Monday 29 June 2020

Dari Bandar Tasek Mutiara Ke Bandar Tasek Selatan

Sabtu | 27 Jun 2020

Hampir sebulan saya dan suami berpindah ke Pulau Pinang, akhirnya tiba kesempatan untuk kami kembali menjenguk rumah kami di Pajam, Negeri Sembilan. Tapi tujuan utama sebenarnya nak ambil kereta satu lagi. Jadinya kenalah naik kenderaan awam, kami pilih naik ETS (Electric Train Service).

Dari rumah sewa di Bandar Tasek Mutiara, kami guna servis e-hailing untuk ke Stesen Keretapi Bukit Mertajam. Caj sekitar RM19 dikenakan.

Tren tiba tepat pada masa - 7.40 pagi. Ini pengalaman kedua saya menaiki ETS, yang pertama dulu tahun 2011. Dah lama sangat.

Kami ambil koc E, dengan kerusi ‘mengundur’. Apa boleh buat, lambat beli tiket inilah kesannya. Semua kerusi untuk duduk berdua arah selatan dah habis. Dalam setiap koc, sebahagian kerusi menghadap utara dan sebahagian menghadap selatan. Kena beli awal supaya boleh memilih.

Disebabkan kami keluar awal pagi dan tiada jualan makanan pagi di stesen tadi, terpaksa jugaklah beli makanan dalam keretapi. Perut masing-masing lapar. Suami pergi sendiri ke Bistro Counter di koc C dan membeli dua pek Nasi Lemak. Harganya memang mahal...Rm17 untuk dua pek ni ๐Ÿค‘. Walaupun namanya Nasi Lemak, tapi sambal nasi lemak tak disertakan. Cuma semata nasi dan lauk pilihan. Rasanya? Oklah, sedap jugak.

Kejap tengok pemandangan luar, kejap layan handpone, kejap layan tablet,  kejap berborak laki bini, sesekali melelap mata. Pemandangan sepanjang jalan menarik, lagi-lagi bila nampak sawah menghijau. Cuma rasa lain macam sikit la kan sebab mengundur...haha.

Akhirnya kami sampai jua ke Stesen Bandar Tasek Selatan sekitar pukul 12.15 tengah hari. Perjalanan mengambil masa sekitar 4 jam 35 minit. Ingat nak terus naik komuter ke Batang Benar, tapi perjalanan paling awal cuma ada pada pukul 1.40 petang. Lambat lagi. Jadinya kami pegi cari makan dululah di bangunan Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Perut ni tak sudah sudah asyik lapar je kan ๐Ÿ˜…

Lalu jambatan pejalan kaki, berenti jap ambil gambar ni. Entah apa motif.

Jambatan pejalan kaki yang menghubungkan rangkaian pengangkutan utama ke TBS. Dilarang menjaja dan mengemis di sini. Tapi masih ada penjaja dan pengemis (seorang wanita dan dua anak). Teringat beberapa tahun lalu, ada aktiviti mengemis menggunakan seorang budak berkepala besar. Sedih dan kesian sangat saya tengok budak tu, memang ramai yang memberi derma. Entah apa nasibnya sekarang, harapnya tak lagi jadi mangsa sindiket mengemis.

Ok, itu sajalah catatannya. Tajuk pun sampai Bandar Tasek Selatan je kan...hehe. Yang seterusnya naik komuter sampai rumah, kemudian ambil servis e-hailing untuk sampai rumah. Seronok dapat kembali ke rumah sendiri walaupun cuma 1 malam.

Saturday 27 June 2020

9 Tahun Lalu...

9 tahun lalu - pada tarikh 27 Jun 2011, saya mula menulis di blog ini. Beberapa tahun pertama memang saya aktif menulis. Lalu kemudiannya semakin perlahan. Insya Allah tahun 2020 ni nak cuba kembali aktif menulis.

Apa-apa pun, terima kasih kepada suami yang mencetus idea supaya saya menulis blog dan kekal menyokong sehingga hari ini. Sibuk tolong jika saya nak ambil gambar (walaupun rajin mengusik “Susah jalan dengan blogger ni, kejap-kejap stop ambik gambar..”) dan sediakan kemudahan bersesuaian supaya saya mudah nak menulis blog ๐Ÿ˜„

Screenshot rupa blog saya yang diambil pagi tadi. Saja letak sini sebagai satu kenangan masa akan datang. Beginilah rupa blog saya pada 27 Jun 2020 ๐Ÿ˜€

Screenshot statistik 10 catatan blog paling tinggi pageview untuk tempoh 9 tahun ini. 

Inilah antara keseronokan berblog - kita menjalin kemesraan melalui komen-komen yang diberi. Tak kira usia atau latar belakang, kita ikhlas bersahabat. Widget ni cuma set untuk 10 orang dengan jumlah komen tertinggi, tapi pastinya saya sangat menghargai setiap komen daripada semua sahabat blogger. Terima kasih ❤️

*Untuk tiga orang teratas iaitu sahabat blogger Dana - norhidana, Wak - Warisan Petani dan Ummi - Nur Asyiqin, ada sedikit cenderamata penghargaan dari saya. Boleh beri maklumat pengeposan di borang e-mel pada bahagian bawah blog saya ni ya.

Alhamdulillah...dah 9 tahun, moga Allah beri kesempatan dan kerajinan untuk saya terus menulis. Bak kata penulis buku Aku, Buku dan Kota Kaherah “Apa yang tertulis akan mengabadi. Apa yang terucap akan berlalu bersama angin.” Walaupun tak menulis buku, kita menulis la di blog.

Friday 26 June 2020

Flora di Taman Negara Pulau Pinang

Bila merentas hutan, mata saya memang sentiasa memerhati sekeliling. Saya suka melihat segala tumbuhan yang ada, semuanya nampak menarik. Sehingga kadang-kadang hampir tersandung akar pokok dek leka memerhati sekitar ๐Ÿ˜…. Kecuali pada laluan yang sukar, memanglah saya fokus pandang depan je.

Ini antara tumbuhan yang paling menarik perhatian saya dan dapat diambil gambarnya dengan jelas :

1. Cendawan bersaiz besar, berwarna hitam. Perhatikan...terdapat dua anak pokok yang menembusi cendawan ni.

2. Cendawan kecil berwarna kuning terang. Macam bunga pulak, cantik.

3. Cendawan berwarna putih dengan saiz sangat kecil.

4. Daun seakan baldu berwarna merah hati, dengan bunga kecil warna putih. Tumbuh di tepi/celah batuan.

5. Entah buah atau bunga, yang pasti rupanya menarik. Daun pokok ni seakan daun Pandan, mungkin salah satu jenis Mengkuang.

6. Corak timbul pada daun yang menarik perhatian saya. 

7. Pelepah muda Paku Pakis yang bersaiz besar.

8. Pokok Mengkuang yang besar dan tinggi. 

9. Salah satu pokok hutan yang besar dan tinggi.

Beginilah indahnya Hutan Hujan Tropika di negara kita. Terdapat kepelbagaian flora yang cukup menarik. Saya ambil gambar dan letak di sini sebagai satu kenangan. Kalau ada yang tau secara spesifik nama tumbuhan di atas, atau saya tersilap mengenal pasti, bolehlah bagitau ya.






.

Thursday 25 June 2020

Taman Negara Pulau Pinang | Rentis Ke Pantai Kerachut

Ahad | 21 Jun 2020

Inilah destinasi tujuan saya dan suami ke Teluk Bahang - TAMAN NEGARA PULAU PINANG. Taman Negara ini terletak di bawah seliaan Jabatan PERHILITAN dan mula dibuka semula kepada pelawat pada 15 Jun lalu.

Kami ke sana berpandukan Google Maps - buat carian ‘Taman Negara Pulau Pinang’.

1. Dari jauh kelihatan kerumunan pelawat di kaunter pendaftaran. Kereta kami membelok ke bahagian kanan jalan ini dan memasuki kawasan parkir milik Persatuan Nelayan. Bayaran RM4 dikenakan. Suami minta resit bayaran, penjaga tersebut kata ‘Nanti letak di kereta’. Hmm...baliknya kami tengok takde pun letak. Penjaga pun dah tiada.

2. Notis yang diletak pada pintu masuk Taman Negara. Inilah sebabnya kami berpagi-pagian masuk ke pulau, bimbang tak dapat masuk kalau dah cukup 160 orang tu.

Kami kemudiannya terus menuju ke kaunter pendaftaran, masuk laluan untuk warganegara, ambil handphone dan scan QR Code tersedia. Isi borang elektronik, dah siap tunjuk kepada staf bertugas dan boleh terus masuk ke pintu masuk Taman Negara. Tiada bayaran dikenakan, PERCUMA!

3. Sebelum masuk, kita fahamkan dulu peta ringkas Taman Negara Pulau Pinang ni. Juga masuk ke tandas  untuk selesaikan apa yang patut.

4. Pintu masuk ke Taman Negara Pulau Pinang. Perjalanan kami bermula pada pukul 9.18 pagi.

5. Perjalanan bermula dengan santai, disambut dengan bunyi hempasan ombak di pantai yang terletak di sebelah kanan laluan. Inilah salah satu keunikan Taman Negara Pulau Pinang - kita masuk hutan tapi ada pantai di sebelahnya.

6. Kami berhenti sekejap menikmati keindahan pantai yang bersih dan kelihatan dijaga dengan baik.

7. Seterusnya, kita akan melalui jambatan gantung Jambatan Pasir Pandak.

8. Melepasi Jambatan Pasir Pandak, laluan akan berpecah dua. Kanan atau kiri. Kami memilih untuk ke kiri - rentis ke Pantai Kerachut. Tertera pada papan di atas bahawa jarak untuk ke Pantai Kerachut adalah sejauh 2.92 km.

9. Selain melalui binaan bertangga, kita juga akan melalui laluan sebegini. Pada mulanya saya agak hairan bagaimana terbentuknya laluan hutan begini, macam jalan dalam longkang besar. Menurut papan info tersedia, laluan ini dikenali sebagai ‘Jalan Penarikan’. Ia bukanlah terhasil daripada aliran air semula jadi, tetapi ia adalah lorong yang terbentuk akibat kerja-kerja membawa keluar kayu balak menggunakan kerbau. Ia berlaku sekitar tahun 1940-an di mana pada masa tersebut masyarakat menggunakan kayu pokok dari kawasan ini untuk membina rumah dan bot. Begitulah sejarahnya...

10. Kalau tadi di awal perjalanan kita jumpa pantai. Sekarang kita jumpa anak sungai pula. Dari jauh dah kedengaran bunyi aliran air sungai, bagai memanggil-manggil saya supaya mempercepatkan langkah untuk ke sini. Inilah anak sungai pertama yang kita lalui, dan selepas ini kita akan menemui banyak lagi anak sungai. Sesekali kami akan berhenti untuk membasuh tangan atau muka, airnya jernih dan sejuk menyegarkan.

11. Walaupun tanpa juru pandu, Insya Allah kita tak sesat sebab ada banyak papan tanda arah disediakan.

12. Jika tadi kita melalui laluan ‘Jalan Penarikan’, kali ini kita melalui laluan yang dikenali sebagai ‘Bukit Belah’. Menurut sejarahnya, bukit ini telah ‘dibelah’ menggunakan cangkul dengan tujuan memudahkan proses membawa keluar kayu balak yang ditarik dengan kerbau.

13. Pukul 10.07 pagi, kami tiba di papan tanda ini - Bukit Batu Itam Trail. Tapi bukanlah kami akan ke Bukit Batu Itam, sebab jaraknya lebih jauh dan memerlukan juru pandu.

14. Beginilah rupa jambatan mini yang disediakan untuk kita menyeberangi anak-anak sungai. Diperbuat daripada konkrit, kukuh dan selamat. Kami cuba mengira berapa kali kami dah melalui jambatan begini, tapi tiap kali tu terlupa ni ke berapa. Haha...ini menunjukkan bahawa ada banyak anak sungai yang perlu kita lalui untuk tiba ke Pantai Kerachut.

15. Yeayy...lagi 1km je nak sampai Pantai Kerachut! Bunyi macam dekat je kan? Haha...1km jalan dalam hutan, memang terasa jauh.

16. Kat sini ada satu simpang ke kiri, bagi mereka yang nak ke Teluk Kampi dan tapak perkhemahan.

17. Laluan bertangga paling menguji mental dan fizikal saya masa nak berpatah balik, sebab mendaki. Entah berapa anak tangga, tapi memang jauh nun ke bawah tu. Ni masa turun oklah kan, nak naik tu memang terasa seksa.

18. Papan tanda ni kata lagi 100 m, 5 minit. Hmm...tipu sungguh tau, sebab catatan masa saya sekitar 10 minit. Suami kata, tu renjer hutan yang jalan memanglah dia dapat buat 5 minit je. Kita ni siapa? Haha...

19. Ini gambar pandangan sebelah kiri laluan kami, ada tasik! Satu lagi keunikan Taman Negara Pulau Pinang.

20. Alhamdulillah! Bila kita jumpa Jambatan Pantai Kerachut ni bermaksud kita dah pun tiba ke penghujung perjalanan. Jambatan gantung yang panjang dan kukuh.

21. Dari atas jambatan gantung tadi, ini pemandangan sebelah kanan. Lautan terbentang luas. Cantik!

22. Kita lihat sebelah kiri pulak, inilah sebahagian tasik yang kita nampak masa dalam perjalanan tadi. Tasik ni unik tau, bukan biasa-biasa. Air dari laut (sebelah kanan) memasuki tasik ni.

23. Tasik Meromiktik (Meromictic Lake) - tasik yang mempunya dua lapisan air berbeza suhu dan ketumpatan, di mana air laut berada di bahagian bawah (lebih tumpat) manakala air tawar berada di bahagian atas.

24. Kita terus ke depan lagi, sampailah ke Pantai Kerachut. Pantai yang cantik, bersih. Nampak ada jeti kat depan lagi tu. Tapi kami dah penat, malas nak melihat-lihat apa ada di depan sana. Terus cari tempat nak berehat dan makan bekalan di bawa. Tiada kemudahan tandas kat sini (info hasil berborak dengan seseorang yang kami temui dalam perjalanan tadi).

Lepas kumpul tenaga semula dan melihat-lihat sekitar, kami memulakan perjalanan untuk kembali ke pintu masuk Taman Negara. Jika tadi masa pergi kami banyak berhenti sebab saya sibuk memerhati tumbuhan dan mengambil gambar, masa baliknya saya simpan handphone dan fokus pada perjalanan je. Tenaga pun makin kurang, rasa menyesal pulak tak amik bot untuk balik..haha.

Tips :
  • Selain melalui rentis hutan, pelawat juga boleh memilih untuk naik bot (samada pergi-balik, atau pergi/balik sahaja) untuk ke Pantai Kerachut. Caranya - lepas daftar diri di kaunter pendaftaran, boleh terus ke kaunter jualan tiket bot yang ada di situ. Lupa pulak saya nak tengok kadar bayarannya.
  • Bawa air dan makanan secukupnya, simpan dalam beg supaya tak jadi perhatian monyet (kami bertemu kumpulan monyet pada awal perjalanan je, lepas tu tak jumpa dah).
  • Trekking pole (tongkat) sangat membantu untuk mendaki anak-anak tangga yang banyak.
———————————————————————-

Rekod perjalanan saya melalui rentis hutan ke Pantai Kerachut, bermula dan berakhir di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Perjalanan pergi sekitar 1 jam 55 minit, manakala baliknya sekitar 1 jam 25 minit. Tak termasuk masa rehat dan makan di Pantai Kerachut.

Alhamdulillah...selesai satu misi hutan! Setelah lebih tiga bulan, saya kembali menikmati hutan ๐Ÿฅฐ. Masih ada lagi rentis lain yang boleh kita cuba di Taman Negara Pulau Pinang ni. Insya Allah lain masa pulak.

Perjalanan yang seronok walaupun memenatkan dan kadangkala rasa seksa. Memerhati hutan dan segala isinya adalah terapi buat saya. Juga seronok bertemu orang baik-baik. Sepanjang perjalanan kami saling berbalas sapaan pelawat lain - memberi salam / ucap selamat pagi, saling mengucapkan terima kasih jika ada yang memberi laluan, sempat juga berborak mesra bagai dah lama kenal. Tak kira bangsa - Melayu, Cina, India dan orang putih. Beberapa kali juga saya ditanya dari negeri mana, mungkin sebab tak bercakap loghat utara. Seronok tengok Cina pun cakap loghat utara...hehe.

Jom...nikmati khazanah alam di Taman Negara Pulau Pinang!

Tuesday 23 June 2020

Orang Kata...Tak Sampai Pulau Pinang Kalau Belum Ke Bahagian Pulau

[info]
Pulau Pinang terletak berhampiran dengan persisiran barat laut Semenanjung Malaysia. Dipisahkan diantara Negeri Kedah di sebelah Utara dan Timur, Negeri Perak di sebelah Selatan dan Perairan Selat Melaka dan Sumatera (Indonesia) di sebelah Barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai.

Jumlah keluasan kedua-dua pulau dan Seberang Perai adalah 1,031km persegi dan ianya dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan juga dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5km dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sepanjang 24km.

Jom Kita Ke Bahagian Pulau!

Setelah tiga minggu berpindah ke Pulau Pinang (bahagian Seberang Perai), barulah saya dan suami berkesempatan untuk ke bahagian pulau.

Seingat saya, sepanjang hidup ini merupakan kali ke-3 saya ke bahagian pulau. Kunjungan terakhir lebih 10 tahun lalu. Dah tak ingat pun rupa paras bahagian pulau ni macam mana.

Ahad lalu, kami memulakan perjalanan seawal pagi. Sekitar pukul 8.15 pagi dah pun berada di Jambatan Pulau Pinang. Cantik pemandangan sekitar.




Setelah melalui kawasan bandar yang agak sesak (walaupun pada pagi hujung minggu) dan banyak lampu trafik, perjalanan diteruskan ke bahagian hujung pulau. Kami melalui jalan Batu Feringghi yang berkelok-kelok dengan pantai/lautan di sebelah kanan. Sepanjang jalan terdapat deretan hotel/resort.

Destinasi kami - Teluk Bahang. Apa yang menarik di sana? Akan saya ceritakan pada catatan seterusnya...


Thursday 18 June 2020

Tak Boleh Letak Pokok Dalam Tandas, Sebab Pokok Berzikir? ๐Ÿค”

Bila nampak post di grup Facebook yang memaparkan gambar pokok hiasan di dalam tandas, seringkali saya jumpa komen berbunyi seperti berikut :

Eh...kita Muslim tak boleh letak pokok dalam tandas, sebab pokok tu berzikir. Tak eloklah...berzikir di tempat kotor”.

“Saya ada baca, orang-orang cakap kita tak boleh letak pokok dalam tandas sebab pokok sentiasa berzikir kepada Allah”.

Persoalannya, betul atau tidak? Pernahkah kita betul-betul dengar dari mulut para agamawan, atau pernahkah kita membaca berkenaan larangan sebegini dari mana-mana sumber penulisan yang berkredibiliti?

Tidak, kita cuma bersumberkan ayat ‘orang kata’. Tanpa berfikir dan menyelidik, kita terus ambil dan terima pakai apa yang kita dengar dan baca. Kita seterusnya mengulang apa ‘orang kata’ kepada orang lain pula. Rantaian fahaman salah ini berterusan. Masalah malas berfikir dan mengkaji, main terima apa orang kata dan kemudian yakin sekali menyampaikan kepada orang lain.


SELURUH ISI BUMI DAN LANGIT BERTASBIH
Dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat 44, bermaksud :

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.

Berdasarkan ayat di atas memang jelas pokok berzikir, lebih tepatnya bukan hanya pokok tetapi semua isi bumi dan langit. Semua - termasuk rumput yang kita pijak. Kalau dalam tandas tak boleh letak pokok sebab ia berzikir, sanggupkah kita memijak rumput yang juga sedang berzikir?


LARANGAN BERZIKIR DI TANDAS
Zikir seorang manusia adalah berbeza dengan zikir pokok (juga semua isi bumi dan langit). Hanya Allah yang mengetahui bagaimana pokok berzikir.

Yang perlu kita tahu dengan pasti bahawa larangan berzikir (mengingati Allah) sewaktu di tandas adalah ditujukan kepada manusia mukallaf. Mukallaf bermaksud orang yang telah akil baligh dan diwajibkan ke atasnya mematuhi hukum-hukum Islam. Bukan anak kecil (yang sambil mandi sambil mengalunkan Asma’ul Husna ๐Ÿ˜…), juga pastinya bukan pokok!

Ok, dah jelas kan? Jangan ragu-ragu lagi jika nak letak pokok di tandas ya!


Pokok Money Plant yang saya letak di tandas rumah Negeri Sembilan. Entah apa khabarnya setelah hampir tiga minggu ditinggalkan. Saya ada letak bekas air berpenutup, siap lubang kecil untuk selitkan akar pokok...harap ia mampu bertahan sehingga saya kembali mengambilnya.

Tujuan saya letak pokok dalam tandas? Sekadar hiasan penyejuk mata dan penyeri ruangan tersebut. Saya sukakan kehijauan, kalau ikut impian memang nak pokok merimbun di mana-mana ruangan. Tapi tak praktikal, cukuplah sekadarnya saja.






Tuesday 16 June 2020

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu

Tajuk : REMBULAN TENGGELAM DI WAJAHMU
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Republika
Tahun terbit : 2009 (cetakan ke-37, 2019)
Jumlah muka surat : 425
Harga : RM45

Novel Tere Liye kali ini saya dapatkannya di Malaysia. Sebuah karya tahun 2009, tetapi saya membacanya pada tahun 2020. Begitulah...masa berlalu, namun hasil penulisan akan tetap kekal dan dibaca orang dari tahun ke tahun. Apatah lagi karya best seller begini yang telah pun diangkat menjadi sebuah filem, novelnya tetap akan dicari dan diburu oleh para peminatnya.

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu mengangkat kisah kehidupan watak utama iaitu Ray dengan lima pertanyaan besar dalam hidupnya. Gaya penceritaan novel ini menggunakan teknik imbas kembali (flash back). Kisah bermula dari Ray yang sedang terlantar sakit di hospital, pembaca dibawa ‘mengenang kembali’ masa lalu Ray sedari kecil di sebuah asrama anak yatim sehinggalah Ray menjadi pemilik bisnes terbesar.

Mengikuti kisah hidup Ray secara keseluruhannya adalah menyedihkan, kecuali sepotong bahagian hidup bahagianya bersama Si Gigi Kelinci (panggilan mesra buat isterinya). Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami Ray membuatkan hidupnya memiliki kecamuk pertanyaan :
  • Apakah cinta itu?
  • Apakah hidup ini adil?
  • Apakah kaya adalah segalanya?
  • Apakah kita memiliki pilihan dalam hidup?
  • Apakah makna kehilangan?
Watak dan kisah Ray adalah gambaran hidup dan kehidupan kita semua, yang selalu berdepan pelbagai fasa turun naik dalam kehidupan dan tertanya-tanya apa dan mengapa. Tanpa kita sedari sebenarnya kehidupan kita umpama susunan jigsaw puzzle - setiap satu peristiwa saling berkait dan bersebab sehingga membentuk satu kisah hidup kita yang lengkap.

Seperti kebiasaan novel Tere Liye, Rembulan Tenggelam Di Wajahmu juga bagai satu buku motivasi hidup yang disampaikan dalam bentuk cerita. Bacaan sesuai bagi sesiapa yang sedang mengalami fasa kesedihan atau kehilangan.

Siklus sebab-akibat itu sudah ditentukan. Tidak ada yang bisa merubahnya, kecuali satu : Yaitu kebaikan. Kebaikan bisa merubah takdir.... Nanti kau akan mengerti, betapa banyak kebaikan yang kau lakukan tanpa sengaja telah merubah siklus sebab-akibat milikmu. Apalagi kebaikan-kebaikan yang memang dilakukan dengan sengaja.”

“Seseorang yang memiliki tujuan hidup, maka baginya tidak akan ada pertanyaan tentang kenapa Tuhan selalu mengambil sesuatu yang menyenangkan darinya, kenapa dia harus dilemparkan lagi ke kesedihan. Baginya semua proses yang dialami, menyakitkan atau menyenangkan semuanya untuk menjemput tujuan itu”


Official trailer Rembulan Tenggelam Di Wajahmu



Saturday 13 June 2020

Sarang Burung Tempua


Tadi siang sewaktu melalui sebatang jalan di Lunas, Kedah, saya ternampak seorang lelaki menaiki basikal sedang membawa sarang Burung Tempua yang banyak. Mungkin sedang berjualan. Menarik!

Kebetulan, baru-baru ni kakak saya bercerita berkenaan sarang Burung Tempua yang banyak bergantungan di pokok berhampiran rumahnya. Ada pelbagai reka bentuk, macam rumah kita juga ๐Ÿ˜€

Apa istimewanya sarang Burung Tempua?

Burung Tempua dikenali kerana kelebihannya yang membina sarang yang besar yang dijalin daripada rumput dengan pelbagai bentuk bergantung kepada spesies. Burung Tempua mempunyai keupayaan yang khas untuk menganyam sarangnya. Sarangnya mempunyai struktur besar, dianyam daripada rumput dan ranting yang tergantung daripada dahan pokok dan mungkin mempunyai laluan masuk yang menjulur. Sarang yang diperbuat daripada helaian halus rumput yang dianyam dengan rapi membentuk struktur seperti kon yang tergantung dari dahan pokok.

Sarang bagi Burung Tempua jantan berbeza dari segi rekaannya, bentuk, struktur, dan saiz. Sarang Burung Tempua jantan mempunyai tempat bertenggek baginya menunjuk-nunjukkan dirinya, sementara sarang Burung Tempua betina mempunyai bahagian bawah yang melengkung bagi menyimpan telur. Sarang Burung Tempua Kerbau (buffalo-weavers), bagaimanapun, membina sarang besar yang tidak kemas dalam koloni mereka, yang mungkin mempunyai beberapa sarang bulat yang dianyam dalamnya.

Burung Tempua merupakan burung yang hidup berkawan dan sering membiak dalam koloni. 
(Sumber info : wikipedia.org)

Akta Perlindungan Hidupan Liar

Di negara kita, Burung Tempua merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar. Makanya Burung Tempua tak boleh dibela, disimpan atau diburu tanpa lesen.

Tetapi saya kurang pasti undang-undang berkenaan penjualan sarangnya, hasil carian tak menemukan maklumat berkaitan. Jika di Shopee ada orang menjualnya dengan harga sekitar RM15.


Wednesday 10 June 2020

‘Return / Refund’ Item Di Shopee

Kisah awal bulan Mei lalu...saya buat belian sehelai seluar Palazzo melalui sebuah kedai di Shopee. Sebelum membuat belian saya akan cari penjual yang boleh beri harga tawaran terendah untuk item yang sama, caranya cuma klik ‘similar’ pada gambar iklan item yang kita berminat tadi. 

Hasil carian, saya dapati kedai ni menawarkan harga paling rendah dan saya boleh gunakan baucer free shipping. Saya lihat review, rasa yakin dan teruskan pembelian. Saya agak teruja sebab saya pernah beli seluar ni (gambar iklan yang sama, tapi dari penjual lain dengan harga lebih tinggi). Seluar yang memang lembut selesa, longgar dan kemas buatannya.

Tak menunggu lama, item yang dibeli pun sampai. Tapi saya rasa sangat kecewa, sedih dan marah...seluar yang diterima bukan seperti dalam iklan. Potongan berbeza, bahagian pinggang berbeza, kain kasar keras, buatan tidak kemas dan jarang! Tak padan dengan harga RM30. Memang bukan seluar yang saya mahu - seperti dalam iklan. Penjual dah melakukan kesalahan menggunakan gambar iklan pihak lain untuk menjual item yang jauh berbeza ๐Ÿ˜ก

Tarik nafas dalam-dalam dulu, kasi tenang fikiran barulah boleh bertindak. Lepas terima item kita perlu klik ‘order received’ atau klik ‘return/refund’. Maka saya pilih klik ‘return/refund’. Isi maklumat seperti yang diminta oleh Shopee - gambar bukti, alasan. Pihak Shopee akan kemukakan permintaan kita kepada penjual.

Alhamdulillah...penjual tak berdalih dan pantas terima permintaan untuk saya pulangkan item dan dapat kembali duit saya. Jika penjual tak mahu? Maka Shopee akan membuat pertimbangan sewajarnya mengikut siasatan mereka. Dan ini mungkin mengambil masa lebih lama, seperti yang terjadi kepada seorang sahabat saya.

Langkah seterusnya, saya perlu pos kembali dalam tempoh masa ditetapkan dan print ‘air waybillyang disediakan oleh Shopee untuk tujuan pengeposan percuma (ditanggung oleh Shopee sebab item saya beli termasuk dalam item free shipping oleh Shopee). Jika tidak, kos mungkin ditanggung oleh saya atau penjual (bergantung kepada hasil perbincangan bersama).

Lepas penjual mengesahkan item yang dikembalikan, kita pun dapatlah duit kita semula. Alhamdulillah masalah selesai!

Gunakan hak kita sebagai pengguna, jangan cepat rasa ‘tak apalah...bukan rezeki aku ๐Ÿ˜”’. Lepas kita berusaha tapi masih menemui jalan buntu, barulah boleh mengalah. Insya Allah ada ganjaran baik atas kesabaran kita menghadapi ujian permasalahan.