Sunday, 9 July 2023

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand

Noursabah Boutique Bed Bangkok - hotel penginapan kami untuk dua malam pertama di Bangkok. Sebuah hotel milik Muslim yang terletak di lorong kawasan penempatan komuniti Cina dan Muslim Thai.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Bangunan hotel setinggi 6 tingkat tersergam di antara deretan bangunan rumah dan premis perniagaan.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Kabinet kasut.
Nak masuk hotel, kita kena buka kasut di luar. Lepas mendaftar masuk, letak kasut di rak tersedia mengikut nombor bilik kita. Dalam setiap rak ada disediakan dua pasang selipar untuk kita pakai dalam hotel.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Cantik dan menarik dekorasi di lobi hotel. Bagi yang nak merokok, pihak hotel menyediakan set kerusi meja di balkoni. Alat penimbang juga turut disediakan, mudahlah kita nak timbang beg untuk dibawa naik pesawat.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Sudut pandang dari balkoni di lobi hotel.


BILIK CANTIK DAN SELESA!

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Sudut pandang dari pintu lif.
Bilik kami terletak di aras 4 (bilik sebelah kiri berhampiran papan seterika itulah bilik kami). Yeay…ada seterika! Ikutkan memanglah nak bawa semua pakaian jenis tak perlu seterika, tapi tak cukup pulak. Terpaksa bawa beberapa helai baju dan tudung yang perlu diseterika. Encik Suami tolong bawa masuk/keluar bilik set seterika ni setiap kali saya nak menggosok pakaian, sebab kami tak nampak pulak soket di luar.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Setiap bilik bukan saja ada nombor bilik, malah ada nama bilik. Tak taulah ambil sempena nama apa.

Foto selipar | Inilah dua pasang selipar yang diambil dari rak kasut tadi. Satu saiz besar dan satu saiz kecil sedikit, sesuai untuk kami berdua.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Inilah bilik penginapan kami - Grand Deluxe City View. Alhamdulillah dapat bilik cantik dan sangat selesa 😍. Cantik lantainya. Tilamnya pula empuk selesa!

Saya suka bilik ini sebab ada tingkap dan sliding door yang boleh dibuka. Walaupun pada kebanyakkan masa saya tak bukak pun tingkap dan pintu tu, tapi saya rasa seronok macam duduk bilik di rumah. Tingkap di bahagian kepala katil tu kalau buka, terus nampak dinding bangunan sebelah sebab kedudukan bangunan di sini rapat-rapat. Kalau buka sliding door tu pulak kita akan nampak bangunan rumah-rumah. Juga terdapat ruang balkoni kecil dengan ampaian boleh alih. Mudahlah kot nak menyidai apa-apa.

Satu lagi kelainan pada hotel ini, bilik hotel dilengkapi dengan air purifier. Memang terbaik!

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Lengkap semuanya. Peti sejuk mini dan panduan arah kiblat pun ada.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Sinki terletak di luar bilik air. Terdapat sebuah tingkap di sini, jenis tolak di bawah. Jadinya kalau kita buka untuk pengudaraan, tidaklah orang bangunan sebelah boleh nampak kita.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Bilik airnya tak luas, tapi masih selesa dan tak terasa sempit. Cantik jubinnya!

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Foto atas kiri | Biasanya pihak hotel sediakan satu saja sanitary bag bagi setiap hari. Tapi di sini siap digantung banyak begini. Sangat memahami dan memudahkan urusan orang perempuan. Ini antara hal-hal kecil yang memberi nilai tambah pada pengalaman penginapan saya di sini.

Foto bawah kiri | Sabun mandi dan syampu aromaterapi. Sedap baunya.

Foto kanan | Saya berkenan dengan rekaan tingkap dalam bilik air ni. Tingkapnya besar, bagus untuk pengudaraan. Jenis tolak dari bawah untuk lebih privasi. Dipasang pula tingkap berjaring (boleh buka) untuk mengelakkan serangga masuk. Dan dilengkapi pula dengan bidai jenis ‘blackout’, kalau waktu malam kita buka lampu bolehlah turunkan bidai tu.


RUANG PANTRI 24 JAM
Seronoknya menginap di sini, pihak hotel menyediakan ruang pantri yang boleh kita gunakan 24 jam. Tapi kena layan dirilah ya. Ala-ala duduk rumah sendiri, nak makan minum pergilah ke dapur dan sediakan makan minum sendiri.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Lengkap dengan peralatan makan minum, mesin kopi, cerek elektrik, microwave, pembakar roti. Tak banyak pun makanan tersedia semasa kami menginap di sini, cuma ada mi segera, yogurt dan pilihan minuman (kopi, teh, coklat, susu). Tapi ini pun dah cukup bersyukur, bila-bila rasa lapar atau nak ngopi boleh ke sini. Nak duduk makan makanan yang dibeli dari luar pun boleh. Sebab di lorong depan hotel ni memang banyak jualan makanan jalanan (street food) yang halal.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Pilihan cereal (oats dan cornflakes), roti putih, jem, butter dan madu disediakan pada waktu sarapan bermula pukul 6 pagi. Walaupun cuma sarapan ringkas, tapi ianya sangat membantu kami alas perut sebelum keluar ke mana-mana. 

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Tak banyak set meja kerusi tersedia, cuma ada 8 buah kerusi. Tapi sepanjang dua hari kami makan di sini, tak pernah lagi ruangan ni penuh. Biasanya hanya saya dan Encik Suami, ada sekali je satu keluarga makan bersama. Mungkin sebab bilik penginapan di hotel ni tak banyak dan kami menginap bukan pada hari hujung minggu, selain terdapat banyak pilihan makanan di luar.

Noursabah Boutique Bed Bangkok, Ratchathewi, Bangkok, Thailand
Foto bahagian luar pantri, dipisahkan dengan sliding door. Dekorasi ringkas tumbuhan hijau yang sedap mata memandang. Di sudut ini juga kita dapat melihat dengan jelas kedudukan bangunan yang dibina rapat-rapat di sini. Walaupun rapat begini, tak kedengaran pun bunyi riuh atau bising. Suasana tenang je.

**********

Secara keseluruhannya, Alhamdulillah kami sangat berpuas hati selama menginap di sini pada 28 - 30 Jun 2023 lalu. Tak ada sebarang pengalaman tak seronok (harapnya kekal begitu jika kami berpeluang datang lagi).

Bilik penginapan yang cantik, bersih, selesa dan lengkap dengan kemudahan. Layanan baik staf (kami dilayan oleh 3 orang staf kaunter yang berbeza), semuanya mesra dan sentiasa membantu kami. Saya rasa selesa seperti berada di rumah sendiri - tak pakai kasut, boleh melepak di pantri bila-bila masa dan suasana tenang. Faktor lain kenapa saya suka menginap di sini :
  • Lokasi strategik dengan stesen tren - 550 meter ke stesen BTS Phaya Thai (stesen pertukaran ARL) dan 500 meter ke stesen BTS Ratchathewi. Setiap hari kami berjalan kaki melalui celahan lorong kecil rumah penduduk untuk ke stesen Phaya Thai, tak pernah lagi ke stesen Ratchathewi. *BTS - Bangkok Skytrain, ARL - Airport Rail Link.
  • Dekat dengan Masjid Darul Aman, iaitu di lorong yang sama dengan bangunan hotel. Jarak cuma 180 meter, sesuailah dengan tujuan kedatangan kami kali ini nak melihat sendiri kehidupan komuniti Muslim Thai di Bangkok. Dapatlah Encik Suami pengalaman menunaikan solat bersama komuniti Muslim di sini.
  • Terdapat banyak pilihan makanan halal di sepanjang lorong hotel dan kawasan berhampiran. Ada kedai makan dan jualan street food (lebih meriah pada waktu malam). Kedai makan halal paling dekat - Asma Kitchen, terletak berhadapan dengan bangunan hotel.
  • Terdapat dua buah kedai 7-Elevan di lorong hotel. Sangat memudahkan bagi kami membeli kudapan dan bekalan berjalan (kekacang dan minuman).
  • Merasai ‘local vibes’ sebab hotel terletak di kawasan penempatan penduduk. Kita dapat menyaksikan kehidupan harian penduduk, rumah kediaman mereka dan merasa makanan jalanan tempatan. Ianya sesuatu yang menarik bagi saya.
  • Lorong yang tidak sibuk, bersih dan suasana tenang walaupun penempatan padat penduduk.

Menurut saya, ianya pengalaman penginapan yang berbaloi dengan bayaran sebanyak RM307.82 untuk dua malam. Kalau kalian nak ke Bangkok dan mahukan penginapan dengan ciri-ciri di atas, bolehlah cuba menginap di sini. Kami buat tempahan bilik di Agoda, atau kalian boleh juga buat tempahan di laman web rasmi mereka www.noursabahbangkok.com.


————————————————————————-

NOURSABAH BOUTIQUE BED BANGKOK
164, Phetchaburi 7 Alley,
Ratchathewi, Bangkok, 10400,
Thailand.






.

22 comments:

  1. Nah cakeeep pan hotelnya..kamar mandinya imut tapi cakep yaa..suka liatnya.... ruangan hotel juga tampak rapi dan bersih,cantik jugak, lokasi juga strategis.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..cantik hotelnya.. berpatutan sgt dgn harganya...

    ReplyDelete
  3. Deko dan ambient hotel nampak macam di rumah kan...Dengan kena simpan kasutnya... Pastinya meninggalkan memori yg unik utk puan suami isteri.

    ReplyDelete
  4. Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah jubin bilik hotel dan bilik air hotel yang cantik. Terus terasa nak tukar jubin kat bilik air rumah ni jugak hehe. Boleh la simpan buat rujukan kalau ada rezeki ke Bangkok Insha Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama la kita Carneyz, akak pun dok berangan pasang jubin cantik gini kat bilik air rumah 😁

      Delete
  5. Cantik betul ya hotel ni...lantai dia nampak macam antik dan klasik gitu...bersih pon ya

    ReplyDelete
  6. Cantik hotelnya..pernah sampai di masjid ni masa travel di bangkok dulu..

    ReplyDelete
  7. cantik nya deco..ni yg rasa tgh bercuti kan..

    ReplyDelete
  8. Berdasarkan harganya, ternyata sangat berbaloi. Biliknya cantik, sy belum pernah menginap di mana2 hotel bilik elegan macam ni.

    ReplyDelete
  9. Betul macam di rumah sebab letak kasut di lokar yang disediakan.
    Tempat strategik dan murah harga penginapan.

    ReplyDelete
  10. Wow! Katil dia! Macam nak honeymoon!

    ReplyDelete
  11. Wah.. unik betul hotelnya.. Cantik pula tu.. memang menarik sungguh konsepnya..

    ReplyDelete
  12. Pandai Ujie cari hotel. Harga yang sangat berpatutan, dengan kemudahan hotel dan bilik yang cantik dan selesa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rezeki dapat bilik bagus sama macam review, tapi…lagi satu hotel yang saya cari untuk dua malam seterusnya tu sangat sendu 😅

      Delete
  13. Cantik nya hotel, harga pun reasonable sungguh. Lokasi pun bagus.

    ReplyDelete
  14. Bilik tu dah level2 honeymoon dah tu huhuu cantik sangat2..

    ReplyDelete
  15. cantik betul design hotelnya kak, cantik kemasannya terutama dalam bilik dan bilik air tu. Jubin dalam bilik air tu pun cantik la, siap ada pantri 24jam lagi memang best, walaupun ringkas tapi tetap menarik dan selesa nampaknya

    ReplyDelete
  16. mula-mula tengok kabinet kasut dah terdetik dalam hati tak macam hotel dekorasi macam di rumah...nampak selesa ala-ala rumah sendiri

    ReplyDelete
  17. serius cantik dan selesa... br pernah jumpa hotel yg perlu bukak kasut mcm ni

    ReplyDelete
  18. Nampak mewah hotelnya. Banyak perkara baharu dan berbeza saya temui di sini terutama yang kena buka kasut. Jadi, lantainya bersih dan tidak rasa was-was untuk solat.

    ReplyDelete
  19. Tengok bangunan dari luar pun saya dah tertarik kak. Bilik dia lagilah cantik. wow! Saya suka ID macam ni dengan cat warna putih. Terang dan ceria. Suka juga dengan tiles style morrocan. Kena simpan nama hotel ni. Kot terpergi sana ke kan. Why not menginap di sini. Boleh rujukan untuk ID rumah pun boleh ni.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****