Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Wednesday, 4 February 2026

4 Hari 3 Malam Ke Sana Ke Sini

Catatan hari Jumaat - Isnin | 30 Januari - 2 Februari 2026.

Alhamdulillah baru-baru ini saya dan Encik Suami berkesempatan pulang ke kampung halaman kami nun di selatan Semenanjung Malaysia. Dua hari cuti hujung minggu dan ditambah dengan dua hari cuti tahunan, dapatlah empat hari. Bukan setakat balik kampung, kami sempat singgah di beberapa tempat.

Laluan perjalanan kami :
Rumah Perlis -> Selangor -> Kuala Lumpur -> Johor -> Selangor -> Rumah Perlis


Jumaat malam Sabtu - kami menginap di Hotel Tenera, Bangi. Rupa-rupanya barisan pemimpin tertinggi Pas juga sedang berkumpul di hotel ini selama tiga hari bagi menghadiri program parti.

Awal pagi Sabtu - kami menuju ke Damansara atas urusan Encik Suami. Selesai urusan, barulah kami meneruskan perjalanan ke arah selatan. Perjalanan tak begitu lancar, maklum saja ramai yang ke sana ke sini sempena cuti hujung minggu panjang bagi kebanyakkan negeri - kami di negeri Perlis tak ambil cuti Thaipusam.

Alhamdulillah…lega tengok jambatan di bandar Pontian sudah siap dibina. Sebelum ini, (dalam ruangan komen) rakan blogger Sii Nurul ada maklumkan berkenaan hal ini. Dengan siapnya jambatan ini, tidaklah sesak dan serabut keadaan di sini pada hari raya nanti.

Cuma satu malam kami berada di rumah mak saya, esoknya tengah hari kami bergerak ke rumah mak Encik Suami di Batu Pahat.

Petang Ahad - kami bersama mak pergi ke kedai Kerepek Mastuki yang terletak di Parit Lapis Laman, Parit Sulong, Batu Pahat. Tujuan ke sini - misi mencari kerepek tempe kegemaran saya ๐Ÿ˜. Kedainya luas dan ramai pelanggan. Terdapat pelbagai pilihan kerepek, keropok mentah dan kuih raya. Kami beli kerepek bawang, beberapa jenis kerepek tempe dan mi siput mentah.

Selesai beli kerepek, kami singgah makan mi bandung di Warung Mee Bandung Wak Oden 40 Hari. Sedap rasa mi bandungnya, sesuai dengan cita rasa saya.

Juga cuma satu malam kami di kampung Encik Suami, esoknya (hari Isnin) sekitar pukul 10 pagi kami bertolak balik ke rumah Perlis.

Singgah Mahnaz Food yang terletak di Shah Alam sebab nak membeli kurma dengan harga borong. Selain kurma, terdapat pelbagai pilihan makanan kering dari negara Timur Tengah. Ada juga manisan seperti kunafa dan Turkish Delight. Teringin nak mencuba Turkish Delight, saya beli beberapa jenis - ada yang saya suka dengan rasanya dan ada yang membuatkan saya serik nak membeli ๐Ÿ˜…

Perjalanan balik ke utara secara keseluruhannya lancar. Kami selamat sampai di rumah kira-kira pukul 11.30 malam. Alhamdulillah…lega rasa dapat menjenguk kampung walau cuma seketika.








Thursday, 15 February 2024

Balik Kampung 3H2M

Balik kampung kali ini, kami cuma ke rumah mak saya di Pontian. Kami tak balik rumah mak Encik Suami di Batu Pahat kerana mak berada di rumah adik di Perlis.

Kepulangan kali ini juga agak berbeza kerana kesihatan mak saya yang semakin merosot sejak pertengahan Januari lalu. Kalau sebelum ini mak cuma perlukan tongkat, kali ini mak perlukan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan beliau.

Sedikit coretan selama 3 hari 2 malam (9 - 11 Februari 2024) di kampung buat rujukan dan kenangan di masa akan datang :

PENUNGGANG AGAMA? | Semasa melakukan kerja-kerja mengemas rumah mak, saya jumpa kertas ini. Terkejut saya bila baca butiran pembelian al-Quran dengan harga sebegitu mahal! Mak bercerita, ada orang datang rumah menawarkan pembelian al-Quran untuk diwakafkan. Pihak mereka juga akan membacakan al-Quran untuk senarai nama yang diberi pembeli.

Tepuk dahi saya mendengarnya. Walau dah berkali saya pesan pada mak jangan layan orang begini, tetap jua mak terpedaya. Sebelum ni kalau mak nak menderma ke mana-mana, mak akan maklumkan kepada saya untuk buat urusan. Kali ini entah apa ayat manis si penunggang agama sehingga terpedaya mak saya (dan beberapa orang jiran lain yang juga warga emas). Mungkin berat tuduhan saya mengatakan orang tersebut penunggang agama. Tapi dengan semua bukti yang ada, apa lagi perkataan yang sesuai untuk manusia sebegini? Datang dari Pahang ke kampung di Johor mendekati warga emas, menjual al-Quran yang tak wujud dengan harga beratus ringgit dengan alasan untuk wakaf dan kod QR pada bil yang tidak memaparkan apa-apa maklumat.

BUAH PULASAN ISI TEBAL MANIS RASANYA | Alhamdulillah rezeki balik kampung kali ini pokok pulasan di tepi rumah mak sedang berbuah. Ada sedikit yang sudah boleh dimakan dan banyak lagi masih berwarna hijau. Bolehlah ahli keluarga yang lain turut merasa bila tiba masa mereka balik kampung nanti.

Foto di atas - Encik Suami panjat pokok petik buah. Tiga orang anak saudara jadi tukang kutip dan tukang makan. Saya pula tukang memerhati dan tukang merakam foto sambil mendukung si kecil.

MAKAN MALAM DI RUMAH KOPI SOGAMA | Kunjungan kali kedua kami di sini. Kami bawa dua orang anak saudara bersama. Perubahan kali ini, sudah ada ruang tambahan di belakang kedai menjadikan tempat ini lebih luas bagi memuatkan pelanggan yang ramai.

Suasana di lebuh raya sewaktu kami kembali menyambung perjalanan.
TIDUR 1 JAM DI R&R SENAWANG | Kami bertolak dari rumah mak menuju ke rumah NS kira-kira pukul 6 petang. Jalan raya sesak tapi kenderaan masih bergerak. Masuk waktu malam, mata saya mulai mengantuk dan asyik terlelap. Encik Suami pun saya perhatikan kerap kali menguap. Akhirnya Encik Suami bersuara, katanya nak berhenti di hentian untuk tidur. Suasana sesak di hentian, Alhamdulillah dapat juga ruang parkir. Kami matikan enjin kereta dan buka sedikit tingkap kereta sebelum sama-sama terlelap.

Sekitar 1 jam atau lebih kami tidur, kami kemudiannya menyambung perjalanan. Sebenarnya dah tak jauh sangat untuk kami exit tol Nilai. Tapi kalau pemandu terlalu mengantuk, wajiblah berhenti rehat. Biar lambat asal selamat.

Alhamdulillah kami selamat sampai di rumah NS kira-kira pukul 1 pagi.






.

Thursday, 28 September 2023

Beribu Bintang di Langit…

Sudah menjadi kebiasaan saya suka memerhatikan langit malam, mencari-cari apa ada di langit. Rasa seronok dan bahagia kalau dapat memandang bulan dalam fasanya tersendiri, atau planet yang kelihatan seperti setitik cahaya terang, apa lagi kalau dapat menyaksikan kerdipan bintang memenuhi langit malam ๐Ÿคฉ

Foto langit malam berikut saya rakam di rumah mentua saya di Batu Pahat, Johor pada 20 September 2023 sekitar pukul 11.37 - 11.44 malam.

Sila klik pada foto untuk paparan lebih jelas.

Beribu Bintang di Langit
Hasil rakaman foto di ruang langit yang gelap pekat.

Beribu Bintang di Langit
Pandang ke sudut mana pun, semuanya dipenuhi dengan bintang ๐Ÿ˜

Beribu Bintang di Langit
Masya Allah! Bahagia sungguh saya dapat menyaksikan kerdipan bintang yang memenuhi ruang langit.

Langit malam tanpa litupan awan dan kurangnya pencemaran cahaya di kawasan kampung membolehkan bintang dapat dilihat dengan jelas. Suatu pemandangan yang cukup menakjubkan dan memberi ketenangan bagi pencinta cakerawala. Serasa ingin saja saya berada di luar rumah selama mungkin sambil menatap langit malam yang indah.

Allah Yang Maha Hebat melengkapi langit dengan bintang yang bukan sekadar menjadi penyeri malam. Terima kasih Allah atas nikmat ini ❤️






.

Saturday, 23 September 2023

Kopi Chandu dan Kacang Pool di Pak Lurah Bistro

Kelmarin semasa dalam perjalanan balik dari rumah mentua di Batu Pahat, Johor saya dan Encik Suami berkesempatan singgah makan di Pak Lurah Bistro.

Saya pernah buat entri berkenaan tempat ini pada tahun 2021 DI SINI. Selain terdapat perubahan harga makanan, terdapat juga perubahan menu dan waktu operasi. Waktu operasi terkini saya catatkan di hujung entri ini.

Hidangan pilihan kami kali ini :

Nasi goreng kambing panggang
Nasi goreng kambing panggang | RM25
Rasa hidangan nasi goreng kambing panggang masih sedap seperti kunjungan sebelum ini. Cuma kambing panggang yang kami dapat kali ini banyak bahagian yang liat. Jadi rasa kurang berbaloi dengan harganya.

Set roti kacang pool
Set roti kacang pool | RM8
Biasanya hidangan kacang pool akan letak telur mata tu atas kacang pool, tapi yang ni telur mata diletak atas roti. Saya lebih suka begini sebab mudah saya nak makan roti bersama kacang pool.

Rotinya lembut dan tak kering, makan pula dengan kacang pool yang diperbuat daripada ramuan rempah ratus dan daging cincang, memang sangat sedap!

Set lempeng kacang pool
Set lempeng kacang pool | RM9
Sama je dengan hidangan di atas, cuma roti diganti dengan lempeng. Yang ini pun sedap, nipis dan lembut lempengnya.

Kopi chandu dengan susu segar
Kopi chandu dengan susu segar
Minuman kami - kopi chandu dengan susu segar. Encik Suami pilih kopi chandu panas dan saya pula lebih gemar kopi chandu ais. Harga kopi chandu ais RM6, kopi chandu panas saya kurang pasti harganya sama ada RM4 atau RM5.

Kopi chandu yang dihasilkan dengan campuran kulit kayu manis memberikan rasa kopi yang unik. Penggunaan susu segar pula menambahkan rasa lemak pada kopi chandu. Rasa kopi ini tak manis, memang menepati cita rasa saya. Pendek kata, memang sedap! Bagi penggemar kopi, harus cuba kopi chandu jika datang ke Pak Lurah Bistro.

Alhamdulillah perut sudah kenyang, kami teruskan perjalanan menuju ke utara tanah air. Rancangan asal nak menjenguk dan bermalam di rumah NS terpaksa dibatalkan sebab terdapat perubahan jadual kerja Encik Suami. Dari Lebuhraya Utara-Selatan, kami keluar di Ipoh dan bermalam selama dua malam di K Garden Hotel. Encik Suami ada urusan kerja di Tanjung Rambutan pula.

———————————————————————-

PAK LURAH BISTRO NASI KAMBING BATU PAHAT
Jalan Besar Parit Sulong,
Batu 7, Felcra Seri Wangi,
Batu Pahat, Johor.
011-3376 3722

Waktu operasi :
Setiap hari | 9 pagi - 3.30 petang
Tutup | Selasa






.

Friday, 22 September 2023

Kembali ke Negeri Paling Selatan di Semenanjung Malaysia

Bukan main panjang tajuk entri, ayat mudahnya - balik kampung di Johor ๐Ÿ˜. Alhamdulillah saya dan Encik Suami berkesempatan kembali ke kampung halaman juga tanah kelahiran kami berdua yang sudah hampir lima bulan tidak dijejaki.

Kami balik kampung pada 17 - 21 September 2023. Dapatlah dua malam di kampung saya di daerah Pontian dan dua malam berikutnya di kampung Encik Suami di daerah bersebelahan iaitu Batu Pahat.

Pontian, Johor
6.40 petang hari Ahad, 17 September 2023 | Bandar Pontian
Kami selamat tiba di bandar Pontian pada pukul 6.40 petang. Bertolak dari rumah PP pada pukul 8.45 pagi, kemudian singgah selama 1.5 jam di Cyberjaya dan selepas itu berhenti solat di R&R. Total masa perjalanan kira-kira 10 jam. Aliran trafik lancar dari utara, tetapi sesak sewaktu kami tiba di Pagoh sehinggalah susur keluar di Simpang Renggam.

2.40 petang hari Selasa, 19 September 2023 | Kulai
Sebelum ke Batu Pahat, kami ke Kulai atas urusan kerja Encik Suami. Pekerjaan itu tanggungjawab, balik kampung pun satu tanggungjawab. Kita cubalah imbangi kedua-duanya.

Planet Neptune
6.20 pagi hari Rabu, 20 September 2023 | Batu Pahat
Keindahan warna langit subuh dengan dihiasi sebuah planet. Besar saiznya dan bersinar terang. Malam tadi ia berada di kedudukan agak jauh, subuh ini jelas di depan rumah. Dapatlah saya memotret keindahannya.

Hasil carian saya mendapati ia mungkin planet Neptun berdasarkan info berikut :

๐Ÿญ๐Ÿต ๐—ฆ๐—ฒ๐—ฝ๐˜๐—ฒ๐—บ๐—ฏ๐—ฒ๐—ฟ ๐Ÿฎ๐Ÿฌ๐Ÿฎ๐Ÿฏ | ๐—ข๐—ฝ๐—ผ๐˜€๐—ถ๐˜€๐—ถ ๐—ก๐—ฒ๐—ฝ๐˜๐˜‚๐—ป
Planet Neptun akan berada pada kedudukan terdekat dengan Bumi dan seluruh permukaannya akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding pada kedudukan lain dan akan kelihatan pada keseluruhan waktu malam. Disebabkan oleh jaraknya yang jauh dari Bumi, ia akan kelihatan seperti bintik biru terang di langit malam. [sumber info : laman web Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)]


Selain foto planet di atas, saya juga berhasil memotret taburan bintang di ruang langit rumah mentua. InsyaAllah saya kongsikan pada entri lain.

Alhamdulillah…dapat pulang ke kampung menziarahi orang tua kami. Dapat juga bertemu dengan sebahagian adik-beradik dan makcik pakcik. Barulah terasa yang kami ni masih ada keluarga dan saudara-mara ๐Ÿ˜„






.

Friday, 5 May 2023

Lepat Pulut Daun Kelapa

Selain ketupat, lepat merupakan antara hidangan wajib ada pada hari raya bagi masyarakat Jawa di kampung saya dan encik suami. Tetapi tahun demi tahun, bila orang-orang tua semakin uzur/tak larat dan orang muda tak menguasai kemahiran membuat lepat, akhirnya tiada lagi hidangan lepat pada hari raya di rumah keluarga kami.

Saya sendiri gagal mengingat bila kali terakhir keluarga saya bergotong-royong membuat lepat menjelang hari raya. Dah terlalu lama. Manakala di sebelah keluarga encik suami, seingat saya tiada lagi lepat sejak beberapa tahun terakhir ini.

Apa itu lepat? Ia sejenis makanan tradisi Jawa yang dibuat daripada beras pulut, dicampur kelapa parut dan garam. Tambah kacang merah jika nak buat lepat kacang merah. Semua bahan tadi digaul dan diletakkan dalam daun kelapa yang dibentukkan. Kemudian diikat dan direbus sama cara merebus ketupat, iaitu selama 3-4 jam.
 
Lepat atau ‘lepet’ dalam bahasa Jawa, biasanya dimakan bersama serunding kelapa. Nak tengok rupa serunding kelapa, ada dalam entri raya blogger Dana. Sama seperti lepat, serunding kelapa pun dah lama keluarga kami tak buat sendiri.

Lepat pulut dan ketupat nasi
Lepat dan ketupat di rumah mentua pada 1 Syawal lalu. Dibeli dari makcik yang masih meneruskan tradisi membuat lepat dan ketupat. Sebenarnya beli lepat saja, tapi diberi sekali ketupat. Dapatlah merasa ketupat berbungkus daun kelapa, kalau harapkan saya memang cuma makan ketupat berbungkus plastik jelah ๐Ÿ˜…

Lepat pulut daun kelapa
Lepat biasa diikat tali putih, manakala lepat kacang merah diikat tali kuning. Guna ikatan berbeza warna supaya senang nak beza mana satu lepat biasa dan lepat kacang merah. Saya suka lepat biasa, encik suami pula suka lepat kacang merah.

Lepat pulut daun kelapa
Begini rupa setelah dipotong. Ni lepat kacang merah, ada kacang merah di dalamnya. Lepat ni biasanya dipotong dua serong begini untuk mudah makan. Kemudian barulah dibuka ikatan dan bungkusan daun kelapa.

Saya pernah mencatatkan berkenaan lepat dan pembuatannya dalam entri terdahulu, boleh baca DI SINI dan DI SINI. Sayang sekali masa tu saya tak merakam banyak foto dan tak rekod video, sekadar coretan pendek berkenaan lepat. 






Thursday, 4 May 2023

Catatan 1 Syawal 1444H

[Catatan hari Sabtu, 22 April 2023 bersamaan 1 Syawal 1444]

Pagi hari raya kali ini, cuma ada emak mentua, saya & encik suami serta adik ipar sekeluarga. Sembilan orang semuanya. Lagi dua buah keluarga adik ipar, mereka meraikan 1 Syawal di Selangor dan Perlis.

Menghampiri pukul 8.30 pagi, kami semua sudah berada di masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Jemaah muslimah di tempatkan di sebahagian ruang belakang masjid. Ruang ini nampaknya tak dapat menampung kehadiran jemaah muslimah yang agak ramai. Mungkin pihak masjid tak dapat menjangkakan kehadiran seramai begini. Jadinya kami muslimah solat dalam keadaan betul-betul rapat bahu ke bahu dan penuh setiap saf sehingga ke pintu masuk. Saya tak pasti kot ada yang tak dapat masuk, ruang di luar pula sudah dipenuhi oleh jemaah lelaki.

Selesai menunaikan solat sunat, kami bergerak menuju ke kuburan bapa mentua. Begitulah rutin biasanya. Balik dari kuburan, barulah kami menikmati juadah hari raya. Sebelum ke masjid pagi tadi dah makan sedikit, sebagai memenuhi sunnah makan sebelum solat sunat Aidilfitri. Rutin seterusnya, acara bersalaman sesama ahli keluarga dan berfoto.

Selesai berfoto, masing-masing mula menukar pakaian biasa ๐Ÿ˜„. Panas! Cuaca panas terik berbahang, badan rasa tak selesa berbaju raya. Tambahan pula kami tak akan beraya ke mana-mana pada hari pertama, mak mentua selaku kakak sulung akan menanti kehadiran adik-adiknya. Kita pakai baju biasa jelah, lebih selesa.


MENUAI BUAH NANGKA DI PAGI RAYA

Buah nangka bersaiz besar, tergantung agak tinggi di dahan pokok. Perlu gunakan tangga bagi membelek dan mengambil buah. Nampaknya belum masak, mungkin lagi beberapa hari baru boleh dinikmati isinya. Buah nangka ini kemudiannya dituai juga bagi mengelakkan buah masak rosak di pokok.

Nak memegang buah ni sambil memotong tangkai buah adalah sukar kerana saiz dan beratnya. Jadinya encik suami potong je tangkai dan biarkan buah jatuh ke tanah. Bersorak budak-budak dan juga yang tua tengok buah nangka jatuh ๐Ÿ˜„

Dua beradik tolong hantar buah nangka ke bangsal di belakang rumah untuk diperam. Terhuyung-hayang kereta sorong ditolak mereka, susah payah jugalah ๐Ÿ˜…

Begitulah kisah 1 Syawal saya. Menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dan saudara-mara yang datang berkunjung. Seronok jumpa pakcik makcik dan sepupu sebelah encik suami, ada yang dah bertahun tak jumpa. Dua tahun ‘hilang’ sebab COVID-19 dan raya tahun lepas pun tak berkesempatan jumpa sebahagian mereka. Alhamdulillah kali ini dapat bersua, bertukar cerita.


5 SYAWAL 1444 - BUAH NANGKA DAH MASAK!

Selepas beberapa hari di rumah emak saya, kami kembali semula ke rumah mak mentua. Sedang elok tengok buah nangka dah masak, bolehlah dipotong ambil isinya.

Sebelum memotong buah nangka, parang disapu minyak masak supaya tak lekat getah. Tempat potong kita alas siap-siap, senang kena getah terus buang.

Alhamdulillah elok semua isinya. Tak taulah nangka jenis apa, tapi manis isinya dan harum baunya. Banyak hasilnya, mak mentua berbagi rezeki dengan jiran-jiran. Sebahagian saya bawa balik ke rumah NS dan sebahagian jadi buah tangan untuk ke rumah kakak saya di Melaka.

Eh, tajuk ‘Catatan 1 Syawal..’, tapi entri banyak pasal buah nangka pulak ya ๐Ÿ˜‚





Thursday, 16 March 2023

Hasil Memotret di Sekitar Rumah Mentua

Rumah mentua saya yang terletak di Batu Pahat tak terlibat dengan banjir. Juga tiada laluan yang ditutup, maka dapatlah kami pulang ke kampung tanpa sebarang masalah.

Pun begitu di laluan menuju rumah mentua, kami menyaksikan rumah-rumah, perkebunan sawit dan sebahagian jalan masuk ke kampung-kampung masih ditenggelami air. Banjir masih belum surut - ‘banjir termenung’. Jalan yang kami lalui juga banyak yang rosak, berlubang di sana sini kesan laluan air banjir.

Situasi banjir buruk kali ini dikatakan sama seperti banjir yang dialami sekitar awal tahun 80-an. Semoga Allah kurniakan ketabahan hati dan dipermudahkan segala urusan kepada mereka yang terlibat.

Berbalik kepada tajuk entri, jika ada kesempatan saya dan encik suami biasanya akan meronda sekeliling rumah Mak. Melihat-lihat sebarang perubahan dan sambil itu saya akan memotret apa-apa yang kelihatan menarik di mata saya.

Saya kongsikan foto-foto berikut di blog sebagai kenang-kenangan :

Burung di pokok manggis.
Tupai di dahan pokok manggis.
Bunga pokok buah apa ni? Cuba teka! Uji pengetahuan je, tak ada hadiah tau.
Cendawan segar di batang pokok mati.
Rimbunan pokok buluh, di belakangnya tu kebun sawit.
Lampu minyak saiz kecil yang digunakan di reban ayam, bertujuan supaya anak ayam rasa hangat. Entah bila kali terakhir ia digunakan.

Ini pula tak berkaitan dengan rumah mentua. Video dengan pemandangan banjir ini saya rakam sewaktu dalam perjalanan dari rumah mentua menuju ke tol, iaitu sekitar Jalan Yong Peng. Saya sertakan di entri ini sebagai satu memori banjir di Batu Pahat yang sempat saya saksikan. Video asal dari normal speed telah saya edit kepada half speed dengan durasi 0:59 minit supaya lebih mudah ditonton.







Wednesday, 15 March 2023

Balik Kampung Sebelum Ramadan

Beberapa hari saya tak berblog kerana berada di kampung menjenguk mak dan mak mentua. Sejak malam tadi dah kembali di rumah NS, bolehlah saya sambung mencatat kisah hidup sebagai kenangan masa hadapan.

Bulan Mac ini nampaknya kami kerap berada di rumah NS. Baru balik dua malam di rumah PP, kami kembali semula ke rumah NS pada hari Selasa 7 hb. Mac lalu. Hujung minggunya ditambah dengan encik suami ambil cuti kerja, dapatlah kami balik kampung di selatan tanah air - kampung saya di Pontian dan kampung encik suami di Batu Pahat.

InsyaAllah sehingga hujung minggu ini kami akan berada di rumah NS.

[Catatan hari Sabtu, 11 Mac 2023]

Pagi hari Sabtu, kami menuju ke kampung saya di Pontian. Biasanya begitulah, kami akan balik kampung yang lebih jauh.

Sang rembulan di waktu siang. Sempat saya memotret bulan sebelum bergerak meninggalkan rumah NS.

Menziarahi Makcik di Teluk Kerang
Kami tiba di rumah Mak saya pada waktu tengah hari. Sebelah petang selepas Asar, kami bersama Mak dan beberapa ahli keluarga yang lain pergi menziarahi makcik (kakak kepada Allahyarham Bapak saya) yang baru beberapa hari keluar hospital.

Makcik terjatuh sewaktu nak duduk di birai katil, menyebabkan keretakan tulang dan tulang beralih. Atas faktor usia, doktor tak dapat melakukan pembedahan. Sedih saya lihat keadaan Makcik yang kini tak mampu nak bergerak sendiri. Semoga Allah permudahkan segala urusan rawatan Makcik dan dikurniakan kekuatan hati buat Makcik dan juga buat sepupu yang menjaga. 

Ubi kayu rebus cicah sambal tumis dan kelapa parut
Sepupu hidangkan ubi kayu rebus bersama sambal tumis dan kelapa parut.

MasyaAllah…sedap sangat! Dah lama tak makan begini, terasa nikmatnya.

Senja dan Makan Malam di Coxn Cafe, Rimba Terjun
Balik dari rumah Makcik, kami bersama kakak saya dan seorang anak saudara ke Coxn Cafe yang terletak berhampiran dengan rumah Mak. Kami datang berempat, Mak dan ahli keluarga lain tak berminat ikut serta.

Coxn Cafe ni sebenarnya dah lama beroperasi, tapi baru kali ini kami nak mencuba makan di sini. Biasalah kan, kalau yang dekat ni kurang teruja nak mencuba.

Panorama senja di Coxn Cafe. 

Kami menyaksikan kumpulan memerang di kawasan ini (tak kelihatan di foto).
Sambil menunggu hidangan tiba, kami sibuk berfoto dan memerhati suasana langit senja bertukar gelap. Dalam samar cahaya, kami melihat sesuatu sedang berenang di aliran anak sungai bersebelahan kafe. Memerang! Teruja kami melihat gerakan pantas beberapa ekor memerang berenang di air. Haiwan separa akuatik ini kemudiannya naik ke tebing dan menghilang di balik hutan bakau. Wah…pengalaman pertama kami lihat memerang di habitat asal.

Hidangan kami, semuanya hidangan Barat sebab di sini cuma menghidangkan masakan Barat.
Kami sangka sekejap saja boleh dapat makanan sebab kami memesan masakan Barat yang agak ringkas. Rupanya, sangatlah lama menunggu. Sementara menunggu, bolehlah solat Maghrib di ruang solat tersedia - sebuah ruang sederhana luas tanpa pemisah lelaki/perempuan.

Setelah menunggu kira-kira 50 minit, barulah kami dapat menikmati hidangan yang dipesan. Kecuali minuman dan ice cream, itu kami dah dapat lebih awal. Saya sebenarnya hampir hilang selera dek lama menunggu. Mujur mushroom soup yang saya pesan, sedap menepati selera.

Mungkin lepas ni saya tak ke sini lagi. Serik pula kena menunggu begitu lama. Panorama senja merupakan satu-satunya tarikan di sini.




Monday, 16 January 2023

Rumah Kopi Sogama, Pontian

Khamis | 29.12.2022

Rumah Kopi Sogama yang terletak di Rimba Terjun, Pontian, Johor ni cuma berjarak sekitar 2 km saja dari rumah Mak saya. Tapi sejak kewujudannya, saya sendiri tak pernah mencuba makan di sini dek keterbatasan masa setiap kali balik kampung. Waktu operasinya bermula pula agak lewat, jadi selalu saja tak kena dengan masa saya.

Alhamdulillah, akhirnya saya dan encik suami berkesempatan ke sini. Kami datang bertiga bersama seorang kakak saya.  Ajak Mak ikut bersama, tapi Mak tak berminat nak keluar petang hari.

Apa yang menarik tentang Kedai Kopi Sogama ni? Jom kita tengok…

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Lokasi kedainya terletak di lot tanah bersebelahan Sekolah Agama Rimba Terjun. Malah tembok sekolah yang tertera nama sekolah turut menghadap tepi kedai. Loghat tempatan menyebut sekolah agama sebagai ‘sogama’ (cara sebut : so ga me), mungkin daripada perkataan tersebut Rumah Kopi Sogama mendapat nama.

Sedikit memori berkenaan sogama pada zaman kanak-kanak saya sekitar lewat tahun 80-an. Berkenaan Sekolah Agama Rimba Terjun, saya sendiri pernah bersekolah di sekolah ini tetapi bukan di lokasi sekarang. Masa tu sekolah agama yang berlangsung pada waktu petang masih lagi menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun. Sempatlah setahun saya di Sekolah Agama Rimba Terjun.

Disebabkan saya bersekolah kebangsaan di STMI (1) iaitu sekolah yang mengamalkan sistem bergilir setahun pagi dan setahun petang dengan STMI (2), jadinya sekolah agama pun kenalah bergilir setahun pagi dan setahun petang. Hal ini membuatkan saya bersekolah agama di beberapa buah sekolah. Kalau sekolah agama kena giliran pagi, saya perlu ke sekolah agama di bandar (satu-satunya yang menawarkan sesi pagi pada masa tersebut). Kalau giliran petang, saya pernah bersekolah di Sekolah Agama Rimba Terjun dan Sekolah Agama Rambah. Seronok berpeluang sekolah di beberapa tempat ni tau, kita akan dapat ramai kawan-kawan baru. Lagi pula sekolah agama ni tak tertakluk kepada umur, jadinya kita akan bergaul dengan kawan-kawan pelbagai usia di dalam satu kelas.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Berbalik cerita Rumah Kopi Sogama, beginilah suasana di ruang hadapan kedai. Memang nampak sangat menarik! Ada beberapa pilihan ruang untuk kita menjamu selera di kedai makan ini. Kalau suka suasana santai, meriah dan ruangan terbuka, bolehlah duduk di bahagian luar kedai.

Di luar juga terdapat beberapa buah gerai kecil yang menurut saya ia disewakan kepada peniaga lain. Kalau nak membeli makanan dari gerai, perlu pergi ke gerai tersebut dan buat pesanan makanan sendiri. Makanan di gerai tiada dalam senarai menu yang diberi untuk kita membuat pesanan makanan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Siap ada pokok tumbuh segar di tengah meja. Idea yang menarik.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Ini pula antara pilihan ruang makan di dalam kedai. Ada satu lagi ruang selepas pintu masuk, lebih menarik suasananya. Tapi saya tak merakam sebarang foto kerana segan pula ramai pengunjung sedang menikmati hidangan di ruang tersebut.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Sudut yang menarik, dekorasi yang menggamit memori masa lalu - dinding separa batu & kayu dan jeriji besi rekaan lama. Nampak laluan tar di luar sana? Itulah laluan ke bangunan sekolah agama yang terletak di belakang kedai makan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Ini pula ruang makan paling belakang. Kami memilih makan di sini. Dekorasi ringkas yang sedap mata memandang. Juga ada gantungan pokok Pothos a.k.a. Money Plant yang membuatkan ruang ini mendapat sedikit sentuhan segar.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Dari sudut ini juga, kita dapat menyaksikan para pekerja kedai sedang sibuk menyiapkan hidangan.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Hidangan kami bertiga. Minuman tu boleh pilih nak plain atau sweet.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Alhamdulillah tak rugi mencuba. Makanan dan minuman semuanya memenuhi cita rasa.

Rumah Kopi Sogama, Pontian
Harga makan kami bertiga. Sangat berpatutan.

Rumah Kopi Sogama - tempat makan dengan dekorasi menarik, bersih, layanan pantas dan hidangan yang memuaskan selera. Walaupun tak banyak pilihan makanan ditawarkan semasa kunjungan saya ke sini (hanya hidangan makanan Barat kecuali jika kita membeli dari gerai di bahagian luar kedai), tapi saya rasa puas hati. Kalau banyak pilihan, tapi servis lambat pun tak seronok juga pelanggan nak datang mengulang makan.

Alhamdulillah, saya turut rasa seronok sebab ada juga tempat makan yang menarik dan bagus di kampung saya ni. Kalian ada ke Pontian? Bolehlah mencuba makan di Rumah Kopi Sogama ni. Ia terletak di sebelah kiri jalan menuju ke Tanjung Piai - Penghujung Benua Asia. Boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Rumah Kopi Sogama.


———————————————————————-

RUMAH KOPI SOGAMA
(Sebelah Sekolah Agama Rimba Terjun)
Jalan Kukup, Kampung Rimba Terjun,
Pontian, Johor.

Waktu operasi :
4 petang - 11 malam
Setiap hari, kecuali Rabu