Saturday, 15 July 2023

Bahagian 1 | Naik ‘Hop-On Hop-Off Tourist Boat’ di Sungai Chao Phraya

[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Kedua | Khamis, 29 Jun 2023]

Cara paling mudah untuk kita ke tempat-tempat tarikan pelancongan utama yang ada di kota Bangkok adalah dengan menyusuri Sungai Chao Phraya. Kami memilih untuk menaiki Hop-On Hop-Off Tourist Boat (unlimited hopping in one day) bagi menyusuri sungai terpanjang di negara Thai ini. 

Jeti Sathorn menjadi tempat permulaan kami menaiki bot. Dari hotel penginapan di Lorong Phetchaburi 7 ke Jeti Sathorn, kami ikut saja panduan perjalanan oleh aplikasi Google Maps - mod bas/tren. Kalau nak lebih mudah, boleh naik teksi atau e-hailing.

Panduan perjalanan oleh Google Maps. Klik screenshot di atas untuk paparan lebih jelas.
Kami perlu naik BTS Skytrain Sukhumvit Line kemudian turun di stesen pertukaran untuk menaiki tren laluan Silom Line. Selepas itu turun di stesen Saphan Taksin dan berjalan kaki ke Jeti Sathorn. Dekat je stesen tren dengan bangunan jeti. Kos naik tren sebanyak 48 Baht/sehala/seorang.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Kaunter tiket di Jeti Sathorn.
Tiket bot kami dah beli secara online menerusi Klook, harganya RM15.79 seorang. Sampai di jeti, kami ke kaunter tiket sebelah kanan (khas untuk tiket hop-on hop-off), tukar e-tiket kepada tiket fizikal. Boleh juga kalau nak terus beli tiket di sini, harganya 150 Baht. Ikutlah kadar tambang dan tukaran wang semasa, pilih mana yang berbaloi (beli di Klook atau terus di kaunter).

Atau, kalau tak mahu naik Hop-On Hop-Off Tourist Boat, kita boleh beli tiket untuk satu perjalanan saja (dari satu lokasi ke satu lokasi). Beli tiket di kaunter sebelah kiri (khas untuk tiket public boat). Tiket bagi satu perjalanan ini pula ada perbezaan harga mengikut jenis bot.
Chao Phraya Express Boat Fare
Blue Flag - Chao Phraya Tourist Boat fare is 50 Baht for a single trip or 180 Baht for one day pass. Orange Flag boat fare is 15 Baht for a single trip. Yellow Flag boat fare is 20 Baht for a single trip. - info carian internet.
 
Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Lebih kurang macam masuk boarding room di lapangan terbang, kita kena menunggu di ruangan yang ditetapkan berdasarkan jenis bot yang akan kita naiki. Tunjuk saja tiket kita kepada staf bertugas, nanti akan ditunjukkan di mana kita perlu duduk menunggu.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Boarding pass & Chao Phraya Tourist Boat - Hop Guide.
Tadi semasa menukar e-tiket di kaunter, kami diberi sekali sebuah buku panduan. Dalamnya ada peta lokasi jeti, tarikan pelancongan di sepanjang sungai dan penerangan berkenaan tempat-tempat tersebut. Jadi kita boleh memilih nak turun di jeti mana bergantung kepada tempat tarikan yang kita suka, pergi jalan-jalan sendiri dan lepas tu kembali ke jeti untuk naik bot ke lokasi seterusnya. Bot akan tiba di jeti setiap 30 minit. Kita bebas bergerak sendiri di sepanjang hari dari pagi sehingga ke petang. Perkhidmatan bot hop-on hop-off ini beroperasi mulai pukul 9 pagi sehingga 6.30 petang sahaja. Kalau nak naik bot waktu malam pula, itu kena naik bot lain. Saya tak naik, jadi tak ada info lanjut.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Inilah peta lokasi jeti dan tempat tarikan pelancongan yang ada di sepanjang Sungai Chao Phraya.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Pukul 2.24 petang - suasana di dalam tourist boat.
Hampir 30 minit duduk menunggu, bot kami sampai dan kami dipanggil untuk menaiki bot. Luas selesa lebih sesuai dipanggil feri. Ada dua tingkat, kami pilih duduk bawah je sebab masa ni cuaca panas terik dengan suhu sekitar 35℃. Tak taulah ada ke tidak orang yang memilih duduk bahagian atas. Kalau duduk atas pandangan lebih luaslah kan.

Pergerakan feri tidak begitu laju dan tidak juga terlalu perlahan, sesuai untuk kita menikmati perjalanan. Ada kalanya feri bergerak menuju ke sebelah kanan sungai dan juga ke sebelah kiri sungai, mengikut lokasi tarikan pelancongan yang disinggahi. Dengan kedudukan saya di sebelah kiri badan feri, saya cuma mampu melihat lebih jelas dan memotret pemandangan yang ada di sebelah kiri sajalah. Tapi takpe, saya masih ada peluang melihat pemandangan bertentangan sewaktu pusingan kedua perjalanan.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
ICONSIAM - pusat membeli-belah terbesar dan paling mewah di Thailand.
Lokasi pertama feri berhenti iaitu di ICONSIAM. Ada penumpang yang turun dan ada yang baru naik. Kami tak turun sebab nak ikut feri ni lalu/berhenti di semua lokasi. Bolehlah bersantai menikmati pemandangan di sepanjang sungai dan memerhatikan pelbagai jenis kenderaan air di sungai yang sangat lebar ini. Nanti pada pusingan kedua, barulah kami akan turun di lokasi pilihan.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Eh, ada masjid! Teruja saya tengok ada sebuah masjid di persisiran Sungai Chao Phraya.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Jambatan Phra Pokklao.
Sungai Chao Phraya ni panjang dan lebar, jadinya terdapat banyak jambatan di sini. Ini salah satu jambatan yang kami lalu di bawahnya.

Hop-On Hop-Off Tourist Boat Sungai Chao Phraya Bangkok Thailand
Feri berhenti di jeti untuk ke Wat Arun.
Wat Arun adalah kompleks kuil Buddha yang dinamakan sempena dewa Aruna (dewa subuh). Kompleks ini dibina di bawah Rama I dan Rama II. Wat Arun mempunyai pagoda besar berpusat (prang) setinggi 79 meter, dibina mengikut seni bina Khmer. Di sekelilingnya terdapat empat pagoda yang lebih kecil dan empat mondop. - sumber : thailandblog.nl
 
Phra Arthit Pier
Jualan barangan pakaian dan cenderahati di Jeti Phra Arthit.
Setelah melalui perjalanan menyusuri sungai selama 30 minit, feri yang kami naiki tiba di jeti terakhir iaitu di Jeti Phra Arthit. Semua penumpang wajib turun di jeti ini, feri akan datang kembali dalam masa 30 minit.

Di Jeti Phra Arthit ada kemudahan tandas dan ada jualan pakaian serta barangan cenderahati di sepanjang lorong laluan untuk keluar.

Phra Arthit Pier
Jalan Phra Arthit.
Keluar dari kawasan jeti, kami menuju ke sebelah kiri. Lepas tu berpatah balik menuju ke sebelah kanan jalan pulak. Jalan-jalan memerhati kawasan sekitar. Antara yang saya perasan, Khaosan Art Hotel dan bangunan pejabat Food and Agriculture Organization of The United Nations.

20 minit berjalan-jalan di Jalan Phra Arthit, kami kembali ke jeti. Sampai di jeti saya nampak dah ramai penumpang yang menunggu untuk sama-sama naik feri.

Selepas ini merupakan pusingan kedua bagi kami menaiki feri menyusuri sungai Chao Phraya, kami akan turun untuk berjalan-jalan di lokasi pilihan.

Ceritanya bersambung di bahagian 2.






.

15 comments:

  1. wah dah cantek boarding pass dia hehehe

    ReplyDelete
  2. Menarik perjalanan Uji ke Bangkok. Baru tahu ada perkhidmatan feri menyusuri Sg Chao Phraya ni, seronok lihat pemandangan yg berbeza di negara orang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun baru tau masa buat carian pasal Bangkok. Terus masukkan dalam itinerari wajib buat/pergi.

      Delete
  3. Tiada penat kena jalan setiap tempat tarikan sebab naik feri. Nampak selesa dan lengkap tempat perlepasan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, duduk je diam-diam sambil tengok dari jauh 😁. Jadiklah..buat pengetahuan am gitu. Kot nak tau lebih lanjut, barulah kita turun pergi dekat. Alhamdulillah memang selesa ferinya.

      Delete
  4. Lumayan besar juga ya kapalnya..nah jalan keliling "kayak gini yg bikin seru..apalagi pas nyampe di tempat jual sovenir hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Seronok tengok macam-macam souvenir, tapi cuci mata je tak membeli pun 😄

      Delete
  5. Seronoknya jadi pelancong macam ni. Dia punya pengangkutan awam cekap, sama ada tren atau feri. Untung beli pas unlimited macam ni. Patut la jumlah steps Ujie banyak. :D

    ReplyDelete
  6. Best jugak naik boat. Dalam boat pun bersih. Mesti rasa selesa sangat. Permandangan pun menarik.

    ReplyDelete
  7. Banyak pengalaman yang diperoleh kalau travel sendiri tanpa agen.

    ReplyDelete
  8. wah...menarik juga jalan ceritanya...teringin juga nak pergi ke sana suatu hari nanti

    ReplyDelete
  9. luas & selesa tourist boat...dulu kami naik bot tambang biasa..pelbagai jenis yg naik bot, ada budak sekolah, yg baru balik pasar, yg nak pi kerja...Chao Phraya pun besar, gerun tengok..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****