Showing posts with label Masakan/Makanan. Show all posts
Showing posts with label Masakan/Makanan. Show all posts

Monday, 18 May 2026

Kudapan Tradisi Perlis | Ringgi Jagung Kelapa

Hari ini Isnin cuti umum gantian bagi negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis yang jatuh pada hari Ahad. Kebetulan pula saya ada urusan di Maybank, jadinya pagi tadi saya ke cawangan di Changlun, Kedah yang terletak kira-kira 25 km dari rumah. Jarak yang sama jika saya ke bandar Kangar, kiranya kedudukan saya di tengah-tengah - boleh pilih nak buat urusan di Kangar, Perlis atau Changlun, Kedah.

Ceritanya, saya sangat gembira dan puas hati dengan servis di Maybank Changlun - proses buat kad baharu cuma memakan masa sekitar 35 minit! Pelanggan agak ramai, tapi kaunter yang dibuka pun banyak jadi tak perlu tunggu lama. Staf lelaki di kaunter juga mesra dan sangat membantu memudahkan urusan saya yang dah sekian lama tak berurusan dengan bank. Siap berseloroh…sekarang Perlis tinggal 7 oranglah sebab Puan ke Kedah πŸ˜†

***

Berbalik kepada tajuk entri, hari Ahad minggu lepas (10 Mei 2026) saya dan Encik Suami ke Nat Pokok Getah di Arau. Walaupun menetap di Perlis, sesekali je saya ke sini sebab jaraknya agak jauh dari rumah.

Suasana jalan raya di kawasan nat (pasar pagi) pada awal pagi - masih belum sesak dengan kenderaan orang-ramai, cuma kenderaan peniaga memenuhi bahu jalan bagi menurunkan barang jualan. Kami suka datang awal bagi mengelakkan kesesakan.

Moi
Kita sarapan dulu! Menu utama di gerai ini hidangan berasaskan sup - bihun sup dan moi sup. Saya makan bubur nasi dengan sup ayam, loghat tempatan panggil moi (bubur nasi). Sambal merah disediakan dalam mangkuk di tengah meja, tapi setakat ni saya masih belum boleh sesuaikan tekak makan sup dengan sambal merah - dah terbiasa makan hidangan sup dengan sambal kicap.

Perut kenyang, jomlah kita membeli…

Segar dan menarik untuk dibeli. Saya beli cili api hijau, cili api merah dan kunyit dalam kuantiti yang banyak untuk buat pes masak lemak cili api (MLCA). Beli juga beberapa batang pokok ketumbar - bukan daunnya saja, saya gunakan akar ketumbar dalam masakan tomyam dan sup ayam.

Beli telur puyuh 30 biji buat masak telur puyuh balado.

Murah harga telur ayam ni, cuma RM6/sepapan. Kalau beli dua papan cuma RM10. Telur saiz kecil, entah gred apa. Saya beli telur saiz besar sedikit RM8/sepapan, tapi beli 15 biji je jadinya bayar RM4.

Gerai menjual makanan tradisi. Saya tanya penjual yang warna hijau tu apa? Katanya emping. Saya beli sebekas nak merasa. Kalau tak silap ingatan saya, harganya RM5.

Jomlah kita balik, dah sakit bahu Encik Suami angkut beg biru Ikea berisi hasil shopping πŸ˜„. Masa ni keadaan jalan raya semakin sesak. Kena hati-hati berjalan sebab bahu jalan pun hampir tiada, dah dipenuhi gerai jualan.

Ringgi jagung kelapa
Ringgi jagung kelapa.
Ringgi Jagung Kelapa | Inilah makanan tradisi yang saya beli tadi. Mungkin ramai yang dah biasa makan emping tapi ia agak asing bagi saya.

Carian saya mendapati, makanan ini lebih tepat dipanggil ringgi - ia dihasilkan daripada padi pulut muda, diketam sebaik saja padi berisi. Berbeza dengan emping, ia dihasilkan daripada padi pulut yang hampir masak. [Rujukan : perlislib.gov.my]

Ringgi jagung kelapa - ringgi gaul jagung dan kelapa parut putih. Tekstur ringgi lembut dan agak kenyal. Rasa kudapan ini sedap lemak masin. Kalau ke Nat Pokok Getah pasti saya akan beli lagi πŸ˜‹







Wednesday, 11 June 2025

Ubi Kayu Goreng

Ada suatu petang, jiran datang ke rumah hantar ubi kayu hasil tanam sendiri. Gembira sungguh saya terima pemberian begini sebab saya suka makan ubi kayu yang direbus atau digoreng. Kalau kuih-muih berasaskan ubi kayu tu saya tak berapa suka makan.

Bila ada ubi kayu, terus saya rasa teringin nak makan ubi kayu goreng macam zaman dulu. Encik Suami tukang kerjakan ubi kayu - kupas kulit, basuh dan potong kecil. Dah siap, saya pula sambung kerja - gaul potongan ubi kayu dengan bahan perapan dan biar seketika sebelum di goreng.

Ubi Kayu Goreng
Ubi kayu yang dah digaul rata dengan bahan perapan.


UBI KAYU GORENG
Bahan :
  • Ubi kayu - di potong kecil bentuk baji (potongan wedges)
  • Bawang putih - ditumbuk kasar (saya gunakan chopper)
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Cara-caranya :
  • Gaul rata potongan ubi kayu dengan bawang putih, serbuk kunyit dan garam secukupnya.
  • Perap seketika supaya mesra rasa bahan perapan dengan ubi kayu.
  • Kemudian goreng dalam minyak panas dengan api sederhana supaya gorengan tak cepat hangus dan ubi kayu masak empuk.

Resepi Ubi Kayu Goreng
Alhamdulillah…nikmat sungguh dapat makan ubi kayu goreng. Cukup empuk dan sedap dengan aroma bawang putih. Kami tak makan dengan pencicah (sambal tumis atau sambal kicap) kerana memang dari dulu kami makan begitu saja.

Sambil makan, saya dan Encik Suami bernostalgia kisah masa lalu kami dengan ubi kayu goreng ini. Kami sama-sama orang Johor, berketurunan Jawa tetapi menetap di dua daerah berbeza. Ubi kayu goreng begini menjadi makanan biasa kami semasa zaman budak. Resepinya sama.

Ubi kayu goreng ni ada banyak cara (resepi) - ada orang suka rebus dulu sebelum digoreng dan ada juga yang letak bahan-bahan lain sebagai perapan. Bagi kami, resepi yang biasa dibuat oleh keluarga kami tetap menjadi pilihan bila nak membuat ubi kayu goreng.

Setiap kali makan, pasti terkenang kehidupan saya sekeluarga pada masa lalu dan juga Allahyarham Bapak yang gemar makan ubi kayu goreng. Nampaknya - makanan bukan hanya nikmat pada rasa, tetapi sebuah kerinduan pada masa lalu.







Tuesday, 18 February 2025

Pucuk Ubi Goreng Belacan

Hari Ahad lepas, saya berbelanja bahan masakan di Nat Pokok Getah. Antara sayuran yang dibeli - seikat daun pucuk ubi berharga RM2. Awalnya saya bercadang nak buat masak lemak, jadi saya beli juga sebungkus kecil santan segar berharga RM2.

Bila balik rumah, duduk berbual dengan Encik Suami. Antara topiknya - pucuk ubi boleh buat masakan apa selain masak lemak? Hasil perbualan tersebut dan carian internet, maka semalam saya masak - pucuk ubi goreng belacan.

Pucuk Ubi Goreng Belacan
Pucuk ubi goreng belacan. Alhamdulillah sedap memuaskan selera kami suami isteri.

Pucuk Ubi Goreng Belacan
Seikat pucuk ubi dapat masak banyak gini, sesuai untuk 3-4 orang makan (bersama lauk lain).

Resepinya sama saja dengan resepi kangkung goreng belacan, cuma berbeza persediaan daun pucuk ubi untuk dimasak goreng belacan.

Siang daun ubi (ambil pucuk ubi dan daun yang lembut), selepas itu saya celurkan dalam air mendidih selama 5 minit (lepas ni kena tambah masa lagi beberapa minit sebab rasa tak cukup lembut pulak). Kemudian angkat, bilas dan toskan. Saya tos (keringkan air pada daun ubi) dengan menggunakan salad spinner. Mudah sungguh nak keringkan sayur dan buah sejak ada salad spinner, silalah beli ya. Lepas daun ubi dah tos airnya, saya gumpalkan dan potong kasar supaya mudah nak makan tak panjang sangat. Ni cara saya, terpulang ikut cara mana yang kalian suka.


PUCUK UBI GORENG BELACAN

Bahan-bahannya :
Seikat daun pucuk ubi
Garam
Air

Bahan tumbuk kasar (saya guna chopper) :
Sebiji bawang merah - saya guna bawang merah saiz besar, kalau kecil guna 2-3 biji.
2 ulas bawang putih 
Sedikit potongan belacan
Sedikit ikan bilis
5 biji cili padi
1 biji cili besar merah - saya buang biji dalamnya.

Cara memasak :
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk kasar hingga naik bau harum.
2. Masukkan daun pucuk ubi, kacau rata dengan bahan tumis.
3. Masukkan air dan sedikit garam secukupnya.
4. Kacau rata seketika, dah boleh angkat.

Saya suka kuah banyak, jadinya saya letak air lebih.

Alhamdulillah percubaan kali pertama yang dikira menjadi. Encik Suami kata - nanti nak beli pucuk ubi lagi, nak masak goreng belacan. Sebelum ni sangat jarang kami beli pucuk ubi. Berkenaan rasa masakan, kalau ikut pendapat saya - kena tambah masa celur sebab rasa ada bahagian yang kurang lembut. Ikut pendapat Encik Suami, katanya ok je dah cukup lembut.







Sunday, 28 July 2024

Gotong-royong Kucai Bubur Asyura

Semalam petang (hari Sabtu, 27 Julai 2024) telah berlangsung aktiviti gotong-royong memasak bubur asyura bersama jiran-jiran. Sebutan dialek tempatan - kucai bubur asyura.

Kucai tu maksudnya kacau, sebab aktiviti utamanya kita kena mengacau bahan masakan dalam tempoh yang lama. Saya perasan cara jiran-jiran sebut kucai bukanlah jelas huruf ‘i’, tapi tidaklah hilang sampai jadi ‘kuca’. Bertambah satu lagi perkataan dialek Perlis yang saya tahu, tapi masih belum pandai sebut πŸ˜„

Seumur hidup saya, memang belum pernah merasa bubur asyura versi utara (khususnya Perlis) dan versi pantai timur. Saya orang Johor jadinya cuma tahu bubur asyura yang seakan bubur lambuk tu. Aktiviti semalam merupakan pengalaman menarik bagi saya, buat kali pertama saya terlibat sama dalam menghasilkan bubur asyura versi utara dan kali pertama pula dapat menikmatinya.

Foto-foto aktiviti semalam :

Bubur Asyura Perlis
Mula-mula masak santan bersama daun pandan. Lepas tu masukkan air gula merah. Masa ni tak susah nak kacau, ringan je.

Bubur Asyura Perlis
Selepas dicampur dengan bancuhan tepung beras, adunan jadi pekat dan perlukan lebih tenaga untuk kacau supaya tak berketul. Kami masak dua kawah, setiap kawah perlukan tenaga tiga orang tukang kacau. Tapi itulah, berketul jugak. Tambah lagi seorang tukang pecahkan tepung yang berketul guna sudip kecil.

Bubur Asyura Perlis
Satu demi satu bahan dimasukkan. Bahan kekacang yang siap rebus - kacang hijau, kacang tanah, kacang kuda dan kacang merah. Kemudian masukkan isi jagung, pisang dan keledek. Saya bukan tulis ikut turutan tau sebab tak ingat. Pisang tu pulak bukan masuk dalam dua-dua kawah, kiranya satu kawah ada isi pisang dan satu kawah lagi tanpa pisang

Perasan tak ‘sudip panjang’ warna hijau tu? Disebabkan tak cukup sudip panjang, maka pelepah kelapa dijadikan sebagai sudip πŸ˜€

Pulut dan kuah durian.
Kerja kacau bubur asyura dilakukan secara bergilir. Bila tak mengacau tu bolehlah kita duduk menikmati makanan yang dibawa secara potluck. Antaranya nasi goreng, roti jala, kuih cara, pulut udang dan jagung rebus. Saya cuma bawa gorengan popia otak-otak. Kebetulan hujung minggu lepas kami balik rumah NS sekejap, sempatlah singgah beli stok frozen popia otak-otak Kempas di Seehat Store, Nilai. 

Bubur Asyura Perlis
Setelah kira-kira 2 jam 30 minit, bubur asyura kawah pertama siap!

Bubur Asyura Perlis
Kerja mengisi dalam bekas dilakukan dengan segera.

Bubur Asyura Perlis
Susun begini dan biarkan sejuk sementara kerja mengisi bubur asyura dari kawah kedua pulak.

Bubur Asyura Perlis
Siap semuanya! Lupa pulak saya berapa bekas semuanya. Lepas dikira-kira, setiap jiran/rumah yang ikut serta dapat lima bekas. Saya ambil empat bekas (dua bekas ada pisang dan dua bekas tanpa pisang) - dua bekas untuk kami dan dua bekas lagi nak beri kepada adik ipar di Kangar.

Alhamdulillah, aktiviti gotong-royong kucai bubur asyura selesai kira-kira pukul 6.30 petang. Sempat juga kami berfoto ramai-ramai dengan bubur asyura yang berjaya dihasilkan.

Malam tadi nak tidur, barulah terasa lenguh seluruh tangan kanan saya. Nampak sangat tak biasa buat kerja berat, tiba-tiba beria kacau bubur asyura πŸ˜…


PERTAMA KALI MERASA BUBUR ASYURA UTARA
Tadi pagi semasa bersarapan, kami mencuba makan bubur asyura yang telah disimpan semalaman dalam peti sejuk. Baunya seakan bau bubur kacang hijau, bila dikunyah rasa mewah dengan kekacang. Rasanya lebih kurang macam kita makan kuih kole kacang tapi teksturnya lebih lembut.

Alhamdulillah sesuai dengan cita rasa saya dan Encik Suami. Kiranya kami boleh makan berkali-kali. Walaupun mulanya rasa sedikit pelik sebab tak pernah makan bubur asyura dengan tekstur seperti kuih.

Begitulah, lain tempat lain cara walaupun nama makanan sama. Makanan merupakan budaya setempat, tentu ada cerita asal usul kenapa bahan-bahan dan tekstur bubur asyura dihasilkan berbeza mengikut tempat. Yang pasti, kita raikan perbezaan dan nikmati kepelbagaian makanan yang ada. Barulah hidup lebih seronok 😊






.

Sunday, 5 May 2024

Pulut Sambal

Minggu lepas, tempat kerja Encik Suami mengadakan jamuan hari raya. Banyak juga lebihan makanan yang dibawa balik, antaranya kuih pulut sambal iaitu sejenis makanan tradisi Perlis.

Pulut sambal, kuih apa tu? Kalau kuih pulut inti (pulut dengan serunding kelapa manis yang dibungkus seperti bungkusan nasi lemak), saya pernah makan dan kurang gemar kerana rasa serunding kelapa yang manis.

Pulut Sambal Perlis
Kuih pulut sambal dibungkus dengan daun pisang berbentuk seakan piramid.

Pulut Sambal Perlis
Beginilah rupa kuih pulut sambal dalam bungkusan daun pisang.

Pulut Sambal Perlis
Pulut dengan serunding ikan. Awal tadi saya bayangkan ada sambal tumis warna merah sebab namanya ‘pulut sambal’. Rupanya sambal merujuk kepada serunding ikan. Tetapi bukanlah serunding ikan jenis kasar kering tu tau, ni serunding ikan jenis halus dan lembab dengan rasa yang menambat selera. Tak cukup makan satu bungkus, saya buka bungkusan kedua pula. Sekali cuba, terus saya suka!

Alhamdulillah dapat saya merasa sejenis lagi makanan tradisi di sini. Carian info mendapati kuih pulut sambal ini juga merupakan makanan tradisi di negeri Kedah.






.

Tuesday, 30 April 2024

Mencuba Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas

Lewat petang Jumaat lepas, saya dan Encik Suami jalan-jalan cari makan di Kuala Perlis. Ada banyak pilihan restoran makanan laut di sini. Kami pun tak tahu mana satu yang sedap dan harga berpatutan, terus saja pilih mana-mana restoran yang nampak agak meriah. Kami ke Restoran Nyiru Klasik Ikan Bakar.

Pesanan dibuat secara layan diri - pergi ke bahagian hadapan restoran, pilih serta timbang makanan laut yang kita mahu, kemudian pilih jenis masakan.

Sajian eksotik KERABU TELUR BELANGKAS merupakan antara menu yang kami pilih. Eh, sebenarnya pilihan Encik Suami yang bersungguh nak saya mencuba makan menu belangkas. Seumur hidup memang saya tak pernah makan belangkas, berbeza dengan Encik Suami yang pernah makan sebelum ini.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Beginilah rupa sajian eksotik - kerabu telur belangkas. Foto sudut pandang dari atas. Rupa bentuk belangkas agak menakutkan bagi saya, mungkin sebab tak biasa.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Kerabu mangga diletakkan di atas telur belangkas.

Sajian Eksotik Kerabu Telur Belangkas
Begini rupa telur belangkas, bentuk bulat bersaiz kecil.

Bagaimana rasa sajian eksotik ini? Menurut saya, rasanya biasa saja tanpa ada rasa pelik atau rasa tak sedap. Lagi pula telur belangkas ini saya makan bersama kerabu mangga, jadi lebih kepada rasa sedap kerabu mangga. Tekstur telur belangkas ni pula agak kenyal.

Nak makan lagi atau tidak? Err…cukup sekali ini. Saya boleh makan sekadar untuk mencuba, tapi ia bukan makanan yang sesuai dengan cita rasa saya. Menurut Encik Suami pula, belangkas yang kami makan ni terdapat sedikit bau hanyir berbanding yang pernah Encik Suami makan sebelum ini lebih menyelerakan.

Sajian ini berharga RM40.






.

Tuesday, 26 March 2024

Juadah Berbuka dan Purnama 15 Ramadan

JUADAH BERBUKA | ROTI CANAI TELUR DAN WAGYU SKEWER
Saya jarang kongsikan juadah berbuka dan sahur kerana hidangan kami biasanya sangat ringkas serta yang sangat mudah disediakan. Kadang-kadang cukup sekadar bubur kacang atau bihun goreng. Tapi sesekali kena letak juga di blog sebagai kenangan masa akan datang.

Juadah berbuka semalam 14 Ramadan - roti canai telur dan wagyu skewer. Ada juga sepiring buah dan bercawan-cawan minuman πŸ˜„. Cuaca panas terik, makan tak berapa nak sangat tapi minuman dah terbayang awal nak minum air apa dicampur apa. Minuman biasanya disediakan oleh Encik Suami.

Saya gunakan roti canai frozen jenama Kawan (ejaan pada pek pembungkusan ‘roti chanai’). Masak seketika kedua-dua belah roti canai, kemudian saya letak sebiji telur ayam di atasnya. Terbalikkan sekali lagi bagi garing sikit bahagian yang ada telur. Jadilah roti canai telur atau kita biasa panggil roti telur. Sedap, lembut dan garing roti canai ni. Makan pulak dengan kuah dhal, memang bertambah sedap! Kuah dhal tu pun jenis frozen tau, tak payah susah memasak cuma kena keluar duit lebihlah bila beli makanan frozen ni kan. Kuah dhal pun saya beli jenama Kawan. Saya keluarkan seketika dari peti sejuk beku sebelum masuk microwave selama beberapa minit.

Wagyu skewer tu pulak, pertama kali saya nampak di gerai jualan Aeon Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tapi tak membeli walaupun tertanya-tanya macam mana rasanya. Selepas tu jumpa pulak wagyu skewer frozen di Meat Shop, Kangar yang ditawarkan pada harga promosi RM110 untuk 2 pek. Ada 5 cucuk dalam satu pek. Tu diaaa…yelah kan dah namanya wagyu, haruslah mahal. Encik Suami beli jugaklah, nak mencuba katanya.

Cara masaknya mudah - defrost awal pastikan daging tak beku, kemudian masak atas kuali leper dengan cara pusingkan di setiap bahagian sampai masak. Tak ambil masa lama sebab dagingnya macam susunan daging nipis. Kalau nak ada perasa, bolehlah letak perasa ikut suka. Saya cuma letak sikit serbuk lada hitam. Rasanya? Memang sedap dan sangat lembut. Entah macam mana rasanya kalau dapat makan daging wagyu di Jepun, tentu sangat sedap.


PURNAMA 15 RAMADAN
Waktu malamnya saya keluar ke halaman rumah sendirian demi nak menikmati keindahan bulan purnama dan taburan bintang. Saya suka langit malam di sini, suasana gelap kurang pencemaran cahaya memudahkan saya menikmati apa yang ada di langit.

Foto kiri - Bulan penuh malam 15 Ramadan bersinar indah di balik rimbunan dedaun pokok limau bali sunkist. Foto kanan - Rupa bulan hasil zoom-in ~30x. Saya cuba juga memotret foto taburan bintang, tapi nampaknya lebih indah dilihat dengan mata berbanding dengan lensa kamera telefon.

Masya Allah indah ciptaan-Nya. Juga terasa pantas masa berlalu, kita dah pun berada di pertengahan bulan Ramadan yang mulia.









Monday, 26 February 2024

Kudapan Kacang Poi Rebus

Pertama kali saya jumpa dan kenal kacang poi sewaktu mengunjungi Nat Balai Baru di Beseri, Perlis pada bulan Disember lalu. Menurut blogger Mama Cella (dalam komen entri Nat Balai Baru), kacang poi cuma ada setahun sekali sahaja.

Kacang Poi
Kacang poi mentah, saya beli di nat harganya RM10/kg.

Kacang Poi
Menurut penjual, cara rebus kacang poi sama macam kita rebus kacang tanah. Cara saya - rebus menggunakan PPC (Philips Pressure Cooker) dengan mode steam dan set KPT (keep pressure time) selama 20 minit.

Kacang Poi
Kacang poi rebus.

Kacang Poi
Saiz kacang poi.

Kacang Poi
Perbezaan rupa isi kacang poi mentah (luaran lebih licin berkilat) dan yang sudah direbus.
Kacang poi berbentuk bulat berisi satu biji kacang, kalau yang berbentuk lonjong berisi dua biji kacang. Tapi kebanyakkannya berbentuk bulat. Isi kacang poi berwarna merah tua.

Menurut saya, rasa kacang poi sama seperti rasa kacang tanah rebus tetapi lebih berlemak. Lebih sedap! Saya kurang menggemari kacang tanah rebus, tetapi nampaknya kacang poi rebus menjadi kudapan yang saya gemari.






.

Monday, 5 February 2024

Menikmati Menu Eksotik Daging Landak

Baru-baru ini ada orang beri kami lauk daging landak. Alhamdulillah dapatlah saya merasa menu eksotik ini buat kali pertama. Kami dapat dua jenis lauk - landak masak lemak cili api dan landak masak kunyit.


DAGING LANDAK MASAK LEMAK CILI API

Daging landak masak lemak cili api

Daging landak masak lemak cili api


DAGING LANDAK MASAK KUNYIT

Daging landak masak kunyit

Daging landak masak kunyit

Bagaimana rasa daging landak? Rasanya seperti makan daging ayam tetapi isinya lebih pejal. Daging landak juga terdapat banyak tulang kecil. Sedap menurut cita rasa saya.

Dah siap makan barulah saya buat carian rupa daging landak yang sedia untuk dimasak. Erkk! Mujur tengok lepas makan. Kalau sebelum makan mungkin terbantut selera saya πŸ˜…. Bukan apa, kita tak biasa makan landak jadi rasa lain macam pulak bila tengok rupa dagingnya.






.

Thursday, 11 January 2024

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!

Gulai daging batang pisang, jangan tersilap baca jadi gulai daging batang pinang pulak ya (merujuk kepada bahagian daging batang pinang). Masakan ini merupakan gulai daging yang dimasak bersama batang pisang.

Sebelum ini saya hanya tahu berkenaan masakan ini menerusi pembacaan di media sosial, kali ini dapat juga saya merasa buat kali pertama. Ada yang memberi, dapatlah saya merasa.

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!

Gulai Daging Batang Pisang - Hidangan Lazat dan Unik!
Bersemangat saya nak mencuba masakan gulai daging batang pisang ni tau, sebab tertanya-tanya bagaimanalah rasanya makan batang pisang. Tengok rupa nampak menyelerakan.

Alhamdulillah bila dah cuba, rasanya kena dengan selera saya πŸ˜‹. Tak sangka, sedap pulak rasa masakan batang pisang ni. Daging dan batang pisangnya lembut, pandai orang yang memasaknya.

Menurut info, batang pisang ini diambil dari pokok pisang hutan. Seperkara lagi, gulai daging batang pisang ini merupakan masakan popular di majlis kenduri kahwin di negeri Perlis dan Kedah. Selama ini saya tak tahu pun, bila dah menetap nun di utara ni kenalah ambil tahu.

Saya juga perlu biasakan sebut ‘gulai’ bagi masakan begini. Gulai merujuk kepada masakan berkuah (contoh : masak kari, asam pedas). Itu yang saya fahamlah, kalau salah tolong betulkan ya. Orang selatan tak biasa guna perkataan ‘gulai’, kami terus sebut nama masakan (contoh : masak kari, asam pedas, masak lemak). Tak ada yang salah atau betul, itulah namanya perbezaan dan keunikan budaya setempat.

Semoga ada rezeki lagi untuk saya merasa masakan gulai daging batang pisang yang lazat dan unik ini!






.

Sunday, 23 July 2023

Telur Dadar Cha Om

Kelmarin (hari Jumaat), saya ikut Encik Suami ke Perlis atas urusan kerja. Sekejap je, cuma satu malam. Hari Sabtu awal pagi dah bergerak kembali ke Pulau Pinang (PP). Tak sempat nak berjalan-jalan, tapi sempatlah kami menikmati hidangan makan malam di Mee Mee Authentic Thai Empire, Kangar.

Selain hidangan yang biasa (tomyam dan daging bakar), kali ini kami mencuba telur dadar Cha Om. Pertama kali kami nak mencubanya.

Telur Dadar Cha Om
Telur dadar Cha Om - telur dadar yang dicampur dengan daun Cha Om.

Telur Dadar Cha Om
Rupa telur dadar yang menarik. Rasanya sedap, rangup. Ianya sedap dimakan panas. Bila dah sejuk, jadi kurang rangup.

Sumber foto : asian-ingredients.com
Hasil carian berkenaan Cha Om, beginilah rupa pucuk daun pokok Cha Om atau dikenali juga sebagai daun pokok Petai Siam yang digunakan dalam masakan telur dadar tadi.

Cha-om, botanically classified as Senegalia pennata, is an herbaceous tropical plant belonging to the Fabaceae family. The fast-growing shrub is native to Southeast Asia and can reach up to five meters in height, found along roadsides, in forests, and cultivated in home gardens.
Cha-om is a productive plant that develops new leaf growth year-round, providing a steady source of tender greens for foragers. The plant is harvested for its young and tender leaves, and the dark green leaves are cooked and used as a favored vegetal flavoring. Cha-om is also botanically known under the scientific name Acacia pennata and has several common names, including Climbing Wattle, Khang, Stinky Leaf, Petai Duri, and Rau Thoi. The slender leaves have a pungent odor, especially when raw, and are most commonly cooked to reduce their smell and develop a pleasant, subtly crisp texture. - sumber info : specialtyproduce.com

Walaupun katanya ada bau, saya dan Encik Suami tak perasan sebarang bau atau rasa daun Cha Om dalam telur dadar tadi. Yang pasti, masakan telur dadar Cha Om memang sedap.






.

Tuesday, 21 February 2023

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia

Bersambung catatan perjalanan di Medan, Indonesia…

Bika Ambon merupakan antara makanan khas Medan yang harus kita cuba jika berkunjung ke Medan. Terdapat banyak pilihan jenama/pembuat kuih istimewa Medan ini, tetapi yang terkenal adalah Bika Ambon Zulaikha.

Kalau ikut perancangan awal, kami nak pergi sendiri ke kedai Bika Ambon Zulaikha untuk membeli Bika Ambon dan dapatlah melihat/membeli sendiri pelbagai pilihan kuih lain yang ada dijual di sana. Tetapi kami tukar fikiran, kami beli saja melalui GrabFood.

Bika Ambon dihantar terus ke depan pintu hotel. Mudah juga begini kan.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Bika Ambon Zulaikha saiz besar dengan perisa Original. Saya pilih perisa asli disebabkan ini kali pertama mencuba makan Bika Ambon. Pilihan perisa lain - pandan dan keju. Kalau ada jual perisa campuran dalam satu pek pun menarik juga. Boleh mencuba pelbagai rasa. Nak ambil pek kecil tak ada pula pilihan tersebut di GrabFood, kalau ada bolehlah ambil pek kecil dua perisa.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Di bahagian sisi kotak tertera pelbagai maklumat produk dan juga pesanan. Selain maklumat produk (nama & alamat pengusaha dan bahan-bahan digunakan), dipesan juga cara melembutkan Bika Ambon  yang mengeras dengan kaedah mengukus/memanggang. Juga ada pesanan agar membeli terus daripada mereka untuk mendapatkan mutu produk yang terbaik. Kuih ini tiada bahan pengawet, jadinya ia tak boleh bertahan lama.

Kotak Bika Ambon yang kami terima tadinya berbungkus plastik, dikemaskan lagi dengan balutan pelekat. Sesuailah untuk kita bawa naik kapal terbang. Walaupun sudah berbungkus rapi begitu, tetap tak dapat menyembunyikan bau harum kuih ini. Bagai memanggil untuk dibuka kotaknya dan dicuba makan segera πŸ˜ƒ

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah rupa kuih Bika Ambon. Sedap sungguh baunya, mungkin juga kerana ia baru dibuat. Dengan menggunakan sudu yang ada di bilik hotel, saya ‘potong’ kuih Bika Ambon supaya dapat kami nikmati.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah tekstur kuih Bika Ambon, seakan tekstur Kek Gula Hangus. Ia kenyal tetapi lembut. Rasanya juga tidak terlalu manis. Banyak juga saya makan, apa lagi sambil menatap titisan hujan menerusi jendela bilik hotel. Memang layan…cuma tak ada kopi je 😁

Bika Ambon Zulaikha
Foto tekstur kuih Bika Ambon yang lebih jelas. Foto diambil sewaktu di rumah, kuih dah pun disimpan dalam peti sejuk. Saya biarkan seketika potongan kuih yang nak dimakan di luar peti sejuk, kemudian saya panaskan menggunakan microwave. Rasanya masih kenyal dan lembut seperti baru dibeli, cuma aroma harum sudah berkurangan.

Menurut info di sisi kotak, kuih Bika Ambon dihasilkan daripada bahan-bahan berikut - tepung tapioka (tepung ubi), gula pasir, telur, santan, nira, daun limau purut dan daun pandan. Patutlah sedap baunya, ada limau purut dan daun pandan. Saya buat carian resepi Bika Ambon, nampak leceh juga proses nak menghasilkannya.

Bika Ambon Zulaikha yang saya beli ni harganya Rp. 93,501 termasuk caj pembelian melalui GrabFood. Kalau nak beli di lapangan terbang pun ada, harganya lebih tinggi sesuai dengan lokasinya. Selain Bika Ambon, Medan juga terkenal dengan kuih Bolu Meranti dan beberapa nama kuih lain. Semuanya boleh didapati di kedai oleh-oleh yang terdapat banyak di dalam lapangan terbang.







Monday, 14 November 2022

Mencuba Kunafa, Manisan Dari Negara Timur Tengah

Kalau sebelum ini saya dah mencuba makan Pani Puri. Malam seterusnya di Kampung Baru, KL saya beli pula Kunafa atau Kanafeh. Sejenis manisan dari negara Timur Tengah. Bukanlah teringin sangat, tapi dah ada yang menjual maka kita beli jelah untuk merasa.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Saya beli Kunafa di sebuah gerai yang terletak di Jalan Raja Muda Musa. Penjualnya bukan warga tempatan. Ada dua pilihan Kunafa - biasa/original dan cheese. Kunafa dijual dalam bentuk potongan empat segi. Manakala dalam bekas lain tu kalau tak silap pemahaman saya, namanya Baklava.

Harga Kunafa biasa RM12 sepotong dan Kunafa cheese RM15 sepotong. Baklava bersaiz kecil dijual RM12 untuk 6 biji. Disebabkan terasa agak mahal dan tak pernah makan (bimbang tak kena selera), kita beli satu jelah iaitu Kunafa cheese.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Kunafa Cheese RM15 sepotong.
Beli dan bawa balik makan di bilik hotel. Bahagian atas tu yang ada cheese. Atas sekali ditabur dengan kekacang. Entah kacang apa.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Apa rasanya? Saya tak tahu nak terangkan, tapi kira sedaplah sebab boleh habis dimakan. Cuma bahagian yang ada cheese dah mengeras, jadi kurang rasa nikmatnya. Kalau di rumah, boleh panaskan di microwave sebelum makan. Kunafa ni kalau makan sikit, ok je tak terasa manis. Tapi bila makan suapan demi suapan, terasa manisnya. Mungkin lebih sedap dimakan secara santai sambil menghirup kopi atau teh panas.

Cukuplah merasa sekali. Seperti Pani Puri, Kunafa juga nampaknya bukanlah makanan yang saya nak mengulang beli. Tetapi tak menolak untuk makan jika ada di depan mata. Hehe…