Sambungan dari catatan lalu DI SINI.
Selesai lawatan di Galeri 1, kami menuju ke bahagian luar bangunan yang menempatkan tinggalan senibina candi dari empat buah tempat di Lembah Bujang. Terdapat banyak tapak candi yang ditemui, tapi di sini cuma dibina candi dari tapak tertentu sahaja dari setiap tempat. Nombor tertera pada papan tanda di atas merujuk kepada nombor tapak.
Permulaan lawatan untuk melihat tinggalan senibina candi bermula di sini. Perlu mendaki anak-anak tangga, maklum saja tempat ni berada di kawasan berbukit di kaki Gunung Jerai. Tertera kata-kata aluan di pintu gerbang - ‘Selamat Datang Ke Lembah Bujang, Anda Sedang Menerokai Tamadun Kurun Ke 2-14 Masehi’. Jom kita mulakan penerokaan...
CANDI PENDIAT (TAPAK 16)
Tinggalan senibina candi yang mula-mula kami temui - Candi Pendiat (Tapak 16). Asal tapak ini telah ditemui di Kampung Pendiat, Merbok, iaitu di sebelah timur Sungai Bujang. Ia telah ditemui pada tahun 1940, manakala pada tahun 1974 tapak ini telah dibina semula dan dipindahkan ke kawasan muzium ini.
Tinggalan senibina candi berunsur Hindu ini secara keseluruhannya dibina daripada batu lada (laterite) sebagai struktur bawah, bahagian tapak asas (foundation) pula terdiri daripada pebel sungai. Struktur atasnya terdiri daripada tiang-tiang kayu dan beratapkan genting.
CANDI BUKIT BATU PAHAT
Kena naik nun atas lagi untuk meneruskan penerokaan ke tiga candi lain. Memang luas tempat ni. Saya suka suasana di sini, nyaman dan seronok dengar bunyi irama alam (boleh dengar dalam video yang saya kongsikan).
Inilah tinggalan senibina Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8). Satu-satunya candi di sini yang berada di tempat asal.
Runtuhan Candi Bukit Batu Pahat ini telah dibina semula di tempat asalnya pada tahun 1960. Candi ini juga merupakan candi induk kepada candi-candi lain di Lembah Bujang.
Bahan binaan utamanya ialah batu granit yang dipahat dari batu hampar yang terdapat di tebing Sungai Merbok Kecil yang mengalir berhampiran tapak ini (rujuk gambar terakhir catatan ini).
CANDI PENGKALAN BUJANG (TAPAK 21)Candi Pengkalan Bujang (Tapak 21), asalnya tapak ni berada di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok, di tebing sebelah timur Sungai Bujang. Ia ditemui berkembar dengan Tapak 22, tetapi hanya Tapak 21 dibina semula dan dipindahkan ke kawasan muzium ini.
Struktur candi ini secara keseluruhannya terdiri daripada batu bata sebagai binaan asas.
CANDI BENDANG DALAM (TAPAK 50)
Candi Bendang Dalam (Tapak 50). Asal tapak ini ditemui di Kampung Bendang Dalam, Merbok, di sebelah barat Sungai Bujang.
Terdapat tiga binaan dengan struktur berbeza di sini.
Rupa bahagian dalam salah satu struktur binaan candi. Bahan asas binaan candi ini adalah batu lada (laterite).
BUKAN SEKADAR MUZIUM...
Di lereng bukit di mana terletaknya candi-candi tadi, terdapat pondok-pondok wakaf. Keseluruhannya terdapat enam buah pondok wakaf di sekitar kawasan muzium ini. Di belakang pondok wakaf (di dalam gambar), bunyi aliran air dari sebatang anak sungai jelas kedengaran. Nampaknya kawasan ini bukan sekadar muzium, tapi boleh jadi taman rekreasi.
Inilah air terjun (kalau boleh dipanggil air terjun) yang saya nyatakan pada catatan terdahulu. Terletak tak jauh dari kawasan parkir. Kalau perasan, batuan di air terjun ni nampak agak pelik. Rupanya-rupanya inilah kesan tapak pahatan (batuan dipahat untuk membina candi).
Saya tak dapat turun ke bawah untuk mengambil gambar lebih jelas, sebab kawasan sebelah sini dah dihalang dengan tape merah putih tu. Ada tentera sedang menjalani latihan di sini. Di satu sudut lain (seperti kolam), ada juga pengunjung datang bermandi-manda walaupun terdapat notis larangan berkenaan.
Video berdurasi 56 saat, cukuplah nak memberi gambaran sebenar kawasan candi.
————————————————————-
Bagi yang berkesempatan, nanti bila dah tamat PKPB bolehlah jalan-jalan bawa keluarga ke sini. Kalau selama ni kita tahu mengenai kerajaan Kedah Tua dan Candi Lembah Bujang melalui buku teks Sejarah, di sini kita saksikan sendiri tinggalan sejarah tersebut. Boleh juga berangan jadi Indiana Jones kejap kan 😄
MUZIUM ARKEOLOGI LEMBAH BUJANG
Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah.
Buka Setiap Hari : 9 pagi - 5 petang
(Tutup hari Isnin minggu pertama sahaja)
Masuk PERCUMA