Tuesday 14 May 2024

Catatan Hujung Minggu

Catatan hujung minggu saya…

SABTU | Waktu petang saya dan Encik Suami bergotong-royong membersihkan rumput di sekeliling rumah yang telah dipotong pada hari Selasa lalu. Saya kumpul rumput kering di beberapa tempat dengan menggunakan penggaruk, manakala Encik Suami pula angkut rumput yang dikumpul dengan pongkes, letak setempat dan bakar. Penat jugalah sebab kawasan rumah ni luas.

Beginilah kehidupan di rumah dalam suasana kampung, lebih banyak kerja perlu dibuat sama ada di dalam atau di luar rumah. Memang berbeza sungguh sewaktu tinggal di rumah apartment dan rumah teres taman perumahan.

Untuk rekod - sebelum ini rumput dipotong sebulan sekali, tapi kali ini hampir tiga bulan barulah dipotong. Sebabnya, rumput keliling rumah semuanya mati akibat kekeringan sewaktu musim kemarau lalu. Rumput mulai tumbuh hijau semula apabila musim kemarau berakhir pada penghujung Mac. Itu pun tak semuanya tumbuh cepat, ada jenis rumput yang cepat meninggi dan banyak juga yang nampaknya ambil masa untuk hidup kembali. Pengalaman baru buat saya.

AHAD | Pukul 10 pagi kami dah berada di Wisma Persekutuan, Alor Setar, Kedah. Ada urusan di tingkat 4. Bagus juga bila dua negeri bersebelahan tetapi cuti hujung minggu berbeza - orang Perlis cuti bolehlah buat urusan rasmi di Kedah yang bekerja pada hari Ahad.

Selesai urusan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah hari. Perut sudah minta diisi. Kami makan di kafe bangunan Wisma Persekutuan. Tiada pilihan lain kecuali menu nasi daging. Konsep layan diri, ambil sendiri nasi dan lauk. Alhamdulillah…sedap! Saya suka nasinya lembut dan sedap rasa air asam kerisik. Sebelum ni pernah juga saya merasa hidangan nasi daging, tapi tak kena selera. Kali ni memang sedap. Harga dua pinggan nasi daging, segelas minuman teh o lemon panas dan lemon ais cuma RM16 sahaja.

Alang-alang dah sampai Alor Setar, kami pergilah ke pusat membeli-belah Aman Central. Kalau di Perlis tak ada mall besar begini ya, maklumlah penduduk Perlis katanya cuma lapan orang maka tak perlulah mall besar 😁

Hasil meronda di sini, dapatlah saya membeli sehelai wide-leg straight cut jeans di Uniqlo. Alhamdulillah, seronok dapat juga seluar jeans dengan rekaan dan potongan yang saya mahu - potongan longgar, tak perlu pakai tali pinggang dan material lembut selesa. Bagusnya, Uniqlo juga menyediakan servis alteration kaki seluar secara percuma (bergantung kepada nilai pembelian). 

Tak terus balik ke rumah, Encik Suami ajak jalan-jalan ke Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kali terakhir kami ke sini pada tahun 2018, masa tu kami masih menetap di rumah NS. Di sini kami ke tempat jualan coklat je, tak membeli banyak pun sekadar buat kudapan kami sendiri. Berkenaan harga, kami pun tak pasti sama ada berbaloi atau tidak membeli di sini.

Tadi semasa pergi, perjalanan begitu lancar. Tapi semasa baliknya, kami perlu beratur panjang kira-kira 45 minit bagi melepasi proses di kompleks imigresen. Silap kami, terlupa hari Ahad mestilah ramai pelancong Malaysia balik dari Thailand. Menurut pegawai imigresen bertugas, situasi begini tidaklah begitu teruk berbanding pada hari cuti umum - barisan lebih panjang dan lebih lama masa menunggu.






.

Friday 10 May 2024

Harum Mewangi

Antara pokok yang terdapat di sekitar rumah saya - pokok limau kasturi dan pokok daun kari. Baru-baru ini saya perasan kedua-dua pokok sedang galak berbunga. Seronok rasanya melihat pokok berbunga lebat walaupun bukanlah saya yang menanamnya 😁. Semuanya hasil usaha penghuni rumah terdahulu.


Harum Mewangi | Bunga Pokok Limau Kasturi
Sejak berpindah ke sini, ini merupakan kali kedua saya menyaksikan pokok limau kasturi ini berbunga lebat. Kali pertama pada penghujung bulan Disember 2023. Kemudian ia menghasilkan buah limau kasturi yang cukup lebat sampai tak termakan oleh kami berdua, terbiar kekuningan di pokok. Walaupun banyak juga saya ambil untuk dicampur jusnya dalam minuman/masakan dan ada juga jiran datang ambil, masih banyak buah yang terbiar tidak dituai sehingga berguguran ke tanah.

Sekarang ni buahnya tinggal sedikit dan pokok limau kasturi kembali berbunga. Bunganya berbau harum, belum datang dekat dengan pokok pun dah boleh tercium aromanya. Pokok limau kasturi ini di tanam di laman depan rumah. Dulu sewaktu kali pertama saya tercium aromanya, saya tercari-cari pokok apa yang berbau wangi.

Bunga pokok limau kasturi
Bunganya berwarna putih.

Bunga pokok limau kasturi
Lebat putik dan bunganya.

Bunga pokok limau kasturi
Seekor kumbang bersaiz besar kelihatan sibuk terbang ke sana sini. Harapnya ia cuma kumbang penghisap madu bunga, bukan kumbang perosak. Saya tak pandai membela pokok, apa lagi nak kenal perosak dan masalah lainnya.


Harum Mewangi | Bunga Pokok Daun Kari
Pokok daun kari ini terletak di kawasan belakang rumah. Kebetulan pula, akhir-akhir ini saya jarang ke belakang disebabkan tak berani nak meredah rumput yang semakin tinggi sejak berakhirnya musim panas kering. Tetapi baru-baru ini saya redah juga sewaktu melakukan aktiviti ‘morning walk’.

Belum pun sampai dekat dengan pokok daun kari, deria saya dah terhidu bau harum yang menyegarkan. Rupa-rupanya pokok daun kari yang tempohari (sewaktu musim panas kering) kelihatan hampir mati kekeringan, kini sudah berubah rupa. Pokoknya segar, daun menghijau cantik, lebat berbunga dan banyak sungguh anak pokok tumbuh di kelilingnya. MasyaAllah!

Bunga pokok daun kari
Bunga pokok daun kari berwarna putih, bersaiz kecil dan berbau harum. Aromanya cukup menyegarkan! Berbeza sungguh bau bunga dengan daunnya yang kita gunakan dalam masakan.

Bunga pokok daun kari
Pokok daun kari ini bukan saja meriah dengan bunga, tetapi meriah juga dengan kehadiran pelbagai jenis serangga.

Bunga pokok daun kari
Dah macam tanam pokok bunga pulak, cantik penuh dengan bunga.

Saya nampak ada juga buah pokok daun kari ni, sudah bertukar warna hitam. Biji dalam buah tersebut boleh dijadikan benih pokok daun kari. Mungkin sebelum ni ada banyak buahnya, tetapi sudah dimakan burung. Kalau nak tengok rupa buah pokok daun kari yang masih berwarna kemerahan, boleh lihat di entri INI.

Alhamdulillah atas segala rezeki kurniaan-Nya.






.

Wednesday 8 May 2024

Arau Kopi, Arau

Cerita hujung bulan April lalu, saya dan Encik Suami berkesempatan mencuba hidangan sarapan di Arau Kopi. Lokasinya di Arau dengan jarak kira-kira 20 km dari rumah kami.

Arau Kopi terletak di sebuah lorong kecil di kawasan kampung yang hanya boleh dilalui satu kereta sahaja pada satu masa. Kedudukan papan tanda Arau Kopi di hadapan lorong pula agak tersorok, kita perlu perhatikan dengan teliti supaya tak terlepas untuk membelok masuk lorong.

Arau Kopi, Arau
Arau Kopi terletak di kawasan rumah. Tempat letak kereta agak terhad. Kita boleh letak kereta di halaman rumah (dalam pagar), di bahagian luar pagar atau boleh terus ke belakang lorong.

Arau Kopi, Arau
Kawasan letak kereta di bahagian belakang lorong.

Arau Kopi, Arau
Sajian pemandangan indah sawah padi yang terletak berhadapan dengan kawasan letak kereta.

Arau Kopi, Arau
Menu di Arau Kopi. Konsep di sini - ambil sendiri kad menu dan kertas pesanan di hadapan kedai, kemudian isi dan serahkan ke kaunter pesanan. Makanan dan minuman akan dihantar ke meja.

Arau Kopi, Arau
Sajian istimewa di sini, tentunya Kopi Arau - kopi dicampur mentega. Ada pilihan sejuk atau panas. Sedap jugalah, cuma saya kurang gemar sebab nampak berminyak. Lain kali nak cuba Kopi Arau sejuk (ais) pula.

Arau Kopi, Arau
Hidangan sarapan pilihan kami.

Arau Kopi, Arau
Nasi lemak ayam belacan, pek nga gulai ikan dan nasi ayaq berlauk. Kita belajar sikit dialek utara - pek nga (lempeng kelapa) dan nasi ayaq (bubur nasi).

Arau Kopi, Arau
Kali kedua datang sini, kami mencuba roti telur gedik dan kuetiau goreng pula.

Setakat menu yang saya dah cuba ni, Alhamdulillah semuanya memuaskan selera terutamanya nasi lemak dan nasi ayaq berlauk. Tambah berselera bila menikmati hidangan di tempat makan dengan konsep ruang terbuka, sambil telinga mendengar irama lagu lama. Suasana makan yang cukup santai.

Servis di sini juga pantas, tak perlu menunggu lama untuk makanan kita dihidangkan walaupun pelanggan ramai. Tetapi minuman sedikit lewat, iaitu selepas makanan tiba. Kedudukan antara meja makan pula agak rapat, menyukarkan pergerakan. Mungkin mereka mahu memaksimumkan ruang supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati hidangan di sini.

Kalau ada ke Perlis, kalian bolehlah mencuba makan di Arau Kopi ni. Sebaiknya datang di awal pagi supaya mudah mendapatkan ruang letak kereta dan memilih meja makan di sudut yang menarik.


**********************************************

ARAU KOPI
136, Jalan Chin Ali,
Kubang Gajah,
02600 Arau,
Perlis.

Google Maps | Arau Kopi Perlis

Waktu operasi :
Setiap hari | 7.30 pagi - 12.00 tengah hari
Tutup | Jumaat






.

Sunday 5 May 2024

Pulut Sambal

Minggu lepas, tempat kerja Encik Suami mengadakan jamuan hari raya. Banyak juga lebihan makanan yang dibawa balik, antaranya kuih pulut sambal iaitu sejenis makanan tradisi Perlis.

Pulut sambal, kuih apa tu? Kalau kuih pulut inti (pulut dengan serunding kelapa manis yang dibungkus seperti bungkusan nasi lemak), saya pernah makan dan kurang gemar kerana rasa serunding kelapa yang manis.

Pulut Sambal Perlis
Kuih pulut sambal dibungkus dengan daun pisang berbentuk seakan piramid.

Pulut Sambal Perlis
Beginilah rupa kuih pulut sambal dalam bungkusan daun pisang.

Pulut Sambal Perlis
Pulut dengan serunding ikan. Awal tadi saya bayangkan ada sambal tumis warna merah sebab namanya ‘pulut sambal’. Rupanya sambal merujuk kepada serunding ikan. Tetapi bukanlah serunding ikan jenis kasar kering tu tau, ni serunding ikan jenis halus dan lembab dengan rasa yang menambat selera. Tak cukup makan satu bungkus, saya buka bungkusan kedua pula. Sekali cuba, terus saya suka!

Alhamdulillah dapat saya merasa sejenis lagi makanan tradisi di sini. Carian info mendapati kuih pulut sambal ini juga merupakan makanan tradisi di negeri Kedah.






.

Thursday 2 May 2024

6 Bulan Sudah Berlalu…



Semalam 1 Mei 2024, genap 6 bulan saya dan Encik Suami menjadi penduduk di negeri paling kecil di Malaysia. Sepanjang tempoh 6 bulan terakhir ini, terlalu banyak pengalaman baru yang saya lalui. Ada yang saya ceritakan di blog sebagai suatu catatan hidup, tetapi banyak juga yang tidak dapat saya ceritakan.

Alhamdulillah saya rasa serasi menetap di kediaman yang begitu dekat dengan alam semula jadi. Waktu pagi boleh menatap matahari muncul di ufuk timur, waktu petang dapat menikmati indahnya matahari tenggelam di ufuk barat dan waktu malam saya menikmati taburan bintang di langit gelap. Saya juga dapat memerhatikan pelbagai jenis burung cantik hanya menerusi jendela rumah - antaranya burung raja udang di atas kabel elektrik, bangau putih di laman rumah dan burung dendang selayang yang sedang menikmati buah nona.

Pun begitu, ada harga yang perlu dibayar bagi menikmati kehidupan tenang begini. Antaranya, tiada perkhidmatan e-hailing (perkhidmatan pengangkutan awam atas talian) dan p-hailing (perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal) yang sampai ke tempat saya. Kami juga perlu bergerak kira-kira 20 km untuk ke bandar terdekat bagi membeli keperluan di pasaraya dan mengisi minyak kereta di stesen Petronas.

Seperkara lagi yang perlu saya biasakan, iaitu cuaca yang agak berbeza berbanding kebanyakkan tempat/negeri lain di Malaysia. Cuacanya lebih ekstrem dan ada musim tertentu. Musim angin timur (angin kuat, panas dan kering) sudah berlalu, sekarang ini pula walaupun hujan turun tetapi terasa lebih bahang kerana suhu waktu siang tinggi dengan tahap kelembapan (humidity) juga tinggi.

Eh, kalau nak dicatat nanti makin panjang entri ni. Apa yang pasti, saya dah semakin selesa menetap di rumah luas dengan pemandangan luas. Sesekali balik ke rumah NS, terasa sempit rumah sendiri dan rasa terkepung bila pandang depan rumah orang, pandang belakang pun rumah orang. Ish…melampau sungguh saya 😂






.