Thursday 25 April 2019

Tenom | Hotel Tenom, Taman Pertanian Sabah & Pasar Malam Tenom

(Catatan terdahulu : Trip Keretapi Tenom | Sebuah Perjalanan Unik)

Ahad | 07.04.2019

Masih di hari yang sama (hari kedua di Sabah), iaitu hari kami melakukan perjalanan menaiki keretapi lama dari Beaufort ke Tenom.

pekan tenom
Inilah rupa pekan Tenom yang saya lihat sebaik melangkah kaki keluar dari Stesen Keretapi Tenom. Di hadapan stesen ini ada padang. Di tepi padang ada perhentian bas mini (van), perhentian teksi (termasuk kereta sapu) dan kaunter tiket bas ekspress Tung Ma untuk ke Kota Kinabalu (KK). Di sebelah kiri stesen ada tandas awam. Kedai warna merah tu pula kedai makan Asiarasa (tidak beroperasi masa kami sampai). Pendek kata, semua kemudahan cukup dekat.

Kalau korang tak mau bermalam di sini dan nak balik ke KK dengan lebih cepat, boleh terus beli tiket bas ekspress untuk trip petang. Sementara tunggu petang, boleh berjalan kaki ronda pekan ni. Dengan berjalan kaki sahaja pun dah boleh ke Bulatan Kopi Tenom, Muzium Tenom, Tamu Tenom. Gunakan apps Google Maps untuk lebih mudah.


HOTEL TENOM
Dengan berjalan kaki, kami menuju ke penginapan di Hotel Tenom yang telah saya tempah awal. Memang sangat dekat dengan stesen keretapi.

hotel tenom
Hotel kat atas. Bawahnya tu kedai makan Muslim. Hotel bajet rendah yang bersih dan cantik. Tengoklah tangga dia tu, ceria je. Cuma kurang pencahayaan, suram.

Sampai kat kaunter, tengok macam gelap dan senyap je. Tapi tak lama kemudian muncul seorang lelaki menyapa kami dan buka kipas supaya kami tak panas katanya. Peramah orangnya, kami berbual ringkas. Selesai urusan check-in, kami diberi kunci bilik dan dua helai tuala. Katanya, "Baru sampai naik keretapi kan? Pergi la masuk bilik rehat rehat bukak aircond. Lepas tu makan kat bawah." Ehee..rasa macam datang bertamu kat rumah sedara pulak tau. Pastu siap pesan naik tangga hati-hati (bilik kami tingkat atas lagi). Baik betul melayan.

penginapan bajet di tenom
Alhamdulillah...dengan hanya RM70 dapat bilik yang selesa! Agak luas dan bersih. Biarlah gambar di atas berbicara. Tidur malam pun lena je, takde gangguan bunyi. Kalau nak bermalam kat Tenom bolehlah duduk hotel ni ya. Recommended! Ada deposit RM30. Hotel ni takde di Agoda, Booking.Com semua tu tau...perlu call sendiri nombor berikut :

Hotel Tenom - 016 811 0485
-------------------------------------------------------------

TAMAN PERTANIAN SABAH
Lepas berehat dan solat jamak, kami turun makan di kedai makan bawah hotel. Kemudian ke destinasi seterusnya - Taman Pertanian Sabah. Kat sini takde servis Grab, jadinya untuk lebih mudah kami memilih menaiki teksi untuk ke Taman Pertanian Sabah.

Jalan kaki ke stesen teksi, dekati orang yang berkumpul ramai, nanti dia tanya kita nak ke mana. Caj RM25 satu teksi, saya mintak kurang sikit sebab rasa macam mahal la pulak. Dapat RM22. Kami setuju jelah, dah petang nanti tutup pulak taman tu. Gitulah..kalau jalan cuma berdua, kos meningkat untuk naik teksi sebab kira satu teksi. Kalau masih banyak masa, boleh cuba naik bas mini (van) yang jauh lebih murah.

Teksi yang kami naiki adalah kereta sapu, tapi berada bersama di stesen teksi. Menurut pemandu kereta sapu yang kami naiki, mereka ada persefahaman supaya caj mesti sama. Tak boleh rendah dari teksi, kira sama-sama cari makan secara adil. Berkenaan Grab, tahun lepas mereka ada buat permohonan tapi telah ditolak oleh pihak Grab. Dan macam-macam hal lain kami bualkan sepanjang perjalanan kira-kira 14 km ke Taman Pertanian Sabah.

taman pertanian sabah
Tiba di Taman Pertanian Sabah. Dah lepas pukul 2 petang, lengang je. Orang tak berjalan sini petang hari kot...panas! Tapi kami terpaksa sebab esok (Isnin) taman ni tutup. Ini antara sebab utama kenapa kami naik keretapi ke Tenom trip pagi, sebab nak berkejar ke sini.

Info ringkas : Taman Pertanian Sabah seluas 200 hektar merupakan sebuah 'Taman Ilmu' yang menawarkan pendidikan dan rekreasi. Dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Sabah. Telah dirasmikan oleh Dr. Mahathir bin Mohamad (Perdana Menteri pada masa tersebut) pada 25 Mac 2001. Terdapat banyak taman/tasik/tempat menarik di dalam taman ini. Pengunjung juga boleh menyewa asrama, chalet, tapak perkhemahan, restoran dan dewan serbaguna yang terdapat di sini.

harga tiket dan waktu operasi taman pertanian sabah
Waktu operasi dan bayaran masuk. Isnin tutup.

tiket taman pertanian sabah tenom
Bayaran masuk untuk warganegara (dewasa) - RM10
Masa beli tiket, saya tanya ada pengunjung lain tak? Rupanya...memang takde kecuali kami berdua untuk sesi petang ni. Sesi pagi agak ramai juga pengunjung. Staf tu tanya kami juga ada kenderaan balik tak? Sebab sini takde kenderaan awam masuk. Untuk balik, kami akan call pemandu kereta sapu tadi.

taman pertanian sabah lagud sebrang
Kawasan ni luas tau. Ada pamphlet diberi masa beli tiket tadi. Boleh jalan kaki atau sewa basikal ronda taman ni ikut peta diberi dalam pamphlet. Ikut info saya dapat, kita boleh juga naik tram percuma. Memang ada tram pun kat tepi ni. Tapi tadi takde pulak sebut pasal naik tram. Saya pun buat-buat tanya dengan seorang staf yang ada berhampiran, "Nak mula jalan ikut mana ya?". Jawabnya "Kalau nak naik tram tunggu lagi 15 minit". Alhamdulillah...dah tentu kami pilih naik tram!

free ride tram taman pertanian sabah
Pagi tadi naik gerabak keretapi, petang naik gerabak tram pulak. Boleh la perasan VIP jap, sebab naik tram dua gerabak tapi penumpang cuma dua orang! Segan jugak sebenarnya, sambil berharap ada la pengunjung lain ikut sama.

tram taman pertanian sabah
Jom ronda taman! Selain pemandu tram, ada guide bersama kami. Dan...selain kami, dah ada dua pengunjung lain. Sedang elok tram nak bergerak, dua orang wanita tempatan ikut serta. Lega saya...meriahlah sikit kan.

cannonball di taman pertanian sabah
Tram berhenti untuk ke Taman Orkid. Tapi saya tertarik dengan pokok ini. Terdapat banyak di sepanjang jalan ini. Ada yang penuh buah begini, ada yang penuh bunga. Baunya kuat seakan bau buah Kemang. Saya kata sedap baunya. Terus guide kerut dahi, entah busuk pada dia atau apa. Haha..

cannonball tenom
Nama pokok pelik ni Cannonball (nama saintifik Couroupita Guianensis). Berasal dari Brazil. Buahnya beracun, sebab tu orang tak ambil dan terbiar banyak begitu sahaja. Boleh pegang buah yang masih tergantung dipokok. Tapi dilarang pegang yang dah jatuh pecah kat bawah tu, sebab racun ada pada isi buah. Ia mempunyai bunga yang cantik.

taman orkid taman pertanian sabah
Ok, kita teruskan perjalanan ke Taman Orkid. Nampak pokok orkid besar atas pintu gerbang tu? Dikenali sebagai Orkid Harimau, orkid paling besar di Sabah. Masa guide bagitau tu, saya dan suami dah senyum-senyum. Sebab pokok orkid tu ada kat rumah mak suami (mertua saya). Boleh baca di SINI

lawatan taman orkid
Guide membawa kami berempat melawat dalam Taman Orkid sambil memberi penerangan tentang pokok-pokok yang ada di situ. Seronok dapat banyak pengetahuan baru mengenai orkid. Dalam kawasan ni pun ada tandas, mudah la kot ada keperluan kan.

orkid taman pertanian sabah
Antara yang menarik perhatian...bunga orkid paling kecil di Sabah dan bunga orkid purple yang berbau wangi lembut, sedap baunya! Yang kuning tu lupa kenapa..sebab cantik kot.

lawatan ke taman model taman pertanian sabah
Dari Taman Orkid, kami naik tram semula dan masuk ke Taman Model. Taman ini menyediakan 5 jenis model taman untuk idea pengunjung mewujudkan taman sendiri. Sepanjang lawatan ni selain memberi penerangan mengenai pokok, guide juga beri kita petik buah yang boleh dimakan. Kami juga berbual-bual mengenai perbezaan nama/kegunaan satu-satu pokok di Semenanjung dengan di Sabah. Contohnya buah pala, di Sabah mereka ambil biji untuk masakan sup dan kita di Semenanjung makan buahnya yang dijadikan jeruk. Seronok bertukar-tukar cerita!

sekitar taman model taman pertanian sabah
Atas : antara model taman yang ada.
Bawah : pokok bunga warna biru purple yang berbulu halus, boleh 'melekat' di baju material cotton. Dan biji teratai yang dah kering, memang bukan benda pelik tapi saya tak pernah pegang/tengok dekat.

taman evolusi taman pertanian sabah
Taman terakhir dalam lawatan kami - Taman Evolusi. Dari Taman Model, kami berjalan kaki ke Taman Evolusi. 

dinosaur di taman evolusi
Jaga-jaga...ada dinosaur dalam Taman Evolusi ni!

teratai gergasi taman pertanian sabah
Teratai Gergasi! Geram je tengok, rasa nak naik atas tu. Menurut guide, teratai paling besar yang ada di taman ini boleh menampung sehingga 30 kg dan pernah dinaiki oleh seorang budak. Tapi bukan teratai yang ada di hadapan mata saya sekarang ni.

teratai gergasi
Ada bunga dan kudup bunga di tengah-tengah tu.

teratai gergasi berduri
Bahagian bawah yang berduri tajam. Perlu berhati-hati jika nak cuba pegang.

Yang biji merah tu masa kecik ada buat main, bijinya jika dipegang menghasilkan warna merah macam darah.

Ok, lawatan kami berakhir sudah. Naik tram dan kembali ke Balai Ketibaan. Lawatan ini mengambil masa kira-kira 1 jam untuk ke tiga buah taman. Kalau nak ke taman/tempat menarik lain, kena la sambung jalan sendiri. Seronok dan berpuashati datang sini. Mana tak seronok...kami pengunjung cuma empat orang dengan seorang guide, mudah nak berkomunikasi. Staf-staf di sini pun mesra melayan.

-----------------------------------------------------------

PASAR MALAM TENOM
Dari Taman Pertanian Sabah, kami ke Pasar Malam Tenom. Terletak di sekitar kawasan stesen bas/teksi, di hadapan Stesen Keretapi Tenom.

Hari : setiap hari
Masa : 4 petang - 8 malam

pasar malam tenom sabah
Kami beli sayap (kepak ayam) dan buntut (tongkeng). Juga beli pisang goreng. Bila dah balik bilik baru makan...sedap semuanya! Rasa tak cukup sayap tu, tapi malas pulak nak keluar lagi.

Malamnya kami hanya berehat di bilik dan tidur awal, simpan tenaga untuk aktiviti esok hari pulak.


Catatan seterusnya - Tenom | Pagi di Tenom, Kopi Yit Foh, Muzium Antanom

Tuesday 23 April 2019

Trip Keretapi Tenom | Sebuah Perjalanan Unik

(Catatan terdahulu : Trip Keretapi Tenom | Dari Kinarut ke Beaufort)

Ahad | 07.04.2019

Pagi Di Beaufort
Seawal pukul 6.30 pagi, kami keluar dari hotel untuk mencari sarapan. Perlu makan dulu sebab nanti akan melalui perjalanan dengan masa yang panjang. Malangnya beberapa kedai makan yang ada disekitar, masih belum beroperasi. Kami akhirnya masuk ke sebuah kedai bakeri Muslim - Ikhtiar Bakery yang terletak berhadapan dengan Hotel River Park. Beli roti untuk sarapan dan juga sebotol air mineral 1.5 liter sebagai bekalan. Menurut orang di kedai bakeri tersebut, kedai makan di situ beroperasi pukul 8 pagi nanti. Memang tak sempatlah!

Balik bilik, makan roti, bersiap-siap dan kemudian check-out. Pukul 7.30 pagi kami berjalan kaki ke Stesen Keretapi Beaufort. Dah agak terlewat sebenarnya, tapi masih sempat snap gambar sana sini. Sebab tadi malam sampai sini dah gelap, tak nampak rupa sebenar pekan Beaufort.

jambatan beaufort
Melalui Jambatan Beaufort.

sungai padas jambatan beaufort
Pemandangan sungai Padas dan bukit-bukau yang mendamaikan. Kalau korang nak penginapan yang selesa dan menghadap sungai, bolehlah menginap di Hotel River Park tu.

replika buah limau
Lepas dari jambatan, terdapat replika 3 biji buah limau di roundabout pekan ini. Merupakan identiti Beaufort. 

Masa lalu sini malam tadi memang dah tertarik kat bangunan usang ni. Apa yang menarik? Ermm...sebab rupa bangunan macam zaman dulu dulu pulak, siap ada kedai dengan signboard lama bertulis 'Keriting Rambut Salmah'. Sesuai sangat untuk shooting setting tahun 60 an kot.


Stesen Keretapi Beaufort

stesen keretapi beaufort
Sampai jua ke stesen...

kaunter tiket stesen keretapi beaufort
Cuak sekejap...sebab tengok dalam stesen dah lengang. Keretapi dah ada kat luar tu. Mujur tak terlambat, cuma kurang cepat. Fuh!

jadual perjalanan keretapi sabah
Jadual perkhidmatan keretapi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) atau boleh rujuk Facebook ‘Jabatan Keretapi Negeri Sabah’ untuk info terkini perkhidmatan keretapi Sabah. Setiap hari ada dua trip sahaja untuk ke Tenom - pagi dan petang. Trip pagi sama je tiap hari, trip petang je beza sikit ikut hari. Kalau terlepas trip pukul 7.50 pagi, menunggulah kau trip petang ya. Huhu.. Tips : Naik trip pagi untuk mengelakkan bahang mentari petang dan kesesakan.

Beaufort - Tenom
Harga tiket : RM2.75

------------------------------------------------------------------------
Bermulanya Sebuah Perjalanan Unik

keretapi dari beaufort ke tenom
Orang semua dah masuk keretapi. Sebab tu la lengang dalam stesen. Kat sini kita ada pilihan samada nak naik gerabak baru (ada air cond), atau gerabak lama. Gerabak lama yang saya naik ni lah, dan gerabak baru yang kat depan tu. Berbeza rupa. Sebenarnya, saya pun tak tau ada dua jenis gerabak. Bila dah masuk, berborak dengan penumpang lain barulah tau. Tapi...saya memang nak naik yang lama pun. Hehe..

gerabak keretapi dari beaufort ke tenom
Inilah rupa ruang dalam gerabak penumpang yang kami naiki. Tak penuh, mungkin sebab pagi Ahad. Kedudukan kerusinya saling berhadapan. Ada kipas, tapi nampaknya tak berfungsi. Tips : Sila dapatkan tempat duduk sebelah kanan kalau nak tengok pemandangan sungai Padas. Tapi kami tak dapat pun..haha!

gerabak keretapi dari beaufort
Kami duduk di kerusi penghujung gerabak ini, dekat dengan sambungan gerabak baru. Kat sambungan begini ada pintu yang terbuka, taklah panas. Disebabkan tak dapat duduk kerusi kanan gerabak, tapi dapat duduk kat pintu begini...dapatlah jugak nampak pemandangan sebelah kanan.

sekolah kebangsaan biah
Sempat snap gambar Sek. Keb. Biah Batu 65, Beaufort. Info yang saya dapat, laluan utama untuk ke sekolah ini hanya keretapi dan bot. Memang tak nampak jalan raya pun.

perhentian keretapi
Selain berhenti di stesen kecil (Saliwangan-Halogilat-Rayoh-Pangi), keretapi juga akan berhenti di perhentian begini. Macam bus stop, tapi ni untuk keretapi. Dan kadang-kadang ada yang menunggu di tepi tanpa perhentian begini. Penumpang sentiasa turun naik. Paling best saya nampak, keretapi berhenti dan seseorang turun dari keretapi terus menuju masuk ke rumahnya. Kiranya keretapi ni jadi macam bas jika di tempat kita. Orang sentiasa turun naik.

gerabak keretapi beaufort tenom
8.30 pagi - tiba-tiba...keretapi berhenti di satu stesen dan semua orang turun. Kosong. Yang kelakarnya, kebetulan orang orang yang naik satu ruangan dengan kami tadi bukan penduduk tempatan (walaupun ada orang Sabah, tapi pertama kali naik). Maka terpinga-pingalah kami. 'Eh, kena turun ke?' Dah kosong gini tak kan nak tunggu, turunlah jugak kan. Haha!

stesen kecil halogilat
Mendengar penjelasan oleh staf JKNS. Ini adalah stesen kecil Halogilat, stesen pertukaran keretapi bagi penumpang yang nak ke Tenom. Yang tadi kami naik tu akan berpatah balik ke Beaufort. Dan kami akan naik gerabak lain yang lebih pendek. Hanya ada dua gerabak - untuk penumpang dan barang. (Selepas itu baru saya tahu bahawa hanya gerabak bersesuaian boleh digunakan untuk laluan Halogilat-Tenom, disebabkan faktor bentuk muka buminya.)

penjual di stesen kecil halogilat
Sementara menunggu tu kalau terasa haus dan lapar, bolehlah membeli dari penjual ni.

suasana di stesen kecil halogilat
Ramai jugak yang menunggu. Masa nilah para pelancong ambil kesempatan bergambar sana sini dengan gerabak yang ada, termasuklah saya! Pelancong asing - orang putih dan cina (Taiwan) pun agak ramai, mereka nak melakukan aktiviti Water Rafting. Masa ni terasa penantian itu satu penyeksaan sebab dah panas dek panahan mentari pagi.

kepala gerabak keretapi lama ke tenom
Setelah menunggu kira-kira 30 minit, gerabak keretapi kami pun tiba. Klasik sangat rupa dia kan! Terasa macam bukan di Malaysia pun ada, sebab tak percaya masih ada gerabak begini. Tapi inilah yang ada di hadapan mata saya.

Kepala keretapi ini kemudiannya buat u-turn dan bercantum dengan badan gerabak untuk menghala ke Tenom. Tips : Untuk laluan Halogilat-Tenom, wajib dapatkan tempat di sebelah kanan untuk menikmati keindahan sungai Padas dan pemandangan bukit bukau. Di laluan ini pemandangannya lebih menarik! 

gerabak penumpang ke tenom
Inilah gerabak penumpang - terbahagi dua ruangan. Saya cuma mampu mengintai melalui pintu penghubung antara gerabak penumpang dan gerabak barang.

gerabak barang ke tenom
Kami berada di gerabak kedua, iaitu gerabak barang. Ada tiga ruangan di gerabak barang - dua ruangan ada 4 buah kerusi dan satu ruangan lagi lapang sepenuhnya. Kami berada di ruangan dengan 4 buah kerusi.

Kami tak dapat pun duduk di kerusi tersebut, jadinya saya duduk je di lantai gerabak dan suami memilih untuk berdiri. Saya tak berani nak berdiri sebab keretapi bergoyang agak kuat, tak stabil. Yang penting...kami dapat sebelah kanan untuk lihat pemandangan sungai Padas. 

tiket keretapi beaufort tenom
Masa ni juga akan ada pemeriksa tiket yang datang untuk check tiket kita untuk kali ke-dua, sila bersedia. Saya tak bersedia, habis korek sana sini cari tiket. Aduhai! haha..

pemandangan sungai padas
Masa untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Inilah antara pemandangan yang dapat dilihat sepanjang perjalanan. Hijau alam...aliran sungai Padas...semuanya indah di mata saya!

sungai padas
Melayan mata dengan indah alam yang terbentang, sambil melayan gerakan keretapi yang bergoyang agak kuat.

pemandangan di laluan keretapi ke tenom
Berada pada kedudukan yang betul-betul tepi sungai! Seronok ke seram? hehe..

stesen keretapi rayoh
Kira-kira pukul 9.30 pagi - keretapi sekali lagi berhenti agak lama di Stesen Keretapi Rayoh.

gerabak barang ke tenom
Tak tau la mana pelancong asing tu pergi. Kosong. Yang tinggal ni merayau la sekitar gerabak yang tak panjang mana pun. Sambil saya merayau, mata tetap mengawasi beg kami. Suami jelah merayau sorang kat kawasan stesen.

keretapi lama ke tenom
Inilah rupa gerabak penumpang.

keretapi lama ke tenom
Dan ini pula gerabak barang yang saya naiki. Tiada tingkap, cuma ada pintu. Pintu untuk ruangan yang lapang sepenuhnya ni lebih luas. Sesuai la nak masukkan barang besar - kayak, basikal.

sekitar stesen keretapi rayoh
Pintu di ruangan kami, lebih kecil. Anjing...kat sini memang banyak anjing. Masa kat Stesen Halogilat tadi pun banyak, sibuk mengekor orang. Tapi tak garang dan tak berbunyi pun. Sopan je.

Keretapi kembali bergerak kira-kira pukul 9.45 pagi. Pelancong asing tadi dah kembali ke gerabak. Dan saya kembali menikmati perjalanan yang berbaki sekitar 1 jam je lagi.

troli kayu di rel keretapi tenom
Troli kayu - masa ni keretapi tengah bergerak perlahan sebab nak berhenti di satu perhentian, dapatlah saya snap gambar troli ni. Sedang elok bersandar pulak kat papan notis oleh JKNS...hehee. Troli ni saya nampak ada di perhentian dan depan rumah-rumah penduduk.

Apa kegunaannya? Disebabkan trip keretapi ke Tenom cuma 2 kali, selain waktu tersebut penduduk yang tinggal di sepanjang landasan menghadapi kesukaran untuk bergerak. Jadinya, troli ini digunakan untuk urusan yang mendesak. Ia juga digunakan bila keretapi tidak dapat beroperasi. Cara guna - letak atas landasan dan gunakan kayu panjang untuk tolak supaya troli bergerak. Boleh search di internet untuk video dan gambar berkaitan.

pemandangan dalam gerabak keretapi lama ke tenom
Penumpang silih berganti. Antara barangan yang dibawa.

perjalanan keretapi lama ke tenom
Penumpang cilik yang nak turun, kena melompat sebab bukan berhenti di stesen (tiada platform).

stesen keretapi tenom
Alhamdulillah...selamat tiba di Stesen Keretapi Tenom pukul 10.40 pagi. Keseluruhan perjalanan ini mengambil masa kira-kira 2 jam 45 minit.

-----------------------------------------------------
Tercapai jua hasrat saya nak merasai pengalaman menaiki keretapi lama ini. Banyak pemandangan baru dan pengalaman baru yang saya dapat. Ia meningkatkan lagi rasa syukur atas kehidupan yang saya jalani dan moga saya lebih memahami hidup orang lain. Saya anggap ini sebuah perjalanan unik, kerana tiada seumpamanya di negara kita. Juga perjalanan yang indah kerana saya asyik menatap hijau alam dan aliran sungai Padas yang kadangkala tenang kadangkala deras.

Mungkin juga ada yang berpendapat ini adalah lambang kemunduran. Tapi saya percaya pihak berkaitan lebih tahu situasi sebenar dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik.


Nak 'merasai' pengalaman menaiki keretapi lama ke Tenom? Jemput layan video amatur ni. ^_^