Showing posts with label Eksplorasi Gua. Show all posts
Showing posts with label Eksplorasi Gua. Show all posts

Monday, 10 February 2025

Seketika di Tapak Geowarisan - Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang

Catatan hari Ahad, 9 Februari 2025.

Jalan-jalan pagi Ahad, saya ajak Encik Suami ke Gua Kerbau yang terletak di Kodiang, Kedah. Jarak perjalanan dari rumah kami adalah sejauh 26 km. Sebelum ke Kodiang, kami isi perut sarapan pagi dengan nasi lemak dan pek nga gulai ikan di Arau Kopi.

Saya selit sedikit berkenaan nama Kodiang - dialek tempatan menyebutnya 'Kokdiang' bukan 'Kodiang'. Apa sejarah disebalik sebutan nama yang berbeza dengan ejaan? Tidaklah saya ketahui.

Dari jalan utama, kami memasuki jalan kampung menuju ke Gua Kerbau. Pemandangan di sini indah dengan aliran sebatang sungai di sebelah kanan dan bukit batu kapur serta hamparan sawah padi di sebelah kiri jalan.

Jarak dari jalan utama melalui jalan kampung sehingga tiba di kawasan gua tidaklah jauh.

Tiada kawasan parkir khusus untuk pelawat. Kami parkir di hadapan pintu masuk menuju ke gua, berhampiran tempat permainan kanak-kanak. Kehadiran kami disambut oleh kucing-kucing jalanan dan bau najis kucing yang agak kuat. Perlu berhati-hati melangkah.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian hadapan gua.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Jom baca info berkenaan tapak geowarisan (geologi warisan) Gua Kerbau. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Info ringkas | Kawasan Gua Kerbau sangat istimewa kerana terdapat kesan takik lautan kuno yang terbentuk akibat hakisan ombak sekitar 7,000 tahun lalu. Pelbagai jenis fosil lautan turut ditemui di sekitar kawasan gua ini.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian dalam Gua Kerbau. 

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Struktur kesan takik laut kuno (ancient sea notch). Masya Allah unik sungguh alam ciptaan Allah.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Struktur batu berbentuk kerbau yang terdapat di dalam gua. Foto dirakam dari dua sudut berbeza - bahagian hadapan dan belakang struktur. Ia terbentuk begini kesan paras laut kuno dan pembentukan stalagmit.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Pemandangan dalam gua dari sudut berbeza. Terdapat beberapa laluan menuju ke bahagian atas gua, tapi kami tak naik. Cukuplah sekadar membuat pemerhatian di sini dan di sekitar kawasan bukit.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Kami meneroka bahagian luar gua pula - ada laluan pejalan kaki tersedia di tepi bukit. Saya perhatikan banyak juga binaan bangku dan wakaf di sini.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Terdapat banyak bongkah batu di sekitar kawasan ini. Saya suka perhatikan keunikan bentuk bongkah batu.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Selain Gua Kerbau, terdapat banyak juga lubang-lubang kecil yang lain. Saya tak berani nak menjenguk, cukuplah merakam foto dari luar lubang.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian belakang bukit. Terdapat laluan pejalan kaki sehingga ke hujung sana, tapi keadaan nampak kurang selamat untuk kami terus meneroka. Kami berpatah balik menuju ke tempat parkir kenderaan.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Tadi berjalan kaki ikut laluan tersedia di tepi bukit, kali ini kami berjalan kaki ikut laluan tepi sawah padi. Indah sungguh pemandangan!

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Tak rugi datang ke sini, dapat eksplorasi Gua Kerbau dan dapat pula menikmati keindahan sawah padi terbentang. Suasana kampung yang mendamaikan.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Masa ni pukul 10.45 pagi. Kalau waktu senja tentu lebih cantik suasananya.

Kunjungan yang berbaloi bagi peminat alam semula jadi, khususnya mereka yang suka memerhati struktur geologi - seperti saya ๐Ÿ˜

Tapi sayang sekali, tapak geowarisan Gua Kerbau ini nampaknya tidak diurus dengan baik oleh pihak berkuasa. Sampah sisa makanan bersepah di sana sini. Keadaan bertambah buruk dengan kehadiran kucing-kucing jalanan yang mungkin mencari makan dari timbunan sampah. Mentaliti masyarakat juga harus berubah - gua sebagai warisan alam, bukan tempat berkelah makan-makan.

Tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah 2025. Tapi nampaknya Gua Kerbau menjadi kawasan tarikan pelancongan yang terbiar dan dilupakan. 







Sunday, 15 December 2024

Eksplorasi Gua | Fairy Cave Nature Reserve, Bau, Kuching

Menyambung kembali catatan trip ke Kuching, Sarawak pada bulan Mei lalu. Catatan terdahulu - Serangan Agresif Monyet dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba.

Selesai aktiviti eksplorasi hutan di Taman Negara Bako, saya dan Encik Suami bergerak menuju ke Bau untuk melakukan aktiviti eksplorasi gua di Gua Pari-Pari atau lebih dikenali sebagai Fairy Cave.

Antara tarikan lain yang terdapat di Bau - Gua Angin (Wind Cave), Tasik Biru dan Paku Rock Maze Garden. Dari jalan besar kita boleh nampak papan tanda untuk ke tempat-tempat tersebut. Tetapi dengan masa yang terhad, saya cuma boleh memilih satu tempat sahaja iaitu Fairy Cave.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Kami tiba di Fairy Cave Nature Reserve kira-kira pukul 2.30 petang. Risau juga jika kami terlewat sampai kerana waktu terakhir untuk masuk adalah pada pukul 3 petang dan waktu lawatan berakhir pada pukul 4 petang. Kalau tak dapat masuk kali ini, entah bila lagi kami akan datang ke sini.

Untuk masuk, cuma perlu bayar RM1 sahaja. Sebagai langkah keselamatan, pengunjung diwajibkan memakai kasut bersesuaian dan bawa lampu suluh sendiri. Bagi yang datang tak memakai kasut bersesuaian, boleh menyewa kasut di sini dengan caj sebanyak RM3. 

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Pengunjung perlu mendaki anak tangga setinggi empat tingkat sebelum tiba di pintu gua. Anggaplah ini latihan stamina sebab nanti dalam gua ada banyak lagi anak tangga perlu didaki ๐Ÿ˜„

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Tangga terakhir sebelum memasuki pintu gua.

Encik Suami sebenarnya sedang mengalami sakit kaki kiri dek terpelecok sewaktu menuruni laluan berbatu di hutan taman negara, tapi berdegil nak ikut sama masuk ke gua. Mungkin risaukan saya yang bersungguh nak masuk berseorangan.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Sebaik memasuki pintu gua, kita perlu mendaki anak tangga konkrit. Kemudian mendaki pula anak tangga besi untuk naik ke atas. Ruangan tangga ni gelap, memang sangat perlu cahaya lampu suluh. Masa inilah para pengunjung saling membantu - yang ada lampu suluh tolong suluhkan tangga besi untuk mereka yang tak bawa lampu. 

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Naik satu lagi tangga besi yang agak tinggi, barulah kita sampai di ruang gua. Fuh! Mencabar juga tau. Patutlah ada pengunjung yang tak meneruskan perjalanan, berpatah balik.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Teruja sungguh saya menyaksikan keunikan gua ini - ruang gua yang luas, dipenuhi dengan tumbuhan hijau dan pelbagai bentuk batu gua yang menarik di mata saya. Walaupun cukup teruja, tapi saya harus berhati-hati melangkah anak tangga tersedia - sebahagiannya licin berlumut dan licin kerana najis haiwan (mungkin kelawar dan burung).

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Terdapat lubang-lubang gua yang membolehkan cahaya matahari, udara dan air hujan masuk ke ruang gua. Jadinya gua ini tidaklah terlampau gelap secara keseluruhannya, tetapi ada tempat tertentu saja yang gelap dan perlu lampu suluh.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Sudut pandang dari tempat yang paling tinggi di dalam gua.

Masa ni ada seorang lelaki mat salih yang nampaknya lebih berusia daripada saya, sedang duduk di bangku dan memegang buku nota. Mungkin sedang membuat pemerhatian atau kajian berkenaan Fairy Cave - matanya memerhati sekitar dan tangannya mencatat sesuatu di buku nota. Eh, saya pun sedang buat pemerhatian juga. Bezanya, saya memerhati kemudian merekodkan dalam bentuk foto ๐Ÿ˜€

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Pandang bawah, nampak semua orang jadi kecil. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas ya.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Perhatikan bentuk batuan yang bergerigi dan ada belahan di sisi. Unik sungguh kejadian alam ciptaan Allah.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Antara tumbuhan yang hidup subur di dalam gua. Sepanjang pengalaman saya melakukan aktiviti eksplorasi gua, ini pertama kali saya menyaksikan sebuah ruang gua luas yang dipenuhi tumbuhan - bagaikan sebuah taman yang tersembunyi. Cukup indah pada pandangan saya.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Terdapat tiga laluan dalam Fairy Cave - twilight trail, dark trail dan summit trail (perlu permit).

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Lubang gua yang menjadi sumber pencahayaan dan aliran udara dalam gua.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Keunikan pembentukan batuan di lantai gua.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Laluan ‘dark trail’ menuju ke ‘summit trail’. Laluan kecil ini sebenarnya sangat gelap. Saya tak meneruskan perjalanan sebab masa ni saya bersendirian, Encik Suami kena kurangkan berjalan jadi dia menunggu di bahagian bawah. Keadaan dalam gua juga semakin sepi, bila saya memandang sekitar barulah perasan bahawa tiada lagi pengunjung lain.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Perjalanan turun ke bawah. Ruangan yang ada tangga besi paling tinggi ini merupakan ruangan paling sejuk - seperti ada penyaman udara.

Video berdurasi 41 saat memaparkan suasana di dalam gua.

Sebaik kami sampai di bawah iaitu di kaunter tiket, barulah perasan jam sudah pun menghampiri pukul 4 petang. Petugas terus menutup pintu pagar menuju ke tangga dan menunjukkan kami paip untuk membasuh kotoran - tangan rasa melekit dan seluar terkena kotoran tanah. Punyalah asyik menikmati keindahan gua sampai saya terlupa tengok jam ๐Ÿ˜…

Alhamdulillah sempat juga masuk ke Fairy Cave walaupun tak dapat habiskan ‘dark trail’. InsyaAllah ada kesempatan saya akan kembali lagi. Menurut saya, kunjungan ke Fairy Cave sangat berbaloi dan menyeronokkan. Saya suka dengan suasana gua yang asli begini.







Friday, 20 September 2024

Eksplorasi Gua Kelam 2, Perlis

[Catatan Hari Isnin, 16 September 2024]

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam dibuka mulai pukul 9 pagi. Kami tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi dalam suasana hujan rintik. Biasanya jika berkunjung ke sini, kenderaan kami akan melalui pos kaunter tiket dan menuju ke ruangan parkir di bahagian dalam. Tetapi kali ini, laluan kenderaan di pos kaunter tiket sudah diletak penghadang. Jadinya kami parkir kenderaan di ruang parkir hadapan. Selepas itu barulah berjalan ke pos kaunter tiket.

Petugas kaunter memaklumkan bahawa hari ini Gua Kelam 1 ditutup. Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air dalam gua meningkat. Oh, patutlah diletak penghadang dan pintu pagar ke Gua Kelam 2 bertutup.

Apa pilihan yang ada? Pengunjung boleh melakukan aktiviti eksplorasi Gua Kelam 2, melawat Galeri 3D Gua Kelam dan masuk Rumah Cermin.

Kami memilih untuk ke Gua Kelam 2 dengan bayaran RM10 seorang dan Rumah Cermin dengan bayaran RM5 seorang. Tiada caj parkir dikenakan seperti sebelum ini, mungkin sebab parkir di bahagian hadapan.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Berfoto di hadapan bangunan untuk masuk ke Gua Kelam 2. Kalau Gua Kelam 1 lain pintu masuknya ya. Foto kami berenam dirakam oleh seorang lelaki Cina yang baik hati menawarkan diri membantu kami.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Sesi taklimat sebelum masuk gua.
Selepas menyerahkan sekeping kertas bertulisan tangan (tiada tiket khas untuk ke Gua Kelam 2) kepada petugas di kaunter, kami diminta menunggu. Rupa-rupanya nak tunggu pengunjung ramai, barulah akan bergerak bersama.

Tak lama kemudian, sesi taklimat bermula. Kami dimaklumkan berkenaan sejarah ringkas Gua Kelam 2, jarak laluan 700 meter sehala (perlu berpatah balik untuk kembali ke pintu gua) dan hal keselamatan (pengunjung bertubuh tinggi diminta memakai topi keselamatan).

Eksplorasi Gua Kelam 2
Berjalan ramai-ramai naik tangga menuju ke pintu gua yang terletak di aras atas.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Menyeberangi jambatan menuju ke pintu gua.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Laluan bersimen dan rata sejauh 400 meter. Pengunjung yang tinggi tu kenalah berhati-hati jangan terkena bumbung gua. Laluan bersimen begini nampak mudah, tetapi ada cabarannya juga - aliran air deras di tepi laluan dan ada kalanya melimpah di tengah laluan. Perlu berhati-hati melangkah.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Di tempat tertentu, terdapat air yang turun dari bumbung gua. Kadang sedikit saja dan kadang agak lebat seperti terkena siraman hujan. Boleh lihat dalam video di hujung entri ini.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Kawasan kolam dalam gua - Kolam Biru (The Blue Pool). Nampak lebih cantik berbanding kunjungan saya sebelum ini, mungkin sebab musim hujan paras air jadi tinggi dan pencahayaan yang bertukar warna di dinding gua.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Aliran mini air terjun menambah pesona Gua Kelam 2.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Tumbuhan berjurai di bumbung gua. Cantik! Gua ini tiada lubang angin yang membolehkan udara dan cahaya masuk, entah macam mana boleh pula tumbuhan ini hidup segar.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Terowong laluan yang dibuat oleh para pelombong untuk aktiviti perlombongan bijih timah.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Batu bunga di dinding gua. Rupa seperti batu kecil dengan tekstur tajam dan bersinar.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Perlu mendaki anak tangga untuk ke ruangan lebih tinggi. Di sebelah kanan atas dinding gua, kelihatan tulisan yang dipercayai tinggalan para pelombong.

Eksplorasi Gua Kelam 2
Sampai di sini saja pengunjung boleh masuk, jaraknya kira-kira 700 meter dari pintu masuk.

Berbeza dengan Gua Kelam 1 yang tidak begitu luas, ruang dalam Gua Kelam 2 lebih luas disebabkan aktiviti perlombongan. Ia bukan terjadi secara semula jadi.

Ini merupakan kali kedua saya dan Encik Suami melakukan eksplorasi di Gua Kelam 2. Kali pertama kami ke sini pada Januari 2022. Harga berbeza, pengalaman berbeza dan suasana dalam gua juga sedikit berbeza. Boleh baca entri DI SINI. Saya lebih sukakan suasana lebih asli kerana gua merupakan tarikan pelancongan alam semula jadi. Menurut saya, tak perlu tambahan lampu berwarna-warni tetapi boleh pasang lampu sekadar untuk menerangi laluan di bahagian tertentu gua.


Video berdurasi 0:39 minit - suasana di dalam Gua Kelam 2.

Secara keseluruhannya, eksplorasi ke Gua Kelam 2 cukup menarik dengan unsur alam semula jadi (gua batu kapur) dan unsur sejarah (aktiviti perlombongan). Tetapi disebabkan tak bersedia dengan pakaian yang sesuai untuk masuk gua yang basah, maka kotor jugalah hujung seluar dan basah kasut yang dipakai ๐Ÿ˜„







Thursday, 21 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Gua Buaya & Gua Kelawar

Sambungan entri INI

Encik Mahadi membawa bot kami keluar dari kawasan hutan bakau untuk ke lokasi seterusnya, iaitu Gua Buaya. Eh, ada buayakah?

Kilim Geoforest Park
Perjalanan yang mempesona, bot sedang melalui celahan tebing bukit batu kapur.

Langkawi Mangrove Tour
Di sepanjang perjalanan, pandangan mata saya terpukau dengan keunikan landskap batu kapur di sini. Sungguh saya tak sangka bahawa Langkawi menyimpan khazanah alam seindah begini. Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan alam ini.


GUA BUAYA

Saya sangkakan kami perlu berjalan kaki masuk ke gua. Rupa-rupanya, kita duduk je di dalam bot dan bot akan masuk ke dalam gua.

Langkawi Mangrove Tour
Pintu masuk Gua Buaya.
Pengalaman yang belum pernah saya lalui - masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Laluan yang sempit.
Laluan dalam gua ni agak sempit, memang menguji kecekapan pemandu bot untuk bergerak. Gua ini bukan sentiasa boleh kita masuk ya, bergantung kepada paras air. Macam sekarang ni air surut, bolehlah bot lalu. Dalam gua ni dapatlah kita perhatikan formasi batuan. Saya nampak ada stalaktit saiz kecil.

Sekejap je kita berada dalam ni, sekitar beberapa minit. Macam lalu terowong pendek. Bolehlah buat ambil pengalaman masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Batu kapur berbentuk buaya, itulah asal nama Gua Buaya.
Sebaik saja keluar dari gua, Encik Mahadi menunjukkan kepada kami formasi batuan berbentuk buaya. Jadi, itulah asal nama Gua Buaya. Tak ada buaya pun ya. Hehe. Kalau ada buaya, siapa pula berani nak datang sini kan?

Seterusnya, kami dibawa ke Gua Kelawar pula…


GUA KELAWAR

Langkawi Mangrove Tour
Jeti ke Gua Kelawar
Gua Kelawar ni terletak di kaki bukit. Sekelilingnya adalah hutan paya bakau. Manakala pintu Gua Kelawar pula menghadap Sungai Kilim. Inilah keunikan Kilim, adanya ekosistem paya bakau di perbukitan batu kapur.

Bot kami berhenti di jeti ini. Encik Mahadi menurunkan kami semua dan bot beredar ke tempat lain. Di sini kita bebas meneroka tanpa jurupandu lawatan. Di atas ni ada kaunter, perlu bayar RM2 seorang untuk masuk ke Gua Kelawar. Rupanya bayaran masuk gua ni tidak termasuk dalam pakej lawatan. Dalam Gua Kelawar ni sangat gelap, jadinya ada disediakan lampu suluh untuk disewa dengan kadar RM1 saja. Tapi kalau hilang kena bayar RM25. Kami dah bersedia dengan membawa lampu suluh sendiri.

Jom kita teruskan penerokaan…

Gua Kelawar Langkawi
Pintu masuk ke Gua Kelawar.
Tak susah pun untuk kita meneroka Gua Kelawar ni sebab dah disediakan laluan bersimen. Ikut saja laluan tersebut dari pintu masuk sehingga ke pintu keluar. Cabaran utamanya adalah kegelapan di dalam gua. Tapi bagi saya, gua ni tidaklah gelap pekat sebab tak begitu panjang laluan di dalam gua. Ada kemasukan cahaya dari luar. Tapi masih perlu kepada cahaya lampu untuk kita mengatur langkah dengan selamat. Sebelum kita masuk, ada notis larangan guna flash pada kamera. Mungkin tak mahu kelawar terkejut dengan cahaya flash.

Gua Kelawar Langkawi
Kelawar bergantungan di langit-langit gua.
Sebaik melangkah masuk ke dalam gua, saya terhidu bau yang tak sedap. Bau najis kelawar la agaknya. Tapi tak nampak pula mana kelawarnya. Lampu suluh dihala ke sekitar gua untuk melihat-lihat. Pemandangan biasa di dalam gua, kita akan dapat melihat stalaktit dan stalakmit. Tapi tak ada pula stalaktit atau stalakmit yang cantik berkilau seperti yang pernah saya lihat di gua-gua lain.

Sehinggalah lampu suluh kami menyuluh sesuatu di langit-langit gua…sekumpulan kelawar bergantungan! Tak pasti spesis apa, kelawar di sini bersaiz kecil. Bila diperhatikan, seram juga saya lihat rupa kelawar. Rasanya ini merupakan pengalaman pertama saya melihat kelawar bergantungan di langit gua. 

Gua Kelawar Langkawi
Keluar dari gua, kita akan dapat menikmati pemandangan hutan paya bakau. Masa ni cuaca panas terik. Nampak cantik pokok-pokok bakau ni bila disimbah cahaya matahari.

Gua Kelawar Langkawi
Mind your head, watch your step.
Selepas laluan dengan pemandangan hutan paya bakau tadi, sekali lagi kita perlu masuk gua untuk meneruskan perjalanan keluar dari kawasan ini. Nak masuk ni kena berhati-hati, bumbung gua sangat rendah dan pada masa yang sama kita perlu melangkah anak tangga. Jadinya kita kena berjalan sambil membongkokkan badan. Sekejap je, lepas tu boleh melangkah macam biasa. Laluan dalam ni lebih pendek berbanding laluan gua pertama tadi.

Gua Kelawar Langkawi
Tangga untuk naik ke atas bukit.
Sampai di hujung jalan untuk keluar dari gua, terdapat satu tangga kayu dengan notis larangan naik ke atas. Rupanya inilah tangga untuk kita melihat pemandangan atas bukit. Mungkin atas faktor keselamatan maka kita dilarang naik ke atas.

Gua Kelawar Langkawi
Suasana kesibukan di jeti, bot-bot mengambil dan menurunkan pelancong.
Selesai lawatan di gua-gua, Encik Mahadi kemudiannya membawa kami bersiar-siar di Laut Andaman dan ke lokasi terakhir lawatan ini iaitu restoran terapung. Insya Allah catatannya pada entri akan datang.