Wednesday, 27 November 2024

Pokok Limau Bali Sunkist Berbuah Lebat

HUJAN TANPA HENTI
Sejak semalam 26 November - hari Selasa pagi, di tempat saya hujan turun tanpa henti. Ada kala lebat, ada kala gerimis. Ketika ini suhu 24℃, suasana nyaman dan sejuk. Air paip pun terasa sungguh sejuk!

Ada beberapa kawasan di Perlis sudah pun dinaiki air. Situasi yang sama juga berlaku di beberapa negeri lain, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Semoga semua pihak yang terjejas dengan situasi hujan tanpa henti ini berada dalam keadaan selamat.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat.


POKOK LIMAU BALI SUNKIST BERBUAH LEBAT
Rezeki berpindah ke rumah Perlis, di sekeliling rumah kami sudah ada tanaman pelbagai jenis pokok. Penghuni terdahulu minat menanam pokok, antaranya pokok limau bali sunkist yang di tanam di bahagian hadapan rumah.

Pokok limau bali sunkist sentiasa berbuah kerana ia bukan jenis buah bermusim. Tetapi kali ini, pokoknya berbuah lebat - ini berdasarkan pemerhatian saya sejak berpindah ke sini setahun lalu.

Limau Bali Sunkist
Bergantungan buah limau bali sunkist yang menanti untuk dipetik.

Limau Bali Sunkist
Ini antara buah limau bali sunkist yang bersaiz besar. Buah matang dan sesuai dipetik apabila kulitnya yang berwarna hijau tua bertukar ke hijau muda dengan sedikit warna kekuningan.

Encik Suami buat kerja-kerja memetik buah, saya pula jadi tukang merakam foto untuk kenangan akan datang. Sesekali saya membantu juga bila Encik Suami perlu memanjat tangga untuk petik buah yang berada pada kedudukan tinggi.

Limau Bali Sunkist
Eh…baru saya perasan ada sarang burung!

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 13 November lalu. Penuh satu baldi dan satu besen besar. Masih banyak lagi buah di pokok, sambung hari lain pula.

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 16 November lalu. Juga penuh satu baldi dan satu besen besar. Dalam foto di atas, nampak isi baldi tak penuh sebab sebahagian buah dialih ke besen sebelahnya.

Limau Bali Sunkist
Saya poskan juga sedikit untuk Mak di Johor dan keluarga kakak di Melaka. Mak dan kakak teringin nak merasa bila saya WhatsApp tunjuk hasil tuaian yang banyak tu 😀. Untuk rekod - satu kotak berisi 6 biji buah dengan berat 1.55 kg dan satu kotak lagi berisi 10 biji buah dengan berat 2.8 kg. Alhamdulillah penghantaran pantas oleh PosLaju - pos hari ini, lusa sampai ke Johor dan Melaka.

Limau Bali Sunkist
Hasil tuaian 24 November lalu. Dapatlah penuh satu baldi ni - semuanya 36 biji. Tinggal sedikit saja lagi buahnya di pokok, tak dapat nak petik sebab berada pada kedudukan tinggi dan mengarah ke lereng bukit.

Limau Bali Sunkist
Isi buah limau bali sunkist seakan-akan isi buah limau bali, rasanya juga hampir serupa. Bezanya, saiz buah lebih kecil seperti buah limau sunkist. Mungkin sebab itulah nama buah limau ini - limau bali sunkist.

Rasanya manis - cuma tahap manis tu berbeza antara buah. Yang pasti setakat ini, belum ada yang rasa masam atau tawar. Selain dimakan terus, boleh juga diperah untuk minum jusnya. Encik Suami rajin memerah buah limau guna alat pemerah tangan, sebiji buah ni dapatlah anggaran 120 ml jus limau. Sekali perah guna dua biji limau barulah puas minum.

Alhamdulillah, hasil tuaian kali ni ramai yang dapat merasa - jiran-jiran, kawan-kawan kerja Encik Suami dan keluarga. Ada juga yang bertanya lagi sebab sedap katanya. 







Monday, 25 November 2024

Warung Tepi Sawah 2769, Kangar

Pagi hari Sabtu lalu, saya dan Encik Suami ke sebuah tempat makan yang terkenal di Perlis iaitu Warung Tepi Sawah 2769 yang terletak di Kampung Bohor Janggus, Kangar, Perlis. Walaupun tempat ini cukup terkenal, tetapi ini merupakan kali pertama kami ke sini. Saya sebenarnya kurang berminat ke tempat yang menjadi tumpuan terlalu ramai orang, sebab tu saya ambil masa cukup lama untuk rajinkan diri mencuba makan di sini iaitu setelah setahun menetap di Perlis 😄

Perjalanan dari rumah kami mengambil masa kira-kira 35 minit dengan jarak 29 km. Jauh juga nak sampai ke sini. Gigih kami keluar awal pagi untuk menjadi antara yang awal tiba di Warung Tepi Sawah. Hari hujung minggu di Perlis, sana sini tempat makan terkenal akan dipenuhi dengan pengunjung dari luar Perlis.

Alhamdulillah kami tiba sebelum pukul 8 pagi, masih boleh dapat parkir dengan mudah di ruang parkir berbayar. Masalah utama di sini - tiada ruang parkir khas dan percuma untuk pelanggan. Pelanggan perlu parkir di bahu jalan - berbahaya dan ganggu lalu lintas. Kami memilih untuk parkir di tanah lapang yang terletak betul-betul di sebelah Warung Tepi Sawah dan membayar caj RM2 sekali masuk.

Dari jauh nampak macam ada kenduri - banyak kenderaan parkir di bahu jalan. Di bahu jalan ini juga ada penjual buah salak dan penjual produk tempatan - ikan pekasam dan belacan.

Ruang parkir berbayar. Sebelahnya itulah bangunan dua tingkat Warung Tepi Sawah.

Sebaik melangkah masuk, kita akan nampak deretan gerai jualan. Konsep di sini - layan diri. Terdapat 10 buah gerai yang menjual pelbagai makanan. Kita perlu beli dan bayar terus di gerai, kemudian perlu tunggu atau datang sekali lagi untuk ambil makanan yang dipesan.

Antara makanan yang di jual - nasi lemak bungkus, lempeng, bubur nasi dan pelbagai pilihan kuih dalam pek kecil.

Alhamdulillah masih ada meja untuk kami berdua duduk di bahagian bawah. Dapatlah kami menikmati sarapan dengan pemandangan indah sawah padi menghijau dan banjaran bukit.

Encik Suami beli nasi kambing bakar, harganya RM17. Nasinya banyak tapi keras 😅. Daging rasa sedap tapi ada bahagian lembut dan ada bahagian liat.

Pilihan saya - roti sarang burung special (roti canai + telur mata + daging), harganya RM7. Sedap lembut rotinya, tapi kuahnya agak cair tak kena dengan cita rasa saya.

Minuman saya - teh tarik yang sangat manis! Memang tak habis diminum.

Selesai bersarapan, kami berjalan-jalan menikmati keindahan alam di sini. Sebelum tu, sempatlah saya bantu mengambil foto pasangan yang datang jauh dari Kuala Selangor. Katanya, mereka pertama kali ke sini. Kami pun pertama kali juga, pada hal menetap di Perlis 🤭

Pengalaman pertama saya berjalan di antara petak sawah padi 😀. Indah sungguh pemandangan di sini, sawah padi menghijau dengan berlatarkan Banjaran Nakawan - perbukitan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand.

Kalau kalian teringin nak menikmati hidangan pagi dengan suasana kampung dan pemandangan sawah padi serta perbukitan, bolehlah cuba makan di sini. Carian Google Maps - Warung Tepi Sawah 2769. Bagi kami pula, agak kurang berminat untuk datang lagi ke sini.







Thursday, 21 November 2024

Foto Alam | 20 November 2024

Sudah beberapa ketika saya tak melakukan aktiviti morning walk sebab tak mahu meredah rumput kemuncup yang semakin tinggi. Ada hari yang saya redah juga, habis penuh kemuncup di seluar walaupun dah memakai kasut kebun. Jenuhlah nak bersihkan kemuncup di seluar dan kulit jadi gatal terkena kemuncup.

Kelmarin rumput sudah pun dipotong, jadinya pagi semalam - hari Rabu, 20 November 2024 dapatlah saya kembali menikmati suasana pagi dan memerhatikan keindahan alam. 

Daytime moon - bulan menghiasi langit siang.

Pemandangan kawasan berbukit di belakang rumah saya, dipenuhi dengan bunga kecil warna kuning.

Bergantungan buah-buah warna merah di celahan pokok pagar. Ada yang tinggal separuh, mungkin di makan burung. Menurut jiran, ini buah timun tikus.

Saiznya kecil, berwarna hijau kemudian bertukar merah apabila sudah tua. Carian saya mendapati, ia sejenis pokok herba dan dijual dengan harga yang tinggi di Shopee. Tak pastilah jika ia jenis yang berbeza (tetapi sama nama).

Sejak bulan lepas, saya perasan kehadiran burung bersaiz besar ini. Entah apa namanya tapi mungkin spesis burung hijrah kerana ia hadir pada tempoh tertentu sahaja. Cantik rupa burung ini dengan badan berwarna coklat muda berjalur putih dan bahagian bawah sayap berwarna putih. Selalu ada di sekitar rumah saya - mencari makan di tepi rumah dan terbang sambil berbunyi kuat ‘uokk…uokk…uokk’.

Sangat sukar saya nak memotret burung ini, walaupun ia selalu ada di tepi rumah dan dapat dilihat menerusi tingkap rumah. Derianya sangat peka dengan kehadiran saya dan segera terbang pergi. Alhamdulillah kali ini saya berjaya memotret, tetapi dari jauh dengan menggunakan lensa zoom-in. Hasil foto tak begitu jelas tapi bolehlah nampak bagaimana rupa burung ini.

Dalam masa beberapa detik, burung ini segera terbang dan hinggap pula di dahan pohon besar.

Terima kasih Allah yang memberi kesempatan buat saya menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Menghargai sekecil-kecil nikmat akan membuat hidup kita rasa lebih bahagia.







Tuesday, 19 November 2024

Kembali Ke Tanah Air Dengan Penerbangan China Southern Airlines

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]


NAIK BAS DARI HOTEL KE LAPANGAN TERBANG
Hari terakhir di bumi Guangzhou, kami mendaftar keluar hotel seawal pukul 5.25 pagi. Penginapan kami di Liz Hotel menyediakan perkhidmatan airport transfer, jadi mudahlah pergerakan kami nak ke lapangan terbang pada waktu awal pagi.

Syukur juga waktu Subuh di sini awal iaitu sekitar pukul 5 pagi, solat Subuh dapat dilakukan di bilik hotel dengan mudah dan selesa. Setakat yang saya tahu, tiada ruang solat disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun.

Di lobi hotel, rupa-rupanya dah ramai orang berkumpul untuk sama-sama menaiki bas ke lapangan terbang. Tak lama menunggu, sebuah bas tiba di perkarangan hotel. Mulanya terpinga-pinga jugalah kami sebab staf hotel beri makluman dalam bahasa Cina. Kawan Cina Malaysia Encik Suami tiada bersama kami sebab dia menginap di hotel berbeza.

Encik Suami letak beg dalam ruang penyimpanan yang terletak di kanan dan kiri badan bas, saya pula terus naik untuk mendapatkan tempat duduk. Pemanduan di sini sebelah kiri, jadinya pintu masuk bas terletak di sebelah kanan. Bila dah berada dalam bas, eh…tempat duduk dah penuh. Kami kemudian diarahkan masuk ke sebuah bas lain yang baru tiba. Masa ni agak kelam kabut sebab beg dah masuk dalam bas pertama.

Dengan bantuan Google Translate, barulah kami faham - nanti kedua-dua bas akan bergerak bersama dan berhenti tempat sama. Jadinya kami naik bas kedua, beg pula dalam bas pertama. Rasa risau juga bila beg di bas lain. Tak boleh buat apa kecuali tenangkan diri dan banyak berdoa.

Perjalanan menaiki bas menuju ke lapangan terbang mengambil masa kira-kira 15 minit. Mula-mula bas berhenti turunkan penumpang di Terminal 1, kemudian barulah kami pula turun di Terminal 2. Alhamdulillah tak ada sebarang masalah, hilang rasa berdebar bila dapat ambil beg di bas pertama.


PEMERIKSAAN KETAT DI PINTU MASUK LAPANGAN TERBANG
Di setiap pintu masuk bangunan lapangan terbang, kelihatan begitu sesak dengan orang ramai. Hairan juga saya, nak masuk bangunan pun dah sesak. Rupa-rupanya ada pemeriksaan keselamatan - anti-explosive checking. Setiap orang yang masuk akan dicalit dengan sesuatu (entah apa benda kecil di tangan petugas keselamatan) pada badan dan beg yang dibawa.

Kemudian kami semua bergerak ke hadapan sedikit, berkumpul dan menunggu seketika di situ untuk security screening. Seorang petugas memerhatikan hasil imbasan di sebuah skrin. Lepas tu barulah penghadang di buka.

Begitulah ketatnya prosedur keselamatan di sini, maklumlah China negara besar maka kawalan keselamatan perlu lebih ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Rabu, 25 September 2024 | 6 pagi.
Kami ke kaunter P - China Southern Airlines bagi urusan daftar masuk. Percubaan kami nak check-in secara online, gagal. Entah kenapa susah betul nak register untuk log in laman webnya. Kesannya, kami tak dapat pilih seat lebih awal dan tak dapat request menu halal. Untuk menu halal tu ada cara lain juga - boleh buat request menerusi e-mel.

Semasa nak ke pintu pelepasan, saya ternampak sebuah kedai makan halal - Lanzhou Beef Noodle. Masih ada masa jika kami nak makan, tapi kami tak mahu ambil risiko perut meragam dalam penerbangan jika makan makanan berat pada awal pagi begini.


CHINA SOUTHERN AIRLINES
Pesawat China Southern Airlines.

Pukul 7.30 pagi, kami masuk pesawat. Di pintu pesawat, tersedia beberapa jenis surat khabar. Encik Suami ambil akhbar berbahasa Inggeris - China Daily. Krew kabin wanita berpakaian warna maroon purple dan skirt paras lutut berjalur serong menyambut mesra para penumpang.

Pesawat yang kami naiki ni besar - tempat duduk 3-3-3. Krew kabin menunjukkan tempat duduk saya yang terletak di bahagian kanan pesawat. Tandasnya juga ada banyak - di bahagian depan, tengah dan belakang. Di setiap bahagian ada dua unit tandas. Boleh bayangkanlah macam mana besar dan ramainya penumpang dalam pesawat ni.

Hasil foto zoom-out.
Tempat duduk kami 49B dan 49C- emergency seat di bahagian tengah pesawat. Tadi di kaunter kami minta untuk duduk bersebelahan, dan cuma di sini saja yang ada kekosongan. Saya duduk di tengah, Encik Suami di kanan (aisle) dan seorang remaja perempuan Cina di sebelah kiri (tepi tingkap).

Krew kabin cing cong cing cong nak menerangkan kepada saya berkenaan tugasan selaku penumpang emergency seat. Segera saya minta krew kabin bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ini pengalaman pertama saya duduk dalam pesawat dengan ruang hadapan kosong tanpa kerusi penumpang lain. Luas dan selesa. Kerusi berlipat depan saya tu tempat duduk krew kabin semasa pesawat berlepas dan mendarat. Buat pertama kalinya juga, saya mencuba guna lavatory (tandas) dalam pesawat sebab dah ada depan mata. Walaupun duduk dekat dengan tandas, tak ada sebarang bau tak menyenangkan. Kerap juga saya lihat krew kabin masuk membersihkan tandas.

Penat jadi krew kabin, mereka ke sana ke sini memenuhi keperluan penumpang dan sentiasa memeriksa serta membantu dengan senyuman mesra. Saya baru je nak mencari mana butang lampu membaca, terus ada yang datang membantu. 

Disebabkan tak request menu halal, tak dapatlah kami menikmati hidangan yang disediakan. Kami cuma ambil buah pisang dan minuman teh/kopi. 

Penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur mengambil masa kurang 4 jam. Bagi mengisi masa dan menghilangkan rasa bosan - selain melelapkan mata, saya baca buku travelog ke Bhutan. Nak menonton cerita di skrin, saya kurang gemar.

Alhamdulillah penerbangan kami selamat mendarat di Kuala Lumpur pada waktu tengah hari. Urusan ambil beg agak lama, letih menunggu conveyor berpusing-pusing tak muncul beg kami. Pesawat besar, penumpang ramai, beginilah keadaannya. Syukurlah akhirnya muncul juga beg kami, risau juga kalau terjadi masalah.

Dari lapangan terbang, Encik Suami memandu kereta menuju ke restoran Salomak Sampodeh di Nilai bagi memenuhi kerinduan tekak pada masakan tradisi Negeri Sembilan. Eleh…baru pergi China 4 hari 4 malam dah sibuk rindu makanan Malaysia 😝. Pada hal perut memang lapar, maklumlah tak makan berat sejak dari pagi.

Dari NS kami meneruskan perjalanan kembali ke rumah Perlis. Alhamdulillah kami selamat sampai pada pukul 3.30 pagi, hari Khamis.


SEMBILAN TAHUN BERLALU…
Catatan trip mengejut saya ke Guangzhou, China berakhir di sini.

Pengalaman yang menarik buat saya dapat berkunjung ke Guangzhou buat kali kedua. Banyak perbezaan dapat saya saksikan, antaranya - tiada lagi bau hancing di laluan pejalan kaki kerana sudah banyak tandas awam disediakan (merata-rata ada kod QR untuk imbas lokasi tandas awam), tiada lagi orang meludah sana sini, tiada perebutan dan pergaduhan ketika penumpang menaiki Metro dan beberapa hal lain.

Hampir sembilan tahun berlalu, suasana di Guangzhou berubah menjadi lebih baik.







Thursday, 14 November 2024

Family Mart dan GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selepas menikmati hidangan makan malam di Xinding Beef Noodles dan sementara menunggu kenderaan datang ambil, kami menuju ke Family Mart yang terletak tak jauh dari restoran tadi.

FAMILY MART
Sajalah masuk nak tengok bagaimana rupa Family Mart di China, sambil tu bolehlah membeli jika ada yang bersesuaian.

Pandangan dari luar kedai. Tak ramai pelanggan masa ni, mudahlah saya nak membelek makanan yang dijual di sini.

Di kaunter, nampak macam mesin minuman soya. Di Malaysia ada tak ya? Tak perasan pulak saya, jarang-jarang masuk Family Mart.

Nampak menarik makanan yang dijual. Pusing-pusing kedai, kami akhirnya cuma membeli buah pisang sebagai bekalan sarapan esok pagi. Untuk makan supper, kami dah membeli Chinese burger di restoran tadi.

Family Mart menjadi tempat terakhir aktiviti jalan-jalan kami di Guangzhou, perjalanan diteruskan menuju ke hotel penginapan yang terletak berhampiran lapangan terbang.

Kami menempuh jalanan sesak pada waktu puncak. Jalan raya padat dengan pelbagai jenis kenderaan, di sesetengah tempat ada polis trafik yang menjaga lalu lintas.

Situasi bertukar lebih tenang dan aliran trafik lancar sewaktu kami memasuki lebuh raya. Dah tenang-tenang, bolehlah berborak dengan pemandu kenderaan - seorang lelaki Cina tempatan yang mungkin berusia pertengahan 50-an. Sudah tentu yang berborak tu kawan Encik Suami, kami berdua duduk di belakang cuma mendengar tanpa memahami 😄

Tapi fahamlah jugak isi perbualan bila kawan Encik Suami terangkan dalam bahasa Melayu. Antaranya - di sini semuanya hanya ada motor elektrik, kenderaan lori dan sesetengah kereta saja yang masih menggunakan minyak. Patutlah sepanjang di sini saya susah nak nampak stesen minyak, saya jumpa sebuah je stesen minyak sewaktu kenderaan kami menghampiri hotel penginapan yang terletak berhampiran kawasan industri.

Kebanyakkan penduduk di sini pula tinggal di rumah pangsa, jadi macam mana mereka nak mengecas kenderaan (basikal, motor, kereta)? Rupa-rupanya, di bahagian bawah bangunan rumah ada disediakan tempat untuk mengecas dengan bayaran tertentu. Seperkara lagi - menggunakan basikal elektrik tak perlukan lesen, sebab tu ramai pengguna basikal elektrik di sini. Beli dan bawa terus.

Borak punya borak (baca : orang lain yang berborak, kami cuma mendengar 😂), Alhamdulillah pada pukul 7.20 malam kami sampai di hotel penginapan untuk malam terakhir di Guangzhou. Perjalanan tadi mengambil masa kira-kira 1 jam.


GZ BAIYUN AIRPORT MEHOOD LIZ HOTEL
Bukan main panjang nama, tapi bila sampai di hadapan bangunan hotel - tertera Liz Hotel. Ringkas je nama sebenarnya. Sekali lagi sama seperti ketika nak mendaftar masuk hotel sebelumnya, kami menghadapi masalah sistem tak jumpa tempahan bilik kami.

Gitu gini, akhirnya jumpa juga. Alhamdulillah lega! Mujurlah ada kawan Encik Suami membantu, sebab staf hotel di sini masing-masing nampaknya tak boleh berbahasa Inggeris. Memang boleh guna Google Translate, tapi jadi lambat proses komunikasi.

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Cantik karpet laluan di bilik-bilik penginapan - nampak moden dan ceria.

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Bilik penginapan kami bernombor 5016. Alhamdulillah cukup selesa kecuali tilamnya agak keras, mujurlah cuma satu malam di sini. Langsir tu pulak, boleh buka dan tutup hanya dengan menekan suis. Mudah sungguhlah.

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Sudut pandang menghadap pintu masuk bilik. Singki terletak di luar bilik air. Bilik mandi dan tandas pula berasingan dan dipisahkan dengan dinding kaca. Sama seperti dinding kaca yang menjadi pemisah bilik air dan tempat tidur (rujuk foto). Mujurlah kami berdua suami isteri, kalau datang dengan kawan entah macam mana nak buat urusan peribadi. Tidaklah nampak jelas, tapi nampaklah bayang-bayang tu kan 😄

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Cantik cawan yang disediakan, macam cawan orang hidang untuk tetamu di rumah.

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Pertama kali saya jumpa hotel sediakan macam-macam begini. Sempatlah saya cuba guna facial cleanser dan body lotion yang disediakan.

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Bilik mandi dengan rain showerhead. Puas hati mandi.

Kelengkapan mandian disediakan dalam botol besar. 

GZ Baiyun Airport MeHood Liz Hotel Guangzhou
Ruangan tandas di sebelah bilik mandi. Tak ada paip air, kenalah bawa masuk portable bidet setiap kali nak berurusan di sini. Menariknya, tempat duduk tandas ini dilengkapi dengan pemanas. Bukanlah panas sangat ya, tapi rasa hangat selesa duduk.

Kami melelapkan mata setelah membersihkan diri, solat jamak Maghrib-Isyak dan makan Chinese burger yang dibeli bungkus tadi. Kami perlu tidur awal sebab esok awal pagi akan bergerak ke lapangan terbang.







Tuesday, 12 November 2024

Catatan Hujung Minggu | 9 - 10 November 2024

Hujung minggu lepas, sekali lagi saya dan Encik Suami bermusafir ke wilayah tengah - kali ini ke Bandar Sunway, Selangor. Lewat petang hari Jumaat ‘terima arahan’, malamnya saya kemas beg dan esoknya Sabtu pagi perjalanan dimulakan seawal pukul 7.25 pagi.

Alhamdulillah aliran trafik di lebuh raya lancar tanpa sebarang halangan. Perjalanan mengambil masa kira-kira 7 jam (termasuk berhenti sarapan dan ke tandas) untuk kami tiba di Sunway Pyramid.

Rupa-rupanya, susah sungguh nak mencari parkir di sini - tiada ruang parkir khas untuk tetamu hotel, boleh parkir di mana-mana saja bercampur dengan pengunjung mall. Dari setingkat ke setingkat mencari, pusing beberapa kali dan akhirnya terpaksa pergi ke kawasan parkir yang sangat jauh dari lobi hotel penginapan.


SUNWAY PYRAMID MALL
Nak ke hotel penginapan, perlu melalui mall. Dari tempat parkir nak ke mall pun perlu berjalan jauh - lalu tangga, naik lif, jalan kaki. Fuh!

Ice skating. Tumpang seronok tengok orang main.

Kami jalan-jalan cari restoran untuk makan tengah hari, nampak ada simbol Halal JAKIM di restoran Tea Garden. Bolehlah cuba makan di sini, kita sokong bisnes yang berusaha untuk dapat pengiktirafan Halal JAKIM.

Teh tarik Hainan.

Salted egg bun.

Menu utama - kuetiau goreng dan laksa kari (tiada dalam foto). Walaupun namanya laksa kari, tapi rupa dan rasa lebih kurang macam mi kari.


SUNWAY PYRAMID HOTEL
Kalau tadi susah payah nak cari parkir, rupa-rupanya nak ke bilik penginapan pun tak mudah jugak. Jauh kedudukan lif dengan bilik penginapan - perlu belok beberapa kali ke kanan ke kiri. Memang mengelirukan tiap kali keluar/masuk bilik.

Laluan luas ke bilik-bilik penginapan.

Alhamdulillah dapat bilik yang sangat memuaskan - lengkap segala kemudahan, bersih dan selesa.

Pemandangan dari jendela bilik kami. Di bawah tu laluan antara lobi hotel dan mall.

Bilik airnya luas selesa. Satu je yang tak best - tandasnya menggunakan bidet jenis muncung di tempat duduk tandas, bukan jenis paip untuk spray tangan. Rasa kurang bersih dan kurang puas hati bila bersuci.

Ini paling saya suka! Kerusi membaca/buat kerja dilengkapi dengan meja kecil boleh alih. Sedap duduk melunjur di sini sambil buat kerja atau menonton.

Sunway Lagoon - tempat yang tak pernah saya pergi, kali ni dapat tengok dari jauh. Esok paginya nak sarapan, kami perlu berjalan jauh untuk ke tempat sarapan - berkongsi tempat makan dengan tetamu Sunway Resort Hotel. Dalam perjalanan akan nampak pemandangan dalam foto di atas. Masa ni pukul 7.45 pagi tapi agak ramai jugak pengunjung yang dah masuk ke Sunway Lagoon (klik foto untuk paparan lebih jelas).

Seronoknya bersarapan di sini - terdapat sangat banyak pilihan jenis makanan. Sesuailah dengan tetamu hotel yang ramai dan dari pelbagai bangsa. Sempatlah saya mencuba roti canai bersama kuah dalca, idli bersama chutney kelapa juga chutney tomato, nasi lemak, sushi, dimsum dan pastri. Alhamdulillah semuanya sedap sesuai dengan cita rasa saya. Setiap jenis saya ambil sekadarnya saja untuk merasa. Yang pasti, semua yang diambil mesti dimakan habis.

PINTU BILIK DI BUKA PADA WAKTU MALAM | Sewaktu menginap di sini, berlaku satu hal yang tak dijangka. Kira-kira pukul 10.45 malam - sedang saya melayan mata mengantuk, tiba-tiba terdengar bunyi di pintu bilik kami. Bunyi orang cuba buka pintu, saya biarkan saja memikirkan agaknya ada orang tersilap bilik - kalau silap memang tak akan terbukalah pintunya kan.

Tapi eh…pintu memang benar-benar dibuka! Mujurlah ada door guard, pintu tidaklah terbuka luas. Encik Suami segera berlari ke pintu bilik. Seorang lelaki staf hotel berdiri di depan pintu bersama satu keluarga bangsa Arab. Katanya, dalam sistem daftar mereka - bilik yang kami duduk ni tak ada penghuni. Eh???

Selepas itu, kami terima panggilan dari pihak hotel menerusi telefon bilik. Mereka minta maaf dan minta butiran peribadi (sama seperti ketika mendaftar masuk). Dan seperti yang kami jangka, kad akses bilik kami tak boleh digunakan selepas kejadian tersebut. Esok paginya sebelum pergi sarapan, kami ke kaunter untuk selesaikan hal kad akses. 

Pengajaran di sini, secanggih mana pun sistem atau di hotel bagus mana pun kita menginap - tetap kena bersedia dengan hal begini. Nampaknya selepas ini saya perlu bawa sendal pintu (rubber door stopper) - idea adik saya yang juga pernah mengalami situasi serupa. Saya sendiri, ini merupakan pengalaman kali ketiga - bezanya dua kejadian sebelum ini sewaktu kami menginap di hotel bajet rendah.


Lebuhraya Utara-Selatan, laluan selepas terowong Menora | 6.25 petang.
Suasana senja nan indah sewaktu kami dalam perjalanan kembali ke utara.