Tuesday, 30 June 2026

Harum Mewangi Bingkisan daripada Blogger Fanny

Petang hari Isnin, 22 Jun 2026. Saya terima bingkisan dari sahabat blogger Indonesia - Fanny yang sedang bercuti di Malaysia.

Meriah sana sini entri kisah percutian dan pertemuan Fanny dengan sahabat blogger Malaysia. Seronok saya tengok jalinan persahabatan yang bermula hanya menerusi komen-komen di blog, seterusnya bertemu depan mata.

Berbalik kepada cerita bingkisan wangi yang saya terima.


Fanny beri rangkaian produk Secret Garden - Room & Linen Spray, Eau De Parfum dan Hand Cream. Juga produk Habbie - Aromatic Cajuput Oil.

Room & Linen Spray sangat membantu mengurangkan bau buah durian dalam kereta kami. Bawa durian cuma sekali, tapi nak hilangkan bau punyalah susah ya. Selepas dua kali sembur dengan produk pemberian Fanny, barulah selesa naik kereta dengan aroma segar. 

Sehelai tudung empat segi berwarna maroon dengan kemasan pembalut putih di dalam kotak hitam. Tudung ini juga berbau wangi!

Entah suratan atau kebetulan - saya baru membeli sehelai baju warna maroon tanpa corak dan bila diacu baju tersebut dengan tudung pemberian Fanny ni, memang sesuai sangat. Tersenyum lebar saya.

Klik foto untuk paparan lebih jelas ya.
Saya tertarik dengan kata-kata pada kad dalam kotak tudung ni. Penuh inspirasi.

***

Setinggi penghargaan buat sahabat blogger Fanny yang sudi mengirim bingkisan buat saya. Rasa terharu dan gembira saya menerimanya. Alhamdulillah…blog mampu menjadi jambatan ukhuwah antara dua negara.


TERIMA KASIH FANNY 💕
Moga Allah membalas segala kebaikan Fanny.







Sunday, 28 June 2026

Ziarah Luar | Sekitar Mekah

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KETIGA | KHAMIS, 9 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Pengalaman Tawaf Sunat di Aras 1


Aktiviti hari ini - rombongan kami akan dibawa ziarah di sekitar Mekah dan miqat di Ji’ranah bagi jemaah yang mahu melakukan umrah tambahan. Para jemaah diminta berkumpul pada pukul 6.45 pagi di hadapan Hotel Olayan Ajyad yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan saya.

Dewan makan dibuka untuk sarapan bermula pukul 6 pagi. Saya makan sekadarnya saja buat alas perut - tak berani nak makan banyak untuk elak perut meragam, tambahan pula menu tersedia kurang kena dengan selera saya.

Pukul 7 pagi, bas yang membawa jemaah rombongan kami mulai bergerak menuju ke lokasi pertama iaitu Jabal Thur. Sepanjang perjalanan menaiki bas ini, ustaz menyampaikan kisah sejarah dan penerangan berkenaan tempat-tempat yang kami lalui/pergi.

Buat kali pertama, saya dapat melihat rupa kota Mekah yang dikelilingi oleh bukit-bukit berbatu. Terfikir bagaimana agaknya keadaan tempat ini pada zaman para nabi dahulu? Terbayang tentu sangat sukar kehidupan ketika itu dengan keadaan bentuk muka bumi berbukit dan tanah tandus.


Jabal Thur | Bas kami tiba di lokasi pertama iaitu Jabal Thur (Bukit Thur). Di puncak bukit inilah letaknya Gua Thur yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA daripada musuh ketika penghijrahan dari Mekah ke Madinah.

Apa yang saya faham - tempat bas kami berhenti ini bukanlah kawasan pintu masuk utama di kaki bukit untuk ke Gua Thur. Kami tak ke sana bagi mengelakkan kesesakan, selain faktor masa terhad.

Jabal Thur
Pukul 7.15 pagi - cahaya matahari memancar garang, tapi tidaklah rasa berpeluh kerana cuaca di sini panas kering.

Memerhati bukit yang tandus begini, tak terbayang bagaimana sukarnya Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA ketika itu yang bukan saja berusaha menyelamatkan diri tetapi menyelamatkan risalah Islam.

Jabal Thur
Lori kecil menjual aiskrim. Di kawasan ini juga ada penjual jalanan yang membawa helaian jubah dan buku. Gigih mereka mencari rezeki, jubah dipegang dengan tangan di bawa ke sana sini.

Jabal Thur
Walaupun hanya bukit yang kering tandus tanpa tumbuhan hijau, tapi saya suka menyaksikan pemandangan di sini.

Kunjungan ke sini menerbitkan rasa insaf mengenang pengorbanan dan perjuangan Rasulullah SAW demi memastikan kita merasai nikmat iman pada hari ini. 


Arafah | Kami dibawa melalui kawasan Arafah - tempat di mana jemaah haji diwajibkan wukuf (berhenti) pada 9 Zulhijjah. Dapatlah saya melihat bagaimana rupa khemah-khemah di Arafah yang pada ketika itu sedang dipersiapkan untuk musim haji yang bakal tiba. Walaupun bas hanya melalui tanpa berhenti, tetapi pengalaman ini cukup memberi sedikit gambaran dan melonjakkan keinginan menunaikan haji.


Jabal Rahmah | Bas kami berhenti di kawasan berhampiran Jabal Rahmah - lokasi pertemuan semula Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa setelah dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi.

Jabal Rahmah
Dari tempat bas berhenti, kami perlu berjalan kaki agak jauh untuk ke pintu masuk Jabal Rahmah. Sepanjang laluan, suasana meriah dengan gelagat para penjual. Eh, terasa macam pergi pasar pagi pulak.

Jabal Rahmah
Hanya mampu mengintai dari celahan pintu pagar. Rupa-rupanya tempat ini ditutup sebagai persediaan dan persiapan musim haji. Kalau pun boleh masuk, entah saya larat atau tidak nak terus melangkah. Penat badan masih belum surut.

Kami berpatah balik ke tempat bas. Masing-masing mula fokus membeli-belah. Saya sekadar tengok-tengok saja, belum berminat nak membeli apa-apa.

Arafah
Saya berdiri di tepi, memotret kawasan sekitar. 

Arafah
Tak pasti, adakah ini juga khemah untuk para jemaah wukuf di Arafah?

Naik bas, kami diberi sebungkus roti dan sebotol minuman.


Muzdalifah | Bas kami singgah sebentar di Muzdalifah - di suatu kawasan yang sedang dalam kerja-kerja pembinaan atau mungkin kerja penyelenggaraan sebagai persiapan musim haji.

Muzdalifah
Jemaah yang mahu melakukan ibadah umrah diminta menggunakan tandas/tempat wuduk di sini sebagai persiapan sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Ji’ranah. Rakaman foto dari jendela bas - kurang jelas dan berwarna kekuningan.


Mina | Seterusnya kami dibawa melalui kawasan khemah di Mina dan kompleks melontar jamrah. Boleh saksikan rupa kompleks melontar jamrah dalam video di hujung entri ini.

Mina
Deretan khemah di Mina.

Mina
Ustaz tunjukkan struktur seperti kubah kecil di lereng bukit di Mina  - lokasi Nabi Ibrahim diperintah oleh Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.


Miqat di Ji’ranah | Lokasi terakhir - kami dibawa ke Masjid Ji’ranah untuk miqat dan melakukan solat sunat ihram bagi jemaah yang melakukan umrah tambahan.

Masjid Ji’ranah
Keadaan agak sesak di masjid ini. Fahamlah saya kenapa bas singgah di Muzdalifah tadi.


Kembali Ke Hotel | Pukul 10 pagi, bas membawa rombongan kami kembali ke hotel.


Makan Tengah Hari | Sebelum balik ke bilik, saya dan Encik Suami membeli makanan untuk tengah hari. Kami singgah di deretan kedai yang terletak di celah bangunan. Di sini kami bertemu dengan kumpulan jemaah Thailand. Tak bertegur sapa pun, cuma terdengar perbualan mereka dalam bahasa Thai.

Kami beli bungkus, lebih selesa makan di bilik.

Set ayam goreng - dilengkapi kentang goreng dan sejenis roti nipis. Diberi juga sos tomato dan mayonis. Harganya 22 riyal. Ayam gorengnya sedap rangup cuma kurang rasa. Syukurlah bawa peket sos cili dari Malaysia, barulah laju makan.

Beli aiskrim, harganya 10 riyal. Masa beli siap boleh pilih nak perasa apa, saya pun dengan gembira pilih blueberry dan strawberi. Eh, rupa-rupanya cuma warna biru dan merah. Tak ada rasa blueberry dan strawberi pun, cuma rasa manis je.


Video ringkas ziarah sekitar Mekah.







Wednesday, 24 June 2026

Sabun Tanah Liat Untuk Sertu

Baru-baru ini saya beli sabun tanah liat untuk tujuan sertu. 

Apa itu sertu? 
Sertu adalah cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan khinzir yang terkena pada pakaian, badan atau tempat dengan membasuh air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan air tanah.

Beli sekotak sabun tanah liat di kedai Shopee - mypapillon.

Dalam kotak terdapat tiga buku sabun bersaiz kecil.

Tujuan saya beli sebagai persediaan jika bermusafir ke tempat yang susah nak dapatkan tanah untuk melakukan sertu. Persediaan dibuat setelah berlaku satu hal ketika kembara saya dan Encik Suami ke Lijiang, Yunnan, China pada bulan lepas.

Ceritanya - ketika kami berjalan-jalan di Lijiang Old Town, kaki seluar Encik Suami telah bersentuhan dengan hidung/mulut seekor anjing peliharaan. Keadaan di situ agak sesak, bukan saja dengan manusia tetapi ramai pula yang membawa bersama anjing kecil. Saya perasan ada seekor anjing comel berhampiran kami yang aktif bergerak ke sana sini, menghidu itu ini. Tak sempat nak mengelak, hidung/mulut anjing tersebut dah pun menyentuh kaki seluar Encik Suami. Saya nampak dengan jelas.

Nak segera basuh di penginapan, mana pulak nak cari tanah. Jadinya dengan berhati-hati seluar tersebut dibungkus untuk basuh bila balik rumah. Kebetulan masa tu tidaklah terdesak - masih ada seluar bersih yang lain dan lagi dua hari akan balik ke tanah air.

*****

Nak faham lebih jelas berkenaan anjing sebagai najis mughallazah (najis berat), jemput baca penulisan oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri  —>  Pakaian Bergesel dan Dicium Oleh Anjing Dikira Terkena Najis?


Ragu-ragu adakah sabun tanah liat boleh menggantikan tanah? Baca penulisan ini —> Menggantikan Tanah dengan Sabun Tanah Liat






Sunday, 21 June 2026

Bunga Ros Oren Diserang Ulat

Ini merupakan pengalaman pertama saya tanam pokok bunga ros di halaman rumah. Pokoknya saya beli di sebuah nurseri pokok di Sungai Petani, Kedah pada bulan Januari lalu. Kata penjual, ia pokok ros jenis tahan panas - sesuailah dengan cuaca di utara tanah air.

Bawa ke rumah Perlis, saya letak di tempat yang terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari pagi dan petang. Selepas bunga sedia ada mulai kering dan dicantas, tiada bunga baru yang muncul. Panas sangat agaknya, masa tu Perlis sedang mengalami musim panas kering - kemarau tanpa curahan hujan. Jadi Encik Suami alihkan pasunya ke tempat yang sedikit teduh - masih kena matahari pagi.

Alhamdulillah pada bulan Mac, pokok ros ini kembali berbunga! Bunganya sentiasa ada. Kadang muncul dua kuntum, kadang meriah sehingga empat kuntum sekali berbunga. Senang hati sungguh saya setiap kali membelek bunga di laman.

Bunga ros oren
Bunga ros dengan warna oren terang.

Bunga ros oren
Wangi baunya! Terapi mata dan jiwa saya.
.
.
.
.
.
Tapi sayang, semua keindahan ini tak kekal lama. Beberapa hari lalu, saya dapati bunga ros telah diserang ulat! Kelopak bunga ros yang baru mula berkembang sudah pun berlubang dan ada ulat.

Bunga Ros Oren Diserang Ulat
Berlubang kelopak bunga ros yang cantik ni dikerjakan dek ulat. Sekuntum bunga yang belum berkembang juga nampaknya sudah berlubang tanda sudah diserang ulat.

Tindakan saya - cantas dahan pokok bunga yang sudah diserang ulat dan sembur racun. Saya gunakan racun organik Mr Ganick Dr Neem. Harapnya usaha saya ni berkesan, moga kuntuman bunga ros seterusnya mekar cantik bebas serangan ulat.

Kalian ada pengalaman serupa? Bolehlah kongsikan dengan saya cara mengatasi masalah begini.







Friday, 19 June 2026

Pengalaman Tawaf Sunat di Aras 1

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
Hari Kedua | Rabu, 8 April 2026



Menyambung catatan hari kedua di bumi Haramain.

Tak terasa hari pertama di Mekah kerana saya tiba dan mendaftar masuk hotel sudah pun menghampiri tengah malam - hari pertama habis dalam perjalanan.

Masuk saja hari kedua selepas waktu tengah malam, bermulalah langkah pertama ke Masjidil Haram seterusnya melaksanakan rukun umrah seperti yang saya catatkan dalam entri terdahulu.


‘Jet lag’ | Menempuh penerbangan selama 9 jam ke Jeddah, kemudian menaiki bas kira-kira 2 jam ke Mekah dan terus selesaikan ibadah umrah sebaik tiba - membuatkan badan saya rasa letih lesu. Situasi ini berlarutan selama beberapa hari. Antara usaha yang saya lakukan - minum ORS (oral rehydration salt) juga vitamin harian - Vitamin C dan Omega 3 Fish Oil.

Mungkin ini kekurangannya jika kita masuk ke Mekah terlebih dahulu - badan tak sempat berehat dan sesuaikan diri dengan perbezaan masa 5 jam, tetapi kelebihannya kita sudah pun selesai tujuan utama iaitu menunaikan umrah pada detik awal tiba di tanah suci.


Sarapan di Hotel | Pakej penginapan saya dan Encik Suami di Mekah termasuk makan sarapan. Kami pergi ke dewan makan agak lewat iaitu sekitar pukul 9 pagi. Hotel kami terletak di Safwah Tower yang menempatkan beberapa hotel lain. Nak cari dewan makan hotel pun agak keliru, pusing sana sini tanya orang barulah jumpa.

Al Safwah Royale Orchid, Mekah
Banyak pilihan makanan tetapi bukanlah selera nusantara. Makan sajalah janji perut berisi.


Solat dan Tawaf Sunat di Aras 1 | Alhamdulillah badan saya terasa sedikit segar selepas tidur dan bangun beberapa kali (sejak selesai ibadah umrah kira-kira pukul 2.50 pagi tadi). Tenaga dah ada bolehlah beribadah di Masjidil Haram.

Waktu solat Zohor masuk pada pukul 12.23 tengah hari. Kami berdua menuju ke Masjidil Haram lebih kurang satu jam sebelum masuknya waktu Zohor. 

Masjidil Haram
Tiada perancangan nak masuk ikut pintu mana, terpandang ramp ini kami terus saja ikut arus para jemaah masuk ikut laluan ini. (Foto di atas saya rakam ketika selesai solat, sebab tu nampak ramai jemaah di laluan Exit.)

Masjidil Haram
Tertera papan tanda arah laluan ini menuju ke First Floor Tawaf. Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Masjidil Haram
Lampu hijau di tempat permulaan tawaf. Kami sempat melakukan tawaf sunat sebanyak tiga pusingan, kemudian berhenti apabila laungan azan Zohor berkumandang.

Allahu Akbar…syahdu dan nikmat sungguh rasanya mendengar laungan azan ketika diri berada dalam Masjidil Haram.

Jauh berbeza ya bila kita melakukan tawaf di mataf aras 1 berbanding di mataf aras bawah - suasana lebih tenang tanpa perlu bersesak, tetapi jaraknya lebih jauh kerana pusingan lebih besar.
Info | Mataf bermaksud tempat tawaf. Mataf bukan saja di aras bawah iaitu dataran paling hampir dengan Kaabah tetapi juga di aras lebih tinggi. Mataf aras bawah hanya untuk mereka yang memakai pakaian ihram.

Masjidil Haram
Tak sempat nak cari ruang solat muslimah yang ada alas karpet, saya solat je di tempat berhampiran dengan lampu hijau sebab nanti nak sambung melakukan tawaf sunat. Masa beginilah pentingnya kita bawa sejadah sendiri - boleh solat di mana-mana sesuai.

Kawasan di hadapan saya (selepas penghadang warna putih hijau) itulah kawasan mataf, boleh nampak Kaabah ketika melakukan tawaf.

Masjidil Haram
Biarpun bukan di atas karpet yang selesa dengan pemandangan Kaabah di depan mata, ia tetap menjadi detik manis buat saya kerana dapat menunaikan solat fardu berjemaah di Masjidil Haram.

Selesai solat Zohor dan solat jenazah, saya beredar bagi menyambung tawaf. Saya toleh ke belakang. Barulah saya perasan begitu ramai jemaah sedang menunggu untuk masuk. Petugas keselamatan menahan mereka sehingga solat jemaah selesai dan para jemaah bersurai. 

Saya dan Encik Suami bertemu di lampu hijau, kembali melakukan tawaf sunat yang berbaki empat pusingan. Semasa sedang berjalan, ada seorang lelaki menegur kami. Katanya, “Malaysia?”. Saya ragu-ragu nak menjawab kerana hampir terkena dengan scammer pada awal pagi tadi di tempat saie. Encik Suami yang membalas. Lelaki tersebut tersenyum, “Good…” katanya lagi sambil meneruskan langkah.

Masjidil Haram
Antara nikmat berada di Masjidil Haram, kita dapat minum air zamzam sepuasnya. Hampir setiap kali masuk masjid dan sebelum beredar, saya tak lepaskan peluang untuk menikmati air zamzam.

Dalam foto di atas ni tong air zamzam berada pada kedudukan sedikit tersorok, tiada orang jadi mudahlah saya rakam fotonya. Latar foto juga menunjukkan kerja penyelenggaraan dijalankan sebaik selepas selesai solat jemaah Zohor.

Masjidil Haram
Pemandangan semasa menuruni laluan ramp untuk kembali ke hotel di Al Safwah Tower.

Safwah Tower
Laluan masuk ke Al Safwah Tower. Sentiasa meriah kerana selain menempatkan beberapa buah hotel, di bangunan ini juga terdapat pasaraya, food court dan deretan kedai jualan.


Suasana Petang dan Senja di Dataran Masjidil Haram | Selepas Asar, jemaah kumpulan kami perlu berkumpul di Elaf Hotel untuk sesi post-mortem umrah. Seorang petugas Rayhar membawa kami dari lobi hotel penginapan kami ke Elaf Hotel. Tak begitu jauh tapi kedudukannya agak tersorok di celah bangunan.

Pukul 4.44 petang. Suhu ketika ini 33 darjah Celsius.

Sesi post-mortem umrah bertujuan bagi memastikan ibadah umrah yang telah dilakukan awal pagi tadi memenuhi syarat dan rukun. Sesi ini berakhir kira-kira pukul 6.05 petang.

Suasana senja nan indah di pekarangan Masjidil Haram. Foto dirakam ketika dalam perjalanan kembali ke hotel penginapan.


Food Court Safwah Tower | Pakej penginapan kami tidak termasuk makan tengah hari dan makan malam. Jadinya kami beli sendiri makanan di food court yang terletak di dalam bangunan Safwah Tower. Kiranya tak susahlah bab cari makan, food court dan hotel berada di bangunan yang sama.

Terdapat banyak pilihan gerai makanan termasuklah cita rasa Malaysia yang dijual di restoran Felda D’Saji. Sepanjang di Mekah, saya tak cuba membeli di Felda D’Saji. Mungkin tekak belum rasa rindu sebab kami baru saja tiba dari tanah air dan berada di Mekah hanya beberapa hari.

Begini rupa food court di sini. Tak banyak meja makan disediakan. Kami beli dan makan di bilik je, lebih selesa.

Antara pilihan yang ada.

Hidangan tengah hari kami - nasi kabsah kambing / 30 riyal dan minuman alpukat (avocado) / 10 riyal. Beli nasi tu siap diberi alas plastik makan, kami jadikan hamparan alas makan dalam bilik.

Hidangan makan malam - shawarma / 12 riyal, martabak cheese / 15 riyal dan dua jenis minuman / 18 riyal.


Catatan rekod berjalan kaki sebanyak 24,214 steps. Boleh bayangkanlah bagaimana penatnya badan dan letih kaki pada hari tersebut. Waktu awal pagi selesaikan rukun umrah (tawaf-saie) dan tengah hari buat tawaf sunat. 

Terima kasih Allah atas kurniaan kudrat buat saya terus melangkah walau diri rasa lelah.







Monday, 15 June 2026

Pertama Kali ke Pusat Beli-belah Terbesar di Perlis | Kangar Jaya Mall

Perlis sebuah negeri paling kecil di Malaysia dengan populasi penduduk sebanyak 284,885 orang - berdasarkan data bancian penduduk MyCencus 2020. Sekarang sudah pun tahun 2026, tentulah populasi tersebut sudah bertambah.  Data tersebut belum termasuk saya dan Encik Suami yang berhijrah ke sini pada November 2023 😀

Sesuai dengan keluasan kecil dan penduduk tidak ramai, pembangunan di Perlis tidaklah pesat sebagaimana negeri lain. Jadinya tak banyak pilihan bila kita nak membeli barangan atau mendapatkan servis tertentu - ini antara ‘kejutan’ yang saya alami ketika mula-mula berpindah 😄

Pun begitu, sedikit demi sedikit semua ini mulai berubah. Kawasan pusat perniagaan baharu iaitu Kangar Jaya semakin berkembang maju dengan pembukaan kedai-kedai terkemuka.

Pusat beli-belah terbesar di Perlis iaitu Kangar Jaya Mall (KJM) juga sudah beroperasi di kawasan Kangar Jaya mulai Disember 2025. Semalam, iaitu selepas lebih kurang 6 bulan beroperasi barulah saya menjejakkan kaki ke pusat beli-belah terbaharu. Jaraknya kira-kira 30 km dari rumah. 

Ahad, 14 Jun 2026 pukul 12.20 tengah hari.
Melewati jalan utama di bandar Kangar. Nampak sunyi dan lengang je kan? Kerana ini merupakan kawasan pekan lama Kangar. Kalau nak rasa suasana pekan lama, bolehlah berjalan-jalan di sini.

Kangar Jaya Mall
Bangunan Kangar Jaya Mall (KJM) yang terletak di kawasan Kangar Jaya, suasana di sini lebih meriah. Di sekitar KJM ni terdapat deretan bangunan perniagaan.

Seronok juga pergi KJM, kawasan parkir di luar tak penuh kenderaan jadinya tak perlu masuk parkir bertingkat dalam bangunan. Setakat ini tiada bayaran dikenakan.

Kangar Jaya Mall
Bangunan KJM setinggi tiga tingkat. Foto dirakam dari aras dua. Sejuk nyaman berada dalam ni, cuaca di luar tu pula panas.

Dalam foto di atas tak nampak ramai pengunjung sebab saya sebolehnya merakam foto ketika paling kurang orang. Hakikatnya, ramai pengunjung di sini. Perlis bukan hanya 8 orang ya 😆

Kangar Jaya Mall
Saya ke sini sekejap je, tak dapat berlama-lama. Jadinya tak sempat nak meronda ke seluruh tempat.

Kangar Jaya Mall
Antara kedai terkemuka yang ada di KJM - butik Siti Khadijah. Terdapat juga butik Bayu Somerset, Habib Jewels, Skechers, Kaison dan pawagam GSC.

Pendek kata, banyak perniagaan terkemuka membuka cawangan pertama mereka di Perlis. Semoga semuanya maju jaya dan kekal beroperasi di sini, tak perlu lagi kami ke Kedah atau P. Pinang.







Saturday, 13 June 2026

Melaksanakan Rukun Umrah | Tawaf - Saie - Tahallul

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
Hari Kedua | Rabu, 8 April 2026



Menjelang tengah malam (hari pertama tiba di sini), petugas Rayhar membawa kumpulan kami dari lobi hotel ke pekarangan Masjidil Haram untuk berkumpul bersama-sama dengan rakan jemaah yang menetap di hotel lain. Kedudukan bangunan hotel penginapan kami Al Safwah Royale Orchid berada tidak jauh dari Masjidil Haram, iaitu kira-kira 50 meter. 

Mekah, Arab Saudi
Pukul 12.13 pagi.
Ketika kali pertama saya memandang Masjidil Haram, terbit rasa kagum melihat keindahan seni binanya. MasyaAllah! Tambahan pula saya tiba di sini pada waktu malam dengan latar langit gelap dan limpahan cahaya lampu, Masjidil Haram kelihatan sangat gah.

Segala puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah yang memberi kesempatan buat saya dan Encik Suami menjejakkan kaki di sini.

Foto oleh petugas Rayhar, saya ambil di grup Telegram.
Sebelum masuk ke Masjidil Haram, kami diberi taklimat ringkas oleh mutawif. Ketika ini saya perasan jemaah kumpulan kami tak begitu ramai (rombongan kami tadinya seramai 86 orang), mungkin ramai yang dah berpengalaman menunaikan umrah jadi mereka pergi mengikut masa sendiri. 

Mendengar kata-kata ustaz, terasa hilang seketika rasa letih badan dan kepala senoneng berganti dengan perasaan berdebar dan teruja. Kami melangkah masuk bersama-sama sambil bertalbiah dan berhenti seketika membaca doa melihat Kaabah, kalau lama sikit nanti akan ditegur oleh petugas keselamatan.


⏵ TAWAF MENGELILINGI KAABAH 7 KALI
Kira-kira pukul 12.30 pagi, kami memulakan tawaf. Sebelum itu, ustaz memberitahu bahawa jemaah yang ada di mataf (dataran tawaf) pada ketika tersebut tak ramai (sedikit berbanding biasa). Menurut saya yang baru kali pertama melakukan tawaf, keadaan ketika itu sudah pun terlalu ramai.

Alhamdulillah kumpulan kami selesai melakukan tawaf dan solat sunat tawaf kira-kira pukul 1.05 pagi. Kemudian kami ke bahagian tepi untuk minum air zamzam - ianya merupakan perkara sunat selepas tawaf. Lain sungguh perasaannya dapat menikmati air zamzam dengan memandang Kaabah di hadapan mata sambil berdoa memohon perkara baik.

Setelah selesai tiga perkara di atas dan sementara menunggu rakan jemaah yang belum selesai, sempatlah saya memotret foto-foto di bawah sebagai kenang-kenangan.

Mekah, Arab Saudi
Kaabah dalam rupa sedikit berbeza. Penghadang kain dipasang keliling Kaabah kerana kerja penyelenggaraan yang bermula pada 6 April 2026 sebagai persediaan musim haji yang bakal tiba. Saya tidak terkejut kerana dah tahu lebih awal melalui info di media sosial.

Mekah, Arab Saudi
Pukul 1.17 pagi.
Tadi ketika menunaikan solat sunat tawaf, saya solat dalam keadaan bersesak dan tidak selesa. Saya tak tahu, jadi ikut saja rakan jemaah solat di kawasan tersebut. Rupa-rupanya kita boleh je solat di kawasan yang jauh sedikit (lokasi kedudukan saya merakam foto), lapang dan langsung tak bersesak. Bolehlah solat dan berdoa dengan lebih khusyuk.

Mekah, Arab Saudi
Laluan ke tempat saie. Seni bina yang indah.

Mekah, Arab Saudi
Kami berkumpul menunggu rakan jemaah yang lain di kawasan lapang berhampiran laluan ke tempat saie. Di lokasi ini juga letaknya tong air zamzam. Kelihatan juga para petugas pembersihan (memegang plastik hijau) sentiasa bergerak mengutip sampah dan cawan minuman dari para jemaah.

Pengalaman Pertama Minum Air Zamzam di Masjidil Haram | Tak sempat saya nak ambil sendiri air zamzam seorang petugas menegur “Malaysia…?”, kemudian menghulurkan secawan air zamzam. Tentulah mereka tahu saya dari Malaysia berdasarkan tali lanyard dan beg sandang dipakai.

Saya nampak ramai jemaah (bukan kumpulan kami) sedang bergilir mengambil sendiri air zamzam. Terasa begitu istimewa kan? Itu yang saya rasa.

Tetapi setelah beberapa ketika berada di Mekah, saya mula faham sesuatu - ada orang berbuat baik dengan kita kerana ikhlas dan ada juga orang berbuat baik dengan kita kerana mengharapkan balasan. Cerita selanjutnya di entri lain.


⏵ SAIE BERULANG ALIK 7 KALI ANTARA SAFA DAN MARWAH

Mekah, Arab Saudi
Tempat saie. Foto ini saya rakam setelah selesai semua rukun umrah.

Dari mataf (dataran tawaf) kumpulan kami bergerak ke tempat saie. Berbeza dengan tawaf tadi dalam keadaan bersesak, saie dilakukan dalam keadaan lebih santai kerana tidak perlu bersesak. 

Ketika ini terasa penat sungguh kaki, selepas melakukan 7 pusingan tawaf terus saja sambung berjalan ulang alik 7 kali antara Safa dan Marwah. Tetapi jika difikirkan penat tersebut tidaklah setanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Siti Hajar RA - berlari di padang pasir antara Bukit Safa dan Bukit Marwah demi mencari air dengan penuh rasa sabar dan keyakinan tinggi pada Allah. 


⏵ TAHALLUL MEMBEBASKAN DIRI DARI LARANGAN IHRAM
Selesai saie, kami melaksanakan tahallul di kawasan Bukit Marwah. Saya gunting sendiri rambut dengan menggunakan gunting yang dibawa - masukkan tangan disebalik tudung/telekung, ambil sedikit rambut dan gunting.

Simpan potongan rambut kita untuk buang di tempat sesuai, jangan biar bertaburan pula ya. Satu lagi hal yang penting bagi jemaah perempuan - jagalah aurat ketika bergunting di tempat umum. Saya perasan ada jemaah perempuan yang bergunting rambut (dengan dibantu orang lain) menyelak tudung hingga nampak kepala/rambut.

Selesai Rukun Umrah | Alhamdulillah jemaah kumpulan kami selesai melaksanakan semua rukun umrah kira-kira pukul 2.50 pagi (7.50 pagi waktu Malaysia).

Sekitar dua jam kemudian masuknya waktu Subuh, ada rakan jemaah yang mahu menunggu di dalam masjid kerana mahu menunaikan solat Subuh berhampiran Kaabah. Saya dan Encik Suami pula mahu terus pulang ke bilik - saya dah tak mampu menahan letih badan, mata mengantuk dan kepala makin rasa berat. Sudah lebih 24 jam tak dapat berehat dan tidur dengan selesa, tambahan pula malam sebelum bertolak saya sukar tidur maka bergandalah rasa mengantuknya tu.

Dihampiri ‘Scammer’ | Saya dan Encik Suami berjalan berdua sahaja untuk kembali ke hotel, berpisah dari kumpulan. Ketika itu kami masih lagi berada di tempat saie, tiba-tiba seorang lelaki berjalan rapat di sebelah Encik Suami.

Dia memulakan bicara dengan memberi salam seterusnya bertanya, “Malaysia?”. Tanpa sangkaan buruk, Encik Suami menjawab dengan baik pertanyaan lelaki tersebut. Seterusnya bermulalah cerita sedih. Itu ini begitu begini. Pendek cerita, dia meminta duit dari Encik Suami. Encik Suami tak layan dan segera kami lajukan langkah menjauhi lelaki tersebut.

Terkejut kami, baru beberapa jam tiba di Mekah sudah pun dihampiri scammer. Selepas itu baru saya tahu bahawa ia bukan perkara baru, sudah biasa terjadi cuma kami yang tak pernah tahu. Kesimpulannya, di mana pun kita berada perlu sentiasa berhati-hati - jangan mudah percaya dan diperdaya.