Wednesday 27 March 2024

Nikmat Yang Dikembalikan…

Petang semalam (hari Selasa, 26 Mac 2024) menyaksikan curahan hujan membasahi bumi di kawasan tempat tinggal saya, iaitu setelah kira-kira dua bulan tanpa hujan lebat. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas nikmat yang dikembalikan ini ❤️

Bermula dengan gerimis kira-kira pukul 4.15 petang seterusnya hujan bertambah lebat dan disertai dengan bunyi guruh serta tiupan angin. Sehingga ke lewat petang hujan masih mencurah ke bumi. Entah berapa kali saya keluar di halaman rumah semata-mata nak menikmati suasana hujan di luar. Perasaan yang tak pernah saya rasa sebelum ini - terlalu gembira, rasa sangat lega dan sangat bersyukur melihat curahan hujan 😁

Terserlah kegembiraan penduduk Perlis, ratusan komen muncul hanya dalam masa kira-kira  1 jam posting oleh admin Facebook - PerlisAktif. Pun begitu, ada beberapa tempat tidak merasa curahan hujan iaitu bermula di Kuala Perlis sehingga ke Sanglang. InsyaAllah masanya akan tiba.


********************


Pagi tadi (hari Rabu, 27 Mac 2024), sebaik kenderaan Encik Suami hilang dari pandangan (menuju ke tempat kerja) saya terus memulakan aktiviti morning walk. Saya nak menikmati suasana pagi selepas hujan mencurah semalam. Mungkin malam atau awal pagi tadi pun hujan juga, jalan tar dan pokok nampak basah.

Suasana pagi terasa lebih segar dan indah!

Abadikan memori rumput mati kekeringan dek kemarau panjang. InsyaAllah tiba masa semuanya akan bertukar menghijau atau memutih (naik pokok lalang 😅).

Curahan hujan lebat ini menandakan permulaan fasa perubahan monsun. Menurut MET Malaysia, fasa peralihan monsun dijangka bermula sepenuhnya pada 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024. Semasa fasa ini, kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan beserta angin kencang dalam tempoh singkat. Dijangkakan cuaca panas dan kering akan beransur reda menjelang pertengahan April 2024.

Merujuk ramalan cuaca, setiap hari mulai esok dan seterusnya tempat saya akan menerima curahan hujan. Bersedia untuk ke musim seterusnya…






.

Tuesday 26 March 2024

Juadah Berbuka dan Purnama 15 Ramadan

JUADAH BERBUKA | ROTI CANAI TELUR DAN WAGYU SKEWER
Saya jarang kongsikan juadah berbuka dan sahur kerana hidangan kami biasanya sangat ringkas serta yang sangat mudah disediakan. Kadang-kadang cukup sekadar bubur kacang atau bihun goreng. Tapi sesekali kena letak juga di blog sebagai kenangan masa akan datang.

Juadah berbuka semalam 14 Ramadan - roti canai telur dan wagyu skewer. Ada juga sepiring buah dan bercawan-cawan minuman 😄. Cuaca panas terik, makan tak berapa nak sangat tapi minuman dah terbayang awal nak minum air apa dicampur apa. Minuman biasanya disediakan oleh Encik Suami.

Saya gunakan roti canai frozen jenama Kawan (ejaan pada pek pembungkusan ‘roti chanai’). Masak seketika kedua-dua belah roti canai, kemudian saya letak sebiji telur ayam di atasnya. Terbalikkan sekali lagi bagi garing sikit bahagian yang ada telur. Jadilah roti canai telur atau kita biasa panggil roti telur. Sedap, lembut dan garing roti canai ni. Makan pulak dengan kuah dhal, memang bertambah sedap! Kuah dhal tu pun jenis frozen tau, tak payah susah memasak cuma kena keluar duit lebihlah bila beli makanan frozen ni kan. Kuah dhal pun saya beli jenama Kawan. Saya keluarkan seketika dari peti sejuk beku sebelum masuk microwave selama beberapa minit.

Wagyu skewer tu pulak, pertama kali saya nampak di gerai jualan Aeon Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tapi tak membeli walaupun tertanya-tanya macam mana rasanya. Selepas tu jumpa pulak wagyu skewer frozen di Meat Shop, Kangar yang ditawarkan pada harga promosi RM110 untuk 2 pek. Ada 5 cucuk dalam satu pek. Tu diaaa…yelah kan dah namanya wagyu, haruslah mahal. Encik Suami beli jugaklah, nak mencuba katanya.

Cara masaknya mudah - defrost awal pastikan daging tak beku, kemudian masak atas kuali leper dengan cara pusingkan di setiap bahagian sampai masak. Tak ambil masa lama sebab dagingnya macam susunan daging nipis. Kalau nak ada perasa, bolehlah letak perasa ikut suka. Saya cuma letak sikit serbuk lada hitam. Rasanya? Memang sedap dan sangat lembut. Entah macam mana rasanya kalau dapat makan daging wagyu di Jepun, tentu sangat sedap.


PURNAMA 15 RAMADAN
Waktu malamnya saya keluar ke halaman rumah sendirian demi nak menikmati keindahan bulan purnama dan taburan bintang. Saya suka langit malam di sini, suasana gelap kurang pencemaran cahaya memudahkan saya menikmati apa yang ada di langit.

Foto kiri - Bulan penuh malam 15 Ramadan bersinar indah di balik rimbunan dedaun pokok limau bali sunkist. Foto kanan - Rupa bulan hasil zoom-in ~30x. Saya cuba juga memotret foto taburan bintang, tapi nampaknya lebih indah dilihat dengan mata berbanding dengan lensa kamera telefon.

Masya Allah indah ciptaan-Nya. Juga terasa pantas masa berlau, kita dah pun berada di pertengahan bulan Ramadan yang mulia.









Sunday 24 March 2024

Catatan Hujung Minggu

Semalam (hari Sabtu 23 Mac 2024) seawal pukul 8.30 pagi saya dan Encik Suami keluar menuju ke bandar Kangar yang terletak kira-kira 25 km dari rumah. Ada beberapa tempat menjadi tujuan kami termasuklah membeli keperluan rumah.

Suasana aliran trafik di suatu tempat di bandar Kangar, tenang tanpa kesibukan kenderaan. Seronok jugak dapat menetap di negeri kecil kurang penduduk ni, aman damai. Kadang-kala rasa seperti hidup di zaman berbeza, maklumlah sebelum ni kami menetap di tempat-tempat yang sibuk dan sesak.

Balik rumah, waktu petangnya saya masuk ke dapur. Kemas barangan yang dibeli dan bersihkan ayam yang dibeli dari pasaraya Jmart. Encik Suami beli dua ekor ayam dan minta potong kecil untuk masak sup. Bagusnya tukang potong ayam tadi, bukan saja ayam dipotong kecil malah siap potong hujung kaki ayam 😃. Kerja bersihkan ayam kali ni terasa lebih mudah!

Sebahagian daripada ayam ini saya buat masak sup untuk waktu sahur. Saya masak banyak sekaligus sesuai untuk empat kali makan. Lauk siap masak ni saya simpan dalam chest freezer yang baru dibeli menjelang Ramadan lalu. Saya ni tak rajin nak masak selalu, pulak tu yang makan cuma dua orang. Senang sekali masak terus buat stok ‘ready to eat’ 🤭

Ikut plan, saya nak masak mi goreng buat berbuka. Tapi rasa malas pulak, agaknya tadi dah kepenatan masak sup ayam 😅. Encik Suami ajak ke Padang Besar untuk mengisi minyak kenderaan kerja dan sambil tu bolehlah kami ke bazar Ramadan buat kali pertama. Jarak dari rumah ke Padang Besar kira-kira 20 km. Perjalanan ke Padang Besar lebih mudah dan lancar sebab jalannya lurus je.

Dari dalam kenderaan, sempat saya merakam foto pemandangan indah hamparan pokok lalang memutih berlatarkan perbukitan batu kapur di Jalan Chuping-Padang Besar. Kebanyakkan kawasan yang terbakar tempohari dah berganti dengan pokok lalang. Warna hitam bertukar menjadi warna putih.

Tiba di pos kawalan sempadan. Padang Besar terletak di sempadan Siam (Thailand), pergerakan keluar/masuk Padang Besar perlu melalui pos kawalan ini. Biasanya kalau kami lalu sini pada hujung minggu, akan berderet kenderaan dari kedua-dua hala. Tapi kali ini lengang, mungkin sebab bulan puasa orang tak berjalan.

Kami ke bazar Ramadan di Jalan Kok Mak, Padang Besar. Lokasinya bersebelahan Masjid Usmaniah. Ada ruangan parkir yang luas di hadapan masjid dan kawasan bersebelahan. Bazar Ramadan yang indah di mata saya sebab berlatarkan pemandangan pokok-pokok kelapa dan bukit batu kapur. Kelihatan juga sekumpulan kambing sibuk mencari makan di belakang gerai jualan. Orang tengok makanan, saya tengok pemandangan 😄

Berbeza dengan bazar Ramadan di bandar yang sesak dengan manusia, suasana di sini tenang je. Berderet panjang gerai jualan di sini, tetapi menurut saya tak begitu banyak pilihan makanan. Saya jadi kurang teruja nak membeli, tapi baguslah begitu kan.

Saya beli kuih tako RM2/pek. Biasanya saya makan kuih tako ada hirisan sengkuang cina, tapi yang ni ada ketulan jagung di bawahnya. Kuih tako ni masih mengekalkan ciri tradisional, iaitu menggunakan bekas daun pandan. Bahagian sambungan daun pandan dilekatkan dengan pita pelekat jernih.

Makanan lain kami beli - bihun sup utara RM7, ayam percik RM6, kuih karipap putar 4 biji RM3 dan air teh ais cincau saiz besar RM6.

Pagi tadi (hari Ahad 24 Mac 2024), morning walk bersama Encik Suami. Tengah berpuasa ni kita jalan sikit-sikit jelah. Sempatlah saya memotret di kawasan tanaman pokok jati yang meninggi. Dedaunnya kekeringan dek musim kemarau berpanjangan.

Suhu pukul 3.10 petang tadi. Lokasi semasa menunjukkan ‘Kangar’ walaupun kedudukan rumah saya ni sebenarnya jauh dari bandar Kangar dan kalau buat carian Kangar, lain pula bacaannya. Maksudnya, nama tempat je sama tapi berbeza bacaan.

Beginilah bacaan suhu di sini sepanjang minggu, suhu maksima berlegar sekitar 37℃ - 39 ℃ menjadikan negeri ini menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berada pada status cuaca panas Tahap 2 Gelombang Haba (suhu maksimum harian melebihi 37 ℃ hingga 40 ℃ sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut).

Semalam khabarnya di bandar Kangar dan beberapa tempat lain di Perlis menerima hujan, tetapi nampaknya hujan masih belum mahu turun di tempat saya. Insya Allah tunggu sajalah masanya pasti tiba.






.

Thursday 21 March 2024

Mencari Unta Merah Jepun

 
MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Judul : MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Penulis : Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan Pertama 2020
Jumlah halaman : 375


Mencari Unta Merah Jepun merupakan sebuah naskhah kembara dakwah di bumi Jepun oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz. Bermula dengan ziarah kali pertama penulis ke Jepun pada November 2017, ia telah menjadi perintis jalan dakwah yang lebih luas di negara matahari terbit ini sehingga mampu membeli dan mengubah suai bangunan Japan Dakwah Centre bernilai RM3 juta di Osaka.


UNTA MERAH

Jepun bukanlah negara yang sinonim dengan unta. Jadi mengapa penulis memberi judul ‘mencari unta merah’? Apa maksud ‘unta merah’?

Pada zaman Rasulullah SAW, kenderaan paling hebat ialah unta. Unta merah merupakan unta paling mahal, harta paling berharga dan menjadi kebanggaan ketika itu. Maka Rasulullah SAW menjadikan unta merah sebagai satu perbandingan atau misalan betapa mulianya suatu perbuatan. Tujuan perbandingan perkara akhirat dengan keuntungan dunia begini sekadar bertujuan bagi memudahkan pemahaman. Sudah tentu ganjaran di akhirat lebih hebat berbanding dengan keuntungan dunia.

Antara hadis Rasullullah SAW yang menyebut nilai suatu amalan itu lebih baik berbanding unta merah :
Maksud petikan hadis Rasullullah SAW :
“Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga kepada orang Arab).”
Berdasarkan hadis di atas, penulis melakukan usaha dakwah bagi menarik lebih ramai warga Jepun dengan Islam. Gerak kerja dakwah secara efektif pula dilakukan oleh Zulkarnain Hasan Basri, warga Malaysia yang menetap di Jepun.


MENCARI UNTA MERAH JEPUN
Antara isi buku Mencari Unta Merah Jepun.

JURUTERA YANG BERDAKWAH

Buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian dengan 31 bab. Bab ke-30 menampilkan penulisan oleh Zulkarnain Hasan Basri, seorang bekas jurutera di Jepun yang berkahwin dengan warga Jepun dan giat berdakwah kepada warga Jepun.

Kagum saya membaca kisah beliau yang memulakan kerja dakwah secara bersendirian semasa masih bekerja sebagai jurutera. Beliau juga sanggup menggunakan wang sendiri bagi menampung kos kerja dakwah (pengangkutan dan pembelian naskhah al-Quran terjemahan bahasa Jepun). Semuanya bermula atas kesedaran memikirkan nasib keturunan beliau sekiranya Islam tidak berkembang baik di Jepun. Sebuah kisah yang sangat menginspirasikan!


ISI PENTING BUKU

Mencari Unta Merah Jepun bukan sekadar sebuah naskhah kembara penulis ke Jepun, tetapi ia sarat dengan perkongsian ilmu dan nasihat. Saya kongsikan beberapa isi penting dan juga petikan buku ini, semoga saya dan kalian yang membacanya mendapat manfaat.

1. Dakwah kepada golongan yang belum mengenal Islam adalah sunah Rasullullah SAW yang paling awal dan utama.
  • Paling awal dan utama? Ya! Sejurus Baginda SAW dilantik sebagai Rasullullah, Baginda membawa risalah Islam kepada Khadijah, Abu Bakar, Ali dan semua sahabat di Mekah. Bukankah pada waktu itu mereka belum lagi bergelar Muslim? Mereka menerima Islam dan menjadi batu-bata awal yang mengukuhkan binaan Islam setelah diajak oleh Baginda SAW. - petikan halaman 372

2. Dakwah merupakan tuntutan bagi umat Islam sama ada melalui ilmu dan akhlak.
  • Sekiranya tidak mampu mengatur bicara mengajak kepada Islam, jagalah akhlak kita sebaik mungkin kerana ia cerminan peribadi dan agama kita. - petikan halaman 370

3. Tiga pendekatan dakwah berteraskan al-Quran yang disampaikan Zulkarnain kepada warga Jepun :
  • Allah adalah satu-satunya Tuhan yang memperkenalkan diri-Nya sebagai tuhan kepada manusia. Mesej mengenai Ketuhanan-Nya disampaikan Allah melalui al-Quran. Semua tuhan selain Allah tidak layak digelar tuhan kerana mereka “dinobatkan sebagai Tuhan oleh manusia yang jahil”. Tidak ada rekod yang sah daripada tuhan lantikan manusia itu mengaku dirinya sebagai Tuhan. Maka jadilah mereka Tuhan kaku tidak berkuasa tapi disembah puja oleh manusia yang diperbodoh syaitan. - petikan halaman 94 & 95
  • Al-Quran tiada penulis kerana penulisnya ialah Allah sendiri. Mana mungkin Nabi Muhammad SAW mengarang al-Quran kerana fakta dan dalil menyatakan dengan jelas Baginda tidak membaca dan tidak menulis. - petikan halaman 98 & 99
  • Al-Quran tetap sama teksnya tanpa perubahan walaupun sudah berusia ribuan tahun. Bagi membuktikan dakwaan ini, Zulkarnain meminta warga Jepun yang didekatinya supaya memuat turun aplikasi al-Quran dalam telefon pintar daripada pelbagai penyedia aplikasi. Selepas itu, beliau akan membuat perbandingan surah dan ayat al-Quran dalam semua aplikasi itu.

4. Fitrah manusia akan mencari Tuhan ketika dalam kesusahan dan penderitaan.
  • Mengapa agaknya fitrah bertuhan muncul tanpa dipaksa ketika karam di lautan? Hal ini tidak lain tidak bukan kerana situasi susah di lautan yang mencabar. Pada saat sukar ini, manusia akan mencari bantuan Tuhan walaupun mereka tidak pernah melihat Tuhannya. - petikan halaman 69

5. Hukum asal masuk ke rumah ibadat agama lain adalah harus, tetapi…
  • Para ulama berselisih pandangan mengenai keharusan masuk ke rumah ibadat agama lain, namun mengelakkannya lebih baik dan warak, melainkan ada keperluan seperti menghadiri majlis kahwin atau pengebumian. Namun begitu, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang ritual keagamaan dalam majlis tersebut. - petikan halaman 117


Mencari Unta Merah Jepun - sebuah naskhah yang membuka fikiran saya menerusi kisah-kisah disampaikan dan menyedarkan saya berkenaan sunah Rasullullah yang paling awal dan utama. Sebuah naskhah santai namun penuh isi.

Menerusi pembacaan buku ini juga menemukan saya dengan Facebook : Japan Da’wah Centre. Selain dapat mengetahui perkembangan dakwah di Jepun, kita boleh memberi sumbangan bagi membantu usaha dakwah mereka di sana. Memetik kata-kata penulis di penghujung naskhah ini :

“…jika tak mampu menarik si unta merah, sekurang-kurangnya biarlah kita yang menyediakan tali dan kekangnya. Saham tali dan kekang itu pasti dikira Allah sebagai sumbangan bersama menarik unta merah.” - Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz





.

Friday 15 March 2024

Pokok Mangga Harumanis di Belakang Rumah

Kediaman saya di sini dikelilingi dengan pokok buah-buahan hasil tanaman penghuni terdahulu. Antaranya, pokok buah mangga Harumanis. Buah yang sinonim dengan negeri Perlis.

Jika selama ini kami cuma membeli Harumanis bila tiba musimnya (sekitar April - Mei), atau petik hasil di rumah adik ipar. InsyaAllah musim kali ini, kami berpeluang memetik hasil dari belakang rumah. Sesuatu yang tak pernah saya terfikir 😀

Jujurnya, saya kurang atau hampir tiada pengetahuan menjaga pokok buah-buahan. Maklumlah selama ini kami hanya berpengalaman menetap di rumah dengan tanah sekangkang kera dan rumah tanpa tanah. Kali ini, banyak yang saya perlu belajar kalau nak menikmati hasil pokok di keliling rumah. Lebih lagi pokok mangga Harumanis yang penjagaannya tidak begitu mudah.

Tak banyak info dapat saya sertakan kerana setakat ini ada yang membantu kami menjaga pokok ini - memangkas dahan yang terkena serangan kulat, membuat semburan racun kulat dan membalut buah.

Foto-foto pokok mangga Harumanis berikut mengikut susunan tarikh :

Tunas atau pucuk baru yang muncul pada bulan Februari. Seterusnya, tunas atau pucuk baru ini akan membentuk ranting-ranting yang menghasilkan bunga dan seterusnya buah. Sebelum itu pada bulan Januari, dahan yang terkena serangan kulat sudah dipangkas dan semburan racun kulat sudah dilakukan.

Lucunya, saya dan Encik Suami langsung tak perasan bila pokok ini menghasilkan buah pertama. Tahu-tahu saja dah ada beberapa biji buah mangga dengan saiz agak besar 😁. Alhamdulillah!

Buah dibalut dengan pembalut khas yang mempunyai lapisan dalam gelap dan hujungnya tersedia dawai pengikat. Ketika foto ini dirakam, terdapat 1 biji buah pada pokok pertama dan 7 biji buah pada pokok kedua.

Tak banyak, tapi tetap bersyukur berbuah juga. Katanya, sekarang pokok mangga Harumanis agak kurang menghasilkan buah kerana kurang agen pendebungaan dan cuaca panas kering melampau yang sedang melanda Perlis.

Foto pagi tadi, saya nampak ada beberapa biji lagi buah mangga yang sedang membesar. InsyaAllah nanti nak belajar balut sendiri. Tapi entah macam mana nak membalut sambil ‘berperang’ dengan kerengga yang banyak tu 😅. Selain yang sudah berbuah, nampaknya masih banyak lagi ranting-ranting sedang berbunga. Moga ada rezeki ia bertukar menjadi buah. 






.

Thursday 14 March 2024

The Light Hotel, Seberang Jaya

Hari Sabtu lalu saya dan Encik Suami ke Seberang Jaya, Pulau Pinang. Disebabkan urusan Encik Suami akan mengambil masa seharian, jadi kami memilih untuk bermalam di The Light Hotel.

Dekorasi sambutan Hari Raya menghiasi lobi hotel. Mungkin sebab pihak hotel ada menyediakan bufet buka puasa, maka hiasan begini penting dibuat awal bagi menghidupkan suasana.

Laluan menuju ke bilik penginapan kami yang terletak di tingkat 5.

Disebabkan buat tempahan hotel di saat akhir, maka kami tak dapat bilik dengan katil bersesuaian. Paling penting, dapat bilik yang selesa. Cadarnya kemas dan bersih tanpa sedikit pun cela. Bantalnya pun sangat empuk selesa.

Kemudahan yang disediakan dalam bilik. Semuanya dalam keadaan baik dan nampak bersih. Saya jadi tak ragu-ragu nak masak air dan bancuh minuman panas.

Saya pandang skrin tv, terpapar notis berkenaan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac 2024 kepada 8%, berbanding 6% sebelum ini. Tak perlu cepat melenting, tapi kita ambil tahu info yang tepat berkenaan kenaikan ini.
Ambil tahu supaya kita tak keliru :
  • Kenaikan SST kepada 8% tidak membabitkan keperluan asas atau harian seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi, logistik, penggunaan elektrik bawah 600 kilowatt-jam (kWj) dan perkhidmatan air dirawat.
  • Sebaliknya, SST 8% itu hanya dikenakan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan yang bukan keutamaan seperti mengunjungi pusat karaoke, hotel, loteri, mesin perjudian dan perkhidmatan e-dagang serta insurans dan takaful.
Bilik air bersih dan berfungsi baik. Saya tertarik dengan ruang tempat letak deretan sabun dan syampu, ringkas dan kemas. Kalau ada rezeki reka rumah sendiri, mungkin boleh ambil idea begini.

Pemandangan luar hotel dari jendela bilik.

Pagi Ahad, kami turun sarapan di bawah. Menariknya di sini, terdapat pelbagai pilihan makanan disediakan. Sampai susah nak memilih, semua nampak sedap. Roti canai telur dan kuetiau ni kami kongsi berdua. Sedap semuanya kena dengan selera kami.


Setakat ini dah dua kali kami menginap di The Light Hotel. Alhamdulillah belum ada pengalaman yang tak seronok. Servis memang terbaik dari detik kita masuk pintu lobi hingga keluar. Bilik penginapan yang sangat selesa dan hidangan sarapan yang memuaskan selera. Kalau pun ada kekurangan, mungkin masalah ruang parkir yang terhad ketika ada acara tertentu berlangsung di hotel ini.






.

Tuesday 12 March 2024

1 Ramadan 1445

Alhamdulillah bersyukur kita semua kerana masih diberi kesempatan oleh-Nya bertemu dengan bulan Ramadan kali ini. Masih bernafas dan masih sihat untuk menjalani ibadah puasa.

Buat pertama kali, saya dan Encik Suami memulakan Ramadan di bumi Perlis. Malam tadi Encik Suami menunaikan solat tarawih di sebuah surau kecil berhampiran kediaman kami, manakala saya melakukannya sendirian di rumah. Terasa janggal. Kebiasaannya kami sentiasa bersama, sama ada berjemaah di rumah atau sama-sama solat di surau/masjid. Eh…bukan bergaduh laki bini ya 😆, tapi atas alasan tertentu.

Menu sahur hari pertama kami - ayam bakar/panggang dengan potongan kentang dan tomato ceri. Saya masak menggunakan air fryer. Sementara tunggu ayam masak, saya buat smoothie campuran buah sejuk beku (pisang & raspberry), chia seed, air susu sejuk dan Greek yogurt. Minuman panas kena ada jugak, saya buat secawan besar green tea jenama Ahmad Tea.


Walaupun berpuasa, aktiviti menikmati alam tetap diteruskan. Berikut beberapa foto alam yang sempat saya rakamkan pada 1 Ramadan :

Perubahan indah warna langit daripada gelap ke cerah di waktu subuh. Pada bahagian langit cerah itulah nantinya muncul matahari sekitar pukul 7.30 pagi.

Sekitar pukul 9.10 pagi, saya keluar berjalan-jalan menikmati alam. Seronok dapat menikmati cahaya matahari pagi, juga hembusan angin yang bertiup kuat dan memerhatikan burung-burung bebas berterbangan. Meriah dengan pelbagai bunyi.

Berdasarkan pemerhatian saya, semenjak musim kemarau melanda saya dapati burung-burung yang ada di sekitar rumah jadi berkurangan. Tak meriah seperti sebelumnya. Burung besar dengan bulu badan berwarna coklat putih juga dah lama tak kelihatan. Mungkin semuanya berhijrah ke tempat yang lebih selesa.

Spesis burung tiong (dalam foto di atas) ni antara burung yang masih bertahan hidup di sini. Buah nona (orang tempatan panggil buah sekaya) tu memang kegemarannya. Sekarang ni buahnya masih hijau, nanti dah bertukar kemerahan (dah masak) memang jadi santapan burung tiong dan burung-burung lain juga.


Ini sajalah catatan 1 Ramadan saya dari tempat dengan suhu tinggi 38℃ ketika saya mengakhiri entri ini. Semoga Allah memberi kami di sini kekuatan dan ketabahan berpuasa ketika musim kemarau.

Buat semua sahabat blog, SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN 😊






.

Friday 8 March 2024

Musim Angin Timur Perlis | Cuaca Panas Melampau, Kemarau dan Angin Kuat

Masih entri berkenaan musim angin timur di Perlis. Loghat tempatan sebut ‘angin timoq’. Kali ini saya catatkan berkenaan pengalaman saya yang pertama kali tahu dan merasai sendiri fenomena musim angin timur yang berlaku di Perlis.

Selama ini saya cuma mengetahui bahawa Monsun Timur Laut di Malaysia yang berlaku sekitar November hingga Mac setiap tahun membawa hujan lebat (musim tengkujuh). Tetapi fenomena hujan lebat tidak berlaku di negeri Perlis, sebaliknya negeri ini mengalami musim kemarau

Hasil carian internet, rata-rata penulisan mengaitkan musim angin timur di Perlis dengan suasana berangin sepanjang masa, suhu sejuk pada waktu malam membawa ke pagi dan pemandangan indah seakan musim luruh. Sesuatu yang seronok didengar dan dinikmati.

Catatan saya ini pula akan membawa sisi yang berbeza, iaitu sesuatu yang mungkin kurang seronok didengar, dilihat dan dilalui sendiri. Sekurang-kurangnya lebih ramai tahu apa yang berlaku di negeri paling kecil dan paling utara di Semenanjung Malaysia ini.


CUACA PANAS MELAMPAU + KERING (KEMARAU) + TIUPAN ANGIN KUAT = KEBAKARAN


Kebakaran kebun/ladang/hutan/belukar, inilah yang terjadi bermula sekitar penghujung Disember 2023. Kemuncak kejadian kebakaran terbuka ini berlaku sekitar pertengahan Januari hingga pertengahan Februari lalu, di mana boleh dikatakan setiap hari berlaku kebakaran.

Setakat Februari lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis merekodkan sebanyak 231 kes kebakaran terbuka sejak musim kemarau melanda Perlis. (Sumber - Berita RTM, 28 Februari 2024).

Berikut merupakan sebahagian foto berkaitan keadaan kebakaran dan kemarau :

30 Januari 2024, 4.40 petang.
Keadaan ruang udara di rumah saya dipenuhi dengan asap kebakaran. Biasanya, kebakaran bermula pada waktu tengah hari atau petang.

Tiupan angin kuat bukan saja membuat api bertambah marak, malah menerbangkan debu kebakaran ke rumah saya dan penduduk sekitar. Ada kala saya terlambat menutup tingkap rumah, debu halus masuk melalui celahan jaring nyamuk dan mengotori lantai rumah.

4 Februari 2024, 4 petang.
Beginilah keadaan di salah satu tempat yang telah terbakar.

1 Mac 2024
Rumput dan semak di tepi jalan juga kekeringan dan terbakar.

Sekali pandang, seakan musim luruh yang indah. Hakikatnya, ini musim kemarau yang meresahkan terutamanya bagi para petani.

Keratan akhbar bertarikh 1 Mac 2024.

Info ringkas musim angin timur di Perlis :
  • Musim angin timur merujuk kepada fenomena angin tropika yang bertiup di negeri Perlis sekitar Disember hingga Mac setiap tahun. Ia juga dikenali sebagai musim kemarau (kurang taburan hujan).
  • Fenomena ini dipengaruhi oleh dua jenis iklim di Perlis, iaitu Khatulistiwa dan sub-tropika.
  • Tiupan angin kencang berterusan menyebabkan cuaca kering dengan suhu waktu siang menjadi lebih tinggi dan suhu waktu malam hingga awal pagi menjadi lebih rendah.
  • Sehingga 29 Februari 2024, Chuping mencatatkan bilangan hari tanpa hujan tertinggi di Malaysia iaitu selama 43 hari. Jumlah bilangan hari tanpa hujan itu direkodkan di Stesen Meteorologi Pertanian Chuping.
  • Berdasarkan pemerhatian sendiri (di tempat tinggal saya), suhu waktu siang mencecah 37℃ (pada 7 Februari 2024, 2.30 petang) dan waktu pagi suhu rendah 23 ℃ (pada 8 Februari 2024, 7.15 pagi).
  • Manakala tiupan angin dengan kelajuan 21 km/j (pada 22 Disember 2023, 3.20 petang). Hembusan angin kuat seakan bunyi ‘whoosh..’ dan siulan panjang menjadi sesuatu yang tidak asing di pendengaran saya.

Alhamdulillah beberapa hari terakhir ini cuaca tidak lagi terlampau panas. Cuaca lebih redup dan ada ketikanya mendung. Angin juga tidak bertiup kuat. Pada petang 5 Mac hari Selasa lalu, hujan lebat (tak sampai 10 minit) membasahi bumi. Walaupun cuma seketika, saya tetap gembira dan bersyukur melihat lantai luar rumah dibasahi hujan yang telah sekian lama ‘menghilangkan diri’.

Catatan ini adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya serta info carian di internet, maaf jika ada info yang tak begitu tepat. Saya cuba catat selengkap mungkin sebagai satu memori dan rujukan akan datang.







Tuesday 5 March 2024

Pesta Angin Timur Perlis 2024

[Catatan kisah hari Sabtu, 2 Mac 2024]

Kalau ikutkan, saya tidaklah rajin nak ke tapak pesta di kala negeri Perlis sedang mengalami musim panas melampau. Tetapi memikirkan ini kesempatan pertama saya bagi melihat sendiri suasana PESTA ANGIN TIMUR PERLIS 2024 (PAT 2024), maka saya rajinkan diri jugaklah. Sebagai persediaan, saya bawa minuman air kosong dan memakai topi anti-UV.

Info ringkas | Musim angin timur merujuk kepada fenomena angin tropika yang bertiup di negeri Perlis sekitar bulan Disember hingga Mac setiap tahun. Tiupan angin kencang serta berterusan ini menyebabkan cuaca kering dengan suhu waktu siang lebih tinggi dan suhu waktu malam hingga awal pagi lebih rendah.

Pesta Angin Timur Perlis 2024 berlangsung pada 1-3 Mac 2024 di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau bermula jam 10 pagi hingga 11 malam. Pesta ini menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya - Fun Run Jerami, persembahan wayang kulit, belon udara panas, Malam Genta Puisi, pertandingan bola jaring bendang, pertandingan futsal bendang dan pertandingan tangkap itik.

Saya dan Encik Suami hanya berkesempatan hadir ke tapak pesta pada hari kedua (Sabtu) iaitu sekitar jam 11 pagi hingga 1 tengah hari. Jadinya tak banyak aktivti yang dapat saya saksikan, tambahan pula kami tak berkesempatan melihat-lihat ke seluruh kawasan disebabkan faktor cuaca panas dengan suhu 36℃ dan kawasan tapak pesta yang luas.

Saya kongsikan foto dan video yang sempat dirakam sepanjang kunjungan kami di sini :

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 1 | Bendang kering yang dijadikan tempat letak kereta berbayar dengan caj sebanyak RM3 sekali masuk. Lokasinya berhadapan dengan tapak pesta. Ada petugas bermotosikal yang akan menunjukkan ruang letak kereta yang masih kosong dan tunjukkan jalan keluar.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 2 | Pintu gerbang ke tapak PAT 2024.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 3 | Pentas utama terletak nun di hujung sana. Manakala khemah di kanan dan kiri laluan ini menempatkan ruang pameran pelbagai agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis dan pihak media.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 4 | Antara khemah yang meriah dengan pengunjung. Di sini kita boleh cuba pegang beberapa jenis senjata api. Saya cuba pegang sepucuk pistol, eh berat! Entah macam mana nak melepaskan tembakan kalau nak angkat pun tak larat 😆

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 5 | Pertama kali saya tengok gulungan jerami di depan mata. Menarik juga kalau dapat berfoto atas gulungan jerami ni kan?

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 6 | Ruang pameran oleh Tenaga Nasional Berhad. Menarik dan unik dengan dekorasi daripada jerami, bayaran RM2 dikenakan untuk masuk sini. Selain terdapat sudut info dan pameran kenderaan elektrik (EV), di sini juga terdapat banyak sudut menarik bagi yang gemar berfoto.

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 7 | Di suatu sudut lain, pertandingan bola jaring bendang sedang berlangsung.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 8 | Tempat berlangsungnya paintball bendang.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 9 | Bahagian jualan makanan. Ada khemah dengan meja kerusi untuk kita duduk makan. Cuaca panas sangat, kami rasa kurang selera nak makan.

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 10 | Tak selera makan, tapi ‘berselera’ membeli buku di gerai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Besar mata saya bila ternampak buku Astronomi dan Astrofotografi 😍. Bukan mudah nak dapat buku begini dalam bahasa Melayu tau. Encik Suami bagi ‘green light’, dapatlah saya memiliki buku dengan harga RM50 selepas diskaun sebanyak 50%. Pembelian yang sangat berbaloi! Buku setebal kira-kira 300 halaman, bersaiz besar, penuh info dan gambar-gambar berwarna.

Pesta Angin Timur Perlis 2024Foto 11 | Singgah tengok ayam warna-warni. Comel dan cantik, tapi kecantikan sementara je tau. Lepas bulu-bulu ayam tu tanggal, jadilah rupa ayam biasa. Harga jualan sebanyak RM5 seekor. 

Pesta Angin Timur Perlis 2024
Foto 12 | Sebelum beredar, sempat saya membeli aiskrim kelapa dari sebuah gerai. Memang sesuai sangat makan waktu panas terik.

Secara keseluruhannya, saya dapat merasai pengalaman baru yang menarik di PAT 2024. Pertama kali saya berkunjung ke tapak pesta yang diadakan di bendang kering. Tetapi kenalah tahan dengan keadaan berhabuk ya, maklumlah angin timur bertiup kuat menerbangkan habuk jerami. Kasut yang saya pakai pun jadi kotor dengan debu. Tapi itu bukanlah masalah besar, kerana beginilah realiti suasana di Perlis ketika musim angin timur.

Teringin juga saya nak berkunjung pada waktu malam (cuaca lebih nyaman dengan suhu lebih rendah), tapi tak rajinlah kami memandangkan jarak tapak pesta dengan rumah agak jauh iaitu kira-kira 40 km.


Video berdurasi 1:00 minit memaparkan suasana sekitar tapak PAT 2024.







Sunday 3 March 2024

Catatan Hujung Minggu

Alhamdulillah hujung minggu kali ini ada kelapangan, jadinya banyaklah perkara yang saya dan Encik Suami dapat lakukan sepanjang hari Sabtu dan Ahad. Antaranya :

Drive-Thru Recycle Center (DTRC) Pasar Awam Sena, Kangar
Pagi hari Sabtu kami ke Drive-Thru Recycle Center (DTRC) Pasar Awam Sena, Kangar. Ini kali kedua kami menghantar dan menjual kotak kertas di sini. Bulan Disember lalu kami dapat menjual kotak kertas sebanyak 15 kg dan kali ini sebanyak 16 kg.

Hantar dan jual kotak di sini bukanlah sebab nak duit sangat, tapi lebih kepada nak lupuskan kotak kertas yang banyak di rumah dengan cara terbaik. Di tempat tinggal saya tiada lori kitar semula datang ambil barangan kitar semula, jadinya kita yang perlu berusaha menghantar barangan tersebut ke pusat kitar semula.

Aktiviti jual beli barangan kitar semula di sini menjadi mudah dan telus dengan adanya aplikasi idamanXchange. Kita boleh buat semakan lokasi DTRC, harga serta pengiraan setiap jenis barangan kitar semula dan rekod jualan lalu.

Cara nak menjual barangan kitar semula di sini - kita letak barangan di atas penimbang yang disediakan, kemudian petugas akan imbas kod QR pada aplikasi idamanXchange kita. Wang jualan boleh diterima secara tunai atau masuk ke Touch n Go eWallet (kalau guna cara ni kita dapat mata ganjaran yang boleh ditebus).

Selesai urusan di DTRC, kami bersarapan di sebuah kedai nasi kandar Melayu (saya perhatikan petugas kedai ni semuanya berwajah Melayu). Tapi kami tak makan nasi kandar, kami memesan roti canai telur bersama gulai lamb shank (saya sebut je gulai sebab tak tau nama masakan). Alhamdulillah sedap menepati cita rasa kami.

Perut dah kenyang, jomlah kita ke destinasi seterusnya di Tambun Tulang, Arau. Buat kali pertama kami akan ke Pesta Angin Timur Perlis. Cerita lanjut insyaAllah pada entri akan datang.

Pagi hari Ahad, saya buat aktiviti ‘morning walk’ bersama Encik Suami. Dapatlah berjalan lebih jauh dan lebih lama sebab ada peneman. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya, langit pagi ini dihiasi awan memutih. Petanda baik bahawa cuaca mungkin tak terlalu panas hari ini.

Waktu tengah hari, kami menghadiri kenduri di Beseri. Ini merupakan kali kedua kami menghadiri kenduri sejak berpindah ke Perlis. Alhamdulillah ada yang sudi menjemput, dapatlah kami belajar menyesuaikan diri di tempat orang.

Seperti yang dijangka, langit hari ini sedikit mendung. Seingat saya, ini merupakan kali pertama langit suram setelah sekian lama (lebih sebulan) langit memancarkan sinar yang terlalu panas. Alhamdulillah!






.