Thursday 30 April 2020

Kenangan Kesibukan Berniaga Online di Bulan Ramadhan

Hari ini hari ke-7 kita menjalani ibadah puasa. Juga hari ke-2 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020.

Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya, di mana saya sibuk dengan urusan jualan tudung secara online (kadang-kala ada juga tambahan jualan baju dan anak tudung berdagu). Ramadhan tahun ini saya bebas dari rutin buat iklan di Facebook dan Instagram, kemaskini stok di blog jualan, melayan juga menerima pesanan pelanggan di WhatsApp, Facebook dan Instagram, membeli stok jualan, memeriksa stok tudung yang diterima, melakukan kerja pembungkusan untuk di pos, menulis borang pengeposan dan memastikan tudung selamat sampai ke tangan pelanggan. Fuh!

Saya hadkan masa melayan pelanggan sehingga jam 11 malam sahaja (samada pada bulan puasa atau hari-hari biasa), tetapi mula melayan pelanggan seawal waktu sahur (pada bulan puasa). Biasanya pada bulan puasa, pelanggan lebih aktif membuat pembelian pada waktu lewat malam dan waktu sahur membawa ke selepas Subuh.

Setiap tahun, memang saya alami kesibukan luar biasa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Lebih tepat, kesibukan bermula sebelum puasa dan semakin berkurang pada pengujung puasa. Pada masa ini sahajalah peluang untuk menjana pendapatan lebih tinggi dari biasa. Rekod jualan bulanan tertinggi adalah pada tahun 2017 iaitu melebihi RM10,000. Tahun tersebut juga mencatatkan rekod paling cemerlang sepanjang saya menjual secara online, dengan jualan menghampiri RM72,000. Tapi jangan salah faham pulak ya, itu adalah nilai jualan dan bukan nilai keuntungan yang diraih.

Biarpun taklah begitu banyak, tetapi untuk saya yang bekerja sendiri dari rumah ia sudah cukup memuaskan hati. Memang sangat penat, kadang sampai lenguh jari-jemari melayan pelanggan tak henti-henti.

Sehinggalah pada tahun lepas (2019), saya memutuskan untuk berhenti dari menjadi reseller tudung setelah melakukannya selama 6 tahun. Saya ada dua alasan - hilang minat dan permintaan yang semakin kurang (mungkin atas faktor kelembapan ekonomi semasa, persaingan pengeluar tudung yang makin banyak dan perubahan minat pelanggan). Maka, tahun 2019 menjadi tahun terakhir saya berniaga di bulan puasa.

Dan mulai tahun 2020, saya meneruskan jualan sebagai ejen dropship (tak pegang stok, cuma ambil pesanan dan urusan pos di buat oleh pembekal) sekadar untuk membantu regular customer mendapatkan tudung. Pada awalnya saya nak berhenti sepenuhnya, tapi bila dah lama berniaga tudung ni kita ada pelanggan biasa yang tetap cari kita untuk membeli. Maka, saya masih kekalkan medium jualan saya di Instagram. Manakala di Facebook dan blog semuanya saya tutup. Saya juga tak lagi aktif membuat iklan, sekadar meletakkan gambar produk di Instagram untuk pelanggan pilih.

Kat bawah ni gambar-gambar aktiviti jualan tudung saya sekitar tahun 2016 - 2018. Saya letak sini sebagai kenangan.

Bungkusan stok tudung yang baru diterima. Biasanya menggunakan kurier servis City Link. Kalau terlampau banyak, saya akan pergi ambil sendiri di Gombak.

Sebelum beli stok, saya ambil pesanan pelanggan terlebih dahulu. Saya ada wujudkan broadcast di WhatsApp untuk para pelanggan yang pernah membeli daripada saya (saya masukkan mereka dengan izin dan kerelaan mereka). Mudah saya broadcast sebarang promosi/tudung terkini. Jadinya kita taklah beli kurang atau lebih berbanding permintaan. Macam tudung dalam gambar ni, 67 helai daripada 101 helai sudah pun ada tuan punya. Bakinya untuk jualan terbuka di blog/Facebook/Instagram.

Selepas setiap helai tudung diperiksa, barulah boleh bungkus mengikut pesanan pelanggan. Sekali lagi letih jari dek menulis maklumat pelanggan pada borang pos. Mujur juga untuk bahagian maklumat penghantar sudah sedia dicetak oleh pihak Pos Laju (saya buka akaun dengan Pos Laju).

Dah siap bungkus, letak dalam bakul di luar rumah. Tunggu posmen datang ambil. Tapi kan datang tak tentu masa, jadinya susah untuk saya sentiasa menunggu. Saya tinggalkan pesanan begini. Lama-lama saya dah tak perlu tunggu, posmen dah tau buka pagar sendiri, ambil bungkusan dan tinggalkan borang salinan untuk saya. Sangat mudah! Sebagai tanda penghargaan, pernah beberapa kali saya berikan biskut raya kepada mereka.

Inilah rak putih menempatkan stok jualan saya. Tak jumpa pulak gambar berwarna, jadiklah yang ni sekadar untuk kenangan. Sekarang rak ni dah kosong, tinggal beberapa helai tudung yang belum terjual.

Ok, selesai sudah catatan kenangan menjual tudung. Tiada lagi kesibukan serupa pada tahun ini. Barulah saya boleh kembali aktif menulis blog, dah tak sibuk kerja. Rutin Ramadhan kali ni pun turut berubah, saya dah boleh tidur seawal pukul 10 malam dan lebih masa untuk aktiviti sendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas segala rezeki dan pengalaman ini.

Thursday 23 April 2020

Bacaan Al-Quran Secara Berkumpulan di Grup WhatsApp


SOALAN

Dalam situasi kuarantin musim COVID-19 sekarang, tular dalam masyarakat kita untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk. Kebiasaannya akan dibuat di satu grup WhatsApp untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk masing-masing.

Situasi ini juga sering berlaku setiap kali menjelang bulan Ramadhan, kemudiannya setelah habis (sorang sejuzuk) mereka akan buat majlis khatam al-Quran.

Maka :
1. Apakah hukum membahagi bacaan juzuk al-Quran seperti di atas?
2. Adakah ia telah dikira sebagai khatam Al-Quran dan mendapat fadhilat majlis khatam Al-Quran?


JAWAPAN

1. Hukum membahagi bacaan al-Quran mengikut juzuk.
  • Rasulullah S.A.W tidak menentukan kaifiat atau cara khusus untuk mengkhatamkan Al-Quran. Maka, tiada halangan untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk. Ia merupakan ikhtiar untuk menggalakkan masyarakat memperbanyakkan bacaan al-Quran.
  • Yang penting,  kita harus fokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabbur (memahami dan menghayati makna al-Quran itu sendiri).

2. Adakah ia dikira khatam al-Quran dan mendapat fadhilat khatam al-Quran?
  • Tetapi, seseorang itu hanya dikira khatam Al-Quran apabila dia berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk secara penuh (iaitu dari juzuk 1 hingga juzuk 30) atau dia mendengar bacaan 30 juzuk secara bertadarus, iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus.
  • Sekiranya dia membaca bahagiannya atau juzuk tertentu sahaja, dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juzuk-juzuk berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam al-quran.
  • Antara fadhilat majlis khatam al-Quran ialah diturunkan rahmat dan doa yang mustajab ketika majlis tersebut.
  • Sekiranya terdapat salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut berjaya mengkhatamkan Al-Quran, maka fadhilat majlis khatam al-Quran itu akan diperoleh oleh semua orang yang menghadirinya. 
  • Sekiranya tiada dalam kalangan ahli kumpulan tersebut yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran, maka ahli kumpulan tersebut tidak mendapat fadhilat khusus majlis khatam al-Quran. Akan tetapi mereka tetap mendapat kelebihan majlis zikir yang juga dihadiri oleh para Malaikat. Wallahu a'lam.

Jawapan diambil dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Untuk huraian jawapan lebih terperinci, boleh baca di laman web muftiwp.gov.my 

Atau boleh juga dengarkan penjelasan berkaitan khatam al-Quran oleh Dr. MAZA di YouTube :



Buat rakan-rakan blogger,
SELAMAT MENJALANI IBADAH DI BULAN RAMADHAN ❤️
Catatan sejarah buat kita semua untuk berada di bulan Ramadhan dalam situasi negara sedang melawan COVID-19. Allah jua penentu segala, kita hanya hamba-Nya yang lemah.


Tuesday 21 April 2020

Tahukah Wahai Diri, Ke Mana Engkau Sedang Memandu?

Tajuk : Jalan Sehala
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun terbit : 2019
Jumlah muka surat : 370
Harga : RM30


Jalan Sehala merupakan buku pertama Hasrizal Abdul Jamil yang saya baca dan miliki. Sebelum ini saya pernah mengikuti penulisannya di laman web saifulislam.com dan kemudiannya di Facebook Page My Learning Journey.

Sewaktu kunjungan saya ke Galeri Jejak Tarbiah di Bangi, mata saya tertarik kepada buku ini. Saya membelek-belek isi buku dan membaca bahagian isi kandungan. Staf bertugas memberitahu 'buku ni agak 'berat''. Bagus sungguh staf ni tahu hampir setiap buku yang saya pegang dan menerangkan isi buku berkenaan apa.

Hmm...tak kan asyik nak baca bahan bacaan ringan je kan, sesekali minda kita perlu di isi dengan bacaan berat. Maka buku pemikiran kritis ini menjadi buku bacaan ke-3 saya untuk tahun 2020.

Sebahagian isi kandungan buku Jalan Sehala
Jalan Sehala merupakan nukilan kritis penulis terhadap pemanduan hidup manusia. Ibarat memandu sebuah kenderaan, cermin kanan memperlihatkan hal-hal positif dalam hidup yang patut kita syukuri. Cermin kiri mengingatkan kepahitan hidup dan ujian yang datang, ia boleh jadi sebagai kaffarah atas dosa, mahupun untuk meningkatkan darjat diri di sisi Tuhan. Cermin belakang menampakkan pengalaman silam yang mengandungi iktibar dan amaran. Manakala yang paling utama adalah cermin hadapan, perlu jelas dan tidak kabur untuk kita menempuh perjalanan dengan selamat.

Membaca buku begini memang terasa berat untuk dihadam, saya mengambil masa agak lama untuk menghabiskan bacaan. Kerap kali saya membaca berulang-ulang satu perenggan dek nak memahami atau kerana tertarik dengan ayatnya.

Oleh sebab membaca buku ini jugalah saya tahu mengenai Helen Keller dan menonton filem The Miracle Worker yang sungguh menginsafkan. Saya juga membuat carian Internet mengenai perkara-perkara lain yang sungguh terasa asing pada pengetahuan saya. Dan banyak juga yang saya tak mampu memahami dengan baik dek keterbatasan ilmu dan pemikiran saya. 


Petikan Buku
Saya sertakan di sini beberapa ayat yang menarik dan perlu disemat di dalam pemikiran kita.
  • Carilah ilmu, agar menyukai dan membenci, bukan sekadar ikut-ikutan. (m/s 84)
  • Tanda dunia ini dibelenggu kebodohan, apabila hidup kita dibingitkan oleh pendapat dan komen semua orang dalam semua perkara. (m/s 97)
  • Apabila mereka itu tidak Islam, ertinya kita harus lebih baik daripada cara mereka mengendalikan diri. Mereka membalas kejahatan dengan kejahatan. Kita membalas kejahatan dengan kebaikan. (m/s 127)
  • ..tidak minat bukanlah hujah untuk tidak mengambil tahu atau membiarkan diri dalam kejahilan. (m/s 185)
  • Lebih banyak ilmu dicari, akal berfikir, bertambahlah fahamnya seseorang itu, dan meningkatlah darjatnya dari satu kedudukan kepada kedudukan yang lebih baik. (m/s 208)
  • Usia matang ialah paksaan semula jadi. Fikiran matang ialah pilihan diri. (m/s 219)
  • Berlaku adil kepada kawan dan lawan ialah prinsip tinggi dalam Islam. (m/s 271)
  • Jika membenci, jangan sampai menzalimi. Jika mencintai, jangan sampai hilang pertimbangan. Kesetiaan kita bukan pada individu, aliran dan pemikiran. Kesetiaan kita adalah pada kebenaran. Kebenaran yang mendekatkan kita kepada al-Haq, Tuhan yang Esa, Pemilik agama ini. (m/s 284)

Buku ini bagi saya sangat bagus dan membuat kita berfikir mengenai banyak perkara disekeliling kita. Sangat disarankan untuk bacaan remaja / orang muda bagi membentuk pemikiran yang kritis dan luas.




Saturday 18 April 2020

Akhirnya...Sampai Jua Barang Yang Menjadi Buruan Ramai


Alhamdulillah...semalam dah selamat sampai medical face mask / topeng muka yang menjadi barang buruan ramai di musim COVID-19. Harganya RM76 sekotak dan caj pos RM7 (SM). Sekotak ada 50 unit.

Saya beli 3-ply face mask ni pada 21 Mac lalu, barang dijangka tiba dari China pada 4 April. Penjual seterusnya pos kepada saya pada 10 April lalu, dan semalam 17 April baru sampai. Agak lama dalam perjalanan, tersangkut di sana sini dek 'kesesakan' orang ramai membeli-belah secara online.


Masa saya beli tu, memang susah nak mencari penjual yang menawarkan harga yang sanggup saya bayar. Ramai juga yang menjual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan (rujuk gambar di atas). Ada seorang penjual yang saya hubungi menjual sehingga RM169 sekotak untuk 3-ply, sedangkan harga siling cuma RM100 sekotak. Masing-masing ambil kesempatan dek kurangnya stok face mask di pasaran pada ketika itu.

Sehingga akhirnya saya dapat membeli daripada seorang sahabat blogger - Munn (dah lama tak aktif menulis, tapi dia aktif berniaga barangan dari China). Harga berpatutan dan paling penting saya kenal dia dengan baik, tidaklah risau tertipu. Sebab masa tu banyak juga beredar viral mengenai kes kena tipu, risau jugak kan.


HARGA SILING TURUN KEPADA RM1.50 SEUNIT
Terkini, pada 30 Mac 2020 kerajaan telah pun menurunkan harga siling untuk topeng muka 3-lapis daripada RM2 kepada RM1.50 seunit. Iaitu RM75 sekotak.

Untuk bulan April ni nampaknya memang dah tak terlalu susah untuk kita cari face mask. Masing-masing dah dapat stok dari China. Ada yang jual serendah RM65 sekotak di Facebook.

Walaupun selepas berakhirnya PKP, saya rasa kita tetap perlu menggunakan face mask sebagai langkah berjaga-jaga bila berada di khalayak awam. Sehingga bila? Entahlah...mungkin sehingga tiada lagi pesakit COVID-19 yang dirawat. Iaitu sehingga negara kita bebas dari wabak yang membawa kematian ini.

Tuesday 14 April 2020

Grave of The Fireflies | Derita Si Kecil Mangsa Perang

Sebuah filem lama yang baru saya ketahui dan menontonnya. Kisah yang membekas di hati saya.


Grave of The Fireflies, sebuah filem animasi Jepun mengenai kisah perjuangan hidup dua beradik di Kobe, Jepun pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua. Filem hasil garapan Isao Takahata dan animasi oleh Studio Ghibli ini dihasilkan pada tahun 1988.

Filem berlatarkan tahun 1945 ini dihasilkan berdasarkan kisah benar yang ditulis oleh Akiyuki Nosaka.


Dua beradik iaitu Seita (14 tahun) dan adiknya Setsuko (4 tahun) melalui pelbagai kesukaran untuk terus bertahan hidup sewaktu meletusnya Perang Dunia Kedua. Seita digambarkan sebagai seorang abang yang sangat prihatin dan menyayangi adiknya Setsuko.


Sepanjang menontonnya, memang mudah saya mengalirkan air mata bila melihat si kecil Setsuko dan abangnya melalui penderitaan kesan peperangan ini.

Detik yang paling hiba, apabila Setsuko menghulurkan rice ball yang dibuatnya (gambar di atas) kepada Seita. Rice ball tersebut sebenarnya hanyalah kepalan lumpur/tanah, hasil imaginasi Setsuko yang sedang kelaparan 😢. Dan selepas itu, Setsuko akhirnya menemui ajal akibat kebuluran. Begitu juga abangnya, Seita.


Official trailer Grave of The Fireflies

Sesungguhnya, peperangan mengakibatkan kesengsaraan hidup dan meninggalkan parut luka yang amat dalam kepada yang melaluinya.

Bagi yang belum pernah menonton filem animasi ini, bolehlah menonton bersama anak-anak supaya mereka memahami derita peperangan dan lebih menghargai kehidupan yang ada.


Perang Dunia Melawan COVID-19

Hari ini, dunia sekali lagi sedang berperang. Sebuah peperangan menentang sesuatu yang tak nampak dek mata kasar, namun kesannya besar jika tertewas. Detik ini, kita hilang kebebasan untuk hidup normal. Dan ramai juga yang sedang menderita kekurangan makanan, kesan peperangan ini.

Esok, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga (15 April - 28 April 2020). Semoga kita semua terus bertahan untuk berjuang 'duduk di rumah'. Memang tak mudah, saya sendiri kadang-kala terasa stress. Entah rindukan bau hutan, atau entah bosan dek terperap di rumah tanpa sekali pun keluar sejak PKP dilaksanakan. Apa pun yang kita rasa, kita tiada pilihan selain terus berjuang. Kepada Allah kita memohon kekuatan jiwa. Kita mesti menang!

Friday 10 April 2020

Bingka Labu Lemak Manis

Beberapa hari ni kawan tayang Bingka Labu buatannya, kebetulan kat rumah ni memang ada labu. Terus rasa nak cuba buat jugak, walaupun Bingka Labu bukanlah kategori kuih yang diminati. Saya buat carian di internet, pilih-pilih nak ikut resepi mana satu. Lepas tu check bahan hampir semua ada atau ada bahan pengganti, kecuali esen vanila dan bijan. Ah...buat jugaklah walaupun tanpa dua bahan tu. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni tak bolehlah sikit-sikit nak keluar cari barang, pakai jelah apa yang ada.

Saya pilih ikut resepi dari blog yatiememories. Saya catatkan semula di sini untuk mudah saya rujuk pada masa akan datang. Untuk bahan-bahan saya ambil terus dari blog beliau, manakala untuk cara-cara tu saya sesuaikan dengan cara saya.


BINGKA LABU LEMAK MANIS
=========================
Bahan-bahan :
  • 2 biji telur
  • 2 cawan santan (saya guna 1 kotak santan 200ml dan air biasa)
  • 1/2 cawan susu cair (saya guna Dutch Lady Full Cream Milk)
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula pasir halus
  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanila (saya tak letak, tiada stok)
  • 2 sudu besar butter / minyak sapi (saya guna minyak masak)
  • 2 cawan labu yang telah direbus, tos dan dilecek (saya kukus dan lecek)
  • sedikit bijan untuk ditabur di atas permukaan kuih (saya tak letak, tiada stok)

Cara-cara :
  1. Kupas kulit labu, potong kecil dan kukus sehingga lembut. Lecekkan dan sukat untuk 2 cawan.
  2. Dengan menggunakan blender, satukan semua bahan di atas (kecuali bijan). Kisar sehingga sebati dan halus.
  3. Tuang adunan ke dalam loyang, taburkan bijan dan bakar (saya guna Panasonic Microwave Oven - terus masukkan dan tekan auto menu 'CAKE').
  4. Dah masak, biarkan sejuk sekitar 2-3 jam sebelum dipotong.

* labu yang dilecek tu saya bahagi dua. Satu bahagian saya blend sekali, manakala satu bahagian lagi saya cuma masukkan dalam adunan dan dikacau rata. Tujuan supaya masih ada tekstur labu pada bingka tu nanti.

* preset time untuk auto menu kek pada microwave oven saya adalah 45 minit. Dah siap tu saya tekan sekali lagi auto menu kek untuk tambahan masa selama 15 minit. Tujuannya supaya permukaan bingka lebih berkerak.

------------------------------------------

Saya kukus labu guna Philips Pressure Cooker (PPC). Letak labu atas dulang pengukus, bawahnya letak sedikit air. Tutup periuk - tombol SEAL - mode STEAM/STEW - set KPT 10 mins - Start. Hasilnya labu sangat lembut. Dalam gambar di atas ni yang dah siap kukus.

Adunan yang dah dikacau rata dengan satu bahagian labu lecek. Masuk dalam loyang non stick, tapi sebab risau kot la melekat jugak maka saya sapu dengan marjerin.

Inilah hasilnya....BINGKA LABU. Ni saya potong selepas lebih 2 jam. Itu pun masih terasa hangat. Kenapa tak boleh potong panas-panas? Sebab bingka belum mengeras, potong jadi tak cantik. Juga gunakan pisau plastik supaya tak melekat dan potongan cantik. Lagi pulak loyang non stick memang tak bolehlah guna pisau biasa.

Alhamdulillah...saya agak puashati dengan hasil percubaan kali ni. Cuma, disebabkan tak letak esen vanila maka ada berbau telur sedikit. Takpelah, lain kali boleh buat lagi dengan bahan yang lengkap. Saya ni jarang sangat buat kuih/kek, tu pasal tak simpan esen vanila bagai. Tiba-tiba masa PKP ginilah rajin nak masak itu ini...huh!


Wednesday 8 April 2020

Philips Chopper Pengganti Lesung

Dah agak lama saya berhajat nak beli satu alat yang boleh menggantikan kerja menumbuk lesung.

Kalau memasak kuantiti banyak, saya terus je gunakan blender. Tak ada masalah. Tapi kalau sekadar untuk masakan harian yang sedikit atau perlu kering, kena jugak ketang ketung menumbuk. Dan pada kebanyakkan masa tentulah saya masak sedikit, ahli rumah cuma dua orang 😀

Selepas fikir-fikir (baca : buat carian internet, baca review orang, lihat perbandingan harga), saya akhirnya buat keputusan nak membeli Philips Chopper. Dah tau brand, model dan harga normal, bolehlah tunggu bila Shopee atau Lazada ada buat sale. Hehe...bukan barang kategori urgent pun kan. Ngam kena harga yang kita nak...cepat-cepat klik beli.

Alhamdulillah...dapat beli Philips Daily Collection Chopper model HR1393/01 pada harga RM83 di Shopee. Ada sale di kedai Philips Official Estore, dapat juga percuma pos. Beli 31 Mac, dengan pantasnya dapat pada 2 April.

Jom ler kita cuba...ni nak 'menumbuk' bawang, kunyit, halia dan serai. Saya potong kecik-kecik jugak supaya lebih mudah hancur. Haha...dah terbiasa buat untuk menumbuk.

Inilah hasil beberapa kali tekan. Chopper ni guna kaedah tekan-tekan (easy press-down operation). Sama macam menumbuk di lesung, bolehlah kita sesuaikan nak kasar atau halus mana.

Setakat ni saya puashati dengan chopper ni. Mudah untuk bahan masakan yang sedikit, senang nak menumbuk cili tak lagi terpercik ke mata dan dah boleh kisar kering. Nak guna untuk kisar basah (letak air sedikit) pun boleh.

Satu lagi ciri penting - ia mudah dibasuh. Ada 3 bahagian yang perlu dibasuh - mangkuk (bowl), bahagian pisau (mudah pasang/buka) dan penutup. Nak beli apa-apa alatan dapur, memang inilah antara ciri yang mesti kita ambil kira. Kalau leceh, lama-lama kita jadi malas nak pakai. Membazir beli.

Kot esok-esok rindu nak menumbuk, boleh la guna balik lesung tu. Ketang ketung...lain feel memasak tu kan! Dan selepas ini blender saya tak lagi perlu buat dua kerja berbeza - kadang kisar buah untuk buat jus, kadang kisar bahan masakan. Mujur setakat ni belum pernah lagi jus tembikai saya rasa bawang/serai/cili 😅


Saturday 4 April 2020

Flora di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan

Hari ke-18 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini bermaksud sudah 19 hari saya berkurung di rumah. Kali terakhir saya keluar adalah pada hari Isnin 16 Mac 2020, menemani suami ke Mersing atas urusan kerja.

Saya tak menghadapi masalah berkurung di rumah, sebab dah terbiasa. Cuma sesekali ada kerinduan pada suasana di hutan. Mujur sekali saya sempat menikmati hijau alam di Dabong, Kelantan dan kemudiannya di Taman Negara Pahang pada penghujung Februari. Terima kasih Allah atas segala kesempatan ini.

Bila tak dapat masuk hutan, membelek gambar pun sudah cukup memberi rasa gembira dan penawar seketika sementara PKP. Inilah gambar-gambar flora di Taman Negara Pahang yang menarik perhatian saya dan yang sempat saya ambil gambarnya...

1.

2.

3.

4.

5.

6.

7. Dedaun yang macam pokok semalu ni agak unik, mempunyai warna yang menarik - hijau kebiruan. Juga unik sebab daunnya mempunyai warna berbeza pada satu tangkai yang sama.


Alam semulajadi kelihatan seperti bisu dan kaku, tetapi tidak bagi sang pencintanya. Yang melihat setiap sudut alam itu sebagai satu keindahan dan kebahagiaan.


Wednesday 1 April 2020

Penulis Novel Kegemaran | Tere Liye

Selain Ramlee Awang Murshid, saya turut menggemari hasil karya seorang penulis Indonesia - Tere Liye. Saya mula 'berkenalan' dengan karya penulisan Tere Liye melalui novel Rindu, sekitar tahun 2017. Selepas itu saya menjadi benar-benar 'rindu' nak membaca semua karya yang dihasilkan beliau, dan mula menjadi pengumpul koleksi novelnya.

Koleksi karya Tere Liye milik saya buat masa ini, ada 18 buah. Dan masih banyak lagi yang belum saya miliki dan baca. Semua ni novel, kecuali Dikatakan Atau Tidak Dikatakan Itu Tetap Cinta merupakan kumpulan sajak. Ajaibnya, saya bukan peminat sajak tapi kali ini boleh suka dengan sajak-sajak beliau.

Menariknya karya Tere Liye, tema ceritanya pelbagai. Menjadikan saya tak bosan membaca setiap novelnya. Kisah perjuangan hidup, politik, cinta, konflik diri, agama, inspirasi, fiksyen sains, fantasi dan humor semuanya diolah dengan sangat menarik.

Kalau ditanya mana satu novel Tere Liye yang best dibaca? Boleh saya katakan semua koleksi yang saya miliki di atas memang best dibaca. Kecuali satu saja yang saya kurang terasa nikmat sewaktu membacanya - Berjuta Rasanya. Dan kalau ditanya novel mana satu untuk saya cadangkan bagi pembaca yang pertama kali mahu 'berkenalan' dengan karya Tere Liye? Jawapan saya - novel Rindu. Itu jawapan saya, berdasarkan minat saya.

Novel bersiri genre fantasi dan fiksyen sains yang sesuai untuk remaja. Tapi saya yang 'remaja purba' pun sangat meminati novel siri Bumi ni, sentiasa ternanti-nanti novel sambungannya.


Tere Liye...Bukan Nama Sebenar
Ramai yang menyangka Tere Liye itu seorang wanita berdasarkan nama. Hakikatnya, beliau adalah seorang lelaki dengan nama sebenarnya Darwis. Menariknya, beliau adalah seorang akauntan dan menulis novel hanya sebagai hobi.

Beberapa karyanya juga pernah diadaptasi ke filem - Hafalan Shalat Delisa, Moga Bunda Disayang Allah dan Bidadari-Bidadari Surga.


Ada sesiapa geng saya - peminat karya Tere Liye? 🙋