Petang hari Jumaat 18 September 2026, kami ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Terengganu Drawbridge) untuk naik ke bahagian menara.
Agak keliru mencari jalan ke kawasan tempat letak kereta untuk naik menara, tapi akhirnya kami sampai juga. Cuma kedudukannya agak jauh dari jambatan dan kami parkir di tanah lapang - bukan kawasan khusus tempat letak kereta. Ketika kami tiba, ramai juga pengunjung berada di sepanjang laluan ke jambatan - ada yang berjoging, ada yang duduk santai menikmati suasana.
Kami berjalan kaki menuju ke jambatan. Menarik juga dapat menyaksikan rupa Jambatan Angkat dari sudut ini. Sayang sekali tiada latar langit indah membiru dek jerebu yang melanda.
Jambatan Angkat mempunyai 4 buah menara yang dihubungkan dengan jejantas udara (skybridge). Terdapat menara tinjau dengan lantai kaca di kedua-dua hujung jejantas.
Kami tiba di kawasan bawah jambatan yang menempatkan tangga dan lif untuk kita naik ke jambatan. Tertera papan tanda - Tangga Selatan 1.
Keluar lif, sampailah kita di jambatan.
Teruskan berjalan menuju ke pintu masuk Tower 1.
Beli tiket di sini.
Terdapat dua pilihan jenis lawatan - galeri dan hydraulic tour (technical visit). Kami berminat dengan hydraulic tour, tetapi menurut staf bertugas - lawatan jenis tersebut tidak tersedia pada hari tersebut atas faktor cuaca. Kecewa jugalah, terlepas peluang melihat dengan lebih dekat struktur dan sistem kejuruteraan jambatan ini beroperasi.
Jadinya kami hanya melawat galeri dengan bayaran RM15 seorang dan tambahan sarung kasut RM2 seorang. Lepas pakai sarung kasut, kami naik lif untuk ke menara.
Keluar lif, petugas arahkan kami ke sudut yang menempatkan menara tinjau dengan lantai kaca. Tengok macam tak menyeramkan. Bila saya cuba melangkah, terus timbul rasa takut 😅
Gaya berlagak Encik Suami sebab berani melangkah sampai hujung. Tapi nak mulakan langkah tu memang geli hati saya tengok - berjalan macam baru belajar melangkah 😆
Eh…saya pun berani jugak tau. Ini bukti saya berjaya jalan atas lantai kaca.
Macam mana nak atasi rasa takut? Bila berjalan jangan pandang lantai dan jangan fikir kita berjalan atas lantai kaca 😄. Dah sampai tengah tu, rugilah pulak kalau tak melihat pemandangan di bawah. Terus rasa gayat bila saya nampak struktur jambatan dan air sungai di bawah.
Antara pemandangan menarik yang dapat dilihat dari menara tinjau berlantaikan kaca. Terdapat banyak bot pelancong - river cruise merupakan antara aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Dari sudut lantai kaca tadi, kita ke ruang galeri.
Saya bayangkan di galeri ini ada ruang pameran berkenaan Jambatan Angkat, tapi rupa-rupanya ia ruang yang menempatkan pameran serta jualan kraf dan juga aktiviti melukis batik. Selain itu, ia berfungsi sebagai tempat meninjau pemandangan sekitar.
Hasil foto dari menara Jambatan Angkat :
Pemandangan bandar Kuala Terengganu.
Seni bina gah Jambatan Angkat sepanjang 638 meter yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus.
Saya tiada info berkenaan kegunaan ruang jejantas udara satu lagi. Cubaan zoom-in, nampak meja dan kerusi. Mungkin ruang acara.
Zoom-in ke bawah melihat bahagian angkat (bascule) yang boleh diangkat bagi memberi laluan kepada kapal besar melintas. Tentu lebih menarik kalau ketika ini saya dapat menyaksikan jambatan ini sedang diangkat.
Video pendek sekitar kunjungan saya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Bagi mendapatkan info promosi dan makluman semasa, kalian boleh ikuti Facebook/Instagram : Kuala Terengganu Drawbridge. Selain paparan promosi, turut dimaklumkan hari dan masa bukaan bascule (jambatan diangkat). Bolehlah atur masa kalau nak menyaksikan detik tersebut.
















No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****