Wednesday 30 September 2020

Kecelaruan Berfesyen : Muslimah dan Seluar Dedah Betis

Kredit poster : Fb Page Ustaz Azhar Idrus (Original)

Dah beberapa kali saya perasan - muslimah (penampilan bertudung), tapi memakai seluar yang mendedah betis. Bukan dalam rumah dengan ahli keluarga ya, tapi di tempat awam.

Atas nama fesyen, penampilan sebegitu memang tak pelik dan tak salah. Tapi atas nama agama yang kita imani, penampilan sebegitu jelas haram dan menyalahi syariat berpakaian seorang muslimah.

Indahnya agama Islam, dah siapkan tatacara berpakaian bagi melindungi aurat muslimah  :
  • menutupi seluruh tubuh, kecuali muka dan bahagian tangan (dari pergelangan ke jari)
  • tidak jarang
  • tidak ketat
  • tidak menyerupai lelaki
Jelas di sini, betis pun aurat juga. Perlu ditutup. Alhamdulillah dah menutup atas (bertudung), kuatkan diri untuk tutup bahagian kaki pulak. Kita berpakaian ikut syariat, bukan ikut trend berfesyen atau ikut suka hati.

Ingatan ini termasuk juga untuk ibu mengandung yang memakai baju mengandung dan singkat bahagian bawahnya. Juga kita yang kadang-kadang seronok nak masuk air laut/sungai, terus singsing kaki seluar.

Sama-samalah kita ingatkan sesama ahli keluarga, terutamanya suami yang antara tugasnya membimbing isteri dan anak dengan ajaran Islam. Tegur dan terangkan dengan baik, supaya dapat sama-sama cari redha Allah. 

Kita ingatkan hal agama, bukan kerana kita cukup baik sempurna tapi sebab kita sedang sama-sama perbaiki diri. Saling tegur-menegur kerana kita manusia memang mudah leka dan lupa.


Monday 28 September 2020

Laksa Sarawak di Dayang Sarawak Corner Cafe, Putrajaya

Hari Khamis lepas saya ke Putrajaya, macam biasa...jadi peneman suami buat urusan kerjanya. Sambil tu dapatlah balik ke rumah kami di Negeri Sembilan selama beberapa hari. Bulan ni saja dah dua kali balik Negeri Sembilan. Setakat ni paling lama tak jenguk rumah ada la dalam sebulan setengah.

Berbalik kepada tajuk entri ni, untuk makan tengah hari kami mencuba Laksa Sarawak di Dayang Sarawak Corner Cafe yang terletak di Presint 15, Putrajaya.

Laksa Sarawak menggunakan bihun, di atasnya ada hirisan telur dadar, isi ayam yang dicarik, daun ketumbar, taugeh dan udang. Kuahnya saya tak reti nak terangkan macam mana rasanya. Saiz hidangannya tak besar, saya boleh habiskan tanpa rasa terlampau kenyang. Kalau nak saiz hidangan lebih besar, boleh minta yang special.

Menu makanan yang terdapat di Dayang Sarawak Corner Cafe. Macam mana la rasa Nasi Goreng Dabai tu ya. 

Ini merupakan kali pertama saya makan Laksa Sarawak di kedai makan di Semenanjung. Dulu pernah juga makan di kedai sewaktu berkunjung ke Miri, Sarawak.

Kalau di rumah memang dah agak biasa, sebab saya gunakan pes Laksa Sarawak Haji Manan yang diberikan oleh adik yang menetap di Sarawak. Kebetulan adik-beradik lain semua tak minat, Laksa Sarawak tak kena di tekak mereka. Jadinya memang untuk saya sajalah adik bawakan pes dari sana. Saya pulak dah memandai ubah resepi, saya gunakan pasta angel hair sebagai ganti bihun. Rasa lebih sedap di tekak kami suami isteri. Pes Laksa Sarawak Haji Manan mempunyai lebih rasa rempah berbanding Laksa Sarawak di Dayang Sarawak Corner Cafe. Kelebihan masak sendiri di rumah, bolehlah letak banyak hirisan telur dadar dan isi ayam yang dicarik. Lebih puas makan.






.

Saturday 26 September 2020

Balik Pulau | Pantai Pasir Panjang & Lukisan Jalanan

 ..bersambung dari catatan terdahulu.

Berdasarkan carian internet, kami seterusnya menuju ke sebuah pantai di Balik Pulau. Kedudukannya agak jauh dari bandar, iaitu di Pulau Betong. Tapi bukanlah berada di pulau, cuma namanya saja ada ‘pulau’. Nampaknya selain Betong di Sarawak dan Betong di Thailand, ada juga Betong di Pulau Pinang.


PANTAI PASIR PANJANG
Laluan ke pantai berliku-liku dan agak sempit. Dibeberapa selekoh ada papan tanda mengingatkan kita untuk membunyikan hon kenderaan sebagai amaran keselamatan kepada pengguna jalan raya lain. Perhatikan sebelah kanan jalan tu, tinggi paras lautan di sini seolah-olah sama paras dengan jalan raya.

Kami tiba di penghujung jalan, pantai terletak di sebelah kanan. Tiada ruangan parkir khas. Parkir di tepi-tepi jalan begini saja. Di hujung sekali yang ada pagar tu Kem Bina Negara.

Terdapat papan tanda amaran. Nampaknya pantai di sini tak sesuai untuk aktiviti mandi laut disebabkan faktor yang dinyatakan pada papan tanda tersebut.

Kami menuruni tangga untuk ke Pantai Pasir Panjang. Dari sini memang jelas kelihatan rupa pantai yang nampak beralun. Pengunjung cuma duduk-duduk berkelah dan ramai juga pemancing di sini.

Ombaknya agak kuat. Tapi masih ada yang berani cuba-cuba bermain dengan ombak di sini. Dengan bentuk muka bumi pantai yang curam, memang bahaya kalau tiba-tiba ombak tinggi.

Pemandangan di sebelah kiri pantai. Sungguh pun namanya Pantai Pasir Panjang, tapi pantai di sini pendek je. Pengunjung pun tak ramai. Mungkin sebab tak ada sebarang kemudahan seperti tandas dan bilik air.

Pantai yang menarik, tapi yang jadi kurang menarik - sampah bersepah-sepah. Di tepi tong sampah pun dah berlonggok sampah dibuang. Kita sebagai pengunjung patutnya kalau dah nampak tong penuh, janganlah menambah dengan buang di luar tong. Bungkus bawa balik dululah. Fikir dulu sebelum buang ya.


LUKISAN JALANAN
Satu lagi tarikan di Balik Pulau - lukisan jalanan (street art / wall art). Terdapat beberapa lokasi lukisan jalanan ni. Semuanya berada di sekitar bandar dan tak susah nak mencarinya. Boleh juga buat carian ‘wall art Balik Pulau’ di Google Maps.

‘Silat Master’ dilukis oleh pelukis jalanan Rusia - Julia Volchkova. Lukisan ini memaparkan potret Johari Omar, seorang guru silat.

‘Wrinkled Old Fisherman’ juga dilukis oleh Julia Volchkova. Memaparkan potret Yeoh Choon Seng, seorang nelayan yang sedang membaiki jaring.

‘Uncle Roti’ dilukis oleh Amir Andhar Abu Samah atau lebih dikenali dengan nama Andharas. Memaparkan potret Muniandi, seorang penjual roti terkenal di Balik Pulau.

Setahu saya ada lagi lukisan jalanan yang lain di Balik Pulau, tapi ini saja tiga lukisan yang sempat saya cari. Bagi saya, lukisan ini bukan sekadar mengindahkan bandar Balik Pulau, tetapi ia sebuah lukisan yang bercerita. Cerita tentang kehidupan masyarakat setempat.

—————————————-

Ok, itu saja catatan saya di Balik Pulau. Sekejap je di sini, menjelang tengah hari dah bergerak ke Bayan Lepas untuk hal lain. Ikut rancangan nak makan tengah hari di Balik Pulau ni, tapi perut masih kenyang dengan roti canai ‘cotek extra’ pagi tadi.

Tarikan lain di Balik Pulau antaranya Audi Dream Farm, Saanen Dairy Goat Farm, aktiviti menunggang kuda di Countryside Stable Penang dan Anjung Indah (tempat melihat pemandangan dari atas bukit). Anjung Indah ni saya lalu masa dalam perjalanan pergi ke Balik Pulau, ingatkan nak singgah dalam perjalanan balik. Rupanya tak lalu pulak sebab jalan berbeza untuk ke Bayan Lepas.

Balik Pulau juga merupakan tempat yang terkenal dengan ladang durian dan buah pala. Sepanjang jalan kita akan jumpa banyak tempat jual durian dan gerai makan durian. Sayangnya masa kami pergi ni bukan musim durian. Insya Allah lain kali kami datang lagi bila tiba musim durian.

Untuk sesiapa yang nak melihat sisi berbeza bahagian pulau Pulau Pinang, berkunjunglah ke Balik Pulau. Jauh dari kesibukan dan pembangunan pesat. Perjalanan ke Balik Pulau juga menarik kerana kita perlu melalui laluan berbukit.






.

Wednesday 23 September 2020

Balik Pulau | Pak Ku Roti Canai & Sawah Padi Kampung Terang

Ahad | 20.09.2020

Ada beberapa orang bertanya saya, “Dah sampai Balik Pulau?”. Jadinya hujung minggu lalu saya dan suami ke Balik Pulau, saja nak melihat-lihat. Sebelum pergi, saya buat carian di internet mengenai Balik Pulau.

Dalam lingkaran warna merah itulah Balik Pulau, terletak di sebelah barat daya pulau. Patutlah namanya Balik Pulau, sebab memang terletak disebalik pulau. Balik Pulau ni berada di bawah daerah pentadbiran Barat Daya. Saja letak peta sekali kasi mudah faham. Sebab saya pun tak faham lagi Pulau Pinang ni, maklum saja baru beberapa bulan menetap di sini.

Setelah melalui jalan yang berliku, kami tiba di Balik Pulau sekitar pukul 9 pagi. Saja datang awal sebab nak cuba sarapan pagi di sini. Mata saya tertarik pada binaan rumah di sebelah kanan tu.

PAK KU ROTI CANAI
Saya buat carian ‘roti canai’ pada aplikasi Google Maps, nak cari kedai roti canai yang paling hampir dengan lokasi semasa kami. Jumpalah kedai Pak Ku ni, sebuah kedai yang terletak di bahagian tepi hadapan Pejabat Agama.

Tu dia...berderet menu roti canai kat atas, siap letak harga. Senang nak pilih. Saya pilih ‘roti canai cotek extra’ setelah bertanya kepada pelayan kedai maksud ‘cotek extra’.

Air teh o limau suam pilihan saya. Saya perasan kalau di bahagian utara memang akan letak ais begini. Mungkin sebab pekedai guna air panas sepenuhnya, untuk jadikan suam maka letak ais di keliling gelas. Dalam gambar ni dah jadi selonggok sebab saya dah mula minum dan tolak ais untuk mudah letak gelas.

Inilah Roti Canai Cotek Extra - roti canai dilekat dengan dua biji telur yang tak pecah kuningnya. Memang sedap dan memuaskan selera. Rotinya lembut je. Masa menunggu roti canai ni agak lama...kira-kira 25 minit. Tapi berbaloi sebab sedap dan banyak pilihan. Patutlah ramai pelanggan makan kat sini.

Kalau nak makan kat sini kena awal pagi, sebab nampaknya cepat habis. Masa kami sedang makan, orang-orang yang baru datang semua terpaksa beredar hampa. “Habih! Habih!” akak kedai jerit bagitau pada sekumpulan penunggang basikal yang baru tiba. Tapi kalau nak roti kosong je, masih ada.

Sawah Padi, Kampung Terang
Menurut info yang saya baca, satu-satunya tempat yang ada sawah padi di pulau adalah di Balik Pulau. Terdapat beberapa lokasi, saya pilih untuk ke Kampung Terang.

Kalau ikut Google Maps di bawa ke satu jalan yang agak susah kereta nak parkir. Tapi kalau jalan je terus nanti akan jumpa lokasi macam dalam gambar di atas. Ada la sikit ruangan untuk kita parkir kereta. Lepas tu jalan kaki pergi kat dinding tengah sawah tu, ada wall art boleh bergambar di situ. Takde gambar wall art dari dekat sebab saya malas pulak nak turun.

Seterusnya kami ke Pantai Pasir Panjang dan melihat beberapa wall art yang menarik di bandar Balik Pulau ni. Catatannya pada entri akan datang...

Monday 21 September 2020

Cameron Highlands | YZ Agro Farm & Nan Scones

Isnin | 07.09.2020

Seawal pukul 8 pagi saya dan suami dah keluar dari bilik hotel. Walaupun hari Isnin, tapi berdasarkan pengalaman lepas saya dapati pengunjung tetap ramai di tempat tumpuan utama. Jadinya untuk mengelakkan kesesakan kenalah keluar awal pagi. Tak boleh bermalas-malasan melayan suasana sejuk di bilik hotel.

Selit satu gambar yang diambil pada hari Ahad petang di Cameron Valley Tea House. Pemandangan indah ladang teh. Tak dapat nak turun ke bawah untuk bergambar sebab hujan. Ni pun ambil gambar cepat-cepat sebab orang ramai, masing-masing menunggu nak ambil gambar juga. Dapat melayan mata seketika dan ambil gambar sekeping dua, cukuplah.

TAMAN EKO RIMBA SUNGAI PAUH
Berbalik kepada kisah pagi Isnin, lokasi pertama dituju mestilah tempat makan sarapan. Memandangkan tempat yang kami nak pergi - YZ Agro Farm, Kampung Taman Sedia mula beroperasi pukul 8.30 pagi, jadinya kami ambil peluang ke tempat lain dulu. Kami nak meninjau tapak perkhemahan yang terletak berhampiran dengan Kampung Taman Sedia.

Inilah Taman Eko Rimba Sungai Pauh atau dikenali juga sebagai Kem Sungai Pauh. Terletak di belakang Pejabat Perhutanan Cameron Highlands. Caj minimum dikenakan untuk pengunjung yang datang. Lengkap dengan kemudahan tandas, bilik mandi dan tempat solat. Teringin jugak saya nak berkhemah kat sini suatu hari nanti. Perlu buat tempahan awal secara dalam talian, tak boleh datang redah je kat sini.

YZ AGRO FARM
Pukul 8.30 pagi, kami dah tunggu depan pintu YZ Agro Farm ni. Eh bukan kami je, ramai juga pengunjung lain yang datang awal dan menunggu dalam kereta. Kawasan parkir depan ni dah penuh pun.

Konsep makan dalam kawasan ladang strawberi. Segar mata tengok.

Menu biasa saya kalau makan kat sini - Nasi Lemak. Konsep layan diri. Pergi kat kaunter, buat pesanan dan bayar. Nanti dia panggil nama kita kalau dah siap.

Sesekali datang, tak kan makan nasi lemak je kan. Kita ambil scone satu, walaupun ikut hati tergoda dengan macam-macam makanan lain yang ada. Satu tak cukup, suami pergi beli lagi satu. Makan sorang satu...haha.

Sebelum balik, beli jugak jem strawberi buatan mereka. Beli 2, RM15. Puas hati dapat makan kat sini, sebab semuanya memenuhi selera saya. Ni tempat wajib kalau saya ke CH. Rasa macam tak sampai CH, kalau tak dapat makan kat sini tau...hehe!

NAN SCONES, AYAHMAN CAMERON HIGHLANDS
Saya dapat tau pasal Nan Scones ni di Facebook. Alang-alang dah sampai CH, saya pergi la cari kedainya.

Lokasi kedai Ayahman di Medan Agro Kea Farm, bangunan depan sekali. Senang boleh nampak dari jalan raya. Kalau dari Tanah Rata, ia terletak di sebelah kiri jalan. Kat sini dikenakan caj parkir RM3 sekali masuk.

Nan Scones dengan 2 pilihan - RM10/original dan RM12/campur perasa. Setiap bekas ada 6 biji.

Pilihan saya scone pelbagai perasa - original, strawberi, coklat dan cheese. Dalam setiap bekas disertakan butter dan jem strawberi. Sebelum makan saya panaskan sekejap di Air Fryer (kalau ada microwave lebih sesuai). Rasanya? Sedap! Kalau datang CH bolehlah cari Nan Scones sebagai oleh-oleh CH.

Sekejap je saya di CH, sebelum pukul 2 petang dah bergerak untuk balik rumah di Pulau Pinang melalui Jalan Simpang Pulai. Hujan lebat di sepanjang perjalanan menuruni CH. Agak seram bila tengok banyak limpahan air dari lereng bukit di tepi jalan, macam deretan air terjun mini.

Cameron Highlands...lokasi yang tak pernah jemu untuk saya datang selalu. Walaupun cuma datang untuk menikmati udara nyaman dan makan-makan saja pun dah memadai. Cuma sekarang semakin sesak dengan pembangunan dan pengunjung (walaupun di luar musim cuti sekolah). Nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat pun boleh jadi ambil masa yang lama. Itu jelah yang mengurangkan keinginan nak ke CH, malas nak bersesak.

Saturday 19 September 2020

The Cool Point Hotel, Cameron Highlands

Selesai urusan di Bentong, saya dan suami merancang nak jalan-jalan ke Cameron Highlands (CH). Suami ambil cuti kerja pada hari Isnin, dengan harapan berjalan hari Isnin tidaklah sesak seperti hari Sabtu/Ahad.

Dari Bentong, kami melalui Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands.

The Cool Point Hotel, Tanah Rata
Kunjungan kali ini, saya pilih untuk menginap di The Cool Point Hotel setelah membuat carian di Facebook. Hotel yang tak pernah saya perasan walau dah agak banyak kali ke CH. Padahal lokasinya cuma di belakang Terminal Freesia (Terminal Bas Tanah Rata) dan boleh nampak dari jalan utama.

Pandangan hadapan hotel. Sebuah hotel lama. Cuaca yang nyaman dan pemandangan sekitar hotel yang mendamaikan.

Masuk kawasan hotel dari arah depan tu. Bangunan bertingkat tu pulak - Terminal Freesia. Ada jambatan di hadapan hotel ni, bolehlah berjalan kaki dari hotel untuk cari makan disekitar pekan Tanah Rata.

Kawasan parkir yang luas. Juga sangat dekat dengan Restoran Taman Apple Cameron Buffet Steamboat & Grill, tepi hotel je. Dibuka dari pagi sehingga malam. Kot malas jalan jauh, makan je kat sini.

Kita tengok bilik pulak. Alhamdulillah biliknya memuaskan - luas, bersih, kemas dan tak bau hapak. Sebelum ni dah beberapa kali dapat bilik hotel bau hapak di CH ni. Mungkin sebab bilik hotel yang saya duduk semua tu guna lantai karpet, kurang sesuai dengan cuaca CH yang sejuk dan lembab.

Bilik saya dapat ni terletak di bahagian depan, nampak la Terminal Freesia dan jalan utama pekan Tanah Rata. Pintu ni bahagian bawahnya ada ruang aliran udara, memang bertambah sejuklah bilik bila udara luar masuk melalui celahannya.

Bilik air pun berada dalam keadaan memuaskan, tapi sebab ni hotel lama memang ada la bahagian yang nampak buruk. Yang penting mesti bersih.

Tuala yang disediakan pun dalam keadaan elok, tak lusuh. Walaupun saya memang bawa dan guna tuala sendiri, tapi saya selalu perhatikan tuala yang disediakan di hotel-hotel. Ada hotel bagi tuala macam sesuai buat lap kaki je, lusuh dan buruk. Satu kekurangan di sini yang saya perasan, pihak hotel sediakan jug elektrik dan dua cawan tetapi tak menyediakan peket kopi/teh. Jadinya kalau rasa nak minum air panas dalam bilik kenalah bawa bekalan sendiri.

Ni pulak gambar bumbung di pintu masuk hotel. Saja saya ambil gambar sebab rasa menarik pulak berlumut gini...hehe.

Masa masuk hotel awal tadi, nampak papan tanda Hillside Cottage ke arah belakang hotel. Saya saja pergi tengok. Rupanya ada penginapan ala rumah kayu di atas tu. Nampak menarik jugak sebab lebih dekat dengan rimbunan pokok belakang tu, mesti lebih sejuk. Mungkin boleh cuba pada kunjungan akan datang.

Kadar harga terkini bilik penginapan di The Cool Point Hotel. Saya ambil di Facebook hotel dan letak semua kat sini, mudah saya nak rujuk pada masa akan datang. Untuk kali ni saya bayar RM115 sahaja sebab daftar masuk hari Ahad.

Secara keseluruhannya saya berpuashati menginap di sini. Hotel yang sesuai untuk mereka yang mencari penginapan bajet sederhana di Tanah Rata (saya andaikan kalau bajet rendah tu adalah RM100 ke bawah). Lokasi strategik - berhampiran dengan tempat makan, Taman MARDI, bank. Ruang parkir yang luas dan insya Allah selamat.

Friday 18 September 2020

Rindu Bau Pohon Tin

Judul : RINDU BAU POHON TIN
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 221
Harga : RM28

Rindu Bau Pohon Tin bukanlah sebuah karya baru, tetapi ia terbitan semula dengan penampilan yang lebih segar oleh Jejak Tarbiah. Sungguh pun saya sudah lama tahu mengenai buku ini (terbitan terdahulu), tetapi ini merupakan kali pertama saya membacanya. Mungkin kerana penampilan barunya yang lebih segar membuatkan saya tertarik nak mengetahui isi buku 😀.

Buku ini merupakan catatan kisah kembara penulis di bumi Jordan sekitar tahun 90-an. Bumi di mana penulis menyambung pengajian, juga selaku kumpulan pertama pelajar tajaan JPA yang dihantar ke sana. 

Membacanya membuatkan kita turut bersama merasai pengalaman hidup penulis selama berada di sana. Merasa debaran sewaktu pertama kali tiba di kota Amman, Jordan. Merasa kagum dengan kesungguhan seorang pemuda Cina Muslim dari negara China yang menulis perkataan bahasa Arab yang baru diketahui di tangan, supaya dihafal sebelum waktu solat berikutnya. Juga turut sama menangis sewaktu penulis kehilangan 5 orang sahabatnya dalam satu kemalangan jalan raya di Aqabah.

Bukan sekadar ‘menikmati’ pengalaman penulis, buku ini juga memberikan info sejarah dan ibrah (pengajaran) yang boleh kita ambil sebagai panduan hidup. Ia sebuah buku travelog tarbiah.


Antara isi dan petikan buku yang menarik perhatian saya :

1. Soal kewangan sering menjadi fokus kerisauan belajar di perantauan, tetapi sebenarnya ujian terbesar di perantauan yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah kebebasan. Kebebasan yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.

2. Mu’tah (lokasi universiti penulis) pernah mencatatkan peristiwa bersejarah - peperangan Mu’tah. Ia berlaku pada tahun 8 Hijriah disebabkan oleh pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi yang merupakan utusan Rasulullah S.A.W. kepada Raja Busra.

3. Jujur terhadap kejayaan dan kesilapan, pencapaian dan kejatuhan - pada semua itulah munculnya ibrah (pengajaran) yang matang untuk diteladani oleh mereka yang mahu berfikir.

4. Berdoalah dalam bahasa yang kita fahami. Semua bahasa adalah bahasa hamba Allah. Doa dalam bahasa Melayu, Urdu dan Turki, dengan memaksudkan apa yang dipinta, lebih bermakna daripada doa bahasa Arab yang panjang sedepa, tetapi kosong daripada makna dan penghayatan.

5. Sistem pembelajaran di Jordan memerlukan pelajar hadir kuliah di universiti dan melakukan perbincangan serta perbahasan di dalam kelas. Perbahasan di dalam kelas itulah yang mencanai pemikiran untuk sembuh dari asabiyyah, bertaklid buta, memusuhi perkara yang kita tidak tahu.

6. Besarnya peranan sabar dan pendekatan secara hikmah dalam usaha memperbaiki dan memperbetulkan amalan manusia.

7. Manusia yang memaksa dirinya untuk berubah, mereka itulah yang berjaya.

8. Mereka yang mahu menjadi pemimpin, jiwanya mesti jiwa integrasi dan engagement, bukan pemencilan, menghukum dan mengesampingkan golongan yang tidak sekepala atau serasa.

9. Pada 26 Oktober 1994 di Wadi Arabah, berlangsung Perjanjian Damai di antara Jordan dan Rejim Yahudi Israel yang menyaksikan Jordan mengalami perubahan.

10. “Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to have listened, listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message!”


Rindu Bau Pohon Tin - sebuah buku travelog yang cukup menarik dibaca dan membuka fikiran kita. Juga bacaan baik untuk mereka yang bergelar pelajar, supaya lebih memahami tujuan menuntut ilmu dan tidak tenggelam dalam mengejar keperluan yang tak pernah cukup.

——————————————————————-

Selesai membaca buku ini, saya masih ada 2 buah buku dalam siri Travelog Tarbiah untuk dibaca. Juga sebuah lagi dalam siri sama yang masih belum sampai ke tangan saya, buku terkini penulis - catatan kembara di Finland.




Friday 11 September 2020

Kiosk D’Sungai Batu Malim, Raub

Kiosk D’Sungai Batu Malim yang terletak di Jalan Cheroh - Batu Malim ni saya singgah sewaktu dalam perjalanan dari Bentong ke Cameron Highlands. Masa tu waktu menghampiri jam 12 tengah hari. Perut dah lapar. Mata memerhati kot ada kedai makan di tepi jalan. Suami bagitau dia pernah nampak ada kedai makan di kawasan berhampiran sungai (jalan yang akan kami lalui).

Alhamdulillah memang betul ada kedai makan di tepi sungai. Kereta kami membelok ke satu lorong di kiri jalan, menuju ke kedai tadi. Tapi tak muat pulak nak parkir kereta, ruangan parkir sangat terhad. Suami bawa kereta terus ke depan lagi, jumpa satu kawasan sedikit lapang di sebelah kiri jalan. Bolehlah parkir kereta di situ.

Kedainya di atas tu, kami terus menuju ke meja makan di tepi sungai. Boleh jugak kalau nak makan dalam kedai, mungkin lebih selesa.

Kami pilih duduk di sini. Menghadap sungai yang bersih dan sedap mata memandang.

Jambatan di atas tu yang kami lalui tadi. Meriah diihiasi dengan bendera Malaysia dan bendera negeri Pahang. Masih dalam suasana Hari Kemerdekaan yang disambut 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September akan datang. Kalau boleh nampak dalam gambar ni, di hujung sana kelihatan sekumpulan orang sedang seronok bermain air sungai. Satu pemandangan dan suasana kehidupan yang aman.

Siap ada akaun Instagram dan Facebook, medium pemasaran yang bagus!

Hidangan tengah hari kami - mee kari dan rojak. Ada juga pilihan makanan lain seperti bihun sup dan laksa. Makan tengah hari di bawah pokok menghadap sungai, cukup santai! Tapi kena la perhati kot daun ke apa jatuh dari atas kan 😄

Semuanya sedap, kena dengan selera saya dan suami. Cuma saya lagi suka kalau rojak tu ada cucur tepungnya sekali, lagi sedap! Kos makan-makan kami di sini sekitar RM13.

Kalau ada yang lalu jalan ni bolehlah mencuba menu di sini. Masa operasi saya tak pasti, tapi tutup pada hari Isnin. Boleh buat carian ‘D’sungai Batu Malim’ di Google Maps.

Wednesday 9 September 2020

Singgah Sebentar di GPO

Dari Rumah Sungai Bonda Rozita (entri DI SINI), destinasi saya dan suami yang seterusnya adalah Bentong, Pahang. Perjalanan diteruskan dalam hujan yang kadang renyai dan kadang lebat.

Untuk ke Bentong, akan jumpa simpang ke Genting Highlands terlebih dahulu. Memandangkan kami belum pernah sampai ke Genting Highlands, suami ajak singgah sekejap melihat-lihat Genting Highlands Premium Outlet (GPO).

Setelah melalui jalan yang berliku, sampailah ke GPO ni. Orang tak begitu ramai, tapi masih perlu beratur agak panjang di sesetengah kedai. Kami sekadar masuk ke beberapa kedai yang tak perlu beratur untuk masuk sebab nak cepat. Lagi pulak bukan ada apa nak dicari dan beli.

Pemandangan yang menarik dan menyegarkan mata. Haa...kalau tengok pemandangan gini memang saya suka! Kalau nak masuk kedai-kedai tu memang saya lemah sikit. Tak minat membelek 😬

Kami jalan-jalan di GPO tak sampai satu jam pun. Betul-betul cuma nak melihat dan ambil pengalaman di pusat membeli-belah tanah tinggi. Memang syok bab sejuknya tu, nyaman je. Lagi pulak masa kami datang ni hujan masih lagi membasahi bumi, bertambah sejuk.

Jadiklah...walaupun tak sampai ke puncak Genting Highlands, sampai la jugak di GPO ni. Kalau nak tunggu saja-saja datang, memang taklah sebab tak pernah ada keinginan nak ke sini pun. Tapi bila dah pernah sampai ni, barulah tau yang GPO tu tak jauh mana. Patutlah ramai orang suka datang jalan-jalan hujung minggu ke sini.

Ok, perjalanan diteruskan ke Bentong. Masih ditemani hujan sepanjang jalan...Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.