Tuesday 26 July 2016

Bila TELINGA Hilang Pendengaran

Dua bulan tak menulis blog...
Beginilah namanya blogger tenggelam timbul!
Rindu nak menjelajah ke blog kawan-kawan...
Tentu dah banyak cerita yang saya terlepas.

Cerita saya...TELINGA.
Telinga sebelah kiri saya tiba-tiba mogok!
Bermula 4 Syawal...cuma yang kanan sahaja mampu berfungsi.
Hiduplah saya sebagai orang pekak sebelah telinga.

Yang bercakap kuat...saya masih mampu dengar.
Yang bercakap perlahan...saya kena minta ulang semula.
Kadang-kala...saya angguk saja tanpa minta pengulangan kata.
Letih...asyik minta orang ulang semula.

Saya ke sebuah klinik swasta....
Ada jangkitan, tahi telinga tak keras...kata doktor.
Dia meminta saya merujuk kepada yang lebih pakar.
Tiada ubat diberi.

Temujanji dibuat dengan doktor pakar ENT Hospital Az Zahrah.
Sebab saya nak doktor wanita, maka saya perlu menunggu 4 hari lagi.

Sabtu pagi...dengan debaran saya berjumpa doktor.
Saya diminta duduk di hadapan sebuah skrin.
Alat seumpama kamera dimasukkan ke salur telinga.
Dengan jelas saya melihat pada skrin.
Sedikit ngeri...dan kelakar, macam eksplorasi ke dalam gua!

Rupa-rupanya...tahi telinga dah menutupi lubang.
Maka gegendang tak dapat menerima gelombang bunyi.

Prosedur seterusnya...
Doktor memasukkan saluran tiub kecil jernih untuk 'menyedut' tahi telinga.
Dengan pesanan jika sakit bagitau.
Setelah beberapa kali 'sedutan' dengan alat tersebut,
Alhamdulillah...saya kembali mendengar dengan sangat jelas!
Tiada kesakitan. Juga tiada jangkitan atau masalah lain.
Tiada ubat diperlukan.

Dengan caj RM85 kini saya mendapat semula nikmat pendengaran!
Terasa sangat berbeza, hampir seminggu hilang sebelah pendengaran.
Sekarang terasa bisingnya sekitar saya!
Rasa macam terlalu kuat segala bunyi yang ada.
Saya dapat 'telinga baru'! Hahaha

Jom belajar anatomi telinga kita.

Tips dari doktor...
Gunakan putik kapas yang sedikit berbulu, bukan jenis kapas keras.
Jangan bersihkan/korek dalam-dalam, cukup sekadar bahagian depan telinga.
Seminggu sekali...bersihkan telinga guna putik kapas yang dicelup minyak zaitun.
Tujuannya untuk melembutkan tahi telinga dan mudah keluar.


...bila ia ada, kita rasa biasa. Bila ia tiada, kita rasa sangat kehilangan. Bila ia kembali semula, sungguh kita akan sangat menghargai nikmat itu!...