Friday 27 October 2023

Rumah PP - Rumah NS - Rumah P

[Catatan 19 - 23 Oktober 2023]

Agak lama saya tak mencoret di blog ini. Sebenarnya banyak yang nak dicatat, tetapi cukuplah sekadar beberapa keping foto di bawah dan catatan yang cuba saya ringkaskan sebagai satu kenangan hidup.


BALIK RUMAH NS
Encik Suami ada urusan di Selangor pada pagi Jumaat, jadinya lewat petang Khamis kami bertolak dari rumah PP menuju ke rumah NS. Perjalanan kami mengambil masa hampir 7 jam dalam keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan.

19 Oktober 2023 | 6.20 petang.
Pemandangan yang indah di mata saya, suasana berkabus tebal di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Kuala Kangsar menuju ke Ipoh.

20 Oktober 2023 | 11 pagi
Hampir 4 bulan tak menjenguk rumah NS, banyak kerja pembersihan perlu saya lakukan di dalam dan di luar rumah. Dahan pokok bunga Cempaka Kuning depan rumah yang hampir menutupi nombor rumah kami perlu dipangkas. Saya buang dahan yang kecil jelah, kalau dahan besar kena tunggu Encik Suami buat. Pokok bunga Cempaka Kuning ini ditanam oleh pemaju. Bunganya berbau wangi, kalau waktu malam lebih kuat baunya sehingga ada yang fikir bukan-bukan 👻

Waktu petang selepas Asar, saya ke rumah jiran di lorong yang sama. Dapat berkumpul bertiga dengan jiran selorong pun dah cukup rasa seronok. Macam-macam kami bualkan sampai hampir waktu Maghrib barulah balik rumah. Saya kenal mereka ni sejak sama-sama berpindah masuk rumah baru, iaitu sekitar tahun 2014. Memang dah rasa mesra dan rasa bebas berbual macam saya jumpa kawan zaman sekolah. Terima kasih Allah atas ukhuwah ini ❤️

Nilai 3 Wholesale Centre
21 Oktober 2023 | 11.10 pagi
Hari Sabtu, saya dan Encik Suami ke Nilai 3 Wholesale Centre yang berjarak sekitar 6.6 km saja dari rumah kami. Kami ke sini untuk menempah langsir sliding door dan membeli bidai tingkap jenis Zebra untuk rumah di tempat baru nanti. Alang-alang ada urusan dan perlu balik rumah NS, bolehlah kami ke sini. Kalau tak, kami rancang nak beli saja di Kedah atau Perlis.


KEMBALI KE RUMAH PP

22 Oktober 2023 | 7.40 malam
Biasanya jika kami bertolak ke utara pada waktu pagi hari Ahad, trafik lancar kerana tiada deretan kenderaan berat dan tiada kerja baik pulih jalan pada hari cuti hujung minggu.

Tetapi kali ini kami bertolak waktu petang, pergerakan trafik perlahan di kebanyakkan tempat. Mungkin sebab ramai yang memilih bergerak lewat petang atau malam dan ditambah dengan keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan. Kami sampai rumah PP menghampiri waktu tengah malam. Letih sungguh.


PERSIAPAN PINDAH MASUK RUMAH DI TEMPAT BARU
Sebelum ini, dah dua kali kami berkunjung ke rumah di tempat baru untuk melihat keadaan rumah dan ambil ukuran sliding door serta tingkap. Kali ini kami datang untuk membuat persiapan masuk - nak buat kerja pembersihan rumah serta memasang langsir dan bidai.

Klippa Shopping Centre
23 Oktober 2023 | 2.30 petang
Kami ke IKEA Batu Kawan di Klippa Shopping Centre untuk membeli rod langsir sliding door. Lepas tu ke MR. DIY untuk membeli peralatan pembersihan. Kali ini kami bakal masuk rumah yang dah berusia puluhan tahun, memang berbeza dengan kerja pembersihan masuk rumah yang betul-betul baru.

Barang yang diperlukan semua dah cukup, kami pun bertolak menuju ke rumah di tempat baru…

Perlis
Insya Allah mulai bulan November kami akan berhijrah ke negeri Perlis. Berdebar rasanya nak ke tempat baru, suasana baru dan menghadapi cabaran hidup baru.

Perasaan saya berbelah bagi antara rasa seronok (kerana kehidupan saya akan lebih dekat dengan keindahan alam semula jadi) dan berat hati (atas beberapa sebab yang tak dapat saya nyatakan secara umum di sini). Apa pun, takdir Allah yang membawa saya ke sini maka kepada-Nya jua saya panjatkan doa memohon dipermudahkan segala urusan dan moga saya dapat sesuaikan diri menjalani hidup di tempat baru.







Wednesday 18 October 2023

Pulau Pinang - Negeri Dengan Tarif Air Domestik Paling Rendah di Malaysia!

Semenjak 21 tahun terakhir, saya pernah menetap di Selangor, paling lama di Negeri Sembilan (NS) dan kini di Pulau Pinang (PP).

Cerita tentang bil air, semasa menetap di Selangor dulu saya pernah menikmati bil air percuma bagi penggunaan 20  yang pertama. Ketika itu Selangor berada di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Disebabkan penggunaan air kami tidak melebihi 20 m³ setiap bulan, maka tiada sebarang bayaran dikenakan. Jadi satu motivasi jugaklah supaya berjimat pakai air, bimbang melebihi 20 m³ nanti tak layak dapat air percuma pulak 😀


BIL AIR DUA BULAN CUMA RM5!
Sebelum berhijrah ke PP, saya tak tahu atau tak perasan pun fakta bahawa Pulau Pinang merupakan negeri dengan tarif air domestik paling rendah di Malaysia.

Bila dah menetap di sini, saya dan Encik Suami rasa hairan tengok bil air sikit sangat. Bil air diterima setiap dua bulan sekali dengan caj cuma RM5! Seingat saya, cuma ada beberapa kali saja bil lebih RM5 iaitu tambahan beberapa puluh sen.

Pulau Pinang - Negeri Dengan Tarif Air Domestik Paling Rendah di Malaysia!
Ini bil air terkini rumah PP. Penggunaan 21 m³ untuk dua bulan, kalau bahagi dua bulan cuma 10.5 m³ sebulan dengan kadar RM0.22 bagi 20 m³ pertama.

Jadinya 10.5 m³ x RM0.22 = RM2.31 sebulan. Disebabkan caj minimum bil air adalah sebanyak RM2.50 sebulan, maka kami perlu bayar RM5 untuk kiraan dua bulan tersebut.

Cukup murah dan rendah sungguh caj minimum RM2.50 sebulan, berbanding rumah NS (rumah kami yang kini jadi tempat persinggahan) caj minimum dikenakan sebanyak RM5 sebulan.


SURCAJ PENJIMATAN AIR
Untuk mengelakkan pembaziran air kerana air PP murah, maka Surcaj Penjimatan Air dikenakan dengan kadar RM0.48 bagi penggunaan air melebihi 35 m³ sebulan. Menurut saya, ini satu langkah yang bagus untuk mendidik pengguna menggunakan sumber air secara berhemah.

Tarif Air Negeri Pulau Pinang
Tarif air PP. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.


Manakala negeri kampung halaman saya dan Encik Suami pula, iaitu Johor merupakan negeri dengan tarif air paling tinggi di Malaysia dengan kadar RM0.80 bagi 20 m³ pertama. Cukup jauh berbeza!

Berapa tarif air domestik bagi bagi 20 m³ pertama di negeri tempat tinggal kalian?

Jadilah pengguna yang bijak, ambil tahu tarif air kita dan gunakan air secara berhemah supaya tak perlu bayar kadar lebih tinggi dan mengelakkan pembaziran sumber air.






.

Sunday 15 October 2023

Catatan Hujung Minggu | Sabtu 14 Oktober 2023

[Catatan Hari Sabtu, 14 Oktober 2023]

Semalam merupakan hari yang sangat meletihkan, saya dan Encik Suami keluar rumah pada waktu pagi dan kembali pada waktu malam.


KE PERLIS BALIK HARI
Kami pergi dan balik hari ke negeri Perlis dengan perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam sehala dari rumah di Pulau Pinang (PP). Syukur perjalanan pergi dan baliknya lancar tanpa sebarang kesesakan teruk. Mungkin sebab kami melakukan perjalanan pada hari Sabtu, kalau hari Ahad biasanya keadaan trafik di lebuh raya menjadi lebih sesak.

Pintu gerbang negeri Perlis
Sekitar pukul 11.30 pagi, kami tiba di pintu gerbang negeri Perlis.

Perlis
Panorama indah di suatu tempat di Perlis.

Tom Yam Kelapa Muda
Urusan kami selesai sekitar pukul 1 tengah hari. Sebelum kembali ke PP, kami singgah di sebuah kedai makan yang terletak di Padang Besar untuk menikmati hidangan tengah hari.

Buat kali pertama saya mencuba hidangan Tom Yam Kelapa Muda, iaitu masakan tom yam yang dicampur dengan air kelapa muda serta isi kelapa muda dan dihidangkan pula dalam buah kelapa muda. Rasanya sama saja macam tom yam biasa tu, cuma ada tambahan isi kelapa muda. Sedaplah menurut cita rasa saya.

Pagi semalam juga merupakan hari bersejarah bagi pelakon sitkom terkenal Pi Mai Pi Mai Tang Tu, iaitu Sabri Yunus dan Angeline Tan yang telah dinikahkan oleh Mufti Perlis, Dr. MAZA. Upacara pernikahan mereka yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook Dr. MAZA itu juga menyaksikan perkara baru buat saya, iaitu akad nikah dijalankan tanpa perlu berjabat tangan di antara juru nikah dan pengantin lelaki dan juga tiada ucapan penerimaan akad yang panjang oleh pengantin lelaki. Semuanya ringkas dan sangat mudah!

Untuk pengetahuan kita bersama - tidak bersalaman ketika menyebut lafaz akad nikah adalah sah disisi syarak. Ini kerana syarat sah lafaz akad nikah hanya dengan menyebut lafaz ijab dan qabul dan bersertakan kalimah kahwin atau nikah sahaja. [sumber sahih : muftiwp.gov.my]



KLIPPA SHOPPING CENTRE @ IKEA BATU KAWAN, PULAU PINANG
Kami sampai di PP pada waktu lewat petang, kami tak terus balik ke rumah tetapi menuju ke Klippa Shopping Centre @ IKEA Batu Kawan untuk ke Harvey Norman.

Masih ingat cerita saya membeli Philips Induction Cooker di Harvey Norman pada bulan lepas? Entrinya DI SINI. Nampaknya prestasi induction cooker jenama Philips ni lebih teruk berbanding Tefal sebab baru sahaja saya gunakan selama beberapa minggu tapi dah timbul masalah ☹️

Butang pelarasan suhu memasaknya tak berfungsi. Tak boleh nak tekan + atau -. Tapi tetap jua saya bersyukur kerana masalah timbul semasa dalam tempoh waranti. Staf Harvey Norman memaklumkan urusan baik pulih mengambil masa 2-3 minggu. Nampaknya selama tempoh tersebut saya perlu memasak menggunakan alatan dapur yang lain, iaitu air fryer, pressure cooker dan microwave

Selesai urusan di Harvey Norman, kami makan malam di sebuah restoran masakan Cina Muslim yang berasal dari NingXia, China. Kami memesan sepiring mi dan pau, kongsi berdua supaya tak kenyang sangat.

Selepas makan, kami menunaikan solat di sini. Saya ambil masa lama sedikit sebab ruang solat penuh sesak dengan pengunjung, perlu menunggu giliran untuk ambil wudhuk dan dapatkan ruang tempat solat. Tempatnya selesa tetapi terasa sedikit berbahang.

Alhamdulillah selesai solat badan rasa sedikit segar, terus sambung masuk ruang pameran IKEA pulak 😀. Kami membelek sofa dan meja makan di sini, cari idea untuk rumah seterusnya. Setakat cari idea jelah, sofa dan meja makan yang saya berkenan semuanya buat ternganga mulut bila tengok harga. Encik Suami kata cita rasa saya tinggi sangat, berkenan pada barang berharga tinggi je 😅

Sebelum bergerak balik rumah, saya ajak Encik Suami ngopi dulu di Swedish Cafe @ IKEA. Kami beli sepotong kek dan secawan Caramel Latte panas kongsi berdua.

Dalam perjalanan dari pintu keluar bangunan menuju ke kereta kami, mata saya terpandang pulak kesalahan ejaan pada papan tanda di atas. Siapalah punya kerja ni tak semak dengan teliti. Tak sangka pulak nama besar seperti IKEA boleh lepaskan kesilapan begini. Mungkin benda kecik, tapi nampak mencacatkan pemandangan.

Gitu gini ke sana ke sini seharian di dua buah negeri, akhirnya kami selamat sampai di rumah sekitar pukul 10.30 malam. Alhamdulillah.






.

Wednesday 11 October 2023

Penat Bersangka Baik, Letih Memaafkan

 
Penat Bersangka Baik, Letih Memaafkan
Sumber : Screenshot perkongsian Ustaz Pahrol di Fb.

Penat bersangka baik tidak sepenat bersangka buruk.
Letih memaafkan tidak seletih menyimpan dendam.

Apabila difikirkan secara mendalam kata-kata di atas, ternyata ada benarnya. Perbuatan bersangka buruk dan menyimpan dendam amat meletihkan jiwa.


Tentang Sangkaan
Bukan semua hal kita tidak boleh bersangka buruk, memang ada situasi yang sangat jelas di mana kita perlu bersangka buruk bagi mengelakkan kejadian buruk benar-benar berlaku. Namun dalam kehidupan kita seharian, sebenarnya lebih banyak situasi di mana kita sepatutnya bersangka baik sahaja demi ketenangan jiwa.

Contoh paling mudah : Kita keluar rumah lalu ternampak jiran sebelah, kita mengukir senyuman mesra. Tapi jiran tadi yang kelihatan memandang kita, terus memalingkan badan tanpa membalas senyuman. Kita mula bersangka buruk - sombongnya dia! Sangkaan buruk tersebut memberi rasa tidak seronok dalam hati kita, mungkin juga menjejaskan hari kita. Hakikatnya, jiran kita mempunyai masalah rabun jauh. Pandangan matanya gagal melihat jelas kehadiran kita apa lagi senyuman yang terukir di bibir. Buat penat jiwa kita kerana telah bersangka buruk.


Tentang Memaafkan
Dalam kehidupan seharian, semakin ramai manusia kita jumpa maka tinggilah kebarangkalian kita berada dalam situasi yang tak menyenangkan hati. Kita rasa geram, sakit hati malah sampai tahap lebih teruk bila kita menyimpan dendam. Kita nak pembalasan buruk berlaku terhadap orang tersebut. Selagi tak berlaku sesuatu yang buruk, tak hilanglah rasa sakit hati kita. Perasaan itu kita bawa dari hari ke hari, mungkin bertahun lamanya. Tanpa kita sedar, jiwa menjadi letih kerana membawa beban perasaan dendam tersebut.

Imbas kembali pengalaman diri - sekitar 25 tahun lalu saya pernah menyimpan dendam yang amat dalam terhadap seseorang. Tak dapat saya nyatakan secara terperinci kisah sebenar secara terbuka di sini kerana ia melibatkan privasi keluarga besar kami. Saya menyimpan dendam bukan sekadar dalam hati, darah muda saya menzahirkannya dengan melakukan hal-hal yang pada sangkaan saya mampu membuat hati rasa puas. Memang saya puas seketika, tapi ternyata menyimpan dendam menjadi satu beban jiwa.

Akhirnya setelah sekitar 10 tahun berlalu, pada satu situasi yang membuat kami bertemu di ruang rumah keluarga, saya datang kepadanya lalu meminta maaf dan begitu juga dengan orang tersebut. Bukan kerana saya yang memulakan masalah sehingga perlu meminta maaf terlebih dahulu (ah…masih terselit ego di situ), tetapi ternyata kata maaf itu membuat seluruh beban perasaan saya lenyap. Bagaikan saya telah membuang seketul batu besar yang dibawa di belakang badan. Fikiran jadi lapang dan jiwa tenang!

Memetik kata-kata Gurutta Ahmad Karaeng dalam novel Rindu karya Tere Liye :
“....saat kita memaafkan seseorang, itu bukan persoalan apakah orang itu salah, dan kita benar. Apakah orang itu memang jahat atau aniaya. Bukan! Kita memutuskan memaafkan seseorang karena kita berhak atas kedamaian di dalam hati."


Kalian ada pengalaman berkaitan tentang sangkaan dan tentang memaafkan? Boleh kongsikan kisahnya di ruangan komen sebagai satu perkongsian pengalaman dan untuk kita sama-sama ambil iktibar.





Tuesday 10 October 2023

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama

Semalam saya masak Ayam Masak Lemak Cili Api, saya masukkan juga daun kunyit yang telah disimpan dalam peti sejuk beku (freezer). Dah nak habis stoknya, berbaki beberapa potongan daun saja. Kemudian teringat foto-foto yang diambil pada bulan Januari lalu masih belum dijadikan entri blog 😄

Walaupun mungkin ramai yang dah tahu cara simpan daun kunyit agar kekal segar dan tahan lama, tetap jua saya catatkan di blog sebagai rujukan dan kenangan saya sendiri.

Begini cara yang saya lakukan :

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama
Basuh bersih daun kunyit, kemudian keringkan daun dengan cara tus (biasanya saya eja ‘tos’, rupanya ejaan yang betul ialah ‘tus’) dan tekapkan dengan tisu dapur.

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama
Selepas itu saya buang tulang daun dan potong daun kepada saiz kecil. Tujuannya supaya mudah simpan dan mudah saya nak masak, cuma ambil beberapa potongan daun saja. Biasanya saya guna sikit sebab ahli rumah cuma berdua, masak apa pun sikit jelah.

Selit kisah lain - foto di atas ada menyimpan memori. Papan pemotong dan pisau yang digunakan tu sekarang dah berganti yang lain. Papan pemotong sengaja ganti lain sebab ada bau tak menyenangkan yang tak boleh hilang, manakala pisau tu pulak ghaib gagal dikesan 😅

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama
Teknik pembekuan (freezing) - susun daun kunyit tadi atas pinggan atau bekas bersesuaian, lepas tu simpan dalam peti sejuk beku selama beberapa jam atau semalaman. Tujuan buat begini adalah supaya daun kunyit dapat disejuk bekukan secara sekata sebelum masuk bekas penyimpanan.

Ada orang terus simpan tanpa buat langkah ni. Terpulanglah kan, ikut cara mana yang kita suka. Setakat ni beginilah saya buat kalau nak bekukan daun herba.

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama
Rupa daun kunyit selepas beberapa jam di sejuk bekukan.

Cara Simpan Daun Kunyit Agar Kekal Segar dan Tahan Lama
Saya simpan dalam pek plastik berzip begini. Setiap kali nak guna, ambil beberapa potongan daun kunyit dan potong/gunting kasar terus masuk dalam masakan. Tak dapat nak hiris halus bila gunakan daun kunyit yang dah disimpan dalam peti sejuk beku. Itu sajalah kekurangannya.

Dah hampir 9 bulan saya simpan daun kunyit ni, semalam pakai masih elok warna hijau dan ada aroma daun kunyit. Memang jimat sejak saya buat cara begini pada daun herba untuk masakan. Sekarang ni dalam peti sejuk beku saya ada menyimpan daun kunyit, daun kari, daun limau purut dan bunga kantan. Semangat nak memasak bila semua bahan herba ada.

Walaupun tak sesegar daun yang baru diambil dari pokok, tapi inilah cara terbaik bagi orang yang tak menanam pokok kunyit tapi mahukan daun kunyit yang segar warnanya untuk digunakan pada bila-bila masa saja.






.

Sunday 8 October 2023

Flightradar24 - Live Flight Tracker

Pernah dengar berkenaan Flightradar24?
Apa itu Flightradar 24? 
Flightradar24 ialah perkhidmatan berasaskan internet dari Sweden yang menunjukkan maklumat penjejakan penerbangan pesawat pada masa nyata pada peta.
Ia termasuk maklumat pengesanan penerbangan, asal dan destinasi, nombor penerbangan, jenis pesawat, kedudukan, ketinggian, tajuk dan kelajuan. 
Ia juga boleh menunjukkan tayangan semula selang masa bagi trek sebelumnya dan data penerbangan sejarah oleh syarikat penerbangan, pesawat, jenis pesawat, kawasan atau lapangan terbang. 
Ia mengagregatkan data daripada pelbagai sumber, tetapi, di luar Amerika Syarikat, kebanyakannya daripada pengumpulan maklumat sumber ramai oleh sukarelawan dengan penerima ADS-B dan daripada penerima ADS-B berasaskan satelit. (Sumber : wikipedia)

Memang menarik! Nak gunakan perkhidmatan mereka pun cukup mudah, boleh terus ke laman web https://www.flightradar24.com/ atau install aplikasi Flightradar24 Flight Tracker. Lepas tu akan keluar paparan trafik pesawat yang sedang berada di udara. Kita boleh buat carian dengan memasukkan info seperti nombor penerbangan, laluan dan syarikat penerbangan. Atau klik je mana-mana pesawat yang ada untuk mengetahui maklumat penerbangan pesawat tersebut.

Kita boleh gunakan perkhidmatan yang asas secara percuma, tapi kalau nak maklumat penerbangan lebih terperinci perlulah melanggan pelan langganan seperti berikut :

Flightradar24 - Live Flight Tracker
Pelan langganan Flightradar24 (screenshot dari laman web Flightradar24). Klik untuk paparan lebih jelas.


MENJEJAKI PENERBANGAN PESAWAT ENCIK SUAMI

Pada hari Jumaat 6 Oktober lalu, Encik Suami menaiki pesawat Air Asia penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta. Disebabkan saya tak ikut, saya pun sajalah buka Flightradar24 di laman web untuk menjejak pesawat yang dinaiki Encik Suami.

Lepas tu terfikir pulak nanti nak tengok dari balkoni rumah kot nampak pesawat tersebut. Memang biasa saya nampak pesawat sedang melalui ruang udara di tempat tinggal saya ni, kadang rajin saya check Flightradar24 saja nak tahu pesawat menuju ke mana.

Saya gunakan perkhidmatan yang percuma dan tak log in. Inilah hasilnya…

Flightradar24 - Live Flight Tracker
Foto kiri | Pukul 8.07 pagi pesawat sudah berlepas. Paparan menunjukkan tiada pesawat lain sedang melalui ruang udara di kawasan sekitar. Mudahlah saya nak cari di langit nanti sebab memang tak ada penerbangan lain masa ni.

Foto kanan | Paparan laluan pesawat tersebut. Semasa saya screenshot ni pesawat dah berada di ruang udara negeri Perak. Barulah nampak jelas laluan pesawat yang juga melalui ruang udara rumah kami di Simpang Ampat (saya tandakan dengan warna kuning).

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Pukul 8.09 pagi kelihatan pesawat memasuki ruang udara kawasan rumah kami. Teruja sungguh! Dengan pantas saya cuba merakam foto pesawat dari kejauhan. Tapi tak mudah sebab ia bergerak dengan pantas dan sesekali menghilang dibalik awan. 

Foto kiri | Pukul 8.10 pagi berjaya merakam foto pesawat (dalam bulatan). Satu lagi objek berhampiran tu merupakan seekor burung.

Foto kanan | Hasil zoom-in. Memang nampak jelas ekor pesawat milik Air Asia.

Dalam tempoh seminit je pesawat ni lalu depan mata saya dan kemudian menghilang dari pandangan. Sempatlah saya melambai ke udara sambil menjerit “Babai abang…!”. Eh tak, saya tak buat gitu pun ya 😆

Saya rasa teruja bercampur lucu pulak sebab boleh nampak pesawat yang dinaiki Encik Suami sedang terbang di ruang udara dengan entah berapa ketinggiannya. Ini semua rezeki disebabkan tiada penerbangan lain, rumah saya pulak di aras tinggi menghadap bahagian pulau Pulau Pinang tanpa sebarang halangan pandangan dan juga faktor cuaca cerah kurang berawan.



Hasil screen recorder berdurasi 16 saat (asalnya lebih panjang, saya percepatkan) memaparkan secara live kesibukan trafik udara. Pesawat warna merah tu yang membawa Encik Suami menuju ke Jakarta.

Imbas kembali - semasa pandemik COVID-19 di mana tiada penerbangan keluar masuk, sesekali saya nampak pesawat melalui ruang udara rumah kami. Bila saya check di Flightradar24 ia adalah pesawat syarikat kurier.






.

Friday 6 October 2023

Cielo Cibo Cafe, Ipoh

Cielo Cibo Cafe, sebuah lagi tempat makan di Ipoh yang sempat saya dan Encik Suami cuba makan pada bulan lepas. Kafe milik Muslim yang beroperasi di tengah bandar Ipoh ini menawarkan sajian makanan Asia dan makanan Barat. 

Kami ke sini pada hari Sabtu, sekitar pukul 2.30 petang sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah PP. Masa kami sampai ni tak ada pelanggan lain. Lega jugaklah, sebab saya fikir kalau datang hari cuti akan ramai pelanggan dan tak dapat meja. 

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Kafe dengan dekorasi moden. Kemas dan sedap mata memandang.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Deretan beg tangan dipamerkan di bahagian hadapan kafe. Nampak macam beg tangan jenama terkenal. Mungkin untuk dijual. Tapi saya bukan peminat beg tangan, maka tidaklah saya pergi membelek dan bertanya lanjut tentang beg tersebut.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Kalau yang ini saya minat untuk membelek 😀. Pilihan roti dan manisan. Tak banyak jenis tapi nampak menarik. Kami beli roti kukus durian / RM12 dan cream puff / RM15 untuk di bawa pulang. Roti kukus tu perlu dikukus dalam 10 minit sebelum nak makan, saya kukus sendirilah sebab nak makan di rumah.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Sebahagian hidangan yang ditawarkan di sini. Besar mata saya tengok buku menu ni. Semuanya saya suka dan teringin nak mencuba, sampai susah nak buat pilihan nak memesan makanan apa 😄

Kami kemudiannya sepakat memesan satu makanan berat dan dua jenis lagi makanan sampingan. Jadinya bolehlah merasa tiga jenis makanan di sini.

Hidangan kami :

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Mi Rebus Tulang / RM16
Tak rugi mencuba, memang sedap rasa mi rebus tulang ni.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Pengat Pisang / RM6
Ini pun sedap, secukup rasa.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Roti Wap Berlauk / RM12

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Pertama kali saya mencuba makan roti wap berlauk. Rasa seperti kita makan pau yang dibelah tengah dan diletak dengan lauk. Ada 3 buku roti dengan 3 jenis lauk - sardin serta lagi dua tu rasanya macam daging masak hitam dan serunding rendang ayam. Sedap lauknya dan lembut rotinya.

Cielo Cibo Cafe,  Ipoh
Lemon Ais / RM4.50 dan Jus Tembikai / RM6
Jus tembikai ‘O’ (tanpa gula) tapi masih rasa sedap manis buah. Lemon ais yang simple tu pun rasa sedap tau.

Alhamdulillah kami rasa sangat berpuas hati makan di Cielo Cibo Cafe ni. Hidangan kami makan semuanya sedap memuaskan selera. Roti kukus bersama kuah durian yang kami beli bawa pulang tu pula lembut rotinya dan sedap kuah duriannya. Cuma cream puff je pastrinya rasa agak kering.

Sambil makan layan pulak lagu-lagu tahun 90-an sebagai halwa telinga, memang santai sungguhlah. Servis di sini pun pantas dan bagus. Pastinya kami akan ke sini lagi kalau berkesempatan ke Ipoh. Nak cuba makanan lain pulak 😁


*****************************************************

CIELO CIBO CAFE
58, Jalan Raja Musa Aziz,
Kampung Jawa, Ipoh,
Perak.

Facebook | Cielo Cibo Cafe
Instagram | Cielo Cibo Cafe Ipoh
Google Maps | Cielo Cibo Cafe

Waktu operasi :
Setiap hari (kecuali Khamis) | 8.30 pagi - 11 malam
Khamis | 8.30 pagi - 6.45 petang
Tutup | Isnin






.

Wednesday 4 October 2023

Perubahan Hidup

Sejak penghujung minggu lepas, negara kita mengalami masalah jerebu. Kalau rajin perhatikan bulan, kita akan perasan bulan kelihatan warna oren disebabkan partikel di udara. Nampak cantik atau mungkin juga sedikit menakutkan. 

2 Oktober 2023 pukul 7.12 pagi.
Status cuaca di tempat tinggal saya - jerebu. Sebenarnya agak sukar saya nak membezakan kabut asap di sini sama ada jerebu atau bukan. Kerana di sini memang kerap nampak ‘berkabus’ kemudian di susuli bau yang tak menyenangkan. Selalu jugak tanpa sebarang amaran (kabut asap), bau busuk menerpa masuk dalam rumah. Baunya tak sama tau, ada macam-macam bau yang tak dapat saya nak terangkan. Maka berlarilah saya menutup pintu sliding door dan tingkap ruang sidai baju.

Saya syak mungkin asap dari kilang sebab kawasan sini banyak kilang. Dari rumah saya pun boleh nampak kepulan asap keluar dari cerobong asap kilang. Selain kilang, bau tersebut mungkin datang dari sektor pertanian/penternakan. Ikutkan saya, nak je buat buat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar. Tapi memikirkan penduduk tetap di sini pun tenang-tenang aje hadap bau begitu bertahun lama, tak kan saya datang terus nak mengadu itu ini 😄

4 Oktober 2023 pukul 7.06 pagi.
Alhamdulilah setelah beberapa hari hujan, pagi ini status cuaca bertambah baik. Semalam hujan lebat sejak waktu subuh. Hari ini pula, sekitar pukul 10 tadi hujan turun membasahi bumi. Memang tepat sungguh ramalan cuaca di atas tu ya 😀

Pemandangan dari balkoni rumah saya sekitar pukul 7 pagi tadi, ruang udara bebas jerebu.

Pemandangan sekitar pukul 10 pagi tadi. Hujan lebat berserta angin kuat. Sejuk nyaman.

Sengaja saya catatkan hal-hal kecil seperti perubahan cuaca begini sebagai satu memori sepanjang keberadaan saya di rumah PP.

InsyaAllah mulai bulan hadapan saya dan Encik Suami akan melakukan perubahan hidup seterusnya. Ini bermakna saya mempunyai masa kurang sebulan di negeri kedua terkecil di Malaysia ini. Ke mana kami? InsyaAllah akan diceritakan bila tiba masanya.


Setiap perubahan, bahkan perubahan menjadi lebih baik, selalu disertai dengan kekurangan dan ketidaknyamanan. - Arnold Bennett






Monday 2 October 2023

Foto Sekitar Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023

[Catatan Hari Sabtu, 30 September 2023]

Hujung minggu lalu, saya dan Encik Suami ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. Bukanlah acara berjalan-jalan makan angin, tetapi kami ada sedikit urusan di Chuping. Selesai urusan pada waktu petang, kami terus ke rumah adik di Kangar untuk tumpang bermalam di rumahnya.

Berbeza dengan kunjungan terdahulu, kali ini nampaknya Perlis begitu meriah. Banyak kenderaan di jalan raya, sana sini kelihatan bunga manggar majlis perkahwinan juga deretan kenderaan memenuhi bahu jalan dan ada beberapa jalan raya yang sedikit sesak.

Rupa-rupanya hujung minggu lalu merupakan hari-hari yang sibuk bagi negeri Perlis. Pelbagai acara besar berlangsung - antaranya hari pendaftaran pelajar UniMAP, Festival Kraf Utara dan Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri.


HARI PELADANG, PENTERNAK & NELAYAN PERINGKAT NEGERI PERLIS
Malam harinya semasa keluar nak pergi makan di kedai, kami dan adik sekeluarga singgah sekejap ke tapak acara yang terletak di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.

Sempatlah saya memotret foto-foto berikut :

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Kerbau baka albino dengan berat 900 kg.
Terdapat pameran pelbagai jenis ternakan oleh para penternak. Selain kerbau dalam foto di atas, ada juga lembu sado dengan berat 1,009 kg. Selain itu terdapat pameran dan jualan produk landak raya dan sesi berfoto bersama ular. 

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Siapa kata Perlis cuma ada 8 orang? 😆

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Suasana meriah dengan para pengunjung memenuhi setiap ruangan. Tak pastilah waktu siang pun meriah begini atau tidak. Yang pasti, memang lebih nyaman dapat ke sini pada waktu malam. Tidaklah terasa bahang matahari kan’.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Pisang Raja Udang a.k.a. Pisang Merah
Seingatnya ini pertama kali saya tengok pisang berwarna merah. Selalu tengok foto di medsos je. Teringin nak membeli pisang yang nampak cantik ni, tapi rupanya ini hanya bahan pameran.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Burhan = burung hantu
Awalnya hairan jugak, ada apa dengan nama ‘Burhan’. Lepas tu barulah faham. Tak pasal pulak lepas ni saya akan terbayang burung hantu bila jumpa orang nama Burhan 😄

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Suasana tapak acara bertambah indah dengan bulan purnama menghiasi langit malam.

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2023
Sebelum beredar, sempat kami masuk dalam sebuah bas yang memuatkan bahan pameran oleh UPM. Anak saudara tanya, kenapa kita nak masuk? Saya jawab - sebab UPM tu universiti mak long, pak long, ibu dan ayah 😂

Bulan purnama 30 September 2023 di Perlis Malaysia
Foto bulan purnama yang sempat saya rakam pada pukul 11.24 malam dari luar rumah adik.







Sunday 1 October 2023

Kedai Kopi Dulu-Dulu, Ipoh

Kedai Kopi Dulu-Dulu, sebuah lagi kedai makan yang sempat saya dan Encik Suami cuba sewaktu ke Ipoh.

Kedai Kopi Dulu-Dulu beroperasi seawal pukul 7 pagi, memang sesuai masanya sebab kami perlu bersarapan awal pagi sebelum Encik Suami pergi kerja. Gitulah kalau menginap di hotel tak banyak bintang, kenalah cari sarapan di luar.

Kami tiba di sini sekitar pukul 7.30 pagi, masih belum ramai pelanggan. Ruang makannya agak luas dengan pilihan meja makan di bahagian luar dan bahagian dalam kedai. 

Kedai Kopi Dulu-Dulu Meru Ipoh Perak
Kami memilih untuk duduk di bahagian dalam kedai. Sesuai dengan konsep ‘dulu-dulu’, kedai ini dihiasi dengan barangan antik dan halwa telinga lagu dari zaman P. Ramlee. Para pekerja kedai ini juga mengenakan pakaian seperti zaman dahulu.

Walaupun bukan segala-galanya di sini seperti zaman dulu-dulu, tetapi apa yang ada ini pun sudah memadai. Menarik!

Makanan dan minuman boleh dipesan dengan menggunakan kod QR tersedia di meja atau boleh juga minta bantuan pelayan kedai. Bagusnya di sini, saya nampak sentiasa ada pelayan kedai yang bersedia untuk membantu pelanggan.

Hidangan sarapan pilihan kami :

Kedai Kopi Dulu-Dulu Meru Ipoh Perak
Nasi lemak kerang / RM7

Kedai Kopi Dulu-Dulu Meru Ipoh Perak
Lontong dengan tambahan bergedil / RM7

Kedai Kopi Dulu-Dulu Meru Ipoh Perak
Kopi cham / RM2.50 dan teh masala / RM3
Kopi cham adalah kopi dengan campuran rasa teh. Sedaplah menurut cita rasa saya. Tapi teh masala (tak kelihatan pada foto), saya cuma mampu menghirup sedikit sekadar merasa 😄

Kalian ada ke Ipoh dan tak tahu nak bersarapan di mana? Bolehlah cuba makan di Kedai Kopi Dulu-Dulu. Cuma ruang parkirnya terhad, kita perlu parkir di bahu jalan.


***********************************************

KEDAI KOPI DULU-DULU
No. 1, Kedai Waqaf Masjid Al-Muttaqin,
Jalan Bukit Meru,
Taman Meru, Ipoh,
Perak.

Facebook / Instagram | Kedai Kopi Dulu Dulu
Google Maps | Kedai Kopi Dulu Dulu

Waktu operasi :
Setiap hari | 7 - 11 pagi
Tutup | Sabtu






.