Tuesday 28 June 2022

Masjid Buluh Gua Musang Yang Unik!

Dalam entri terdahulu, saya ada menyebut berkenaan sebuah masjid unik yang terletak berdekatan dengan Warong Muse. Lebih tepat lagi, ia berada di satu kawasan yang sama di Muse Ecopark.

Kenapa masjid ini unik? Sesuai dengan namanya Masjid Buluh, 90% binaan masjid ini diperbuat daripada buluh betung tempatan dan buluh hitam yang diimport dari Bandung, Indonesia. Masjid dengan senibina buluh, memang sungguh unik!

Masjid Buluh telah diilhamkan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Masjid yang dibina oleh Kerajaan Negeri dengan kos RM400,000 ini telah dibuka secara rasmi pada Mac 2018.

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Inilah pandangan bahagian hadapan Masjid Buluh. Pada mulanya saya tak tahu ini adalah sebuah masjid kerana ia tak kelihatan seperti binaan masjid yang biasa. Dari kejauhan saya menyangka inilah kedai makan yang kami cari. Elok je kami parkir di perkarangan masjid, barulah perasan ini bukan kedai makan. Eh, ada orang solat pulak di dalamnya. Bila diteliti, barulah saya nampak papan tanda bertulisan Jawi - Masjid Buluh Gua Musang. Oh, masjid!

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Padahal ada je tu menara (untuk pembesar suara) yang biasa terdapat di masjid-masjid. Tak perasan pulak dari jauh.

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Eh, foto tandas pun nak dirakam? Mestilah, sebab tandas ni unik tau - perhatikan dinding dan bumbungnya. Bukan setakat binaan tandas saja yang unik, malah tandas di sini cukup bersih dan diselenggara dengan baik. 

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Tersenyum saya baca pesanan ni. Orang Johor yang cuba membaca dalam loghat Kelantan.

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Tempat wudhuk muslimat. Terbuka di bahagian atasnya. Tak pasti memang begini atau bumbungnya rosak/tanggal. Apa yang pasti, saya suka konsep terbuka begini. Ambil wudhuk dengan pemandangan indah bukit batu kapur. Lantai pun cepat kering. Semasa saya di sini, saya nampak ada petugas muslimah yang sedang menyapu lantai. Patutlah di sini semuanya nampak kemas dan bersih.

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Pintu masuk ke ruang solat muslimat.

Ruang solat muslimat. Leka mata saya memerhati keseluruhan ruangan masjid ini. Dari celahan dinding pula, saya dapat melihat deretan pokok buluh dengan daun yang meliuk ditiup angin. Suasana terasa begitu nyaman dan sangat tenang. Terasa begitu dekat dengan alam.

Masjid Buluh Gua Musang, Kelantan
Di sudut sisi masjid, saya ternampak kain rentang ni - derma untuk baiki kerosakan masjid akibat ribut. Bagi yang nak menderma, boleh salurkan ke akaun bank Muamalat Masjid Buluh Gua Musang - 03070000388714.

Sebenarnya banyak lagi sudut menarik di masjid ni - bangku buluh, tanaman hiasannya dan gazebo buluh di perkarangan masjid. Tapi orang agak ramai, segan pulak saya nak memotret sana sini. Pendek kata, segalanya terlihat menarik di mata saya.

Bagi sesiapa yang ada ke Gua Musang atau melalui Jalan Kota Bharu - Gua Musang, bolehlah singgah ke masjid yang unik ni. Sememangnya ia menjadi tempat persinggahan para musafir sebelum ke destinasi masing-masing. Lagi pulak mudah semuanya ada di kawasan yang sama - ada kedai makan, kedai runcit dan kedai kopi. Carian di Google Maps - Masjid Buluh.




Friday 24 June 2022

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke hotel penginapan di Bandar Utama Gua Musang, kami melalui satu kawasan yang agak meriah dengan orang ramai di sebelah kiri jalan. Nampak macam ada kedai makan. Selepas daftar masuk hotel, kami berpatah balik untuk ke kedai makan tadi. Tak jauh pun, jaraknya sekitar 2 km.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Saya sangkakan orang ramai memenuhi kedai makan, rupa-rupanya sebahagian daripada mereka sedang menyaksikan pengunjung melakukan aktiviti lasak via ferrata dan zipline di bukit batu kapur ni. Bukit ni terletak berhadapan dengan kedai makan. Selepas itu barulah saya faham bahawa tempat ini namanya Muse Ecopark. Selain menawarkan aktiviti lasak, di sini juga ada kedai makan, kedai kopi dan kedai runcit.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Inilah kedai makannya - Warong Muse. Gambar ni gelap sikit, sebab saya ambil gambar masa nak balik selepas selesai makan. Kami pilih untuk makan di bahagian luar kedai, bahagian belakang di bawah rimbunan pokok buluh.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Sudut pandang dari meja makan kami. Memang terasa santai dapat duduk makan di sini. Indah sungguh anugerah alam di Gua Musang ni - banyak bukit batu kapur.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Juga satu lagi sudut pandang dari meja makan kami. Pemandangan senja nan indah! SubhanAllah. Nampak kubah cantik nun di sana? Itulah Masjid Razaleigh yang terkenal kerana seni binanya menyerupai model Masjidil Haram. Landasan keretapi tu pulak adalah Stesen Keretapi Gua Musang yang baru. 

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Alhamdulillah…tak begitu lama menunggu, makanan yang kami pesan pun sampai - set sup daging dan nasi lemak. Baru nak makan, pelayan kedai datang semula nak ambil nasi lemak sebab tadi saya pesan nak ‘telur mata’. Aduhai…saya pun terlupa apa saya pesan tadi. Sebab masa ni memang lapar, bayangkanlah makanan berat terakhir yang kami makan adalah semasa sarapan pagi di CH. Mujur memang makan agak banyak pagi tadi. Petang baru terasa lapar, jadinya dalam perjalanan tadi kami makan biskut Chocolate Chip yang dibekal. Bolehlah buat hilang rasa lapar.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Nasi lemak sudah ditambah telur mata.

Warong Muse di Muse Ecopark, Gua Musang
Pesan juga roti titab. Ni saya makan seorang, encik suami tak makan telur separuh masak. Encik suami menambah nasi lemak biasa, sebab set sup dagingnya tadi cuma ada sup daging dan potongan roti. Nampak tak tahap lapar tu? Berhidang-hidang kami makan. Lepas tu kekenyangan pulak, terlebih makan. Haha…

Alhamdulillah…semuanya memenuhi citarasa kami. Kos makan-makan kami ni RM26.50. Makanan sedap, layanan pantas & mesra, kedai bersih dan pemandangan sekeliling yang mendamaikan. Sangat berpuashati makan di Warong Muse ni.

Disebabkan itu, dalam tempoh kurang 24 jam keberadaan kami di Gua Musang sudah tiga kali kami makan di sini. Waktu operasi bermula seawal pukul 7 pagi, mudahlah kami bersarapan sebelum bergerak ke Chegar Perah. Dan waktu petangnya sekali lagi kami makan di sini sebelum meneruskan perjalanan balik ke PP. Siap bungkus sup kambing sebab sedap! Sup dijual pada waktu petang. Masa kami ke sini, pukul 4 petang baru ada sup.

Bagi sesiapa yang ada ke Gua Musang atau melalui jalan Gua Musang ke Kota Bharu, bolehlah singgah dan mencuba hidangan di Warong Muse yang terletak di Muse Ecopark ni. Kat sini ada juga Keda Muse (kedai runcit) dan KB Brewster Muse. Oh ya, sebutan ‘muse’ tu ikut loghat Kelantan tau. ‘Muse’ tu merujuk kepada Gua Musang (Guo Muse). Dah singgah sini, bolehlah solat di sebuah masjid unik - Masjid Buluh. InsyaAllah nanti saya ceritakan berkenaan masjid yang begitu menarik pada pandangan saya ni.

—————————————————————————

WARONG MUSE
Muse Ecopark, Gua Musang,
Kelantan.
(Google Maps : Muse Ecopark)




Thursday 23 June 2022

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands

Jalan Gua Musang - Cameron Highlands (CH) merupakan laluan yang belum pernah saya dan encik suami lalui. Sebelum ini jika ada urusan kerja di Chegar Perah, Pahang kami biasanya akan menggunakan Jalan Ringlet - Sungai Koyan kerana sudah terbiasa dengan laluan tersebut. Tak terfikir nak mencuba Jalan Gua Musang - CH walaupun jika diikutkan kiraan jarak memang itulah laluan terbaik yang patut kami lalui.

Tetapi akhirnya kami terpaksa jua melalui Jalan Gua Musang - CH kerana Jalan Ringlet - Sungai Koyan ditutup sejak bulan Mei lalu untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Khabarnya berlaku mendapan tanah di laluan Pos Betau - Lembah Bertam (berhampiran Empangan Susu) dan penutupan jalan dijangkakan sehingga bulan Julai.


JALAN GUA MUSANG - CAMERON HIGHLANDS

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Jalan Gua Musang - Cameron Highlands terletak di antara dua tempat yang saya bulatkan warna merah. Kalau datang dari Simpang Pulai, sampai je di simpang tiga - teruskan perjalanan untuk ke Gua Musang. Kalau belok kanan tu ke Tanah Rata. Masjid Long Tan yang saya ceritakan dalam entri terdahulu, letaknya di Lojing Highlands.

Kali pertama kami melalui jalan ini adalah pada 8 Jun 2022 dari arah Gua Musang. Dah agak lewat iaitu sekitar pukul 6 petang dan hujan dipertengahan jalan. Waktu tu perjalanan terasa sukar - dalam hujan lebat perlu melalui jalan berliku dan berlubang/rosak. Kenderaan lain pulak sangat jarang kelihatan. Tambah berdebar bila nampak papan tanda amaran haiwan liar - gajah.

Empat hari selepas itu, kami melalui jalan ini buat kali kedua. Kali ni kami dari arah Cameron Highlands. Saya kongsikan foto-foto dan video yang diambil sepanjang perjalanan, di mana menurut saya cukuplah untuk mendapat sedikit gambaran berkenaan laluan ini. Laluan yang dipesan oleh orang-orang supaya jangan melaluinya pada waktu malam.

Semua foto dan video di bawah adalah hasil rakaman sewaktu perjalanan kali kedua iaitu pada petang Ahad, 12 Jun 2022

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
ANDA SEDANG MELALUI JAMBATAN KEDUA TERTINGGI DI MALAYSIA (52m TINGGI) - FT185 Jalan Lojing - Pos Blau, Kelantan Darul Naim. Pada tahun 2012 saya pernah buat entri berkenaan jambatan kedua tertinggi di Malaysia yang terletak di Bukit Putus, Negeri Sembilan. Nampaknya sekarang dah bertukar kedudukan.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Di Lojing Highlands - pemandangan yang tidak cantik di mata saya.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Laluan yang berliku. Dari bawah boleh nampak jalan di atas sana yang bakal kita lalui. Laluan di celah dua bukit yang hampir hilang bukitnya.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
ANDA SEDANG MELALUI KAWASAN CENTRAL FOREST SPINE (CFS) - HUTAN SIMPAN SG. BETIS, HUTAN SIMPAN SG. BROK. Sepanjang melalui jalan ini kita akan nampak beberapa papan tanda hutan simpan, lengkap dengan slogan ‘ANOK KLATE SAYE HUTE’ (bermaksud ‘Anak Kelantan Sayang Hutan’). Tapi benarkah bagai dikata? Ada satu ketika (sewaktu dalam perjalanan balik dari arah Gua Musang), saya nampak sebuah lori dengan muatan kayu balak berada betul-betul di satu jalan dengan papan tanda Hutan Simpan Kekal Sg. Betis.

Macam mana pulak boleh ada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal? Ini rupanya definisi Hutan Simpan Kekal :
“Hutan Simpanan Kekal adalah bermaksud mana-mana tanah (tanah berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai HSK untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984. Kawasan tersebut ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dan semua hasil hutan dalam kawasan ini adalah milik Kerajaan Negeri. Di bawah seksyen 10 (1) Akta yang sama,HSK dikelaskan kepada dua (2) kategori yang utama iaitu (i) hutan pengeluaran dan (ii) hutan perlindungan.”
Oh, pembalakan memang dibenarkan di bawah kategori hutan pengeluaran. Ini termasuk kuari, perlombongan dan pembukaan ladang. Persoalannya, mana yang lebih luas kawasannya - hutan pengeluaran atau hutan perlindungan? Bukan bidang saya untuk meneruskan ulasan. Cukuplah saya catatkan di sini sebagai satu penceritaan pengalaman kerana terkejut melihat banyaknya bukit yang tiada pokok-pokok tinggi dan giatnya aktiviti pembalakan (sila tonton video, sekejap saja dah beberapa buah lori balak lalu).

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Sesekali perjalanan kami menjadi perlahan kerana mengikuti belakang lori balak. Lori balak ada di kedua-dua laluan - arah ke Gua Musang dan arah ke Cameron Highlands. Mujur di sini banyak juga disediakan dua lorong untuk kita memotong kenderaan berat. Kehadiran banyaknya lori balak ini juga menjawab persoalan kenapa jalan di sini banyak yang rosak. 

Perjalanan kami melalui Jalan Gua Musang - CH ini mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit. Setelah melalui sendiri jalan ini, fahamlah saya kenapa kita perlu mengelak untuk melaluinya pada waktu malam - faktor kerosakan jalan dan risiko kemunculan haiwan liar. Juga ada kawasan yang tak ada liputan talian telefon dan internet. Susahlah kalau terjadi apa-apa hal buruk.

Seperkara lagi, kalau merancang nak melalui jalan ini (atau jalan-jalan lain ke CH) jangan lupa buat semakan terlebih dahulu sama ada selamat atau tidak untuk dilalui. Boleh buat carian situasi semasa di Facebook Jabatan Kerja Raya tempat berkenaan.


JALAN GUA MUSANG

Tiba di penghujung Jalan Gua Musang - CH, kita akan jumpa simpang tiga. Jika ke kiri arah ke Kuala Betis, kami ke arah kanan iaitu ke Gua Musang. Kami tiba di simpang tiga ni pada pukul 5.45 petang. Alhamdulillah. 

Jalan Gua Musang, Kelantan, Malaysia
Pemandangan yang indah. Dari kejauhan kelihatan perbukitan batu kapur berbalam.

Jalan Gua Musang, Kelantan, Malaysia
Perjalanan melalui Jalan Gua Musang ini juga agak sukar kerana jalannya kecil, tidak rata/lurus, banyak kerosakan jalan dan paling seksa bila perlu berada di belakang kenderaan berat. Ada yang berbaik hati memberikan lampu isyarat kiri supaya kenderaan kami memotong. Encik suami memotong dan membunyikan hon tanda terima kasih, kemudian dibalas kembali dengan bunyi hon. Ini antara hal-hal yang menimbulkan rasa harmoni sesama pengguna jalan.

Eh, sebenarnya gambar atas ni saya ambil sebab terpesona dengan pemandangan awan di puncak gunung tu. Tapi bila buat entri jadi lain ceritanya. 


Video berdurasi 01:10 minit - sedikit gambaran laluan Gua Musang - Cameron Highlands.



Tuesday 21 June 2022

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan

Masjid Long Tan - sebuah masjid di Lojing yang terletak tidak begitu jauh dari sempadan negeri Pahang  - Kelantan. Kalau kita datang dari arah Simpang Pulai atau Cameron Highlands (CH), masjid ni terletak di sebelah kiri jalan.

Semasa dalam perjalanan dari CH ke Gua Musang tempohari, saya dan encik suami berkesempatan singgah di masjid ini buat kali pertama. Lega rasa dapat singgah di sini setelah menempuh kesesakan jalan berjam lamanya. Dapatlah kami berehat seketika dengan menunaikan solat di Masjid Long Tan. Tak boleh berlama pun sebab masa ni dah pun melepasi pukul 4 petang, kami perlu segera sampai ke Gua Musang sebelum hari gelap.


KISAH DI SEBALIK NAMA MASJID LONG TAN
Long Tan merupakan putera Long Yunus, Yang Di-Pertuan Negeri Kelantan (1765 -1795). Nama lengkap baginda ialah Long Tan bin Long Yunus bin Long Sulaiman. Sewaktu Sultan Muhammad 1 memerintah Kelantan, baginda telah membahagikan kawasan pemerintahan dengan menyerahkan kawasan Galas, Ulu Kelantan kepada Long Tan dan melantiknya sebagai raja pemerintah di situ.

Memandangkan pusat pemerintahan Long Tan di Galas terletak dalam jajahan Gua Musang, maka nama baginda diabadikan di masjid ini sebagai tanda ingatan. Dengan pengabdian nama Masjid Long Tan, ini akan mengembalikan ingatan sejarah salasilah raja-raja pemerintahan di Kelantan terutamanya di Gua Musang. (Info ini saya tuliskan secara ringkas berdasarkan papan info yang ada di Masjid Long Tan)

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan
Masjid Long Tan - pandangan dari bahagian sisi masjid. Di belakang bangunan masjid ini ada deretan beberapa buah rumah - tentunya rumah pegawai dan kakitangan masjid. Dan jika ke belakang atas lagi (laluan mendaki), di situlah terletaknya tapak perkhemahan.

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan
Ruang dalam masjid dari sudut pandang ruang solat muslimah. Bersih, kemas, cantik dan memberi ketenangan.

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan
Masjid Long Tan berada di tanah tinggi yang menawarkan pemandangan indah disekitarnya. Petang begini pun masih berkabus, boleh bayangkanlah suasana pagi di sini macam mana sejuknya dan penuh kabus.

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan
Satu lagi keunikan Masjid Long Tan - adanya kemudahan tapak perkhemahan. Di kawasan atas itulah letaknya tapak perkhemahan. Selalunya saya cuma melihat gambar yang dikongsikan di grup Facebook Family Camping Malaysia, kali ini saya dapat melihat sendiri rupa tempat ini. Waktu petang begini pun terasa sejuk nyaman, entah bagaimana sejuk bekunya kalau bermalam di sini. Kalau malam nak ke tandas terasa agak jauh jugak (bangunan sebelah kanan dalam gambar). Bagusnya pengurusan di sini, kemudahan tandas untuk tapak perkhemahan adalah berasingan dari tandas kegunaan pengunjung masjid.

Masjid Long Tan, Lojing Highlands - Masjid Dengan Kemudahan Tapak Perkhemahan
Mural di dinding bangunan tandas untuk tapak perkhemahan - tertera nama-nama gunung dan ketinggiannya. Banyak rupanya gunung-gunung pendakian di sekitar sini. Patutlah di sini jadi tempat berkumpul untuk para pendaki. Saya terbaca hantaran di Facebook berkenaan isu banyaknya sampah yang ditinggalkan begitu saja oleh para pendaki (kasut rosak, hiking stick patah dll.) dan kawasan parkir yang dipenuhi oleh kenderaan para pendaki sehingga menimbulkan masalah untuk jemaah solat Jumaat meletakkan kenderaan mereka. Harapnya pihak pengurusan aktiviti mendaki atau ketua pendakian dapatlah bertindak sewajarnya supaya tiada masalah berulang.

Di sekitar masjid juga disediakan deretan gazebo. Ramailah yang makan-makan atau duduk berehat bersama keluarga di gazebo. Pendek kata, semua kemudahan untuk para musafir tersedia di sini. Sambil melepas lelah, dapat pula menikmati pemandangan indah di tanah tinggi dan juga tanaman hiasan di sekitar masjid yang nampaknya dijaga rapi. Tapi tak bolehlah gantung hammock atau berkhemah di gazebo ni tau, ada notis larangan sebab rupanya dah ada yang buat begitu. Macam-macam hal kan.

Satu kekurangan di sini, tandasnya tak diselenggara dengan baik - antaranya, pam tandas rosak. Masuk je tandas perempuan, semerbak bau yang tak menyenangkan. Kalau tak boleh guna pam, memang kebarangkalian tandas berbau adalah tinggi.

Eh, dah macam review masjid pulak ya. Bukanlah begitu, saya sekadar berkongsi cerita. Apa pun, semua kemudahan awam haruslah saling mengambil tanggungjawab untuk menjaga - pihak penyedia dan pihak pengguna. Sangat bersyukur dengan adanya Masjid Long Tan ni kerana ia satu-satunya masjid yang ada di laluan CH - Gua Musang.



Sunday 19 June 2022

Cekodok Pisang Tanpa Bahan Penaik - Rangup Di Luar, Lembut Di Dalam!

Selama ni kalau buat cekodok pisang, saya mesti tambahkan bahan penaik. Tapi tetap juga hasilnya tak sekata - hari ni buat boleh la dianggap naik, hari lain buat eh leper je. Pendek kata, memang tak pandai buat cekodok yang menepati citarasa sendiri. Bab bulat, memang jauh sekali sebab saya tak berani nak ‘jemput’ guna tangan untuk letak dalam minyak panas 🤭

Sehinggalah baru-baru ni saya tonton video masakan Che Nom, beliau tunjukkan cara membuat cekodok pisang yang rangup di luar, lembut di dalam dan bulat cantik tanpa menggunakan bahan penaik. Saya pun rasa teruja nak mencuba. Cuba sekali, wah…Alhamdulillah menjadi! 

Terus buat sekali lagi - dalam seminggu dah dua kali buat cekodok pisang. Punyalah seronok buat bila dah tahu cara 😁


Hasil tunjuk ajar Che Nom, akhirnya dah umur gini baru tahu cara buat cekodok yang sedap! Memang sedap sebab cekodok ni rangup di luar tapi lembut di dalamnya. Cuma nak buat bulat cantik jelah tak berjaya sebab saya ‘jemput’ guna sudu sup tu 😅

Lepas ni rajinlah saya buat cekodok pisang yang sememangnya antara makanan kegemaran kami suami isteri. Puas hati kalau dapat buat sendiri - lebih rasa pisang.

Bahan nak buat cekodok pisang ni memanglah ringkas - pisang, tepung gandum, garam, gula. Tapi cara yang digunakan akan menentukan bagaimana hasil cekodok pisang kita. Ada empat cara/teknik penting yang Che Nom tunjukkan dalam video beliau :
  • Kepekatan adunan - tak boleh cair, tak boleh pekat sangat.
  • Rehatkan adunan - sekurang-kurangnya selama 30 minit.
  • ‘Jemput’ atau bulatkan guna tangan.
  • Sentiasa ‘kacau’ cekodok yang sedang digoreng.

Macam mana nak tengok adunan cekodok sesuai atau tak dan lain-lain cara/teknik tu, bolehlah terus tonton video YouTube Che Nom di https://youtu.be/eCgpz5dbMz4

Alhamdulillah, sekarang saya dah boleh buat cekodok pisang tanpa rasa kecewa. Apa pun, bab masakan ni terpulanglah kepada citarasa masing-masing - nak letak bahan apa dan nak guna cara macam mana. Tak ada salah atau betul kerana cita rasa manusia berbeza.







Friday 17 June 2022

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands

SABTU-AHAD | 11-12 JUN 2022


Nak kata pergi bercuti di Cameron Highlands (CH) pun tak jugak, sebab cuma menyinggah sekejap tapi sempatlah bermalam. Tujuan asalnya nak ke Chegar Perah, Pahang sebab encik suami ada kerja di sana pada hari Isnin. Perjalanan dari PP perlu melalui Simpang Pulai - Lojing - Gua Musang - Chegar Perah. Alang-alang kena lalu Simpang Pulai, encik suami ajak menginap di Tanah Rata untuk satu malam.


HILLSIDE COTTAGE - Penginapan Berkonsepkan Rumah Kampung Di Lereng Bukit


Penginapan pilihan kami kali ini - Hillside Cottage. Lokasinya di belakang The Cool Point Hotel. Nak masuk sini memang kena parkir dan ambil kunci di kaunter hotel, tapi pengurusan keduanya adalah berbeza. Kami tahu tempat ni pun sebab pernah menginap di The Cool Point Hotel dan ternampak Hillside Cottage ni. Saya buat tempahan dua hari sebelumnya, Alhamdulillah masih ada satu kekosongan untuk Studio Room.

Disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan, kami bertolak lewat dari PP. Tambahan pulak hujan di sepanjang perjalanan dan beberapa laluan di Simpang Pulai berkabus tebal yang menyukarkan pemanduan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke Hillside Cottage sekitar pukul 9 malam.

Esok harinya barulah saya berpeluang melihat-lihat sekitar dan berfoto-foto. 

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas ambil kunci di kaunter hotel, kita terus menuju ke bahagian belakang hotel. Akan nampak tangga begini. Naik atas untuk ke bilik-bilik penginapan Hillside Cottage. Kat sini cuma ada empat buah bilik penginapan je - dua buah jenis Studio Room dan dua buah jenis Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas naik tangga, ada satu laluan ke kanan. Sebelah kanan ni ada gazebo, tempat BBQ dan sebuah penginapan Family Room di hujung sekali. Memang seronok dan tenang kalau dapat berbuai santai kat sini. Tapi tak dapatlah nak berbuai sebab buaian basah dek hujan malam tadi.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Penginapan kami terletak di laluan kiri - dinding kayu berwarna hijau. Bilik jenis Studio Room. Ada sebuah lagi bilik Studio Room tak kelihatan dalam gambar - terletak bersebelahan bilik penginapan kami.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Di hujung sekali tu ada sebuah lagi bilik Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Inilah rupa bahagian dalam bilik penginapan kami - nama bilik ni Dandelion. Foto ni saya ambil sebaik saja tiba di bilik malam tadi. Keluasan bilik yang memuaskan. Ada tv tapi tak nampak dalam gambar sebab kedudukan di sebelah pintu masuk. Secara keseluruhannya, bilik ni ok cuma saya terganggu dengan bau cat. Juga ada beberapa hal yang perlu diperbaiki, tapi tak perlulah saya nyatakan sebab ianya hal-hal kecil yang jika diatasi akan memberi lebih nilai kepada pengalaman penginapan di sini.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Rupa bilik air. Luas dan semuanya berfungsi baik.

Eh, lepas gambar tandas terus gambar makanan pulak ya. Ceritanya, pagi Ahad tu kami rasa malas nak keluar cari makan. Walaupun pada kebiasaanya kalau naik CH mesti akan bersarapan di YZ Agro Farm. Tapi mengenangkan ni hujung minggu dan masih dalam cuti sekolah, mesti sesak jalan nak masuk ke Kg. Taman Sedia. Kebetulan pulak pihak The Cool Point Hotel ada sediakan sarapan dengan bayaran RM12 / dewasa. Menunya ringkas - nasi lemak, mi goreng, roti dan dua jenis minuman. Jadinya kami bersarapan di ruang makan hotel sajalah. Walaupun mungkin agak mahal, tapi kami dapat makan tanpa perlu keluar dari kawasan penginapan dan boleh makan dengan selesa di sini. Satu lagi, nasi lemak dan mi goreng tu memang sedap!

Lepas sarapan, saya memotret bunga cantik ni di perkarangan hotel.

Video sekitar Hillside Cottage berdurasi 00:56 minit. Pertama kali guna aplikasi KineMaster, macam lebih menarik berbanding aplikasi video editor lain yang saya guna sebelum ini.

Bagi yang nak mencari kelainan sewaktu menginap di CH, bolehlah cuba menginap di Hillside Cottage ni - penginapan ala rumah kampung di lereng bukit. Hiasan tamannya menarik dan sesuai untuk yang gemar berfoto. Tapi bersedialah untuk menggigil bila tidur di sini. Yelah kan…tidur di bilik dengan dinding kayu dan terletak pulak di lereng bukit, betul-betul hampir dengan pokok-pokok. Saya sendiri tak lena tidur kerana kesejukkan walaupun dah pakai berlapis, berstokin bagai. Tapi seronok, sebab pengalaman yang jarang dirasai. Catatan suhu pada pukul 8 pagi Ahad adalah 17℃. Memang sejuk!

Berkenaan harga - harga bilik adalah berbeza pada hari biasa, hari hujung minggu dan cuti umum. Macam kami ni dikira harga cuti umum sebab masih dalam cuti sekolah iaitu RM150. Kalau datang hari biasa cuma RM110. Kalau ada yang berminat boleh lihat Fb : Hillside Cottage Cameron Highlands. Ada link WhatsApp untuk tempahan.

————————————————————————-

Sekitar pukul 12.30 tengah hari kami bergerak dari Hillside Cottage untuk meneruskan perjalanan ke Gua Musang. Seperti dijangka, jalan sesak teruk. Perjalanan ke Kampung Raja saja dah mengambil masa selama 3 jam! Tak jadi nak singgah membeli scone di Medan Agro Kea Farm dan memang tak singgah ke mana pun. 




Wednesday 15 June 2022

Penilaian Selepas Dua Bulan Rawatan ‘Root Surface Debridement’

SABTU | 28.05.2022

Sebelum ini saya pernah menjalani dua sesi rawatan Root Surface Debridement atau dikenali juga sebagai Deep Cleaning untuk masalah gusi susut yang saya alami. Catatan berkenaan rawatan tersebut DI SINI dan DI SINI.

Selepas dua bulan menjalani rawatan tersebut (bagi kes saya sudah pun melebihi dua bulan sebab susah nak dapat slot rawatan pada hari Sabtu), sekali lagi janji temu dibuat untuk doktor melakukan penilaian terhadap gusi saya. Kata mudahnya, doktor akan buat penilaian dengan cara mengambil bacaan ukuran gigi saya untuk dibandingkan dengan bacaan terdahulu.


BACAAN UKURAN GIGI

Setelah bacaan ukuran gigi diambil, Dr. Freeda maklumkan bahawa cuma ada dua batang gigi sahaja yang berada pada skala 4 - border line, iaitu sebatang gigi depan bahagian atas dan sebatang lagi gigi belakang bahagian kiri atas. Jadinya tak perlulah saya menjalani rawatan lanjutan iaitu pembedahan sebab tak ada gigi yang berada pada skala melebihi 4. Alhamdulillah! Terima kasih Allah! Memang puas saya berdoa pasal ni tau, sebab rasa seram pulak kalau gusi nak dibedah. Juga entah berapa pulak kosnya.

Info :
A larger or a higher number indicates that you have gum issues such as plaque and tartar buildup. If you hear numbers of 0 or 1, you are doing pretty well. 2 and 3 means we need to work on your gums a little more and 4 will require some deeper cleaning and closer monitoring.


PENYELENGGARAAN GIGI

Selesai mengambil bacaan ukuran gigi, doktor melakukan penyelenggaraan (maintenance) gigi. Mula-mula doktor buat scaling dan kemudian renew splinting - ikatan gigi lama dibuang dan diganti dengan ikatan gigi yang baru.

Alhamdulillah, rawatan selesai dalam tempoh 1 jam. Caj dikenakan sebanyak RM550. Walaupun tak perlu menjalani pembedahan, saya masih perlu buat rawatan susulan selepas tiga bulan. Janji temu berikutnya adalah pada penghujung bulan Ogos. Jika gusi saya semakin sihat (gusi yang sihat adalah gusi yang mampu memegang kukuh gigi), rawatan susulan akan dibuat setiap enam bulan sekali sahaja.


Ambil gambar kenangan, hujung bulan ini klinik Dr. Freeda akan berpindah ke lokasi baru.
Nampaknya tahun 2022 ni menjadi ‘tahun rawatan gigi’ buat saya. Belum pun setengah tahun, sudah 8 kali saya bertemu dengan Dr. Freeda. Alhamdulillah rasa takut berjaya ditolak ke tepi dengan bantuan Allah. Setiap kali menjalani rawatan, hati sentiasa berzikir dengan doa berikut (doa ini juga - dalam versi lebih panjang, saya amalkan setiap kali memulakan perjalanan dan jika hati merasa risau fikirkan sesuatu hal) :

ربّ يسّر ولا تعسّر
Ya Allah permudahkanlah, jangan dipersulitkan.

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.







.


Tuesday 14 June 2022

Kotak Eksklusif Yang Ditunggu Sudah Tiba!

Alhamdulillah beberapa hari lalu, bungkusan berisi kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said telah selamat saya terima. Pembeliannya saya buat pada pertengahan bulan lepas.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Begini rupa bahagian depan kotak eksklusif. Sebuah kotak yang cantik dan kukuh.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Bahagian belakang kotak eksklusif.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Isi dalam kotak. Disusun kemas dan buku dalam keadaan baik.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Apa ada dalam kotak eksklusif ni? Sebuah novel 3 dalam 1 (Salina, Langit Petang dan Hujan Pagi), sehelai t-shirt eksklusif, beg Nuha Books, sijil pemilikan, kad aluan dan kad terima kasih. T-shirt tu memang saya nak bagi encik suami pakai, jadi masa membeli set kombo ni saya terus pilih saiz bersesuaian.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Novel 3 dalam 1 setebal 460 halaman.

kotak eksklusif Kombo Merdeka 65 Tahun Karya Sasaterawan Negara A. Samad Said
Pertama kali saya membeli buku dapat sijil pemilikan begini.

Alhamdulillah, saya sangat berpuashati dengan buku yang diterima. Tak sabar nak membaca, tapi buku ni kena masuk senarai buku yang menunggu untuk dibaca. Hehe. Sekarang saya sedang menghadam sebuah naskhah oleh Hamka.

Ada yang pernah membaca ketiga-tiga judul tersebut? Saya langsung tak pernah, sebab tu agak teruja membeli naskhah hasil karya Sasterawan Negara kita ni. Tambahan pulak ia didatangkan dalam bentuk set kombo istimewa begini.

Kalau berminat nak dapatkan set kombo di atas, sekarang (semasa saya menulis entri ini) harganya masih kekal RM110. Lebih menarik, kita boleh dapat diskaun tambahan sebanyak 5% dengan memasukkan kod promo : LOVEBOOKCAFE. Nak beli di mana? Klik je DI SINI ya. 





Monday 13 June 2022

‘Morning Walk’ di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam

AHAD | 05.06.2022

Dah agak lama saya berhajat nak beriadah di kawasan rekreasi Empangan Mengkuang ni, akhirnya sampai jua ke sini. Perjalanan dari rumah saya mengambil masa sekitar 30 minit dengan jarak 23 km. Bila semakin menghampiri kawasan empangan ni, kita perlu melalui jalan yang berliku-liku dan agak sempit.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tu diaa…bukan main ramai pengunjung! Masa ni sekitar pukul 8 pagi, cuaca mendung dan hujan gerimis yang halus. Selepas meletakkan kereta di ruangan parkir (sebelah kanan dalam gambar), kami pun menyertai pengunjung lain untuk ke bahagian atas di mana terletaknya Empangan Mengkuang. Laluan untuk ke bahagian atas ni perlu mendaki dan agak jauh jugak.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Sampai di atas, ada semacam dataran. Kemudian ada pilihan laluan ke kanan dan ke kiri. Terpulanglah kita nak mulakan arah mana satu dulu.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Pemandangan dari atas - luas kawasan parkir yang disediakan. Tandas ada berhampiran pintu masuk ke kawasan ini, berhadapan dengan pos kawalan polis bantuan.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Di bahagian atas ni, kita boleh menikmati pemandangan Empangan Mengkuang yang menenangkan. Ada tembok keselamatan, tak boleh turun ke kawasan berbatu tu tau. Malah sebenarnya ada papan tanda melarang pengunjung naik/duduk di atas tembok. Tapi ramai je yang duduk atas tembok untuk berfoto, bahaya kalau terjatuh.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Saya dan encik suami sekadar melakukan aktiviti morning walk. Kami mulakan laluan ke kiri, kemudian kembali ke tengah (kawasan semacam dataran tadi) dan selepas tu ke laluan kanan pulak. Memang kebanyakkan pengunjung cuma berjalan kaki sambil berbual dan menikmati pemandangan. Ada juga yang berjoging, tapi tak begitu ramai. Masa kami di sini, angin bertiup agak kencang. Jadinya terasa nyaman je, tambahan pulak masa ni masih mendung.
 
Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Nun di hujung sana, ada pagar menandakan pengakhiran laluan rekreasi. Pagar begini ada di kedua-dua hujung laluan - kanan dan kiri.

Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Waktu operasi dan peraturan di sini.

Alhamdulillah selesai aktiviti morning walk kami yang pertama di Empangan Mengkuang. Jarak keseluruhan dari titik mula (gambar pertama) sehingga tiba semula di titik yang sama adalah sejauh 6.45 km. Saya rekodkan guna Samsung Galaxy Watch. Fuh, pecah rekod sendiri untuk tahun 2022 ni! Dapatlah hampir 10 ribu langkah untuk pagi ini. Alhamdulillah! Gitulah kan…orang tak biasa buat morning walk, joging memang jauh sekali. Sekali dapat jalan sejauh ini pun dah rasa cukup seronok 🤭

Insya Allah ada kesempatan bolehlah datang lagi ke sini. Tapi kena datang masa cuaca mendung la nampaknya, sebab kat empangan ni langsung takde pokok peneduh. Kalau masa panas terik, memang kena bakar jelah kat atas tu. Katanya dulu lebih seronok beriadah di sini, sebab ada pokok dan gazebo. Tapi semua tu dah berubah sejak empangan ni diperbesarkan dan lanskap pun turut berubah.

—————————————————————-

Dalam perjalanan balik ke rumah, kami singgah makan di Restoran Fauzan. Pertama kali kami makan di sini. Ingatkan menu sarapan sebab baru pukul 10 pagi. Tapi rupanya kat sini jual nasi campur. Makanya teruslah kami brunch (breakfast + lunch). Semuanya panas-panas, berselera sungguh kami makan. Lepas tu konon tak mau minum manis, eh kalah pulak bila nampak mango coconut shake 😅






.