.

Saya juga cadangkan, setiap orang yang nak masuk hutan gunalah botol minuman yang boleh diguna semula. Sekali beli boleh pakai berkali-kali, tak buang merata-rata. Begitu juga dengan pelitup muka, bila pakai jenis boleh guna semula ni kita akan jaga elok-elok.

Cadangan saya lagi, kita sama-sama ingatkan kepada anak atau ahli keluarga yang nak masuk hutan supaya tahu cara menjaga kebersihan hutan. Masuk hutan dengan niat nak menikmati alam semulajadi ciptaan Allah. Kalau niat dah betul, insyaAllah tak berlaku masalah seperti yang saya nyatakan di atas tu.


Take nothing but memories, leave nothing but footprints.


Thursday 18 March 2021

Pantai Teluk Duyung (Monkey Beach), Pulau Pinang

Sabtu | 13.03.2021
...bersambung dari catatan sebelum ini DI SINI.

Bot yang kami naiki dari Teluk Aling tiba di lokasi D - pantai Teluk Duyung sekitar pukul 12.37 tengah hari. Di sini tiada jeti. Jadinya kami perlu menuruni anak tangga besi di bahagian sisi bot untuk ke daratan.
[Info] Pantai Teluk Duyung juga lebih dikenali sebagai Monkey Beach. Di pantai ini pengunjung dibenarkan berkhemah tanpa sebarang bayaran. Cara untuk ke sini, sama ada melalui rentis hutan sejauh kira-kira 3 km dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang atau melalui jalan laut (sewa bot pelancong). Rentis hutan dari Teluk Aling ke Teluk Duyung buat masa sekarang ditutup atas faktor keselamatan (board walk rosak). Jadinya, satu-satunya cara ke sini buat masa sekarang adalah dengan menyewa bot pelancong.
 
Masya Allah cantik sungguh pantai Teluk Duyung ni, sama macam pantai Teluk Aling. Pasir memutih, air laut hijau kebiruan. Sungguh memukau pandangan mata saya. 

Pantai Teluk Duyung ni agak panjang. Mudahlah bagi pengunjung nak berkelah atau berkhemah. Menurut kata orang bot yang membawa kami tadi, pantai ni lengang sejak wabak COVID-19 melanda. Seperti yang kami saksikan hari ini, suasana tenang tanpa keriuhan pengunjung. Cuma ada beberapa kumpulan kecil sedang berkelah dan bermain-main di gigi air. Secara peribadi, memang ini yang saya suka. Tenang! Tapi kalau kita tengok dari sudut pandang orang-orang yang bergantung hasil daripada industri pelancongan di sini, tentulah ini perkara yang menyedihkan. Mereka kehilangan punca pendapatan.

Di sepanjang pantai ini terdapat deretan gerai yang terbiar sepi. Tak ada yang beroperasi. Nampak juga kemudahan tandas, tapi saya tak cuba masuk. 

Tak pasti ni apa, nampak macam rumah kecil yang dah tak berpenghuni. Di pantai ni juga saya nampak ada beberapa chalet penginapan, semuanya terbiar sepi. Selain itu, ada juga kumpulan kecil yang nampaknya memang tinggal di sini. Bukan berkhemah suka-suka. Ada pondok kecil, khemah dan ruangan dapur terbuka.

Obor-obor ke ni? Saya jumpa beberapa seperti ni. Ni saiz besar dan ada yang saiz lebih kecil. Kalau ni obor-obor, maksudnya pantai ni tak sesuai untuk aktiviti mandi laut.

Berbalik kepada tujuan kedatangan kami ke Teluk Duyung ni, bukanlah nak berkelah di tepi pantai sambil menikmati pemandangan indah. Tapi kami nak ke lokasi E - Rumah Api Muka Head. Orang bot bagitau kami, nampak pokok besar ni terus lagi sampai hujung akan jumpa jalan untuk ke rumah api tersebut.

Perjalanan diteruskan untuk ke lokasi terakhir trip kami kali ini. Sekali lagi kami akan masuk ke hutan dan mendaki untuk menjejak sejarah binaan 138 tahun lampau! Tongah haghi tongah paneh...memang pendakian yang menguji mental dan fizikal saya!


Tamat catatan pengalaman saya di pantai Teluk Duyung (Monkey Beach). Bersambung catatan lokasi seterusnya...







Monday 15 March 2021

Taman Negara Pulau Pinang | Rentis Ke Teluk Aling

Sabtu | 13.03.2021
Alhamdulillah pada 5 Mac lalu, sempadan daerah dah pun di buka semula. Dapatlah saya kembali menikmati keindahan hutan, kembali bermesra dengan alam!

Destinasi rekreasi pertama saya untuk tahun 2021 - Taman Negara Pulau Pinang, Teluk Bahang. Kunjungan pertama pada tahun lepas juga selepas PKP, dan kali ini sekali lagi selepas PKP 2.0 pulak. Tapi kali ini saya akan lalu rentis berbeza. (Trip sebelum ni saya ke Pantai Kerachut, boleh baca DI SINI).

Macam biasa, saya cuma berdua dengan suami. Kali ni kami lewat keluar rumah, perjalanan dari rumah nak ke Teluk Bahang ni mengambil masa sekitar 1 jam. Ada sekatan jalan raya masa nak masuk bahagian pulau, sedikit sesak tapi tak lama. Bila sampai di Taman Negara Pulau Pinang, parkir dah penuh. Pusing cari di bahagian lain, dapatlah parkir di kawasan bangunan Hab Pengumpulan dan Pengedaran Ikan, LKIM. Caj RM5 dikenakan oleh seorang lelaki yang sebelum tu melambai-lambai kereta kami supaya parkir di tempatnya. Takpelah bayar, lebih selamat berbanding parkir sebarangan di tepi jalan.

1. Notis di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Pendaftaran akhir kalau masuk untuk aktiviti mendaki/merentas hutan adalah pada pukul 2 petang. Kalau nak naik bot, lepas pukul 2 masih boleh.

2. Lepas mendaftar (imbas kod QR), kita akan melalui kaunter jualan tiket bot yang dikendalikan oleh persatuan bot pelancong. Yang ni pilihan, kalau tak nak penat sangat bolehlah masa pergi merentas laluan hutan dan baliknya naik bot. Atau tak mau merentas hutan, terus je naik bot ke pantai pilihan.

Kadar Caj Bot
Biasanya setiap bot boleh dinaiki 10 orang. Tapi disebabkan SOP COVID-19, sekarang cuma boleh naik 5 orang je. Kadar caj dikira untuk satu bot, bukan per orang. Jadinya kalau naik sorang pun tetap kena bayar untuk satu bot.

Kat sini saya sertakan kadar caj bot seperti yang dimaklumkan oleh penjual tiket untuk rujukan akan datang :

•Dari Pantai Kerachut balik ke Teluk Bahang : RM100/bot
•Dari Pantai Kerachut - singgah Monkey Beach - Teluk Bahang : RM120/bot
*perlu tetapkan masa untuk bot datang ambil di Pantai Kerachut, sebab situ tak ada line telefon/internet untuk buat panggilan.
•Dari Teluk Bahang - Monkey Beach - Teluk Bahang : RM100/bot
*buat masa sekarang akses ke Monkey Beach hanya melalui jalan laut, rentis hutan ditutup atas faktor keselamatan.

3. Laluan kami kali ni : Dari pintu masuk ➡️ A (Pasir Pandak) ➡️ B (Sungai Tukun) ➡️ C (Teluk Aling/USM CEMAC) ➡️ D (Teluk Duyung/Monkey Beach) ➡️ E (Rumah Api Muka Head).

Kami perlu menaiki bot dari C ke D dan dari D balik ke Teluk Bahang disebabkan rentis hutan ke/dari D ditutup. Kos bot kami RM90. Ya, walaupun cuma berdua sebab caj kira satu bot. Mula-mula rasa nak tukar rancangan, pergi ke tempat yang tak perlu bot. Tapi lepas berbincang laki bini, kami akhirnya setuju. Takpelah...naik bot boleh ambil pengalaman berbeza, sambil bantu merancakkan industri pelancongan yang suram dek wabak. Lagi pulak rasanya memang tak larat la nak merentas hutan pergi dan balik A ↔️ E kalau pun rentis ke/dari D tu boleh dilalui. Nak kena naik bot jugak. Haha!


Rentis Ke Teluk Aling (USM CEMAC)

4. Perjalanan dari pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang bermula sekitar pukul 11.10 pagi. Dah nak tengah hari baru masuk hutan...tak pernah kami buat sebelum ni. Huh!

5. Melepasi lokasi A - jambatan Pasir Pandak, laluan akan berpecah dua. Jika pada trip sebelum ini kami ke kiri (Pantai Kerachut), kali ini kami akan ambil laluan ke kanan pulak untuk ke Teluk Aling (USM CEMAC).

6. Laluan bermula dengan mendaki anak-anak tangga batu begini. Perjalanan akan menyusuri pantai/laut di sebelah kanan tu. Seronok melayan bunyi ombak dan pemandangan lautan.

7. Kami tiba di lokasi B - jambatan Sungai Tukun. Pemandangan kat sini pun menarik.

8. Masih di lokasi B tadi, nampaknya suatu masa dulu ada jeti di sini.

9. Pemandangan di bawah jambatan Sungai Tukun tadi. Sungai Tukun la agaknya ni.

10. Selepas jambatan tadi, sekali lagi laluan berpecah dua. Kami ambil ke kanan untuk ke Teluk Aling (USM CEMAC). Kat belakang tu ada sebuah pondok yang hampir rebah, tertera tulisan ‘Pos Kawalan Sungai Tukun’.

11. Laluan di sini jelas. Hampir keseluruhan laluan kita akan melalui tangga batu/kayu atau platform kayu/besi. Cuma perlu berhati-hati melangkah pada bahagian kayu/besi sebab ada yang dah rosak. Sepanjang perjalanan juga saya nampak kabel, tiang letrik dan paip poly. Pastinya untuk membekalkan air dan elektrik ke USM CEMAC di Teluk Aling.

12. Sesekali kita akan berjalan di laluan begini, saya lebih suka begini. Terasa suasana hutan.

13. Pokok yang menarik perhatian saya disebabkan warna kulitnya kemerahan. Teringat saya pada keindahan Red Forest. Sewaktu saya membelek kulit pokok ni, terpandang pulak ada macam besi paip atau ntah besi apa tertanam di batang pokok bahagian atas (lihat gambar kecil).

14. Jumpa penanda Monkey Beach 2km. Cantik warna dedaun kering kat lantai hutan ni.
 
15. Alhamdulillah...kami sampai jua di lokasi C - pantai Teluk Aling pada pukul 11.55 pagi. Catatan masa 45 minit. Masya Allah cantik sungguh pemandangan kat sini! Pantai Teluk Aling ni lebih dikenali sebagai pantai USM sebab adanya pusat penyelidikan USM - CEMAC (Centre for Marine and Coastal Studies). Sebab tu jugak ada jeti elok tu.

16. Air lautnya hijau kebiruan dan jernih. Tenang rasa.

Kat tepi pantai ni jugak kami ternampak monyet entah spesis apa - badan berwarna kehitaman, ada macam rambut putih di kepala dan berwarna putih di bahagian mulut serta mata. Saiz agak besar, tapi tak ganggu kami pun. Sibuk makan atas pokok tu. Comel rupa monyet ni. Ada yang tau spesis apa?

17. Kami berjalan hingga hampir ke hujung pantai Teluk Aling dan akhirnya memilih untuk duduk melepas lelah di sini, beralaskan sebatang dahan pokok. Di belakang kami adalah bangunan USM CEMAC. Kami buka bekalan yang di bawa - air sejuk yang dicampur ORS (Oral Rehydration Salts), roti Twiggies dan coklat Ikea. Sambil makan, sambil mata melayan keindahan alam yang terbentang. Untung siapa kerja kat CEMAC ni.

18. Masa untuk meneruskan perjalanan. Sepatutnya dari Teluk Aling ni ada rentis hutan ke lokasi D - Teluk Duyung (Monkey Beach). Tapi disebabkan rentis tersebut tak boleh dilalui buat masa ni, kenalah naik bot. Suami telefon orang bot (yang dah tempah awal tadi) dan tak lama kemudian bot pun sampai. Panjang sungguh jeti ni kan.

19. Lama sungguh tak naik bot di laut. Seronok melayan gerakan bot membelah ombak dan bunyi hempasan ombak. Sesekali ada bot-bot lain lalu lalang.

20. Sekitar 5-6 minit je naik bot ni untuk ke lokasi seterusnya.

Tamat catatan rentis ke Teluk Aling. Bersambung catatan lokasi seterusnya...