Friday 29 December 2023

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis

[Catatan Hari Sabtu, 16 Disember 2023]

Sejak berpindah ke negeri Perlis pada bulan lalu, baru kali ini saya dan Encik Suami berkesempatan mengunjungi nat.

NAT = PASAR PAGI

Kalau merujuk kepada Kamus Dewan, nat bermaksud pasar harian atau pekan sari (sehari). Tetapi bagi masyarakat tempatan, nat bermaksud pasar pagi. Selaku orang yang berasal dari selatan tanah air, perkataan ‘nat’ sememangnya asing bagi saya. Jadinya bila dah berpindah ke utara ni, eloklah saya belajar dan biasakan diri menyebut sesuatu ikut kebiasaan masyarakat setempat.


NAT BALAI BARU, BESERI
Perjalanan dari rumah kami ke Nat Balai Baru mengambil masa kira-kira 15 minit dengan jarak 14 km. Kami tiba di sini sekitar pukul 7.40 pagi. Saya sangkakan dah agak lewat, Alhamdulillah rupanya masih awal. Kenderaan tidak sesak memenuhi bahu jalan, mudahlah kami cari ruang parkir kereta yang selamat dan tak mengganggu lalu lintas.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Pasar Beseri atau lebih dikenali sebagai Nat Balai Baru ini terletak di dalam sebuah bangunan tidak berdinding. Terdapat deretan binaan meja konkrit untuk para peniaga mempamerkan barang jualan.

Suasana ketika ini tidak sesak. Pengunjung belum ramai dan kelihatan sebahagian para peniaga masih sibuk membawa masuk dan menyusun barang jualan di meja.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Memandangkan masih awal pagi dan perut kami masih belum berisi, kami menuju ke suatu sudut yang menjual makanan sarapan. Gerai ini turut menyediakan beberapa buah meja panjang dan bangku kayu panjang, bolehlah kami mencuba makan di sini sambil memerhati suasana sekitar.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Kalau nak beli bawa balik, boleh terus ambil yang sudah siap dibungkus begini. Bagus peniaga dah siap letak tanda harga dan nama makanan dengan jelas.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Dah makan sebahagian, barulah boleh merakam foto sebab tadi depan saya ada orang lain sedang makan. Ala-ala mesra gitu, walaupun tak saling kenal tetapi masing-masing duduk makan bersama di meja dan bangku panjang ni 😁

Sarapan pilihan saya - nasi lemak, sambal ikan masin (orang tempatan panggil ikan kering), sambal ikan bilis dan telur dadar. Encik Suami pilih bihun goreng dan beberapa jenis lauk. Gelas minuman teh tarik saya dihidang beralaskan pinggan kecil dan beberapa ketul ais di sekelilingnya. Unik cara begini.

Perut dah kenyang, jomlah kita jalan-jalan ‘cuci mata’ dan membeli-belah.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Apam balik biasa dan special. Yang biasa tu nipis dan sedikit isinya. Apam balik special lebih tebal dan banyak isinya, memang puas makan.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Pertama kali membeli bahan asas memasak sejak berada di Perlis. Kami ambil bawang besar, bawang putih, halia dan kentang.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Suasana di bahagian luar bangunan. Kanopi dan payung para peniaga memenuhi ruangan. Agak padat dan tidak tersusun. Masa ni masih ramai peniaga yang baru tiba dan sedang bersiap bagi memulakan aktiviti jualan.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Nampak sedap pulak bawang goreng yang dijual ni. Kami membeli satu bekas bawang putih goreng harganya RM13 dan bawang merah goreng harganya RM12. Semasa entri ini ditulis, kedua-dua bekas bawang goreng yang dibeli sudah pun hampir kosong! Sedap dan rangup bawang goreng dimakan bersama nasi. Kadang makan gitu je macam makan kerepek. Mana tak cepat habis 😄

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Ini pulak sejenis kekacang yang tak pernah kami jumpa. Penjual kata - kacang poi. Macam kacang tanah dan cara masak pun sama macam rebus kacang tanah. Sedap katanya. Teringin pulak nak merasa. Kami beli 1 kg dengan harga RM10/kg.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Ternampak pulak seorang peniaga baru keluarkan barang jualannya - pelbagai racun. Eh, jual racun pun ramai yang berkumpul nak membeli tau. Termasuklah kami yang sibuk nak membeli ‘ubat semut’. Harganya RM1/pek, kalau beli 6 pek cuma RM5. Terdengar seorang pembeli wanita berkata dengan nada berseloroh, “Ni bukan ubat semut, ni racun semut…”. Hehe…betul jugak kan, ubat tu penyembuh manakala racun tu mematikan.

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Semasa sedang makan tadi saya nampak peniaga penjual pokok-pokok ni sedang mengeluarkan pokok-pokok dari kenderaan beliau. Tengok dari jauh pun dah berkenan dengan beberapa pokok. Cadangnya nak beli sejenis je buat hiasan dalam rumah. Tapi bila tengok depan mata terus jadi tamak, ambil tiga pokok terus 😁

Saya beli alocasia melo berharga RM28, fittonia (jenis daun kecil warna hijau) berharga RM14 dan spanish moss air plant dengan pokok orkid di atasnya berharga RM14. Dua jenis pokok (alocasia dan fittonia) saya jadikan hiasan dalam rumah, manakala sejenis lagi (spanish moss air plant + orkid) saya letak di luar rumah. Seronok sungguh dapat beli pokok, hari-hari membelek!

Nat Balai Baru, Beseri, Perlis
Foto ini saya rakam ketika berada dalam kenderaan untuk balik ke rumah setelah lebih 1 jam berada di nat. Beginilah suasana jalan raya di Nat Balai Baru. Sesak dengan kenderaan di jalan raya dan dengan kanopi/payung para peniaga yang diletakkan memenuhi bahu jalan. Kalau tak terlalu rapat dengan jalan, itu lebih bagus. Mudah dan selamat pembeli nak berjalan kaki dari kenderaan menuju ke bangunan pasar dan gerai jualan.

Apa pun, saya rasa seronok dapat ke sini. Macam-macam ada dijual - antaranya sayur, ikan, ayam, makanan, buah-buahan dan pakaian. Pendek kata, semuanya ada di sini. Disebabkan Perlis terletak berhampiran dengan sempadan Thailand, jadinya banyak juga barang jualan yang dibawa dari negara jiran. Termasuklah kacang poi yang kami beli tadi.

Nat Balai Baru beroperasi setiap hari Isnin, Rabu dan Sabtu bermula pukul 7 pagi.







Tuesday 12 December 2023

Jalan-jalan Pagi Sambil Memerhati Burung

Catatan pertama dalam bulan Disember. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rutin hidup di rumah baru - rumah 5 bilik dalam suasana kampung yang menuntut kerja pembersihan lebih teliti. Sehari tak bersihkan rumah, memang ‘sakit mata’ saya nampak tahi cicak di merata tempat (kalau di bahagian tingkap tak usah ceritalah sebab memang sangat banyak dan saya masih belum siap bersihkan). Juga serangga kecil yang dah mati dan habuk yang dibawa oleh tiupan angin.

Rutin hidup saya berubah, seawal pagi pukul 7 lebih selepas Encik Suami pergi kerja saya terus melakukan aktiviti ‘morning walk’ di sekitar kawasan rumah. Saya suka memerhatikan alam - perubahan warna langit ketika matahari terbit, daun-daun pokok meliuk, kicauan burung-burung dan hembusan angin pagi yang segar membuat hati saya tenang.

Seperti selalunya, saya suka merakam foto apa saja yang menarik di pandangan saya. Burung merupakan antara subjek fotografi yang saya gemari. Cuma tak dapatlah foto yang jelas elok, maklumlah foto dirakam cuma dengan kamera telefon dan subjek (burung) pula berada pada kedudukan tinggi dan biasanya sangat pemalu. Baru kita nak stabilkan tangan dan laraskan zoom-in, dia dah terbang 😄

Maka, inilah hasil foto burung yang sesuai untuk diletak di blog :

Burung besar dengan bahagian badan warna coklat, manakala bahagian bawah sayapnya warna putih. Burung ni hampir setiap hari saya nampak. Mulanya susah saya nak merakam foto burung ni walaupun berada pada jarak yang cukup jauh, burung ini segera terbang sebaik perasan kehadiran saya. Selepas beberapa hari, nampaknya dia semakin biasa dengan kehadiran saya dan tak lagi terbang lari bila saya cuba memotretnya.

Ini pula spesis burung helang, nampak garang.

Entah burung apa, yang pasti bukan jenis yang biasa saya nampak.

Ini paling pemalu, cepat terbang. Nampak macam burung jenis yang sama dengan burung pada foto sebelumnya.

Agak besar saiz burung ni, keseluruhan badan berwarna hitam dengan ekor panjang. Paruhnya berwarna putih.

Ada beberapa jenis burung yang cantik tapi sangat susah saya nak rakam fotonya. Paling geram tengok, ada seekor burung kecil berwarna kuning cerah. Sangat cantik, tapi sangat pemalu.

Beginilah hidup saya sekarang, berada dekat dengan alam semula jadi. Malah ada beberapa ekor burung yang menjadi penghuni tetap di bahagian luar rumah kami, siap tidur di selipar saya 😅. Itu nanti saya cerita di entri lain.

Oh ya, hari ini saya berada di Ipoh, Perak temankan Encik Suami ada urusan di sini. Kira macam dapat cuti sehari tak payah buat kerja rumah, itu yang boleh berblog 😁