Wednesday 31 January 2024

Beginilah Bila Tinggal di Sempadan Malaysia - Thailand

Perkara yang dah beberapa kali berlaku pada telefon saya -  rangkaian telekomunikasi Malaysia bertukar kepada rangkaian telekomunikasi Thailand, sedangkan saya berada di rumah (Malaysia).

Hal ini biasanya terjadi apabila saya perlu restart telefon atas dua sebab, sama ada sebab cuba mendapatkan rangkaian telekomunikasi telefon yang lebih baik atau sebab perlu update software.

Hari Ahad lalu saya update software telefon Samsung saya, muncul paparan begini selepas restart telefon. ‘Home’ merujuk waktu Malaysia dan ‘local’ merujuk waktu Thailand. Nama rangkaian pada bahagian atas kiri telefon pun dah berganti kepada AIS (rangkaian telekomunikasi Thailand).

Ni kalau tak off data roaming, boleh tinggi bil tanpa sedar.

Saya restart telefon untuk kembali ke rangkaian Malaysia. Biasanya dengan satu atau dua kali restart, semuanya akan kembali normal. Tapi kali ini dah lebih tiga kali, telefon saya masih ‘berada’ di Thailand. Terus saya belek setting telefon pulak.

Rupanya ada cara yang mudah dan pantas. Tak payah restart, cuma perlu tekan :

SETTINGS - CONNECTIONS - MOBILE NETWORKS - NETWORK OPERATORS - off SELECT AUTOMATICALLY. 

Paparan rangkaian telefon yang ada di rumah saya untuk dipilih secara manual. Empat rangkaian telekomunikasi Malaysia dan satu rangkaian telekomunikasi Thailand. Saya klik Celcom untuk ‘kembali’ ke Malaysia.

Lepas tu barulah saya on semula ‘set automatically’.

Beginilah bila tinggal di sempadan, saya masih belum sempat ke negara jiran tapi telefon saya dah ‘pergi’ dulu 😅






.

Tuesday 30 January 2024

8 Hari 7 Malam

Sejak menetap di Perlis, ini kali pertama kami meninggalkan rumah di Perlis dalam tempoh yang lama iaitu selama 8 hari 7 malam. Kami pergi pada hari Sabtu 20 Januari 2024 dan balik pada hari Sabtu 27 Januari 2024.

Selama 4 malam saya menginap di rumah NS, manakala 3 malam berikutnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

Permusafiran kali ini juga mencatat satu lagi rekod, iaitu kami berulang-alik KL-Perlis-Putrajaya dalam tempoh kurang dari 24 jam! Semuanya kerana hal di luar jangkaan berkaitan urusan kerja Encik Suami. Tiba dari KL, sempatlah kami berada di rumah Perlis kira-kira 1 jam 15 minit sahaja. Selepas itu kami kembali di jalanan menuju ke Putrajaya pula. Semoga selepas ini tak akan terjadi lagi hal yang memerlukan kami buat ‘kerja gila’ begini. Letih sungguh!

Saya sertakan beberapa foto buat kenangan dan rujukan sendiri pada masa akan datang :

24 Januari 2024 | Pemandangan malam dari jendela bilik Hotel Tamu, KL.

25 Januari 2024 | Sebelum bertolak balik ke Perlis, kami sarapan nasi lemak di Jalan Raja Muda Musa. Jalan yang terkenal sebagai syurga makanan ini nampaknya sudah berwajah baru dengan laluan pejalan kaki yang baik dan lanskap yang sedap mata memandang.

KL ke Perlis | Perjalanan mengambil masa kira-kira 7 jam 30 minit. Tiba di rumah pada pukul 5 petang dan bertolak semula menuju ke Putrajaya pada pukul 6.15 petang.

26 Januari 2024 | Suasana jalan lengang pada pukul 2 pagi di Shah Alam.

Perlis ke Putrajaya | Perjalanan mengambil masa kira-kira 8 jam 15 minit. Kami selamat tiba di The Everly Putrajaya sekitar pukul 2.30 pagi. Selesaikan itu ini, sekitar pukul 3.45 pagi baru kami dapat tidur.

Pemandangan dari jendela hotel. Mampu tengok jelah taman yang luas dan menarik untuk beriadah ni. Selepas sarapan di bawah, Encik Suami pergi kerja dan saya pula kembali ke bilik untuk memenuhi tuntutan mata yang mengantuk dan kepala yang terasa berat. Orang yang memandu kenderaan masih sihat, penumpang sebelah pulak yang lebih-lebih mengantuk siap pakej sakit kepala sebab tak cukup tidur. Hmmm…

Putrajaya ke Perlis | Petang 26 Januari tersebut kami bertolak balik ke utara. Tapi sebab dah keletihan, kami singgah bermalam di Valya Hotel Meru, Ipoh. Esok siangnya barulah kami menyambung perjalanan ke Perlis.

27 Januari 2024 | Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Perlis pada waktu petang. Hilang sikit rasa letih badan bila nampak kuntuman pertama bunga orkid! Mungkin dah berkembang beberapa hari lalu, tapi saya rekod ikut tarikh saya nampak ia buat kali pertama. Kesian daunnya berkedut dek kekurangan air. Lapan hari ditinggal tanpa siraman dan tiada curahan hujan. Agak berbeza dengan negeri lain yang sedang mengalami musim hujan, Perlis kini sedang mengalami cuaca panas dan berangin (musim angin Timur).


Permusafiran selama 8 hari 7 malam yang sangat meletihkan! Syukur ke hadrat Allah yang memberi kesihatan dan keselamatan buat kami. Bila dah sampai rumah, malam tersebut barulah macam-macam penyakit muncul. Saya mulai demam, batuk agak teruk dan sakit kepala. Alhamdulillah hari ini semakin sihat bolehlah mencatat di blog. Niat hati nak tulis pendek, eh jadi panjang jugak.






.

Tuesday 23 January 2024

Hampir 10 Tahun

Sudah beberapa hari saya berada di Rumah NS, kembali ke sini selepas kira-kira 80 hari (kali terakhir kami berada di rumah ini pada 1 November 2023). Kami bertolak dari Rumah Perlis pada hari Sabtu 20 Januari sekitar pukul 7.30 pagi dan tiba di Salak Tinggi, Sepang sekitar pukul 2.30 petang. Tak dapat nak buat kiraan masa tiba di Rumah NS sebab sebelum tu kami ada urusan di beberapa tempat di Salak Tinggi dan Nilai. Tempoh masa perjalanan 7 jam yang meletihkan tapi tetap bersyukur kerana tiada kesesakan di mana-mana jalan dan selamat tanpa sebarang masalah.

Hampir 3 bulan ditinggalkan, dedaun kering sudah berlonggok di depan pintu rumah. Kerosakan rumah juga bertambah, ada kebocoran baru di beberapa tempat. Sejak sebelum berpindah masuk, rumah ni memang dah bocor sana sini. Kerja baik pulih dah berpuluh kali dilakukan oleh pihak pemaju tapi sekejap je elok dan lepas tu bocor semula. Malah tahun demi tahun, makin bertambah tempat yang bocor. Bukan kami saja, rata-rata jiran pun alami masalah yang serupa. 

Kesan bocor di bumbung ruang parkir kenderaan. Yang ni jadi selepas kami berpindah ke Pulau Pinang pada pertengahan tahun 2020.

Hasil carian saya mendapati, masalah utama adalah disebabkan rekaan rumah menggunakan bumbung concrete slab. Permukaan rata konkrit yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan mengakibatkan kebocoran terjadi. Sebab itulah walau dah baiki, ia tak tahan lama dan terjadi lagi.

Cara nak atasi masalah ini untuk jangka panjang, kami perlu pasang pelindung di atas concrete slab tadi. Pendek kata, kami perlu keluarkan kos buat awning di tingkat atas bagi melindungi bumbung ruang parkir. Pengajarannya, janganlah beli rumah yang menggunakan concrete slab sebagai bumbung ya. Kami dulu tak tahu, nampak cantik je tapi rupanya derita berpanjangan 😥

Beralih cerita indah pulak. Alhamdulillah pokok Orkid Harimau kekal hidup dan membesar dengan jayanya walaupun tanpa penjagaan. Asal pokoknya rendah je sehinggalah sekarang tinggi melebihi tembok rumah. Foto pokok ini pada tahun 2020 boleh lihat DI SINI. Cuma daunnya tak lebat cantik, yelah tak kerap baja dan cuma mengharap curahan hujan. Maafkan saya wahai pokok kesayangan! Sayang sebab induknya memang diambil dari hutan, bukan pokok Orkid Harimau kaedah tisu kultur.

Selain rutin kerja-kerja pembersihan rumah, saya suka membelek ‘khazanah’ yang ada. Kadang belek foto lama, album setem dan juga buku-buku di rak.

Foto di atas | buku Undang-undang Komersil Malaysia yang diguna pakai sewaktu menuntut di universiti. Subjek yang saya gemari dan bersungguh belajar. Penulis buku ini yang juga pensyarah saya, iaitu Prof. Dr. Shaik Mohd. Noor Alam seorang yang sangat saya kagumi kerana keupayaan beliau menyampaikan ilmu perundangan tanpa merujuk sebarang kertas! Jangan kata beliau rujuk skrin handphone ya, zaman dulu handphone belum canggih untuk simpan dokumen.


HAMPIR 10 TAHUN | Pada 2 Februari 2024 akan datang, genap 10 tahun kami berpindah ke Rumah NS. Alhamdulillah sempat menetap secara ‘sepenuh masa’ selama lebih 6 tahun di sini.

Dalam tempoh 10 tahun, buat pertama kalinya mesin basuh di rumah ini gagal berfungsi. Entah apa yang bermasalah, sebelum ini langsung tak ada tanda-tanda awal ia akan rosak. Terpaksalah saya membasuh pakaian cara tradisional, rendam - genyeh sikit - bilas - tos - jemur di luar. Tak sempat kering sebab petang hujan, saya sambung jemur dalam rumah pulak.






.

Thursday 18 January 2024

Hasil Menggunakan The Pink Stuff - The Miracle Cleaning Paste

Semasa berpindah masuk rumah di Perlis pada bulan November lalu, saya mula mencari-cari produk untuk membersihkan pelbagai kotoran di rumah yang berusia sekitar 40 tahun ini.

Ada kotoran yang mudah dibersihkan hanya dengan menggunakan tisu lembab - saya gunakan Antibacterial Hygiene Hand Wipes jenama Perfect, beli di MR DIY. Tisu lembab ni sangatlah membantu, banyak ruangan/barangan kotor dapat saya bersihkan dengan mudah. Memang berpek-pek habis saya gunakan sepanjang proses pindah keluar dari Rumah PP dan pindah masuk ke Rumah Perlis.

Bagi kotoran degil, saya cuba gunakan produk The Pink Stuff yang dibeli melalui Shopee - The Pink Stuff Official Store.

Saya beli dua jenis produk The Pink Stuff, iaitu The Miracle Cleaning Paste (RM22.99) dan The Miracle Toilet Cleaner (RM19.22). Jumlah pembelian dua produk ni sebanyak RM33.39 termasuk caj pos dan selepas tolak baucer diskaun. Dapat percuma span pencuci yang juga berwarna pink, ada bentuk muka binatang apa entah. Comel je.

Saya beli The Miracle Cleaning Paste 850 gram. Pes pencucinya berwarna pink lembut.

Cara menggunakan The Miracle Cleaning Paste - dengan menggunakan span kering, ambil sedikit pes pencuci dan ratakan pada pemukaan kotoran. Kemudian gosok sehingga kotoran hilang. Ada jenis kotoran yang cuma perlu gosok perlahan dan ada yang saya perlu gosok sedikit kuat.

Antara hasil selepas saya menggunakan pes warna pink ni :

Hasil Menggunakan The Pink Stuff - The Miracle Cleaning Paste
Singki dapur kembali berseri! Boleh nilaikan sendiri mana satu foto sebelum dan selepas. Walaupun tidaklah bersinar macam singki baru, tapi hasil begini pun dah cukup menggembirakan.

Hasil Menggunakan The Pink Stuff - The Miracle Cleaning Paste
Suis lampu kembali bersih! Kotoran hitam kuning hilang, tapi kesan lebihan cat dinding tu tak hilanglah ya, itu perlu guna alat pengikis (scraper).

Hasil Menggunakan The Pink Stuff - The Miracle Cleaning Paste
Kesan karat pada lantai jubin pun boleh hilang! Kali ini saya gosok sedikit kuat dengan menggunakan span lembab. Mungkin saya perlu gosok menggunakan berus dan buat lama sedikit barulah boleh betul-betul bersih.

Alhamdulillah…lega rasanya bila dapat produk yang mampu membantu kerja-kerja pembersihan. The Miracle Cleaning Paste sememangnya produk yang berbaloi untuk dicuba, harganya juga tak mahal. Satu lagi produk yang saya beli - The Miracle Toilet Cleaner, nampaknya bukan produk yang bagus. Terlampau cair dan tak nampak kesan pembersihan. Setakat ini saya kekal memilih Magiclean Stain & Mold Cleaner bagi kerja pembersihan tandas.





.

Tuesday 16 January 2024

Bersiar-siar di Tasik Timah Tasoh, Perlis

Menyambung catatan jalan-jalan bersama ahli keluarga Encik Suami di Perlis pada penghujung Disember 2023. Dari Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, kami terus menuju ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh untuk aktiviti bersiar-siar di sekitar tasik Timah Tasoh dengan menaiki bot.

Ini merupakan kali kedua saya menaiki bot di sini. Maka entri ini saya catatkan secara ringkas sajalah sebab dah pernah cerita berkenaan Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dalam entri terdahulu. 

Cuaca ketika ini sedikit mendung, sama seperti sewaktu kunjungan pertama saya ke sini sekitar Oktober 2022. Foto-foto yang dirakam semuanya jadi suram.

Disebabkan jumlah kami agak ramai, kami berpecah menaiki dua buah bot. Beginilah keadaan dalam bot yang kami naiki, tak sama dengan pengalaman saya sebelum ini. Kali ini kami duduk di atas kerusi plastik yang disusun secara berbaris. Saya rasa tak seronok sebab naik bot tapi duduk atas kerusi plastik 😅

Kedudukan begini juga membuatkan kami sukar berkomunikasi. Tambahan pula dengan encik pemandu bot yang agak kurang mesra, aktiviti bersiar-siar di tasik kali ini terasa sedikit membosankan bagi saya. Selitan info atau cerita berkenaan tasik ini akan memberi tambah nilai bagi aktiviti begini.

Perubahan baru di sini, terdapat platform untuk pengunjung merakam foto kenangan di tengah tasik dengan berlatarkan Bukit Chabang. Di platform tersebut terdapat sebuah buaian dan tulisan ‘I ❤️ Santuari Ikan Air Tawar’. Kawasan platform tidaklah begitu luas, jadinya pengunjung perlu berhati-hati berdiri sementara menunggu giliran untuk berfoto di buaian atau tulisan tersebut.

Menurut pendapat saya, lebih menarik jika kita berfoto dari atas bot (seperti pengalaman saya sebelum ini) berbanding berfoto di atas platform dengan buaian dan tulisan ‘I ❤️ …’. Entahlah, saya kurang suka bila tengok ada ‘aksesori’ tak perlu di tempat yang menawarkan keindahan alam. Seakan hilang keasliannya.

Dah siap berfoto di platform, bot kami mulai beredar. Masa inilah bot yang membawa sebahagian ahli keluarga lagi baru tiba. Saya rakam foto mereka dari kejauhan sajalah.

Bagi kalian yang nak info lanjut berkenaan Santuari Air Tawar Timah Tasoh, jemput baca entri semasa kunjungan pertama saya DI SINI. Jika kalian nak merasa pengalaman bersiar-siar di tasik buatan yang menjadi pusat tadahan air hujan ini, bolehlah masukkan aktiviti menaiki bot dalam itinerari jalan-jalan Perlis.






.

Thursday 11 January 2024

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!

Gulai daging batang pisang, jangan tersilap baca jadi gulai daging batang pinang pulak ya (merujuk kepada bahagian daging batang pinang). Masakan ini merupakan gulai daging yang dimasak bersama batang pisang.

Sebelum ini saya hanya tahu berkenaan masakan ini menerusi pembacaan di media sosial, kali ini dapat juga saya merasa buat kali pertama. Ada yang memberi, dapatlah saya merasa.

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!
Bersemangat saya nak mencuba masakan gulai daging batang pisang ni tau, sebab tertanya-tanya bagaimanalah rasanya makan batang pisang. Tengok rupa nampak menyelerakan.

Alhamdulillah bila dah cuba, rasanya kena dengan selera saya 😋. Tak sangka, sedap pulak rasa masakan batang pisang ni. Daging dan batang pisangnya lembut, pandai orang yang memasaknya.

Menurut info, batang pisang ini diambil dari pokok pisang hutan. Seperkara lagi, gulai daging batang pisang ini merupakan masakan popular di majlis kenduri kahwin di negeri Perlis dan Kedah. Selama ini saya tak tahu pun, bila dah menetap nun di utara ni kenalah ambil tahu.

Saya juga perlu biasakan sebut ‘gulai’ bagi masakan begini. Gulai merujuk kepada masakan berkuah (contoh : masak kari, asam pedas). Itu yang saya fahamlah, kalau salah tolong betulkan ya. Orang selatan tak biasa guna perkataan ‘gulai’, kami terus sebut nama masakan (contoh : masak kari, asam pedas, masak lemak). Tak ada yang salah atau betul, itulah namanya perbezaan dan keunikan budaya setempat.

Semoga ada rezeki lagi untuk saya merasa masakan gulai daging batang pisang yang lazat dan unik ini!






.

Wednesday 10 January 2024

Eksplorasi Gua Kelam 1, Perlis

[Catatan Hari Isnin, 25 Disember 2023]

Catatan pertama saya pada tahun 2024, tetapi ceritanya berlaku pada tahun lepas 😄

Sempena cuti sekolah yang lalu, ahli keluarga Encik Suami datang berkumpul di Perlis. Dua beradik (Encik Suami dan adiknya) memang menetap di Perlis, manakala yang lain (termasuk mak mentua) datang dari Johor dan Terengganu.

Tiada acara tertentu, kami sekadar menghabiskan masa santai bersama dengan aktiviti makan-makan dan jalan-jalan di sekitar Perlis.

Antara tempat yang sempat kami pergi -  Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam. Di sini kami fokus kepada aktiviti eksplorasi Gua Kelam 1 sahaja.

Ini merupakan kunjungan kali kedua saya memasuki Gua Kelam 1 . Kunjungan kali pertama pada Januari 2022 sewaktu melakukan eksplorasi ke Gua Kelam 2 dan perjalanan baliknya melalui Gua Kelam 1.

Bayaran masuk ke Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam masih sama seperti kunjungan terdahulu, iaitu cuma RM2 seorang dewasa dan bayaran parkir kenderaan RM1. Tiada bayaran tambahan dikenakan untuk pengunjung masuk ke Gua Kelam 1.

Foto kenangan di pintu masuk Gua Kelam 1. Lagi 4 orang ahli keluarga tiada dalam foto ini.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam
Tidak seperti kunjungan saya yang terdahulu, kali ini ruang dalam gua tidak sesak dengan pengunjung. Mudahlah bagi saya memerhati sekitar dan memotret itu ini.

Ada ruang gua yang gelap dan ada ruang yang terang dengan cahaya lampu. Ada juga laluan yang basah dengan titisan air yang mengalir dari bumbung gua.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam
Sambil berjalan kita perhatikanlah persekitaran dalam gua. Nikmati juga bunyi aliran deras sungai yang mengalir di bawah platform jambatan. Foto di atas - ‘Gour Pools’ iaitu kolam atau empangan semula jadi yang terbentuk oleh kalsit dan mineral lain.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam
Di penghujung gua, terdapat tempat berehat dan mesin minuman. Sebahagian ahli keluarga berehat di sini, manakala sebahagian lagi meneruskan eksplorasi di kawasan sekitar.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam
Saya dan sebahagian ahli keluarga lain naik ke bahagian lebih tinggi dengan mendaki anak tangga. Foto di atas - antara laluan landai di bahagian atas.

Penghujung laluan ini membawa kita ke pintu gua Gua Kelam 2. Tapi kita tak boleh sampai hujung sebab ada pintu pagar berkunci sebelum tiba di pintu gua tersebut. Gua Kelam 2 hanya boleh dilawati dengan khidmat juru pandu arah berbayar. Nak info lanjut boleh baca entri saya berkenaan Gua Kelam 2 DI SINI.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam
Pemandangan dari atas, sebahagian lanskap taman tropika di pusat eko pelancongan ini. Menarik dan tenang jiwa dapat menikmati keindahan alam di sini. Kawasannya luas, kami datang sekejap saja memang tak sempat dan tak larat nak berjalan melihat-lihat semuanya.

Untuk kembali ke tempat permulaan, pengunjung perlu berpatah balik melalui gua tadi. Kami menghabiskan masa kira-kira 1 jam di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam ini. Tak ambil masa lama kerana kami cuma masuk ke Gua Kelam 1 sahaja.

Selain eksplorasi gua, pengunjung boleh ke Galeri 3D Gua Kelam, Rumah Cermin, bermain ATV, berkelah dan melakukan aktiviti perkhemahan di sini. Berkunjung ke Perlis? Jangan lupa masukkan Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam ini dalam itinerari kalian ya.






.