Wednesday 21 August 2019

Terapi Alam

Ahad | 18.08.2019

Kunjungan kali ketiga ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan untuk tahun 2019. Saya dan suami tak bosan ke sini sebab ada beberapa pilihan tempat menarik dan pilihan laluan hutan.

Untuk kali ini, tujuan kami adalah ke Bukit Batu Putih. Kami memilih masuk melalui laluan hutan yang sedikit sukar dan keluar melalui laluan yang lebih mudah. Maksudnya pergi dan balik melalui laluan berbeza.

jalan tar ➡ hutan ➡ pantai (Monkey Bay) ➡ hutan ➡ BUKIT BATU PUTIH ➡ hutan ➡ jalan tar



TERAPI ALAM

Berjalan di dalam hutan membuatkan saya rasa tenang dan bahagia. Saya suka memerhati kepelbagaian jenis tumbuhan di sekeliling, bagaikan suatu terapi yang memberikan rasa gembira.

Walaupun terkadang rasa terseksa bila perlu mendaki laluan sebegini, berulang kali berkata dalam hati 'Cukuplah! Ni last masuk hutan...tak larat manjat'. Berjalan dengan langkah pendek, sambil mengatur nafas (ambil nafas dari hidung dan hembus di mulut). 

Setibanya di kawasan puncak Bukit Batu Putih, perlu panjat batu ni jika nak berada di puncak bukit. Tapi untuk kunjungan kali ni, kami memilih untuk teruskan perjalanan ke satu lagi tempat menarik di hutan ni. Selepas batu ni, ada satu laluan hutan. Teruskan berjalan kira-kira 10 minit.

Sampai tempat dituju. Terasa hilang kepenatan berjalan di dalam hutan bila memandang keindahan begini. Ini adalah kali kedua kami tiba di sini, kali pertama pada tahun 2018 saya tak catatkan di blog.

Mata menikmati keindahan lautan luas, telinga melayan irama ombak yang menghempas, sesekali angin bertiup memberi rasa nyaman. Begitu melekakan, indah dan tenang. Allah menciptakan alam begitu sempurna untuk kita syukuri dan nikmati. Alhamdulillah!


Tumbuhan
Antara tumbuhan yang menarik perhatian saya kali ini :

Rupa seakan buah Rambai, biji berwarna seakan purple. Cantik! Nampak macam dah dimakan (mungkin tupai atau monyet).

Pokok bunga dicelah batu. Permukaan batu pun unik.

Rumpai Laut yang terdapat di pesisir pantai 'Monkey Bay'. Tumbuhan akuatik yang tumbuh di kawasan perairan yang bersih - terutamanya di kawasan terumbu karang dan pantai yang terlindung.

--------------------------------------------------------

[info] Terapi hutan merupakan salah satu kaedah yang dipraktikkan di negara maju seperti Jepun dalam membantu mengurangkan masalah tekanan mental. (sumber : upm.edu.my )

Kehidupan hari ini banyak perkara yang membuatkan kita rasa tertekan, dan alam menyediakan terapi yang tersendiri. Tak perlu masuk ke dalam hutan, menghabiskan masa di taman-taman rekreasi juga memadai. Terapi alam - terapi yang murah dan mudah!

Wednesday 14 August 2019

Orkid Harimau

Balik kampung raya haji kali ni saya berpeluang melihat bunga Orkid Harimau yang sudah mulai kembang di laman rumah mertua. Ini bukanlah kali pertama saya bercerita mengenai orkid hutan di blog saya, sudah beberapa kali dengan catatan terakhir mengenainya adalah pada tahun 2013. Setelah 6 tahun, saya catatkan lagi sebagai rujukan/rekod.

Teringat pulak pada kata-kata guide sewaktu lawatan saya ke Taman Pertanian Sabah, mengenai tuah - ada kepercayaan yang percaya bahawa mereka yang dapat melihat bunga Orkid Harimau mempunyai tuah. Hehe...memanglah bertuah dapat tengok bunganya, sebab Orkid Harimau jarang-jarang mengeluarkan bunga!

Saya suka lihat pokok Orkid Harimau sebab ia bersaiz besar dan rupa bunga yang menarik. Pokok yang unik. Tapi ini pun belum cukup besar, ada orang tanam jadi lebih tinggi setinggi orang dewasa.

Rupa bunga yang sudah kembang. Bunganya berwarna kuning dengan tompokan / berbintik seakan warna merah tua. Bukan sahaja rupa bunganya cantik, ia juga berbau wangi.

Ni pulak rupa bunga yang masih belum kembang sepenuhnya.

-------------------------------------------------------

Rupa-rupanya dah ada yang menjual Orkid Harimau jenis hybrid - pokok kecil dan mudah berbunga. Bunganya pun kecil, tapi tak pasti samada ia berbau wangi sama macam Orkid Harimau dari hutan. Boleh la jadi alternatif untuk yang teringin nak tanam Orkid Harimau tapi tiada ruang yang luas dan nak cepat-cepat tengok bunganya.

Tuesday 6 August 2019

Ana Burger D'Cafe, Bintong, Kangar

Hujung minggu yang lalu, saya dan suami ke utara tanah air atas urusan kerja. Mula-mula ke Kuala Nerang, Kedah dan lepas tu terus ke Kangar, Perlis. Di Kangar kami tumpang bermalam di rumah adik suami. Malam tersebut adik ipar dan suaminya membawa kami untuk makan malam di Ana Burger D'Cafe.

Sebuah restoran yang luas, lengkap dengan kemudahan tempat letak kereta, tandas dan surau. Suasana sangat meriah, macam ada kenduri pulak tau. Siap ada hiburan halwa telinga oleh kumpulan busker. Hampir semua meja penuh dengan pelanggan, mujur masih ada ruangan untuk kami seramai 6 orang.

Tu diaaa...air minuman saiz besar. Bukan minum sorang satu ni, kongsi-kongsi.

Saya dan suami kongsi jus tembikai asam boi ni. Sedap dan segar, tapi terlebih manis jadi kami tambah air kosong (disediakan percuma). Yang tutup muka tu anak saudara, beria-ia mengelak muka masuk dalam gambar...haha!

Tak terlalu lama menunggu, hidangan kami pun tiba. Set hidangan kombo untuk kami semua makan bersama-sama. Lebih mesra gitu...hehe. Pinggan disediakan untuk tiap seorang.

Semua nampak sangat menyelerakan!

Ok, makanan dah siap bergambar....baru boleh makan. Tengah cucuk garfu pun kena stop, ambil gambar satu dulu ya. Hahah...

Daging burger dihasilkan sendiri, siap ada cheese di dalamnya. Menarik!

Sedang kami menikmati hidangan, suasana yang memang meriah jadi bertambah meriah sebab pelayan restoran bawa burger bertingkat ni untuk meja pelanggan berhampiran kami. Entah berapa tingkat la tu, tinggi sungguh! Sebelum tu memang ada je pelanggan lain makan burger bertingkat, tapi tak setinggi ini. Tak lama kemudian, pelayan bawa keluar kek dan diiringi nyanyian lagu 'Happy Birthday' oleh kumpulan busker. Kami dan pelanggan lain turut memberikan tepukan selesai nyanyian tersebut. Mesti seronok yang empunya diri tu kan, satu restoran sambut hari lahirnya.

-------------------------------------------------------

Kalau korang ada ke Kangar bolehlah mencuba selera di restoran ANA BURGER D'CAFE ni. Memang saya puashati - tempat luas, kemudahan lengkap, bersih, layanan baik dan suasana makan yang meriah. Paling penting ada pelbagai pilihan menu menarik. Kalau tak lapar pun boleh jadi lapar tengok menu dan nampak hidangan pelanggan lain - semua menarik! Macam hidangan yang kami makan tu, bagi saya memang sedap dan puas hati. Untuk info, hiburan oleh kumpulan busker hanya pada hari Sabtu malam.

LOKASI :
Jalan Raja Syed Saffi, Bintong, Kangar, Perlis
<<< Klik Google Maps DI SINI >>>

WAKTU OPERASI :
12 tengah hari - 12 malam