Sunday 31 January 2021

Kedai Ikan GST

Ini bukanlah cerita pasal GST cukai tu, tapi nama syarikat tempat saya selalu beli ikan di PP ni. Seorang  kawan sekerja suami yang bagitau kewujudan kedai ni. Terletak kira-kira 5 km je dari rumah kami, tak jauh.

GST merujuk kepada nama pemilik syarikat, Goh Siong Tee yang memiliki rangkaian syarikat GST Group. Syarikat ni merupakan pemborong, pembekal hasil laut dan turut mempunyai ladang ternakan ikannya sendiri.

Pemandangan dari luar kedai. Kedai ni terletak di kawasan perindustrian, tak ada kawasan parkir khas. Itu jelah agak leceh sikit, nak cari tempat parkir kereta yang selamat. Kawasan perindustrian banyak lori keluar masuk.

Ni gambar pagi semalam, pemandangan bahagian dalam kedai. Dah beberapa kali saya beli di sini sejak tau kedai ni. Suka beli di sini sebab ada banyak pilihan ikan dengan harga yang agak rendah. Dekat pulak dengan rumah, memang mudah!


Kali ni beli 3 jenis ikan - siakap, bawal emas dan jenahak. Pembelian di sini dapat mata ganjaran, cukup 500 mata akan terus tolak RM10 daripada amaun pembelian. Nombor tertera tu pulak untuk kita tunggu giliran ikan dipotong. Siap potong, nanti dia panggillah nombor kita tu.

Ok, sengaja saya catatkan di blog sebagai memori sepanjang menetap di PP ni. Selama ni duduk di rumah NS dan beli ikan di pasar Nilai 3, tak pernah rasa perlu catat di blog pun...hehe.


GST FINE FOODS SDN BHD
Taman IKS, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Waktu Operasi :
Isnin - Sabtu : 7 pagi - 6.30 petang
Ahad : 7 pagi - 2 petang
Tutup pada cuti umum sahaja.


Thursday 28 January 2021

Bungkusan Bakul Hadiah Sebagai Tanda Maaf

Kisah bermula apabila saya membeli setin Rendang Daging Adabi pada tahun lepas. Kononnya nak bawa pergi berkhemah, mudah tak perlu memasak beria. Panaskan saja, dah boleh makan.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang nampaknya bersambung-sambung di PP ni, saya ambil keputusan nak makan jelah dulu rendang tersebut. Nak merasa.

Buka tin, tuang isi ke dalam periuk dan panaskan. Bau memang sedap! Sesekali saya kacau-kacau rendang tersebut supaya tak hangus. Masa mengacau...eh, macam kentang je semua ni, tapi tak mungkinlah! Jenama ADABI kot (baca : menafikan apa dilihat).

Kenyataannya, rendang daging tersebut cuma mengandungi sepotong kecil daging dan secebis lelemak. Ketulan kentang je yang banyak. Ini rendang kentang!

Saya salurkan rasa kecewa (maaf kalau macam agak garang bahasa saya) kepada pihak ADABI, dengan harapan mereka ambil maklum dan atasi perkara ini untuk masa akan datang. Tak sangka, pantas juga mereka jawab mesej saya. Saya diminta buat aduan mengikut format diberi dan saya sertakan gambar tin yang tertera tarikh luput produk (untuk rujukan mereka).

Selepas itu, ada wakil syarikat yang menghubungi saya untuk menyatakan permohonan maaf dan menjelaskan apa yang berlaku. Menurutnya, proses mengisi dibuat secara manual oleh pekerja dan dah ditetapkan berapa banyak daging dan kentang perlu diisi dalam setiap tin. Maksudnya, berkemungkinan pekerja melakukan kesilapan semasa mengisi. Lupa pulak saya nak tanya, sepatutnya berapa banyak daging dalam setiap tin tu kan...hehe.

Kejutan buat saya! Pada 21 hb. lalu, wakil ADABI datang ke rumah dan memberikan bungkusan bakul hadiah ni. Bagus cara mereka ni kan, bukan sekadar kata-kata maaf saja diberi. Memang sejuk hati sungguh kalau gini.

Produk ADABI dalam bungkusan bakul hadiah tadi. Memang berguna semuanya, dan ada yang dah habis guna pun...hehe.

Alhamdulillah...rezeki yang tak dijangka di kala PKP 2.0. Terima kasih ADABI! 


Wednesday 20 January 2021

Pokok Buah Tin di Tingkat 16

Kalau ikut rancangan asal, memang tak mau menanam apa-apa pokok di balkoni rumah PP ni. Tapi tiba-tiba suami saya ni berminat pulak nak cuba menanam pokok tin. Sambil melawat ladang pokok tin (atas urusan kerja), suami terus beli dua varieti pokok tin.

Masa beli tu, pokok pertama dengan saiz yang lebih kecil dan mempunyai 8 biji buah. Manakala pokok kedua dengan saiz yang lebih tinggi, tak ada sebarang buah.

Gambar-gambar di bawah ni adalah gambar pokok tin yang kedua. Excited tengok pokok ni daripada tak ada buah, sehinggalah muncul beberapa biji buah dan seterusnya membesar. Ada juga buah yang gugur sebelum membesar.

Buah pertama yang mula bertukar ke warna merah.

Selepas 3 hari, warna buah hampir sepenuhnya bertukar merah. Cantik! Buah yang di atas dan bawah pun dah bertukar warna. Saiz buah pokok tin kedua ni lebih besar sikit berbanding buah daripada pokok yang pertama.

Ada 4 biji buah je yang kekal membesar. Syukur, ada jugak rezeki.

Sehari kemudian, buah tin dah merah sepenuhnya dan tangkai jatuh ke bawah. Dah boleh petik.

Rupa isi buah tin yang dipetik tadi. Emm...macam kurang menarik. Tak pasti sama ada varieti ni memang gini rupanya, atau ada kekurangan penjagaan. Rasanya? Tak tawar dan taklah manis, macam rasa lemak-lemak.

Ini pulak gambar buah tin dari pokok pertama (yang masa beli memang dah ada buah tu). Buah dari pokok pertama ni sangatlah kecil dan jenis masak hijau. Disebabkan buah ni jenis masak hijau, jadi susah nak tau bila boleh dipetik. Tau tau je dah bergolek jatuh buahnya. Bila dipotong, barulah nampak isi dalam yang dah masak. Cantik isi dalamnya. Berbau sedikit harum/manis.

Alhamdulillah...dapat jugak merasa buah tin pokok sendiri. Walaupun tak besar dan banyak, tapi bolehlah buat ambil pengalaman. Mungkin kena buat sesuatu (tapi tak tau apa...haha) untuk bagi pokok-pokok tin ni menghasilkan buah yang lebih besar dan banyak.

Saya catat di sini sebagai kenangan, kot la dia tak mau berbuah lagi kan...uhh.



Friday 15 January 2021

Penulis Yang Disayang Tuhan


Judul : PENULIS YANG DISAYANG TUHAN
Penulis : Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS Litera
Tahun terbit : 2013
Jumlah halaman : 354
Harga : RM25


Novel Penulis Yang Disayang Tuhan ini saya beli di Shopee setelah tertarik dengan perkongsian ulasan buku oleh seseorang di Facebook. Novel terbitan tahun 2013 ini dijual pada harga diskaun, dapatlah saya beli pada harga RM21.25.

Uniknya buku ini, ianya edisi 1+1. Satu buah buku, terdapat dua judul novel. Tapi ada masalah juga, bila terlampau tebal dan buku bersaiz agak kecil, jadi susah nak selak tiap halaman untuk membaca.


Penulis Yang Disayang Tuhan
Novel ini mengisahkan Usamah, seorang penulis novel yang tidak lagi mahu menulis dek rasa kecewa. Kecewa kenapa? Yang tu kena baca sendirilah. Tapi kerana desakan hidup, Usamah akhirnya terpaksa menerima tawaran oleh Johari Salim seorang penulis legenda. Di sinilah segala cerita bermula, di mana Usamah perlu menemui lima orang bekas penulis.

Membaca novel ini juga umpama saya sedang mengikuti siri kelas penulisan. Ia disampaikan dalam bentuk penceritaan melalui watak Usamah yang mengajar penulisan kepada Aliya Nurul Iman dan tiga orang pendatang asing tanpa izin iaitu Suparno, John Stalone dan Adinda Aisyah. Sesuatu yang unik apabila kita sedang membaca novel, tapi kita juga sedang belajar menulis novel.

Unsur humor juga diselitkan dalam novel ini melalui watak-watak sekumpulan pendatang asing tanpa izin. Pun begitu, ia masih mengandungi pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah mereka.

Saya berpendapat novel ini merupakan bacaan permulaan yang baik bagi mereka yang berminat dalam menghasilkan karya. Selain mengajar teknik penulisan, ia juga memberi panduan/ingatan agar para penulis menghasilkan karya yang mempunyai nilai akhlak yang baik. Bukan sekadar hiburan kosong.

Novel yang mengingatkan kita agar menjadi ‘penulis yang disayang Tuhan’, kerana dengan izin-Nya jari-jemari penulis boleh menulis, dengan izin-Nya penulis mempunyai ilham dan dengan izin-Nya penulis menemui kejayaan yang dicari. Menjadikan penulisan sebagai ibadah.


Petikan Novel
“Contoh paling mudah, lihat sahaja skrip-skrip filem kita. Mereka mengatakan mahu membuat filem yang ada mesej, memberi keinsafan kepada masyarakat. Namun oleh kerana terikat pada struktur penceritaan barat, jadi kejahatan itu diperlihatkan hampir sembilan puluh peratus dalam tayangan. Hanya pada minit-minit akhir sahaja watak utama tadi ditunjukkan sedang menangis di atas sejadah ataupun sedang mencangkung di atas kubur dan insaf.

Kamu fikir, adakah penonton akan insaf dan mendapat pengajaran daripada kisah itu? Pasti mereka datang ke panggung bagi melihat adegan ranjang dan itulah yang mereka dapat. Hiburan kosong.” - halaman 326, Penulis Yang Disayang Tuhan -






 .

Wednesday 13 January 2021

Homesoy Multigrain...Memang Sedap!

Semalam petang lepas selesai je urusan cabut gigi geraham, terus berkejar ke pasaraya. Suami turun sendiri untuk membeli beberapa keperluan makanan sebagai persediaan tak keluar rumah sempena PKP. Saya cuma kirim yogurt, makanan yang sesuai untuk orang lepas cabut gigi (sejuk dan tak perlu mengunyah). Doktor gigi pesan ambil minuman/makanan sejuk saja buat sementara waktu ni.


Antara yang dibeli oleh suami...minuman Homesoy Multigrain. Ingatkan beli 2-3 kotak je. Rupanya diborong terus 6 kotak! Satu kotak ni 1 liter. Minggu lepas dah cuba beli buat pertama kali dan memang sedap ditekak kami berdua. Tak terlalu manis dan tak tawar. Masukkan dulu dalam peti sejuk, lagi sedap! Harga asal RM5.20, sekarang harga promosi RM4.88 sekotak.

Susu kacang soya begini juga alternatif untuk mereka yang ada masalah laktosa intoleransi (lactose intolerance). Bila minum susu biasa (hasil tenusu), mulalah kembung perut dan tak selesa perut.



Tuesday 12 January 2021

Cabut Geraham Bongsu Menjelang PKP

Esok, berkuatkuasa 13 Januari 2021 bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 8 buah negeri selama 14 hari. Ia termasuklah negeri tempat saya menetap sekarang, Pulau Pinang.

Bila dikenakan PKP ni, pergerakan terhad dalam 10 km radius sahaja. Saya pulak nak ke klinik gigi yang terletak kira-kira 16 km dari rumah. Jadinya untuk mengelakkan sebarang kesukaran, temujanji hari Sabtu saya awalkan kepada petang tadi.


TIGA KALI AMBIL SUHU
Sampai je di klinik, staf klinik ambil suhu badan saya. Tinggi. Saya diminta duduk, nanti ambil suhu lagi. Mungkin sebab duduk dalam kereta agak lama dengan pancaran matahari terik di luar. Tadi dari rumah bukan terus ke klinik, kami menyinggah ke tempat lain sekejap. Suami selesaikan urusannya, sementara saya duduk menunggu dalam kereta.

Bila ambil bacaan kali ke-2, masih tinggi. Staf bagitau, kalau kali ke-3 masih tinggi tak dapatlah saya buat rawatan hari ini. Hmm...saya dah mula risau. Tiba-tiba terfikir nak kipaskan muka biar cepat sejuk. Saya pun mintak staf tadi on kipas dinding (entah mana kedudukan suisnya). Lepas tu saya pun berdiri la ngadap kipas tu dalam 5 minit. Haha! Takde pesakit lain pun, tak segan.

Lepas 5 minit, staf panggil lagi untuk ambil bacaan kali ke-3. Alhamdulillah dah ok! Pheww...lega tau. Bolehlah teruskan rawatan.


CABUT GERAHAM BONGSU 
Kali pertama datang pada minggu lepas, doktor periksa gigi saya yang sakit (sebenarnya sakit gusi). Doktor sarankan gigi geraham bongsu dicabut sebab ada jangkitan (masalah gusi). Sebelum dicabut, saya perlu makan pil antibiotik selama 5 hari dan dibekalkan juga pil tahan sakit. Lepas hilang sakit, baru boleh datang semula untuk dicabut. Kalau tak mau cabut? Ha...akan berulanglah sakitnya. Seksa tau!

Sebelum cabut gigi, doktor beri suntikan bius (saya kira-kira ada 4 suntikan). Saya pejam mata, tak nampak jarum ke apa pun. Penakut nak tengok...haha! Lepas dah rasa kebas, doktor pun mulakan operasi mencabut. Sepanjang masa memang saya tak henti berzikir dalam hati Ø±Ø¨ÙŠ يسر ولا تعسر (Rabbi Yassir Wala Tu’assir ), semoga Allah permudahkan doktor mencabut gigi saya.

Alhamdulillah...gigi geraham bongsu sebelah bawah kiri selamat dicabut dalam tempoh sekitar 10 minit berada dalam bilik doktor. Doktor tunjukkan gigi yang dicabut dan beri penerangan ringkas. Takde rasa sakit pun masa cabut, cuma rasa sakit sikit masa suntikan bius.


Dapat pil tahan sakit, kain kasa (gauze) dan gigi yang dah dicabut tadi. Hehe...pertama kali kot, saya cabut  gigi ditanya nak bawa balik gigi tak? Mula-mula saya geleng, lepas tu...eh, bolehlah! Tapi sampai sekarang saya tak buka tengok, ngeri pulak. Esoklah.

Keseluruhannya, saya puas hati dengan servis di klinik gigi ni. Kadar caj dikenakan RM100 untuk cabut gigi geraham bongsu saya tadi. Tapi bab harga ni berbezalah ya, kalau kena buat pembedahan kecil lebih tinggi caj.

Lega sangat bila dah jumpa klinik gigi yang kita rasa ‘ngam’ dengan kita. Bagi yang berdekatan dan nak doktor gigi perempuan, bolehlah cuba rawatan di klinik ni.


KLINIK PERGIGIAN DESA MURNI
Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Waktu operasi :  Isnin - Sabtu (9 pagi - 6 petang)
Facebook : Klinik Pergigian Desa Murni
Pertanyaan/temujanji : 019-987 7502



Terkaitnya Kita

Judul : TERKAITNYA KITA
Penulis : Syaz Eym
Penerbit : Syihabudin Press
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 132
Harga : RM20

Buku Terkaitnya Kita ni sangat istimewa bagi saya, kerana ia merupakan hadiah dari penulisnya iaitu sahabat blogger Syaz. Buku ni saya terima pada hari Rabu minggu lepas, dalam satu bungkusan berwarna pink. Warna yang menarik. Terima kasih Syaz ❤️

Sesuai dengan tajuk Terkaitnya Kita, naskhah ini membawakan 13 buah cerita pendek yang mana sebenarnya ia saling berkaitan. Walaupun ia saling berkaitan, tetapi setiap cerita pendek membawa isu yang berbeza. Saya kagum dengan penulis Syaz Eym yang bijak mengolah dan menyusun setiap cerita, sehingga kita langsung tak rasa bosan membaca dari awal hingga ke akhir kulit buku.

Membaca cerpen pertama saja dah membuat saya tepuk dahi! Cerpen bertajuk Hatiku Ada Kamu benar-benar berjaya menipu saya selaku pembaca. Juga membuat saya ketawa kecil sendiri. Kenapa? Itu kenalah baca sendiri...hehe.

Cerpen bertajuk Jun pula mengangkat isu yang agak berat - penderaan domestik. Penulis menyedarkan kita betapa perlunya sokongan orang sekeliling dalam membantu mereka yang didera. Juga menyedarkan pentingnya seseorang itu keluar dari perkahwinan toksik.

Antara yang memberi kesan di hati, cerpen bertajuk Selesai. Kisah kasih sayang seorang kakak yang menjaga adiknya seorang penghidap kanser. Lain yang kita jangkakan, rupanya lain yang terjadi.

Cerpen bertajuk Pesona Fitra pula membuatkan saya tak tahu nak rasa bagaimana. Entah nak rasa kasihan pada Fitra Maziyah, atau nak rasa lucu atau kasihan dengan kesilapan Muhib?

Pendek kata, setiap cerpen membawa rasa yang berbeza. Juga banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada setiap cerita.


Tahniah kepada Syaz Eym yang berjaya membawa setiap cerita dengan baik, seronok dibaca, penuh dengan pengajaran dan paling utama ia membawa kita kepada Allah. Memetik kata-kata nota kaki penulis, “...kita merancang, Allah jua merancang. Dan ternyata perancangan Dia jualah yang lebih baik dari segalanya.”

Bagi yang nak mendapatkan naskhah Terkaitnya Kita, boleh klik DI SINI. E-cerpen oleh Syaz juga boleh baca DI SINI.

“Jangan lokek untuk membantu orang, kerana mungkin Allah menjawab doa hamba-Nya yang lain, melalui kita” - halaman 46, Terkaitnya Kita


 

Sunday 10 January 2021

Seketika di Tasik Beris, Sik, Kedah

Info : Tasik Beris merupakan tasik buatan manusia, yang terbentuk hasil daripada pembinaan empangan Beris pada 10 Ogos 2000. Ia terletak di daerah Sik, Kedah. Mempunyai keluasan tadahan air 116 km persegi dan siap sepenuhnya pada tahun 2004. Ia berfungsi untuk membekalkan air disekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kawalan banjir. Kini ia telah terkenal sebagai pusat pelancongan di daerah Sik.

Lokasi : Hentian Rehat Tasik Beris

Lokasi : berhampiran Seri Ternas Resort

Lokasi : berhampiran Seri Ternas Resort.

Berjalanlah, melihat tempat-tempat yang belum pernah kita sampai. Kerana di setiap perjalanan, ada sesuatu yang boleh kita pelajari, mengutip pengalaman baru. Juga mampu menghilangkan kelesuan jiwa, kecelaruan fikiran.

*tempat yang belum pernah kita sampai bukanlah selalu bermaksud tempat yang jauh, kadang-kala ia ada berhampiran tempat tinggal kita. Namun tak pernah kita ambil peduli.


Saturday 9 January 2021

Dapat Hadiah ‘Top 10 Ejen Dropship Buku JT’ untuk Disember 2020

JADI EJEN DROPSHIP JUAL BUKU
Saya mula mendaftar untuk jadi ejen dropship buku Jejak Tarbiah (JT) sekitar bulan Oktober 2019. Tujuannya supaya saya dapat membeli buku untuk diri sendiri dengan harga diskaun ejen 😀.

Namun akhirnya pada bulan Mei 2020, saya mulai fokus untuk menjual melalui Instagram (buat satu akaun khas untuk menjual). Sejak tu bermulalah kerja-kerja mempromosi buku hampir setiap hari di Instagram, status WhatsApp dan juga di grup-grup jual-beli buku di Facebook. Bukan kerja mudah, apa lagi ini pertama kali saya beralih arah ke dunia perbukuan (sebelum ni saya reseller tudung). Jual buku nampaknya tak ‘selaju’ jual tudung, memang seksa juga saya nak mendapatkan pembeli. Tapi, usaha tetap dilakukan hari demi hari.


GIVEAWAY UNTUK ‘TOP 10 EJEN DROPSHIP’
Menariknya di JT, setiap bulan akan ada ganjaran hadiah barangan (barang berbeza setiap bulan) untuk 10 ejen dropship dengan jualan buku paling banyak. Tentunya hadiah bukanlah matlamat para ejen, tapi bila ada hadiah dan senarai ‘top 10’ ni kita jadi bertambah semangat menjual. Duit komisyen dapat, hadiah pun dapat!

Setiap awal bulan biasanya pihak JT akan keluarkan poster hadiah yang bakal diberikan. Ni poster untuk bulan Disember 2020.

AKHIRNYA...

Alhamdulillah 🤩! Seronok rasanya bila tengok nama sendiri ada dalam senarai di atas. Maklumlah, baru pertama kali merasa masuk senarai ‘Top 10’ setelah berbulan lama aktif menjual.

Hari Khamis petang sampailah hadiah untuk saya. Tempat ke-7 dapat headphone mic. Kebetulan saya belum ada benda gini, jadinya memang sesuai sangatlah dapat.

Sebenarnya, saya ada sedikit rasa sedih bila jualan bulan Disember saya tak mencapai sasaran yang saya tetapkan sendiri. Dapatlah menjual 53 buah buku dengan nilai jualan sebanyak RM1,076.25 (nilai jualan agak rendah sebab ada diskaun 15% - 50% sempena jualan akhir tahun). Tapi lepas tu jadi gembira semula bila berjaya jugak masuk senarai. Menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus menyebarkan buku di kalangan masyarakat.

Pihak JT juga buat bayaran komisyen kepada ejen secara tetap pada/sebelum 5 hb. setiap bulan, tanpa ada nilai minima. Itu yang bagus. Alhamdulillah duit komisyen bulan Disember pun saya dah terima pada 4 hb. lalu, dapatlah RM296.45. Tak perlu pegang stok, tak ada risiko kerugian, tak perlu buat kerja membungkus dan mengepos...ok sangat bagi saya. Ada ejen lain yang mampu meraih komisyen sehingga RM1,000, memang hebat!

*Saya catat di sini dengan agak terperinci untuk rujukan sendiri pada masa akan datang.


Thursday 7 January 2021

Bila Mengemas Gerobok Lama...

Penghujung bulan Disember lalu, Alhamdulillah saya dan suami berkesempatan balik ke kampung kami di Johor setelah berbulan lama tak menjenguk orang tua kami.

Antara kerja yang kami berjaya selesaikan kali ini - menggantikan gerobok buku yang dah dimakan anai-anai dengan gerobok baru. Gerobok lama ni bahagian kakinya pun dah dimakan anai-anai. Bahagian para di dalam gerobok pun hampir runtuh. Kalau sekali pandang memang nampak elok je gerobok tu.

Tugas pertama, pergi beli gerobok baru. Kami beli di sebuah kedai perabot yang terletak berhampiran simpang jalan ke Parit Semerah, Pontian. Jika dari bandar Pontian, ia terletak di sebelah kiri jalan sebelum lampu isyarat ke Parit Semerah. Ada jalan kecil je untuk masuk ke kedai ni. Berbanding beberapa kedai perabot lain yang kami dah pergi, kedai ni lebih banyak pilihan dan menawarkan harga yang lebih rendah. Cuma tak dapat hantar hari yang sama sebab jadual penghantaran dah penuh untuk hari tersebut.

Tugas kedua, proses keluarkan isi gerobok lama. Pilih mana yang layak dibuang dan mana yang kekal disimpan. Suami tukang keluarkan isi gerobok, saya pulak tukang pilih-pilih dan asingkan buku ikut kategori. Lepas keluarkan isi gerobok, suami bawa keluar gerobok lama tu ke luar rumah.

Proses yang lama - memilih buku. Jadi lama sebab hampir tiap buku saya belek, ambil gambar jika ada yang mencuit hati dan share di grup WhatsApp adik-beradik. Adik-beradik 9 orang, jadinya ada macam-macam buku dengan macam-macam contengan yang boleh jadi bahan ketawa. Yang tu tak boleh letak di blog, marah pulak kakak/adik saya...haha! Kat sini saya letak sikit sebagai kenangan dari masa lalu.

Tersenyum sendiri bila jumpa buku kamus ni, hadiah dari sekolah rendah saya. Masa dulu memang agak selalu naik pentas pada hujung tahun untuk terima hadiah. Tapi itulah...sama ada sebab cemerlang subjek Bahasa Malaysia (sekarang sebut Bahasa Melayu) atau sebab jadi antara peminjam buku terbanyak di perpustakaan sekolah. Lain-lain memang tak ada, seingat saya la.

Inilah antara kitab sekolah agama kami. Kitab begini sama ada kena beli sendiri atau kadang-kala ada juga disediakan di sekolah. Tapi leceh la sebab nak kena berebut dengan budak lain tiap kali nak guna, lebih mudah ada sendiri.

Antara isi kitab. Tulisan jawi sepenuhnya, kecik-kecik pulak. Entah macam mana dulu boleh pulak belajar. Sekarang kalau cuba baca mau merangkak membaca sambil menguap ngantuk...haha! Kitab dengan rupa begini kami guna dari darjah 1. Nak tak nak dari kecik kena pandai baca jawi, sebab sistem sekolah agama Johor dulu kalau tak lulus darjah maka tak boleh naik darjah seterusnya. Kadang ada yang dah bertahun duduk di darjah yang sama sebab tak lulus, kesian juga.

Disebabkan keunikan sistem ni, maka dalam satu-satu kelas tu akan ada pelbagai peringkat umur. Satu lagi keunikan sistem ni, tak kisah umur berapa untuk kita mula masuk sekolah agama. Macam saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa saya masuk darjah 3 sekolah rendah. Kebanyakkan kawan-kawan saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa mereka masuk darjah 2 sekolah rendah.

Jadinya saya cuma sempat sampai darjah 4 sekolah agama (iaitu masa saya darjah 6 sekolah rendah), tak sempat sambung sampai Darjah Khas (peringkat paling tinggi sekolah agama Johor) sebab sekolah menengah saya dah masuk asrama. Jadinya sempatlah saya menghadap kitab Mutaal Badrin masa di darjah 4 tusebuah kitab yang lebih besar dan tebal! Yang ni memang saya sentiasa mengantuk tiap kali buka. Gitulah cabaran belajar agama.

Majalah tahunan sekolah pun banyak. Ni saya ambil satu majalah setiap sekolah dan ambil gambar sebagai kenangan.

Selain buku, ada juga pingat, piala dan plak di dalam gerobok lama ni.  Yang ni plak kemenangan hadiah ketiga sempena Gerai Makan Paling Bersih peringkat Majlis Daerah Pontian kepunyaan Allahyarham Bapak. Bapak saya dulu berniaga kedai makan di bandar Pontian. Merasalah saya hidup sebagai anak peniaga makanan - ke warung membasuh pinggan, melayan pelanggan, mengemas kedai. Warung Bapak lah sumber kewangan membesarkan kami 9 beradik.

Akhirnya...inilah saja yang saya pilih untuk disimpan dalam gerobok baru nanti. Yang lain perlu dibuang sama ada sebab dimakan anai-anai (seram tengok lubang sekata je dari muka depan kulit buku sehingga ke isi dalam buku), atau sebab dah terlalu lusuh bercerai isi buku. Untuk tugas menyusun di gerobok baru nanti akan dilakukan oleh seorang kakak saya sebab gerobok sampai lagi 2 hari, saya dah takde di kampung.

Ginilah kalau mengemas gerobok lama, memang betul-betul lama membelek buku. Haha. Apa pun syukur selesai satu misi di kampung, mak pun senang hati dapat tukar gerobok baru.




.

Sunday 3 January 2021

10 Catatan Kenangan Peribadi di Tahun 2020

Selamat Tahun Baru 2021 untuk sahabat blog semua! Semoga semua ceria dan bersemangat memulakan tahun baru walaupun kita masih dalam suasana berjaga-jaga dek Covid-19.

Dah masuk hari ke-3 di tahun 2021 barulah saya berkesempatan nak menulis blog. Untuk catatan pertama tahun ini, saya nak senaraikan 10 catatan kenangan peribadi yang berlaku pada tahun 2020 :

1. Menyambut tahun baru 2020 jauh di Dabong, Kelantan. Malam tahun baru duduk berdua dengan suami sambil menghirup minuman panas di tepi sungai. Tanpa bunyi bising mercun, cuma bunyi nyanyian serangga malam dan deruan air sungai menemani malam tahun baru kami. Cukup tenang.

2. Daftar ejen affiliate untuk KMH Adventure (menjual buku travelog Ustazah Basikal) pada Disember 2019 dan berjaya mendapat komisyen pertama pada Januari 2020 sebanyak RM250. Jumlah buku berjaya dijual sebanyak 25 buah. Satu kejayaan besar buat saya!

3. Pada bulan Februari saya diberi peluang buat pertama kalinya menjadi pembaca pruf manuskrip dalam bentuk PDF oleh sebuah syarikat penerbitan. Berpinar mata kena buat bacaan pruf dalam tempoh 2 hari untuk sebuah buku sekitar 180 muka surat.

4. Rekod paling lama berkurung di rumah, iaitu selama 45 hari. Langsung tak ke mana-mana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac 2020.

5. Menyambut Hari Raya Aidilfitri berdua je dengan suami di rumah NS pada bulan Mei. Sambutan raya paling ringkas dan mudah! Siapa sangka, berada di dalam negara pun tetap tak boleh pulang beraya di kampung. Dah macam tinggal di perantauan pulak. Antara hikmahnya, dapatlah melakukan solat sunat Aidilfitri berimamkan suami dan dapat la dengar suami baca khutbah (pertama kali setelah berbelas tahun kawin...haha).

6. Berpindah ke utara tanah air pada 30 Mei, sewaktu negara masih dalam PKP. Cuma dengan satu kereta je tanpa guna lori, barang lain kekal di rumah NS sebab itu rumah sendiri dan akan kembali selepas tamat kontrak kerja suami. Kenangan menyaksikan lebuh raya ke utara yang hampir lapang, hentian sebelah dan R&R yang lengang tanpa pengunjung. Pemandangan yang begitu asing.

7. Pertama kali tinggal di rumah aras tinggi. Sengaja kami cari rumah tinggi di PP untuk mengambil pengalaman. Ditakdirkan dapat pulak rumah di aras paling tinggi, iaitu tingkat 16. Menghadap matahari terbenam, nampak lautan, bahagian pulau dan jambatan kedua. Bonus!

8. Pada 20 Oktober, nenek saya (sebelah mak) telah menemui penciptanya. Dan sedih sekali saya tak dapat nak balik ke Johor untuk menatap wajah nenek buat kali terakhir. Cuma mampu menghadiahkan doa, bacaan Yasin dan melakukan solat jenazah ghaib.

9. Tahun paling sikit balik kampung (kami suami isteri orang Johor). Cuma sempat 3 kali je balik Johor iaitu beberapa minggu sebelum diisytiharkan PKP, pada Hari Raya Aidiladha dan yang terakhir pada minggu lepas (cuti umum Krismas sehingga cuti tahun baru).

10. Berjaya disenaraikan sebagai Top 10 Ejen Dropship Buku JT bagi bulan Disember. Saya mendaftar jadi ejen pada bulan September 2019, lepas setahun lebih barulah dapat masuk senarai Top Ejen. Lama sungguh...haha. Apa pun, ia menjadi penutup tahun 2020 yang manis.


*Terima kasih Allah atas segala kurniaan. Yang pahit itu nyata ujian (sejauh mana kita mampu bersabar?), yang manis juga sebenarnya adalah ujian (adakah kita makin tunduk kepada pemberi kemanisan hidup?)*

—————————————————————-

1 Januari 2021 - dalam perjalanan pulang ke rumah PP, trafik perlahan selepas keluar terowong Menora ke Kuala Kangsar (sebuah lori mengalami kebakaran kecil). Tersekat sekitar 1 jam 20 minit dan tanpa capaian internet (Maxis dan Celcom dua-dua sepakat 🚫). Hikmah trafik perlahan, saya dapat menyegarkan mata dengan pemandangan hijau hutan di tepi lebuh raya dan menyaksikan suasana indah senja yang diselubungi kabus tebal di kawasan berbukit ini.