Tuesday 27 December 2022

Jom Ke Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar

[Catatan kisah hari Ahad, 25 Disember 2022]

Setelah menetap di utara tanah air sekitar dua tahun enam bulan, baru kelmarin saya mengunjungi Pekan Rabu buat kali pertama. Kalau encik suami pula, memang dah beberapa kali singgah membeli di sini bila ada urusan di tempat berhampiran. 

Jarak dari rumah kami di PP ke Pekan Rabu sejauh 114 km, tak begitu jauh tapi taklah dekat. Kami tiba di Alor Setar dah tengah hari dan petangnya bertolak balik ke PP. Sempatlah berjalan dan makan-makan di beberapa tempat.


KOMPLEKS PEKAN RABU

Pekan Rabu merupakan sebuah kompleks perniagaan peniaga-peniaga Melayu yang terletak di tengah bandar raya Alor Setar, Kedah. Fakta sejarah Pekan Rabu :
  • Mula dibuka di Tanjung Chali pada tahun 1930.
  • Diasaskan oleh seorang Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid.
  • Pada tahun 1932, berpindah ke lokasi baharu di Jalan Tunku Ibrahim.
  • Antara peniaga di Pekan Rabu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
  • Bangunan baharu yang dikenali Kompleks Pekan Rabu yang berharga RM55.5 juta dibina di tapak lama di Jalan Tunku Tunku Ibrahim pada tahun 2014 dan dibuka semula dengan wajah baharu pada tahun 2018.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Bangunan yang tersergam di sebelah kanan itulah Kompleks Pekan Rabu.

Pada awalnya kami nak parkir kereta di bahagian bawah bangunan kompleks, tapi laluan masuk sudah diletak penghalang. Mungkin dah penuh. Jadinya kami parkir kereta di kawasan parkir yang terletak di seberang jalan Kompleks Pekan Rabu.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Bangunan Kompleks Pekan Rabu setinggi empat tingkat dengan seni bina moden dan berkonsep Islamik.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Beginilah suasana di dalam bangunan Kompleks Pekan Rabu. Ada pilihan nak menggunakan tangga atau lif. Saya gunakan tangga sebab nak melihat-lihat setiap tingkat.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Berada di dalam bangunan ini tak terasa bahang atau panas. Mungkin disebabkan reka letak ruang niaga dengan konsep terbuka begini dan terdapat kipas siling besar menyumbang kepada pengudaraan yang baik. Saya suka konsep begini. Pengunjung pun senang nak membelek barang jualan sebab fokus satu arah je, kalau jenis lorong dan ada kedai di kanan kiri jalan tu agak susah nak fokus melihat-lihat. Laluan pun jadi lebih sesak dan panas.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Apa yang ada di Pekan Rabu? Macam-macam ada! Ada jualan kuih, makanan kering, pakaian, barangan kraf dan boleh menjamu selera di aras bawah kompleks.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Jualan pakaian.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Paling menarik, di sini ramai juga yang menjual kuih yang baru dimasak. Ada kuih karas, peneram dan bahulu. Kita dapat melihat penjual menghasilkan kuih-kuih tersebut.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Kami beli kuih karas di sebuah kedai yang terletak di aras paling atas. Penjual dan pembuatnya seorang lelaki. Foto di atas saya rakam setelah meminta izin. Kuih karas dijual dalam bekas bulat dengan harga RM15 satu bekas.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Pelbagai pilihan makanan kering terdapat di Pekan Rabu. Ikan pekasam, rempah, kopi, kerepek dan banyak lagi. Juga ada produk dari Thai seperti biskut dalam tin comel, kekacang dan pes tom yam.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Nampak menarik bila kuih bangkit digantung begini. Eh, sebenarnya semua nampak menarik di mata saya. Haha! Kena fikir apa yang betul-betul teringin nak merasa dan patut dibeli.

Selain membeli untuk kami berdua, kami beli juga oleh-oleh untuk di bawa ke kampung kami di Johor. Antara yang kami beli - kuih ros madu, kuih karas dan kopi cap Gantang. Itu sikit, ini sikit, jadi banyak jugalah.

Sememangnya Pekan Rabu merupakan tempat yang sesuai untuk kita membeli oleh-oleh. Sangat banyak pilihan. Kompleks ini juga nampaknya dijaga dengan baik. Bersih dan saya rasa selesa berjalan di sini. Kalau tak selesa, kita akan rasa nak cepat keluar dan jadi kurang berminat nak membeli. Satu lagi, tandas di sini pun berada dalam keadaan baik dan selesa.

Ada ke Alor Setar? Jomlah membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu!



Friday 23 December 2022

Masjid Terapung - Bakal Menjadi Mercu Tanda Bagan Datuk

Ini merupakan kunjungan pertama saya dan encik suami ke pekan Bagan Datuk, Perak. Alang-alang ada urusan di Hutan Melintang, bolehlah kami ke pekan Bagan Datuk pula.

Ada yang kehairanan bila tahu kami menuju ke sini, tak ada apa-apa katanya. Menurut saya pula, tujuan kunjungan ke satu-satu tempat adalah untuk meluaskan pengetahuan kita sendiri dan melihat suasana kehidupan orang lain di tempat yang berbeza dari tempat kita. Bila dah sampai sendiri, kita lebih faham kedudukan geografi tempat tersebut dan ada perkara yang membuat kita rasa kita lebih beruntung juga ada perkara yang membuat kita rasa mereka lebih beruntung. Begitulah. Kita datang, lihat dan fikir.

Pekan Bagan Datuk Perak
Beginilah rupa pekan Bagan Datuk, sebuah pekan ‘koboi’. Cuma ada deretan dua baris rumah kedai lama di laluan utama pekan. Setelah melihat sendiri kedudukan geografi pekan ini, fahamlah saya mengapa pekan ini kelihatan agak lesu.

Kedudukannya yang jauh dari laluan utama dan terletak di hujung jalan mati membuatkan pekan Bagan Datuk sunyi daripada kunjungan orang luar. Suasana menjadi meriah cuma pada hari hujung minggu atau cuti umum bila anak-anak pulang ke kampung (yang ini saya tahu hasil berbual ringkas dengan penjual keropok lekor di kawasan Dataran Bagan Datuk).

Dataran Bagan Datuk Perak
Dataran Bagan Datuk, mungkin ini satu-satunya tempat yang nampak ceria dan menghidupkan pekan ini. Semasa kunjungan saya pada petang hari Jumaat, kelihatan deretan gerai penjaja kecil makanan & minuman yang baru nak memulakan perniagaan. Selain itu, ada juga yang sedang menyusun kenderaan mainan untuk disewakan kepada pengunjung. Selain kami, kelihatan beberapa kumpulan kecil pengunjung lain berada di dataran ini. Masa ni sekitar pukul 3 petang, cuaca panas terik. Memang tak sesuai bersantai di sini, kecuali kami pengunjung jauh yang tetap gigih meronda ke sana ke sini.

Saya nak menyentuh sedikit berkenaan tulisan di atas - ‘Welcome To Bagan Datuk’. Persoalan saya, mengapa mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalaupun pengunjung sasarannya adalah orang asing, mereka tentu lebih menghargai kalau kita menggunakan bahasa kebangsaan. Tujuan seseorang ke tempat yang asing adalah untuk melihat suasana dan budaya setempat. Bila perlunya bahasa Inggeris? Ia perlu digunakan di papan info dan yang sewaktu dengannya. Mungkin saya agak berlebihan, tapi saya fikir kita perlu tahu mengekalkan jati diri bangsa.

Dataran Bagan Datuk Perak
Antara binaan lanskap yang terdapat di sini.

Masjid Terapung Bagan Datuk
Inilah masjid terapung yang masih belum siap sepenuhnya. Sudut pandang dari celahan lubang tebing di dataran.

Masjid Terapung Bagan Datuk
Masjid terapung yang tersergam indah di tebing Sungai Perak dan sebuah replika bahtera turut menambah keceriaan di sini.

Replika bahtera Bagan Datuk
Replika bahtera. Nampaknya ada tempat permainan kanak-kanak di bahagian atas dan mungkin ruang galeri di bahagian bawah. Menarik! Tertera waktu lawatan di bahagian sisi replika bahtera, dibuka setiap hari 10 pagi - 10 malam. Tapi masa kami datang ni tak beroperasi. Tak pastilah memang belum beroperasi atau sedang ditutup sementara waktu.

Replika bahtera Bagan Datuk
Foto hasil mengintai di balik cermin sisi replika bahtera, mungkin ruang galeri.

Dataran Bagan Datuk
Binaan tempat letak tong sampah dengan pelbagai pesanan dan paparan perkataan positif.

Dataran Bagan Datuk
Jom kita ke sudut kiri dataran pula. Kalau kita menghadap ke sungai, sebelah kirilah ya.

Jeti Bagan Datuk Perak
Terdapat sebuah jeti - Jeti Bagan Datuk.

Jeti Bagan Datuk Perak
Nampaknya jeti ni masih belum beroperasi. Terdapat sebuah papan info berkenaan Pulau Sembilan. Mungkin tujuannya pembinaan jeti ini untuk membawa para pelancong ke Pulau Sembilan. Sebelum ini saya pernah tahu berkenaan Pulau Sembilan dan plankton yang mengeluarkan cahaya biru (dikenali sebagai ‘Blue Tears’), tapi tak ingat lokasinya. Rupa-rupanya terletak di sini.

Hasil carian berkenaan Pulau Sembilan, pulau tanpa penghuni tersebut telah ditutup sejak tahun 2017 bagi tujuan pemulihan. Nampaknya kalau dah buka, memang saya berhajat nak berkunjung ke Pulau Sembilan demi menyaksikan sendiri ‘Blue Tears’.

Jeti Bagan Datuk Perak
Pemandangan masjid terapung dari jeti. Menarik sungguh gumpalan awan tu, Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini.

Jeti Bagan Datuk Perak
Sudut pandang dari tempat duduk di jeti - ruang menunggu. Dekorasi ‘pokok kelapa’ yang membawa maksud Bagan Datuk dikenali sebagai tempat penanaman pokok kelapa.

Masjid Terapung Bagan Datuk
MasyaAllah indah sungguh pemandangan masjid terapung dengan latar langit membiru dan gumpalan awam memutih.

Menurut info, masjid ini akan diberi nama Masjid Tuminah Hamidi. Ia dibina menggunakan dana Yayasan Akalbudi, milik keluarga Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kita. Nama Tuminah Hamidi adalah bersempena nama ibu dan ayah beliau yang telah meninggal dunia, iaitu Hamidi Abdul Fatah dan Tuminah Abdul Jalil.

Masjid terapung ini merupakan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan ruang solat yang boleh menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, dewan serba guna dan dataran dalam perkarangan masjid.

Sekiranya siap, maka masjid terapung ini menjadi menjadi mercu tanda baru Bagan Datuk. Semoga ia mampu menambah kemakmuran dan menghilangkan kesuraman pekan Bagan Datuk. Dari segi sektor pendidikan, saya lihat sudah ada sebuah sekolah sains dan MRSM di Bagan Datuk.





Thursday 22 December 2022

Catatan 15 - 16 Disember 2022

Pada hari Khamis & Jumaat minggu lepas, saya menemani encik suami ke Perak atas urusan kerja. Saya catatkan di blog untuk rujukan diri sendiri pada masa akan datang.

E32 Lebuhraya Pantai Barat WCE
Dari rumah di PP kami melalui Lebuhraya Pantai Barat untuk menuju ke destinasi. Laluan yang lengang dan tenang. Ada sekali saya nampak sekumpulan monyet memenuhi laluan bertentangan. Bahaya kepada monyet dan kepada kita pengguna jalan raya.

INFO | Lebuhraya E32 - Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) merupakan sebuah lebuh raya yang dibina di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Ia menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor. Lebuh raya ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Hutan Melintang
Sampai ke destinasi kami di Hutan Melintang. Kami menginap satu malam di Hotel Lagenda. Tak begitu banyak pilihan penginapan di sini, jadi ambil saja mana-mana yang ada banyak ulasan baik di internet. Selepas menginap di sini, saya beri tiga bintang je sebab kebersihan bilik air yang tidak memuaskan dan aliran air di sinki tidak lancar. Ada sebuah kedai makan Muslim (Restoran Lagenda Ayam Kampung) di bangunan sebelah, mudahlah kalau nak pergi makan yang berdekatan dengan berjalan kaki je.

Kami makan malam di kedai makan Nasi Lemak Din Canai. Terdapat pelbagai pilihan makanan. Pilihan kami - mi bandung dan kue tiaw goreng. Servis di sini mesra dan pantas. Kedainya nampak bersih dan makanan pilihan kami memenuhi cita rasa.

Sarapan pagi kami pula di sebuah kedai makan yang saya tak pasti apa namanya. Ada pilihan nasi lemak hijau, mihun goreng, lontong, roti canai dan kuih-muih. Sebagai penggemar nasi lemak, tentunya pilihan utama saya nasi lemak hijau. Memang sedap rasa nasi lemak dan sambalnya. Setiap set turut diberi potongan telur dadar. Saya ambil juga kuih karipap, pun sedap rasanya dan inti penuh. Memang puas hati makan di sini.

Inilah rupa luar kedai. Ada beberapa papan tanda di tepi kedai, jadinya tak pasti mana satu papan tanda sebenar. Tapi kalau di Google Maps boleh buat carian ‘Zura Nasi Lemak Hijau’. Kedai makan ni beroperasi waktu pagi sehingga tengah hari sahaja.

Dari pekan Hutan Melintang, kami menuju ke pekan Bagan Datuk pula. Tujuan kami ke pekan Bagan Datuk cuma nak melihat-lihat tempat yang belum pernah kami kunjungi. Masa ni encik suami dah habis kerja dan selesai menunaikan solat Jumaat.

Laluan di antara kedua-dua pekan ini lurus je dan terdapat penempatan estet-estet serta rumah-rumah kampung di kanan dan kiri jalan. Di sini juga banyak tanaman kelapa, cantik tersusun pokoknya dengan daun kelapa melambai-lambai. Lagi satu yang saya perasan, di sini terdapat banyak burung bangau. Biasa tengok burung kecil warna hitam je bertenggek di tiang elektrik, tapi di sini burung bangau pun asyik bersantai di atas. Hehe…

Hasil pemerhatian seterusnya, saya dapati di sini orang-orang bebas menanam di bahu jalan. Ada pokok betik yang tinggi dan ada yang rendang tapi berbuah lebat.

Sepanjang perjalanan juga saya perhatikan banyak kawasan yang ditenggelami air banjir. Tidaklah teruk tahap banjirnya, tapi nampaklah laman rumah orang bergenang air.

Apa yang ada di pekan Bagan Datuk? InsyaAllah catatannya di entri akan datang. 




Wednesday 21 December 2022

Doa Dijauhkan Daripada Gelisah, Sedih, Lemah, Malas, Takut, Bakhil, Beban Hutang & Tekanan Manusia

 
Doa Dijauhkan Daripada Gelisah, Sedih, Lemah, Malas, Takut, Bakhil, Beban Hutang & Tekanan Manusia

Doa mohon dijauhkan daripada rasa gelisah, sedih, lemah, malas, sifat penakut, bakhil, beban hutang dan tekanan manusiaInilah doa yang telah saya amalkan sejak sekian lama, saya baca setiap kali selepas menunaikan solat lima waktu.

Nak baca bila-bila pun boleh je tau kerana doa merupakan permohonan kita kepada Allah. Tak ada batasan waktu. Disebabkan ia satu doa yang saya fikir baik kerana merangkumi pelbagai hal, saya tetapkan ia dibaca setiap kali selepas solat.

Perlukah kita berdoa?

Ya, kita dituntut berdoa supaya kita sentiasa ada hubungan dengan Allah dan juga tanda pergantungan penuh kita sebagai hamba-Nya. Berdoalah dengan adab dan yakinlah terhadap kekuasaan Allah.

Jom amalkan!




Tuesday 20 December 2022

Penginapan Jenis Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur

Dalam entri DI SINI, saya catatkan pengalaman penginapan bilik jenis Standard Room di Tamu Hotel & Suites yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tamu Hotel & Suites juga menawarkan penginapan jenis apartmen dengan pilihan satu, dua atau tiga bilik tidur.

Saya dan encik suami berkesempatan menginap selama dua malam di apartmen satu bilik tidur selepas menginap tiga malam di bilik jenis Standard Room. Kebetulan kami dapat pada harga promosi (harganya tak begitu jauh beza berbanding bilik jenis Standard Room, tetapi tak termasuk sarapan pagi). Bukanlah sengaja nak mencuba penginapan jenis apartmen, tetapi penginapan jenis bilik yang kami mahu semuanya habis ditempah pada tarikh tersebut.

Untuk ke penginapan jenis apartmen, kita perlu menaiki lif yang berbeza dengan lif penginapan jenis bilik. Penginapan jenis bilik terletak di aras 15 - 26, manakala penginapan jenis apartmen terletak di aras 28 - 39.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Beginilah rupa penginapan kami - One Bedroom Resident yang terletak di aras 28. Ruang yang cukup luas. Terdapat ruang tamu, ruang dapur dan sebuah bilik tidur.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Ruang dapur lengkap dengan induction cooker, periuk, kuali, pisau dan peralatan makan.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Bilik tidur dengan keluasan yang memuaskan.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Terdapat balkoni di penginapan jenis apartmen. Saya cuba buka sliding door, tapi tak boleh pula. Tak pasti sama ada memang dah direka supaya tak boleh buka atau saya yang tak pandai nak buka 😅. Tapi kan…kalau pun boleh buka, rasanya tidaklah saya berani nak berdiri di balkoni tu. Setakat jenguk kepala je berani. Gayat!

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Bilik airnya agak kurang selesa sebab kurang bersih dan air mudah bertakung di depan pintu masuk. Dah gunakan bilik air barulah tau, tapi malas nak minta tukar bilik jadinya kena berhati-hati tiap kali kaki melangkah masuk.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Pemandangan dari balkoni. Nak tengok pemandangan waktu malam dari aras begini? Boleh klik DI SINI.

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Di ruang ini ada cerita. Sudah menjadi kebiasaan saya setiap kali memasuki tempat penginapan, saya akan periksa semua dan merakam foto jika ada apa-apa yang tak sepatutnya. Selain bertujuan untuk buat aduan atau tukar bilik (jika perlu), ia juga bertujuan melindungi kita daripada pertuduhan merosakkan barangan yang ada (memang belum pernah kena, tapi eloklah ambil iktibar daripada pengalaman orang lain).

Jadi, apa cerita yang berlaku? Nampak langsir merah tu? Sewaktu saya memeriksa ruangan ini, saya selak langsir tersebut. Terkejut sungguh bila ternampak sesuatu digantung pada pemegang tingkap. Pakaian dalam! Saya rakam fotonya dan tunjuk kepada staf di kaunter lobi hotel. Saya tunjukkan juga foto bahan-bahan masakan yang saya dapati masih memenuhi peti sejuk. Kalau belum siap kemas, kenapa pula beri saya masuk kan?

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Tak lama selepas itu, intercom berbunyi dan terpapar visual seorang lelaki berdiri di hadapan pintu penginapan. Oh, rupanya staf pembersih bilik datang. Nampaknya seperti warga asing berdasarkan rupa dan bertutur bahasa Inggeris. Beliau meminta maaf dan minta izin untuk masuk membuat kerja-kerja pembersihan bersama dua orang staf yang tiba kemudian. Sementara menunggu mereka membuat kerja pembersihan, saya berdiri di luar sajalah.

Selesai semuanya, berkali-kali mereka meminta maaf. Sejuklah sikit hati saya yang sebenarnya tak marah pun. Cuma terkejut je. Lagi pula semasa mendaftar masuk ni saya bersendirian tanpa encik suami. 

Apartmen di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Selit satu foto makanan yang kami beli bungkus dan makan di apartment. Beli di FLOW Smoke & Brew yang terletak di Jalan Kampung Bandar Dalam. Sangat memuaskan selera - sedap semuanya dan sangat lembut dagingnya.

Bagaimana pengalaman penginapan kami di apartmen satu bilik ini? Menurut pendapat saya (merujuk kepada penginapan kami bernombor 2805), saya rasa kurang selesa berbanding menginap di bilik sebelum ini. Selain masalah di bilik air yang saya nyatakan di atas, saya juga terganggu dengan bunyi kuat (saya tak tahu nak terangkan bunyi bagaimana tetapi encik suami kata mungkin bunyi dari pam yang terletak berhampiran). Bunyi seperti ketukan kuat tu berlaku agak kerap tak kira siang malam.

Kelebihan penginapan jenis apartmen ni, lebih selesa kalau nak menginap bersama beberapa orang ahli keluarga. Boleh masak-masak sebab ada dapur, tapi saya fikir lebih baik kita keluar mencuba makanan di sekitar Kampung Baru ni. Nak beli dan bawa balik pun masih boleh makan dengan selesa sebab ada meja makan.




Friday 16 December 2022

Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh

Lokasi terakhir aktiviti jalan-jalan tanpa dirancang di negeri Perlis, adik ipar dan suaminya membawa kami ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh. Pada mulanya saya sangka ia tempat sama yang pernah saya dan encik suami kunjungi pada awal tahun ini, iaitu Dataran Empangan Timah Tasoh. Ternyata kedua-dua tempat tersebut berbeza, tetapi masih berada di sekitar tasik yang sama iaitu Empangan Timah Tasoh.

Masuk tempat ni percuma je. Kawasan parkir juga percuma tetapi terhad.

Datang ke sini sekadar nak melihat-lihat dan menikmati suasana tasik saja pun boleh. Tetapi kalau nak pengalaman yang lebih seronok sambil merancakkan ekonomi komuniti nelayan darat di sini, bolehlah kita membeli produk atau perkhidmatan yang tersedia.

Boleh beli dedak ikan untuk merasai pengalaman bagi ikan makan atau beli ikan pekasam untuk dibawa pulang. Di sini juga kita boleh melakukan aktiviti berkayak, berkhemah atau menaiki bot untuk bersiar-siar di sekitar tasik.
Boleh juga duduk santai atau berbuai sambil menikmati suasana tasik.
Di hujung sana terletaknya kawasan perkhemahan. Menarik juga kalau dapat berkhemah di sini, ambil pengalaman berkhemah di tepi tasik.
Bagi yang membeli dedak ikan, bolehlah ambil pengalaman memberi makan ikan di sini. Yang lucunya, kami sangka ini adalah sangkar ikan. Sebab kami nampak sangat banyak ikan di sini, memang meriah setiap kali ada pengunjung yang mencampakkan dedak ikan. Tetapi rupanya tiada sebarang sangkar/jaring pun, ikan-ikan tersebut merupakan ikan yang bebas hidup di tasik ini.

Aktiviti kami - menaiki bot untuk bersiar-siar di sekitar tasik. Bayaran dikenakan sebanyak RM50 sebuah bot yang memuatkan 6 orang penumpang bagi tempoh bersiar-siar selama 30 minit.

Berbeza dengan pengalaman menaiki bot di lautan, perjalanan menaiki bot di tasik adalah lebih tenang dan santai. Selain faktor tiada ombak kuat seperti di lautan, bot kami juga dibawa perlahan.
Pemandangan tasik dengan latar Banjaran Nakawan yang menjadi pemisah negara Malaysia-Thailand. Di sebalik banjaran itulah negara Thai. Di sini juga kami dapat menyaksikan nelayan darat sedang menangkap ikan.
Sambil bersiar-siar, kami berbual bersama encik pemandu bot yang membawa kami. Beliau juga menunjukkan kawasan kampungnya suatu masa dahulu yang kini telah pun tenggelam di dasar tasik. Syahdu pula kami dengar.
Bot kami menghampiri kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan akuatik. Dari semasa ke semasa, akan ada pihak yang membersihkan tumbuhan ini supaya ia tidak menutupi permukaan tasik.

Bot kami berhenti seketika di sini. Encik pemandu bot mencadangkan kami berfoto di sini, berlatarkan Bukit Chabang di belakang kami. Bergilir-gilirlah kami 6 orang merakam memori di sini.

Sambil tu, mata saya sibuk memerhati tumbuhan akuatik yang terdapat di sini. Terdapat 2 jenis tumbuhan - pokok Keladi Bunting dengan bunga berwarna putih ungu dan pokok Setangki dengan bunga berwarna kuning. Daun pokok Setangki ni seakan pokok Semalu kerana kedua-duanya berasal daripada keluarga yang sama. Nak tahu info lanjut berkenaan pokok Setangki yang boleh dimakan ini, boleh baca entri di blog Wak Warisan Petani.


Sedikit gambaran suasana di sini menerusi paparan video berdurasi 0:37 minit.

Kalau kalian berkunjung ke Perlis, jemputlah datang ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh ini ya. Untuk ke sini, buat carian di Google Maps - Dataran Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh.

Tamatlah catatan jalan-jalan kami di Perlis pada bulan Oktober lalu. Tujuan asal cuma nak datang menziarahi adik ipar sekeluarga. Tapi jadi eksplorasi destinasi menarik di Perlis pula 😃. Masih ada lagi tempat menarik yang belum kami sampai di Perlis. InsyaAllah pada kunjungan akan datang.