Sunday 28 February 2021

Life Baggage - ‘Mari Pikul Sama-Sama’


Judul : LIFE BAGGAGE - ‘Mari Pikul Sama-Sama’
Penulis : Syaz Eym
Penerbit : Syihabudin Press
Tahun terbit : 2021
Jumlah muka surat : 251
Harga : RM30

Life Baggage merupakan buku kedua oleh penulis Syaz Eym selepas Terkaitnya Kita. Tahniah kepada Syaz Eym yang juga sahabat blogger kerana telah berjaya menghasilkan buku kedua! Terima kasih juga atas pemberian buku ini ❤️

Life Baggage merupakan kisah-kisah yang bertemakan ‘life baggage’ yang mungkin dibawa oleh setiap dari kita (menerusi watak-watak dalam buku ini). Di dalam buku ini penulis membawakan tiga kisah - Kerja Kosong, Mangsa dan Segala Tentang Dua.

Bercampur baur perasaan saya sewaktu membaca kisah Kerja Kosong. Ada unsur lucu, kasihan dan entahlah (padan muka, mungkin?) terhadap watak Shah. Yang pasti, kisah ini memberi ingatan kepada kita agar tidak bersikap mementingkan diri sendiri.


Kisah kedua - Mangsa, membacanya membuatkan saya rasa geram dengan sikap Faliq terhadap Leyha. Pengajaran daripada kisah ini, perkahwinan haruslah berdasarkan rasa percaya terhadap pasangan. Begitu juga apabila mendengar cerita buruk, jangan pernah mendengar daripada satu pihak semata.

Kisah ketiga - Segala Tentang Dua, penulis membawakan kisah yang lebih menarik dengan mengangkat isu yang lebih berat seperti perceraian sewaktu hamil dan poligami. Sebenarnya, banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada watak-watak dalam kisah ini. Terutamanya watak Hatim, seorang lelaki yang sentiasa positif dalam menghadapi hidup dan bersedia menerima sebuah perkahwinan yang tidak berlandaskan rasa cinta. Saya suka dengan pengakhiran kisah ketiga ni, puas hati! Hehe...

“...Yang membezakan setiap orang adalah cara mereka membawa life baggage itu. Sama ada menjadikan life baggage itu sesuatu yang sangat perlu dititikberatkan, atau jadikan dia sekadar hand luggage yang boleh dijinjit sahaja. Paling tidak, jika terasa life baggage itu terlalu berat dan membebankan, mungkin awak boleh cari seseorang untuk mengangkatnya bersama?” - Hatim

Life Baggage...bacaan santai yang menghiburkan namun banyak pengajaran. Bagi yang nak mendapatkan buku ini, boleh terus klik DI SINI.

 

Wednesday 24 February 2021

Pengalaman Kali Pertama Menjadi Pembaca Pruf


Sebenarnya ni kisah awal tahun lepas, lebih tepat lagi ia berlaku pada awal bulan Februari 2020. Masa tu saya memang sedang mencari-cari kursus dan/atau kerja berkaitan penulisan/perbukuan. Saya nak mencuba perkara baru (lepas tinggalkan kerja menjadi reseller tudung), selain memang minat terhadap buku. Langkah pertama, saya jadi ejen dropship di sebuah syarikat penerbitan buku.

Pembaca Pruf
Kebetulan, masa tu mereka perlukan dengan kadar segera seorang pembaca pruf (mungkin untuk semakan awal, bukan sebagai pembaca pruf utama tentunya). Apa lagi...sebaik je baca iklan tersebut di grup ejen, cepat-cepat saya hantar permohonan. Antara kriteria diperlukan - mahir bahasa Melayu, biasa membaca dan menulis di dalam bahasa Melayu. 

Alhamdulillah...saya diberi peluang tersebut. Satu cabaran besar sebab saya tak ada pengalaman. Ringkasnya, tugas sebagai pembaca pruf adalah membuat semakan dan pembetulan jika terdapat kesilapan seperti ejaan, tatabahasa dan tanda baca.

[pruf] | ڤروف. Definisi : salinan percubaan bagi sesuatu bahan yg dicetak. (Kamus Pelajar Edisi Kedua). 

Ibarat Mengulangkaji Pelajaran Bahasa Melayu Semula
Saya diberi masa beberapa hari je untuk menyiapkan tugasan pembaca pruf sebuah manuskrip hampir 200 muka surat. Manuskrip diberi dalam bentuk PDF. Ya...itulah hari-hari yang sangat menguji mental dan fizikal saya. Saya banyak belajar ejaan yang betul dengan membuat carian di laman prpm.dbp dan belajar tatabahasa dengan merujuk artikel berkaitan di internet. Dari awal pagi sehingga ke lewat malam saya menekuni manuskrip di skrin laptop, sampai sakit kepala. Haha...nak sangat merasa kerja pembaca pruf kan? Manuskrip tu pulak bukan cukup dibaca sekali. Baca kali kedua...eh, ada lagi kesilapan yang terlepas pandang. Bukan kerja mudah.

Terima Bayaran
Bab bayaran ni, sebenarnya pihak syarikat penerbitan dah hubungi saya menerusi WhatsApp sejak bulan Julai tahun lepas. Tapi lepas tu senyap dan saya pun akhirnya terlupa. Sehinggalah baru-baru ni saya teringat kembali bila buku yang saya buat bacaan pruf tersebut mula diterbitkan.

Saya terus mesej kembali bertanyakan hal upah tugasan saya. Lepas semakan dibuat, pihak syarikat memohon maaf kerana dah terlepas pandang begitu lama. Semalam petang jugak mereka buat bayaran. Dapatlah saya upah dengan kadar yang telah dijanjikan (RM2 untuk satu muka surat). Alhamdulillah! Upah pertama saya sebagai pembaca pruf! Terima kasih Allah atas rezeki dan pengalaman ini.

Saya catat di sini untuk rujukan masa akan datang. Entah bila akan dapat tugasan begini lagi kan...hehe.


Friday 19 February 2021

Difret | Kisah Perjuangan Menuntut Keadilan dan Hak



DIFRET, sebuah filem dari Ethiopia yang mengangkat kisah perjuangan menuntut keadilan serta hak wanita dan kanak-kanak yang tertindas . Filem yang diterbitkan pada tahun 2014 ini digarap berdasarkan kisah benar.

Adat Yang Menindas, Undang-Undang Yang Tidak Adil
Difret mengisahkan Hirut, seorang budak perempuan berusia 14 tahun yang telah diculik sewaktu dia dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tujuan penculikan adalah untuk berkahwin secara paksa (adat masyarakat setempat membenarkan lelaki menculik gadis yang ingin dikahwini). Tetapi Hirut tidak berminat untuk berkahwin di usia muda (perkahwinan kanak-kanak), sebaliknya bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.

Lebih tragis, pada malam penculikan tersebut Hirut juga telah dirogol oleh lelaki yang menculiknya. Hirut kemudiannya telah membunuh lelaki tersebut sewaktu dia sedang dalam usaha melarikan diri. Hirut kemudiannya menghadapi tuduhan di mahkamah kerana melakukan jenayah pembunuhan.

Nasib malang Hirut mendapat perhatian dan pembelaan oleh seorang peguam wanita bernama Meaza melalui organisasinya, Andinet Women Lawyers Association. Pelbagai usaha dilakukan Meaza untuk mengubah keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Hirut. Apakah pengakhiran kisah ini? Pengakhiran yang membuatkan saya turut sama mengalirkan air mata!

Rentetan daripada kes ini, undang-undang menetapkan bahawa perbuatan menculik untuk berkahwin secara paksa adalah satu kesalahan dan akan dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

* * * * *

Terasa satu kepuasan bila menonton filem Difret. Kesungguhan Meaza dan keberanian Hirut juga memberi suntikan motivasi kepada semua yang sedang berjuang membebaskan diri dari penindasan lelaki. Ya, walaupun di negara kita tidaklah ada adat yang menindas wanita, tapi masih ada lelaki yang meletakkan wanita di kaki untuk dibuat sesuka hati.

Satu lagi yang saya suka bila menonton Difret ni, saya dapat melihat kehidupan dan suasana di Ethiopia. Menginsafkan.

Filem Difret ni saya tonton di YouTube je. Ada sari kata bahasa Inggeris. Filem ini juga memenangi anugerah di Sundance Film Festival dan Berlin International Film Festival pada tahun 2014. Siapa ada masa, boleh la tonton Difret ni ya.


Wednesday 17 February 2021

Ustazah Basikal Siri-2 | Berbasikal Merentasi 7 Negara Hingga Ke Arab Saudi!


Judul : USTAZAH BASIKAL - YAKIN KERANA DIA (SIRI-2)
Penulis : Ahmad Isa & Nora Adila
Penerbit : KMH Artventure
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 1,018
Harga : RM99

Saya selesai membaca buku Ustazah Basikal Siri-1 pada bulan Februari tahun lalu, dan kini pada bulan Februari 2021 saya selesai membaca buku Ustazah Basikal Siri-2 pula. Biar pun hampir setahun menunggu untuk membaca sambungan kisah pasangan suami isteri ini, rasa keterujaan saya tak pernah padam.

Buku Ustazah Basikal Siri-2 ni lebih tebal berbanding buku Ustazah Basikal Siri-1. Dalam siri kali ini pembaca dibawa mengikuti kembara berbasikal merentasi China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran dan UAE, sehinggalah tiba ke destinasi akhir iaitu Arab Saudi. Tapi di Arab Saudi mereka tidaklah berbasikal sebab tak boleh buat begitu. Oh ya, buku Siri-2 ini mereka tulis secara bersama. Hampir keseluruhan cerita oleh Ahmad Isa, manakala untuk cerita di Arab Saudi ditulis oleh ustazah Adilah (Nora Adila).

Setiap negara dengan pelbagai cerita tersendiri. Memang leka membacanya.

Ni antara cerita yang mendebarkan.

Buku Ustazah Basikal menggunakan kertas glossy, tulisan besar dan jelas. Siap ada gambar berwarna dan keterangan gambar, tu yang jadi lebih leka membelek gambar pulak. Pendek kata, saya puas hati dengan kualiti buku ni yang setanding dengan harganya.


Ok, di sini saya senaraikan 9 perkara/cerita yang menarik perhatian saya (daripada sekian banyak cerita menarik di dalam buku Ustazah Basikal ini) :

1. Mengetahui keadaan masyarakat Islam di Kyrgyzstan yang tidak mengamalkan al Quran. Mereka masih berada dalam era Post-Communism. Dijajah Rusia sejak tahun 1876, merdeka pada tahun 1991. Masyarakat Islam di sana masih bertatih mengamalkan ajaran Islam kembali. Contoh tidak mengamalkan Islam : selepas membaca doa makan, mereka boleh minum minuman keras. Pengajaran - jangan cepat menilai orang tanpa mengetahui kisah hidup mereka.

2. Sewaktu kayuhan Ahmad dan Adilah menuju ke sempadan Kazakhstan - Uzbekistan, mereka mengalami kesejukan melampau sehingga menggigil (pada masa tersebut musim salji). Di saat mereka hampir tak mampu nak teruskan kayuhan (sehinggakan Adilah turun dari basikal dan hanya mampu menolak basikal je), ketika itulah mereka dipertemukan dengan sekumpulan pekerja di jalanan yang menghulurkan bungkusan nasi, sup panas dan teh panas. AllahuAkbar. Pertolongan Allah datang melalui insan yang tak pernah mereka kenali.

3. Kisah penemuan makam Imam Bukhari di Uzbekistan adalah atas jasa presiden Indonesia - Sukarno.

4. Uzbekistan menyimpan banyak kesan sejarah - makam Imam Bukhari, makam Gur-e-Amir (Amir Timur atau Tamerlane), muzium Ulugh Beg, telaga Nabi Ayub AS, Citadel Ark, menara Kalyan. Ya, sesekali kita perlu ‘menoleh’ ke belakang untuk memahami apa yang berlaku pada hari ini.

5. Di Afghanistan, Ahmad & Adilah dijamu chai (teh) dan karayi (sejenis masakan berasaskan telur) oleh penduduk tempatan. Walaupun kelihatan hidupnya serba kekurangan - tinggal dalam bangunan yang sudah tidak gunakan, hanya beralaskan karpet (ia adalah keperluan untuk negara dengan cuaca sejuk) dan peralatan memasak yang minima, namun masih tetap mahu meraikan tetamu. Siap menolak pemberian wang. Pengajaran - kita tak perlu menjadi kaya untuk memberi dan membahagiakan orang lain.

6. Taliban yang kita tahu menerusi media massa, bukanlah Taliban sebenar. Penduduk Afghanistan menceritakan Taliban yang sebenar adalah kumpulan orang baik, tetapi penjenayah yang melakukan kekejaman itu mengaku sebagai Taliban. Lebih menarik, Ahmad & Adilah juga pernah bermalam di tempat kumpulan Taliban. Pengajaran - jangan cepat menerima dan menilai sesuatu hanya dengan mendengar dari sebelah pihak saja.

7. Tiada permusuhan mahu pun pembunuhan orang Sunni oleh orang Syiah di Iran. Sekali lagi, media massa membawa cerita yang tidak benar (mungkin ada agenda tertentu oleh pihak yang memburuk-burukkan Iran). Malah, Ahmad & Adilah dijemput makan oleh satu keluarga yang mana suaminya Syiah dan isterinya Sunni. Ini bukti kukuh Syiah dan Sunni di Iran hidup sejahtera, tiada penindasan terhadap orang Sunni. (Peringatan : Ini bukan satu promosi untuk Syiah, tetapi sekadar menyatakan kebenaran apa yang berlaku di Iran.)

8. Hebatnya kuasa naluri seorang ibu. Sewaktu di Iran, Ahmad mengalami kemalangan dan tak memberitahu ibunya (tak mahu ibu susah hati). Tetapi naluri ibu dapat mengesan perkara buruk terjadi kepada anaknya dan segera menghubungi Ahmad.

9. Terasa sebak sewaktu Adilah menceritakan detik tawaf pertamanya. Saya selaku orang yang belum pernah ke tanah suci, mampu membayangkan dan terasa seakan turut berada di sana melalui penceritaan yang terperinci oleh Adilah. Keinginan ke sana jadi melonjak tinggi. Semoga ada rezeki saya dan semua yang bercita-cita sama untuk segera mendapat jemputan Allah.


Suami, Isteri Hebat dan Sebuah Kembara Hebat
Alhamdulillah...selesai ‘pengembaraan’ saya bersama Ustazah Basikal. Saya cukup kagum dengan semangat Ahmad dan Adilah. Ahmad, seorang suami yang selalu meraikan isterinya (termasuklah perancangan berbasikal ke Mekah adalah kerana memenuhi impian Adilah nak menjejakkan kaki ke Mekah). Adilah, seorang isteri yang taat (mematuhi suaminya selaku ketua kembara) dan berjiwa kental. Adilah juga membuktikan kepada kita bahawa berpakaian patuh syariat tidak membataskan seorang perempuan untuk melakukan kayuhan.

Banyak teladan baik yang boleh kita ambil daripada mereka, antaranya amalan membaca surah Yasin dan membetulkan niat pada setiap pagi, juga meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada kuasa Allah dengan cara mengingati Allah dan bermohon kepada-Nya.

Ustazah Basikal...bahan bacaan yang baik dan sesuai untuk seisi keluarga. Sebuah kisah kembara yang membangun jiwa. Kisah mereka juga boleh kita ikuti di YouTube : Ahmad Isa.



Thursday 4 February 2021

Hyacinth

Baru-baru ni saya dan suami ke IKEA mencari meja dan kerusi untuk kemudahan suami bekerja dari rumah. Masa lalu di bahagian pokok hidup, mata terpandang si cantik ni...

Si cantik bernama HYACINTH (Hyacinthus). Bawang (bulb) pokok ni saya tengok memang macam rupa bawang biasa. Hyacinth ni bukan saja cantik tau, malah berbau wangi. Pakai mask tak menghalang saya menikmati keharumannya. Harganya? RM19.90.

Yang ni pulak ada 3 bawang dalam satu pasu. Tak perasan berapa harganya. Yang RM19.90 tu pun berkira nak membeli, yang ni memang membelek jelah kan...haha. Memang seronok, dapat jugak saya tengok Hyacinth depan mata. Selama ni mampu tengok gambarnya je.

Lama jugak saya membelek Hyacinth ni, menikmati kecantikannya dan keharumannya sambil berfikir-fikir nak beli ke tak...nak beli ke tak ni? Tengok saya lama sangat terpaku kat bahagian ni, suami suruh ambil satu.

Tapi akhirnya saya tak ambil pun, mengenangkan saya baru je menyebabkan kematian beberapa pokok kaktus. Hyacinth ni lebih mahal, tak sanggup membayangkan kematiannya. Agak-agak kalau beberapa hari ni terkenang-kenang, barulah kita datang lagi sini membeli ya. Hehe!

Ada yang pernah cuba tanam Hyacinth ni?