Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Saturday, 10 December 2022

Ertugrul - Selesai Musim 3, 4 & 5

Dalam entri pada bulan Januari 2022, saya menulis berkenaan drama bersiri Resurrection Ertugrul (judul Turki - Dirilis Ertugrul) bagi musim 1 & 2 yang telah selesai saya tonton di YouTube. Entrinya DI SINI.

Selepas itu sekitar bulan Februari saya sambung menonton musim 3, 4 & 5 di Netflix pula. Episod terakhir selesai saya tonton semalam. Saya mengambil masa kira-kira 10 bulan jugalah bagi menghabiskan tontonan 3 musim  tersebut. Satu pencapaian baru buat saya (kalaulah boleh disebut sebagai pencapaian 😅), kerana mampu menonton drama bersiri sebanyak ini. Saya tonton semua tanpa melangkau mana-mana episod tau, tetapi ada ketikanya saya percepatkan bila tak sanggup nak menonton lebih lama babak penyeksaan oleh orang Mongol.


Musim 3 | 91 Episod





Musim 4 | 90 Episod





Musim 5 (Akhir) | 88 Episod




————————————————————————————————-


Ertugrul - sebuah drama bersiri paling hebat dan paling menarik yang pernah saya tonton. Kisah yang sarat dengan semangat juang, keyakinan terhadap Allah, nilai kasih-sayang dan aksi-aksi mendebarkan!

Mahu tahu ciri-ciri pemimpin terbaik? Boleh lihat pada watak Ertugrul yang bijak, cekap, tegas, adil, bercita-cita tinggi dan sentiasa ingat matlamat perjuangannya kerana Allah. Watak Ertugrul juga menunjukkan bahawa sebagai pemimpin sesorang itu mesti berlaku adil walaupun dalam soal menjatuhkan hukuman terhadap ahli keluarga dan sahabat yang disayangi.

Biarpun drama bersiri ini bukanlah berdasarkan sejarah yang tepat, tetapi perjalanan juga latar cerita yang menarik, penerapan nilai murni dan lakonan mantap para pelakon sudah cukup untuk menjadikan drama bersiri ini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Selepas ini nak kena tonton drama bersiri Kurulus Osman, kisah pengasas Empayar Uthmaniyyah yang merupakan anak ketiga Ertugrul. Katanya kurang menarik, tapi tak apa kita cuba tonton. Lain orang lain pendapatnya.


To those who say our power is not enough, we will say our faith is enough. To those who say our lifespan is not enough, we will say our history is enough. To those who say that the universe is not enough, we say God is enough for us.
- Ertugrul Gazi





Friday, 28 January 2022

Ertugrul - Selesai Musim 1 & 2

Saya bukanlah seorang yang gemar menonton drama bersiri, tetapi siri Ertugrul telah berjaya membuat saya menonton sehingga musim ke-2. Kali pertama tahu pasal siri Ertugrul rasanya melalui blogger Nohas. Lepas tu muncul pula di YouTube, saya cuba klik dan menontonnya. Eh…syok pulak melayan! Saya tak ingat bila bermula, tapi dah berbulan-bulan juga saya ikuti siri Ertugrul ni.

Resurecction Ertugrul (judul Turki - Dirilis Ertugrul) mengisahkan tentang Ertugrul (sebutannya Er-tu-rul) dan bagaimana bermulanya Empayar Uthmaniyyah. Sebuah kisah genre sejarah dan aksi. Tetapi pastinya bukanlah seluruh jalan cerita adalah berdasarkan fakta sejarah. Bagi saya, itu tidaklah begitu penting. Yang penting jalan ceritanya sangat menarik untuk saya tonton dan mengandungi banyak pengajaran. Aksi berkuda dan pertarungan juga menjadi antara tarikan mengapa saya mengikuti siri ini.

Musim 1 | 76 Episod




Musim 2 | 103 Episod





Ciri-ciri seorang hero yang ada pada Ertugrul.
Watak kegemaran saya, Ibn Arabi (dalam gambar). Tenang mendengar kata-kata nasihatnya. Selain tu saya suka watak Hayme, emak Ertugrul. Seorang wanita dengan peribadi yang kuat.

Siri Ertugrul ada 5 musim semuanya. Tapi cuma ada musim 1 & 2 sahaja di YouTube. Jika di Netflix sudah lengkap 5 musim. Ada peminat Ertugrul kat sini yang dah selesai menonton 5 musim?


Friday, 19 February 2021

Difret | Kisah Perjuangan Menuntut Keadilan dan Hak



DIFRET, sebuah filem dari Ethiopia yang mengangkat kisah perjuangan menuntut keadilan serta hak wanita dan kanak-kanak yang tertindas . Filem yang diterbitkan pada tahun 2014 ini digarap berdasarkan kisah benar.

Adat Yang Menindas, Undang-Undang Yang Tidak Adil
Difret mengisahkan Hirut, seorang budak perempuan berusia 14 tahun yang telah diculik sewaktu dia dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tujuan penculikan adalah untuk berkahwin secara paksa (adat masyarakat setempat membenarkan lelaki menculik gadis yang ingin dikahwini). Tetapi Hirut tidak berminat untuk berkahwin di usia muda (perkahwinan kanak-kanak), sebaliknya bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.

Lebih tragis, pada malam penculikan tersebut Hirut juga telah dirogol oleh lelaki yang menculiknya. Hirut kemudiannya telah membunuh lelaki tersebut sewaktu dia sedang dalam usaha melarikan diri. Hirut kemudiannya menghadapi tuduhan di mahkamah kerana melakukan jenayah pembunuhan.

Nasib malang Hirut mendapat perhatian dan pembelaan oleh seorang peguam wanita bernama Meaza melalui organisasinya, Andinet Women Lawyers Association. Pelbagai usaha dilakukan Meaza untuk mengubah keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Hirut. Apakah pengakhiran kisah ini? Pengakhiran yang membuatkan saya turut sama mengalirkan air mata!

Rentetan daripada kes ini, undang-undang menetapkan bahawa perbuatan menculik untuk berkahwin secara paksa adalah satu kesalahan dan akan dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

* * * * *

Terasa satu kepuasan bila menonton filem Difret. Kesungguhan Meaza dan keberanian Hirut juga memberi suntikan motivasi kepada semua yang sedang berjuang membebaskan diri dari penindasan lelaki. Ya, walaupun di negara kita tidaklah ada adat yang menindas wanita, tapi masih ada lelaki yang meletakkan wanita di kaki untuk dibuat sesuka hati.

Satu lagi yang saya suka bila menonton Difret ni, saya dapat melihat kehidupan dan suasana di Ethiopia. Menginsafkan.

Filem Difret ni saya tonton di YouTube je. Ada sari kata bahasa Inggeris. Filem ini juga memenangi anugerah di Sundance Film Festival dan Berlin International Film Festival pada tahun 2014. Siapa ada masa, boleh la tonton Difret ni ya.


Tuesday, 14 April 2020

Grave of The Fireflies | Derita Si Kecil Mangsa Perang

Sebuah filem lama yang baru saya ketahui dan menontonnya. Kisah yang membekas di hati saya.


Grave of The Fireflies, sebuah filem animasi Jepun mengenai kisah perjuangan hidup dua beradik di Kobe, Jepun pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua. Filem hasil garapan Isao Takahata dan animasi oleh Studio Ghibli ini dihasilkan pada tahun 1988.

Filem berlatarkan tahun 1945 ini dihasilkan berdasarkan kisah benar yang ditulis oleh Akiyuki Nosaka.


Dua beradik iaitu Seita (14 tahun) dan adiknya Setsuko (4 tahun) melalui pelbagai kesukaran untuk terus bertahan hidup sewaktu meletusnya Perang Dunia Kedua. Seita digambarkan sebagai seorang abang yang sangat prihatin dan menyayangi adiknya Setsuko.


Sepanjang menontonnya, memang mudah saya mengalirkan air mata bila melihat si kecil Setsuko dan abangnya melalui penderitaan kesan peperangan ini.

Detik yang paling hiba, apabila Setsuko menghulurkan rice ball yang dibuatnya (gambar di atas) kepada Seita. Rice ball tersebut sebenarnya hanyalah kepalan lumpur/tanah, hasil imaginasi Setsuko yang sedang kelaparan 😢. Dan selepas itu, Setsuko akhirnya menemui ajal akibat kebuluran. Begitu juga abangnya, Seita.


Official trailer Grave of The Fireflies

Sesungguhnya, peperangan mengakibatkan kesengsaraan hidup dan meninggalkan parut luka yang amat dalam kepada yang melaluinya.

Bagi yang belum pernah menonton filem animasi ini, bolehlah menonton bersama anak-anak supaya mereka memahami derita peperangan dan lebih menghargai kehidupan yang ada.


Perang Dunia Melawan COVID-19

Hari ini, dunia sekali lagi sedang berperang. Sebuah peperangan menentang sesuatu yang tak nampak dek mata kasar, namun kesannya besar jika tertewas. Detik ini, kita hilang kebebasan untuk hidup normal. Dan ramai juga yang sedang menderita kekurangan makanan, kesan peperangan ini.

Esok, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga (15 April - 28 April 2020). Semoga kita semua terus bertahan untuk berjuang 'duduk di rumah'. Memang tak mudah, saya sendiri kadang-kala terasa stress. Entah rindukan bau hutan, atau entah bosan dek terperap di rumah tanpa sekali pun keluar sejak PKP dilaksanakan. Apa pun yang kita rasa, kita tiada pilihan selain terus berjuang. Kepada Allah kita memohon kekuatan jiwa. Kita mesti menang!