Tuesday 22 December 2020

Mencerap Musytari 'bertemu' Zuhal (Great Conjuction)


Malam tadi (21.12.2020) merupakan hari yang bersejarah dalam dunia astronomi di mana berlakunya fenomena lintasan/konjungsi unggul (great conjuction).

Fenomena ini dinamakan sedemikian kerana planet Musytari (Jupiter) dan Zuhal (Saturn) berada pada kedudukan paling dekat antara satu sama lain dalam tempoh 397 tahun (kali terakhir lintasan sedekat ini telah berlaku pada 16 Julai 1623).

Pada tarikh ini (malam tadi), kedua planet ini akan kelihatan menyentuh antara satu sama lain jika dilihat dari bumi.

Hasil cerapan saya malam tadi. Gambar diambil pada pukul 7.56 malam.

Menurut info, fenomena ini bakal berlaku selepas waktu Maghrib sehingga waktu Isyak. Lebih tepat, selepas matahari terbenam dan berakhir kira-kira pukul 9 malam.

Maka selepas solat Maghrib, gigihlah saya duduk di pintu rumah menghadap langit terbuka arah barat untuk mencerap langit. Jelas kelihatan di atas sana seperti sebutir ‘bintang’ yang terang dan bersaiz besar tanpa kerlipan. Itulah planet (tak pasti planet Musytari atau Zuhal). Tapi cerapan mata kasar saya gagal mengesan sebuah lagi planet. Sama ada kedua-duanya sudah terlalu berdekatan sehingga saya nampak seperti sebuah planet (kelihatan bercantum), atau memang sebuah planet lagi ‘bersembunyi’ di balik awan.

Keindahan yang saya saksikan ni tidaklah lama, ia kemudiannya mula ditutupi awan dan hilang dari pandangan. Saya mencerap langit sehingga waktu Isyak, tapi nampaknya langit makin gelap dan harapan makin tipis. Alhamdulillah tadi berkesempatan jugak, walaupun tak dapat lihat dua buah planet secara jelas.

Bila lagi boleh lihat Musytari ‘bertemu’ Zuhal? Lagi 20 tahun, ia sentiasa berulang. Tapi, fenomena lintasan unggul paling dekat seperti kali ini hanya akan berlaku pada 15 Mac 2080. Hmm...terlalu lama tu.

Bacaan lanjut mengenai fenomena ini di FalakOnline.net.


Monday 21 December 2020

Mama Tak Reti Tutup Aurat?

Kisah minggu lalu, sewaktu saya duduk menunggu suami di lobi sebuah hotel di Putrajaya. Datang satu keluarga - emak ayah dan anak-anak, mereka duduk di set kerusi berhampiran saya.

Si emak duduk di kerusi dan meminta seorang anak lelakinya mengambil gambar. Sekali ambil, tak elok, diminta ambil lagi. Beberapa kali.

Tiba-tiba, terdengar suara anak lelaki yang lebih kecil (masih di sekolah rendah agaknya) berkata:

“Mama, mama tak pakai stokin?”
“Mama tak reti tutup aurat?”

Tiada suara menjawab. Mungkin mamanya terkelu lidah. Mamanya buat tak tahu saja. Tapi selepas beberapa ketika, dengar juga mamanya menjawab, “Suka hati mama la, kaki mama”.

————————————-

Bukan niat saya nak mendengar perbualan orang, jauh sekali saya memandang-mandang mereka atau sesiapa saja yang duduk berhampiran saya. Tapi dah memang kat sebelah je kan, harus terlihat tanpa memandang dan terdengar tanpa perlu memasang telinga.

Sungguh, saya pun ikut terkelu lidah dengan pertanyaan si anak lelaki tadi. Walaupun saya berstokin pada masa tersebut, tapi saya sedar masih ada lompang dalam cara saya berpakaian sesuai kehendak agama. Masih ada yang perlu saya perbaiki.

LELAKI ADALAH PEMIMPIN KELUARGA
Sememangnya menjadi tanggungjawab lelaki dalam sesebuah keluarga untuk mendidik/memberi teguran kepada ahli keluarga perempuan yang lain. Samada suami atau anak lelaki, keduanya bertanggungjawab terhadap isteri/anak perempuan (bagi suami) atau emak/adik-beradik perempuan (bagi anak lelaki). Lelaki diberi kelebihan hak, kerana ia datang bersama tanggungjawab.

Untung sungguh si emak tadi ada anak lelaki yang tahu apa itu aurat dan mahu memberi teguran. Walaupun teguran yang baik adalah secara sembunyi-sembunyi, empat mata tanpa didengari atau diketahui oleh orang lain. Bab tu kita maafkanlah sebab yang menegur tu anak kecil. Fikirannya masih lurus.

ADAKAH MEMAKAI STOKIN ITU WAJIB?
Tidak wajib. Yang wajib cuma menutup aurat kaki. Boleh je labuhkan kain/seluar untuk menutup kaki. Tapi tentulah tak praktikal kan? Susah nak berjalan, bahaya pulak kot tersungkur dek terpijak kain sendiri dan kain jadi kotor pulak. Atau boleh jugak pakai kasut bertutup penuh, tak nampak kaki. Tapi bila duduk, kain/seluar terangkat jadi nampak kaki jugak kan. Maka yang paling mudah dan praktikal - pakailah stokin untuk menutup aurat kaki.

ISTERI KALAU SAYANGKAN SUAMI, BERUSAHALAH JAGA AURAT
Kadang-kadang memang ada suami yang tak ambil pusing pun pasal aurat, atau tak begitu faham maksud menutup aurat. Maka tak pernahlah didik dan tegur isteri, dibiar saja berpakaian ikut suka. Tapi, kita sebagai isteri kenalah tolong suami supaya tidak dipersoalkan di hadapan Allah tentang tanggungjawabnya mendidik dan menasihati kita. Bukankah kalau kita betul sayang dan cintakan seseorang, kita tak mahu dia mendapat kesusahan?

Jom kita biasakan tutup aurat kaki! Mula-mula rimaslah, lama-lama jadi biasa. Tetapkan niat untuk mencari redha Allah. Semoga niat tersebut memberi kita kekuatan untuk istiqamah.

15.12.2020 | 1.43 pagi - sempat saya ambil gambar jambatan ni walaupun mata dah mengantuk sangat dan terlelap-lelap. Cantik bertukar-tukar warnanya. Alhamdulillah saya dan suami selamat tiba di Putrajaya setelah melalui perjalanan jauh dari rumah PP.

Thursday 17 December 2020

Dunia Tanpa Tembok

Dunia Tanpa Tembok, Ayman Rashdan Wong
Judul : DUNIA TANPA TEMBOK
Penulis : Ayman Rashdan Wong
Penerbit : Patriots Publication
Tahun terbit : 2017 (cetakan ke-14, 2020)
Jumlah muka surat : 245
Harga : RM28


Melihat kulit depan buku ini saja dah terbayang yang buku ini agak ‘berat’ untuk saya membacanya. Buku Dunia Tanpa Tembok ini merupakan artikel-artikel catatan penulis tentang geopolitik dan hubungan antarabangsa. Satu bidang yang agak asing bagi saya. Tapi sesuatu yang asing biasanya menarik, banyak pengetahuan baru yang boleh kita pelajari.
Geopolitik : kajian tentang kesan faktor-faktor geografi terhadap politik (terutama politik antarabangsa), geografi politik. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Menurut penulis, ilmu tentang geopolitik antarabangsa adalah kunci untuk kelangsungan hidup negara dan bangsa. Ilmu tersebut harus berdasarkan prinsip-prinsip Realisme (kebolehan bertindak secara realistik dan pragmatik), Diplomasi ( kebolehan mencari penyelesaian melalui pendekatan damai) dan Patriotisme (kebolehan mengatasi perbezaan politik demi mempertahankan kepentingan negara).

Dunia Tanpa Tembok, Ayman Rashdan Wong

Menerusi catatan 50 buah artikel di dalam buku ini, penulis menerangkan dan menghuraikan konsep-konsep penting dalam hubungan antarabangsa berdasarkan tiga prinsip tersebut.

Bermula dengan artikel asal-usul nama negara kita Malaysia sehinggalah artikel mengenai krisis diplomatik Malaysia-Korea Utara, semuanya dihuraikan dengan terperinci oleh penulis. Ada yang mudah saya fahami, ada juga yang membuat dahi saya berkerut nak memahamkan kronologi dan fakta-fakta sejarah yang disebut. Sesekali saya buat carian internet untuk lebih jelas tentang sesuatu perkara.

Nampaknya memang terlalu banyak yang baru saya tahu dan pelajari. Nampak sangat selama ni tak ambil kisah tentang apa yang berlaku di luar Malaysia. Sedangkan semua itu sebenarnya penting dan secara langsung atau tidak langsung ia mempengaruhi kestabilan dalam negara kita.

Dunia Tanpa Tembok, Ayman Rashdan Wong

Diplomasi Umpama Tarik Tali atau Gusti Lengan
Masih ingat krisis Malaysia-Korea Utara pada 2017? Masih saya ingat ketegangan yang berlaku, Korea Utara menuntut mayat Kim Jong-nam yang dibunuh di Malaysia. Tapi permintaan tersebut tak dilayan, maka Korea Utara bertindak menahan rakyat kita yang berada di sana (baca : ugutan). Masa tu orang ramai menyalahkan pihak kerajaan yang sedari awal tak melayan permintaan Korea Utara. Ramai yang gerun dengan negara tersebut.

Menerusi artikel di dalam buku ini, penulis menerangkan mengapa Malaysia mengambil tindakan tersebut dan apakah kepentingan simbolik untuk Malaysia. Kesimpulan yang saya dapat, kita sebagai orang awam yang tak tahu menahu tentang hubungan antarabangsa sebaiknya terus memberi sokongan penuh atas keputusan kerajaan. Setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan prinsip-prinsip dalam hubungan antarabangsa, bukan berdasarkan apa yang kita rasa.


Kuasa Lunak (Soft Power)
Budaya popular adalah sebahagian daripada kuasa lunak (soft power) dalam kajian hubungan antarabangsa. Kuasa lunak adalah satu alternatif untuk meningkatkan pengaruh di persada antarabangsa, bukan untuk mendominasi tetapi untuk meningkatkan visibility dan presence. Contoh budaya popular : K-Pop dan K-Drama.

Ok, saya sekadar menyentuh dua artikel sebagai gambaran mengenai buku ini. Bagi saya, buku ini memang terasa agak berat untuk dihadam dan mengambil masa untuk saya menghabiskan bacaan. Tapi sesungguhnya, buku ini sangat-sangat menarik dan mampu menjelaskan banyak hal yang kita fikir ‘Kenapa kita (Malaysia) terima banyak pelaburan China? Nanti tergadai negara.’ atau ‘Kenapa sesebuah negara perlu memperkukuhkan aset ketenteraan walaupun tiada ancaman peperangan?’.

Buku ini sangat bagus dibaca oleh semua, terutamanya oleh orang muda (saya rasa seawal sekolah menengah dah sesuai baca) untuk memupuk minat terhadap bidang hubungan antarabangsa. Bidang yang nampak macam tak penting, tapi sebenarnya sangat penting untuk membentuk sebuah negara bangsa. Atau sekurang-kurangnya mampu menjadi rakyat yang tahu apa itu hubungan antarabangsa dan kepentingannya, rakyat yang berilmu.


“Orang baik tanpa strategi akan dikalahkan oleh orang jahat.”
-Dunia Tanpa Tembok, halaman 180.




Tuesday 15 December 2020

Pulau Pinang - Kedah - Perlis

Ahad | 13.12.2020

Semenjak berpindah ke utara tanah air pada penghujung bulan Mei lalu, baru kali ini saya berpeluang ke Perlis. Berbanding dengan suami yang memang dah biasa ke Kedah dan Perlis atas hal kerja.

Kedah | Yusof Jan Nasi Jagung, Changlun

Berpagian kami bertolak dari rumah PP. Pemandangan indah sawah menghijau, kawanan burung putih bertebaran di sawah dan kabus yang melitupi perbukitan menjadi latar perjalanan. Cukup mempesona bagi  saya.

Kami singgah sarapan pagi di sini - Yusof Jan Nasi Jagung yang terletak di Changlun. Boleh buat carian di Google Maps jika nak ke sini. Tak susah mencari sebab kedai ni berada di tepi jalan besar.

Nasi Jagung dan lauk pilihan kami. Ada pelbagai pilihan lauk. Nampak macam makan nasi kandar pulak kan? Cuma bezanya yang ni nasi jagung. Walaupun jagungnya macam tak jumpa pun...hihi.

Hidangan saya - nasi separuh, acar, telur rebus dan ikan bawal kuah. Suami pulak ambil lauk kambing. Rasanya? Memuaskan selera, licin pinggan saya. Walaupun terasa pelik pulak pagi-pagi dah makan nasi berlauk...haha. Total makan-makan kami RM22.50.

Perlis | Kunjungan Ke Rumah Adik Ipar

Tujuan perjalanan kami, nak berkunjung ke rumah adik ipar yang menetap di Perlis. Dah 6 bulan pindah PP, barulah kali ni sampai ke rumahnya...hehe. Yelah, PP pun baru je tamat PKPB sebulan.

Kami makan tengah hari di rumah adik ipar. Sedap semua masakannya.

Alhamdulillah...lepas makan dan solat di rumah adik ipar, barulah kami bergerak balik ke PP. Sempat singgah beli sotong segar saiz besar dengan harga RM28/kg di sebuah kedai tempat adik ipar biasa beli. Kat Google Maps buat carian ‘Hafiz Fishery’. Mujur memang ke mana-mana sedia cooler bag, cuma mintak tambah ais je lah kat dalam plastik sotong tu. Tahanlah untuk sampai rumah PP dengan masa perjalanan (tanpa henti) sekitar 2 jam 15 minit kalau ikut Google Maps. Tapi petang tu banyak kenderaan dan lebuh raya agak sesak, tambah lama la sikit.






.

Thursday 10 December 2020

Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker Menggunakan Air Fryer

Tak pandai buat mufin? Tak rajin nak campur bahan itu ini ikut resepi? Tapi teringin nak membakar mufin sendiri? Senang je zaman sekarang ni, kita beli la tepung premix...hehe.

Tepung premix pilihan saya - Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker. Pertama kali cuba beli, sambil berdoa supaya ianya menjadik dan sedap di tekak sendiri.

Cara buat? Cuma perlu campur tepung dengan air, minyak sayuran (saya guna minyak masak) dan 2 biji telur. Lepas tu kacau biasa je menggunakan sudu, yang penting kita kasi adunan tu sebati. Senang je kan? Sesuailah untuk dapur rumah PP saya ni yang berkonsepkan minimalis (baca : cuma ada bahan masakan dan peralatan dapur yang sangat penting saja).

Lepas tu bolehlah masukkan adunan ke dalam cawan kertas kira-kira 3/4 penuh. Saya tak habiskan pun adunan tadi, cuma isi untuk 8 cawan je. Adunan selebihnya saya simpan dalam peti sejuk, bila-bila nak makan baru saya ambil sikit dan bakar. Sebenarnya saya tak pasti ok ke tak buat gitu, tapi saya buat jugak memandangkan yang tukang makan cuma dua orang.

Beginilah rupa adunan mufin dalam cawan kertas. Kat kedai saya pergi tu tak ada pulak cawan kertas yang besar, ambik jelah cawan kecik ni jadi mini mufin. Mufin ni saya bakar menggunakan air fryer sebab microwave oven tinggal di rumah NS.

Kiranya, saya buat dua percubaan - cuba buat mufin dengan tepung premix dan cuba bakar mufin menggunakan air fryer.

Untuk bakar mufin, saya set suhu 180° dan masa 10 minit. Ikut panduan pada air fryer saya, suhu 180° dan masa 12-14 minit. Saya kurangkan masa, kita tengok macam mana hasilnya.

Inilah rupa hasil pertama mufin menggunakan air fryer. Ermm...macam gelap sangat. Dan disebabkan tak letak cawan kertas ni dalam loyang khas, adunan mengembang dengan bentuk tak sekata dan tak meninggi.

Untuk bakar kali kedua dan seterusnya, saya kurangkan suhu kepada 160° dan masa kekal 10 minit. Saya juga taburkan walnut di atasnya, kasi meriah sikit rupa mufin tu.

Tekstur mufin. Lembut dan lembab di bahagian dalam, agak rangup di bahagian luar. Sedap! Cuma bagi tekak saya, mufin ni rasa terlebih manis.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan mufin menggunakan Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker ni. Juga berpuas hati dengan hasil mufin yang dibakar menggunakan air fryer. Mudah sangat!