[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Kedua | Khamis, 29 Jun 2023]
Waktu solat Subuh di Bangkok seawal pukul 4.34 pagi. Pukul 4 pagi saya dah kejutkan Encik Suami supaya bersiap untuk berjemaah Subuh di Masjid Darul Aman. Masjidnya dekat sangat dan berada di lorong yang sama dengan hotel (tak payah lintas jalan besar pun), memang mudah nak pergi. Sambil tu bolehlah tanya orang, masjid di sini mula solat sunat hari raya pukul berapa. Dah tau masa yang tepat kan lebih mudah.
Balik dari masjid, Encik Suami menyampaikan info - masjid di sini mula solat pada pukul 9 pagi. Info diperolehi daripada imam masjid yang boleh berbahasa Melayu (berbunyi loghat Kelantan).
TAKBIR RAYA
Kira-kira pukul 6.40 pagi, pihak masjid membuat satu pengumuman melalui pembesar suara. Pengumuman dibuat tentulah dalam bahasa Thai, tapi saya fahamlah ‘Assalamualaikum…Sawadikap…Aidiladha…Kap kun kap’. Pihak masjid beritahu pasal waktu solat sunat Aidiladha la tu kan 😁
Sebenarnya, itulah kali pertama saya mendengar bunyi dari corong pembesar suara di sini. Tiada alunan azan menerusi pembesar suara bagi solat fardhu (berdasarkan pengalaman saya selama beberapa hari di sini). Tapi nampaknya, ada kelonggaran bagi solat sunat hari raya dan solat Jumaat (azan, khutbah & bacaan solat kedengaran menerusi pembesar suara). Alhamdulillah.
Seperkara lagi, sistem pembesar suaranya bagus kerana diletak pada tempat tertentu (antaranya - ada sebuah pembesar suara berhampiran bangunan hotel kami menginap). Biasanya kalau di tempat kita, pembesar suara hanya dipasang di luar masjid/surau. Jadinya mereka yang tinggal berhampiran akan dengar lebih kuat dan mungkin rasa terganggu, manakala yang tinggal sedikit jauh cuma boleh dengar sayup-sayup je alunan azan.
Berbalik cerita pagi hari raya Aidiladha - sejurus selepas pengumuman, kedengaran alunan takbir raya menerusi corong pembesar suara. Saya buka sliding door bilik untuk lebih menghayati suasana pagi hari raya di sini.
Video berdurasi 22 saat. Gema takbir raya berlatarkan pemandangan bangunan di sekitar hotel penginapan kami. Tenang rasanya bila mendengar suara takbir. Alunan takbir berterusan sehinggalah tepat pukul 9 pagi, iaitu waktu bermulanya solat sunat hari raya.
MASJID DARUL AMAN
Kami bersarapan ringkas di pantri hotel sebelum bergerak ke masjid. Minuman kopi dan roti bakar disapu jem & mentega cukup mengalas perut bagi memulakan hari.
Pukul 8.30 pagi kami berjalan menuju ke masjid. Sambil berjalan, saya perhatikan orang-orang membawa bungkusan makanan atau dulang makanan menuju ke masjid. Makanan itu kemudian diserahkan kepada orang masjid yang sedia menunggu di suatu sudut hadapan masjid. Saya fikir, mungkin makanan sedekah untuk jamuan selepas solat sunat hari raya.
Selain itu, kehidupan harian penduduk di sini berjalan seperti biasa. Ramai yang sedang berjalan kaki atau bermotosikal keluar dari lorong, mungkin pergi kerja. Komuniti Muslim hanyalah minoriti di sini. Tiada cuti umum bagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Suasana agak meriah di hadapan masjid. Ramai juga yang tak melepaskan peluang berfoto di depan masjid. Saya pula hanya memotret dari seberang jalan. Susah nak dapatkan foto dengan sudut yang diingini sebab lorong ni kecil dan motosikal dah memenuhi bahu jalan. Sekadarnya sajalah, asalkan ada foto sebagai kenangan.
Laluan masuk ke bahagian dalam masjid. Mulanya saya hairan juga kenapa ada orang duduk berderet di kanan dan kiri laluan masuk. Rupanya mereka meminta sedekah daripada para jemaah sewaktu lepas solat.
Dalam masjid.
Mimbar masjid. Foto oleh Encik Suami, dirakam sewaktu nak menunaikan solat Subuh. Itu yang lapang tak ada orang 😀
Sekitar pukul 9.50 pagi, jemaah bersalaman selepas solat.
Selesai solat raya, seterusnya kami nak cari makanan berat sebelum meneruskan aktiviti jalan-jalan. Ada kisah lucu, segan tetapi penuh rasa syukur berkaitan hidangan pagi raya kami di Bangkok. Sampai sekarang bila terkenang kisah tersebut, saya masih rasa segan sangat 😅. InsyaAllah saya catatkan dalam entri seterusnya.
.
mimbar masjid dihias cantik..tak sabar nak tunggu kisah seterusnya tu kak...
ReplyDeleteSiap ada jambangan bunga dan langsir cantik.
Deletetak sabar nak baca sambungannya 😍
ReplyDeletehehe
DeleteTak sabar nak tahu kisah rasa segan sangat tu.
ReplyDeletePeminta sedekah tu elok-elok jew duduknya.
Itulah…duduk berbaris.
DeleteCantik masjid, ehh tak sabar tunggu sambungan cerita hehe.
ReplyDeleteHehe..
DeleteSolat sunat Aidil Adha di sana pasti suasana berbeza.
ReplyDeleteAda perbezaan suasana, terutamanya bahasa. Khutbah raya disampaikan dalam bahasa Thai.
DeleteRasa syukur dan insaf bila tengok betapa kita di Malaysia bebas mengamalkan ajaran Islam.
ReplyDeleteSuasana berbeza tapi dapat pengalaman baru kan puan...
Iya, pengalaman raya di negara penduduk Muslim minoriti.
DeleteGema takbir dari masjid itulah yg di tunggu "ya .kalau tak ada sepi rasanya hehhee
ReplyDeleteHaa..betul sangat. Ada gema takbir, baru hidup suasana raya.
DeleteI assume kat sana tak ada korban lembu kan. Seronok juga dapat info mcm mana negara lain meraikan AidilAdha . Thank you for sharing. Looking forward for the next story. Jaga diri ya . xo
ReplyDeletePasal korban lembu tu, akak tak ada info. Kalau kat masjid memang nampaknya tak ada program korban.
DeleteSyahdu dan sebak dengar takbir raya berkumandang di bandar yang majoritinya bukan muslim. Tu sy dgr dr speaker hp jer, apalagi Ujie yg berada di sana.
ReplyDeleteIya SK, kalau difikir memang rasa sebak dan syukur pasal tu bukan tempat majoriti Muslim.
DeleteBetul2 raya diperantauan ni..
ReplyDeleteDi sana ramai je org Islam kalau kena kawasan nya & ada juga buat ibadah korban... and kalau yg susah betul2 susah.. memang rasa kesian sgt
Kena pergi tempat ada masjid, insyaAllah boleh jumpa ramai Thai Muslim.
Deletesama takbir raya mereka dgn kita di sini...Alhamdulillah, syiar Islam di bumi Bangkok..
ReplyDeleteRasa syukur saudara seagama kita boleh meraikan perayaan tanpa halangan.
DeleteMungkin sama tradisi dgn di kampung suami saya. Sebelum solat raya, setiap rumah akan hantar hidangan ke masjid sebab lepas solat ada jamuan di masjid untuk orang kampung dan jemaah masjid.
ReplyDeleteSyahdu pulak dengar takbir raya...
ReplyDeleteRamainua berkumpul di situ mintak sedekah ek...
ReplyDeletePsst: Seronok ye beraya kat sana..hehe.. Dapat pengalaman baru..
Terima kasih, share, Ujie, alunan takbir raya di sana. Sayu pula dengar.
ReplyDeleteBaru tahu, tak ada laungan azan untuk solat fardu di sana.
Jauh perjalanan, luas pengalaman, orang kata. :)
Syahdu dengan takbir raya di pagi raya. Kalau saya dah bercucuran air mata kalau tak beraya di kampung. Meriah sambutan raya Aidiladha disana.
ReplyDeleteRamai juga ye peminta sedekah di pintu masuk masjid. Nampak masing-masing sihat semuanya.