Sunday 30 August 2020

Koleksi Buku Kisah Perjuangan Kemerdekaan dan Kisah Sebelum Merdeka

Membaca buku-buku kisah perjuangan kemerdekaan dan kisah sebelum merdeka akan membuatkan kita lebih memahami situasi yang pernah terjadi di negara kita.

Siapa yang datang menjajah, bagaimana sukarnya kehidupan rakyat pada masa tersebut dan kisah kecekalan hati serta semangat juang individu-individu yang ingin melihat tanah air kita bebas dari penjajahan.

Koleksi buku kisah perjuangan kemerdekaan dan kisah sebelum merdeka milik saya, kecuali siri Platun Harimau (ianya kisah selepas merdeka dalam misi membebaskan negara dari saki baki komunis, tetapi masih sinonim dengan tema perjuangan kemerdekaan). 

Buku-buku ini menyedarkan saya bahawa kebebasan dan keamanan yang kita kecapi sekarang adalah sesuatu yang sangat bernilai dan bukan diperolehi dengan jalan mudah. Sekaligus membuat saya bersyukur lahir di bumi bertuah ini pada zaman selepas negara mencapai kemerdekaan.


Ulasan Buku
Ada di antara buku di atas yang saya pernah tulis ulasan mengenainya di blog ini. Boleh klik pada tajuk buku tersebut untuk membaca ulasan :

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2020 🇲🇾
Ya Allah...berkatilah tanah air kami, kurniakanlah dengan keamanan dan kemakmuran.


Friday 28 August 2020

Embun Di Hujung Daun

Satu-satunya pokok tanaman yang saya bawa dari rumah di Negeri Sembilan ke rumah sewa di Pulau Pinang - Money Plant. Itu pun saya bawa setelah beberapa kali balik sana.

Pokok-pokok lain saya dah beri kepada jiran, kecuali satu pasu besar pokok Orkid Harimau yang saya masih sayang dan tak risau tinggalkan (sebab ia jenis tanaman yang boleh hidup tanpa penjagaan rapi). Insya Allah asalkan ada air hujan bolehlah ia bertahan.

Money Plant atau nama lainnya Devil’s Ivy, Pothos. Di rumah Negeri Sembilan saya letak ia dalam tandas (gambar DI SINI), sebelum bawa pindah ke Pulau Pinang saya potong yang berjurai untuk mudah bawa. Di rumah Pulau Pinang, saya gantungkan ia pada bahagian luar tingkap dapur. Sambil membasuh pinggan di sinki, bolehlah segarkan mata melihat kehijauan 😊

Kat luar ni merupakan ruang dobi. Ada mesin basuh dan ampaian. Juga ada tingkap yang boleh dibuka luas untuk kemasukan cahaya dan aliran udara. Pokok Money Plant ni nampak lebih segar dan warna daun lebih cantik bila cukup air, cahaya dan pengudaraan.

Paling saya suka...bila tengok ada air embun di hujung daunnya. Biasanya waktu malam dah mula keluar air embun ni, sehinggalah waktu pagi. Biarpun cuma seketika, tapi tetap memberi bahagia!


*UPDATE : Nak betulkan info, air yang keluar dari daun pokok Money Plant saya ni bukanlah air embun (yang cuma berada di permukaan tumbuhan dan terjadi disebabkan udara sejuk). Tetapi ia air yang terjadi disebabkan proses gutasi - proses pengeluaran air yang berlebihan dengan cara pengeluaran titisan air pada hujung daun. Gutasi biasanya terjadi pada waktu malam. Boleh buat carian di Internet untuk penerangan lanjut. Apa pun sebab ia terjadi, titisan air di hujung daun sentiasa terlihat indah di mata saya!*


Wednesday 26 August 2020

Asap

SITUASI 1
Di sebuah kedai makan, baru nak menikmati hidangan tiba-tiba terganggu dengan asap rokok. Bila saya lihat keliling, nampak seorang lelaki muda asyik sekali menghembuskan asap berkepul! Kadang-kadang nampak macam sengaja dihembus-hembuskan ke arah dua orang perempuan muda yang duduk semeja. Mungkin kawannya.

Begitulah dari awal saya makan sehingga siap, dia masih asyik melayan rokok elektroniknya sambil mata melekat di skrin telefon. Tak makan pun.

Eh...dia ni lupa atau buat-buat lupa larangan merokok di kedai makan? 😡


SITUASI 2
Di sebuah kedai makan, berhampiran meja saya ada sekumpulan mat salih sedang riuh berborak. Dah siap makan nampaknya. Tiba-tiba bangun seorang daripada mereka, beredar dari kedai makan.

Dia berdiri di satu sudut terasing di bahagian luar kedai dan mula menghisap rokok. Selesai urusan, dia kembali semula ke meja bersama kawan-kawannya.

Entah memang sikapnya begitu, atau hasil didikan peraturan ketat di negara asal. Apa pun, ia sikap yang baik!


SITUASI 3
Di tempat parkir kenderaan Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Lebuhraya Utara Selatan, keluar seorang lelaki dari sebuah kereta mewah. Berdiri berhampiran kereta dan mula menghembuskan asap rokoknya.

Memang dia bukan merokok di kawasan larangan merokok (gerai makan, tandas, laluan berbumbung), tapi tetap juga tak beretika kerana masih berada di tempat orang ramai lalu lalang. Nak merokok jugak? Boleh cari lokasi yang agak terasing, bukan tempat laluan orang ramai.


Merokok di tempat umum

Sama seperti situasi 3, malah lebih teruk...lepas habis merokok terus dicampak puntung rokok ke lantai! Sejenis manusia yang mementingkan diri sendiri. Tak cukup dengan menjejaskan kesihatan orang lain, puntung rokok sendiri pun nak suruh orang lain buangkan!

Semuanya berbalik kepada sikap diri sendiri. Kalau memang tak mampu bebaskan diri dari merokok, teruslah merokok TAPI dengan cara yang baik. Hormati hak orang lain yang nak hidup bebas tanpa asap rokok. Sayangi kawan dan keluarga dengan cara tak menjadikan mereka perokok pasif. Buang sikap pentingkan diri!


—-...bila pemimpin pun tak mampu menghalang diri dari menghembus asap dalam DEWAN RAKYAT, masih layakkah bergelar pemimpin? Mungkin dia masih kekal sebagai Yang Berhormat, tapi rakyat sudah hilang hormat! —







Monday 24 August 2020

Agama Bukan Semberono

Tajuk : AGAMA BUKAN SEMBERONO
Penulis : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit : R Dimensi
Tahun terbit : 2017
Jumlah muka surat : 191
Harga : RM25

Buku tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) ini menyentuh pelbagai topik, tetapi dengan tema yang sama iaitu menentang kemalasan berfikir khususnya dalam perkara berkaitan agama.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, semberono bermaksud tidak hati-hati (tidak difikirkan baik-baik), sembarangan sahaja, kurang teliti. Sesuai dengan tajuk buku ini, penulis mengajak kita berfikir dengan baik dalam setiap perkara berkaitan agama dan bukannya menerima secara semberono.

Sikap kita yang malas berfikir dan menerima segalanya secara semberono inilah yang membuka ruang eksploitasi oleh golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.



Antara topik yang menarik perhatian saya di dalam buku ini  - Apabila Ceramah Motivasi Mula Merepek. Penulis menghuraikan beberapa hal berkaitan isi ceramah ahli motivasi (yang merepek) :

1. Menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan minum yang diberi. Sedangkan menurut syarak, sudah menjadi tanggungjawab suami memberikan isteri makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Perkara yang sudah menjadi tanggungjawab, tidak lagi perlu kepada memohon halal. Sebaliknya, suami yang sepatutnya memohon maaf jika gagal memenuhi tanggungjawab tersebut. Begitu juga isteri, hanya perlu memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

2. Anak tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapatan bapa yang tidak halal. Sedangkan dalam Islam, dosa hanya ditanggung oleh orang yang melakukan dosa itu saja. Bapa berdosa kerana mendapatkan sumber wang yang tidak halal, tetapi nafkah yang diberi kepada anak adalah halal diterima kerana ia kewajiban seorang bapa kepada anak.

3. Membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa pada setiap pagi akan mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan begini. Allah memberikan kita rezeki bukan disebabkan kita membaca ayat tertentu, tetapi Allah memberikan kita rezeki sesuai dengan kehendak-Nya. Bagi saya, amalan membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa memang sesuatu yang baik dan wajar dilakukan dengan ikhlas sebagai satu doa untuk insan yang kita sayang, bukan dengan niat untuk mendatangkan rezeki.

Banyak lagi topik menarik yang dihuraikan, ia membuka fikiran dan menambah kefahaman saya mengenainya. Antara topik lain yang terdapat dalam buku ini :
  • Apabila Mimpi dan Ilham Menjadi Hujah
  • Kalimah Allah : Emosi dan Realiti
  • Kebaikan Mungkin Membawa Ke Neraka
  • Antara Mencintai Tanahair dan Mencintai Penguasanya
  • Pandai Dakwah Belum Pandai Siyasah
Buku Agama Bukan Semberono ini merupakan bahan bacaan yang bagus untuk kita selaku umat Islam. Tambahan lagi di zaman kepesatan teknologi maklumat yang memudahkan segala info (termasuk yang palsu) mudah disebarkan. Buku ini membuatkan kita memahami agama dan memandu cara fikir yang betul dalam menilai sesuatu. Malas berfikir? Akibatnya kita akan terus berada dalam kejumudan dan terdedah kepada eksploitasi.

Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak. - petikan buku Agama Bukan Semberono, halaman 103






.

Wednesday 19 August 2020

Rania Beach Resort, Teluk Senangin

Cerita minggu lepas - saya dan suami ke Teluk Senangin, Lumut, Perak atas urusan kerja suami. Seperti selalunya, sudah menjadi tugas saya untuk mencari tempat bermalam. Hasil carian, saya memilih untuk menginap di sebuah resort yang baru dibuka (iaitu pada penghujung tahun 2019) - Rania Beach Resort yang juga merupakan rangkaian hotel OYO.

Pintu gerbang ke Teluk Senangin. Di sepanjang jalan terdapat banyak pilihan penginapan. Pantai terletak di sebelah kiri jalan.

Rania Beach Resort terletak di sebelah kanan jalan. Sebuah resort yang cantik dan ada keunikan tersendiri. Boleh parkir kereta di kawasan lapang sebelah bangunan resort ni atau di seberang jalan hadapan resort.

Melepasi pintu masuk resort, terdapat dua buah kolam renang di sebelah kiri. Sebelum tu, kita perlu buka kasut dan letak di rak tersedia. Kat sini tak boleh bawa kasut terus ke bilik.

Ruang makan - tak pastilah kita tamu boleh guna atau tidak, sebab masa check-in takde pulak bagitau apa-apa. Bukan untuk sarapan pagi, sebab sarapan pagi tak disediakan.

Terdapat 20 bilik penginapan yang terletak di tingkat bawah dan atas.

Bilik penginapan kami di tingkat bawah. Semua bilik memang untuk 4 orang, takde pilihan untuk kami yang cuma berdua. Sebuah bilik dengan keluasan yang memuaskan dan selesa. Kami dapat dengan harga promo RM106 di Agoda, kalau di OYO lebih mahal. Harga biasa bagi bilik di sini RM220, boleh tahan tinggi jugak harganya 😬

Semua masih dalam keadaan baik, maklum je resort ni baru beroperasi. Kecuali tv, takde siaran. Tapi lupa nak bagitau pihak resort masa check-out. Tidur malam pun tanpa gangguan bising. Lagi pulak nampaknya kami satu-satunya tamu yang menginap di sini (kami datang pada hari bekerja), memang senyap sunyi.

Satu kekurangan bilik ni, takde selak di pintu. Rasa tak selamat pulak sebab dah pernah alami kejadian orang buka pintu dari luar menggunakan kunci (di sebuah resort di Pahang). Sebagai langkah berjaga-jaga, saya letakkan beg baju di pintu. Itu jelah mampu dibuat.

Rupa bahagian tandas. Semua berfungsi dengan baik, cuma ada bau tak sedap sikit. Tak tau bau apa.

Resort ni sangat dekat dengan pantai, boleh jalan kaki je. Tapi saya tak berkesempatan jejak kaki ke pantai pun. Paginya kami menaiki kereta untuk mencari sarapan, tapi kecewa sebab semua kedai tak buka. Tempat ni nampaknya cuma ‘hidup’ pada hari hujung minggu.

Ok, secara keseluruhannya saya berpuashati menginap di sini. Tahap kebersihan pun memuaskan. Sangat sesuai untuk percutian keluarga, boleh bermain di kolam renang dan boleh bermain di pantai.


RANIA BEACH RESORT
Pantai Teluk Senangin,
Lumut, Perak.
018-367 9851

Facebook : Rania Beach Resort

Tuesday 18 August 2020

1 Juta Pertama


Tadi pagi saya screenshot statistik pageviews (PV) blog ni.
Alhamdulillah bulan ni dah mencapai PV 1 juta.
Letak kat sini untuk tujuan rekod sendiri, bukan tujuan nak riak.

Selepas 9 tahun berblog barulah dapat PV 1 juta pertama! 😄

Tak kisahlah berapa lama pun, sebab tak letak apa-apa sasaran.
Berblog sekadar untuk memenuhi minat menulis.
Untuk menyatakan pendapat secara bebas di ruangan sendiri.
Juga untuk mencatat kisah hidup untuk rujukan masa akan datang.

Terima kasih semua yang sudi berkunjung ke ruang penulisan saya ini 😊


Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak, Bayan Lepas

Jumaat | 14.08.2020

Hari Jumaat lalu, suami mesej dari tempat kerja mengajak saya makan di Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak. Balik dari kerja, suami ambil saya di rumah dan kami terus bergerak ke bahagian pulau melalui Jambatan Kedua.

Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak ni terletak di Kampung Teluk Tempoyak Kecil, Bayan Lepas. Kita akan melalui jalan yang berbukit, berliku dan agak sempit sebelum tiba di satu kawasan perkampungan. Bangunan Medan Ikan Bakar ini terletak agak tersorok dicelah rumah penduduk dan sebuah gelanggang sukan. Memang meriah dengan sorakan orang-orang yang sedang bermain di waktu petang.

Ruangan parkir ada disediakan bersebelahan bangunan, tapi tidaklah begitu luas. Kami akhirnya parkir di tepi jalan di kawasan rumah penduduk, tapi bukanlah di jalan masuk rumah orang.

Menjadi kelebihan tempat makan ni, lokasinya terletak di tepi laut. Walaupun bukanlah lautan membiru, ia tetap menyenangkan. Sambil menikmati hidangan, sambil melihat laut lepas. Dari sini juga kita boleh melihat Jambatan Kedua.

Menu pilihan kami - sotong celup tepung, mee sup, set cucur udang dan dua gelas air buah. Semuanya dari gerai jualan berbeza. Saja nak cuba macam-macam, sebab tu tak pilih menu ikan bakar. Lagi pulak dari hari tu saya dok teringin nak makan sotong celup tepung, Alhamdulillah dapat makan yang sedap di sini. Tepung rangup dan sotong lembut! Harga sepinggan tu RM10, lepas tu rasa tak cukup dan menambah sepinggan lagi 😄. Alasannya, lain kali tak datang sini lagi sebab nak mencuba tempat lain pulak. Menu yang lain tu semuanya biasa-biasa saja bagi pendapat saya, kecuali kuah kacang untuk set cucur udang tu memang sedap!

Secara keseluruhannya tempat ni memang best untuk makan-makan sebab ada pemandangan laut, tetapi ada kekurangan dari segi ruangan parkir yang terhad dan masalah paling utama - kebersihan. Walaupun baru dibuka pukul 6 petang dan kami datang awal waktu, tapi saya lihat lantai dan meja dalam keadaan tidak bersih. Begitu juga sinki, sangat kotor. Nampak seperti tiada rutin pembersihan selepas beroperasi dan sebelum memulakan perniagaan. Apa yang saya nyatakan ni berdasarkan pemerhatian pada hari saya datang ya, tak taulah kot pada hari lain memang bersih. Harapnya para peniaga di sini dapatlah meningkatkan tahap kebersihan tempat ni.

Ok, bagi kawan-kawan yang nak mencuba makanan di sini bolehlah buat carian ‘Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak’ di Google Maps. Beroperasi dari pukul 6 petang sehingga 11 malam, setiap hari kecuali Isnin.


Friday 14 August 2020

Taman Rimba Bukit Mertajam | Bukit Cherok Tokun

Sabtu | 08.08.2020

Hasrat dihati nak menerokai keindahan hutan di Kedah atau Perlis, sebab dalam trip sebelum ni dah pergi Taman Negara Pulau Pinang. Tapi tak berani pulak disebabkan kluster Sivagangga. Maka saya beralih arah ke bukit yang terletak tak jauh dari rumah, iaitu Bukit Cherok Tokun

8.40 pagi baru sampai di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam. Bila tau dekat, jadi berlengah-lengah pulak 😁. Untuk mendaki ke puncak Bukit Cherok Tokun, kita perlu masuk ke taman eko rimba ni. Tiada bayaran masuk dikenakan. Ruang parkir yang luas ada disediakan, juga percuma. Ada kelebihan juga bila datang lewat gini, dapatlah ruang parkir di dalam sebab pengunjung dah mulai beredar. Biasa orang beriadah kan mula awal pagi.

Dari ruangan parkir kita perlu berjalan kaki ke dalam lagi. Gambar ni saya ambil semasa balik, jalan ke depan tu ke arah ruangan parkir. Berhampiran tempat saya ambil gambar ni ada tandas, bayaran 30 sen dikenakan. Tapi keadaan di dalamnya sangat tak memuaskan walaupun ianya tandas berbayar.

Jalan lagi ke depan, kita akan bertemu jalan tar begini. Kat sebelah kanan tu macam ada jalan entah ke mana, Insya Allah lain kali explore. Menurut info, ada dua cara untuk kita sampai ke puncak Bukit Cherok Tokun - melalui jalan tar ni atau melalui laluan hutan. Disebabkan ini kali pertama saya ke sini dan hasil carian tak membuatkan saya yakin untuk melalui laluan hutan, maka saya memilih untuk melalui jalan tar. Insya Allah tak kan sesat la kan. Catatan masa bermula di sini.

Tempat ni nampaknya sangat meriah dengan pengunjung, termasuklah orang-orang tua berbangsa Cina. Sesekali nampak ada juga kanak-kanak yang datang bersama keluarga. Lokasi ni juga menjadi tumpuan mereka yang aktif dengan sukan berbasikal. Jadinya kena jalan elok-elok sebelah tepi sebab kadang-kadang ada basikal naik/turun.

Bertemu ulat gonggok saiz besar.

Nampak ada pondok rehat, kami berhenti rehat di sini. Baru 40 minit perjalanan dah terasa sangat lelah 😄. Berbeza sungguh rupanya bila mendaki di jalan tar, terasa lebih seksa.

Bekalan kami - roti sapu peanut butter 4 keping, ORS (oral rehydration salts) campur dengan air sejuk dan sebekas kecil kismis & kacang badam. Bawa juga sebotol lagi air minuman dan sebotol air paip dengan muncung sesuai untuk keperluan mendesak (kot la nak membuang air tak boleh tahan kan...haha). Kami rehat di sini agak lama jugak, hampir 15 minit.

Keadaan jalan tar di sini bercerun dan berkelok begini. Di sepanjang jalan juga terdapat beberapa lokasi tanah runtuh yang ditutup dengan kanvas. Nampak seperti runtuhan lama.

Tiba di satu pondok rehat yang besar. Nampak ada juga tandas. Kat sini memang ramai yang sedang duduk berehat. Kat sebelah sana tu nampaknya jalan untuk laluan hutan. Bila dah tiba di pondok besar ni bermakna dah tak terlalu jauh untuk kita sampai ke puncak bukit.

Berhenti rehat di tepi jalan untuk entah kali ke berapa 😂. Walaupun tadi katanya tak terlalu jauh dari pondok, tapi tetap terasa jauh bila kita perlu berjalan secara mendaki. Sepanjang perjalanan tadi dah beberapa kali kami bertanya orang-orang tentang jarak ke puncak, sebab saya tak jumpa sebarang papan tanda info. Sempat juga berbual ringkas dengan dua kumpulan remaja (rupa-rupanya pertama kali naik juga). Masing-masing pun dah tak larat nak teruskan perjalanan, ada yang berpatah balik dan hanya sebahagian terus bersemangat. Saya? Sebenarnya pun terasa nak berpatah balik!

Masya Allah. SubhanAllah😍. Jumpa pemandangan indah ni di sebelah kanan jalan, terus jadi bersemangat semula untuk teruskan perjalanan! Dengan harapan dapat melihat pemandangan lebih indah di Pelantar Pemandangan.

Alhamdulillah...terasa lega sangat bila jumpa papan tanda ni. Termasuk sekali gambar basikal orang, tuannya seorang lelaki Cina sedang berbual ringkas dengan suami saya.

Untuk ke Pelantar Pemandangan, kita akan melalui jalan hutan. Tapi tak jauh mana pun.

Tiba di kawasan Pelantar Pemandangan.

Alhamdulillah! Sampai jugak. Kat bawah tu yang kita nampak macam tasik adalah Empangan Mengkuang. Sayangnya pemandangan tak berapa jelas, entah berkabus atau jerebu.

Orang yang memberi saya kata-kata semangat untuk teruskan perjalanan supaya tercapai misi nak ke Pelantar Pemandangan ni. Juga sabar je ikut saya yang kejap-kejap berhenti tepi jalan 😅

Disebalik pemandangan indah tadi, ada dua perkara yang menganggu saya di Pelantar Pemandangan ni. Pertama - gelagat sekumpulan perempuan warga asing yang membuka muzik agak kuat sambil joget bergelek 🙄, membuatkan saya tak mampu berlama-lama di situ. Cuma ambil gambar sikit tanpa mencari sudut yang cantik dan tak dapat menghayati keindahan dari puncak setinggi sekitar 421 meter tersebut. Kedua - sampah botol minuman dan pek makanan yang bersepah. Entah ‘monyet’ mana yang makan dan minum di sini, kalau manusia mesti tau buang sampah di tempat sepatutnya 😡.

Kami terus bergerak turun selepas dari Pelantar Pemandangan tadi. Saya tak berminat nak teruskan ke puncak Bukit Cherok Tokun setinggi lebih 500 meter, walaupun tinggal tak berapa jauh saja jaraknya. Menurut info, tiada pemandangan menarik dari puncak bukit tersebut, cuma ada pencawang.

Perjalanan turun sememangnya melegakan, boleh santai berborak. Cuma kaki kena melangkah berhati-hati jangan laju sangat sampai tergelincir, sebab laluan tar di sini mempunyai kecerunan yang agak curam.
————————————————————-


Rekod trip kali ini. Tempoh masa sebenar kami berada di sini adalah sekitar 3 jam (ada kalanya waktu berhenti rehat saya pause jam, jadinya tak masuk rekod). Masuk pukul 9 pagi dan keluar pukul 12 tengah hari. Lebih tepat lagi, naik mengambil masa 2 jam dan turun 1 jam. Punyalah lama saya ambil masa untuk naik 😆

Buat pertama kalinya saya rasa tiada kepuasan masuk hutan. Mungkin sebab sepanjang perjalanan hanya melalui jalan tar, saya tak dapat melihat keindahan sebenar hutan. Tiada flora yang unik dan menarik untuk saya belek, tiada bau hutan dan tiada bunyi orkestra hutan yang memberi ketenangan. Saya terasa lebih penat dan tak bersemangat, pertama kali juga timbul rasa nak berpatah balik! Apa-apa pun, ini menjadi satu pengalaman buat saya.

Untuk mereka yang sekadar nak buat latihan kecergasan, atau sekadar nak bersenam untuk kesihatan , mungkin ini pilihan yang baik - melalui jalan tar. Insya Allah ada kesempatan teringin juga saya nak melalui laluan hutan di sini.

Untuk sesiapa yang nak ke sini boleh buat carian ‘Cherok Tokun Nature Park (National Forest)’ di Google Maps.


Tuesday 11 August 2020

Landak Raya

[ Catatan hari Isnin | 03.08.2020 ]

Semasa dalam perjalanan balik ke rumah di Pulau Pinang (selepas cuti raya haji tempohari), saya sempat berkunjung ke pameran Landak Raya di RTC Gopeng.

Masuk percuma.

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Landak Raya diletakkan dalam satu kurungan besar. Nampaknya semua sedang bermalas-malasan. Sedap tidur petang-petang cuaca panas kan...😴

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Cantik rupa Landak Raya, durinya warna hitam putih.

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Comel je tengok gaya landak ni tidur, kaki lipat belakang 😄

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Seekor ni je yang aktif, datang mendekat kat saya.

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Close-up sikit rupa Landak Raya.

Landak Raya (Malayan Porcupine) Hystrix Brachyura
Selain dapat tengok Landak Raya, kat sini juga ada menjual produk berkaitan Landak Raya. Antaranya duri Landak Raya ni. Harganya RM3 sebatang untuk saiz kecil. Harga berbeza jika beli yang berkotak, sesuai untuk hadiah. Antara kegunaan durinya adalah sebagai batang penunjuk sewaktu membaca al-Quran. 

Antara kelebihan duri Landak Raya (rujuk gambar). Tapi bab menghalang makhluk halus tu tak payah percayalah ya, itu khurafat. Kalau ada yang berminat dengan duri ni atau produk lain yang berkaitan, boleh hubungi nama/nombor telefon/alamat tertera pada kotak tu.


Info ringkas Landak Raya :
  • Landak Raya (Malayan Porcupine) atau nama saintifiknya Hystrix Brachyura merupakan spesis hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadinya segala aktiviti membabitkan Landak Raya ni perlu ada permit atau lesen.
  • Haiwan yang hidup secara berkumpulan ini mempunyai jangka hayat sehingga lebih 20 tahun.
  • Beratnya boleh mencecah melebihi 20 kg.
  • Merupakan haiwan yang ‘kuat makan’, mampu menghabiskan 1 kg makanan (terdiri daripada buah, daun kayu dan beberapa jenis makanan lain). Menurut staf di situ, tiada waktu makan khusus untuk Landak Raya. Selagi landak mahu makan, mereka akan beri makanan.
  • Duri Landak Raya tidak boleh memanah. Walaupun durinya tajam tapi tak berbisa. Durinya akan gugur dan tumbuh semula dalam tempoh 2 bulan.

Landak Raya dijual mengikut berat, iaitu RM100/kg. Tinggi sungguh harganya! Untuk jualan daging, syarikat ni cuma jual daging yang dah siap masak rendang dengan harga RM50/bekas.

Ada kawan-kawan yang pernah merasa daging Landak Raya?






.

Thursday 6 August 2020

SOP di Pasar Tani

Balik kampung tempohari, sempatlah saya bersama mak dan kakak ke Pasar Tani di bandar Pontian. Kebetulan Pasar Tani dibuka pada hari Khamis, sedang elok untuk kami membeli bahan keperluan untuk juadah hari raya esok (Jumaat).

Ini merupakan kunjungan pertama kami ke Pasar Tani semenjak PKP berkuatkuasa. Ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. Semua pengunjung perlu berbaris di khemah urusetia untuk mencatat maklumat diri, pemeriksaan suhu badan dan menggunakan hand sanitizer. Terdengar juga suara-suara merungut dan ada juga yang cuba masuk kawasan gerai jualan tanpa ikut SOP. Tapi memang tak dapatlah, urusetia yang mengawal cepat menghalang dan suruh ikut kami berbaris 😄.

Tape merah putih dipasang, pengunjung akan melalui setiap gerai jualan dengan mengikuti laluan tape ni.

Gerai jualan daging dan ayam berada di kawasan yang lebih luas dan kita perlu beratur untuk membeli. Cara begini boleh mengelakkan kesesakan, serta mudahlah masing-masing nak menjaga jarak.

Alhamdulillah...semuanya nampak diatur dengan baik. Kurang rasa risau nak ke pasar begini bila ada SOP. Mak saya pun nampak gembira dapat ke Pasar Tani, walaupun pada awal dulu asyik sebut tak selesa kena pakai pelitup muka. Dah berbulan lama duduk dirumah, tentu rasa teringin jugak nak berjalan memilih sendiri barang keperluan. Jadinya mak akur saja bila keluar tapi kena ikut SOP dan berpelitup muka. Inilah norma baharu hidup kita 😔

Wednesday 5 August 2020

Suatu Senja di Pontian

Suatu senja di daerah kelahiranku...
Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidiladha.

Taman Rekreasi Pantai Rambah.

Menyaksikan keindahan matahari terbenam di Tambak Pontian.

——————————————-

Setelah hampir lima bulan tak menjengah kampung halaman,
kepulangan kali ini lain perasaannya.
Pertama kali juga dapat berkumpul bersama mak dan sebahagian adik-beradik,
keluarga besar kami setelah sekian lama tak bersua.
Alhamdulillah!