Monday 31 January 2022

Nasi Lemak Kambus, Taiping

AHAD | 23.01.2022

Cuti hujung minggu, encik suami ajak berjalan-jalan ke Taiping, Perak. Tak begitu jauh dari rumah kami di PP, pemanduan sekitar 1 jam 15 minit sahaja. Destinasi utama kami - Taman Tasik Taiping. Suatu masa dulu pernahlah juga kami ke Taiping, tapi tak sampai ke Taman Tasik Taiping.

Sebelum pergi, saya buat carian di Facebook berkenaan tempat makan sarapan sedap di Taiping. Saya pilih salah satu nama kedai yang dicadangkan oleh warga maya iaitu Nasi Lemak Kambus.

Nasi Lemak Kambus Taiping
Kami tiba di kedai Nasi Lemak Kambus menghampiri pukul 9 pagi. Orang tak begitu ramai, kami masih dapat ruangan parkir berhampiran dan boleh memilih meja makan.

Nasi Lemak Kambus Taiping
Kami pilih duduk di ruangan luar tepi kedai. Rasa lebih lapang dan seronok dapat melihat pokok-pokok tanaman yang nampak dijaga baik oleh pemilik kedai. Di atas meja tersedia buku menu berserta borang pesanan dan pensil. Ada 6 menu pilihan semuanya. Kami pilih Nasi Lemak Kambus dan Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah. 

Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah pilihan suami. Lepas dapat hidangan kami ni, terdengar orang kedai kata “Nasi Lemak Kambus Ayam Berempah dah habis..” kepada seorang pelanggan. Cepat betul habisnya, mungkin ramai yang dah datang lebih awal atau bungkus bawa pulang. Memang saya nampak ramai juga yang beli bungkus dalam kuantiti yang banyak.

Nasi Lemak Kambus Taiping
Nasi Lemak Kambus pilihan saya. Apa tu nasi lemak kambus? Nasi lemak yang dibungkus dengan telur dadar, dihidang bersama sambal ikan bilis, kacang, hirisan timun dan opak. Sedap dan memuaskan selera.

Menu Nasi Lemak Kambus ni cuma ada pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hari lain ada menu biasa sarapan pagi seperti nasi lemak dan roti canai. 

Kalau nak ke sini, buat carian di Google Maps ‘Nasi Lemak Kambus’. Lokasinya bersebelahan Muzium Perak. Kawasan parkir agak terhad. Waktu operasi bermula 7.30 pagi - 12 tengah hari






.

Friday 28 January 2022

Ertugrul - Selesai Musim 1 & 2

Saya bukanlah seorang yang gemar menonton drama bersiri, tetapi siri Ertugrul telah berjaya membuat saya menonton sehingga musim ke-2. Kali pertama tahu pasal siri Ertugrul rasanya melalui blogger Nohas. Lepas tu muncul pula di YouTube, saya cuba klik dan menontonnya. Eh…syok pulak melayan! Saya tak ingat bila bermula, tapi dah berbulan-bulan juga saya ikuti siri Ertugrul ni.

Resurecction Ertugrul (judul Turki - Dirilis Ertugrul) mengisahkan tentang Ertugrul (sebutannya Er-tu-rul) dan bagaimana bermulanya Empayar Uthmaniyyah. Sebuah kisah genre sejarah dan aksi. Tetapi pastinya bukanlah seluruh jalan cerita adalah berdasarkan fakta sejarah. Bagi saya, itu tidaklah begitu penting. Yang penting jalan ceritanya sangat menarik untuk saya tonton dan mengandungi banyak pengajaran. Aksi berkuda dan pertarungan juga menjadi antara tarikan mengapa saya mengikuti siri ini.

Musim 1 | 76 Episod




Musim 2 | 103 Episod





Ciri-ciri seorang hero yang ada pada Ertugrul.
Watak kegemaran saya, Ibn Arabi (dalam gambar). Tenang mendengar kata-kata nasihatnya. Selain tu saya suka watak Hayme, emak Ertugrul. Seorang wanita dengan peribadi yang kuat.

Siri Ertugrul ada 5 musim semuanya. Tapi cuma ada musim 1 & 2 sahaja di YouTube. Jika di Netflix sudah lengkap 5 musim. Ada peminat Ertugrul kat sini yang dah selesai menonton 5 musim?


Thursday 27 January 2022

Pendakian Pertama di Tahun 2022 | Gunung Keriang, Kedah

AHAD | 16.01.2022

Gunung Keriang merupakan bukit batu kapur berketinggian 217.92 mdpl (meter di atas permukaan laut) yang terletak kira-kira 9 km dari Alor Setar, Kedah. Kedudukannya di tengah-tengah jelapang padi Kedah menyajikan pemandangan indah bagi para pendaki. Gunung Keriang juga terkenal dengan kecantikan batu kristalnya.

Untuk ke sini, buat carian di aplikasi Google Maps ‘Gunung Keriang Peak Trailhead (Behind Shop)’. Laluan permulaan pendakian Gunung Keriang terletak di belakang deretan kedai. Kawasan parkir disediakan secara percuma. Tandas awam ada, tapi nampaknya tak boleh digunakan masa saya ke sini. Di deretan kedai tu pula, ada kedai yang menjual batu kristal Gunung Keriang. Tapi saya tak berkesempatan melihat-lihat, masa sampai nak cepat mendaki dan masa balik dah penat serta lapar nak cepat makan pula.

Jom kita mulakan pendakian…

Saya dan suami memulakan pendakian di Gunung Keriang pada pukul 10.15 pagi. Kita akan melewati kawasan perkuburan Islam (di sebelah kiri saya).

Permulaan pendakian, mendaki anak-anak tangga.

Disebabkan Gunung Keriang merupakan bukit batu kapur, maka hampir keseluruhan laluan kita perlu memanjat batu. Satu cabaran dan pengalaman baru bagi saya dan suami. Ada laluan yang agak sukar dan ada laluan yang mudah dengan bantuan handrail atau tali. Sambil tu perhatikan juga pelbagai formasi batuan yang unik di sepanjang perjalanan. Tapi awas, kena berhenti kalau nak memerhati sebab kita mendaki batuan perlu kekal fokus melihat setiap langkah.

Gunung Keriang, Kedah
Pemandangan indah negeri Kedah yang dapat kita saksikan sewaktu pendakian.

Eh, ada dekorasi juga di atas ni ya. Nampak macam baru di buat. Ada juga dekorasi kayu berbentuk arnab di tepi tu. Bolehlah bergambar sambil melepas lelah di sini. Walaupun menurut pendapat saya alam semula jadi lebih indah kekal seperti adanya, tetapi dekorasi begini saya masih boleh terima kerana menggunakan bahan semula jadi. 

Antara formasi batuan yang menarik. Macam disusun. Sampai di sini, terdapat satu papan tanda. Ke kiri (atas) menuju ke puncak Gunung Keriang dan ke kanan (bawah) menuju ke Gua Terus. Tapi sayangnya, laluan ke Gua Terus sudah di halang dengan pita dan terdapat notis larangan. Menurut info dari pendaki lain, Gua Terus ditutup disebabkan terdapat runtuhan. Nampaknya bukan rezeki kami untuk meneroka Gua Terus.

Antara lubang-lubang gua kecil yang ditemui. Kami jenguk sikit sambil menyuluh ke dalam.

Celahan batu besar ni bukanlah laluan ke puncak. Ada ruangan di sebalik batu besar ni kalau nak menyorok. Saya berdiri setakat di situ saja untuk foto kenangan. 

Antara laluan yang melegakan. Laluan yang susah memang tak sempatlah nak ambil foto.

Menghampiri puncak, pemandangan yang cantik di bawah sana. Hati-hati nak bergambar, batunya agak tajam bergerigi dan panas. Maklumlah, sekarang masuk waktu tengah hari dan sedang musim panas terik di utara. 

Gunung Keriang, Kedah
Alhamdulillah! Dengan izin Allah, saya dan suami selamat sampai ke puncak Gunung Keriang sekitar pukul 11.30 pagi. Lega! Beginilah rupa puncak Gunung Keriang. Terdapat sebuah pondok kecil untuk melepas lelah dan berlindung daripada terik matahari. Tak ada tempat rata, semuanya berbatu dan tajam. Kena berhati-hati mengatur langkah dan memegang batuan yang panas. Syukur juga keadaan berangin di atas ni, kuranglah rasa panas.

Terdapat dua pelantar untuk pendaki berfoto kenangan. Salah satunya di sini - ‘Pelantaq Keriangan’, cantik pelantar ni. Tapi tak boleh ramai-ramai demi keselamatan. Nak bergambar pun jangan lama sangat, kena bergilir dengan pendaki lain ya.

Kalau nak berfoto ada sayap, boleh bergambar di replika (entah apa nak sebut) berbentuk sayap di atas ni. Tapi saya kurang berminat dan berharap benda-benda begitu tak perlulah diletak atas puncak. Pendapat peribadi saya, tempat tarikan alam semula jadi seharusnya dikekalkan begitu adanya kerana itu yang dicari oleh pencinta alam semula jadi. Sudah memadai pondok rehat dan pelantar untuk kemudahan pendaki.

Panorama jelapang padi menghijau dari puncak Gunung Keriang. Sangat cantik dan tenang memandangnya. Dari sudut bertentangan pula, kita boleh nampak Menara Alor Setar. Itulah kelebihan Gunung Keriang, kita boleh lihat panorama hampir 360 darjah (kalau tak terhalang dengan pepohon).

Aktiviti suami saya semasa di puncak, sibuk meneropong. Saya pun dibelikan sebuah binokular yang lebih kecil dan ringan. Memang seronok dapat memerhati bawah dengan lebih jelas.

Kami beredar dari puncak Gunung Keriang setelah menghabiskan masa sekitar 30 minit untuk berehat dan menikmati panorama alam. Perjalanan turun terasa lebih mudah. Namun tetap mencabar sebab perlu menuruni batu-batu pula.

Alhamdulillah kami selamat kembali di kaki Gunung Keriang sekitar pukul 12.40 tengah hari. Rekod perjalanan naik mengambil masa 1 jam 15 minit dan turun mengambil masa 40 minit. Kami ambil masa untuk naik, maklum saja stamina pun kurang dan saya pula banyak berhenti memerhati sekitar. Cuma kali ni tak dapat ambil gambar flora dan fauna sebab tak jumpa sangat, mungkin kerana bukan laluan hutan.

Untuk peminat aktiviti pendakian atau pencinta alam semula jadi, bolehlah cuba mendaki Gunung Keriang ni. Ada cabaran dan keunikan tersendiri. Tak perlukan permit dan tak perlukan juru pandu. Perhatikan saja tanda-tanda yang telah disediakan disepanjang laluan. Pastikan pakai kasut dengan tapak yang bagus dan sarung tangan yang sesuai untuk memudahkan kita memanjat batu-batu. Kalau boleh, elakkan sampai puncak pada waktu tengah hari untuk mengelakkan panas terik.


Tuesday 25 January 2022

Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi

 
Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi
Judul : AKU MAHU MEMBACA 1000 TAHUN LAGI
Penulis : Iman Danial Hakim
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun terbit : Cetakan pertama 2018
Jumlah halaman : 127

Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, buku pertama yang saya baca untuk tahun 2022. Sengaja saya memilih naskhah ini sebagai pemula, dengan harapan tahun ini saya kekal bersemangat untuk mencapai sasaran membaca saya. Alhamdulillah setakat hari ini sudah dua buah buku selesai saya baca, catatan bacaan untuk sebuah buku lagi InsyaAllah akan menyusul.

Buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi merupakan sebuah naskhah perkongsian pengalaman, pendapat, catatan travelog berkaitan dunia perbukuan dan juga ulasan karya oleh penulis.

Ada Apa Dengan Buku?
Antara bab yang menarik di dalam buku ini - kenapa kita membaca buku? Ia juga sebuah pertanyaan buat diri saya, kenapa saya membaca buku? Saya sependapat dengan penulis bahawa buku hadir dengan kata-kata semangat untuk membangkitkan motivasi diri yang kadangkala hilang. Buku juga merupakan sahabat yang mampu mempengaruhi pemikiran pembaca serta berupaya memaknakan hidup. Aktiviti membaca buku juga terbukti sebagai ‘pembunuh masa’ yang efektif. Tidak ada istilah bosan dalam kehidupan seorang pembaca buku kerana masa senggang di isi dengan membaca.

Karya Tere Liye Bukan Sastera?

Karya Tere Liye Bukan Sastera?
Saya tertarik dengan pendapat penulis berkenaan seorang penulis Indonesia - Tere Liye. Ini kerana karya-karya Tere Liye sememangnya begitu dekat di hati saya. Sehingga hari ini saya sudah memiliki 20 buah buku karya Tere Liye dan baru sahaja selesai membaca novel beliau berjudul Pergi.

Menurut penulis, kehebatan Tere Liye adalah kerana kemampuan beliau mengarang kisah kegagalan manusia dalam hidup, ketabahan menempuh cabaran hidup, cara untuk berdamai dengan masa lalu dan lain-lain persoalan hidup dengan jalan cerita yang cukup menarik. Tere Liye meletakkan falsafah hidup sebagai tunjang cerita dan penggunaan ayat-ayat indah, itulah tarikan kuat bagi saya untuk terus membaca karya-karya beliau. Boleh baca entri saya berkenaan ‘Penulis Novel Kegemaran | Tere Liye’.

Antara topik lain yang menarik di dalam buku ini adalah berkenaan cara membedah buku berserta contoh. Juga perkongsian ulasan karya yang menarik dan membuka fikiran saya berkenaan beberapa hal.

Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, bacaan bagus bagi menimbulkan minat dan rasa seronok untuk membaca buku. Juga mampu menjadi motivasi bagi pembaca buku yang mungkin telah mulai hilang semangat membaca.

* Naskhah di tangan saya ni merupakan cetakan edisi lama, sekarang sudah ada cetakan tahun 2022 dengan kulit buku terkini.



Monday 24 January 2022

Senja Nan Indah di Dataran Empangan Timah Tasoh

SABTU | 15.01.2022

Masih cerita di Perlis, negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. Selepas menikmati keindahan panorama di View Point Wang Kelian, saya dan suami ke satu lagi tempat menarik di Perlis iaitu Dataran Empangan Timah Tasoh.

Kami tiba di Dataran Empangan Timah Tasoh pada waktu senja. Masih ramai pengunjung, tetapi tidaklah sesak. Dapatlah kami menyaksikan keindahan matahari terbenam di sini. Golden hour dalam istilah fotografi.

Suasana terlihat lebih indah ketika ini. Sungguh saya terpesona melihat panorama begini. MasyaAllah ❤️

Di dataran ini juga terdapat menara tinjau dan Galeri Paleo Tethys Timah Tasoh.


[Info] Geotapak Timah Tasoh terletak dalam kawasan Empangan Timah Tasoh. Empangan Timah Tasoh merupakan tasik buatan dan menjadi pusat tadahan air hujan di Perlis. Keluasan kawasan takungan adalah 13.3 km² dan dapat menakung sebanyak 40 juta meter padu air. Empangan ini dipengaruhi oleh cuaca panas dan kering yang menyebabkan isipadu air empangan menjadi kurang dan merekah sekitar bulan Januari hingga Mac setiap tahun. Geotapak Timah Tasoh banyak menyimpan maklumat berkenaan geologi dan fosil terutamanya fosil fauna beriklim sejuk di geotapak ini. -sumber perlisgeopark.com

Fosil batuan yang dipamerkan di sini.

Kami menyaksikan detik-detik indah matahari terbenam sehingga hilang di balik perbukitan dari galeri tadi.

Selepas itu kami berjalan dan melihat-lihat sudut lain dataran ini. Masa ni para peniaga gerai makanan sudah pun berkemas, begitu juga penyedia perkhidmatan kayak. Nampaknya jika masih siang, tempat ni mungkin meriah dengan pengunjung dan aktiviti air.

Aktiviti saya ketika ini, sibuk memotret sana sini.

Buaian itu, tadinya saya pun sempat merasa keseronokan berbuai sambil menikmati panorama alam. Orang tak ramai, kuranglah rasa segan seorang makcik ni nak main buaian 😅

Terima kasih Allah yang memberi peluang untuk saya menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya.

Kemudahan, tarikan dan aktiviti yang ada di Dataran Empangan Timah Tasoh.

Kalau datang ke Perlis, bolehlah berkunjung ke Dataran Empangan Timah Tasoh ni ya. Setiap tempat ada keunikan tersendiri untuk kita nikmati. Untuk ke sini, buat carian ‘Dataran Empangan Timah Tasoh’ di aplikasi Google Maps.




Friday 21 January 2022

Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran


Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran
Judul : DI BAWAH TEDUHAN KISAH-KISAH AL-QURAN
Penulis : Syaari Ab Rahman
Penerbit : Paradigma Ibrah
Tahun terbit : Cetakan Ketujuh September 2020
Jumlah halaman : 322
Harga : RM36


Naskhah Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran ini selesai saya tekuni pada penghujung tahun 2021 lalu. Agak lama juga untuk saya menghabiskan bacaan, kerana ia bukanlah bacaan santai sebaliknya memerlukan kita fokus, faham dan fikir. Berfikir tentang apa yang disampaikan oleh penulis dan mengaitkannya dengan kehidupan hari ini.

Mungkin ramai di antara kita yang beranggapan bahawa kisah-kisah di dalam al-Quran hanyalah sekadar kisah sejarah. Tetapi menerusi buku ini penulis membawakan kepada kita keindahan setiap kisah di dalam al-Quran dan menegaskan bahawa kisah-kisahnya di dalamnya bukanlah sekadar satu kisah sejarah. Ibrah (pelajaran) daripada kisah-kisah di dalam al-Quran merupakan petunjuk untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia. 


Antara Isi Penting :
Seluruh buku ini mengandungi ilmu dan sudah tentu banyak isi penting. Saya catatkan sebahagian ringkasan isi penting di sini sebagai rujukan sendiri dan juga perkongsian untuk semua.

1. Al-Quran tidak menceritakan secara terperinci kisah para nabi, tetapi sebahagian sahaja iaitu pada inti pati dan maklumat penting untuk diambil pelajaran.

2. Kisah di dalam al-Quran tidak disampaikan mengikut kronologi, malah terdapat kepelbagaian gaya penceritaan. Ia bukan kebetulan, tetapi bertujuan supaya kita hamba-Nya mengkaji hikmah terjadinya demikian.

3. Terdapat dua mukjizat apabila kisah-kisah al-Quran mendiamkan pelaku sebenar, lokasi sebenar atau masa kejadian sebenar. Pertama, mukjizat ilmiah. Kedua, mukjizat bahasa dan sastera.
4. Al-Quran menggunakan kisah sejarah yang benar untuk membenihkan hidayah kepada manusia hingga hari kiamat.

5. Antara ibrah kisah Nabi Ibrahim AS menghadapi raja kafir (al-Baqarah, ayat 258) :
  • Menunjukkan sentiasa akan ada penentang ajaran tauhid pada mana-mana zaman.
  • Cara berdebat dengan sasaran dakwah perlulah berhikmah untuk menjinakkan hati dan akal mereka, bukan mengikut rentak lawan.
6. Antara ibrah kisah lelaki yang dimatikan selama 100 tahun (al-Baqarah, ayat 259) :
  • Seorang mukmin apabila melihat kejadian alam mestilah berfikir dan merenung persoalan “bagaimana”. Sifat ingin tahu yang mendalam akan mengukuhkan keimanan kepada Allah.
  • Kita mesti meyakini bahawa Allah ada perencanaan untuk “menghidupkan” semula umat Islam sekarang daripada “kematian”.
  • Cara Allah mendidik manusia ialah dengan perlahan-lahan tanpa kejutan, juga dengan santun meraikan aspek psikologi ketika melakukan perubahan.
7. Antara ibrah respon Allah dalam ucapan ibu Maryam (Ali Imran, ayat 36) :
  • Manusia tidak pernah mengetahui hikmah berlakunya sesuatu takdir Ilahi disebalik apa yang disangkanya musibah.
8. Surah al-Nisa ayat 157 merupakan ujian buat kita sejauh mana kita mengutamakan tafsiran para sahabat berbanding tafsiran selain mereka.
  • Hawariyyun dikatakan mengkhianati Nabi Isa. Sedangkan Hawariyyun kerap dipuji keimanan mereka di dalam al-Quran menerusi beberapa surah.
9. Islam adalah agama yang mementingkan syariat (perbuatan yang diperintahkan) dan tujuan syariat (hikmah perbuatan itu diperintahkan). Ini dapat dilihat antaranya menerusi hubungan ayat 22 dengan ayat 26, surah al-A’raf berkenaan pakaian taqwa.

10. Ibrah surah Yusuf ayat 21, manusia perlu percaya bahawa Allah sentiasa ada rencana yang lebih baik untuk kita ketika kita mengeluh atas apa yang menimpa kita.

Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran
Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran

11. Ibrah surah Yusuf ayat 23, Allah mendidik semua lelaki dan wanita agar berjaga-jaga dengan perangkap penzinaan dan pentingnya berdoa memohon kekuatan memelihara diri dari fitnah penzinaan.

12. Ibrah surah Yusuf ayat 36 - 37 berkenaan cara berdakwah :
  • Berdakwah melalui akhlak baik.
  • Senyuman ikhlas.
  • Panggilan nama yang empatik dan penuh kasih sayang.
  • Menggunakan bakat anugerah untuk mengembalikan manusia kepada Tuhan, bukan digunakan untuk mencipta pengaruh peribadi.
  • Mengemukakan soalan-soalan logik sebagai cara memasukkan tauhid ke dalam jiwa sasaran dakwah.
  • Jangan berharap sasaran dakwah terus berubah dengan dakwah kita, perubahan hati ditentukan oleh Allah.
13. Ibrah surah Yusuf ayat 39 - 40, Nabi Yusuf memudahkan kefahaman tauhid dengan membuat perbandingan berkenaan tuhan yang ramai dengan Tuhan Yang Esa lagi Maha Berkuasa.

14. Kita sibuk membahaskan hal yang didiamkan Allah di dalam al-Quran, sedangkan kita lupa membahaskan hal yang terang disebut oleh Allah. Contoh : Kita sibuk mencari berapa orang sebenarnya pemuda al-Kahfi, di mana lokasi gua, apakah nama dan warna anjing Ashabul Kahfi. Tetapi kita belum tadabbur apakah hikmah Allah merakamkan anjing tersebut memelihara keselamatan pemuda Ashabul Kahfi. Al-Quran mendidik kita agar fokus dan memahami prioriti ilmu.

15. Ibrah surah Al-Naml ayat 18 :
  • 4 elemen komunikasi bersifat arahan iaitu pujuk rayu (arahan dengan rasa kasih sayang, bukan bengis/menunjuk kuasa), ketegasan arahan, rasionalisasi (jelaskan rasional arahan yang dikeluarkan) dan timbulkan sangka baik.
16. Ibrah surah Yasin ayat 20 - berhentilah menangisi realiti umat, sebaliknya lakukanlah sesuatu dengan proaktif tanpa memberi alasan atau menuding jari. Allah melihat ikhtiar kita, bukan sejauh mana hasil ikhtiar kita. Fokus pada apa yang ada dalam kawalan kita sahaja.

17. Antara hikmah kisah-kisah al-Quran dipaparkan dalam bentuk dialog :
  • Membuktikan kekuasaan Allah Yang Maha Mendengar semasa peristiwa itu berlaku. Allah mampu membongkarkan apa yang ada dalam hati para pelaku kisah itu, sama ada yang soleh atau toleh.
  • Agar kisah yang disampaikan itu hidup dan menghidupkan hati yang mati.
18. Ilmu Munasabah :
  • Ilmu Munasabah ialah ilmu untuk mengenal pasti rahsia-rahsia di sebalik hubungan antara sesuatu ayat dengan ayat atau sesuatu surah dengan surah yang dapat diterima akal bagi mencapai tujuan membuktikan kemukjizatan al-Quran atas mereka yang meragui kedudukannya sebagai wahyu daripada Allah SWT.
  • Dua asas yang melahirkan Ilmu Munasabah - Pertama, Nabi SAW tidak pernah menjelaskan mengapa sesuatu wahyu yang baru diterima olehnya diletakkan dalam sesuatu surah. Kedua, al-Quran adalah kitab mukjizat yang memiliki kandungan yang saling berkait dengan utuh antara semua unsur-unsurnya sebagai sebuah kesatuan.

Tambah menarik, buku ini turut menyertakan 18 doa para anbiya (beserta keterangan surah/ayat/nama nabi/konteks/ibrah) yang boleh diamalkan oleh kita. Penulis turut memasukkan artikel khas pasca pandemik COVID-19 dan juga lampiran istimewa jadual perbandingan yang indah antara kisah Nabi Yusuf dengan Nabi Musa.

Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran, bacaan permulaan yang baik untuk orang awam memahami keindahan kisah-kisah al-Quran sekaligus menimbulkan kecintaan dan debaran kepada ayat-ayat Allah. Laras bahasa yang digunakan juga InsyaAllah tidak sukar difahami. Tahniah dan terima kasih kepada penulis kerana berjaya menghasilkan penulisan yang begitu bagus dan seronok dibaca.


“Hidup ialah proses pembelajaran membaiki diri dengan kefahaman yang lebih baik terhadap Kitabullah. Ia proses yang berterusan hingga diri bertemu Tuhan.”
- Syaari Ab Rahman, Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran






 .

Tuesday 18 January 2022

View Point Wang Kelian - Panorama Indah Di Ketinggian 304 meter (M.S.L.)

SABTU | 15.01.2022

Suatu ketika dulu Wang Kelian terkenal sebagai salah satu tempat membeli-belah di Perlis. Pada masa tersebut terdapatnya kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen perjalanan untuk rakyat Malaysia dan Thailand pada setiap hari Ahad. Boleh baca catatan pengalaman saya DI SINI.

Setelah 10 tahun berlalu, hari Sabtu lalu saya berkunjung semula ke Wang Kelian untuk ke tarikan terkini - View Point Wang Kelian. Apa yang menarik di sini? Jom kita tengok…

View Point Wang Kelian Perlis
Saya dan suami ke sini pada waktu petang. Setelah melalui perjalanan dengan laluan berbukit (boleh tengok video di hujung entri ini), sampailah kami di sini. Walau pun nampak macam penuh tempat parkir, masih ada beberapa petak kosong. Alhamdulillah dapatlah kami parkir tak jauh dari pintu gerbang View Point Wang Kelian. Tiada caj dikenakan.

View Point Wang Kelian Perlis
Gerbang di View Point Wang Kelian. Berpalang untuk menghalang orang naik dan parkir di atas. Dari sini kita perlu mendaki sikit untuk ke puncak.

View Point Wang Kelian Perlis
Tak begitu jauh, tetapi pemakaian kasut bersesuaian akan lebih memudahkan langkah.

View Point Wang Kelian Perlis
Sampailah kita di puncak. Beginilah suasananya. Ada tempat yang luas untuk pengunjung menikmati panorama, juga tempat menarik untuk bergambar. Terdapat juga deretan gerai makanan dan minuman. Sedap sungguh bau gorengan. Terus rasa lapar…haha!

View Point Wang Kelian Perlis
Teruja sungguh saya! Panorama yang cukup indah. Angin agak kuat di sini, nyaman je rasa walau pun cuaca di Perlis panas terik. Masa ni menghampiri pukul 5 petang.

View Point Wang Kelian Perlis
MasyaAllah indah sungguh landskap alam ciptaan Yang Maha Berkuasa. Tak jemu mata menikmati keindahannya. Nampak macam air/tasik di hujung sana kan? Itulah Empangan Timah Tasoh. 

View Point Wang Kelian Perlis
Pelantar untuk pengunjung berfoto. Tertera tulisan ‘Wang Kelian’ di lantai pelantar. Hati-hati pegang barang, bimbang terbang atau terjatuh dek angin kuat di atas ni.

Bergambar di sudut lain pun masih dapat foto yang cantik sebab tempat ni memang semula jadi cantik.

Antara sudut lain untuk pengunjung berfoto. Buaian pun ada, tapi kena tunggu giliranlah.

Dah puas memerhati sekitar dan berfoto sana sini, jomlah kita makan sebelum beredar dari sini. Sempat saya bertanya kepada seorang penjual, katanya gerai jualan hanya beroperasi pada hari Jumaat-Ahad sahaja. Tapi lupa pula saya nak bertanya waktu operasinya.

Kami beli Char Kuey Teow dan Nasi Goreng, harganya RM11. Juga secawan Cafe Latte, harganya cuma RM5. Servis pantas dan sedap semuanya. Sangat puas hati 👍

View Point Wang Kelian Perlis
Makan pulak dengan pemandangan begini, memang bertambah sedap. Terima kasih Allah ❤️

Video berdurasi 1:22 minit. 

View Point Wang Kelian, tempat yang menawarkan panorama indah di ketinggian 304 meter dari aras laut. Sesuai untuk pencinta keindahan alam semula jadi. InsyaAllah jika ada kesempatan teringin juga saya nak ke sini pada waktu pagi. Tentu berbeza suasananya. Dan kalau malamnya hujan, ada rezeki dapatlah menyaksikan hamparan kabus memutih di waktu pagi.

Diharapkan pihak berkuasa dapat segera menyiapkan kemudahan tandas untuk kegunaan pengunjung. Saya nampak memang dah ada binaan tandas di kawasan parkir, tapi mungkin belum siap sepenuhnya.

Bagi yang nak datang ke sini, cuma perlu buat carian ‘Wang Kelian View Point’ di aplikasi Google Maps.


*Dikemaskini : Mulai 21 Disember 2022, bayaran masuk dikenakan bagi kerja penyelenggaraan.*

Pengunjung tempatan | dewasa - RM2, 18 tahun ke bawah - RM1
Pengunjung luar negara | dewasa - RM5, 18 tahun ke bawah - RM2
Kanak-kanak 6 tahun ke bawah & OKU - Percuma




.