Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Monday, 26 September 2022

Makan Tengah Hari Bersama Keluarga Besar di Aji Aji Seafood, Jerteh

Masih lagi catatan kisah di awal bulan September sewaktu ahli keluarga encik suami berkumpul di Besut, Terengganu.

Hari Ahad iaitu hari terakhir berkumpul, kami makan tengah hari di Aji Aji Seafood yang terletak di Jerteh. Malam sebelumnya ada juga keluar makan bersama, tapi masa tu ada ahli keluarga yang belum tiba di Terengganu dan ada yang masih di asrama.

Aji Aji Seafood, Jerteh
  Susah nak dapat keluar makan bersama seluruh ahli keluarga begini.

Aji Aji Seafood, Jerteh
Keseluruhan ahli keluarga besar ada 19 orang termasuk mak mentua. Tapi ada seorang biras saya yang tak dapat ikut serta. Jadinya kehadiran 18 orang.

Aji Aji Seafood, Jerteh
Tempahan awal sudah dibuat. Jadinya tak perlu lama menunggu makanan.

Aji Aji Seafood, Jerteh
Sotong goreng tepung yang rangup di luar, lembut di dalam. Sebelahnya tu tomyam putih. Semuanya ada dua set hidangan. Ada beberapa lauk lagi yang tak diambil fotonya.

Aji Aji Seafood, Jerteh
Budak kecil yang menjadi latar belakang foto ikan ni sedang mengantuk. Selepas makan beberapa suap, matanya terpejam-pejam. Akhirnya tidur dengan bersandar di kerusi. Hehe…

Aji Aji Seafood, Jerteh
Pilihan air sirap dan air oren.

Alhamdulillah, semuanya memuaskan selera dan habis di makan. Selesa makan di restoran Aji Aji Seafood ni. Lengkap ada tandas dan surau. Tambahan pula masa kami makan ni tak begitu ramai pelanggan, dapatlah menikmati makanan dalam suasana yang tenang.

Esok paginya, masing-masing bergerak pulang. Satu keluarga ke Perlis, satu keluarga lagi ke Selangor dan keluarga kecil kami ke Pulau Pinang. Mak mentua pula nak bertukar angin, nak tinggal sekejap bersama keluarga adik ipar di Besut. Asyik tengok sawit di Johor, kali ni tengok pantai pula. Dan semakin aktif. Lepas beberapa hari di sana, mak mentua sekali lagi ikut mendaki Bukit Keluang. Tu diaa…sungguh saya tak sangka.



Friday, 23 September 2022

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut

AHAD | 04.09.2022

Satu lagi aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke Bukit Keluang adalah aktiviti eksplorasi landskap formasi yang dapat dilihat di kaki bukit ini. Pada awalnya, saya diberitahu ada gua-gua kecil di kaki bukit ini. Kedengaran biasa-biasa saja. Tetapi apabila saya berkunjung sendiri ke sini, ternyata bukan hanya gua-gua kecil tetapi saya menyaksikan kepelbagaian landskap formasi kesan hakisan ombak yang cukup menakjubkan!

Mungkin kerana saya mudah terpesona melihat alam semula jadi, maka saya memandang landskap alam di kaki Bukit Keluang ini sebagai sesuatu yang sangat menarik. Banyak foto yang ingin saya kongsikan kerana semuanya terlihat indah di mata saya. Tetapi cukuplah 13 keping foto di bawah sebagai pelengkap catatan pengalaman saya.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
1. Pemandangan Bukit Keluang dari jauh.
Cuaca sedikit mendung, titisan halus hujan membasahi bumi pada ketika ini. Tapi orang ramai masih beraktiviti di sini seperti biasa. Termasuklah saya dan encik suami yang meneruskan hasrat untuk melihat sendiri gua-gua kecil di sini buat kali pertama.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
2. Pelantar laluan kayu.
Kami berjalan menuju ke kaki Bukit Keluang. Seterusnya melalui pelantar laluan kayu yang tersedia untuk ke pintu gua. Perlu berhati-hati melangkah kerana ada bahagian yang sudah rosak.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
3. Pemandangan indah dari pelantar laluan.
Dari pelantar laluan, kita perlu menuruni tangga untuk meneruskan eksplorasi.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
4. Gua yang pertama.
Kalau tak berminat nak meneruskan eksplorasi dan sekadar nak melihat dari jauh pun boleh juga. Dari atas pelantar laluan ni kita boleh nampak dua buah lubang gua.

Sayangnya, kedua-dua gua ini jadi tempat orang berkelah. Patutlah dari jauh saya nampak kepulan asap keluar dari kaki bukit, rupanya mereka sedang memanggang makanan. Menurut pendapat saya, kurang sesuai gua dengan nilai warisan alam sebegini dan menjadi tumpuan pelancong dijadikan tempat berkelah apa lagi aktiviti masak-memasak. Kita yang datang dari jauh ni tak berpeluanglah nak berfoto dalam gua. Tambahan pula ia mungkin menjadi penyumbang sampah yang saya lihat bersepah-sepah di sekitar kawasan ini.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
5. Rupa bahagian dalam salah sebuah gua.
Saya masuk ke dalam perut gua untuk melihat-lihat. Tapi kena tahan nafas sikitlah dengan asap orang memanggang makanan.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
6. Batuan unik.
Saya tertarik dengan batuan di pesisir pantai di sini, kalau diteliti ia semacam campuran beberapa jenis batuan yang diadun. Unik dan sangat menarik.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
7. Melalui celahan batuan untuk ke bahagian lain.
Kami meredah air laut untuk ke bahagian lain pula. Seterusnya kami perlu melalui celahan batuan (dalam gambar). Ada bahagian yang sempit, saya perlu jalan mengiring dan tegakkan badan. Tapi kalau tak muat, kita boleh saja merangkak di laluan bawah yang lebih luas.

Terasa sejuk sewaktu saya melalui celahan batuan ini. Sambil tu mata saya tetap membelek permukaan batuan yang unik.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
8. Fosil kerang-kerangan?
Di pertengahan laluan, langkah saya terhenti apabila terlihat permukaan batuan yang berbeza dari yang lain. Eh, macam bentuk kerang-kerangan. Jari-jemari saya meraba-raba permukaan tersebut, memang bukan permukaan batuan seperti yang lain. Adakah ini yang dikenali sebagai fosil? Menarik untuk diketahui.

Fosil : tinggalan (sisa) jasad haiwan atau tumbuhan zaman purba (prasejarah) yg kini mengeras dan tertanam di dlm bumi (batuan dsb): mengenal dan menghuraikan hal purba drpd keterangan ~ dan bukti lain; terfosil telah menjadi fosil: rangka binatang yg ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
9. Landskap alam yang indah.
Sebaik badan melepasi celahan batuan, kami seakan berada di suatu tempat yang asing. Landskap formasi yang lebih indah menanti.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
10. Pantai tersembunyi.
Pantai di sini lebih tenang, tak ramai pengunjung.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
11. Unik.
Masya Allah…kagum saya menyaksikan kejadian alam di sini. Kesan hakisan ombak yang menghasilkan pelbagai bentuk landskap di pesisir pantai Bukit Keluang. Banyak gua-gua kecil terhasil, juga batuan pelbagai rupa.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
12. Gerbang yang indah, juga sampah yang menyakitkan mata.
Landskap seperti gerbang yang cukup menarik. Foto ini boleh saja saya edit supaya tak kelihatan sampah sarap tersebut, tapi saya biarkan ia kekal kerana ia adalah sebahagian daripada apa yang saya saksikan di sini.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
13. Lagi landskap alam yang unik.
Kalau ada masa, mahu saya teruskan eksporasi ke bahagian lain. Tapi nampaknya kami tak boleh berlama-lama di sini. 40 minit saja kami di sini.

Bagi peminat alam semula jadi, lokasi ini antara tempat yang perlu dikunjungi jika datang ke Besut. Cuma semasa kunjungan saya tempohari, tempat ini terlalu banyak sampah sarap plastik minuman dan bekas makanan. Menyakitkan pandangan. Saya tak pasti sama ada sampah ini wujud kerana dibawa ombak atau perbuatan pengunjung yang tak bertanggungjawab. Siap ada plastik sisa minuman bergantungan di dinding gua. Mungkin pihak berwajib perlu meletakkan papan notis pendidikan supaya pengunjung membuang sampah di tempat yang betul.

Seperkara lagi, saya juga berharap adanya papan info yang menerangkan kejadian landskap geologi di sini. Ianya sebagai satu langkah kesedaran ilmu geologi kepada pengunjung yang datang. Dengan ilmu, kita akan lebih menghargai alam semula jadi dan menginsafi kehebatan kuasa Allah SWT.



Video berdurasi 0:48 minit. 






Wednesday, 21 September 2022

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut

AHAD | 04.09.2022

Sebelum ini, kami satu keluarga besar bersama-sama mendaki Bukit Keluang (entrinya DI SINI). Pada esok paginya kami beraktiviti di pantai pula - acara mandi laut.

Pantai Bukit Keluang ni terletak tidak jauh dari rumah adik ipar. Mereka sekeluarga biasa mandi laut selain selalu juga mendaki Bukit Keluang sejak berpindah ke sini beberapa bulan lalu. Seronok sungguh dapat tinggal berhampiran tempat yang cantik seperti Bukit Keluang ni kan.

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut
Pantai Bukit Keluang - pantainya panjang dengan pasir kekuningan. Dari pantai ini kita dapat melihat pemandangan pulau-pulau kecil. Nun di hujung pantai itulah terletaknya Bukit Keluang. Kita boleh melakukan aktiviti mendaki bukit dan menjelajah gua-gua kecil di kaki bukit. Biasanya orang ramai bertumpu di kawasan hujung sana kerana terdapat kemudahan tandas dan bilik mandi.

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut
Pokok bunga seri pagi yang menjadi penghias pantai.

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut
Kira-kira pukul 9 pagi kami dah ada di sini. Kami pilih lokasi yang jauh dari kumpulan orang ramai. Pantai di lokasi ini sedikit curam. Kiranya kalau dari jalan raya, kita tak perasan orang sedang bermandi-mandi di laut sebab kedudukan pesisir pantai yang lebih rendah.

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut
Ombak perlahan saja. Sesuailah untuk mandi laut.

Mandi Laut di Pantai Bukit Keluang, Besut
Masing-masing seronok bermain air. Walaupun air laut di sini tidaklah jernih kebiruan, tapi cukup memuaskan untuk kita bermandi-manda.

Tak ingat entah berapa lama saya tak mandi laut. Pandemik saja dah dua tahun. Jadinya acara mandi laut kali ni memang terasa seronok, tambahan pula bersama ahli keluarga yang lain. Main simbah-simbah air, cubaan berenang, mengapung diri dan ada yang sibuk bermain pasir. Seronok!

Paling seronok, saya dapat menikmati alam dengan cara mengapungkan diri sambil terlentang di permukaan air. Bila pejamkan mata, deria pendengaran lebih fokus menikmati bunyi air laut. Alhamdulillah…tenang sungguh. Tapi tak dapat berlama, ada je yang mengacau makcik nak bermeditasi. Tarik kakilah, simbah airlah. Haih! Hahah…

Bila dah semakin menjelang tengah hari, ombak mulai kuat. Dia punya kuat tu sampai boleh menolak kami ke pantai dan heret balik masuk air. Itu pun kami tak bermain ke tengah, tak berani sebab agak dalam. Masing-masing pun dah puas mandi laut, jomlah kita beredar. Perut pun terasa lapar, masa untuk makan tengah hari.



Tuesday, 20 September 2022

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu

Orang lain mungkin dah lama tahu berkenaan kedai Keropok Lekor Bayu ni. Saya dan encik suami pula baru saja tahu keenakan keropok lekor di sini selepas adik ipar bawa balik ke kampung semasa hari raya.

Jadinya semasa ke Terengganu tempohari, kami tak melepaskan peluang untuk ke kedai Keropok Lekor Bayu yang terletak di Kg. Merang. 

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu
Kedai Keropok Lekor Bayu terletak di tepi jalan bersebelahan dengan Stesen Petronas Merang. Dari jauh dah nampak deretan kenderaan memenuhi bahu jalan. Juga barisan panjang orang ramai di hadapan kedai. Kami ikut masuk barisan.

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu
Keropok keping ikan tamban berharga RM17/pek 500 gram.

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu
Keropok segera baby (baby sebab saiz kecil), berharga RM15/pek 500 gram. Kami suka makan keropok segera ni, jadinya lebih 10 pek kami beli untuk stok makan sendiri dan beri keluarga/kawan. Keropok segera ni sedap rasanya dan rangup. Kalau makan dengan sos pencicah, memang lagi susah mulut nak berhenti mengunyah.

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu
Suasana kesibukan di kedai ini. Masing-masing pantas bekerja. Sambil beratur kita boleh melihat proses kerja mereka. Ada yang sedang menguli, selesai dibentuk keropok lekor terus direbus dengan menggunakan kayu api. Berasap-asap panas di sini. Siap direbus, ada yang dibungkus untuk dijual sebagai keropok lekor rebus dan ada yang digoreng untuk dijual sebagai keropok lekor goreng.

Keropok Lekor Bayu, Kg. Merang, Terengganu
Leka saya memerhatikan pekerja yang sedang membuat keropok lekor di balik cermin kaca. Ada 3 orang di situ. Pantas dan mahir tangan mereka menguli dan membentuk keropok lekor. Siap dibentuk, terus ditolak ke bawah, masuk ke dalam bekas merebus. Menarik juga kita dapat melihat proses menghasilkan keropok lekor begini.

Selain membeli keropok segera, kami beli keropok lekor yang sudah dipek vacuum untuk dibawa balik ke PP. Harganya RM10/pek ada 40 batang keropok lekor. Kami beli juga keropok lekor goreng untuk dimakan segera, harganya RM5/25 batang.

Saya lupa pula nak merakam foto keropok lekor goreng yang sedap tu - saiz kecil mudah dimakan, rangup di luar dan lembut di dalam. Digandingkan pula dengan sos pencicahnya yang agak pekat, memang makan sambil tersenyum bahagia tau. Kalau dah sejuk pun masih lembut dan sedap dimakan.

Jadinya berapa lama kami beratur tadi? Dari mula masuk barisan sehinggalah siap membayar, mengambil masa kira-kira 40 minit! Sebenarnya kami bukanlah jenis sanggup beratur demi makanan. Tapi yang ni terkecuali sebab dah lama menyimpan keinginan sejak pertama kali merasa. Datang dari jauh pula tu, gigihkan diri beratur lepas tu kita belilah banyak.

Menurut cerita, ada yang perlu beratur sehingga 2 jam. Jadinya cerita kami beratur 40 minit tadi tidaklah begitu lama. Tapi tetaplah saya rasa 40 minit tu sudah cukup lama. Tak apalah, sesekali melayan keinginan tekak kan…


——————————————————————————————-
KEROPOK LEKOR BAYU ENTERPRISE
Kg. Baru Merang, Chalok,
Terengganu.
019-936 8257

Waktu operasi :
9 pagi - 6 petang
Tutup hari Selasa






.

Thursday, 15 September 2022

Pendakian Bersama Keluarga di Bukit Keluang, Besut

SABTU | 03.09.2022

Dalam entri terdahulu, saya ada menyebut berkenaan tujuan saya dan encik suami ke Besut, Terengganu kerana hendak berkumpul bersama keluarga encik suami dan menziarahi adik ipar sekeluarga yang baru beberapa bulan berpindah ke Besut. Sambil tu dapatlah kami jalan-jalan di tempat orang kan…hehe.

Antara aktiviti yang dirancang - pendakian ke Bukit Keluang yang terletak tak jauh dari rumah adik ipar. Tapi kami tidaklah menginap di rumah adik ipar, kami dan ahli keluarga yang lain menginap di sebuah homestay.

Menariknya Bukit Keluang ni sebab ada bukit, pantai dan gua kecil. Jadinya Bukit Keluang ni memang menjadi tumpuan orang ramai untuk beraktiviti bersama keluarga, apatah lagi waktu cuti sekolah dan hujung minggu begini.

Ini merupakan kali kedua saya melakukan aktiviti pendakian di Terengganu. Kali pertama semasa zaman universiti, iaitu sekitar akhir tahun 90-an saya mendaki Gunung Tebu yang juga terletak di Besut. Terkenang pula pengalaman mistik pada malam saya dan kawan-kawan berkhemah di gunung tersebut.


Pendakian Ke Puncak Bukit Keluang

Tiada bayaran dikenakan dan tak perlu juru pandu arah untuk kita mendaki Bukit Keluang. Siap ada kawasan parkir percuma. Untuk mendaki Bukit Keluang, terdapat dua tempat permulaan laluan (trailhead) pendakian :
  • Trailhead pertama terletak berhampiran kawasan parkir kereta, deretan gerai jualan dan tandas awam. Pendakian bermula dengan meniti anak tangga, kemudiannya perlu memanjat menggunakan tali dengan jarak yang agak jauh juga. (Rujuk gambar no. 16, 15 & 14)
  • Trailhead kedua terletak agak jauh dari trailhead pertama dengan jarak kira-kira 950 meter. Ada ruangan parkir di kawasan trailhead kedua. Pendakian bermula di laluan denai hutan.
Adik ipar mencadangkan agar kami masuk ikut trailhead kedua dan keluar di trailhead pertama (loop trail). Jadinya dapatlah kami merasa kedua-dua laluan. Kenapa bermula di trailhead kedua? Sebab ia lebih mudah, tidaklah patah semangat bila permulaan pendakian dah kena daki tangga dan panjat guna tali.

Jadinya kami semua parkir kereta di kawasan berhampiran trailhead pertama, kemudian perlu berjalan kaki kira-kira 800 meter ke trailhead kedua. Jauh juga. Kiranya itu aktiviti memanaskan badan (warm up) sebelum kita mendaki.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
1. Dengan bantuan seorang pengunjung lain, dapatlah kami berfoto sekeluarga sebelum memulakan pendakian. Kami 13 orang semuanya. Ada lagi empat sekeluarga yang masih dalam perjalanan ke Terengganu dan dua orang anak saudara yang berada di asrama tak dapat turut serta. Paling mengejutkan saya, emak mentua pun bersungguh nak ikut mendaki. Manakala adik ipar seorang lagi pun turut membawa bersama dua orang anak kecil (yang belum sesuai jalan sendiri).

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
2. Encik suami (memakai topi) bantu dukung anak saudara, manakala adik ipar mendukung seorang lagi anak kecilnya. Anak-anak lain yang sudah boleh berjalan sendiri ada bersama seorang lagi adik ipar di kumpulan hadapan. Saya pula pada kebanyakkan masa berada di posisi tengah antara kumpulan depan dan belakang. Mudahlah saya nak memotret momen pendakian kami sekeluarga.

Selain kami, ramai lagi pendaki lain pada masa ni. Meriahnya macam ada acara di atas puncak bukit. Jadinya dalam foto-foto saya ni akan kelihatan orang lain jugalah.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
3. Selepas 10 minit mendaki, kami sampai di Check Point 2. Ada pondok untuk kami berkumpul kembali dan melepas lelah seketika. Walaupun cuma 10 minit, tapi terasa lelahnya bila mendaki.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
4. Monyet dengan ekor panjang seakan warna putih ni menghampiri kumpulan kami apabila terdengar bunyi plastik (saya keluarkan sesuatu dari dalam beg). Segera saya sorokkan risau dirampas oleh monyet. Sebab tu di mana-mana pun kita jangan beri makan kepada monyet liar. Nanti monyet tu terbiasa pula nak dapatkan makanan dari manusia sampai membahayakan kita.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
5. Kami kembali menyambung perjalanan. Perlu berpaut pada akar dan dahan pokok, juga tali yang disediakan untuk memudahkan pendakian. Bertudung hitam itulah mak mentua saya. Gigih memanjat tanpa bantuan.


Panorama Indah Dari Puncak Bukit Keluang

Alhamdulillah, kami sampai ke puncak bukit setelah mendaki kira-kira 35 minit. Tapi tidaklah serentak semua sampai, kumpulan depan dah sampai lebih dahulu dan kumpulan belakang yang mendukung anak kecil lambatlah sedikit.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
6. Masya Allah indah sungguh alam ciptaan-Nya 😍

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
7. Panorama di puncak Bukit Keluang yang mempesona. Terus hilang rasa penat saya, berganti dengan rasa teruja walaupun masa ni cuaca panas terik. Lautan biru kehijauan dan pemandangan pulau-pulau kecil cukup memukau pandangan. Dari sini juga kita boleh nampak pantai indah di bawah sana. Tapi hati-hati ya, jangan berdiri terlalu hampir dengan tebing. Dah ada kes terjatuh sewaktu berfoto di Bukit Keluang ni.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
8. Foto saya bersama encik suami, anak saudara dan mak mentua yang berusia 71 tahun.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
9. Tempat tadi sempit dan panas terik. Kami bergerak ke hadapan, ada ruang yang agak redup dan ada sebuah pondok yang agak luas binaannya di situ. Kami merakam memori di sini. Saya tukang potret jadinya tiada dalam foto di atas. Papan tanda ‘Tahniah anda telah berjaya mendaki ke puncak Bukit Keluang’ tu sebenarnya dah jatuh dari tempat asalnya dan diletakkan di tepi tong sampah. Kami ambil dan pegang untuk berfoto.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
10. Lagi panorama indah yang sempat saya rakam dari puncak bukit. Orang lain dah jalan ke depan, saya beginilah suka berhenti merakam foto itu ini.


Perjalanan Menuruni Bukit Keluang

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
Bunga Jejarum / Jungle Flame / Ixora Javanica
11. Seperti selalunya bila masuk hutan, saya suka mencari flora yang menarik sebagai subjek fotografi. Tapi nampaknya di sini agak sukar saya temui, kecuali ada sedikit bunga-bungaan di puncak. Bunga di atas ditemui oleh seorang anak saudara yang berbaik hati memerhatikan bunga apabila Mak Longnya kata mahu ambil foto bunga tapi tak jumpa. Hehe…

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
12. Tiba di satu laluan yang ada batang pokok tumbang. Juga cahaya mentari yang menembusi hingga ke lantai hutan. Memang cantik dapat merakam kenangan di sini.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
13. Bermulanya laluan menurun yang boleh saya katakan agak sukar.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
14. Menurut saya, ini laluan yang paling sukar kerana kurangnya akar dan batang pokok untuk berpaut. Beberapa tali disediakan, tapi talinya dah jadi licin dipegang ramai orang. Beberapa kali juga saya lihat orang tergelincir sewaktu menuruni laluan ini. Saya lalu di bahagian tepi je sebab nak berpaut pada batang pokok.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
15. Bila dah nampak tangga begini, itu bermaksud kita dah menghampiri kaki bukit. Tangga ni boleh tahan jauh juga tau, curam dan kecil anak tangganya.

Mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu
16. Alhamdulillah selamat sampai di bawah. Beginilah rupa trailhead pertama, yang saya sebut di awal entri ini. Berhadapan dengan tangga ni ada penjual air kelapa. Apa lagi, terus kami serbu! Nikmat sungguh dapat minum air kelapa sejuk selepas penat mendaki.


Data dari Galaxy Watch saya. Dapatlah workout calories - 980 kcal. Saya tak pasti berapa ketinggian sebenar Bukit Keluang, kalau ikut data pada jam saya puncak tertinggi - 154 meter.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kami semua selamat naik dan turun. Ini merupakan pengalaman pertama kami mendaki bersama ahli keluarga dengan jumlah seramai ini dan daripada pelbagai peringkat usia. Pengalaman yang manis. Kagum melihat semangat mak mentua saya dan nampaknya mak baik-baik saja sepanjang pendakian. Anak-anak saudara semuanya pun nampak gembira sepanjang pendakian.

Kalian ada ke Besut? Boleh cuba mendaki Bukit Keluang ni. InsyaAllah laluan pendakian tidaklah terlalu sukar, namun tidak juga mudah ya.

Paling penting - pakailah pakaian yang selesa, berkasut dan sekurang-kurangnya bawalah air minuman. Kasihan saya melihat ada kumpulan yang cuma berselipar termasuk kanak-kanak. Tidak selamat untuk kaki dan jadi susah nak mendaki/menurun bukit. Selain tu elok juga bawa sarung tangan untuk memudahkan tangan memaut pada tali.






Friday, 9 September 2022

Perjalanan Dari Pulau Pinang Ke Terengganu Melalui Lebuhraya Timur Barat

JUMAAT | 02.09.2022

Kebiasaannya, pada waktu cuti sekolah saya dan encik suami akan mengelak untuk ke tempat-tempat tumpuan ramai. Kita beri peluanglah kepada keluarga yang mempunyai anak bersekolah untuk berjalan-jalan, disamping itu dapat juga mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Tapi berbeza dengan cuti sekolah kali ini, adik-beradik encik suami merancang untuk berkumpul di Besut, Terengganu. Lokasi dipilih kerana ada salah seorang daripada mereka yang baru saja berpindah dari Sabah ke Terengganu. Kiranya sambil berjumpa ahli keluarga, kami dapat menziarahi tempat baru di mana adik ipar sekeluarga menetap.

Disebabkan lokasinya yang agak jauh dan laluan yang tak biasa kami lalui, encik suami ambil cuti pada hari Jumaat dan Isnin. Jadinya hari Jumaat perjalanan pergi, hari Sabtu & Ahad aktiviti bersama keluarga, manakala hari Isnin perjalanan balik. 4 hari 3 malam, cukup masa dan tidak tergesa-gesa. Bolehlah santai menikmati perjalanan dan singgah sana sini.


Perjalanan Melalui Lebuhraya Timur Barat

Saya agak teruja dengan trip kali ini kerana kami akan melalui Lebuhraya Timur Barat buat kali kedua, setelah melalui jalan ini buat kali pertama sekitar 14 tahun lalu. Sudah terlalu lama.

[Info]
Lebuhraya Timur-Barat (Laluan Persekutuan ) mula dibina pada tahun 1967. Proses pembinaannya kerap kali terganggu akibat perbuatan khianat pengganas komunis yang sering sahaja menyerang hendap pekerja binaan sepanjang Perang Insurgensi Komunis ataupun Darurat Kedua dari tahun 1967-1989, menyebabkan pembinaan lebuh raya ini memakan masa yang sangat panjang. Malah, semasa lebuh raya ini dibuka pun pihak tentera mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja dan perlu melapor diri setiap kali menggunakannya.

Hari ini, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE: E15) sepanjang 17 km merupakan laluan masuk utama ke Lebuhraya Timur-Barat dari arah Koridor Utara atau Bandar Raya George Town (Pulau Pinang) yang melibatkan laluan Butterworth (Pulau Pinang) - Kulim (Kedah) - Baling - Gerik (Perak) - Jeli (Kelantan) - Tanah Merah - Machang - Pasir Puteh.

Secara keseluruhannya, Lebuhraya Timur Barat membabitkan laluan sepanjang 313.7 km bermula dari Baling, Kedah melalui Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan.
(Sumber rujukan : Wikipedia, Harian Metro & Facebook @lebuhrayatimurbarat)

Perjalanan kami bermula waktu pagi dari rumah di Simpang Ampat, PP masuk ke Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan selepas itu terus saja tak perlu belok mana-mana sejauh 290 km. Sehinggalah tiba di penghujung jalan simpang tiga, ada pilihan belok kiri untuk ke Pasir Puteh/Kota Bharu dan belok kanan untuk ke Jerteh/Kuala Terengganu. Kami membelok ke kanan untuk ke Besut.

Saya kongsikan beberapa foto di laluan Lebuhraya Timur Barat :

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Kupang, Kedah
Pemandangan indah hijau alam dilatari langit biru dan awan putih. Laluan yang berliku selalunya menyajikan keindahan alam yang mempesona.

Semi Terowong Lebuh Raya Timur Barat
Semi terowong di Gerik, Perak
Kita akan melalui dua buah binaan semi terowong (rockshed). Seingat kami, dulu cuma ada satu saja semi terowong di laluan ini. Nampaknya sekarang dah ada dua semi terowong. Boleh tonton video di hujung entri ini untuk ‘merasai’ pengalaman melalui semi terowong.

Apa tujuan binaan semi terowong begini? Tujuannya untuk melindungi jalan raya dari runtuhan tanah bukit (sebelah kanan dalam gambar). Jadinya kalaupun terjadi tanah runtuh, tidaklah terputus laluan penting ni.
 
Jambatan Tasik Temenggor Lebuh Raya Timur Barat
Jambatan Tasik Temenggor di Gerik, Perak
Satu lagi keunikan di laluan Timur-Barat ini - terdapat dua buah jambatan yang merentasi Tasik Temenggor di mana terdapat sebuah pulau kecil di sini, iaitu Pulau Banding.

Maksudnya, jambatan ini menjadi penghubung di antara tanah besar-pulau-tanah besar. Tapi kami tak perasan pun sedang masuk-keluar pulau! Kecuali jika kita lihat peta, barulah jelas mana tanah besar dan mana pulau.

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Jeli, Kelantan
Perjalanan yang mempesona buat saya kerana disajikan pemandangan hutan dan perbukitan di kanan kiri jalan. Maklumlah, laluan Timur-Barat ini merentasi Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa. Jadi memang puaslah saya menikmati keindahan hutan dan merasai udara yang nyaman sewaktu menurunkan tingkap kereta.

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Jeli, Kelantan
Sepanjang perjalanan, kami melalui empat lokasi yang terdapat sekatan jalan raya termasuk satu daripadanya tidak ada pihak berkuasa yang bertugas. Dalam gambar ni merupakan lokasi sekatan jalan raya yang terakhir.

Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di Besut, Terengganu sekitar pukul 2.50 petang. Jumlah masa perjalanan kami adalah sekitar 7 jam 30 minit dengan jarak sejauh 341 km, termasuk berhenti di beberapa tempat untuk makan atau sekadar melihat-melihat.

Kami singgah di dua tempat yang saya rasa menarik di laluan Lebuh Raya Timur Barat, iaitu Hentian Royal Belum dan R&R Amiza Titiwangsa. Menarik kerana pemandangannya, boleh lihat dalam video di hujung entri ini. Catatannya InsyaAllah pada entri akan datang. 


Info & Panduan

Sedikit info/panduan bagi kalian yang belum pernah melalui Lebuhraya Timur Barat :
  • Walaupun laluan ini dipanggil ‘lebuh raya’, ianya bukanlah seperti Lebuhraya Utara Selatan di mana kita perlu bayar tol dan terdapat banyak hentian rehat. Di Lebuhraya Timur Barat, tiada tol dan tiada hentian rehat dengan kemudahan tandas percuma.
  • Terdapat dua tempat hentian untuk kita berhenti rehat, makan, solat dan ke tandas iaitu di Hentian Royal Belum dan R&R Amiza Titiwangsa. Kedua-duanya terletak di Gerik, Perak. Bayaran sebanyak 50 sen dikenakan untuk menggunakan tandas.
  • Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan kerana ada tempat yang tiada liputan talian telefon 🚫, ini menyukarkan untuk kita mendapatkan bantuan.
  • Pastikan minyak diisi penuh sebelum melalui jalan ini kerana tiada stesen minyak di tengah hutan (Gerik-Jeli).
  • Laluan ini juga merupakan laluan gajah. Terdapat beberapa papan notis memaklumkan tindakan yang perlu kita lakukan sekiranya tiba-tiba gajah memunculkan diri. Antaranya - jangan buat sebarang perlakuan yang menarik perhatian gajah seperti membunyikan hon, menyalakan lampu kenderaan atau datang dekat untuk merakam foto.

Ada lagi yang lain? Boleh tambah di ruangan komen. Berkenaan keadaan jalan raya pula, bagi pendapat kami jalan di laluan ini berada pada keadaaan yang baik. Cuma ada beberapa tempat laluan memotong (dua lorong) yang tiada papan tanda bermula/berakhirnya dua lorong, agak bahaya bila tengah memotong  tiba-tiba jadi satu lorong. Seperkara lagi, kita perlu berhati-hati kerana ada tempat yang bahu jalannya mendap/runtuh. Maklumlah, kita sedang melalui perbukitan memang sentiasa ada risiko begitu.



Video berdurasi 01:23 minit memaparkan perjalanan di laluan Lebuhraya Timur Barat.