Monday, 27 July 2026

Peneman Perjalanan Jauh

Peneman perjalanan jauh (Perlis - Johor - Perlis) baru-baru ini :

Pemberian blogger Fanny.
Secret Garden hand cream - lemongrass & peppermint, segar aromanya dan selesa pada kulit. Tak rasa melekit, cepat meresap. Bila duduk lama dalam kenderaan dengan penghawa dingin, kulit jadi cepat kering jadi memang perlu guna hand cream.

Aromatic Cajuput Oil tu pula jadi peneman Encik Suami. Memandu seorang diri dalam tempoh lama, minyak ini membantu melegakan otot leher. Aromanya juga menyenangkan.


Buka Spotify di telefon, kemudian hubungkan ke kenderaan dengan Bluetooth.
Perjalanan yang jauh memberi kami kesempatan untuk mendengar podcast bersiri - Sirah Impak Sosial oleh Ustaz Azlan Shah NK.

Ia tidak sekadar fokus pada penceritaan kisah hidup Nabi Muhammad SAW, tetapi turut mengaitkan peristiwa dengan pengajaran serta impak sosial terhadap kehidupan kita pada hari ini. Cara penyampaian yang menarik dan mudah difahami.

Selain di Spotify, siri Sirah Impak Sosial ini juga boleh diikuti menerusi YouTube. Setakat entri ini ditulis, siri Sirah Impak Sosial sudah pun tiba di Episod 41.







Saturday, 25 July 2026

Ke Sana Ke Sini Cari Makan

Dalam entri 5 Hari 5 Malam Ke Sana Ke Sini, kami melalui perjalanan jauh dari negeri paling utara ke negeri paling selatan kemudian berpatah balik. Jadinya banyaklah lokasi makan-makan kami sepanjang lima hari tersebut.

Antaranya :

Makan di Saba Restaurant, Cyberjaya. Restoran makanan Arab yang menjadi kegemaran saya dan Encik Suami. Selain menu biasa yang kami pesan iaitu Nasi Mandy Kambing, kali ini mencuba shawarma. Tak rugi cuba, sedap! 

Makan di Salomak Sampodeh, Nilai. Kami kerap makan di sini bukan saja kerana ia restoran milik jiran belakang Rumah NS, tetapi kerana banyak menu yang menepati cita rasa kami.

Saya suka minuman lemon panas dihidangkan dengan cara begini - lemon siap diperah, bukan sekadar hirisan lemon yang dimasukkan dalam air panas.

Makan di Kedai Makan Angah, Rimba Terjun, Pontian. Sebuah warung kampung yang terletak di tepi jalan besar laluan ke Kukup. Bila balik Johor, saya tak melepaskan peluang menikmati menu popular negeri Johor. Kami pesan Kacang Pool dua set.

Pesan juga Tauhu Bakar kongsi makan berdua. Sedap!

Makan di Asam Pedas Masbakar, Rambah, Pontian. Kami ambil dua jenis ikan masak asam pedas. Sedap asam pedasnya, boleh datang makan sini lagi.

Makan di Itu Kopi X D’Nara MeeSup Melayu Champa di Simpang Renggam, Kluang. Sedap jugalah kuetiau goreng style Melayu ni, cuma ada kesilapan - saya pesan ‘kosong’ tapi dapat ada daging. Makan sajalah sebab nak cepat, perlu bergerak ke destinasi seterusnya.

Beli Nasi Ambeng di gerai tepi jalan di Seri Medan, Batu Pahat. Tukar hidangan letak di pinggan, barulah mudah nak makan. Kalau dulu, selalu je makan Nasi Ambeng tiap kali kenduri. Sekarang kalau nak makan, kenalah beli bila balik Johor. Tak rajin nak memasak pelbagai lauk Nasi Ambeng semata-mata nak puaskan tekak saya seorang.





Thursday, 23 July 2026

5 Hari 5 Malam Ke Sana Ke Sini

Ikut perancangan, saya dan Encik Suami akan pulang ke kampung halaman kami di selatan tanah air pada pertengahan bulan Jun yang lalu. Takdir Allah, Jojo si anak bulu sakit serta memerlukan rawatan dan pemantauan rapi. Jadi tak mungkinlah saya ke mana-mana selagi kesihatan Jojo belum stabil.

Setelah lebih sebulan dalam rawatan, Jojo akhirnya pergi meninggalkan kami pada 9 Julai lalu. Sedihnya tak terkata, sukar bagi kami menahan air mata kerana setiap sudut rumah ini ada kenangan bersama Jojo. Ada bagusnya kalau kami pulang ke kampung halaman dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya penat bermusafir dan gembira bertemu keluarga dapat mengurangkan perasaan sedih kami.

Senja hari ke-4 selepas Jojo tiada, kami memulakan permusafiran. Tak terus balik ke Johor, kami banyak singgah sana sini - buat urusan Encik Suami serta menghantar oleh-oleh dari Tanah Suci buat adik-beradik.


Lima Hari Lima Malam | 13 - 18 Julai 2026
Rumah Perlis —> Ipoh, Perak —> Damansara, Selangor —> Cyberjaya, Selangor —> Nilai, Negeri Sembilan —> Kajang, Selangor —> Nilai, Negeri Sembilan —> Merlimau, Melaka —> Pontian, Johor —> Batu Pahat, Johor —> Rumah Perlis

Malam pertama - Hotel Valya, Meru, Ipoh, Perak.
Malam kedua - Hotel Yootel, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Malam ketiga - kampung saya di Pontian, Johor.
Malam keempat & kelima - kampung Encik Suami di Batu Pahat, Johor.


Bertemu Adik-Beradik | Biasanya oleh-oleh saya letak je di rumah Mak, nanti masing-masing balik kampung boleh ambil sendiri. Berbeza kali ini ada air zamzam, jadi saya rasa lebih sesuai bagi terus kepada orangnya. Walaupun sedikit tapi bolehlah setakat merasa. Sambil tu dapat juga bersua muka kerana rata-rata kami duduk berjauhan, tak selalu jumpa.

Saya ada sembilan orang adik-beradik, sempatlah saya singgah ke rumah lima orang adik-beradik. Lagi tiga orang - kakak menetap di rumah Mak, adik di Matu, Sarawak dan abang di Johor Bahru, Johor.

Hari pertama, rumah pertama kami pergi - kakak (anak no. 4) tinggal di kuarters sekolah di Cyberjaya, Selangor.

Singgah jumpa adik (anak no. 8) di Nilai, Negeri Sembilan.

Esok harinya sebelum meneruskan perjalanan ke selatan, kami singgah Nilai bagi membeli buah tangan - sandwic di Banat Sandwich dan kuih sejuk beku di Seehat Store.

Dulu semasa menetap di Rumah NS, memang kerap saya beli kuih sejuk beku di Seehat Store. Dah pindah Perlis pun masih membeli di sini bila ada urusan di kawasan sekitar. Orang kedai pun dah kenal, siap tanya “Nak bawak balik Perlis?”. Kali ni bawa balik Johor, nanti hari Sabtu kami datang lagi membeli untuk bawa ke Perlis pula.

Singgah rumah kakak (anak no. 5) di Merlimau, Melaka. Kakak masih bertugas di sekolah, saya berfoto dengan anak saudara sebagai kenangan dah sampai rumahnya.

Sampai Pontian, Johor singgah rumah kakak (anak no. 3). Mengelat kakak saya ni tau, berfoto dengan posisi mengiring. Dah saya nampak macam giant - walaupun memang betul saya lebih besar dan tinggi berbanding kakak.

Rumah kakak (anak no. 6) juga di Pontian, Johor.


Musim Buah | Nampaknya pokok buah-buahan tahun ni sangat menjadi. Kalau sebelum ini di Perlis - sana sini meriah dengan pokok mangga berbuah lebat. Kali ini kami di Johor menyaksikan sana sini meriah dengan pokok rambutan, pulasan, manggis, langsat berbuah lebat. Buah rambai dan duku pun ada tapi tak sebanyak rambutan, pulasan dan manggis.

Meriah keliling rumah mak dan mak mentua saya dengan pelbagai jenis buah-buahan. Banyak sungguh sampai tak termakan. Saya pula makan sekadar merasa.

Pokok langsat yang dah sekian lama tak berbuah, tiba-tiba tahun ni berbuah lebat. Pokok ni tak dijaga, jadinya dah meninggi susah nak ambil buahnya.

Buah pulasan lebat tapi saiz buah kecil.

Alhamdulillah tahun ni Allah bagi rezeki mewah buah-buahan, sampaikan durian premium pun turun harga. Kali ini ramai yang dapat merasa buah durian premium dengan harga rendah.







Monday, 20 July 2026

Perginya Jojo Si Anak Bulu Penyeri Hidup 😢

Entah berapa kali saya cuba menulis tentang pemergian Jojo, tapi terlalu sukar. Setiap kali memandang foto-fotonya, saya jadi terlalu sedih. Hanya air mata yang mengalir.

Hari ini merupakan hari ke-11 Jojo pergi, saya kuatkan semangat untuk menulis walau dengan rasa sebak di dada dan air mata yang sering mengalir.

Imbas kembali…

20 Mac 2024, 8.32 pagi - foto pertama Jojo. Di awal kemunculannya, Jojo sering menyorok di celah pokok pagar sambil memerhatikan saya melakukan rutin pagi - menyidai pakaian dan menyapu di beranda. Saya cuba menghampirinya dan menyapa dengan bunyi “meow”. Makin jauhlah Jojo menyorok 😄. Foto di atas berjaya dirakam dari jarak jauh setelah saya zoom-in kamera ketika Jojo keluar dari persembunyian. 

Entri pertama saya tentang Jojo —> Kawan Baru

Kucing yang pada mulanya disangka milik jiran, rupa-rupanya tidak bertuan. Jadinya saya mula beri makan memandangkan Jojo selalu berada di beranda rumah kami. Bulan Jun 2024, Jojo mulai mesra dengan saya - baring di celah kaki dan mula gigit kaki.

Januari 2025 - kali pertama kami bawa Jojo ke klinik kerana demam. Selepas itu Jojo divaksin dan seterusnya buat pemandulan pada bulan April 2025.

Jun 2025 - Jojo sudah pun menguasai rumah kami 😀. Melompat di antara dua sofa, mencakar sambil bergerak dari hujung ke hujung sofa. Geram tapi lucu. Kata Encik Suami, “Takpe, sofa boleh beli lain”. Begitu sekali Jojo berjaya menawan hati Encik Suami yang pada mulanya tak berminat dengan kucing.

Ogos 2025 - Jojo ‘ber-selfie’ 😃. Galeri foto saya penuh dengan foto Jojo, ini antara foto yang saya suka.

***

Segalanya berubah pada tarikh 3 Jun 2026 😢. Jojo disahkan diabetes dan terus ditahan di wad selama 6 hari untuk rawatan dan pemantauan.

Sejak detik itu, Jojo keluar masuk wad dan sepanjang di rumah pula saya merawat dan memantau kesihatannya. Rutin harian saya - buat ujian darah dua kali sehari untuk check bacaan glucose, selepas itu suntik insulin dan beri ubatan tertentu mengikut jadual. InsyaAllah saya akan buat entri lain khusus untuk catatan berkenaan rawatan diabetes Jojo.

8 Julai 2026, 5.47 petang - sekitar 24 jam sebelum Jojo menghembuskan nafas terakhir, sempat saya membawanya ambil angin di luar rumah.

Petang tersebut saya dapati keadaan Jojo lemah berbanding hari sebelumnya, dia hanya berbaring. Saya bawa Jojo ke khemah di beranda rumah - tempat tidur/lepak yang pertama saya belikan untuknya pada bulan Oktober 2024.

Malamnya, saya berbincang dengan Encik Suami (yang ketika itu berada di KL) mengenai keadaan Jojo. Saya kasihan melihat Jojo berjuang untuk terus hidup - setiap hari diambil sampel darah, disuntik insulin, dipaksa telan beberapa jenis pil dan dipaksa menelan makanan. Badannya juga sangat kurus kerana menolak untuk makan. 

Jika sebelum ini kami berdoa memohon kesembuhan buat Jojo, kali ini kami sepakat menukar doa - Ya Allah, kau berikanlah takdir yang terbaik buat Jojo 🥹

9 Julai 2026, sekitar pukul 6 petang Jojo pergi meninggalkan kami 😭

Dua jam sebelum itu, Jojo menolak apabila saya suap makanan dan ubat. Mulutnya ditutup rapat, tak seperti biasa masih mahu menelan.

Sebelum pergi buat selama-lamanya, Jojo berbunyi dua kali seperti memanggil saya. Ketika saya menghampiri Jojo, dia masih berbaring dengan tenang. Tapi tak lama kemudian Jojo kelihatan sukar bernafas - tarik nafas dalam-dalam dan hembus. Sempat saya melihat jam tangan, ketika itu pukul 5.47 petang. Saya letakkan tangan di kepala dan badan Jojo. Sambil menangis saya berselawat dan zikir. Saya juga katakan padanya bahawa kami berdua sayangkan dia. Saya tahu Jojo sedang menghadapi detik akhir hayatnya. Tubuh Jojo terkejang sedikit dengan tangan dan kakinya bergerak-gerak. Selepas itu Jojo tak lagi bernafas, cecair mulai keluar dari mulutnya diikuti duburnya - jernih, tak berbau.

Encik Suami ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari KL ke Perlis, tak sanggup saya nak maklumkan bahawa anak bulu kesayangan kami telah tiada. Saya cuma minta Encik Suami jangan singgah mana-mana kecuali solat/makan dengan alasan Jojo mungkin tak dapat hidup lama. Sementara menunggu Encik Suami tiba pada pukul 10 malam, saya kuatkan hati untuk solat/makan walau dengan tubuh yang terasa lemah lembik dan air mata yang tak henti mengalir. 

Jojo pergi kerana komplikasi diabetes - organ dalaman gagal berfungsi. Perginya pada usia muda iaitu sekitar 4 tahun.

***

Pemergian Jojo memberi kesan mendalam buat kami. Jojo kucing yang manja, rajin ‘bercakap’ serta pandai menyuarakan keinginannya.

Tiada lagi Jojo yang mengekori saya menyiram pokok dan morning walk.
Tiada lagi Jojo yang menunggu di depan pintu bilik air.
Tiada lagi Jojo yang mengiau dan berada di atas badan kami ketika tidur malam.
Tiada lagi Jojo yang hampir setiap malam merenung Encik Suami, minta dipangku dan dibelai.
Tiada lagi Jojo yang rajin berbalas cakap dengan kami - dengan bunyi yang pelbagai. Lucu!
Tiada lagi Jojo yang suka memaksa, melompat pegang tangan kami jika kehendaknya tak dipedulikan.
Terlalu banyak jika nak disenaraikan.

Setiap sudut rumah ini ada kenangan bersama Jojo. Sehari selepas Jojo pergi, banyak barang-barangnya kami berikan kepada jiran kecuali beberapa barang kami simpan sebagai kenangan. Tak sanggup kami pandang barang yang selalu Jojo gunakan.

Sehingga detik ini, setiap hari air mata saya mengalir kerana rindukan Jojo. Pun begitu, saya rasa lega kerana Jojo tak lagi terseksa menanggung kesakitan dan rutin rawatan. Saya yakin Allah berikan takdir yang terbaik buat Jojo dan buat kami suami isteri.

Selamat jalan Jojo, kucing pertama yang hadir dalam hidup kami 🥹. Jojo bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi dia sudah kami anggap seperti anak sendiri.

Terima kasih Allah kerana meminjamkan Jojo buat kami merasai kasih sayang tulus ikhlas dan menjadi penyeri hidup kami 🩵








Monday, 13 July 2026

Solat Berbumbungkan Langit, Melihat Kaabah dari ‘Rooftop’ Masjidil Haram

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KETIGA | KHAMIS, 9 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Mencari Laban di Safwah Tower


Sebelum ke Tanah Suci, saya sudah pun menyimpan hasrat ingin menunaikan solat di rooftop Masjidil Haram. Alhamdulillah hasrat tersebut menjadi nyata pada hari ketiga saya berada di Mekah.

Ketika itu waktu solat Maghrib masuk pada pukul 6.38 petang, saya dan Encik Suami bergerak ke Masjidil Haram pada pukul 6.10 petang. Sudah agak terlewat. Para jemaah begitu ramai memenuhi dataran Masjidil Haram, masing-masing bergerak menuju ke pintu-pintu masjid. Kami menyertai pergerakan para jemaah menuju ke suatu arah pintu.

Ketika menghampiri pintu tersebut, petugas keselamatan mengarahkan kami ke pintu satu lagi di sebelahnya - tertera nombor 92. Masuk je terus jumpa eskalator, kami dan para jemaah lain diminta naik eskalator tersebut. Walaupun tak tahu ke mana arahnya, kita ikut sajalah arahan demi arahan oleh petugas keselamatan. Naik dan terus naik lagi.

Sehinggalah saya nampak papan tanda tertera ‘Roof Floor’ di dinding masjid. Alhamdulillah! Tersenyum gembira saya - tak sangka saya akan ke rooftop semudah ini padahal tak begitu pasti caranya.

Kemudian barulah saya faham, Gate 92 yang kami masuk tadi terletak berhampiran pintu King Fahd.


Solat Maghrib dan Isyak Berbumbungkan Langit | Tiba di rooftop, saya dan Encik Suami berpisah membawa diri ke ruang solat masing-masing. Kami akan berada di sini sehingga selesai solat Isyak (waktu Isyak masuk pada pukul 8.08 malam) dan bertemu kembali di deretan kubah kecil yang terletak di tengah kawasan ini.

Saya berjalan di kawasan solat muslimah, mencari ruang kosong. Nampaknya ruang hadapan sudah pun penuh, saya menuju ke bahagian belakang. Alhamdulillah jumpa ruang kosong. Selesai solat sunat tahiyatul masjid, saya duduk menunggu masuknya waktu solat fardu Maghrib.

Rooftop Masjidil Haram
Menikmati suasana senja di rooftop Masjidil Haram. Pengalaman pertama yang mengujakan!

Rooftop Masjidil Haram
Suasana senja membuat hati saya terasa lebih syahdu ketika mendengar alunan azan Maghrib berkumandang.

Rooftop Masjidil Haram
Dari waktu solat Maghrib hingga ke waktu solat Isyak, jemaah di kanan dan kiri saya silih berganti. Sempatlah saya berbual ringkas dengan jemaah dari New York dan seorang ibu muda bersama anak kecilnya dari India.

Rooftop Masjidil Haram
Walaupun tanpa kipas, udara di rooftop ketika ini rasa selesa - tidak panas dan tidak juga terlalu sejuk. Di sekitar kawasan ini juga disediakan tong air zamzam dan rak al-Quran. Cuma saya tak pasti di mana kedudukan tempat wuduk muslimah.


Melihat Kaabah dari Rooftop Masjidil Haram | Dari kawasan saya solat tadi, kita tak boleh nampak Kaabah kerana terhalang dengan binaan dinding. Setelah selesai menunaikan solat Isyak, saya dan Encik Suami tak segera balik. Kami berjalan menuju ke arah mataf (dataran tawaf) untuk melihat Kaabah dari rooftop.

Oleh kerana ia adalah tempat orang melakukan tawaf, jadi ramai jugalah jemaah yang sedang berjalan membuat pusingan tawaf. Jemaah yang menghampiri bahagian tengah bulatan masjid sekadar untuk berdoa dan melihat Kaabah, cuma boleh berada seketika saja. Kalau agak lama sedikit, petugas keselamatan akan mengarahkan jemaah beredar.

Antara tempat mutajabnya doa adalah ketika kita melihat Kaabah.
Ini disebutkan dalam hadith Abu Umamah al-Bahili R.A, Rasulullah SAW bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَيُسْتَجَابُ الدُّعَاءُ فِي أَرْبَعَةِ مَوَاطِنَ: عِنْدَ الْتِقَاءِ الصُّفُوفِ، وَعِنْدَ نُزُولِ الْغَيْثِ، وَعِنْدَ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ، وَعِنْدَ رُؤْيَةِ الْكَعْبَةِ

Maksudnya: “Pintu-pintu langit dibuka dan diperkenankan doa di empat tempat: Ketika bertemunya pasukan (ketika perang), ketika turunnya hujan, ketika iqamat solat dan ketika melihat Kaabah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kabir (6460) dan al-Da‘awat al-Kabir (669); dan al-Tabarani dalam al-Du‘a (168). [Sumber dan petikan dari artikel : Tempat Mustajab Berdoa Ketika Haji atau Umrah, zukliflialbakri.com]

Saya tak melepaskan peluang memanjatkan doa keampunan serta kesejahteraan dunia dan akhirat buat diri, ahli keluarga, kawan-kawan juga seluruh umat Islam. Tak lupa juga saya memohon agar Allah perkenanan permohonan doa ahli keluarga dan kawan-kawan (tentunya termasuk rakan blogger yang dikasihi).

Selesai berdoa, saya segera memotret dan merakam video sebagai kenangan.  

Rooftop Masjidil Haram
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Seperti yang saya ceritakan dalam entri terdahulu - kerja penyelenggaraan sedang giat dilakukan di Kaabah sebagai persediaan musim haji yang bakal tiba. Berdiri dari rooftop memberikan saya peluang lebih jelas menatap rupa Kaabah yang disingkap kainnya, menampakkan susunan bata binaan Kaabah.

Kedudukan saya ini bukanlah berdiri betul-betul merapat di tembok atau dinding kaca di atas ya, ada penghadang dan dikawal oleh petugas keselamatan.

Rooftop Masjidil Haram
Zoom-in entah berapa kali untuk mendapatkan foto dekat begini. Saya dapat saksikan kesibukan para pekerja di sekeliling Kaabah. Juga buat pertama kali saya melihat Hijr Ismail - satu kawasan kecil berbentuk separa bulatan di sebelah Kaabah.

Masya Allah! Pemandangan yang menakjubkan dari rooftop - menyaksikan pergerakan para jemaah melakukan pusingan tawaf. Boleh saksikan dalam video di bawah.

Lautan manusia memenuhi mataf di bawah sana. Dari sudut ini juga barulah saya dapat melihat dengan jelas setiap aras di Masjidil Haram.

Video berdurasi 20 saat.

Rooftop Masjidil Haram
Beginilah suasana di mataf rooftop. Tidak sesak dan lebih tenang jika buat tawaf sunat di sini, tetapi jarak pusingan lebih jauh. Kami berkesempatan melakukan tawaf wada’ di sini pada hari terakhir di Mekah, tapi belum cukup tujuh pusingan kami perlu beredar ke mataf di aras 1. Apa sebabnya? Nanti saya ceritakan di entri tawaf wada’.

Clock Tower.

Rooftop Masjidil Haram
Tiba masa untuk balik ke hotel. Kami menuju ke pintu di mana kami masuk awal tadi. Tertera tulisan ‘King Fahd Escalator’ dan nombor 92 (merujuk kepada Gate 92). Melepasi pintu di atas, kita akan terus jumpa eskalator untuk turun ke bawah.

Dalam perjalanan turun, kami nampak ada pintu yang terbuka di aras 1 atau aras 2 (saya tak pasti). Tadi masa diarahkan naik, pintu ini ditutup. Dah nampak terbuka, kami pun masuklah menjenguk sekejap.

Begini rupanya. Ruang solat yang luas.

Keluar masjid, nampak ramai orang berkumpul di suatu sudut. Oh, tempat ambil air zamzam. Ada tempat lelaki dan tempat perempuan.

Ini tempat lelaki. Tertera ‘Zamzam Fountain - Men’. Juga tertera larangan mengisi dalam botol atau bekas air, cuma boleh minum guna cawan saja. Tapi saya lihat rata-rata orang mengisi air zamzam dalam botol/tong  atau bekas air seperti beg.

Kami tak berhasrat singgah sebab tadi sudah pun minum air zamzam di rooftop. Seorang petugas menghampiri kami, minta botol kami untuk diisi air zamzam. Kami menolak dengan baik. Tak bawa botol air pun sebab boleh minum air zamzam dengan mudah bila berada di masjid. Kemudian datang pula seorang perempuan menjual bekas air seperti beg, pun kami tolak dengan baik.

Sebelum naik ke bilik, kami singgah beli hidangan makan malam di food court Safwah Tower. Nasi mandhi ayam / 30 riyal dan cheese cake / 5 riyal.


Alhamdulillah hari ini tertunai hasrat saya untuk ke rooftop Masjidil Haram - dapatlah pengalaman solat berbumbungkan langit di Masjidil Haram dan melihat Kaabah dari aras lebih tinggi.







Wednesday, 8 July 2026

Eksperimen Potong Daun Rain Lily : Hasilnya Sangat Puas Hati!

Dalam entri Rain Lily Rosea Pink Berbunga Lebat! saya ceritakan berkenaan rain lily berbunga lebat setelah hujan lebat mengakhiri kemarau panjang di tempat saya. Selepas itu, ia hanya berbunga sedikit saja sekitar beberapa kuntum pada satu masa. 

Hasil carian internet mendapati - antara cara supaya rain lily berbunga lebat adalah dengan memotong atau memangkas daunnya. Betulkah? Jomlah kita buat eksperimen.

Rain Lily
11 Jun 2026 | Beginilah rupa tanaman rain lily saya - rimbun daunnya. Kalau tak kenal rain lily, sekali pandang macam daun kucai.

Rain Lily
Jomlah kita potong daun yang rimbun. Saya potong tak terlalu pendek, agak-agak jelah. Tujuan kita potong daun supaya merangsang pengeluaran bunga yang lebat.

Selepas itu buat penjagaan macam biasa - siraman yang banyak seperti curahan hujan dan sesekali letak baja. Selain itu - cahaya matahari penuh diperlukan bagi pokok mengeluarkan bunga.

Hasilnya…

Rain Lily
7 Julai 2026 | Alhamdulillah…rain lily berbunga lebat! Sebenarnya, sejak hari sebelumnya ia sudah mulai berbunga tetapi masih ada bunga yang belum kembang. Foto saya ambil setelah semua bunga berkembang.

Rain Lily
Perhatikan warna bunga - warna pink pekat adalah bunga yang baru berkembang, manakala warna pink cair kembang lebih awal. Warna pink pada bunga akan semakin memudar sebelum bunganya layu dan kering.

Jadinya, berapa lama masa diambil bermula potong daun sehingga bunganya berkembang? Hasil eksperimen saya - proses ini mengambil masa sekitar 25 hari. Agak lama juga, tapi ia usaha yang berbaloi kerana kita dapat menyaksikan rain lily berbunga secara serentak - lebih cantik dipandang mata.







Monday, 6 July 2026

Titipan daripada Blogger Anies

Semasa saya terima bungkusan dari blogger Fanny, disertakan juga titipan dari blogger Anies dengan sehelai nota bertulisan tangan. Terasa dekat di hati bila terima nota tulisan tangan, tapi saya sendiri segan nak menulis bila mengirim sesuatu buat rakan blogger. Jari terasa kaku kerana sangat jarang menulis, tulisan pula terasa buruk! Beginilah bila sekian lama jadi suri rumah, saya hampir hilang kemahiran menulis tangan dan kemahiran bersosial.

Oleh-oleh dari tiga buah negara, tentunya dibeli oleh Anies semasa mengunjungi negara-negara tersebut. Saya sendiri belum pernah ke Cambodia dan Vietnam. Anies ni merata tempat dah dijelajahi, banyak pengalamannya.


TERIMA KASIH ANIES 💕
Moga Allah balas budi baik Anies.







Thursday, 2 July 2026

Mencari Laban di Safwah Tower

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KETIGA | KHAMIS, 9 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Ziarah Luar | Sekitar Mekah


Masih lagi cerita pada hari ketiga di Mekah.

Pada hari ketiga, barulah saya dan Encik Suami ada masa dan tenaga meronda deretan kedai yang ada di dalam Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami. Bukanlah meronda semua tempat pun, sekadar ke kawasan terdekat. Tujuan utama, nak mencari pasar mini sebab saya nak membeli laban.

Dulu masa saya belajar bahasa Arab, laban tu maksudnya susu. Tetapi di sini, laban merujuk kepada minuman yogurt.

Sebelum ke sini, saya dapat info ramai yang cadangkan minum laban untuk kesihatan. Katanya dapat mengelakkan terkena demam, selsema dan batuk. Rasanya juga dikatakan berbeza berbanding minuman yogurt di Malaysia. Selaku peminat yogurt, tentulah saya teringin nak mencuba laban.

Setelah beberapa ketika masuk lorong sana keluar lorong sini, akhirnya kami jumpa pasar mini yang dicari. Lokasinya agak tersorok, tak begitu mudah dilihat dari laluan utama.

Pasar mini dengan saiz sederhana luas. Pelbagai pilihan makanan ada dijual di sini. Seronok saya membelek makanan yang nampak asing dan tiada di tanah air.

Walaupun rasa tergoda, tapi saya tak membeli.

Deretan pilihan sayuran dan buah yang dijeruk.

Tak tahu ini apa, entah jenis keju atau jenis makanan lain.

Tiba di rak yang satu ni, saya terkejut tengok ada produk minuman Guinness. Walaupun ianya Draught 0.0 alcohol free, tetapi ia haram diminum kerana dikilangkan oleh pengilang arak. 
“Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.” - Petikan artikel ‘Produk Minuman Yang Menyerupai Arak’, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Perasaan saya bercampur baur. Entah sedih, kesal atau rasa malu - produk dari kilang arak ini berada di rak jualan di Tanah Suci Mekah, begitu hampir dengan Kaabah. Tetapi kita tak mampu kawal peraturan negara orang, jadi kita kawal diri sendiri jelah ya - cari ilmu dan tetapkan pendirian.

Rujukan lain oleh Dr Zakir Naik, boleh klik DI SINI.

Rak kegemaran saya! Susu, yogurt dan minuman yogurt (laban).

Fresh Laban jenama Nadec. Ambil fotonya je, tak beli jenis ni.

Perisa mango juga jenama Nadec.

Encik Suami bukan peminat susu dan yogurt, dia lebih tertarik beli minuman buah delima. Mencuba jenama Almarai.

Ambil-letak-tukar. Akhirnya ini minuman yang kami beli. Semuanya kira-kira 24 riyal.

Saya ambil laban jenama Almarai sebab teringat orang kata jenama ni lebih sedap berbanding jenama Nadec. Pada hari lain, saya cuba jenama Nadec pula. Benarlah cita rasa manusia itu berbeza, nampaknya saya lebih gemar minum laban jenama Nadec.

Perbezaan jelas laban di sini dengan minuman yogurt yang pernah saya minum di Malaysia - rasa laban tidak begitu manis. Kalau di Malaysia saya tak suka minuman yogurt, tapi di Mekah dan Madinah setiap hari saya minum laban (sejak jumpa pada hari ketiga).

Mungkin betul apa orang kata - berkenaan minum laban untuk kesihatan, saya alami demam ringan dan batuk ringan semasa hari keempat dan kelima (hari pergerakan dari Mekah ke Madinah). Balik Malaysia saya tidak demam atau batuk. Encik Suami pula tak minum laban, sebaik sampai Malaysia terus demam dan dapat cuti sakit selama beberapa hari. Apa pun, ini sekadar perkongsian pengalaman saya saja ya. Bukanlah bermaksud kalau minum laban setiap hari dijamin tak alami demam dan batuk.