Friday, 26 November 2021

Menutup Aurat Itu Satu Kekangan?

 Ayuh kita fahami kata-kata berikut…

Sumber gambar : Facebook Imann Abdul
Hanya dengan ilmu akan membuatkan kita faham dan akur dengan perintah menutup aurat bagi wanita Islam. Pun begitu, kefahaman ini juga boleh memudar daripada diri kita. Maka sebab itulah perlunya sentiasa mencari ilmu untuk menguatkan kefahaman supaya kekal istiqamah. Di zaman media sosial ni lebih mudah, kita follow je akaun media sosial mereka yang sering berkongsi ilmu/peringatan.

Jom sama-sama kita berusaha menutup aurat. Tutup aurat itu satu perlindungan dan tanda kehormatan diri, paling utama ianya adalah antara jalan menuju redha Allah. Bukankah itu tujuan hidup seorang Muslim? Mencari redha Allah.



Wednesday, 24 November 2021

Kuih Serabai dan Nasi Lemuni

Hari Sabtu lalu, saya dan suami jalan-jalan cari sarapan di bahagian pulau. Berpagian kami menyeberangi Jambatan Pulau Pinang menuju ke Astaka Tun Sardon, Gelugor. Kalau buat carian internet, Astaka Tun Sardon merupakan antara tempat makan yang disyorkan jika kita berada di PP. Di sini terdapat banyak pilihan gerai makanan. Antara makanan yang disyorkan adalah kuih Serabai dan Nasi Lemuni. Apa tu? Saya pun baru pertama kali mengenali kedua-dua jenis makanan ni.

Inilah kuih Serabai. Diperbuat daripada tepung beras. Lembut macam makan apam. Dimakan bersama kuah gula melaka yang agak pekat, rasanya lemak manis. Harga kuih ni RM1 satu. Kalau nak beli kuih Serabai ni eloklah datang awal pagi, sebab kalau lambat agak panjang berbaris. Kami sampai sekitar pukul 8 pagi, Alhamdulillah tak perlu berbaris panjang.

Saya tunjuk gambar kuih ni pada Mak. Mak kata zaman dulu di kampung panggil kuih Serabi. Ooh…ada juga kuih ni di Johor rupanya 😅. Nampaknya ni kategori kuih tradisional yang jarang dibuat dan dijual orang.

Nasi Lemuni, dibungkus sama seperti Nasi Lemak. Begitu juga pilihan lauknya sama seperti kita makan Nasi Lemak. Bezanya, warna dan rasa nasi. Nasi Lemuni berwarna gelap. Ia dimasak menggunakan daun herba Lemuni. Berkenaan rasanya, taklah kuat rasa/bau daun Lemuni. Biasa saja dan sedap. Kami beli lagi beberapa bungkus untuk makan di rumah. Harga Nasi Lemuni yang saya makan ni cuma RM1.50, dibeli dari Gerai Fuad Omar.

InsyaAllah lain kali kalau rajin ke sini lagi, bolehlah kami mencuba pilihan makanan yang lain pula. Cuma kalau nak ke sini pada hujung minggu, mesti kena datang awal pagi. Jalan sesak dan susah jugak nak parkir kereta sebab tempat ni berdekatan dengan pasar. Dan kalau datang lewat, berkemungkinan juga makanan yang kita nak dah habis.


Tuesday, 23 November 2021

Bila Dah Lebih 10 Bulan Tak Balik Rumah Sendiri…

KHAMIS | 04.11.2021

Dari rumah mentua di BP, Johor perjalanan diteruskan ke rumah sendiri di NS yang telah lama ditinggalkan.

Sampai je depan rumah, terkejut tengok Money Plant ni jauh menjalar menuju ke arah sliding door 😂. Pada awal September lalu, jiran ada hantar gambar (entri DI SINI). Money Plant ni menjalar ke arah ampaian baju dan jiran pun dah tolong potongkan.

Selain tu, bila dah tinggal lama ni memang berlonggok dedaun kering di depan pintu rumah. Belum lagi sampah tak dikenali pun ada jugak. 

Bila masuk rumah, pun kotor teruk jugak. Lantai dan segala barang berdebu. Dan seperti yang kami jangkakan, memang betul rumah kami terputus bekalan elektrik. Suami cepat-cepat menuju ke dapur melihat peti sejuk. Terus bagitau jangan datang tengok, biar dia urus hal peti sejuk dan saya buat kerja pembersihan yang lainnya. Berjam lamanya suami bersihkan peti sejuk. Saya sendiri turun naik tangga bersihkan rumah tingkat atas dan bawah. Vacuum dan mop lantai berulang kali. Penat sungguh! Jadi bertambah kotor teruk bila ada bumbung yang bocor. Kotor lantai dan rumah berbau tak sedap.

Lewat petangnya, ada jiran datang hantar kuih apam ni. Masih hangat lagi, buatan sendiri. Lembut, sangat sedap! Alhamdulillah, hilang sekejap rasa penat bila dapat makan apam yang tentunya dibuat dengan kasih sayang. Semoga Allah murahkan rezeki jiran saya yang baik hati ni.

Berkenaan bekalan elektrik pula, saya catatkan seperti di bawah untuk rujukan sendiri :
Februari 2021 - bacaan sebenar, penggunaan 31 kWh, caj RM6.76
Mac 2021 - bacaan anggaran (ikut bacaan bulan sebelumnya), sebab - meter rosak.
April dan bulan seterunya - bacaan sebenar, 0 kWh, caj minima RM3.

Selain itu, nombor meter juga sudah berbeza mulai bulan April (kami andaikan TNB ganti meter baru bila mereka dapati meter rosak). Kami rasa sebenarnya bukanlah meter yang rosak, cuma tiada bacaan disebabkan tiada bekalan elektrik. Bekalan elektrik pulak terputus disebabkan petir yang terlampau kuat. Ini memang kerap terjadi selama lebih 6 tahun kami menetap di rumah tersebut. Dah biasa, begitu juga dengan jiran-jiran lain. Kenapa tak Off siap-siap semasa kali terakhir balik NS? Sebab kami tak jangka tiba-tiba tak boleh merentas negeri begitu lama. Sebelumnya, agak kerap balik disebabkan suami ada kerja di KL/Putrajaya.

Balik kali ni kami dah kemas segala makanan yang ada di dapur. Ada yang perlu dibuang dan ada yang kami bawa ke rumah PP. Yang di peti sejuk memang kena buang semuanya. Selepas ni kalau balik rumah NS, setiap kali nak makan kenalah membeli di luar. Ala-ala duduk hotel gitu, tak ada masak-masak.



Sunday, 21 November 2021

Pak Lurah Bistro Nasi Kambing Batu Pahat

KHAMIS | 04.11.2021

Setiap kali balik ke kampung suami, kedai makan Pak Lurah Bistro ni semacam menjadi kemestian untuk saya dan suami singgah. Lokasinya tak begitu jauh dari rumah mentua saya.
 
Pak Lurah Bistro
Masa ni sekitar pukul 10 pagi, pengunjung belum ramai. Kita boleh pilih nak duduk di bahagian depan kedai, tepi sisi kedai atau di luar (bawah pokok). Kemas dan bersih kedainya. Layanan pun baik. Tisu pun disediakan secukupnya berhampiran kaunter. Eh…penting tisu tau. Geram saya kalau kedai makan tak reti nak sediakan tisu. Bila kita tanya, tanpa rasa bersalah jawab “Tisu abis…”. Ok, cukuplah meluah rasa 😅

Pak Lurah Bistro
Pilihan menu. Setakat yang kami dah pernah makan, semuanya menepati selera.

Pak Lurah Bistro
Pilihan saya kali ni - Coconut Shake Special. Memang sedap.

Pak Lurah Bistro
Pilihan suami - Kopi Chandu panas. Menurut pelayan kedai, kopi ini dibuat dengan campuran kulit kayu manis. Mula-mula saya cuba minum, macam pelik jugak rasanya. Tapi lepas tu, eh sedap jugaklah!

Pak Lurah Bistro
Inilah menu wajib setiap kali ke sini - Nasi Goreng Kambing Panggang. Nasi goreng dihidangkan bersama sup kosong, sambal, kambing panggang dan salad. Sedap semuanya. Kambing panggang tu berjus dan lembut.

Makanan cukup satu saja, sebab tadi pagi dah bersarapan di rumah mentua. Tapi tetap nak singgah makan di Pak Lurah Bistro sebelum bergerak meninggalkan Johor. Hampir setahun tak balik kampung, haruslah wajib singgah 😀. Kami juga beli bungkus Nasi Goreng Kampung Kambing Panggang sebagai bekalan balik ke rumah NS.

Kalau ada ke Batu Pahat, bolehlah cuba makan di Pak Lurah Bistro ni ya. Selain masakan panas, kat sini juga ada menjual roti/kek/pastri. Nak ke sini cari je ‘Pak Lurah Bistro’ di Google Maps. Lokasi kedai di tepi jalan besar. Kalau dari bandar Batu Pahat, ia terletak di sebelah kiri jalan. Kena perhati betul-betul, mudah terlepas sebab jalan di sini lurus je.

——————————————————————-
PAK LURAH BISTRO NASI KAMBING BATU PAHAT
Jalan Besar Parit Sulong,
Batu 7, Felcra Seri Wangi,
Batu Pahat, Johor.
011-3376 3722

Waktu operasi :
Ahad - Jumaat  (9 pagi - 3 petang)
Sabtu (tutup)



Friday, 19 November 2021

Suatu Petang di Taman Botani Johor

RABU | 03.11.2021

Taman Botani Johor ni terletak tak jauh dari rumah mentua saya. Dah begitu lama kami tak berkunjung ke sini. Alhamdulillah, nampaknya dah begitu banyak perubahan. Kalau nak tengok rupa Taman Botani Johor ni pada tahun 2013, boleh baca entri saya DI SINI.

Kali ni kami ke sini bersama dua orang anak saudara. Masuk dah agak lewat iaitu sekitar pukul 5.30 petang. Ruangan parkir disediakan di bahagian hadapan taman ini, tak jauh dari pintu masuk utama. Masa kami sampai, tak banyak kereta parkir maksudnya tak begitu ramai pengunjung.

Ok, jom kita jalan-jalan di Taman Botani Johor…

Terdapat dua tasik di sini. Nama diberi - Tasik Bukit Belah dan Tasik Bukit Besi. Dulu tak ada nama-nama gini. Garden Cafe tu nampaknya belum beroperasi.

Taman Botani Johor
Ini tasik yang pertama kita jumpa. Terletak di sebelah kanan.

Teruskan berjalan (mendaki jugaklah sebenarnya sebab kawasan ni berbukit), kita akan jumpa tasik yang kedua. Lebih cantik dan menarik dari yang pertama tadi.

Taman Botani Johor
Kami teruskan berjalan sehingga tiba di satu sudut, mata terpukau memandang spektrum berwarna yang seolah-olah muncul dari permukaan tasik. Teruja saya dan dua orang anak saudara yang masih kecil dapat melihat pelangi yang begitu indah!

[Info sains] Pelangi akan kelihatan kepada seorang pemerhati apabila matahari berada di belakang dan hujan di hadapannya. Apabila sinar memasuki satu titisan hujan, titisan tersebut bertindak sebagai satu prisma. Dalam situasi kami, matahari petang berada di belakang kami dan titisan dari air pancut berada di hadapan kami. Bila kami beredar ke sudut lain, ‘hilanglah’ pelangi dari pandangan. 

Kedudukan gazebo ni menghadap matahari petang, jadinya dari sini tak kelihatan pelangi tadi. Kedudukan gazebo ni juga berada tak jauh dari air pancut, bila berada di sini akan terasa percikan air. Satu lagi yang menarik, bila jenguk ke bawah (tasik) kita dapat melihat kumpulan ikan yang sangat banyak.

Taman Botani Johor
Seronok tengok ikan banyak begini. Entah ikan apa, nampaknya sama jenis je semua yang ada di sini.

Laluan pejalan kaki. Bolehlah kita jalan di sini sambil menikmati keindahan tasik dan boleh melihat apa ada di bawah menerusi lubang lantai. Terus ke depan lagi, di sebelah kiri ada jeti. 

Taman Botani Johor
Eh, ada taman permainan jugak kat sini. Ada beberapa orang kanak-kanak sedang bermain. Kami duduk di sini seketika bagi peluang anak-anak saudara bermain sama. Seronok budak-budak bila jumpa tempat begini.

Penjelajahan diteruskan sehingga ke bahagian hujung jalan. Nampak ada papan tanda ‘Laluan Denai’ di sebelah kiri jalan. Menarik jugak kalau cuba ni, tapi kena mendaki sikit. Memandangkan masing-masing ada bekalan air, bolehlah cuba laluan denai ni. Nampak monyet atas kabel? Memang riuh rendah bunyi monyet, rupanya monyet-monyet ni sedang ada ‘kenduri’ di bahagian luar bangunan tu.

Nasib baik budak dua orang ni gembira je ikut kami 😄. Siap berlari-lari di laluan berbukit begini.

Di Taman Botani ni ada banyak plot tanaman untuk spesis tertentu. Setiap plot ada papan tanda. Sesuai untuk tujuan pembelajaran. Tapi kami datang pun dah lewat petang, tak sempat nak melihat-lihat sangat. Sepanjang kami berjalan di sini, beberapa kali juga terserempak dengan kumpulan monyet. Tapi monyet-monyet ni tak mengganggu, malah cepat-cepat menghilang di balik rimbunan pokok sebaik saja sedar kehadiran kami.

Taman Botani Johor
Kami tiba di penghujung jalan, kalau terus lagi dah berpagar. Cantik pemandangan dari sini walaupun bukitnya tidaklah tinggi mana. Selesai bergambar-gambar, kami berpatah balik melalui laluan yang sama. Walaupun sebenarnya belum habis menjelajah kawasan ni, tapi cukuplah untuk hari ini. Sudah hampir waktu Maghrib. Jomlah kita balik.

Taman Botani Johor
Pemandangan yang indah.

Taman Botani Johor
Dalam perjalanan ke tempat parkir, beberapa kali kami bertemu dengan kumpulan monyet. Rupa-rupanya masing-masing keluar ‘berpesta’ di jalanan bila dah tak ada pengunjung di sini. Berbeza dengan monyet lain yang cepat menghilang di balik pokok, monyet seekor ni tak berganjak dan kekal memerhatikan langkah kami. Seram jugak, Alhamdulillah tak berlaku apa-apa yang buruk.

Kami beredar dari Taman Botani sekitar pukul 6.50 petang. InsyaAllah lepas ni (bila balik kampung) kami akan sering berkunjung ke sini untuk riadah pagi/petang. Lain kali datang terus siap-siap pakai kasut yang bersesuaian, tadi pakai sandal je. Tempat yang cukup cantik dan tenang, rugi tak nikmati kemudahan percuma yang disediakan kerajaan ni.


TAMAN BOTANI JOHOR
Sri Medan, Batu Pahat, Johor.
Buka setiap hari 7 pagi - 7 petang


Wednesday, 17 November 2021

Ceri Terengganu

Sambungan entri BUAH APA NI?, ada beberapa nama pokok buah yang disebut oleh sahabat blogger. Berdasarkan nama-nama pokok buah tersebut, saya buat carian internet dan padankan dengan gambar yang saya ada.

Hasilnya, komen blogger Dana yang menyebut Ceri Terengganu paling menepati jawapan yang dicari. Terima kasih Dana dan semua yang memberi idea nama pokok buah ni. Sebelum ni saya betul-betul tak ada idea nak buat carian nama apa.

————————————————
 norhidana 17 November 2021 at 07:39
“kalau dah masak warna merah maroon ye kak? kalau tak silap dana pernah baca, di panggil pokok ceri terengganu atau ada juga panggil buah rokam...”
———————————————————

Ini gambar yang dirakam oleh saya, buah warna kemerah-merah. Belum masak.

Ini pula gambar yang diperolehi hasil carian internet. Gambar milik indahnyatrg.blogspot.com. Sepadan bentuk daun dan buahnya. Cuma dalam gambar ni, buah sudah masak berwarna merah tua. Jemput baca info lanjut mengenai buah yang menarik ini di blog beliau DI SINI.


Info ringkas pokok Ceri Terengganu (sumber wikipedia) :
  • Pokok Ceri Terengganu atau juga dikenali sebagai pokok Johor atau pokok Perupuk memiliki nama saintifik Lepisanthes alata.
  • Buah Ceri Terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. 
  • Banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini juga disebut kelelek atau gegelek.
  • Berbuah di sepanjang tahun. Buahnya yang menarik tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah yang warna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat.

Pokok Ceri Terengganu dikategorikan sebagai pokok buah nadir (jarang ditemui dan tidak ditanam secara komersial). Patutlah saya langsung tak kenal dan tak pernah jumpa. Nampaknya memang betul inilah buah yang pernah suami saya makan semasa zaman kanak-kanaknya di Batu Pahat, Johor. Bila buahnya masak, memang ada rupa seperti bawang (suami panggil ‘buah bawang’).

Kalau sesiapa ada info tambahan atau kisah masa lalu (seperti suami saya) yang berkaitan pokok Ceri Terengganu ni bolehlah kongsikannya di ruangan komen ya.


Tuesday, 16 November 2021

Buah Apa Ni?

Setiap kali balik kampung rumah Mak, saya suka melihat-lihat pokok yang ada di sekitar rumah. Kali ni saya ternampak buah yang tak dikenali.

Buah yang berada dalam gugusan tangkai panjang dengan warna kemerah-merahan.

Ini rupa pokoknya. Tak begitu tinggi, batang kecil je tapi banyak buah.

Bila saya tanya Mak, Mak pun tak tahu apa nama pokok buah ni. Kisahnya, Mak cuma ambil batang pokok ni dari kebun jiran untuk dijadikan pancang pada pokok lain. Tak sangka ia hidup dan membesar sampai keluar buah pulak. Jiran pun tak pasti apa nama pokok ni dan tak pasti sama ada boleh makan atau tidak buahnya.

Dalam gambar ni buahnya belum masak. Warnanya bertukar merah bila sudah masak. Kalau menurut suami saya pulak, seingatnya dia pernah makan buah ni semasa kecil dahulu. Rasanya kelat manis. Suami panggil buah ni sebagai buah bawang, mungkin disebabkan rupanya yang seakan bawang. Tapi itu pun kalau betullah buah yang sama.

Ada sesiapa yang tahu ni pokok buah apa? Teringin jugak nak tahu.

*LIHAT JAWAPANNYA PADA ENTRI DI SINI.

Monday, 15 November 2021

Menikmati Keindahan Hutan di Taman Negara Pulau Pinang

Ahad | 14.11.2021

Catatan kisah di kampung Johor dan di rumah NS belum pun habis, saya tangguhkan dulu untuk beri laluan kepada catatan aktiviti hujung minggu saya dan suami.

Setelah sekian lama tak dapat masuk hutan disebabkan situasi pandemik, semalam dapat juga kami ke hutan di Taman Negara Pulau Pinang. Ini merupakan kunjungan kali ke-3 kami ke sini, jadinya dah tak perlu saya catatkan secara terperinci (bagi yang perlukan info, boleh buat carian ‘Taman Negara Pulau Pinang’ di blog ini).

Bezanya kali ni, kami buat ketetapan akan berhenti selepas 1 jam perjalanan. Berehat dan kemudian akan berpatah balik. Tiada destinasi tertentu. Yang penting ia memenuhi tujuan masuk hutan iaitu nak menikmati keindahan ciptaan Allah - mendengar nyanyian hutan, melihat kehijauan hutan dan kepelbagaian tumbuhannya, juga menyedut udara segar hutan. 

Hati melonjak riang dapat masuk ke hutan. Kali terakhir adalah pada bulan Mac 2021 lalu. Tambah bersemangat sebab kali ni saya pakai tudung dan beg baru 😀

Antara keindahan pokok hutan yang menarik perhatian saya. Bila diperhatikan, rupanya pokok yang berbatang warna cerah tu tak ada kulit pokok. Kulitnya berjatuhan di lantai hutan.

Pokok besar, tinggi dan unik. Cantik dan menarik.

Walaupun ianya menarik, tapi perlu berhati-hati bila jumpa pokok yang ‘terbelah’ dan ‘kosong’ di bahagian batang pokok begini. Risau lama-kelamaan ia akan mudah tumbang, terutamanya bila cuaca buruk.

Ini pula antara laluan yang mencabar sebab tanah lembut dan licin. Dah beberapa hari hujan/mendung di PP dan mungkin hujan turun pada malam atau awal pagi tadi di sini. Perlu melangkah dengan berhati-hati supaya tak tergelincir.

Beginilah rupa kasut dan kaki seluar saya. Lepat lepot kata orang Jawa. Betul tak penggunaan tu wahai orang Jawa sekalian? 😄

Jumpa tapak kasut siapa entah. Satu di sini dan satu di tempat lain. Cerita berkaitannya, sebelah kasut yang sedang saya pakai sebenarnya dah mula terbuka sedikit di bahagian depan dan belakang. Gara-gara lama tersimpan. Jadinya sebagai langkah berjaga-jaga, saya bawa bersama sepasang kasut lain (sesuai untuk jalan-jalan bukan masuk hutan). Alhamdulillah, selamat keluar masuk hutan tanpa timbul masalah 😅

Bunyi sangat kuat seperti hujan turun, rupanya dah sampai di tempat yang terdapat aliran anak sungai. Rasanya dulu tak kuat sangat bunyinya, mungkin sebab lepas hujan jadi air sungai lebih banyak.

Indah dan tenang. Sejuk airnya.

Inilah pondok rehat pertama yang terdapat di laluan ini. Bawah sikit itulah aliran anak sungai tadi. Kami berhenti sampai di sini dan makan minum bekalan yang di bawa. Syok sungguh makan sambil layan mata lihat kehijauan hutan dan telinga mendengar bunyi deru air sungai. Dari sini kami berpatah balik.

Cendawan
Inilah koleksi gambar cendawan yang dapat saya rakamkan. Puas juga mata saya memerhati sekitar mencari si kecil yang menawan dan unik ni.







————————————————————————————-

Letak di sini untuk rekod. Memang sangat perlahan pergerakan kami, saya banyak berhenti mengatur pernafasan dan berhenti untuk merakan gambar keindahan hutan.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas kesempatan untuk menikmati hutan yang saya rasakan seperti satu taman indah.


Saturday, 13 November 2021

Santai Petang Bersama Keluarga

AHAD | 31.10.2021

Semasa balik kampung di Pontian tempohari, sempatlah saya bertemu dan berkumpul bersama ahli keluarga lain. Kali terakhir kami berkumpul ramai-ramai pada bulan Julai 2020, iaitu sewaktu menyambut Hari Raya Aidiladha. Sudah lebih setahun berlalu.

Kami kumpul mana yang ada sajalah, tak dapat nak kumpul keluarga 9 beradik. Tak buat persiapan beria pun, cukup sekadar ada hidangan ringkas. Sambil berbual, sambil makan-makan. Pertemuan santai. Yang penting dapat bersua muka dan bertukar cerita. Juga buat kali pertama sebahagian daripada kami dapat bertemu dengan ahli keluarga baru, iaitu isteri kepada anak saudara saya yang bernikah pada penghujung Disember 2020 lalu. 

Roti Jala ni saya tempah je, buat carian di Facebook. Sangat berpuas hati, sedap Roti Jala dan kuah karinya. 

Cheese Tart yang ceria dan sedap ni pun hasil buat carian di Facebook. Tempah juga Cheese Tart perisa buah.

Kek Pisang dibuat oleh salah seorang kakak saya. Sedap bila tergigit coklat tu.

Kata santai je kan…ginilah rupanya 😂. Orang dewasa berbual sambil makan, yang kecik sibuk main dan berebut mainan. Bersepah gini. Selain makanan di atas, ada yang bawa bihun goreng dan pelbagai jajan.

Kami berkumpul di luar rumah je, ruang terbuka dan lebih seronok dapat angin petang. Alhamdulillah cuaca redup je, tak hujan dan tak panas. Mula selepas Asar dan bersurai sebelum Maghrib. Walaupun sekejap dan ringkas begini, tapi cukup puas hati dan seronok! Nampak Mak tersenyum lebar dan seronok dapat berkumpul dengan anak-anak dan cucu-cucu. Yang jauh di luar Johor kami sempat buat video call, termasuklah yang tinggal di Sarawak.

Alhamdulillah. Semoga Allah beri kesempatan seterusnya untuk kami (juga kita semua) agar dapat berkumpul dengan seluruh ahli keluarga.