Tuesday 31 December 2019

Aunty Aini's Garden Cafe, Nilai

Aunty Aini's Garden Cafe merupakan antara lokasi makan-makan kegemaran saya dan suami. Disebabkan ia terletak tidak terlalu jauh dari rumah kami, maka agak biasa jugak kami makan di sini sejak lebih lima tahun lalu.

Dah selalu datang makan, baru kali ini rasa rajin nak catatkan di blog...haha! Tapi tempat ni memang dah sedia terkenal pun, cuma saja nak jugak buat catatan dari sudut pandangan sendiri dan sebagai rujukan akan datang.

Kenapa saya suka makan di sini? Sebabnya...

Makan Dengan Konsep Dalam Taman
Saya memang gemarkan kehijauan alam, terutamanya taman ala tropika. Jadinya, Aunty Aini's Garden Cafe ni memang memenuhi citarasa saya.

Pintu masuk dengan daun pintu kayu yang unik dan menarik. Lengkap dengan kemudahan untuk pengguna kerusi roda.

Pandangan dari pintu masuk ke ruang makan. Juga terdapat kemudahan bangku dan pondok (kanan) untuk kita duduk-duduk menikmati keindahan di sini.

Pelbagai jenis tanaman orkid yang terdapat di salah satu sudut.

 Konsep tanaman yang menarik!

Terapi mata. Kenal tak yang kanan tu? Tumbuhan yang tak perlu tanam guna tanah. Ada saya catatkan DI SINI.

Tempayan yang menambah seri landskap di sini.

Menikmati hidangan dalam persekitaran kehijauan taman. Saya suka!


Kemudahan Yang Lengkap
Lokasi makan-makan yang baik mestilah dilengkapi dengan kemudahan lengkap dan terurus.

Ruangan parkir disediakan, walaupun tak terlalu luas (masih ada yang perlu parkir di tepi jalan) ia memudahkan pelanggan yang datang. Tempatnya pun kemas & bersih.

Selain tandas (tiada gambar), kemudahan ruangan solat turut disediakan. Nampak comel dan cantik je kan..

Pondok untuk merokok. Terletak jauh dari tempat makan. Sesuai dengan peraturan larangan merokok di tempat makan mulai tahun 2020 (esok).


Masakan Tradisi Negeri Sembilan Yang Sedap
Rasa masakan yang sedap semestinya menjadi tarikan utama saya datang ke sini. Terdapat pelbagai pilihan menu tradisi tempatan dan barat. Tapi tekak saya dan suami lebih serasi dengan masakan tradisi Negeri Sembilan jika makan di sini. Pernah beberapa kali makan Laksa Johor dan beberapa menu lain, tapi tak memenuhi citarasa kami.

Jadinya hampir setiap kali datang, inilah menu yang kami pesan - daging salai masak lemak cili api, telur itik masak lemak cili api dan kerabu pucuk paku. Kuah masak lemaknya cukup pekat dan rasanya menepati selera kami. Walaupun sebenarnya kami tak berapa kuat makan pedas, tetap jugak makan (kadang-kadang sampai habis licin kuahnya) dengan hidung yang mula berair dek menahan kepedasan. Haha..

Menu yang paling saya suka - kerabu pucuk paku. Lembut dimakan walaupun pada bahagian batang pucuk paku yang besar.

Tak rasa ralat membayar bila makanan yang dimakan memuaskan selera dan dengan suasana tempat makan dalam kehijauan alam.

Disebabkan tempat ini sudah terkenal tetapi ruang makan yang tersedia tidaklah begitu banyak, biasanya akan berlaku kesesakan (tak dapat tempat duduk). Jadi cuba elakkan datang makan pada hari cuti hujung minggu/cuti umum, atau datanglah awal. Pintu bukak je, boleh terus masuk.

Dari segi masa menghidang, kadang-kadang cepat dan kadang-kadang agak lambat. Macam yang terbaru kami makan ni, memang dah dibagitau akan lambat sebab menu yang kami pesan ni sedang dimasak yang baru. Kami okey je.
------------------------------------

AUNTY AINI'S GARDEN CAFE

LOKASI :
Batu 16, Jalan Sepang,
Kg. Chelet, Nilai,
Negeri Sembilan.

WAKTU OPERASI :
Selasa - Ahad
11.30 pagi - 2.30 petang
5.30 petang - 10.30 malam

(Tutup : Isnin)

Wednesday 18 December 2019

Cheesekut

Dah terlalu lama saya tak buat Cheesekut. Dek kerana datang rasa teringin, saya pun mula buat carian di internet. Yang pernah saya buat dulu, tak catatkan resepi di blog. Jadinya tak dapat nak rujuk semula.

Dulu saya cuma guna biskut Cream Crackers, Cream Cheese, susu pekat manis dan susu segar sebagai bahan asas. Tapi kali ni saya mencuba resepi Cheesekut yang diambil dari Facebook Page : Azlina Ina Fans.

Selain bahan asas yang biasa digunakan untuk buat Cheesekut, resepi oleh Azlina Ina ada pertambahan bahan iaitu Whipping Cream dan Horlicks. Juga mesti guna biskut Deluxe Cracker Vegetable.

BAHAN-BAHAN :
• 1 pek biskut Hup Seng Deluxe Crackers Vegetable
• 500g Tatura Cream Cheese
• 1/2 tin susu pekat manis F&N
• 1 cawan Emborg Whipping Cream
• 1 cawan susu segar Dutch Lady
• 3 sudu besar Horlicks

• sedikit susu segar (untuk celup biskut)
• milo & nestum (untuk lapisan dan topping)

Nota :
-Terpulang korang nak guna jenama apa, saya terus tulis jenama yang saya guna untuk rujukan akan datang.
-Biskut tu cuma 258g, tak cukup untuk Cream Cheese sukatan di atas. Sila beli 2 pek, untuk kali ni saya tambah guna biskut Cream Cracker yang sedia ada di rumah.

CARA-CARA :
1. Sebatikan Cream Cheese,  susu pekat manis, Whipping Cream,  susu segar dan Horlicks dengan menggunakan blender atau mixer (saya guna mixer sebab dengan sukatan bahan di atas, tak muat kalau guna blender saya).
2. Celup biskut ke dalam susu segar.
3. Letak lapisan adunan Cream Cheese dalam bekas, kemudian susunkan biskut tadi. Lapiskan lagi dengan Cream Cheese. Kemudian saya lapiskan pula dengan Milo atau Nestum (saya buat selang-seli).
4. Ulang langkah di atas sehingga Cream Cheese boleh menutupi lapisan biskut paling atas.

Dah siap kerja melapis, atasnya (topping) saya letak Milo dan Nestum (saya guna nestum 3in1 sebab dah ada kat rumah).

Hasilnya...dapatlah 5 1/2 bekas saiz SQ450 ni. Maksudnya 5 bekas dan satu bekas lagi cuma dapat separuh bekas je 😅. Sejukkan semalaman untuk rasa yang memuaskan selera.

Buat hari Isnin, hari Selasa saya sorang je dah habis sebekas 😄. Topping tu kalau nak cantik, tambah la lagi sebelum dihidang.

Memang sedap rupanya bila kita guna biskut Deluxe Cracker Vegetable, ada rasa macam masin sikit. Sukatan kali ni pun tak terlalu manis sebab cuma guna 1/2 tin susu pekat manis untuk 500g Cream Cheese. Adunan Cream Cheese pula agak cair, mudah kita nak ratakan untuk buat lapisan.  

Kos memang agak tinggi, lagi pulak bila buat sikit macam saya ni. Menurut Azlina Ina, dengan bahan dan saiz bekas begini harga jual adalah sekitar RM10 - RM12 sebekas. Jika dikedainya beliau jual dengan harga RM15.


Friday 13 December 2019

Tillandsia Ionantha

Tillandsia, juga dikenali sebagai Air Plant merupakan tumbuhan yang unik. Bersaiz kecil, ia cuma memerlukan udara, air dan cahaya matahari untuk terus hidup. Tak perlu tanah, tak perlu ditanam.

Terdapat banyak jenis Tillandsia, jenis pertama yang saya miliki - Tillandsia Ionantha (juga dikenali sebagai Sky Plant).

Tillandsia hanya berbunga sekali sahaja sepanjang tempoh hayatnyaTillandsia Ionantha yang saya miliki ini sudah pernah berbunga (sewaktu saya membelinya pada November 2018). Selepas berbunga, ia seterusnya akan menghasilkan anak pokok. Macam dalam gambar di atas, ada dua anak pokok.

Sebelum ini, ia dah pun menghasilkan dua anak pokok. Lepas saya pisahkan dari pokok induk, ia sekali lagi menghasilkan dua anak pokok. Maksudnya saya dah dapat empat anak pokok dari pokok induk ni. Alhamdulillah!

Dua anak Tillandsia yang pertama, saya pisahkan dari pokok induk pada awal September lalu. Pada penghujung Oktober, pokok induk mula menghasilkan dua anak pokok yang baru. Anak pokok yang pertama ni sekarang dah keluar akar. Walaupun nampak macam akar, tapi ia tidak berfungsi seperti akar pada pokok biasa.

'Bergambar ramai-ramai' sebelum saya pisahkan dua anak pokok dari induknya. Anak pokok sesuai dipisahkan apabila saiznya mencapai kira-kira 1/3 dari saiz induk.

Dua anak pokok yang baru lepas berpisah dari induk. Memang sangat kecil, kena hati-hati pegang jangan sampai terpatah. Harapnya lepas ni pokok induk boleh menghasilkan anak pokok lagi, menurut info ia boleh menghasilkan 2 hingga 8 anak pokok.

Dari segi penjagaan, bagi saya Tillandsia lebih mudah sebab tak perlu tanah dan pasu. Sangat sesuai dijadikan tumbuhan dekorasi mengikut kreativiti, boleh letak/ikat pada tunggul/kayu pokok atau letak di bekas comel. Pastikan ia mendapat pengudaraan yang baik, cahaya matahari yang redup dan air (penyiraman). Terdapat dua teknik penyiraman - samada teknik semburan (spray) air dua kali sehari atau seminggu sekali rendam ia dalam air selama 30 minit. Buat masa sekarang, saya guna teknik semburan air untuk Tillandsia saya.

Monday 9 December 2019

Sup Kepala Kambing

Kenduri di rumah mertua pada hari Sabtu lalu,
Salah satu menu yang dihidang...

Sup Kepala Kambing 🐐

 Ada dua kepala kambing, satu masih dalam periuk.

Selain bahagian kepala, bahagian lidah kambing juga dijadikan sup.

Ada yang pernah cuba makan?
Saya tak mampu nak mencuba, walaupun sekadar untuk merasa kuah sup 😅


Wednesday 4 December 2019

Kita Ingin Orang Memaafkan, Lalu Melupakan...


Kadangkala kita tersilap bicara,
Tersilap menyusun kata-kata,
Tersilap bertingkah laku,
Tersilap itu dan ini.

Ya, kita sudah tersilap.
Sehingga malu mengingatinya kembali.

Kita ingin orang memaafkan,
Lalu melupakan kesilapan kita.

Tapi...
Mampukah kita memaafkan,
Juga melupakan kesilapan orang lain?

Berhenti menyebut-nyebut,
Berhenti menjadikan ia bahan jenaka.
Lupakan.

Monday 2 December 2019

Mee Racun 3G, Batu Pahat, Johor


 Menu di kedai Mee Racun 3G.

 Mee Racun (biasa). Ada hirisan daging, tauhu goreng, telur dadar. Harga RM5.

Mee Racun Tulang. Harga RM14, dulu RM10. Memang dah lama tak ulang makan di sini, harga pun dah berubah.

Dari segi rasa, memang memenuhi selera saya. Sebab tu dah berkali juga saya datang makan sini bila berkesempatan. Dari segi keadaan kedai, bagi pendapat saya agak kurang memuaskan dan perlu penambahbaikan.

Beginilah bila balik kampung suami di Batu Pahat...kepala mula plan nak makan Mee Racun, Nasi Goreng Kambing, Kacang Pool, Nasi Ambeng...dan macam-macam lagi 😁.


Wednesday 27 November 2019

Idek-Idek



Teringat zaman dulu-dulu, arwah Bapak selalu minta idek-idek. Dengan menahan tangan di dinding (untuk stabilkan badan), saya akan memijak Bapak bermula dari kaki sampailah ke badan. Macam dalam gambar di atas. Sungguh...gambar ini menggamit memori masa lalu saya bersama Bapak.

Idek-idek - bahasa Jawa yang merujuk kepada mengurut badan dengan cara memijak belakang badan.

Sunday 24 November 2019

Kopi Ladang, Janda Baik

Semasa di Riverside Janda Baik tempohari, saya dan suami tak memasak sendiri pun. Kami pun tak bawa kelengkapan memasak, maklum je baru pertama kali berkhemah. Tambahan lagi, dapat tau di Janda Baik ni tak susah cari tempat makan.

Kami makan tengahari dan malam di restoran Riverside Janda Baik. Manakala untuk sarapan pagi, selama dua hari kami bersarapan di Restoran Kopi Ladang yang terletak tidak jauh dari Riverside Janda Baik. 

Kami antara pelanggan yang paling awal datang pada pagi Ahad, kedai masih lengang. Masa ni sekitar jam 7.30 pagi. Tapi tak lama pun begini, kedai ni dah mula dipenuhi pelanggan.

Semalamnya (Sabtu) kami berdua makan Nasi Lemak, harini saya try Roti Goyang.

Kopi Ladang - Kopi Panas dan Kopi Ais, minuman istimewa di sini sebab pokok kopi ditanam dan diproses sendiri. Ada kebun kopi di belakang kedai ni. Rasanya? Menepati citarasa saya 😋.

Kos makan sarapan kami.

Satu masalah di sini yang ketara adalah ruang parkir yang sangat-sangat terhad. Susah payah jugak la kita nak parkir dan keluar dari parkir 😅.
-------------------------------------

KOPI LADANG RESTAURANT

Lokasi :
Lot 6503, Kampung Janda Baik,
Bentong Pahang.

Waktu operasi :
Jumaat (11 pagi - 7 malam)
Sabtu (7.30 pagi - 8 malam)
Ahad (7.30 pagi - 7 malam)


Thursday 21 November 2019

Berkhemah di Riverside Janda Baik

Aktiviti yang dah lama teringin nak buat, tapi tak terlaksana - berkhemah. Semasa saya di zaman remaja dulu memang agak biasa berkhemah, samada di dalam hutan atau di tepi pantai/jeram. Kalau di hutan tu sebab melakukan aktiviti pendakian yang bermalam, paling lama selama 3 malam sewaktu mendaki Gunung Stong, Kelantan dan bersambung pula 1 malam di Gua Ikan. Lebih banyak cabaran ditempuhi, lebih banyak kenangan yang tercipta.

Kini setelah lebih 20 tahun, saya kembali melakukan aktiviti berkhemah. Tapi sudah tentu caranya tak sama seperti zaman remaja. Zaman khemah satu lapis, tidur tanpa alas dan berbantalkan backpack. Bila hujan, menggigil sejuk dan basah dalam khemah yang banjir. Bila ribut, tak menang tangan menahan khemah yang dah macam nak terbang. Zaman duit tak berapa ada, semuanya berjimat dan ringkas je.


Riverside Janda Baik, Pahang | 16 - 17 November 2019

Masya Allah...cantik sangat dan cukup menenangkan! Saya jadi sangat teruja masa mula-mula sampai sini, tak sabar nak celup kaki dalam air tu. Masa kami sampai ni awal pagi (sekitar jam 8.30 pagi) sebab nak pastikan dapat pondok pilihan (di sini ada banyak jenis pondok). Sementara orang belum ramai, cepat-cepat saya ambil gambar sana-sini.

Akhirnya...khemah yang saya dan suami beli lebih setahun lalu dapat juga digunakan. Lama dah menyimpan hasrat tu kan, Alhamdulillah kali ni terlaksana. Sebagai permulaan dan tanpa kelengkapan yang cukup, kami memilih untuk berkhemah di Riverside Janda Baik. Kami pilih untuk mendirikan khemah di pondok ni. Dah tak perlu risau kalau hujan nanti banjir ke apa kan. Untuk pondok ni, bayaran RM40/bermalam dan RM20/balik hari.

Pandangan dari dalam khemah kami. Saya suka!

Pengunjung dah mula ramai, hampir semua pondok dah ada yang punya. Meriah dengan gelagat kanak-kanak bermain air, tak ketinggalan juga yang dewasa (termasuk kami..haha). Air memang sangat sejuk dan menyegarkan.

Sungai ni ada banyak batu di bawah dan aliran agak deras. Tapi tidaklah berapa dalam. Sesekali kita kena ke tepi sebab ada pengunjung sedang melakukan aktiviti 'water tubing'. Alah...duduk atas pelampung besar sambil di bawa arus sungai tu. Seronok tengok!

Tak kan tengok je orang ber'water tubing' kan? Kami akhirnya tergoda nak mencuba. Tapi kami tunggu sebelah petang, waktu pengunjung dah berkurangan. Kurang segan dan kurang mengganggu pengunjung lain yang sedang asyik bermain air.

Kami sewa pelampung hijau besar tu di sebuah gerai yang terletak berhampiran jambatan (perlu berjalan kaki ke depan lagi dari lokasi khemah kami). Kadar sewa RM10 untuk 2 jam. Deposit RM10 dikenakan.

Gambar kami ber'water tubing' memang takdelah, sebab dua-dua pun masuk dalam air kan. Tapi memang aktiviti yang sangat-sangat seronok! Juga sedikit mencabar bila kadang-kala pelampung tersangkut di bahagian berbatu. Masa pertama kali buat aktiviti ni, saya (pelampung saya) lalu di sebelah seorang kanak-kanak perempuan yang peramah. 'Makcik..makcik jangan pergi sampai chalet yang hujung tu tau. Dalam.' Lebih kurang begitu dia berpesan. Ya Allah, tersentuh hati saya. Dan selepas itu setiap kali pelampung saya lalu di kawasan dia bermain air, dia akan memanggil 'makcik..makcik' sambil tersenyum melambai. Hihi...anak sendiri takde, anak orang bersorak kat kita pun dah rasa seronok.

Sewa untuk 2 jam, tapi kami cuma guna selama 1 jam lebih. Dah keletihan dan rasa cukup puas main air. Tambah penat sebab nak kena angkut pelampung besar tu ke tempat di mana kita nak bermula → naik atas pelampung untuk water tubing → stop sampai kawasan pilihan → angkut lagi. Begitulah berulang-ulang sampai puas ber'water tubing'. Harap-harap fahamlah apa yang sedang saya cuba sampaikan ni ya. Hahaa.. 

Malam pun tiba...ada sedikit debaran dalam keterujaan, disebabkan ini adalah pengalaman pertama kali tidur dalam khemah (setelah lebih 20 tahun tak berkhemah). Tiada pengunjung lain yang bermalam di pondok sebelah kami, tapi ada pengunjung lain selang beberapa pondok dari kami. Tak rasa takut sebab lampu disediakan dan kedudukan kami cuma di tepi jalan. Bukan dalam hutan pun.

Selepas solat di surau, kami memerap je dalam khemah. Badan pun mula rasa lenguh-lenguh dek aktiviti water tubing petang tadi. Saya berehat sambil menikmati nyanyian alam - bunyi cengkerik, deruan aliran sungai dan rintik-rintik hujan gerimis yang menimpa dedaun. Cukup mendamaikan! Lena ke tak malam tu? Saya tak lena sebab rasa tak selesa badan tidur tanpa alas tebal. Suami tidur lena je macam biasa..hehe. Tapi memang sedap tidur sebab langsung tak panas walaupun takde kipas.

Pagi yang indah! Walaupun baru jam 8 lebih, dah ada pengunjung yang datang bermain air. Termasuklah kami yang 'menyeksa diri' masuk dalam air sungai sejuk ni, sebabnya kami nak bergerak balik pagi ni jugak. Sebelum balik, harus main air dulu.

---------------------------------------------------------- 

Jenis penginapan dan pondok yang ada di Riverside Janda Baik. Siap mintak dari staf pejabat, senang saya nak rujuk akan datang. Untuk pondok tak boleh booking, konsep siapa cepat dia dapat. Bayaran terus buat di pejabat sebelum menggunakan pondok.

Yang bermalam di pondok akan dapat kertas notis ni. Patutlah aman je sepanjang berada di sini, rupa-rupanya memang ada peraturan.

Info lain - surau, bilik mandi/tandas dan restoran ada di seberang jalan. Boleh parkir kenderaan kita di belakang pondok. Ruang parkir yang luas juga ada di seberang jalan. Tempat BBQ ada disediakan di setiap pondok. Pendek kata, secara keseluruhannya saya berpuas hati dan nak datang lagi dengan membawa tambahan kelengkapan (setelah percubaan pertama ni, baru tahu apa lagi yang perlu di bawa).

RIVERSIDE JANDA BAIK
Lot 5506, Jalan Sum-Sum Hilir,
Kg. Janda Baik, Bentong,
Pahang.

Fb : Riverside Janda Baik
No. H/P : 019 948 3100 (WhatsApp sahaja)

Tuesday 19 November 2019

Di Manakah Titik Tengah Semenanjung?

Tahukah korang di mana letaknya titik tengah Semenanjung Malaysia?

Titik tengah Semenanjung Malaysia terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang, Pahang. Iaitu dalam daerah Temerloh. Ia dikenalpasti oleh JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) pada tahun 2009.

Projek Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang menempatkan Monumen Ikonik TTTS dan kemudahan lain seperti gerai, tandas, wakaf dan surau.

Menurut info, TTTS akan dibuka pada bulan Oktober lalu. Tapi masa saya sampai Sabtu lalu (16 November), ia masih belum beroperasi. Dan dengar khabar, Lemang To'ki yang terkenal di Bentong akan membuka cawangannya di sini. Kalau betul, Insya Allah tak sunyi tempat ni sebab Lemang To'ki ramai peminatnya (termasuk saya...hehe). Kita tunggu dan lihat.

Oh ya, gambar di atas saya ambil kira-kira jam 7 pagi. Lanchang masih diselimuti kabus tebal. Pemandangan yang indah dan terasa nyaman!

Tuesday 12 November 2019

Dilema Pengundi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai

Minggu lepas Mak saya menelefon dari kampung, semata-mata nak berbincang mengenai siapa yang patut diundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai. Sebelum itu, sudah beberapa orang wakil parti datang ke rumah Mak untuk menjalankan kempen.

Jika pilih calon Barisan Nasional (BN), bermaksud terpaksa mengundi Wee Jeck Seng dari MCA (baca : Cina). Jika pilih calon Pakatan Harapan (PH), akan mengundi Karmaine Sardini tetapi ada DAP (baca : Cina) disebaliknya. Mak saya berada dalam dilema untuk membuat pilihan.

Dan mungkin ini juga adalah dilema kebanyakan pengundi Melayu di sana. Ramai menolak PH sebab adanya DAP yang dilihat sebagai 'parti Cina yang jahat'. Mengundi Karmaine Sardini ibarat bersetuju dengan DAP. Nampaknya DAP merupakan satu liabiliti kepada PH.

Mak bertanya saya lagi, apakah sebaiknya beri undi kepada calon BERJASA - Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz? Iaitu sebuah parti serpihan PAS (baca : Melayu Muslim).


Merungkai Persoalan
Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, saya juga merupakan pengundi untuk Parlimen Tanjung Piai. Saya kemudiannya menukar alamat kad pengenalan dan seterusnya menukar pusat mengundi mengikut lokasi saya menetap kini (di Negeri Sembilan).

Saya cuba membayangkan jika saya masih menjadi pengundi di sana, siapakah yang harus saya beri undi? Saya juga mengalami dilema. Namun pilihan harus tetap dibuat berpandukan beberapa perkiraan mengikut situasi semasa.

Jadinya, saya katakan kepada Mak saya perkara berikut :
  1. Daripada 6 orang calon, kita ketepikan 4 calon. Iaitu 2 Bebas, GERAKAN dan BERJASA. Atas alasan 4 calon tersebut 'tiada kekuatan', kerana mereka bukan dari parti gabungan seperti BN dan PH. Harapan untuk menang adalah tipis, jadi jangan membazirkan undi untuk calon yang hampir pasti tidak menang.
  2. Tinggal 2 calon iaitu BN dan PH. Maka untuk PRK kita pilih saja calon dari parti yang sedang memerintah, tanpa mengira bangsa dan agamanya. Alasan saya, jika wakil kita berbeza parti dengan parti yang memerintah, tentulah sedikit sebanyak timbul kesukaran untuk membawa suara dan memajukan kawasan.
  3. Jika sekiranya ini adalah PRU, maka pilihlah mengikut parti yang kita mahukan dia berkuasa untuk mentadbir negara.
Sudah tentu di dalam Islam jika kita menghadapi dilema, kita dianjurkan melakukan solat istikharah. Tetapi dalam masa yang sama kita juga harus memikirkan pertimbangan yang terbaik. Saya sekadar memberi pendapat, apa pun jua pilihan Mak itu menjadi hak beliau.

Paling penting, jangan lupa bahawa negara kita adalah negara demokrasi. Tidak ada sesiapa yang berhak memaksa kita mengundi calon mana pun, dan tidak ada sesiapa yang berhak marah jika kita tidak mengundi calon mana pun. Perbuatan seseorang menghina individu lain atas undian yang dibuat, menunjukkan kegagalannya memahami konsep demokrasi.

----------------------------------------------------------
Senja di Tanjung Piai Resort pada 12 Oktober lalu, saya dan sebahagian ahli keluarga datang ke sini untuk makan malam dan meraikan ulang tahun kelahiran Mak yang ke-71.

Mak saya seorang yang mudah dibawa berbincang dan mudah memahami. Tengoklah, sampaikan nak mengundi pun diajaknya saya berbincang...hehe. Tak cukup melalui panggilan suara, bersambung pula di WhatsApp (Mak belum mahir menaip, jadinya Mak menggunakan 'voice messages').


Tuesday 5 November 2019

Jalan-Jalan Cari Hutan?

Ahad | 03.11.2019

Bila dah terlalu lama tak masuk hutan, mata tak melihat pokok-pokok besar dan tinggi, telinga tak mendengar bunyi unggas di hutan, hidung tak mencium bau hutan...jiwa jadi tak tenteram. Rindu kah? Hahaa...

Untuk mengubat rasa, jomlah kita menuju ke Kuala Pilah. Tak berapa jauh dari rumah saya, tak perlu tenaga yang banyak sebab tak manjat bukit/gunung, cuma duduk dalam kereta dan nikmati keindahan alam! Kalau hari Sabtu, bolehlah terus ke Pasar Tani Kuala Pilah.


JALAN LAMA BUKIT PUTUS

Laluan lama Bukit Putus yang sunyi ini menyajikan keindahan tersendiri. Matahari jam 8.25 pagi menyinar indah di sebalik rimbunan pokok. Udara terasa segar dan sejuk (saya suka turunkan cermin tingkap kereta bila berpeluang lalu sini pada waktu pagi). Di sebelah kanan tu Hutan Simpan Angsi, tak masuk hutan dapat lalu tepi hutan pun bolehlah kan..hehe.


TAMAN EKO RIMBA ULU BENDUL

Niat asal cuma nak makan-makan di kedai tepi jalan sambil menikmati pemandangan petak sawah dan perbukitan yang menjadi latar di sini. Tapi, tiba-tiba rasa nak meninjau di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul pulak. Dah terlalu lama tak ke sini walaupun akhir-akhir ni agak selalu ke Kuala Pilah. Kali terakhir rasanya lebih 10 tahun lalu, masa saya tinggal di Juasseh. Nak ke sini mudah sangat sebab ia terletak di tepi jalan besar Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Ada disediakan kolam, lebih mudah dan lebih selamat untuk yang membawa anak kecil. Masih terlalu awal (belum pun jam 9 pagi), tempat ni belum ramai pengunjung. Tapi dah kelihatan beberapa pengunjung dewasa dalam kolam tu. Untuk info, tempat ni dibuka mulai jam 7 pagi.

Kolam tadi di bahagian depan, kami bergerak ke dalam lagi. Alhamdulillah tergerak hati nak meninjau sini. Rupanya ada 'sajian' buat saya. Pemandangan indah, udara segar dan bunyi aliran air sungai, semuanya cukup memberi ketenangan! Pengunjung pun belum ramai, cukup aman nak menikmati alam semulajadi dan mudah untuk saya ambil gambar. 

Untuk yang suka aktiviti perkhemahan, boleh pacak khemah di kawasan ini. Ada dua kawasan tapak perkhemahan dan ini salah satu darinya. Menurut info yang saya dapat, sewa tapak cuma RM5 dan untuk penggunaan tandas caj RM1/sehari/seorang. Kawasan ni nampak menarik dan bersih. Tapi sunyi sebab cuma kelihatan satu keluarga kecil je yang sedang berkhemah. Teringin jugak nak berkhemah di sini, tapi seram pulak malam-malam kalau sunyi sangat kan? Keluarga kami ni pulak kecil sangat - berdua je. Huhu..

Penggemar aktiviti mendaki? Boleh daki Gunung Angsi ikut laluan ini (mula masuk sebelum jam 9 pagi sahaja), atau boleh ikut laluan di jalan lama Bukit Putus. Bayaran permit RM5.

Lagi pemandangan yang membuat saya tersenyum bahagia.

Sebuah ketenangan...SubhanAllah.

Replika keris - pada replika keris ini ada disertakan catatan sejarah Hutan Lipur Ulu Bendul.

Menarik kan? Ayat tu yang menarik, bukan tong sampah ya!

Sebenarnya, ada lagi yang menarik perhatian saya. Tapi cukuplah gambar-gambar di atas untuk catatan kali ini. Kesimpulannya, Taman Eko Rimba Ulu Bendul memang menarik sebab ada kemudahan lengkap dan banyak pilihan aktiviti. Cuma, masih ada sampah (termasuk lampin pakai buang) yang bersepah di tepi sungai. Sebaiknya, kita selaku pengunjung mesti bertanggungjawab bawa keluar segala sampah sendiri dari kawasan rekreasi begini. Barulah kawasan rekreasi kita bersih dan terhindar dari penyakit kencing tikus (leptospirosis).

Ada lagi aktiviti lain di sini - lawatan ke Taman Ular. Tak jauh pun dari sungai/kolam tadi, sebab ia memang berada di kawasan yang sama di bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Tapi kami tak masuk, jadinya takde catatan lanjut mengenai Taman Ular.


KEDAI MAKAN AIN
Dah penat jalan-jalan di Hutan Lipur Ulu Bendul, kita pergi makan pulak lah...

Nasi Lemak sedap! Tu rendang ayam campur daun maman.

Kedai makan yang kerap kami singgah setiap kali ke Kuala Pilah - Kedai Makan Ain. Sebab Nasi Lemak dan lauk pauk di sini memenuhi selera kami. Lagi satu, ada ruangan untuk kita parkir kereta dengan selamat. Makan pulak sambil melihat hijau alam, memang bertambah sedap! Kedai ni terletak berhadapan simpang masuk ke Seri Menanti.