Tuesday 27 June 2023

Buah Jentik

Buah jentik atau ada yang panggil buah jentik-jentik, sejenis buah di negara kita yang baru pertama kali saya tahu namanya dan melihat sendiri rupa buahnya.

Buah Jentik
Beginilah rupa buah jentik dengan kulit buah yang dah kering. Buahnya bergugusan pada satu tangkai. Walaupun nampak dah kering gini, tapi isinya elok tak rosak.

Buah Jentik
Saiznya kecil saja.

Buah Jentik
Bila dibuka, buah jentik menyerlahkan isi berwarna oren merah. Cantik warnanya.

Menurut info, buah jentik ini merupakan sejenis buah hutan dan ia bermusim. Rupa luaran dan isi seakan buah rambai. Ia diberi nama ‘buah jentik’ kerana cara nak menikmati buah ini kita perlu menjentik supaya kulit buah terbuka.

Saya cuba menjentik sebiji buah ini, berterabur kulit dan isi 😄. Terkuat sangat agaknya. Tapi kalau saya tak jentik pun masih boleh buka buah ini dengan mudah, mungkin sebab buah jentik yang ada ni kulitnya dah kering. Saya cuma perlu picit sikit je, kulitnya pecah dan terbuka. Tak perlulah saya menjentik.

Cara makan buah jentik sama macam kita makan buah rambai. Dalam setiap buah jentik terdapat dua hingga tiga ulas isi. Bagaimana rasanya? Buah jentik mempunyai kombinasi rasa masam manis. Dalam setangkai buah jentik, ada yang lebih kuat rasa masam dan ada juga yang lebih kuat rasa manis. Biji buah jentik pula berbentuk pipih (leper).

Buah jentik yang saya makan ini dibeli di Gurun, Kedah dengan harga RM10 / kg. Tempat lain tak pastilah ya berapa harganya.






Friday 23 June 2023

De.Wan 1958 by Chef Wan, Bangsar Shopping Centre

Hari Sabtu lalu, saya dan encik suami ke Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama saya ke sini. Memang terasa suasana berbeza apabila memasuki BSC. Tandas dan suraunya pun cantik. Laluan menuju ke surau dihias dengan gantungan lampu indah. Barang-barang jualan di sini pun lebih menarik. Boleh belek foto-foto oleh blogger Nohas dalam entri - Lain rasanya pergi Supermarket T20.. .

Tujuan saya dan encik suami ke sini - nak menikmati makan tengah hari di De.Wan 1958 by Chef Wan yang terletak di aras 1, BSC. Tempahan slot sudah dibuat beberapa hari awal.

Kami dapat slot pukul 1.30 petang. Masa diperuntukan 2 jam sahaja untuk kita makan dan kalau kita tak datang selepas 15 minit, tempahan akan terbatal. Dari tiga buah restoran, hanya di BSC ini saja yang masih ada slot kosong untuk makan tengah hari. Lewat lagi memang tak bolehlah sebab kami perlu bergerak balik ke PP.

Sebenarnya dah agak lama juga kami berdua teringin nak merasa hidangan di restoran Chef Wan. Kebetulan hujung minggu lepas kami berada di KL dan hari Sabtu tersebut merupakan tarikh istimewa saya, maka kita kasi jadilah acara makan-makan di restoran Chef Wan. Ada la alasan nak makan makanan mahal kan? Sempena hari istimewa 😁. Pada hal biasanya cukup sekadar ucapan dan kalau pun ada acara makan-makan, kena tunggu hari encik suami cuti kerja. Bukan tepat pada tarikh ulang tahun.


DE.WAN 1958 BY CHEF WAN - MENIKMATI HIDANGAN MASAKAN MELAYU DALAM SUASANA MEWAH

Alhamdulillah kami sampai di hadapan restoran sebelum pukul 1.30 petang. Kami disambut mesra oleh dua orang pelayan wanita dan kemudian dibawa ke meja makan.

Beginilah suasana di dalam restoran De.Wan 1958 by Chef Wan. Mewah dekorasinya. Saya tertarik dengan kipas seperti kipas sate yang terletak di siling. Bukan sekadar digantung sebagai hiasan saja, malah ia bergerak-gerak seperti mengipas. Unik!

Dalam foto di atas nampak macam kosong tak ada pelanggan kan? Sebab masa ni masih awal. Tak lama kemudian, meja-meja yang ada semuanya dipenuhi oleh pelanggan.

Membelek buku menu.

Sementara menunggu pesanan tiba, kami dihidangkan dengan rempeyek rangup dan air kosong.

Kerabu Pucuk Paku
Hidangan pertama tiba - Kerabu Pucuk Paku. Dalam foto ni mungkin nampak macam sikit kerabunya, tapi sebenarnya banyak untuk dua orang makan. Sedap dimakan ratah gitu je. Rasanya juga unik, macam ada manis-manis sikit.

Daging Salai Lemak Cili Padi
Daging Salai Lemak Cili Padi. Potongan dagingnya lebar dengan hirisan yang tak begitu tebal. Lembut dikunyah. Kuah lemak cili padinya tak terlalu pedas, saya suka begini. Boleh makan dengan selesa tanpa hidung berhingus dek kepedasan.

Jumbo Sotong
Jumbo Sotong. Lembut berjus sotongnya, tapi eh macam tak berapa jumbo (besar) saiznya. Masa makan barulah perasan macam potongan dua ekor sotong. Agaknya sebab tak ada saiz jumbo jadi diberi dua ekor sotong.

Letak terus dua jenis nasi, boleh merasa kedua-duanya.
Cara hidangkan nasi di sini, ada pelayan datang membawa dua bekas anyaman berisi nasi. Satu ‘Nasi Terengganu’ dan satu lagi ‘Nasi Minyak’. Lebih kurang gitulah yang saya faham daripada apa yang dituturkan oleh pelayan wanita warga asing yang menghidangkan nasi. Selain itu, ada juga pilihan nasi putih.

Nasi boleh ditambah berkali-kali. Dua kali pelayan tersebut datang tanya kalau kami nak tambah nasi (bila nampak nasi di pinggan kami makan tinggal sikit dan bila dah habis), tapi kami masing-masing tak mampu nak tambah sebab kekenyangan makan lauk 😄. Itu pun kami minta bungkus lauk Daging Salai Lemak Cili Api yang masih berbaki beberapa potong. Tak mampu habiskan. Setiap hidangan mungkin sesuai untuk 3-4 orang makan, kecuali kita ambil dua lauk saja mungkin bolehlah habiskan berdua.

Mini Birthday Cake | Black Forest
Semasa buat bayaran, kami gunakan ganjaran diskaun sempena hari lahir. Sebelum itu, kita perlu ada aplikasi ‘Chef Wan Cooks’ untuk kumpul mata ganjaran dan dapat ganjaran. Rupanya, saya dapat juga mini birthday cake secara percuma! Kalau kita membeli, harganya RM31. Kek mini ini saya bawa balik dan makan di rumah. Sekali hadap laki bini, hampir habislah jugak. Berbaki satu potongan kecil.

Secara keseluruhan, saya dan encik suami sangat berpuas hati dengan makanan yang dihidang, layanan yang diberi dan keselesaan di restoran ini. Semua pelayan sentiasa bersikap mesra dan sopan melayan. Berbaloi rasanya kami mencuba makan di sini 👍🏽. Moga mereka kekal bagus begini.

Tahniah buat Chef Wan yang telah berjaya mengangkat masakan Melayu ke satu tahap yang tinggi, iaitu menghidangkan masakan Melayu yang sedap dalam suasana cukup mewah. Tentunya bukan sesuatu yang mudah.

Info lanjut berkenaan lokasi restoran, menu dan tempahan, boleh terus ke laman web https://dewan.space/






Wednesday 21 June 2023

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Catatan kisah hari Jumaat malam Sabtu lalu.

Saya dan encik suami ke Jalan Raja Alang, Kg. Baru untuk makan malam dan melihat kehidupan malam di sini. Pada bulan Mac lalu kami pernah mengunjungi bazar Ramadan di jalan ini. Tapi tak perasan kedai apa yang ada di kanan kiri jalan sebab masa tu jalanan dipenuhi dengan deretan gerai jualan bazar Ramadan.

Jalan Raja Alang ni terletak betul-betul di sebelah Tamu Hotel. Keluar saja dari pintu lobi hotel, terus menuju ke kiri. Kalau nak ke Jalan Raja Muda Musa (lokasi syurga makanan), ambil ke kanan dan perlu jalan kaki jauh sikit.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Ini foto di kawasan simpang empat berhampiran hotel dan laluan masuk ke Jalan Raja Alang. Eh, ada kedai Azhar Food! Azhar Food ni pemborong pelbagai jenis kerepek yang terkenal di Rengit, Johor. Terkenang kalau dulu hampir setiap kali menjelang hari raya kami akan ke Azhar Food di Rengit untuk membeli pelbagai kerepek dan kuih raya sebagai hidangan di rumah mak-mak kami dan rumah kami sendiri. Sekarang ni dah bertahun saya tak menjejak kaki ke sana. Nak membeli di sini, tapi tak beroperasi pula.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Beginilah suasana malam di Jalan Raja Alang, meriah dengan kedai makan dan gerai jualan. Jalanan di sini jadi sempit dengan meja-meja makan yang diletakkan di bahu jalan. Juga sesak dengan kenderaan yang tak putus-putus.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Tamu Hotel, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan menara Masjid Jamek Kampung Baru, sudut pandang dari Jalan Raja Alang.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Sekarang ni kan musim durian, jadi sana sini ada menjual durian. Besar saiz buah durian yang dijual di sini. Tapi semuanya tak pamerkan harga, cuma ada tag nama varieti durian je.

Kami berjalan ke belakang lagi, dari jauh kami nampak deretan susunan gerai seperti jualan pasar malam. Meriah dengan lampu cerah dan orang ramai. Tapi kami tak teruskan langkah kaki ke situ. Kami memilih ke lorong kanan, jalanan yang kurang meriah dengan cahaya lampu tetapi sesak dengan kenderaan dan orang ramai. Sempat saya melihat papan tanda nama jalan - Jalan Raja Bot.

Apa yang menarik di Jalan Raja Bot, di sebelah bahu jalan terdapat deretan lori kecil bersusun dengan barang jualan di atas belakang lori masing-masing. Antara yang saya nampak - ikatan besar serai, petai dan balang besar berisi rebung. Encik suami kata, sini tempat jualan borong. Saya tak merakam sebarang foto di sini kerana terlampau sesak, tak sesuai.

Perut semakin lapar. Kami berpatah balik ke Jalan Raja Alang untuk cari makan pula.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Berbeza dengan Jalan Raja Muda Musa, di Jalan Raja Alang ini terdapat begitu banyak kedai makan dan gerai makanan Indonesia. Keliru juga nak masuk yang mana satu. Kami akhirnya memilih Kedai Makan Upik - Khas Masakan Minang.

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Sate Padang menjadi pilihan makan malam kami. Orangnya cuma berdua, tapi beli tiga set! Kami ambil tiga jenis Sate Padang - ayam, daging dan perut. Kali terakhir kami makan berat pada waktu tengahari tadi, itu yang sekarang kelaparan sangat jadi tamak membeli 😄

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Setiap set Sate Padang ada lima cucuk sate dan potongan nasi impit. Dicurah kuah pekat dan ditabur bawang goreng rangup. Harganya RM6 / set, sama saja harga ayam/daging/perut. Cara persembahan hidangan dan kuahnya memang berbeza berbanding sate yang biasa kita makan.

Ini merupakan kali pertama saya mencuba Sate Padang di Malaysia. Sebelum ini saya pernah makan Sate Padang sewaktu berkunjung ke Pekanbaru dan Medan di Indonesia. Setakat ini, rasa Sate Padang di Restoran Bundo Kanduang, Pekanbaru tetap paling sedap menurut cita rasa saya. Sate Padang di Kedai Makan Upik ni pun sedap juga - lembut isi ayam dan dagingnya (kecuali sate perut tak lembut), kuahnya juga tak terlalu pedas. Habis kami makan semuanya, terlebih kenyang pulak 😅

Kemeriahan Malam di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur
Minuman pilihan kami - jus alpukat (avokado) dan jus oren ‘o’ (tanpa gula). Setiap satu berharga RM5.

Selesai makan, kami kembali ke bilik penginapan di Tamu Hotel. Mata mengantuk dan badan pun letih setelah seharian ke sana sini. 

Begitulah suasana kemeriahan malam di Jalan Raja Alang. Kalau menginap di Tamu Hotel tapi malas nak berjalan cari makan ke Jalan Raja Muda Musa, bolehlah ke Jalan Raja Alang. Cuma di sebelah hotel, dekat dan lebih mudah. Terdapat juga kedai 7-Eleven di sini, mudahlah kalau kita ada keperluan tertentu.






Monday 19 June 2023

Malam Masih Muda…

Hari Jumaat lalu saya menemani encik suami buat urusan kerja beliau di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. Kami melewati Bandar Parklands di Klang, berbelas tahun lalu kami pernah menetap di sini sekitar satu tahun. Hari ini, suasana jauh berbeza. Jalanan bertambah sesak itu sudah pasti. Tambahan pula dengan kerja pembinaan stesen LRT berhadapan Bandar Parklands menjadikan laluan bertambah sempit.

Teringat masa dulu kami selalu makan Mi Jawa di sebuah kedai makan di simpang jalan. Saya cuba memerhati sepanjang jalan, mencari-cari kedai makan tersebut. Mana tau ada rezeki boleh singgah makan situ, mengimbau memori lalu. Tapi rupanya, struktur kedai tersebut sudah pun dirobohkan. Hanya tinggal tapak kedai dan sedikit tinggalan sisa bangunan. 

Lewat petang, urusan encik suami pun selesai. Kami menuju ke Tamu Hotel, Kg. Baru, Kuala Lumpur untuk menginap satu malam.

Kali ini dapat bilik bernombor 1914, terletak di aras 19. Dapat bilik dengan dua buah katil single yang dirapatkan dua. Pertama kali duduk hotel dapat susunan katil begini. Memang dah siap dirapatkan. Katil sebuah tu nampak lebar sebab ini foto zoom-out. Yang sebenarnya, sama je saiz dua buah katil tersebut. 

Berbanding sewaktu kali pertama menginap di Hotel Tamu, bilik kali ini kurang memuaskan tahap kebersihan dan kekemasannya. Masih ada helaian rambut di cadar katil, cadar tidak kemas dan mangkuk tandas dengan tompokan kuning. Bab sarapan pagi, Alhamdulillah masih sama - banyak pilihan dan sedap semuanya.

Selesai menunaikan solat jamak Maghrib Isyak, kami keluar cari makan malam di sekitar hotel. Dah beberapa kali ke sini asyik makan Nasi Lemak Wanjo di Jalan Raja Muda Musa, kali ini kami bercadang nak ke Jalan Raja Alang. Lebih dekat, cuma terletak di sebelah bangunan Hotel Tamu dan tak perlu melintas jalanan yang sibuk. InsyaAllah catatan berkenaan suasana malam dan makan-makan kami di Jalan Raja Alang pada entri lain.

Pukul 11.20 malam, saya rasa sangat mengantuk. Tapi sebelum tidur, saya jenguk ke luar tingkap bilik penginapan. Memerhati suasana malam kota Kuala Lumpur. Cantik bangunan Menara Kuala Lumpur disinari cahaya lampu warna-warni. Ada ketika, lampunya bertukar-tukar warna.

Kemudian saya memerhati ke bawah di sekitar Jalan Raja Muda Musa. Fuh, sesak dengan kenderaan! Malam masih muda bagi warga kota. Hampir tengah malam pun orang ramai masih memenuhi jalan yang terkenal sebagai syurga makanan ini. Entah pukul berapa agaknya jalan ini akan mulai sunyi.


*********************

Esok 20 Jun, masuk 1 Zulhijjah. Kita ulang kaji sedikit amalan sunat bulan Zulhijjah.

Sunat berpuasa mulai 1-9 Zulhijjah. Keutamaan berpuasa sunat pula adalah pada 8 & 9 Zulhijjah.

Bagi yang berniat melakukan ibadah korban pula, hari ini merupakan hari terakhir untuk memotong kuku dan bulu. Mulai esok sunat untuk tidak potong kuku dan bulu sehinggalah selesai sembelihan korban kita. Tidaklah jatuh hukum haram kalau kita tetap jua nak memotong kuku dan bulu dalam tempoh masa tersebut. Cuma makruh saja. 

Kita cuba buat yang terbaik untuk hidupkan amalan sunat bulan Zulhijjah. Tak dapat buat semua, kita jangan tinggalkan semua. Cuba buat semampunya.





Thursday 15 June 2023

Mudahnya Buat Label Dengan ‘Niimbot Label Printer D110’

Sebelum ini, saya buat label menggunakan printer biasa dan kertas A4. Lepas tu gunting dan tampal dengan menggunakan pita pelekat jernih. Kalau tak rajin, saya tulis je atas masking tape dengan menggunakan marker pen. Lebih mudah, cuma nampak kurang cantik.

Tapi sekarang kerja-kerja buat label lebih mudah dan kemas setelah saya memiliki ‘Niimbot Label Printer’. Macam banyak sungguh benda saya nak labelkan ya 😄. Tak banyak pun, tapi memang ada je benda-benda yang saya perlu labelkan. Kecuali urusan label makanan di dapur seperti menulis tarikh mula frozen daun herba, berapa bahagian ikan/ayam dan jenis pes dalam botol, yang itu saya masih gunakan cara biasa iaitu tulis atas masking tape sebab lebih praktikal begitu.

Niimbot Label Printer D110
Saya beli label printer jenama Niimbot model D110 di Shopee dengan harga RM50.99. Dapat kabel untuk mengecas printer dan beg kecil. Stiker thermal label (dalam kotak kecil) tu pula saya beli jenis transparent saiz 14x25 mm dengan harga RM21.99. Ada banyak pilihan jenis label dan saiz, boleh pilih ikut keperluan dan cita rasa kita.

Label printer ni tak menggunakan ink, tetapi guna thermal label. Jimat tak payah beli ink, tak ada masalah ink kering ke apa. Cuma kita kena bayar lebih untuk thermal label. Macam thermal label yang saya beli ni ada 240 pcs stiker dengan harga yang saya nyatakan di atas.

Cara nak gunakan label printer ini - cuma perlu muat turun aplikasi Niimbot di telefon bimbit kita dan aktifkan fungsi Bluetooth bagi menghubungkan dengan label printer. Ikut arahan selanjutnya pada aplikasi tersebut. Stiker thermal label tu kita masukkan pada label printer ikut panduan diberi.

Reka label kita di aplikasi Niimbot. Boleh tukar jenis font, saiz dan lain-lain. Nak letak ikon pun boleh, ada banyak pilihan ikon.


Saya nak buat label pada suis rumah. Jadinya saya pilih reka letak menegak supaya sesuai ditampal pada suis. Dah siap reka, kita print dan boleh save supaya senang nak guna lagi.

Niimbot Label Printer D110
Inilah hasilnya. Bahagian hujung printer tu ada tempat potong label. Lepas keluar gini, tarik ke atas untuk memotong. Kemudian bolehlah kita tanggalkan stiker daripada label untuk menampal.

Saya letak label pada botol-botol kecil peralatan mandian untuk travel. Saya puas hati dengan hasil cetakannya, jelas. Katanya stiker ni kalis air, kita tengoklah selama mana ia kalis air. Harap bertahan lama.

Setakat ni, satu je saya tak puas hati - thermal label tu ada yang tak ada stiker. Bila kita print tak keluar tulisan. Rupanya tak ada stiker pada bahagian tersebut. Dah rugi sekeping stiker. Harapnya tak jumpa lagi kes serupa.

Berminat? Boleh buat carian di Shopee - ‘Niimbot Label Printer D110’. Ada banyak pilihan model, terpulang kepada keperluan dan bajet masing-masing nak pilih model yang mana satu.






Wednesday 14 June 2023

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah

Balik Pulau, Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan buah durian. Hari Sabtu lalu, buat kali pertama (semenjak saya dan encik suami berhijrah ke PP pada tahun 2020) kami berkesempatan ke Balik Pulau bagi menikmati ‘raja buah’.

Kami ke Anjung Indah, sebuah kawasan dataran yang terletak di laluan P14 Jalan Tun Sardon. Saya pernah menulis berkenaan tempat ini sewaktu kunjungan kami pada musim pandemik tahun 2021, boleh baca di DI SINI

Kalau dulu kami datang tempat ini keadaannya sunyi, kali ini suasana meriah dengan aktiviti jual beli durian. Pesta durian! Di sekeliling dataran terdapat deretan gerai menjual durian. Penjual Melayu dan Cina menawarkan pelbagai varieti buah durian. Banyak juga varieti dengan nama yang asing dan susah saya nak ingat sebab bunyi sebutan seakan bahasa Cina.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Beginilah suasana di Anjung Indah. Masa ni cuaca sedikit mendung. Kami berjalan dari satu gerai ke satu gerai, melihat-lihat varieti buah durian dan harga yang ditawarkan. Setakat yang saya perasan, harga lebih kurang sama di setiap gerai. Contohnya, durian kampung RM10/kg. 

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Encik suami sibuk memilih durian untuk dibeli, saya pulak leka memerhati sekitar 😄. Saya nampak sebatang pokok durian dengan buah bergayutan di bahagian belakang deretan gerai. Seronok tengok.

Memang banyak pokok durian di sekitar sini, sebab itulah Balik Pulau terkenal dengan durian. Sepanjang perjalanan tadi pun, terdapat kebun-kebun durian di tepi jalan dan juga gerai jualan durian. Tapi kalau di Anjung Indah ni lebih mudah sebab ia tempat berkumpul para penjual durian. Nak parkir kenderaan pun lebih mudah, ada ruangan.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Masa untuk makan durian! Ada meja di sediakan di setiap gerai jualan, bolehlah kita makan terus di sini. Kalau dapat isi buah yang tak elok, boleh terus tukar lain. Kami turut diberi air minuman saiz kecil setiap seorang.

Buat pertama kali kami mencuba durian varieti Black Thorn. Harganya? Durian yang encik suami beli ni RM70/kg. Rata-rata gerai lain menjual dengan harga RM80/kg. Yang ni murah sikit mungkin sebab bukan buah baru, masa kami sampai buah dah tak banyak di gerai pilihan kami ni.

Harga sebiji durian ni lebih RM100! Encik suami teringin nak merasa durian varieti Black Thorn. Itu yang dia ‘pejam mata’ membayar. Gitulah peminat durian kan, mahal pun sanggup bayar.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Durian varieti Duri Hitam (D200) atau lebih terkenal dengan nama Black Thorn. Buahnya berbentuk bulat.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Isinya berwarna kuning keemasan dan sangat tebal. Saya tak boleh nak makan banyak. Yang ni kami tak habiskan makan, minta masuk bekas untuk bawa balik.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Selain Black Thorn, encik suami beli juga durian varieti lain. Tapi tak ingat namanya sebab nama yang asing didengar. Harganya RM25/kg. Isinya warna kuning dan tebal. Yang ni kami makan habis sebiji.

Uniknya buah durian, lain varieti lain rasanya.

Semasa kami sedang menikmati durian, langit jadi semakin gelap dan sesekali kilat memancar. Pokok-pokok di sekeliling kawasan meliuk ditiup angin. Tak lama kemudian, suasana sekitar mulai berkabus.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Pukul 12.40 tengah hari, suasana berkabus di Anjung Indah.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Kami makan durian di gerai ini - YB Durian Balik Pulau.

Anjung Indah Balik Pulau
Terasa nyaman suasana di sini.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Anjung Indah terletak di kedudukan tinggi. Dari sini kita boleh menyaksikan pemandangan lautan. Jadinya tak hairan jika tempat ini boleh dipenuhi kabus begini. Seronok dapat menyaksikan kabus bergerak perlahan di sekitar saya. Jarang dapat merasa suasana begini kalau tak ke Cameron Highlands. Rezeki hari ini, datang makan durian dan dapat pula menikmati suasana berkabus.

Alhamdulillah, tertunai sudah hasrat nak makan durian Balik Pulau. Bukanlah hasrat yang besar, tapi sementara menetap di PP ni, haruslah mencuba makan durian Balik Pulau. Nak ke sini juga? Boleh buat carian di Google Maps - Anjung Indah Balik Pulau. Tapi saya tak tahulah jualan durian ni bila akan berakhir.


Video berdurasi 15 saat, suasana berkabus di Anjung Indah.








Sunday 11 June 2023

Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan


Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan
Judul : HIKAYAT SATRIA-SATRIA SEJATI 4 - SAMUDERA PENGORBANAN
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Hilal Asyraf Resources
Tahun terbit : 2020 (Cetakan ke-4, 2021)
Jumlah halaman : 452


SIRI NOVEL HIKAYAT SATRIA-SATRIA SEJATI
Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan merupakan buku ke-4 dalam siri Hikayat Satria-Satria Sejati, sebuah novel genre epik fantasi. Watak utama dalam siri hikayat ini iaitu Ariki merupakan anak angkat Lutello, maharaja zalim yang memerintah 2/3 dunia.

Hikayat ini mengisahkan perjuangan Ariki dan rakan-rakannya bagi menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran. Sebuah kisah bersiri yang penuh dengan semangat juang, penuh aksi fantasi dan terselit banyak pengajaran.


SINOPSIS
Dalam buku ke-4 ini menyaksikan dua pertempuran besar - pertempuran di Mastazadi dan pertempuran di Madinah. Pertempuran yang menyaksikan beberapa watak penting terkorban. Mungkin sebab itu judul bagi buku ke-4 ini ‘Samudera Pengorbanan’.

Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan
Isi buku Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan

Selesai membaca novel ini, perasaan saya bercampur baur. Ada sedih, gembira, geram dan juga terkejut.

Sedih kerana tamatnya riwayat dua watak penting. Saya tak bolehlah sebutkan nama wataknya di sini, biar jadi kejutan bagi sesiapa yang belum membaca siri kali ini. Gembira kerana adanya kemenangan di pihak yang benar dalam satu pertempuran besar. Juga tak dapat saya nyatakan pertempuran yang mana satu. Saya juga rasa geram dengan watak Ariki kali ini, kerana terlihat agak lemah daripada aspek kepimpinan dan semangat. Kebenaran berkaitan kisah silam Ariki, itu juga merupakan salah satu elemen kejutan dalam siri kali ini. Sukar untuk saya terima dan percaya kenyataan tersebut. Saya perlu segera meneruskan pembacaan buku siri ke-5, iaitu penamat hikayat ini bagi mendapatkan kepastian.

Yang pasti, siri kali ini sarat dengan debaran!


NOVEL ‘ISLAMI’
Biar pun novel bersiri ini bergenre epik fantasi, ia sebenarnya mengangkat nilai-nilai Islam. Ia sebuah novel ‘islami’ yang di luar kebiasaan. Gaya penceritaan dan bahasa yang digunakan juga sesuai untuk semua peringkat usia. Sebab itu saya yang berusia 40-an pun selesa menikmati pembacaan novel ini.

Siri Hikayat Satria-Satria Sejati sesungguhnya bacaan yang tak membosankan. Di dalamnya ada kisah cinta (jangan bimbang, ia bukan kisah cinta yang keterlaluan untuk dibaca anak-anak), nilai persahabatan, pengorbanan, perjuangan, kasih sayang dan penuh aksi yang mendebarkan!

Saya sarankan ia sebagai bahan bacaan santai buat anak remaja dan juga seisi keluarga. Di mana nak beli? Boleh dapatkan terus dari penulis buku ini di Shopee : hilalasyrafresources dan laman web : www.hilalasyraf.com. Nak mudah beli dan lebih jimat boleh dapatkan satu set (5 buah buku) DI SINI.


“Dunia ini tidak lain adalah kesenangan yang menipu daya, Lutello. Aku bersyukur bertemu dengan Ariki, dan Satria-Satria Sejati, yang memperkenalkan aku dengan Islam. Hatiku lapang dan sejahtera. Dunia ini sementara. Kalah sementara, menangnya pun sementara.” - Maharaja Arata, Hikayat Satria-Satria Sejati 4 - Samudera Pengorbanan.





Saturday 10 June 2023

Catatan Hujung Minggu | Sabtu 10 Jun 2023

Setelah 10 hari tak keluar rumah sejak mula kuarantin dek jangkitan COVID-19, pagi tadi saya ke bahagian pulau Pulau Pinang. Destinasi saya dan encik suami kali ini - Bayan Lepas dan Balik Pulau

9.50 pagi - Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Kami pergi melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang. Tak banyak kenderaan, lebih tenang. Cuaca pagi ini sedikit mendung.

Tempat pertama dituju - kedai gunting rambut untuk muslimah yang beroperasi di sebuah rumah kediaman di Bayan Lepas. Ini merupakan kali kedua saya gunting rambut di sini. Kali pertama mencuba pada tahun lepas, saya rasa selesa dan puas hati dengan servis mereka. Jadinya tahun ni saya mengulang datang ke sini lagi walaupun jaraknya jauh dari rumah. Tak susah pun sebab setahun cuma sekali je saya perlukan servis gunting rambut. Caj dikenakan sebanyak RM16.

30 minit siaplah urusan gunting rambut. Kejap je siap sebab tak perlu menunggu, saya pelanggan pertama. Lepas tu saya ke sebuah klinik yang terletak di bangunan hadapan kawasan kediaman tadi. Klinik yang biasa saya kunjungi bagi masalah ekzema. Alhamdulillah dah lama tak diserang ekzema, tapi saya datang untuk mengambil krim pelembab khas dan pil antihistamine (ni makan bila perlu je).

Laksa Thai.
Dari klinik, kami menuju ke kedai makan Pondok Style. Saya pernah tulis entri berkenaan tempat makan ini DI SINI. Kami pesan Laksa Thai dan Nasi Kerabu Daging Danok. Semuanya masih sedap sama seperti sebelum ini.

12 tengah hari - melalui laluan berliku dan berbukit ke Balik Pulau.
Destinasi seterusnya, kami menuju ke Balik Pulau untuk makan durian. Dah tiga tahun sejak berpindah ke PP, kami belum berkesempatan mencuba makan durian Balik Pulau yang cukup terkenal. Alhamdulillah kali ni dapat juga merasa durian Balik Pulau. InsyaAllah catatannya pada entri lain.

1.20 petang - Jambatan Pulau Pinang.
Semua urusan dah selesai, kami kembali ke tanah besar melalui Jambatan Pulau Pinang. Jalanan di sini lebih sesak dan sempit berbanding Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Alhamdulillah semua urusan berjalan lancar hari ini. Tak perlu berlama di setiap tempat, bolehlah balik rumah awal.





Wednesday 7 June 2023

Jamu Selera, Kuala Juru

Catatan kisah bulan Mei lalu…

Selepas mendaki Bukit Juru, kami menuju ke sebuah kedai makan yang terletak tak jauh dari trailhead ‘1800 Steps Bukit Juru’. Kedai ni kami perasan semasa kali pertama kami pergi mendaki Bukit Juru beberapa bulan lepas, tetapi masa tu belum mula operasi sebab masih waktu pagi.

Rezeki kali ni kami mula mendaki lewat, jadinya bila turun dah hampir waktu tengah hari dan kedai ni baru memulakan perniagaan. Bolehlah kami cuba makan di sini. Walaupun pada awalnya saya ragu-ragu nak makan di kedai dalam keadaan pakaian basah dengan peluh. Bimbang bau masam mengganggu pelanggan lain pulak. Tapi perut memang kelaparan, jadinya makan sajalah di sini sambil berdoa kami tak berbau masam 😄

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Ruang makan yang sederhana luas. Cukup kemas dan bersih. Juga segar mata dengan deretan tanaman di sekitar kedai. Terasa macam makan di nurseri pokok pulak.

Macam mana nak perhati lokasi kedai ni? Kalau dari jalan raya, kita akan nampak papan tanda biru (lihat foto)  tertera ‘Jamu Selera’. Jalan di sini agak sempit ya, jadinya kena parkir di ruangan terhad yang ada di tepi kedai. Kiranya, depan kedai adalah Bukit Juru dan belakangnya aliran Sungai Juru.

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Sana sini ada pasu tanaman. Sedap mata memandang. Bagusnya kedai makan ni, sinkinya bersih dan setiap meja ada disediakan tisu. Lengkap semuanya.

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Jomlah kita pilih apa nak dimakan.

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Tak lama menunggu, hidangan tengah hari kami pun tiba 😋

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Bihun udang biasa / RM9. Ni untuk encik suami. Saya kurang gemar makan udang, jadinya cuma merasa beberapa sudu kuah. Memang sedap!

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Bihun goreng biasa / RM4 untuk saya. Dihidang bersama semangkuk kecil kuah udang/ketam. Saya pun tak pasti nak panggil kuah apa. Tapi ia kuah yang sama seperti kuah bihun udang encik suami. Rasanya hampir sama dengan kuah mi bandung yang kami biasa makan di Batu Pahat, Johor. Memang sangat menepati selera kami. 

Jamu Selera Jalan Kuala Juru
Sepiring sotong goreng tepung / RM8 (tertakluk kepada harga pasaran semasa). Saya suka makan sotong dimasak begini, kurang gemar sotong dalam masakan. Puas hati makan sotong goreng tepung di sini - banyak, saiz sotong memuaskan, isi sotong lembut dikunyah dan rangup salutan tepungnya. Cuma agak terlebih rasa kunyit.

Alhamdulillah…dapat makan sedap selepas penat mendaki. Siap minum air tiga gelas, kongsi berdua. Macam dapat ganjaran pulak. Gitulah kan…baru bakar ~1,000 kcal, ni dah menambah entah berapa kalori 😆

Nampaknya kena datang lagi, sebab kami suka dengan rasa kuah mi udang/ketam di sini. Dan teringin nak mencuba pilihan menu yang lain juga. InsyaAllah ada rezeki boleh mengulang datang. Lokasinya pun tak jauh sangat dari rumah.

Bagi yang nak cuba makan di sini, boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Mee Ketam Terbaik Kuala Juru Murah

————————————————————————

JAMU SELERA
Jalan Kuala Juru,
Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Waktu operasi :
12 tengah hari - 10 malam
Tutup | Rabu