Wednesday 26 September 2018

BETONG, Thailand : Trip Singkat!

BETONG merupakan sebuah bandar di selatan Thailand, berhampiran sempadan Perak, Malaysia. Betong terletak di dalam wilayah Yala.

Jalan menuju ke bandar Betong, lengang je.  Baguslah...sesuai untuk kami yang pertama kali memandu di Thailand. Hehe…

Sekitar Bandar Betong
Tengok bangunan ni...ceria je cat warna-warni. 

Roundabout yang meriah! Sebab ada jam besar, siap pacak bendera-bendera, dan ada peti pos gergasi kat sudut tu. Perasan tak jam besar tu dekat pukul 5? Haha...sebab saya snap gambar ni waktu balik, petang. Masa waktu pagi lalu sini, tak dapat snap elok camni.

Sekitar pukul 10.50 pagi waktu Thai, masa ni tengah panas terik. Kalau kat Malaysia, pukul 11.50 pagi (Thai lewat 1 jam). Saya tertarik pada binaan pintu gerbang tu, nampak macam kubah masjid dan kubah kuil yang dibina sebagai simbolik agama anutan penduduk di sini (mungkin?).

Di tepi pintu gerbang tadi, ada satu lagi tong pos gergasi. Yang ni lebih gergasi berbanding di roundabout tadi tau. Biasanya pengunjung ke Betong akan bergambar di sini. Tapi kami malas nak turun, snap gambar dari dalam kereta jelah! 😄


Simkad dan Tukaran Wang
Ingatkan senang cari simkad, pergi beberapa kedai baru dapat! Ada yang jual, tapi tak terima duit Malaysia pulak. Jadinya kami buat keputusan untuk dapatkan duit Thai Baht (ikut plan asal memang tak tukar). Secara logiknya akan lebih murah sedikit bila kita bayar guna Thai Baht berbanding RM (eh..tak reti pulak nak terangkan dalam bentuk ayat elok!). Kami tukar 1,000 Baht. 

Kadar tukaran wang : 
100 Thai Baht = RM12.64

Untuk simkad, kami beli yang paling minima (sekadar untuk aktifkan GPS). Walaupun cuma sehari kat sini, tapi kalau sesat jadi buang masa pulak. Dari buang masa, baik buang duit beli simkad. Harganya cuma 100 Baht (jika nak bayar dalam RM, harganya RM15).


Mencari Makanan Halal
Perut dah rasa lapar, buat carian makanan halal dan GPS membawa kami ke kawasan belakang masjid Betong. Ada beberapa pilihan kedai makan di kanan dan kiri jalan. 

Pilih kedai ni sebab ada ciri-ciri kedai makan halal. Pengunjung ramai, sedap la kot! Masa ni cuaca dah bertukar, mendung dan hujan renyai.

Menu ni sebelah tulisan Thai, sebelah lagi Bahasa Melayu.
Bolehlah paham walaupun pelik-pelik ejaan dia 😆

Teh Ais yang sedap!!!
Tapi tunggu makanan punyalah lama! Air ni sampai dah tinggal separuh.

Alhamdulillah...sampailah hidangan kami. Memang lapar sangat dah ni! Tapi terkejut tengok saiz hidangan besar. Yang makan dua orang je. Memang tak mampu la nak habiskan. Rasa? Sedap la kat tekak kami. Harga semuanya RM36 atau 300 Baht (yang ni kami bayar guna RM).


Betong Central Mosque @ Masjid Jamek Al-Ahmadi
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Biru, pastinya disebabkan warna masjid ini yang kebiruan. Selain masjid, terdapat juga bangunan Pusat Pengajian Al-Quran Jamek Al-Ahmadi. Semua nampak kemas dan dijaga baik (keadaan tandas sebagai tanda aras..hehe).  

Selain kita menumpang solat dan menggunakan tandas, elok juga kalau kita buat solat sunat tahiyatul masjid dan memberi sumbangan dalam tabung yang tersedia. 

----------------------------------------------------

...seterusnya, jom masuk terowong komunis!...






.

Thursday 20 September 2018

Merentas Sempadan Thailand Melalui BETONG

10.09.2018 | Isnin
...sambungan catatan sebelum ini...

Setelah melepasi pintu gerbang masuk ke Thailand, kita kena terus cari parking. Sebab semua orang kena keluar untuk cop pasport. Masa kami tiba sini dah pukul 10 pagi (waktu Malaysia), orang dah mula ramai.

Kita masuk bangunan ni - Betong Boundary Post. Bawa PASPORT dan GERAN KENDERAAN (jika salinan geran, perlu sahkan terlebih dahulu di Balai Polis/JPJ). Masa kami sampai pukul 10 pagi, tak seramai ini. Ni gambar pukul 11pagi, kami dah siap cop pasport.

Ikut prosedur, kita cuma perlu ambil dan isi BORANG TM6 kemudian terus beratur di pintu tertulis 'Passport Control' untuk urusan cop pasport. Juga ambil dan isi BORANG TM2 & TM3 bagi yang membawa kenderaan, untuk urusan kastam selepas ini. Mudah je kan! Jadi apa yang dibuat ramai-ramai kat sebelah luar tu pulak? Hmm...


Setiap Masalah Adalah Bisnes
Bisnes sedang berjalan di sebelah luar. Masalah? Tiada sebarang borang disediakan! Kosong je kat tempat borang. Masalah yang sengaja diwujudkan mungkin? Saya bertanya kepada seorang pengunjung yang sedang beratur untuk cop pasport, dia menunjuk ke arah luar. 

Ada dua barisan, satu untuk borang TM6 dan satu lagi untuk borang TM2 & TM3. Borang akan siap di isi dengan bayaran tertentu. Disebabkan kami nak isi sendiri, suami terus ke depan minta borang. Tapi tak dapat, staf tersebut suruh berbaris jugak! 😠

Borang TM6 saya yang siap diisikan (secara paksa), bayaran RM2/borang dikenakan. 

Masa beratur ni nampaklah yang staf tu suka hati je nak bagi atau tidak borang. Yang bernasib baik, dia bagi je borang. Yang lain-lain, macam kami jugaklah kena paksa beratur dan bayar. Oh ya, keratan bahagian 'Departure Card' nanti akan dikembalikan kepada kita. Sila simpan dan serah semula masa keluar Thai.

Mujur untuk borang TM2 & TM3 (dua set) ni kami dapat untuk diisi sendiri. Tak pasti berapa bayaran dikenakan jika mereka yang isikan. Jimat kat situ. Tapi ada yang menyakitkan hati pasal borang ni, terutamanya bagi yang terpaksa membayar. Nanti saya cerita...


Rasuah atau Sedekah?
Dah ada borang TM6 yang lengkap diisi, barulah kita beratur kat bahagian dalam untuk urusan cop pasport.

Selepas pasport saya di cop (tapi belum diserah kepada saya), pegawai terbabit menunjukkan jari ✌ dan sebut RM2. Saya hulur RM2, dia letak pasport atas kaunter. Tiada resit, ini bermakna ia bukan transaksi sah. Atas kekangan masa (masuk Thai cuma sampai petang), tak rajin saya nak bersoal jawab dengan pegawai tu. Sebelum ni baca pengalaman orang lain, harini saya alaminya sendiri.

Nak kata rasuah pun bukan, sebab dia dah buat kerja (cop pasport). Dah kira macam kita bagi sedekah pulak, dia mintak dan kita bagi. Sedekah tak ikhlas, terpaksa bagi sebab risau dia 'susahkan' kita. 😥

Selesai urusan pasport, naik kereta dan bergerak ke bangunan Betong Customs House untuk urusan Custom Declaration. Boleh parking kat sini (sebelum lalu Customs House tu), atau parking depan lagi (ruangan terhad). Pemilik kenderaan perlu turun dan bawa dokumen (BORANG TM2 & TM3, GERAN KENDERAAN & PASPORT) ke kaunter kastam.  

Masa kat sinilah akan terasa rugi bagi yang dah bayar upah isi borang TM2 & TM3 tadi. Sebab pegawai kastam tu langsung tak ambil borang tersebut, malah tak tengok pun 😐. Penat je kita isi dua set tadi tau, buang masa! Dia cuma ambil geran kenderaan untuk isi dalam sistem.

Kemudian kita akan diberi borang yang siap print begini - CUSTOM DECLARATION FORM. Simpan elok-elok dan mesti diserahkan kembali masa balik bagi mengelakkan denda. (Dah kenapa pulak tarikh tu dia letak 10/09/2561?)

Sekali lagi mintak duit...kali ni RM3. Tanpa resit. Nak kata harga borang, tak tertulis pun kat borang. Ada jugak seorang yang bertanya, tapi pegawai kastam tu tak jawab pun. huh..

Total amaun kami kena bayar : RM11

--------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah selesai semua urusan dalam tempoh sekitar 1 jam 15 minit. Tak susah sebenarnya, cuma sedikit leceh. Inilah pengalaman saya di pintu masuk Betong, Thai. Berbeza masa masuk ke Brunei dari Sungai Tujuh, Miri yang lancar dan rasa mudah. Begitulah..lain negara, lain cara.

Sebenarnya semasa berurusan di imigresen Thai, ada yang mengajak kami untuk 'mempercepatkan urusan'. Tapi ada bayaran lainlah. Tak payah beratur, semuanya akan siap! Yang mengajak ni orang Malaysia yang dah biasa masuk Thai. Dia kenal orang yang boleh berurusan. Dia sendiri menggunakan 'khidmat' tersebut sebab bawa ahli keluarga yang agak ramai. Kami menolak dengan baik. 

...okey, kita teruskan perjalanan!






.

Tuesday 18 September 2018

Jom Ke BETONG, Thailand!

10.09.2018 | Isnin
Dulu saya pernah ke Betong, Sarawak, kini saya nak ke BETONG, THAILAND pulak. Inilah tujuan kedatangan saya ke Pengkalan Hulu (selain memang nak melihat-lihat daerah Hulu Perak).

Sebelum memulakan perjalanan ke Betong, kita sarapan dulu ya! Cuma berjalan kaki ke seberang jalan dari hotel. 
Keadaan cuaca yang agak sejuk (sedikit mendung & gerimis) dan suasana bandar Pengkalan Hulu yang tenang, memang rasa santai menikmati hidangan pagi ni. Hidangan begini cuma berharga RM5.50. Semuanya sedap! Alhamdulillah.


Ke Pintu Sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak

Perjalanan dari hotel ke Kompleks Imigresen Bukit Berapit cuma mengambil masa tak sampai 10 minit. Ada laluan motor, kereta dan bas. Tak perlu turun kereta, pandu lalu dan hulur je pasport kita.

Kemudian kita akan jumpa bangunan Kompleks Bebas Cukai di sebelah kiri jalan. Sesuai untuk yang suka shopping (ada coklat, pinggan mangkuk Corelle dan lain-lain). Kalau yang takde pasport pun boleh ke sini sebab masih dalam kawasan Malaysia, cuma hulur kad pengenalan masa lalu kat imigresen tadi. Ni gambar waktu pagi, belum bukak. 

Sebelah kanan jalan, kita akan nampak binaan ini - Memorial Tragedi Kroh/Betong. Tragedi Kroh/Betong 17 Jun 1968, di mana 16 Pahlawan anggota Pasukan Polis Hutan PDRM gugur demi mempertahankan kedaulatan negara daripada pengganas komunis.

Selepas melalui pemeriksaan polis (tunjuk geran kenderaan dan lesen memandu sebab kami bawa kereta ke Thailand) di pintu gerbang keluar Malaysia, kita akan jumpa batu tanda Malaya Thailand Border di sebelah kiri. Betul-betul hampir ke pintu gerbang masuk Thailand.

Welcome to Thailand! Inilah pintu gerbang Thailand. Berdebar jugak rasa, sebab ini kali pertama kami memandu di Thailand (lebih tepat, suami memandu dan saya duduk sebelah je..heheh). Berdua saja pulak tu. Ini juga kunjungan pertama saya ke Thailand menggunakan pasport. Sebelum ini saya cuma pernah masuk Wang Prachan, Satun dengan kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen perjalanan (kemudahan ini telah ditamatkan pada 1 April 2015).


...bersambung...






.

Thursday 13 September 2018

Dari Pajam ke Pengkalan Hulu

09.09.2018 | Ahad
Bersempena cuti panjang (sempena Hari Keputeraan YDP Agong dan Awal Muharram), saya dan suami memulakan perjalanan ke Pengkalan Hulu. Sebuah tempat yang tak pernah kami jejak.

Kalau tengok Google Maps perjalanan akan mengambil masa kira-kira 5 jam dari rumah kami di Pajam, Negeri Sembilan. Kami keluar rumah sekitar pukul 7.10 pagi, kena awal sebab ni cuti panjang mesti banyak kenderaan kat jalan. 

Selepas menyinggah ke Bangi sebab hantar barang ke rumah seseorang, barulah perjalanan sebenar bermula! Alhamdulillah...perjalanan agak lancar walaupun ada ketikanya kenderaan bergerak perlahan. Berhenti di hentian rehat pun agak sesak, tapi masih ok. Siap shopping macam-macam jajan di Mydin RTC Gopeng sebagai bekalan perjalanan. 

Sekitar pukul 12.45 tengahari, kami keluar di tol Kuala Kangsar. Masa ni cuaca mendung dan ada tempat yang kami lalui sedang hujan. Perjalanan melalui lebuhraya tamat di sini. Perjalanan seterusnya akan melalui Lenggong - Gerik - untuk tiba di Pengkalan Hulu. 

Suami bawa kereta santai-santai je, sebab saya suka melihat-lihat pemandangan kanan kiri jalan. Tak pernah sampai dan bukan senang nak sampai, haruslah menghadam pemandangan yang ada. Sambil-sambil membaca tempat-tempat menarik yang ada di sepanjang jalan. Banyak tau!

Tiba di Lenggong, kami ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Jabatan Warisan Negara. Lokasi agak tersorok dari jalan besar, tapi tidaklah terlalu jauh ke dalam. Sedihnya bila sampai, ada notis kecil di gate memberitahu galeri ditutup untuk tujuan naik taraf, tapi tak tulis sampai bila. 😭 Takde rezeki nak berjumpa dengan Perak Man lah nampaknya! Perjalanan diteruskan...


PENGKALAN HULU (KROH / KEROH)

Alhamdulillah...akhirnya selamat tiba di bandar Pengkalan Hulu kira-kira 3 petang. Masih dalam hujan renyai. Bandar ini kelihatan tenang, bebas kesesakan dan jauh dari kesibukan. 

[INFO] Pengkalan Hulu, pernah dikenali sebagai Kroh atau Keroh, merupakan bandar yang terletak di daerah Hulu Perak, utara Negeri Perak. Ia terletak di sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand dan sempadan negeri antara Perak dan Kedah. Pengkalan Hulu dengan keluasan hampir 40km persegi dengan kepadatan penduduk hampir 30,000 orang juga sebagai perantara di antara negeri-negeri di sebelah utara ke bahagian selatan tengah Semenanjung Malaysia dan juga Pantai Timur Semenanjung dan juga pintu masuk antarabangsa berhampiran Negara Thailand. Bandar berhampiran di negara Thai ialah Betong di Wilayah Yala.


Kami menginap di sini - PENGKALAN HULU CITY HOTEL. Hasil carian di internet, ramai yang bagi review baik untuk hotel ni. Lokasinya juga sangat memudahkan kita cari makanan, berhadapan dengan medan selera dan dekat dengan pasaraya. Juga KFC dan pasar malam mini (Isnin malam Selasa). Semuanya hanya dengan berjalan kaki. 

Kami datang tanpa tempahan awal, pilihan bilik jadi terhad. Walaupun cuma berdua, ambil jugalah bilik Standard Family untuk tiga orang ni. Harga cuma RM100 (kadar hujung minggu/cuti umum). Bilik bersih dan selesa, memang puashati. 👍

Bilik air pun bersih. Jarang-jarang tau dapat hotel bajet yang saya puashati keadaan bilik air, samada kebersihan atau kemudahan yang disediakan. Yang ni memang selesa nak guna. Semoga hotel ni terus maju dan dapat kekalkan begini. 

Suasana malam di Pengkalan Hulu...tenang dan aman. Masa ni kami jalan kaki cari kedai makan guna Google Maps. Saja pilih jalan kaki untuk lebih mudah melihat-lihat sekeliling. Oh ya, satu-satunya bunyi yang 'menghidupkan' bandar ini...datang dari rumah burung walet! 😄

-----------------------------------------------------------------------------------

Malam ni tidur awal, perjalanan sekitar 8 jam siang tadi membuat badan rasa letih. Mungkin juga faktor usia yang meningkat. 😫 Esok...ke destinasi sebenar tujuan kedatangan kami di sini.

...bersambung...