Thursday 30 November 2023

Catatan November | Semakin Jauh ke Utara

Catatan pertama saya pada hari terakhir bulan November. Lebih 30 hari tanpa entri blog dek kesibukan menguruskan proses berpindah ke tempat baru yang membuatkan mental dan fizikal saya cukup letih! Walaupun ini bukan kali pertama saya dan Encik Suami berpindah negeri, tetapi situasi kali ini berbeza - kami tidak mempunyai cukup masa untuk melakukan persediaan berpindah.


BERHIJRAH KE NEGERI PALING UTARA DI SEMENANJUNG MALAYSIA
Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran saya, bahawa takdir akan membawa saya dan Encik Suami (kami berdua anak kelahiran Johor - negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia) untuk menetap di sebuah negeri paling utara di Semenanjung Malaysia dan negeri paling kecil di Malaysia 😀

Imbas kembali tarikh 1 November | waktu pagi kami masih berada di Rumah NS (Encik Suami ada urusan kerja di KL), petangnya kami balik ke Rumah PP (berkemas dan angkut sebahagian barang) dan waktu malam sekitar pukul 10.40 malam kami tiba di kediaman baru di Perlis.

Alhamdulillah selamat semuanya walaupun badan sangat letih. Tak pernah kami buat, pindah masuk rumah untuk hari pertama pada waktu lewat malam 😅

Khamis, 2 November 2023 | 7.24 pagi
Foto pagi pertama saya di bumi Perlis, matahari bersinar indah! Seronok rasa dapat menikmati pemandangan begini, kalau di Rumah NS dan Rumah PP saya tak berpeluang menikmati cahaya matahari terbit kerana kedudukan rumah menghadap matahari petang.

Encik Suami memulakan hari pertamanya bekerja di sini, manakala saya sendirian melakukan kerja pembersihan dan mengemas barang. Sejak hari tersebut sehinggalah detik ini, kerja-kerja tersebut masih belum selesai 😅. Tak mudah bagi saya nak menguruskan sebuah rumah besar yang dibina sekitar tahun 1980-an dan terletak dalam suasana kampung. Maklumlah, sebelum ni hampir semua rumah yang kami pindah masuk merupakan rumah dengan keluasan kecil/sederhana yang baru dibina dan kami menjadi penghuni pertama. Kali ini, banyak perkara yang saya perlu belajar biasakan diri dan terima seadanya.


SELAMAT TINGGAL RUMAH PP
Disebabkan kami tak sempat melakukan persiapan berpindah lebih awal, jadinya setiap hujung minggu di sepanjang bulan November ini kami berulang alik Perlis - Pulau Pinang (PP) untuk mengemas barang dan angkut ke Rumah Perlis.

Kami tak sewa lori sebab tak cukup masa nak kemas segala barang dan cuma sedikit barang besar (cuma peti sejuk, mesin basuh dan katil). Banyak rak IKEA sebab asalnya berpindah ke PP ni cuma sementara, jadinya rak IKEA mudah pasang & tanggal merupakan pilihan terbaik. Kami angkut segala barang dengan menggunakan kereta dan kenderaan pick-up. Kalau dikira, semuanya 7 kali kami angkut barang (termasuklah pada bulan Oktober dah mula angkut sikit barang).

Sabtu, 18 November 2023 | sekitar pukul 5 petang
Foto di atas saya rakam pada hari terakhir kami di Rumah PP. Masa ni kami dah selesai keluarkan semua barang dan rumah sedia untuk diserah kembali kepada tuan rumah. Demi nak jadi ‘penyewa dari syurga’, maka gigihlah kami bersihkan segenap sudut 😀

Pagi hari Ahad, 26 November tuan rumah datang periksa semua (termasuklah suis lampu, paip & pam tandas). Komen tuan rumah seorang lelaki berbangsa Cina, “…pandai jaga…”. Alhamdulillah kami dapat kembali semua deposit sewa rumah dan deposit kad akses. Deposit bil utiliti je masih dipegang sedikit sementara menunggu bil akan datang.

Hampir 3 tahun 6 bulan kami menetap di Pulau Pinang, walaupun belum banyak tempat sempat kami jalan-jalan tetapi sudah cukup banyak memori dan kutipan pengalaman selama di sini. Selamat tinggal Rumah PP 👋





.