Tuesday 26 October 2021

Seketika di Tasik Pedu, Kedah

Sabtu | 16.10.2021

Sebelum ini saya pernah ke Tasik Beris, catatannya DI SINI. Kali ini saya dan suami menuju ke Tasik Pedu yang terletak di daerah Padang Terap, Kedah. Tanpa ada tujuan khusus, sekadar ingin melihat tempat orang. Perjalanan kami berpandukan aplikasi Google Maps.

Jalan utama ke Tasik Pedu, laluan yang sunyi dari penempatan dan jarang sekali bertemu kenderaan lain. Perjalanan yang saya rasa cukup jauh dan membosankan kerana begini sajalah pemandangan yang dapat dilihat.

Dari jalan utama, kereta kami membelok masuk ke jalan ini pula untuk ke Tasik Pedu. Laluan sejauh 8km yang berliku dan tidak rata. Perlu berhati-hati, terdapat runtuhan kecil di bahu jalan dan juga dahan pokok yang jatuh ke jalan raya. Pada mulanya saya rasa seram juga, tapi kemudiannya rasa lega bila di belakang kereta kami nampaknya ada beberapa buah kereta mengekori. Kita akan tiba di Tasik Pedu bila dah mula nampak tasik di sebelah kiri jalan.

Aplikasi Google Maps membawa kami ke sini. Rupanya di sini terletaknya Mutiara Pedu Lake & Golf Resort yang telah pun ditutup 14 tahun yang lalu! Nampak orang lain masuk menerusi pintu pagar yang terbuka kecil, kami pun ikut masuk jugaklah. Sebaik tiba di sini, baru perasan handphone kami tiada signal 🚫.

Bangunan resort mungkin di hujung jalan, tapi kami tak berapa rajin nak melihat sampai ke hujung sana. Cukuplah di sini, sesuai dengan tujuan kedatangan kami cuma nak melihat pemandangan Tasik Pedu.

SubhanAllah! Cantik sungguh pemandangan Tasik Pedu. Tasik luas berlatarkan perbukitan yang kelihatan berbalam, sangat mempesona! Kalau tak kerana panas mentari tengah hari, memang boleh leka melayan mata di sini.

Ini pula pemandangan berhampiran kawasan kami parkir kereta.

Tempat yang sangat cantik, kaya dengan khazanah alam. Sayang terbiar sepi. Semoga tempat ini dapat dibangunkan semula demi manfaat bersama. Katanya memang sudah ada yang mengambil alih, sebab tu nampak kawasan resort ni agak terjaga.

Menerusi carian internet, saya juga menemukan lokasi pelancongan lain di Tasik Pedu yang masih beroperasi iaitu Seri Mahawangsa Boat House Pedu. Sesiapa ada info lain bolehlah tambah diruangan komen ya. Rasa macam kurang promosi berkenaan tarikan pelancongan di Tasik Pedu ni.

———————————————————————————
Info Tasik Pedu
(sumber : bharian.com.my)

• Tasik Pedu tasik buatan manusia yang terbesar di Kedah 52 kilometer persegi dan sedalam 60 meter.

• Dibina pada tahun 1966 dan siap sepenuhnya pada tahun 1969.

• Dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

• Rekabentuk dan membina empangan oleh firma perunding dari England, William Halcrow dari England.

• Perancangan sejak Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970).

• Kos pembinaan RM200 juta.

• Terletak 80km dari Alor Setar serta 50km dari Kuala Nerang.

• 5km dari sempadan Malaysia-Thailand.

• Dibina untuk pesawah padi di Kedah dan Perlis bagi penanaman padi dua kali setahun.

• Diurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).


Lihat keindahan Tasik Pedu menerusi video berdurasi 42 saat.


Wednesday 20 October 2021

The Habitat, Bukit Bendera (Bahagian 2)

…baca Bahagian 1 DI SINI.

Kami seterusnya menuju ke tarikan utama ke-2 di The Habitat, iaitu Curtis Crest Tree Top Walk. Tarikan utama yang ke-3, Flight of The Colugo (zipline/flying fox) tidak dibuka semasa kami datang. Bayaran tambahan dikenakan untuk aktiviti zipline

Curtis Crest Tree Top Walk
1. Curtis Crest Tree Top Walk
Inilah Curtis Crest Tree Top Walk, kita perlu mendaki anak tangga untuk naik ke atas. Masa mula-mula nampak, terus terasa gayat nak naik Tree Top Walk ni. 

2. Gambar pandangan dari udara Curtis Crest Tree Top Walk dan kedudukannya di Bukit Bendera. Sumber : thehabitat.my
Menurut staf di sini, nama Curtis diambil sempena nama seorang tukang kebun di sini (pada era British). Kemudiannya baru saya perasan, kebanyakkan nama-nama tempat di Bukit Bendera menggunakan nama ‘orang putih’. Contohnya, Cliff Cafe (Astaka Bukit Bendera) dan David Brown’s Restaurant. Kenapa agaknya kita masih perlu ‘mengangkat’ bangsa penjajah? Mungkin atas faktor nilai komersial.

3. Tangga dan laluan ke atas.
Jom kita naik Tree Top Walk! Mendaki anak tangga pun dah terasa gayat bila mata memandang bawah. Dalam pada gayat, tetap mampu ambil gambar untuk catatan memori.

4. Sudut pandang dari tangga, sebelum sampai ke atas.
5. Tree Top Walk
Platform Curtis Crest Tree Top Walk ini berketinggian 13m, merupakan public view point yang tertinggi di bahagian pulau Pulau Pinang iaitu berada di ketinggian 800m di atas paras laut. Apa perasaan berada di atas ni? Gayat bercampur seronok! Bila dah mula melangkah, lama-lama rasa gayat saya berkurangan. Tambahan pulak mata sibuk menikmati pemandangan yang terbentang.

6. Pemandangan dua buah jambatan Pulau Pinang dan bandar Georgetown. (Sila klik gambar untuk lebih jelas)
7. Banglo lama.
Dari sini, kita juga dapat melihat bangunan kediaman tinggalan era British. Menurut info yang saya baca di Internet, terdapat lebih 20 buah banglo lama di Bukit Bendera. Sebahagiannya milik kerajaan negeri dan ada juga milik persendirian.

8. Abadikan memori…
Berbanding berjalan di jambatan gantung Langur Way, saya rasa lebih gayat dan seram sewaktu berjalan di Tree Top Walk ni. Sebabnya laluan lebih kecil, lantai berlubang boleh nampak bawah dan angin bertiup terasa lebih kuat. Tapi pemandangan lebih menariklah sebab lebih jauh dan luas.

Kami menghabiskan masa di sini sekitar 20 minit. Eksplorasi diteruskan dengan kembali ke laluan denai…

9. Discovery Station - melihat secara dekat sebahagaian flora dan fauna yang telah dikeringkan dan diawetkan.
10. Antara laluan yang indah dengan taburan bunga merah oren yang gugur dari pokok.

Kedai & Kafe
11. Bahagian dalam kedai.
Eksplorasi di The Habitat berakhir sebaik saja kita sampai di penghujung jalan dan tiba di bangunan berdinding kaca. Inilah kedai & kafe The Habitat. Pelbagai cenderamata, pakaian, buku dan lain-lain dijual di sini. Sesuai dengan The Habitat, barangan yang dijual di sini bertemakan alam semulajadi. Menarik semuanya. 

12. Bahagian luar kafe.
Kami kemudiannya duduk ‘mengopi’ di kafe ini, di bahagian luar. Lebih dekat dengan hijau alam. Terasa nikmatnya. Bahagian atas (naik melalui tangga spiral) ditutup kepada pengunjung. Kalau nak ke tandas, turun tangga di sebelah kiri.

Untuk kembali ke dataran Bukit Bendera, kami menaiki buggy yang disediakan secara percuma untuk pengunjung The Habitat. Cuma perlu tunggu di tempat yang disediakan (berhampiran jalan utama), buggy akan datang setiap 15 minit. Kalau rasa nak berjalan kaki pun boleh, jaraknya kira-kira 1.2km.

Tamat sudah catatan di taman hutan The Habitat. Alhamdulillah tercapai jua hasrat saya nak ke sini. Kami menghabiskan masa di The Habitat selama 4 jam (masuk sekitar pukul 9.40 pagi dan keluar menaiki buggy sekitar pukul 1.40 petang). Bagi pencinta hutan/alam semulajadi, The Habitat sangat menarik dan berbaloi untuk dikunjungi. Pastikan pakai pakaian termasuk kasut yang bersesuaian ya. Bawa juga air minuman (boleh buat isian semula di stesen water dispenser) dan makanan ringkas (jika bercadang berlama-lama di sini macam kami).

Sampai dataran, kami terus je naik funikular untuk turun dari Bukit Bendera. Nak kena cepat turun sebab tadi naik tak bawa kelengkapan solat (tinggal di kereta), ingatkan sejam dua je di Bukit Bendera. Rupanya dari awal pagi membawa ke petang. Kalau bawa, kita boleh terus solat di Masjid Bukit Bendera.


Rakaman video oleh suami semasa kami menaiki buggy untuk kembali ke dataran Bukit Bendera.

—————————————————————————

THE HABITAT
Bukit Bendera, Pulau Pinang.

Waktu operasi :
9 pagi - 7 petang

Harga tiket (Standard Entry) : 
Dewasa - RM55
Kanak-kanak/Pelajar/Warga Emas - RM35

Facebook : thehabitatpenanghill
Laman web : thehabitat.my

*terdapat pilihan pakej lain, sila rujuk laman web.
*nak tiket standard entry pada harga promo? Baca caranya DI SINI.






.

Friday 15 October 2021

Menikmati Keindahan Taman Hutan di The Habitat, Bukit Bendera (Bahagian 1)

Ahad | 10.10.2021

Inilah aktiviti pilihan kami sewaktu di Bukit Bendera, iaitu menikmati keindahan taman hutan hujan tropika di The Habitat. Untuk ke pintu masuk The Habitat, kita hanya perlu berjalan kaki sejauh kira-kira 0.1km dari dataran Bukit Bendera. The Habitat terletak di sebelah kiri jalan (dari arah dataran).

Tiket Harga Promosi
Sebenarnya saya agak berkira-kira nak masuk The Habitat memandangkan harga tiket yang saya rasakan agak tinggi, iaitu RM55/dewasa. Tapi tak dapat menahan diri pulak, tengok macam menarik je The Habitat ni. Terus saya buat carian di Klook dan Shopee untuk semak harga tiket semasa The Habitat (sebelumnya saya memang dah pernah buat carian internet dan nampak ada harga promosi). Masa ni kami berada di luar pintu masuk The Habitat. Kalau masuk dan terus beli di kaunter, tak dapatlah harga promosi.

Hasilnya, saya pilih untuk membeli tiket dari ejen pelancongan di Shopee. Urusan dari mula bermesej sehingga terima e-tiket melalui e-mel, cuma dalam tempoh masa sekitar 15 minit. Mudah dan lebih murah! Alhamdulillah dapat tiket dengan harga RM36/dewasa. Ada yang berminat? Boleh ke kedai Shopee ‘bajet2cuti’ ya. 

Jom Masuk The Habitat!
The Habitat, Penang Hill
1. Kaunter tiket.
Bangunan kandang kuda era British yang dibina sekitar lebih 200 tahun lalu, kini dijadikan kaunter tiket The Habitat. Menarik dan unik! Di kaunter tiket, saya cuma perlu tunjukkan e-tiket tadi. Juga perlu tunjukkan status MySejahtera, hanya yang lengkap vaksin sahaja boleh masuk. Staf kaunter seterusnya memberi sedikit penerangan berkenaan tarikan di The Habitat, di mana ada tandas (penting tu…hehe) dan lain-lain info.

The Habitat, Penang Hill
2. Brosur The Habitat
Nak tunjuk tiket, tak ada tiket fizikal. Saya tunjuk brosur jelah. Brosur ni saya dapat masa di kaunter tiket tadi. Sangat berguna, sebab ada peta. Memang perlu merujuk peta untuk memastikan kita tak terlepas semua tarikan yang ada di The Habitat. Yelah, bukan sikit membayar kan. Wajib pergi semua tempat.

The Habitat, Penang Hill
3. Laluan permulaan yang sangat mempesona!
Setelah berbulan lama tak menjejakkan kaki ke hutan, suasana kehijauan dan bunyi-bunyian alam di sini benar-benar memberi ketenangan dan meningkatkan hormon gembira saya. Alhamdulillah! Sangat teruja 😍

The Habitat, Penang Hill
4. Peta The Habitat
Sebelum meneruskan perjalanan, kita teliti peta ni dulu. Lebih besar, mudah nak tengok (sila klik gambar untuk lebih jelas). Kita akan melalui laluan berturap (denai/nature trail) sejauh 1.6km, tak termasuk laluan canopy walk dan tree top walk. Menurut staf tadi, masa yang diambil sekitar 1 jam jika pengunjung terus berjalan tanpa banyak berhenti. Pastinya tak cukup bagi saya yang suka berhenti untuk memerhati, meneliti, menikmati dan mengabadikan keindahan hutan dengan lensa kamera handphone.

Langur Way Canopy Walk
The Habitat, Penang Hill
5. Langur Way Canopy Walk - The World’s Longest Two-Span Stressed Ribbon Bridge.
Inilah antara tarikan utama di The Habitat - laluan kanopi yang diberi nama Langur Way (Laluan Lotong). Kalau bernasib baik bolehlah nampak lotong di sini. Tapi sepanjang kami lalu, tak ada yang memunculkan diri. Cuma nampak disebalik rimbunan dahan pokok.

Langur Canopy Walk, The Habitat, Penang Hill
6. Langur Way, The Habitat.
Laluan kanopi sepanjang 230m dan berketinggian 40m dari lantai hutan menyajikan pemandangan indah kanopi hutan hujan tropika yang berusia 130 juta tahun. Berbeza dari beberapa laluan kanopi lain yang pernah saya lalui, laluan kanopi di sini luas dan kukuh. Bahagian lantainya seakan simen. Struktur binaannya membuatkan jambatan gantung ini tidak mudah bergoyang dan saya tak rasa gayat sewaktu melaluinya. Tapi sesekali saya cuba menjenguk ke bawah, tetap juga terasa gayat 😅

The Habitat, Penang Hill
7. Pemandangan kanopi hutan dan lautan dari Langur Way.
Dari atas laluan kanopi ini juga, kita dapat menikmati pemandangan Laut Andaman. Tapi masa ni tak begitu jelas, cuaca sedikit mendung dan banyak awan.

The Habitat, Penang Hill
8. 
Di pertengahan laluan kanopi, kita akan jumpa satu persimpangan. Jangan terlepas untuk keluar sekejap dari laluan kanopi kalau nak merasa naik buaian gergasi. 

Giant Swing 1
The Habitat, Penang Hill
9. Giant Swing 1
Masa kami sampai di sini ada pengunjung lain juga, mereka kemudiannya beredar dan beri laluan untuk kami pulak. Seronok dapat berbuai di buaian gergasi ni sambil menikmati keindahan hutan dan irama alam. Buaian ni direka untuk dua orang dewasa duduk. Bolehlah kami duduk berbuai berdua. Kami dapat berlama-lama di sini sekitar 15 minit sebab tak ada pengunjung lain yang datang. Berbuai sampai puas sambil menyumbang suara 🎶 laju...laju...buaiku laju…🎶

Laluan Denai (Nature Trail)
The Habitat, Penang Hill
10.
Selepas selesai menikmati pemandangan di laluan kanopi dan berbuai di Giant Swing 1, kami berpatah balik untuk merasai pengalaman melalui denai/nature trail yang pastinya memberikan pemandangan dan pengalaman berbeza. Seperti dalam gambar di atas, beginilah rupa laluan kanopi yang kami lalui tadi jika dilihat dari laluan denai. 

The Habitat, Penang Hill
11. Bromeliad Garden
Taman Bromeliad, antara taman-taman yang ada disepanjang laluan denai. Ikut laluan bertangga untuk menikmati keindahan bunga Bromeliad. Gambar-gambar bunga yang ada di The Habitat ni akan saya buat satu entri lain.

The Habitat, Penang Hill
12. Ahli Botani?
Bunga, daun, batang pokok, semuanya nampak cantik di mata saya. Maka sibuklah saya membelek dan mengambil gambar sana sini. Suami kata, macam jalan dengan Ahli Botani…habis semua dibelek 😅

Sepanjang laluan denai ni juga ada disediakan tempat berehat. Jadinya kalau rasa penat tu, bolehlah duduk melepas lelah. Beberapa stesen water dispenser juga disediakan, tapi kami memang dah siap bawa bekalan minuman yang mencukupi. Tong sampah, peti kecemasan pun turut disediakan di beberapa tempat. Pendek kata, lengkap semuanya di sini.


Apa lagi tarikan di The Habitat? Bersambung dicatatan seterusnya - bahagian 2 (akhir).


Wednesday 13 October 2021

Ada Apa di Bukit Bendera (Penang Hill)?

Ahad | 10.10.2021

..sambungan dari catatan sebelum ini DI SINI.

Keluar dari Stesen Atas Bukit Bendera, kita akan nampak dataran di sebelah kiri. Juga bangunan Astaka (Cliff Cafe). Disebabkan dah bawa bekalan makanan (persediaan jika tiada kedai makanan di buka pada awal pagi), kami terus je cari tempat duduk di sekitar dataran untuk menikmati bekalan makanan yang dibawa. 

Kawasan dataran di puncak Bukit Bendera. Suasana masih berkabus pada pukul 8.21 pagi.
Dah siap makan, jomlah kita berjalan-jalan melihat apa yang ada di Bukit Bendera ni. Maklum je, baru kali pertama sampai sini.

Balai Polis Bukit Bendera terletak berhampiran dataran. Klinik Kesihatan pun ada disebelah Astaka.
Bangunan 3 tingkat Astaka (Cliff Cafe).
Tingkat bawah menjual minuman/buah-buahan dan tingkat atas menjual makanan. Masa ni ada beberapa kedai dah beroperasi. Tandas ada di hujung bangunan - tandas perempuan (tingkat bawah) dan tandas lelaki (tingkat atas). Keseluruhan tempat ni teratur dan bersih, termasuklah keadaan tandasnya yang nampak diselenggara dengan baik. Sampai ke tandas kau check ya...haha. Bukan nak check pun, tapi memang perlu ke tandas sebelum meneruskan acara jalan-jalan.

Bukit Bendera Penang Hill
Bahagian atas bangunan Astaka.
Kami teruskan naik ke bahagian atas bangunan Astaka. Nampak macam baru dibuat atau mungkin baru dicat semula. Dari sini bolehlah kita menikmati pemandangan alam yang indah.
 
Bukit Bendera Penang Hill
Antara pemandangan yang dapat dilihat dari atas bumbung Astaka.
Selesai melihat-lihat apa yang ada di Astaka, kami menuju ke bahagian kanan puncak Bukit Bendera (jika keluar dari stesen tadi, ambil sebelah kanan).

Bukit Bendera Penang Hill
Ada banyak papan tanda, memudahkan pengunjung.
Bukit Bendera Penang Hill
Antara pemandangan yang dapat dilihat dari puncak Bukit Bendera.
SubhanAllah. Terpegun saya melihat keindahan yang terbentang di depan mata. Suasana yang nyaman, nyanyian burung di pagi hari dan kabus yang bergerak, semuanya seakan terapi.

Bukit Bendera Penang Hill
Dari kedudukan ini kita boleh nampak dua buah jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau.
Nampaknya kena ke sini lagi pada masa yang berbeza - waktu cerah tanpa kabus dan waktu malam. Setiap waktu, ada keindahannya tersendiri.

Bukit Bendera Penang Hill
Skydeck
Skydeck yang terletak di hujung jalan. Cuma mampu ambil gambar dari sini je, laluan ditutup sebab ada kerja-kerja naik taraf sedang dibuat.

Ok, sekarang kita ke arah lain pula. Kami berpatah balik ke dataran untuk melihat apa yang ada di bahagian satu lagi. Tak jauh pun semua ni, boleh berjalan kaki tanpa lelah. Sepanjang jalan ni juga kita akan lalu tempat-tempat menarik seperti Little Village dan David Brown’s Restaurant.

Bukit Bendera Penang Hill
Papan tanda disertakan dengan jarak laluan. Sangat memudahkan. Kami memutuskan untuk menuju ke The Habitat yang terletak cuma 0.1km dari dataran.

Bukit Bendera Penang Hill
Berada di tanah tinggi, sana sini meriah bunga! Ini jalan ke The Habitat/Masjid/Kuil/Hotel Bellevue. Sebelah kanan tu Earthquake and Thypoon Pavilion. Depan lagi sikit, ada perkhidmatan buggy untuk kita pusing-pusing Bukit Bendera (luas juga kawasan puncak Bukit Bendera, boleh rujuk poster di bawah). RM30 satu buggy

Ok, setakat ni saja catatan saya berkenaan apa yang ada di puncak Bukit Bendera. Ada banyak lagi, sila rujuk poster di bawah ya. Kiranya kalau naik Bukit Bendera, kita ada banyak pilihan aktiviti. Tapi hampir semuanya berbayar. Kalau tak pun, cukuplah sekadar makan-makan dan berjalan menikmati pemandangan dari atas bukit. Ambil pengalaman naik funikular, itu pun dah cukup seronok.

Bukit Bendera Penang Hill
Tarikan dan kemudahan yang ada di Bukit Bendera. Klik gambar untuk lebih jelas.
Apa aktiviti pilihan kami? (Pilihan saya sebenarnya, suami cuma ikutkan je kehendak isteri). Tentunya yang berkaitan dengan hutan. Cuma jangkaan masa tu meleset, ingatkan sejam dua siap beraktiviti. Rupanya membawa ke petang 😅





Monday 11 October 2021

Jom Naik Funikular Bukit Bendera (Penang Hill)

Ahad | 10.10.2021

Bukit Bendera atau dikenali juga sebagai ‘Penang Hill’ merupakan antara tarikan utama pelancongan di Pulau Pinang (PP). Walaupun dah pernah ke PP suatu masa dulu, tapi saya dan suami belum pernah ke Bukit Bendera.

Perkhidmatan funikular atau dikenali juga sebagai keretapi Bukit Bendera telah pun beroperasi semula mulai 1 Oktober lalu. Tapi baru semalam (hari Ahad) saya dan suami berkesempatan naik ke Bukit Bendera buat kali pertama.

Kami memilih waktu awal pagi untuk ke Bukit Bendera. Jarak perjalanan dari rumah ke Stesen Bukit Bendera sekitar 45 minit.

Gambar ini diambil masa balik, waktu petang. Masa datang, tak sempat sebab berkejar nak beli tiket.
Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, pilih lokasi ‘Penang Hill Lower Station (Stesen Bukit Bendera)’. Alhamdulillah terus sampai stesen tanpa tersesat. Cuma kami ada tersilap masuk satu lorong, maklum saja pertama kali ke sini dan tak biasa dengan jalan di PP. 

Gambar ini juga diambil masa balik, waktu petang.
Nak parkir di mana? Parkir di bangunan ini yang terletak berhampiran stesen tadi. Bahagian bawah terdapat deretan kedai makan, bahagian atas ruangan parkir. Kadar caj (Sabtu, Ahad & Cuti Umum) - RM3 untuk sejam pertama dan RM1 untuk setiap jam tambahan. 

Setelah melepasi pemeriksaan MySejahtera dan suhu, kami terus bergegas ke kaunter tiket. Lega tengok barisan tak panjang. Masa nak beli tiket, kita perlu serahkan kad pengenalan (untuk dapat harga bagi warganegara Malaysia) dan tunjuk MySejahtera (hanya pengunjung yang lengkap vaksin sahaja dibenarkan naik ke Bukit Bendera).

Tadaaa…untung berpagian, kami cuma perlu bayar RM3/seorang untuk perjalanan pergi/balik. Kadar ‘Sunrise’ ini cuma boleh dapat jika kita beli tiket di kaunter mulai pukul 6.30 - 8.00 pagi sahaja. Kalau beli secara online di laman web penanghill, dapat harga normal iaitu RM12. Alhamdulillah jimat RM9/seorang. Bagaimanapun, kadar ‘Sunrise’ ni tidak terpakai pada musim cuti sekolah/musim perayaan.

Dah beli tiket, terus masuk ke ruang pelepasan. Menariknya di sepanjang laluan ada info bergambar. Tapi kami tak boleh nak tekun membelek dari satu ke satu info, sebab nak naik funikular pukul 8 pagi.

Tak lama beratur dan menunggu, funikular pun sampai. Begini rupanya funikular, pendek macam bas dan kecil ruangannya. Kedudukan bertingkat-tingkat. Yang depan tu lebih tinggi. Walaupun orang nampaknya tak begitu ramai, saya tak dapat tempat duduk pun. Ok juga berdiri, pemandangan lebih luas.

Tepat pukul 8 pagi, funikular bergerak. Pengalaman baru, naik keretapi yang memanjat bukit. Mula-mula terasa seram juga sebab nampak trek curam. Jarak trek funikular ni sejauh 1,996 meter, dengan perjalanan sekitar 4.5 minit tanpa henti dan sekitar 10 minit jika berhenti di sub-stesen (stesen tengah). 

Tiba di Stesen Atas Bukit Bendera. Rata-rata pengunjung waktu awal pagi ni berpakaian sukan. Sebab Bukit Bendera ni juga banyak laluan pendakian. Boleh rujuk di laman web penanghill untuk laluan pendakian. InsyaAllah ada kesempatan teringin juga saya nak mencuba.

Dalam perjalanan nak keluar dari stesen, akan nampak bangunan ni. Cantik berkabus. Teruja rasanya nak melihat apa yang ada di Bukit Bendera ni.

Apa yang ada di Bukit Bendera? Bersambung pada catatan seterusnya…

—————————————————-
Harga tiket pergi/balik (warganegara)
Kanak-kanak (4 - 12 tahun) : Normal Lane RM6, Fast Lane RM20
Dewasa (13 - 59 tahun) : Normal Lane RM12, Fast Lane RM40
Warga Emas (60 tahun & ke atas) : Normal Lane / Fast Lane RM6
Kadar Sunrise/Sunset : RM3

Info lanjut/terkini berkenaan masa perkhidmatan funikular dan kadar harga tiket, boleh terus rujuk DI SINI.