Saturday 31 March 2012

Ada Buat Kad Ni?

Kad nama dalam simpanan saya.

Sebenarnya dah terlupa pasal kewujudan kad nama dalam simpanan saya ni. Bila bukak Fb tadi, Groupon Malaysia ada sebut pasal kad ni. Memang menggamit memori zaman sekolah menengah sekitar tahun 90-an. Tersenyum sendiri menatap kad-kad nama ni semua...terkenang kawan-kawan lama. 

Harganya kalau tak silap ingatan saya, RM3 untuk 10 kad. Ada katalog dan kita boleh pilih gambar untuk kad kita. Ada gambar kartun, artis, bunga, pemandangan, haiwan...pilih je ikut minat kita. Entah siapa yang jual, saya pun tak ingat. Yang pasti ia memang tersebar luas dan memang mendapat sambutan ramai. Lepas dapat kad bolehlah kita bagi kat kawan-kawan. Seronok semacam je...macam boleh bagi kad bisnes pulak!

Walaupun agak membazir sebab zaman sekolah bukan ada duit sangat pun, tapi ia kini jadi satu kenangan manis dan seolah-olah tanda ingatan daripada kawan-kawan lama. Bagi korang yang ada, apa gambar yang menjadi pilihan pada kad nama korang?

Friday 30 March 2012

Segmen Superstar Blog5



Segmen 'review blog' yang saya join ni anjuran blogger Tihara.
Tujuan segmen ni untuk memperkenalkan blog kita kepada kawan-kawan blogger yang lain.

Tarikh tutup penyertaan pada 4 April 2012.
Berminat? KLIK je pada banner kat atas ya! ^_^

  

Thursday 29 March 2012

Faham Bacaan Solat Kita?

Terasa lama tak berblog, semuanya gara-gara kesihatan yang terganggu. Hilang terus mood menulis..mood jalan-jalan ke blog korang. Hari ni kesihatan makin membaik..Alhamdulillah, bolehlah buat aktiviti macam biasa. 

Ok, harini nak kongsikan satu video yang berguna untuk kita. Rasanya ramai daripada kita solat, tapi tak memahami sepenuhnya makna bacaan yang kita baca. Bagi yang menguasai Bahasa Arab, ini bukan satu masalah. Saya pernah belajar Bahasa Arab, tapi tak menguasainya..rugi!

Kenapa perlu faham? Bila faham maknanya, kita akan terasa lebih dekat dengan Allah. Faham juga membawa rasa khusyuk sebab mulut melafaz bacaan, hati pula menyebut maknanya. Fikiran pun terus tertumpu pada solat, tak sempat merayau-rayau! 

Jom luangkan sedikit masa belajar dengan cara ringkas dan pantas ni...


*Untuk belajar, video ni tak cukup sekadar ditonton sekali je.  

Sunday 25 March 2012

Kasut Berikat 'Rubber Band'

(Nota: Ramai yang ingin mengetahui cerita penuh untuk entri sebelum ini. Tapi maaf ya, cuma itu dapat saya coretkan. Tak mahu mengguris mana-mana pihak. Tujuan paparan sekadar untuk peringatan buat semua agar berhati-hati. Penipuan besar dan terancang...bukan hanya lelaki yang mampu melakukannya.)

*********************************************
Berbalik ke entri kali ni, mesej Facebook dibawah adalah kiriman sahabat baik saya semasa di sekolah menengah dulu. Kini dia seorang guru di sebuah sekolah rendah di Pantai Timur. Baca...



Mesej ni hanya sebahagian daripada 'perbualan' kami. Tersentuh hati tika membacanya. Saya dapat membayangkannya betapa susahnya kehidupan keluarga anak-anak ini. Untuk makan pun sekadar mengharap bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Mana mungkin mampu nak membeli keperluan sekolah yang lain. 

Jauh berbeza dengan anak-anak di sekitar kehidupan saya. Makanan memang terlebih cukup, sampai badan 'membulat'. Sebut saja apa mahunya, ibu pasti akan menyediakan atau membeli. Kasut pun boleh memilih, hanya daripada jenama terkenal saja yang sudi dipakai. Baju pun siap pesan awal-awal, kain baju kurung mahukan material licin dan lembut. Kain cotton macam zaman saya pakai tu dah tak 'standard'. Buku-buku rujukan dan latihan tak perlu diminta, seawal persekolahan ibu bapa dah belikan. Kalau yang nak menghadapi peperiksaan besar- UPSR, PMR, SPM, ibu bapa mampu berhabis untuk kelas tuisyen. Ada juga yang sanggup hantar anak ke kelas tuisyen peribadi...satu guru khas untuk anaknya seorang! Mahal pastinya. Semua demi sebuah 'kejayaan' akademik. 

Andainya anak-anak yang kasutnya berikat rubber band tadi berjaya, kejayaannya lebih manis dan bermakna. Andai tidak mendapat semua subjek A sekalipun, mereka sebenarnya lebih berjaya kerana kekuatan jiwa dalam mengharungi kepayahan hidup dan terus bersekolah. Bukanlah saya nak menafikan kejayaan anak orang senang, cuma mahu orang-orang senang lebih menghargai kesenangan sambil tak lupa membantu anak-anak yang serba kekurangan ini. Cari tahulah...mereka tentu ada di sekeliling kehidupan kita!


p/s: Dalam keadaan negara yang kian maju, masih ramai insan-insan yang terus terhimpit dalam kesusahan. Hulurkan tangan kita untuk membantu mereka.

Friday 23 March 2012

Sepandai-pandai Tupai Melompat...

Ini sebuah kisah luar kebiasaan.
Kisah penipuan yang dilakukan oleh bakal pengantin perempuan.
Bukan untuk salah menyalahkan, tetapi mahu kalian ambil perhatian juga pengajaran.
Moga dengan pendedahan ini, kamu lelaki atau ahli keluarga kita terhindar darinya.

Kisah bermula...perkenalan dalam satu acara rasmi.
Detik kelam bermula dari situ.
Si lelaki rasa bagai terpukau...mula menurut kata si perempuan.
Bermulalah satu 'perhubungan'.

Tidak lama berkenalan...si perempuan mengajak berkahwin.
Meminta pula dibawa bertemu keluarga si lelaki.
Seisi keluarga...juga bagai terpukau dan jatuh kasihan...
Bila dikhabarkan si perempuan anak yatim sebatang kara.
Majlis pertunangan segera dilangsungkan di rumah pihak lelaki.
Segala persiapan diatur hebat oleh si perempuan...sungguh meragukan!

Bagai dipukau juga...si perempuan diizinkan tinggal bersama.
Dia mula sibuk membuat persiapan perkahwinan yang tiba lagi beberapa bulan.
Segala persiapan ditentukannya...tanpa mampu dicampur oleh pihak lelaki.
Seluruh keluarga lelaki...sekadar menurut apa mahunya.
Dalam masa tersebut juga...beberapa kejadian aneh turut berlaku.
Dia bukan dirinya saja...ada yang 'halus' berselindung.

Sehinggalah suatu ketika...rahsia besar mula terbongkar.
Dek kesukaran menguruskan wali untuk pernikahan.
Kenyataannya, dia masih punya keluarga...ibu ayah adik-beradik!
Pertunangan terus diputuskan.
Alhamdulillah...majlis perkahwinan yang dirancang sempat dibatalkan.
Penipuan tak kekal lama...kebenaran tersingkap jua.

Bagai rahsia demi rahsia...
Satu persatu kebohongannya tersingkap.
Dia bukan bekas anggota tentera...seperti didakwa.
Dan banyak lagi yang tak perlu saya tuliskan.
Kerana terlalu teruk untuk saya sendiri percaya.
Saya dan dia...pernah berbual dan bercerita.
Dia...kata-katanya tampak normal.

Terkadang saya terfikir...kasihan juga dia.
Gangguan jiwa menjadikan dia manusia sebegitu.
Moga dia menemui jalan yang benar..amin!
Dan terima kasih Allah...atas sebuah kebenaran!


p/s: Perkara begini, sebetulnya saya dan saudara mara lain dah perasan kelainannya. Tapi sebagai bangsa Melayu yang penuh adab, kurang sesuai pulak untuk kita mempersoalkan atau mencampuri hal keluarga lain. Apapun, syukur segalanya telah berakhir!

Thursday 22 March 2012

Harga Rumah Kini...

Saya tertarik dengan penulisan oleh beritasemasa.com berkaitan HARGA RUMAH TERLALU TINGGI semenjak 2 tahun kebelakangan ini. Sebabnya saya dan suami sedang mencari-cari rumah untuk dibeli. Suami saya bekerja di Kuala Lumpur, dan kami menyewa di Bangi. Lokasi dan kemudahan jaringan pengangkutan yang ada sekarang memudahkan suami ke tempat kerja, samada nak berkereta atau menaiki komuter. Masalahnya, harga rumah terkini di Bangi memang tinggi. Beruntung siapa yang membeli hartanah di sini beberapa tahun lalu. Sebagai contoh, rumah teres 2 tingkat (keluasan 20x70) yang saya duduki ni berharga KURANG RM200 ribu semasa tuan rumah membelinya 3 tahun lalu. Terkini...harganya dah jadi LEBIH RM300 ribu! 

Sebagai penyelesaian, terpaksalah kami 'mengintai' rumah di luar Bangi seperti di Salak Tinggi dan Pajam, Negeri Sembilan. Memang bertambah jauh sedikit untuk ke KL.Tapi asalkan ada highway dan stesyen komuter berhampiran, itu dah cukup baik. Dengan harga lebih RM300 ribu, kita boleh dapat rumah baru dengan keluasan yang lebih sedikit dan rekaan rumah yang lebih moden & menarik. Itu pun jika bernasib baik, sebabnya harga rumah baru bagi teres 2 tingkat kebanyakkannya melebihi RM400 ribu! Rumah berharga bawah RM300 ribu memang ada, tapi lokasinya tak sesuai untuk mereka yang bekerja di KL.

Memang serabut kepala bila memikirkan soal beli rumah. Hajat di hati nak tinggal di Melaka, sebab harga rumah masih baik dan dekat dengan Johor (kampung saya & suami). Tapi dah rezeki dapat kerja yang baik di KL, terpaksalah mengikut rentak hidup sini.

p/s: Sangat berharap kerajaan dapat kawal harga rumah. Sekarang ni harga rumah jadi tinggi sebab spekulasi. Rumah tak berapa baik, tapi harga tetap tinggi.

Wednesday 21 March 2012

Kamu...Tertuduh!

sumber: google

Apa perasaan kita...
Bila dituduh melakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan.
Tuduhan pastinya atas perkara yang tidak baik.
Perkara yang membuatkan maruah diri tercalar.
Paling kejam...bila tuduhan terus dilemparkan.
Tanpa pernah bertanya kita...perkara yang sebenar.

Mata-mata mereka terus memandang sinis pada kita.
Mungkin hati-hati mereka juga sedang mengulang-ulang pertuduhan.
Sehingga bibir-bibir mereka tiada walau segaris senyuman.
Alangkah...kejamnya sebuah pertuduhan!

Inilah mahkamah dunia...
Ada pertuduhan, tanpa pengadilan.
Tetap terhukum, biar tak bersalah.
Hanya masa dan takdir Allah yang memungkinkan sebuah kebenaran.
Andai kebenaran tak mampu tersingkap, nantikan saja mahkamah akhirat! 


*Jangan cepat menuduh, berdepanlah secara empat mata demi mencari sebuah kebenaran*


p/s: Saat ini, saya bukanlah yang tertuduh. Tapi pernah tahu bagaimana rasanya...

Tuesday 20 March 2012

Umrah Murah

Sebelum ni saya ada bercerita mengenai pakej umrah murah yang mak, makcik dan sepupu saya ambil. Mereka sudah pun selamat kembali pada hari Isnin minggu lalu. Dalam entri ni saya akan cerita sebab ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pakej umrah yang murah ni.

Bukan nak tunjuk beg, tapi nak tunjuk info syarikat tau..

Harga sebenar yang mak saya bayar tidak lebih dari RM2,500. Jumlah tersebut termasuk makan 3 kali sehari- pagi, tengahari dan malam. Bagaimanapun jumlah bayaran berbeza tiap individu, bergantung kepada bila masa bayaran dibuat. Contohnya, jika bayaran dibuat awal setahun dari tarikh jangkaan berangkat, maka harga pakej akan jadi lebih murah. Ada juga yang hanya perlu membayar kurang dari RM1,000. Saya tak mampu nak terangkan lebih jelas, takut tersilap tulis dah jadi satu kesalahan pulak. Kenapa murah? Menurut pemahaman mak saya, ia dilaburkan. Sekali lagi tiada penjelasan dapat saya beri. Mungkin hasil pelaburan tersebut yang digunakan untuk menampung kos umrah yang sepatutnya.

Masalah yang dapat dikesan dalam pakej yang mak saya ikut ni, adalah penangguhan penerbangan. Tarikh pemergian tertangguh beberapa kali. Kali ketiga barulah betul-betul jadi. Tapi ia bukanlah masalah pada mak saya sebab tak bekerja dan tiadalah masalah berkaitan permohonan cuti. Penerbangan balik ke Malaysia juga  bertukar dari 9hb. kepada 12hb. Juga tiada masalah bagi mak saya, lagipun tiada bayaran tambahan dikenakan dan makanan pun tersedia seperti biasa. 

Apapun, sebelum bersetuju mengikuti pakej umrah ni, saya dah terangkan kepada mak supaya bersedia kalau-kalau tertipu dan wang hangus. Mak saya pulak tak ragu-ragu sebab jiran-jiran dah beberapa kali pergi dengan pakej tersebut. Lagi pula, ni bukan kali pertama mak saya nak ke sana. Kiranya kalau tertipu dan tak jadi pergi, taklah terkilan sangat. Tapi Alhamdulillah...semuanya selamat!

Kesimpulannya, pakej ni memang sangat menarik namun ada risiko. Tapi yang mahal pun masih tak lari dari risiko bukan...cuma kadar risikonya kecil.

Monday 19 March 2012

Felda Ulu Tebrau

Kelmarin (Sabtu) saya bersama ahli keluarga yang lain menghadiri majlis perkahwinan di rumah saudara di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Perjalanan mengambil masa hampir 1 1/2 jam dari rumah mak saya di Pontian. 

Kumpulan kompang yang memeriahkan majlis.

Kat sini masih mengamalkan adat memberi BERKAT (nasi minyak & 1-2 jenis lauk) untuk setiap keluarga yang hadir. Selain tu setiap orang turut mendapat 'buah tangan'  TELUR PINDANG dan jajan. Bagusnya pemberian 'berkat' ni, bolehlah ahli keluarga yang tak dapat menghadiri majlis turut merasa nasi minyak. Dalam kes saya, 'berkat' ni jadi makanan petang sebaik je pulang ke rumah mak. Lagi pulak makan ramai-ramai dengan adik-beradik dan anak-anak saudara...berselera dan meriah!


*untuk entri Telur Pindang, sila KLIK SINI.
*untuk entri Jajan, sila KLIK SINI.

Saturday 17 March 2012

Biar Gambar Bercerita #8



p/s: Syoknya kalau pegi pesta buku, SEMUA booth jual buku diskaun 50%! 
Sape-sape yang ada baucer buku 1Malaysia..lagi syok!

Friday 16 March 2012

Doa Secara Rahsia

sumber: google

 Rasulullah s.a.w. telah berjanji melalui riwayat Muslim yang bermaksud:
"Doa secara rahsia yang dipohon oleh seorang Muslim untuk saudaranya akan dimakbulkan. Ada malaikat di sisinya setiap kali dia berdoa bagi saudaranya, yang berkata, 'Amin...dan yang sama untukmu'."


p/s: Apa lagi...jom kita sering doakan kawan-kawan, keluarga dan sanak saudara kita.
Doakan kebaikan, Insya Allah kita mendapat perkara yang sama.

Pear Belgium & Pear US


Buah pear sebenarnya memang ada banyak jenis. Antaranya, dua jenis kat atas ni.
Pear Belgium...panjang.
Pear US Red...macam rupa epal sikit.
Harga mahal, jadinya saya beli 2 biji tiap jenis sekadar nak merasa.
Rasanya? Macam pear biasa je, cuma tukar rupa luar.

Thursday 15 March 2012

Guppy (Poecilia Reticulata)

Pagi yang mengejutkan...ikan gapi (Guppy) saya dah beranak! Mana tak seronok, baru je beli sepasang gapi ni hari Sabtu lalu. Lepas 5 hari terus keluar anak gapi berbelas-belas ekor. Tapi yang pasti bukanlah anak dengan gapi jantan yang ada ni, sebab menurut Wikipedia jangkamasa untuk 'mengandung' adalah selama 21-30 hari. Maksudnya saya dah terbeli gapi betina yang sudah 'berisi'.  

Harap boleh nampak, kualiti gambar tak elok pulak.
Gapi jantan saya beli dengan harga RM4 seekor dan yang betina RM3 seekor. Kenapa beza harga? Saya rasa sebab yang jantan semua cantik-cantik: warna cerah, ekor lebih kembang dan ada corak pada ekornya. Yang saya beli ni warna kuning berbelang hitam.

sumber: Google
Sebelum ni pernah dengar orang cakap gapi ni senang membiak, jadinya masa saya beli ni memang berhasrat nak buat eksperimen. Tak sangka pulak boleh dapat anak gapi secepat ni. Nampaknya lepas ni nak kena asingkan, takut dimakan dengan gapi dewasa pulak.

Ada kawan-kawan yang bela gapi? 

Wednesday 14 March 2012

Hot Air Balloon Fiesta 2012

(sumber gambar: usahawanbistari)


PESTA BELON UDARA PANAS PUTRAJAYA 2012
TARIKH: 15 - 18 MAC 2012 (KHAMIS-AHAD)
MASA: 7AM - 9PM
TEMPAT: MONUMEN ALAF BARU,
PRECINT 2, PUTRAJAYA.
untuk info lanjut, boleh layari laman INI.


p/s: Hmm..teringin sangat nak pergi. Tapi sayangnya hujung minggu ni kena balik Johor. 

Tuesday 13 March 2012

Debu Hiroshima

Tajuk: Debu Hiroshima
Penulis: Othman Puteh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Harga: RM15
Muka surat: 121


Semasa berjalan-jalan di Pesta Buku Bangi kelmarin, saya ternampak buku ni. Kulit depannya memang tak menarik perhatian. Tapi sebab tajuk biasa dengar dan ia hasil karya penulis hebat, saya mula membelek-belek dan tertarik! Buku ni sebenarnya telah terbit kali pertama pada tahun 1987, yang saya beli ni merupakan cetakan keenam iaitu pada tahun 2008. Sungguh ketinggalan!

Sinopsis
Buku ini menceritakan kembali kisah seorang anak Melayu iaitu Abd. Razak Abd. Hamid yang telah terselamat dalam kejadian bom atom yang digugurkan oleh Amerika untuk memusnahkan Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945. Dia pada masa kejadian sedang berada dalam bilik kuliah Universiti Hiroshima bersama seorang anak Brunei, Pangeran Yusof. Bermula detik itu, dia dan Pangeran Yusof melalui pengalaman yang pahit, sedih dan dahsyat dalam usaha mereka membantu menyelamatkan teman-teman, kenalan dan mangsa-mangsa lain.

Untuk info: Setelah Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu, Abd. Razak telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti Jepun dengan tajaan. Di sinilah bermula kisahnya..

Petikan / Sedutan
Panas. Terlampau panas. Bahang letupan bom itu mencapai 300 000 darjah Celcius. Oleh teramat panas, batu granit yang berada di dalam lingkungan 1000 meter dari pusat ledakan itu menjadi cair. Bumbung-bumbung rumah dan bangunan menjadi lunak dan bertukar warna dari hitam ke coklat. Manusia yang berada di bawah letupan dahsyat itu dengan tiba-tiba hilang lenyap daripada pandangan tanpa meninggalkan sebarang jejak ataupun bekas.

Gambar Hiroshima selepas dibom

Bangunan yang tinggal ini, kini dikenali sebagai 'Kubah Bom Atom'.
(sumber gambar: Google)


p/s: Lepas baca buku ni, beberapa hal saya fikirkan.
Di antara Jepun dan Amerika, siapa lebih kejam??? Dan siapa yang tak pernah berhenti menjajah???







Monday 12 March 2012

Digital Mukmin

Untuk peminat fotografi, saya nak ajak korang berkunjung ke laman web fotografi Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Saya sertakan sedikit gambar dari digitalmukmin.com untuk tatapan korang:

Sunrise At Tanjung Lumpur..Part 2
Gambar ni ada cerita...ada jiwa!
Little Spider At Lunch..
Serangga kecil...model yang unik!
Pak mang Kiter..Versy Fixie
Tak perlu model wanita seksi...gambar ni cukup menarik!

p/s: Kalau berminat nak tau serba sedikit kisah UAI, sila dapatkan majalah ANIS keluaran Mac 2012.

Sunday 11 March 2012

Cahaya dan Bayang-Bayang

Tadi keluar kejap, sambil menunggu suami...saya sempat ambil beberapa gambar.
Masa ni sedang hujan gerimis...


Cahaya dari lampu jalan.

Kucing ni sedang termenung tengok hujan..rasanyalah.


p/s: walaupun bukan kamera DSLR, teringin gak nak share gambar yang saya perasan macam menarik ni. ^__^

Saturday 10 March 2012

Kutuk dan Caci

"Islam telah mengajar kepada saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci-maki kebatilan."
-Dr. Yusuf al-Qaradawi-


Bagus dan cantik kata-kata ni kan? Ia memberi peringatan buat kita bahawa mengutuk dan mencaci bukanlah perkara yang baik dalam Islam. Sebaliknya cari penyelesaian jika ada permasalahan. Juga menjelaskan hal yang benar jika ada  yang melakukan kesalahan. Perbuatan mengutuk dan mencaci cuma akan memburukkan keadaan.

Kini dengan adanya blog dan facebook (sebab dua ni je yang saya ada), kita lebih mudah dan terdedah untuk menyebarkan keburukan dan kesalahan seseorang. Kalau bukan jadi tukang sebar, kita jadi tukang  kutuk/caci melalui komen di situ. Sebenarnya, perbuatan tersebut telah pun turut merendahkan akhlak kita. HATI-HATI YA! Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya...

Friday 9 March 2012

Pulau Warisan, Kuala Terengganu

Disebabkan ramai yang tertanya-tanya mengenai gambar dalam entri semalam, iaitu gambar lampu-lampu seperti di i-City, Shah Alam, Selangor. Lokasi sebenar gambar tersebut adalah di Pulau Warisan, Terengganu. Melalui carian di internet, saya gagal menemukan tarikh pembukaan tarikan pelancongan yang masih kelihatan baru ni. Mengenai lokasi, ia terletak di Jalan Hiliran berdekatan dengan Chinatown.

Kat sini saya nak kongsi sedikit gambar yang diambil pada bulan Januari 2012 lalu. Masa tiba kat sini dah pun menjelang waktu maghrib dan pemandangan waktu begitu memang sangat cantik.

Jambatan cantik ni terletak kat hujung sekali, menghadap lautan.

Pemandangan dari atas jambatan tadi.
Boleh nampak yang kawasan ni luas, cuma masa tak mengizinkan untuk merayau lebih.

Dari atas jambatan tadi juga, yang ni menghadap lautan.
Cantik & damai  tengok warna alam begini.

Pokok lampu yang mengindahkan suasana malam kat sini.
Tempat ni sesuai untuk rekreasi keluarga dan subjek yang cantik untuk yang suka ambil gambar landskap. Gambar-gambar yang saya ambil ni cuma guna kamera handphone, kalau kamera canggih macam EitaAchieTelor Power dan yang lain-lain tu mesti hasilnya sangat WOW! ^__^


*update 26/12/12: Sebelum ni saya tulis tempat ni sebagai Kuala Terengganu Waterfront, tapi ia sebenarnya Pulau Warisan. Sebuah lagi pulau buatan di Kuala Terengganu. Terima kasih kepada pengomen yang membetulkannya.

Thursday 8 March 2012

Hidupkan HIDUP

Lokasi: Kuala Terengganu

Terkadang HIDUP terasa MATI
Bila semua yang dipandang bagai sepi
Alam nan indah turut pudar tak berseri
Seakan melangkah seorang diri
Tiada bahagia menghampiri
Segalanya SEPI...
MATI.

Duhai HIDUP yang terasa MATI
HIDUPkanlah HIDUP mu!

Hadirkan HIDUP itu...
Dengan memberi kasih pada sesama insan,
Jua kepada segenap isi alam,
Nantinya kamu kan diberi sentuhan sayang. 
Yang memberi cahaya dalam hati nan kelam,
MengHIDUPkan HIDUP yang terasa MATI.

Hadirkan HIDUP itu...
Dengan kembali rasa bertuhan,
Serahkan jiwa seorang hamba kepada penciptanya,
Rapatkan dirimu dengan Allah Yang Maha Penyayang,
Nantinya kamu kan merasa sebuah ketenangan,
MengHIDUPkan HIDUP yang terasa MATI.


p/s: Sepanjang kehidupan, terkadang kita akan terasa hidup ini seolah telah mati.
Jangan biar berlarutan, kerana hidup ini terlalu indah tetapi singkat untuk dibiarkan mati.

Tuesday 6 March 2012

Animal Hotel


Ni gambar lebih 5 tahun lalu...zaman cari rezeki dengan ayam.
Datang ke Animal Hotel ni sebab nak ambil anak-anak ayam yang didatangkan khas dari Belanda. Masa tu, saya sendiri pun tak pernah naik kapal terbang...ayam-ayam tu lagi advance!


p/s: Bila tengok folder gambar lama..banyak betul kenangan menjengah. Hidup lalu penuh berliku...benarlah tiap-tiap selepas kesusahan, ada kesenangan.

Monday 5 March 2012

Tango

sumber: Google

Bukan tarian tango ya, tapi ia aplikasi untuk smartphone. Tango membolehkan kita buat panggilan suara, panggilan video dan mesej video secara PERCUMA. Yang penting handphone kita ada kemudahan INTERNET. Antara kelebihan lain aplikasi ni, secara automatik ia akan memaparkan senarai kenalan kita yang sama-sama ada Tango. Lihat gambar kat bawah. Jadinya kita boleh terus berhubung dengan mudah dan secara percuma dengan mereka ni. 

Sumber: Google

Untuk pengguna smartphone Samsung, boleh ambil aplikasi ni dari Market. Untuk smartphone lain, maaf saya tak pasti. Kalau nak tahu lebih lanjut, sila KLIK DI SINI. Kalau tak silap untuk PC pun dah ada.


p/s: Saya pun baru-baru ni je tau dan try gunakannya. Nampaknya Tango lagi best dari Skype.

Sunday 4 March 2012

Jom 'Check': Seluar Sendat/Ketat

Hari ni kita cerita bab seluar.
Saya sendiri lebih suka pakai seluar slack berbanding kain/skirt.
Entri kali ni jom 'check' seluar yang kita gayakan...
Adakah SELUAR kita tu sendat? ketat? muat-muat?
Tak kira apa jenis seluar yang kita pakai...sila 'check'.
Yang lelaki pun kena 'check', ikut mana aurat kamu.
Yang perempuan lebih-lebih lagi.

Cuba berdiri depan cermin...
Adakah seluar kita jelas menampakkan bentuk punggung? peha? betis?
Pendek kata, seluar tu tak mampu melindungi apa yang patut disembunyi.
Tak mampu memenuhi syarat pakaian yang menutup aurat.
Sehingga menjadi perhatian mata-mata yang 'memandang' dunia.

Yang betul...
Pemakaian seluar mesti yang LONGGAR, tak ikut lekuk dan bentuk kaki.
Juga bukan dari jenis yang terlalu lembut, hingga melekap dan menampakkan bentuk.

JIKA seluar yang ketat atau kecil di punggung/peha sahaja...
Boleh atasi dengan memakai baju yang labuh menutupi peha.
Asal saja tak kelihatan bentuk nyata punggung /peha tadi.
Ada penyelesaian bukan?


*Seluar sendat/ketat...melanggar sopan, menyalahi agama*


p/s: Jangan terasa atau kecik hati ya, sekadar ingat-mengingati sesama Muslim. Saya pun masih belajar berubah...

Friday 2 March 2012

Orang Bertanya, Kita Menjawab (2)

Ingatkan dah tamat virus 11 ni. Rupanya kena sekali lagi, kali ni tag oleh cik adik Yana - Prettywrite. Sebab dah kali kedua, maka '11 perkara tentang saya' tu rujuk je pada entri INI

Saya nak terus menjawab soalan yang diberi oleh Yana...

1 . Apa maksud nama blog kamu?
'TITIAN PERJALANAN'...bermaksud blog ini bertujuan mencatatkan segala yang berkaitan dgn perjalanan hidup. Macam tu la kot!

2. Paling suka makan apa?
PALING suka...nasi lemak & epok-epok..yang sedap. Kalau tak sedap pun tak suka jugak.

3. Paling teror masak apa?
Masak air lah..confirm jadik! Ok, sebenarnya tak berani nak mengaku teror mana2 masakan..takut lepas tu terus tak jadik.

4. Mandi berapa kali sehari?
Paling kurang mestilah 2 kali.

5.Suka makan aiskrim tak?aiskrim fevret?
Mestilah suka..coklat campur vanila/strawberi. Coklat semata..muak.

6. Kalau stress biasa buat macamana?
Kalau baik sikit...mengaji sambil nangis. Kalau tak...tido sambil nangis.

7. pernah accident tak?kongsi cerita..
Masa kecik tercampak dari motor, tapi cedera ringan je.
Lagi satu..kena ragut di JB. Tergolek-golek atas jalanraya, nampak tayar-tayar kereta mengelak dari terlanggar diri saya. Alhamdulillah cuma cedera ringan jugak.

8. brapa kali putus cinta?hik hik..
Tak pernah...cinta pertama terus jadi suami sekarang ni.

9. dah daftar pemilih?rasa2 pilihanraya kali ni macamana situasinya?
Dah selamat 2 kali mengundi.
PRU kali ni mestilah lagi hangat..lebih hangat dari yang lepas.

10. destinasi impian nak pergi ke mana?
Niagara Falls...selain tu kalau boleh nak jelajah satu dunia tentunya.

11. Apa pendapat kau orang tentang pemilik blog prettywite ni?
Cik Yana...mesra amat dan suka berkawan dgn adik ni. Lagi...dia rajin bagi hadiah! Tulah mula kami kenal mesra.


Ok, selesai sudah. Macam sebelum ni, saya tak tag sesiapa ya.

Thursday 1 March 2012