Thursday 27 June 2019

IOI (bukan IOI Mall)

Cerita minggu lepas...dalam perjalanan pulang ke rumah melalui Jalan Karak, kami singgah di gerai durian tepi jalan.

Terdapat banyak deretan gerai durian di sini. Nampaknya belum sampai kemuncak musim durian, rata-rata gerai cuma ada sikit je durian. Suami pilih untuk beli di gerai ini, sebab dah beberapa kali pernah membeli di sini dulu.

Kami beli durian IOI atau D168 dengan harga RM20/kg. Durian sebanyak ini dibayar dengan harga RM35, bulat mata dengar! Kerana tekak, diturutkan jua. Suami mintak siap masuk dalam bekas begini supaya senang nampak isi, tak maulah kecewa bila balik rumah tengok ada isi tak elok.

Kalau nak beli durian Musang King lagilah bulat mata! Sebab harganya RM45/kg. Harga durian masih mahal sebab musim durian baru bermula, belum banyak.

--------------------------------------------

Cara- cara memilih durian. Tips oleh FAMA. Ternampak di Fb, kita letak sinilah untuk rujukan.

Tuesday 25 June 2019

PHILIPS Pressure Cooker | Ayam Masak Sambal

Pagi semalam...teringin pulak tekak ni nak makan Nasi Lemak dan Ayam Masak Sambal, lepas sarapan terus keluarkan ayam dan santan asli dari freezer. Mudahlah nak memasak tengahari nanti bila semua tu dah tak membeku.

Tiba masanya...saya pun basuh dan toskan ayam. Sambil tu buat persediaan untuk masak sambal - hiris bawang besar, hiris halus bawang putih dan halia. Biasanya saya tumbuk atau blend je semua tu, tapi kali ni masak sikit je maka kita main hiris jelah. Tak payah kotorkan lesung atau blender. Malas sangat kan! 😁

Ayam yang dah tos, saya gaulkan dengan garam dan serbuk kunyit. Ambil kuali dan letak atas tungku dapur. Pusing tombol, tet tet tet...tet tet tet...tak keluar api! Alamak..gas habis!!! 😞

Ting! Idea datang. Nampaknya terpaksalah saya cuba masak Ayam Masak Sambal menggunakan Philips Pressure Cooker (PPC). Yang penting dah tau asas guna PPC, kita boleh cuba masak apa-apa je.

----------------------------------------------------------------

On PPC - Bake - Chicken - Start
Letak minyak untuk goreng ayam. Saya letak sikit je agak-agak boleh menggoreng. Bila minyak dah panas, masukkan ayam. Sikit je ayamnya sebab untuk saya seorang je, cukuplah 3 kali makan. Tutup periuk (letak je tanpa pusing penutup) untuk percepatkan ayam masak dan elak percikan minyak, tombol saya letak pada Vent sebab kita tak mau sebarang tekanan (pressure) semasa menggoreng. Sesekali buka tutup periuk dan terbalikkan ayam supaya masak sekata.

Untuk menu Ayam Masak Sambal, saya suka goreng ayam separuh masak atau 2/3 masak. Nanti akan masuk dalam sambal dan masak sepenuhnya supaya ayam lembut/tak liat. Dah siap menggoreng, keluarkan ayam.


Dengan minyak yang sama, saya terus tumis bahan hirisan dan sedikit belacan. Kemudian masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan air asam jawa dan kemudian masukkan ayam untuk masak sepenuhnya. Gaul dan biarkan mendidih. Masa tu nanti akan merecik-recik la jugak, saya tukar kepada mode Bake - Fish supaya tahap kepanasan PPC berkurangan. Caranya tekan OFF - Bake - Fish - Start. 

Kemudian masukkan garam dan gula. Gaul rata dan biar masak seketika. Rasa dah sedap dan warna dah cantik, OFF PPC. Siap!


Inilah Ayam Masak Sambal menggunakan PPC. Macam terlebih minyak pulak 😅. Alhamdulillah rasa okey ditekak saya dan ayam pun masak elok.


Nasi Lemak dan Ayam Masak Sambal. Tiada timun dan aksesori lain untuk nasi lemak, makan sorang-sorang ikut suka sendiri jelah. Nasi lemak tu saya masak menggunakan microwave, memang dah lama tak guna rice cooker.

Ok, inilah cara saya guna PPC untuk memasak Ayam Masak Sambal. Resepi terpulanglah pada citarasa masing-masing, sama je walaupun masak guna PPC atau kuali biasa.


Nota PPC : PPC TIDAK direka untuk fungsi menggoreng, gunakan mengikut fungsinya supaya periuk bertahan lama dan atas faktor keselamatan. Saya guna untuk goreng ayam sebab terpaksa je ni tau dan kuantiti minyak yang digunakan pun sikit je ala-ala nak menumis.


Friday 14 June 2019

Ke Cameron Highlands Melalui Sungai Koyan

Selama ini kalau ke Cameron Highlands (CH), saya dan suami akan melalui Jalan Tapah atau Jalan Simpang Pulai. Rupa-rupanya kita juga boleh ke CH melalui Sungai Koyan, baru kali ini kami tahu. Ketinggalan sungguh! 😄

Sekitar seminggu sebelum Ramadhan (harap tak basi lagi cerita ni..haha!), kami ke Sungai Koyan, Pahang atas urusan kerja suami. Masa inilah baru tau adanya Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands. Menurut info, untuk ke Tanah Rata cuma perlu 1 jam lebih sahaja. Kami pun ambil keputusan mencuba laluan ini buat pertama kali. Naik - makan di YZ Agrofarm, Taman Sedia - turun kembali ke Sungai Koyan. Sekejap je di CH sebab ada urusan lain menanti. Memang terasa lebih mudah berbanding melalui Jalan Tapah atau Jalan Simpang Pulai.

-----------------------------------------------------

Menjelang 1 Ramadhan (lebih tepatnya pada hari Ahad, 5 Mei 2019), kami berkesempatan sekali lagi untuk ke CH melalui Sungai Koyan. Kali ni saya ada snap pic, bolehlah buat catatan di blog. Tapi ada gambar tak berapa terang sebab dah lewat petang dan gerimis di beberapa tempat.

Jalan yang luas, lapang, kurang pendakian dan kurang selekoh tajam. Juga sangat kurang kenderaan. Sesekali kelihatan penduduk orang asli berjalan kaki atau menaiki motor. Seronok saya melayan mata melihat hijau alam. 😍

Melalui beberapa penempatan moden orang asli. Ini salah satunya.

Juga terdapat Empangan Susu (di bawah projek Empangan Hidro Ulu Jelai) di sebelah kanan jalan menghala ke CH. Gambar ni diambil semasa dalam perjalanan balik keesokan harinya, kebetulan ada ruangan yang selamat untuk kami berhenti sebentar melihat-lihat.

Sebahagian pemandangan tasik empangan yang menarik perhatian saya! Gambar ini juga diambil semasa dalam perjalanan balik. Snap pic dari dalam kereta je.

Setelah melalui perjalanan yang sunyi, kami tiba di pekan Lembah Bertam yang sibuk dengan aktiviti ekonominya. 

Perjalanan diteruskan sehingga sampai simpang tiga ni. Ada stesen minyak Shell. Belok kiri - Tapah/KL dan belok kanan - Tanah Rata/Brinchang. Kami ambil masa lebih kurang 1 jam untuk tiba di sini dari simpang Sungai Koyan, dengan jarak sekitar 80 km.

[info] Laluan Persekutuan Malaysia 102, juga dikenali sebagai Jalan Ringlet - Sungai Koyan atau Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands. Ia merupakan sebuah laluan persekutuan sepanjang kira-kira 80 km yang terletak di Pahang. Siap dibina pada tahun 2010 sebagai laluan masuk ketiga untuk ke Cameron Highlands selepas laluan Tapah dan laluan Simpang Pulai. Dengan adanya laluan ini, pengunjung dari Pahang boleh mengunjungi Cameron Highlands tanpa perlu keluar dari Pahang. 

Alhamdulillah....perjalanan lancar, kami tiba di Tanah Rata dengan catatan masa sekitar 1 jam 20 minit (catatan masa bermula dari simpang Sungai Koyan).

Saya agak teruja dengan trip CH kali ini, kerana buat pertama kali nak merasa menunaikan solat tarawih di tanah tinggi. Insya Allah kalau rajin, saya akan tulis catatan 1 Ramadhan di CH.

Ok, setakat ini sahaja catatan secara ringkas perjalanan ke CH melalui Jalan Sungai Koyan. Laluan alternatif bagi yang nak jimatkan tol, nak laluan yang lebih santai atau sekadar nak merasa pengalaman berbeza.






.

Tuesday 11 June 2019

Inilah Raya!

Salam Syawal ^_^

Tanda-tanda hari raya semakin hampir - bila orang datang 'munjung'. Ini juadah munjung oleh kakak saya, dihantar ke rumah beberapa hari menjelang Syawal. Rajin sangat kakak saya ni siap buat ketupat tradisional yang dianyam sendiri. Memang lain macam perasaannya bila makan! Munjung ni biasanya berbalas, tapi saya balas dengan kuih raya je sebab saya tak buat masak-masak untuk munjung.

[info] Munjung adalah tradisi Jawa yang bermaksud bertukar juadah sesama saudara-mara (terutamanya yang muda memberi kepada yang lebih tua) dan sesama jiran tetangga menjelang hari raya atau pada pagi hari raya. Juadah yang diberi biasanya adalah menu raya (ketupat, rendang, lodeh, sambal kacang, sambal goreng).

Semasa zaman saya kanak-kanak dulu, munjung biasa dilakukan pada pagi hari raya dan diberi dalam mangkuk tingkat aluminium (jika jarak rumah jauh) atau diletak dalam satu dulang (jika rumah berhampiran). Kini untuk lebih praktikal, orang munjung guna bekas pakai buang je dan dilakukan sebelum hari raya.


Bila hari raya - kedai dobi sesak sana sini. Yelah..bila semua berkumpul di kampung, memang leceh nak membasuh dan tak cukup ampaian nak menyidai. Kenalah plan nak pergi waktu bila untuk elak menunggu terlalu lama.


Selain kedai dobi, kedai/gerai menjual sarapan pagi juga antara tempat yang sibuk. Sebab tak banyak orang meniaga di hari raya, maka yang sedikit itulah menjadi tumpuan. Kena datang awal pagi untuk pastikan makanan masih banyak pilihan dan tak menunggu lama. Masa ni dah 4 Syawal, malas nak masak-masak sebab ahli rumah dah tak ramai. Beli kat sini dapatlah merasa nasi lemak dan nasi ambeng.


Dan yang paling rasa terseksa - sesak di jalan raya! Terutamanya masa nak kembali dari kampung. Tak rayalah kalau jalan raya tak sesak kan...ehee!


Inilah Raya! Ada kegembiraan dan ada yang menuntut kesabaran.
Semuanya bakal menjadi kenang-kenangan. Entah bagaimana cara kita melalui hari raya pada masa hadapan. Segalanya mungkin berubah seiring peredaran zaman.