Tuesday 30 August 2022

Hanya Melihat Dari Kejauhan…

Sejak semalam, dah dua kali saya terima SMS yang mengajak untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Seumur hidup memang belum pernah saya menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Kebetulan pada hari Selasa 23 Ogos 2022 yang lalu, saya dan encik suami pergi ke Kuala Lumpur. Sewaktu dalam perjalanan ke hotel penginapan di Brickfileds, kereta kami melalui kawasan Dataran Merdeka.

Dapatlah saya melihat dari kejauhan persiapan yang sedang dilakukan untuk sambutan Hari Kebangsaan. Tentu meriah sambutan tahun ni selepas kita ‘berkurung’ selama dua tahun. 


Persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Ada yang merancang pergi ke Dataran Merdeka esok pagi? Saya rancang nak masuk hutan esok pagi, entah jadi entah tidak. Semoga jadi, dah lama sungguh tak menikmati suasana hutan.



Monday 29 August 2022

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut

Bersambung kisah entri Cinta Pantai Merdeka. Perjalanan saya dan encik suami menaiki bot dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai cuma mengambil masa sekitar 3 minit. Sekejap saja sebab jarak antara dua tempat tersebut tidaklah jauh.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Jeti Tanjung Dawai.
Kami tiba di Jeti Tanjung Dawai sekitar pukul 11.20 pagi. Turun dari bot dan hulur bayaran RM3/orang kepada pemandu bot.

Dari sini kita akan nampak sebuah bangunan dua tingkat. Sebenarnya kami pun tak tahu nak menuju ke mana bila sampai di Tanjung Dawai. Dah kata boleh naik bot ke seberang, kami naik sajalah untuk ambil pengalaman. Lepas keluar dari jeti, kami ikut saja langkah kaki penumpang bot yang lain. Mereka menuju ke bangunan dua tingkat tersebut.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Arked Tanjung Dawai
Oh, rupanya inilah bangunan Arked Tanjung Dawai. Tingkat atas menempatkan kedai menjual produk hasil laut. Manakala tingkat bawah pula menempatkan kedai makan dan ada juga kedai pakaian. Tandas awam berbayar terletak di tingkat bawah, di hujung bangunan. Ada sebuah lagi tandas awam berbayar di luar bangunan arked ni.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Laksa bihun.
Disebabkan perut kami sudah rasa lapar, kami terus ke tingkat bawah arked untuk makan. Selepas berjalan melewati semua kedai makan yang ada, barulah kami masuk ke sebuah kedai makan pilihan.

Encik suami memesan laksa tapi mahu makan dengan bihun. Sejak berpindah ke utara, encik suami dah mula suka makan laksa tapi tak suka mi laksa, itu yang ganti dengan bihun. Saya pula memesan mi goreng. Kedua-duanya memuaskan selera. Semasa membayar di kaunter, wanita yang menjaga kaunter berkata, “Suka makan laksa dengan bihun ya? Ada juga pelanggan yang minta bihun goreng makan dengan kuah laksa”. Lebih kurang begitulah katanya dalam loghat utara sambil tersenyum.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Tingkat atas.
Perut dah kenyang, marilah kita naik ke tingkat atas bangunan Arked Tanjung Dawai ni. Beginilah rupa di bahagian atas (lihat gambar). Dari hujung ke hujung semuanya kedai menjual produk hasil laut. Laluan sempit sebab masing-masing memperagakan produk jualan mereka di luar kedai. Mujur juga kami datang masih awal, jadinya masih belum ramai pengunjung di sini. Itu pun sesekali hampir berlaga bahu juga bila kita melewati kedai yang sedang ada pelanggan.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pelbagai pilihan ikan masin.
Boleh dikatakan produk jualan setiap kedai lebih kurang sama saja - pelbagai pilihan ikan masin, ikan bilis, belacan dan produk lain. Ada juga produk yang dijual di kedai sini, tak dijual di kedai sana. Jadinya memang eloklah kita berjalan melihat-lihat dari satu kedai ke satu kedai. Berkenaan harga, semuanya lebih kurang saja. Kalau berbeza harga pun disebabkan saiz pek yang berbeza.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pelbagai pilihan ikan bilis.
Eh, ada ikan bilis mata biru. Saya pernah membeli ikan bilis mata biru di Lumut, rupanya di sini pun ada juga. Banyak sungguh pilihan ikan masin dan ikan bilis, rambang mata kami memilih.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Produk siap pek.
Asam jawa kepal pun ada. Menarik, tapi saya tak beli sebab dah biasa guna pes asam jawa Adabi.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pekan Tanjung Dawai.
Pandangan sekitar pekan Tanjung Dawai dari tingkat atas arked.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Hasil membeli di Arked Tanjung Dawai - ada beberapa jenis ikan masin, sotong kering cumi, gula melaka bentuk bulat (orang tempatan panggil gula gerek) dan ikan bilis siap kopek. Harga semuanya sekitar RM60. Padahal ahli rumah cuma berdua, tapi sebab rambang mata jadinya itu nak ini pun mahu…haha! Insya Allah lain kali bolehlah kami membeli lagi di sini sebagai ole-ole bila balik kampung di Johor.

Satu pengalaman yang seronok dapat melihat dan membeli-belah produk hasil laut di Arked Tanjung Dawai ni. Selain banyak pilihan tersedia, ikan masin yang dijual nampak elok dan menarik untuk dibeli. Dari segi harga, saya tak pandai nak beri pendapat. Saya fikir tentu murah atau sekurang-kurangnya berpatutan sebab tempat ni memang jadi tumpuan orang mencari produk hasil laut.

Cuma keadaan laluan pejalan kaki di jeti kotor dengan sampah dan sisa makanan serta berbau tak menyenangkan. Ada juga bumbung yang hampir tercabut dan membahayakan pengunjung. Harapan saya agar pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani dapat segera memperbaiki keadaan demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Kalau kalian ada ke Kedah, bolehlah berkunjung ke Arked Tanjung Dawai - syurga produk hasil laut. Eloklah jika dapat datang awal untuk mengelakkan kesesakan. Selain menaiki bot dari Pantai Merdeka, kita boleh saja datang terus menaiki kereta ke sini. Boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Arked Tanjong Dawai.


ARKED TANJUNG DAWAI
Tanjung Dawai, Merbok, Kedah.

Buka setiap hari : 9 pagi - 8 malam


—————————————————————————————————

Kemeriahan Pantai Merdeka

Saya sertakan juga di entri ini beberapa foto kemeriahan di Pantai Merdeka. Foto-foto ini saya rakam sewaktu balik dari Tanjung Dawai, iaitu sekitar pukul 1 tengah hari. 

Pantai Merdeka
Meriah dengan para pengunjung.

Pantai Merdeka
Ada yang siap berkhemah. Boleh bersantai seharian di sini.

Pantai Merdeka
Kedai makan sudah beroperasi. Ramai juga yang sedang menikmati hidangan di bahagian dalam sana. Perut kami masih kenyang makan di Tanjung Dawai. Insya Allah lain kali boleh cuba makan di sini.

Pantai Merdeka
Untuk kanak-kanak boleh sewa mainan basikal, kenderaan beroda tiga dan kenderaan empat roda. Banyak sungguh pilihan. Memang meriah.

Dalam perjalanan balik, kami singgah di Galeri Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Tadi semasa dalam perjalanan pergi memang dah ternampak papan tanda galeri. Itu yang kami singgah semasa balik. Tapi galeri tersebut ditutup sehingga ke satu tarikh yang tidak dimaklumkan kerana ada kerja-kerja ekskavasi. Tak dapatlah nak tengok rangka manusia yang digelar ‘Penang Women’





Thursday 25 August 2022

Cinta Pantai Merdeka

AHAD | 14.08.2022

Walaupun dah lebih dua tahun berpindah ke utara tanah air, tak begitu banyak tempat-tempat menarik di sini yang telah saya kunjungi. Pantai Merdeka antara tempat yang baru kali pertama saya dan encik suami kunjungi.

Pantai Merdeka terletak di Kota Kuala Muda, Kedah merupakan antara lokasi tarikan pelancongan di Kedah. Pada awalnya saya tidaklah begitu berminat nak ke sini. Tetapi bila encik suami kata bahawa kita boleh naik bot untuk ke Tanjung Dawai, eh…macam menarik! Terus saya setuju dengan cadangan encik suami untuk kami berjalan-jalan pada hujung minggu ke Pantai Merdeka.

Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah
Ruangan parkir di sebelah kanan. Di sebelah kiri pula Merdeka Beach Resort.
Ikut saja panduan perjalanan di Google Maps, sampailah kami ke Pantai Merdeka. Rupanya tak jauh mana pun dari rumah, perjalanan cuma mengambil masa sekitar lebih kurang satu jam. Kalau berdasarkan kiraan jarak, tak sampai 60 km. Tapi sebab kita perlu melalui jalan kampung, jadinya tak bolehlah memandu laju.

Bagusnya di Pantai Merdeka ni ada disediakan kawasan parkir yang elok, luas dan bayaran tanpa wang tunai (kami bayar guna kad Touch n Go). Saya tak pasti berkenaan kadar bayaran, kami parkir lebih dua jam, dikenakan caj RM1.06 sahaja. 

Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah
Kami sampai di sini sekitar pukul 10.45 pagi. Masih awal. Tetapi sudah ada pengunjung lain di sini. Kami membeli gorengan keropok nipis di sebuah gerai jualan. Tujuannya nak duduk makan sambil memerhati suasana di sini.

Penjualnya seorang wanita, ramah menegur kami “Awai mai…”. Lepas tu terjadilah perbualan ringkas di antara kami. Menurutnya, tempat ni lebih meriah pada waktu petang. Patutlah kami nampak kedai-kedai makan yang ada di sini semuanya belum beroperasi.

Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah
Saya dapati di sini banyak disediakan tempat untuk pengunjung berfoto. Antaranya, tangga warna-warni ni. Nampaknya pantai ini diselenggara dengan baik dan cukup menarik untuk aktiviti santai pada hujung minggu.

Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah
Beginilah rupa Pantai Merdeka. Cantik warna air lautnya, agak kebiruan. Dalam gambar ni pemandangan pantai di sebelah kiri. Terdapat binaan tembok batu di sepanjang pantai. Tapi tak begitu tinggi, kita boleh turun ke bawah. Saya tak pasti pantai ni sesuai untuk bermandi-manda atau tidak. Yang pasti, tempat ni menjadi tumpuan para pemancing.

Kami duduk di salah sebuah bangku di sini untuk makan keropok nipis yang dibeli tadi. Seorang lelaki Melayu yang duduk di bangku berhampiran kami pun baru nak menyuap makanan ke mulut. “Makan…”, lelaki tersebut menyapa kami. Peramah sungguh orang-orang di sini ya. Sambil kami makan, encik suami berbual ringkas dengan lelaki tersebut yang juga sedang memancing di sini.

Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah
Ini pula rupa pantai di sebelah kanan. Lebih ramai yang duduk memancing di bahagian sini sebab lebih redup terlindung pokok besar. Dari sini kita dapat melihat pemandangan Gunung Jerai dan Tanjung Dawai. Memang bertepatan dengan lirik lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian Jinbara :
🎶🎶🎶
Ku ukir namamu
Di awan Gunung Jerai
Di saksikan laut daun nyiur melambai
Jauh pandangan permai
Di situ Tanjung Dawai
🎶🎶🎶
Ikan buntal
Ikan buntal ‘membulatkan’ badannya begini jika merasa terancam.
Kenal tak ni ikan apa? Ini kali pertama saya lihat secara langsung ikan buntal laut. Pada awal bulan Julai lepas, saya dapat lihat ikan buntal air tawar sewaktu menelusuri Sungai Kilim, Langkawi. Kedua-duanya menarik dan kelihatan comel. Tapi ikan buntal air tawar yang saya lihat tempohari lebih cantik kerana terdapat corak berbintik besar pada badannya yang berwarna kuning.

Oh ya, ikan buntal dalam gambar di atas tu adalah hasil pancingan seorang pemancing lelaki berbangsa Cina. Tapi sayangnya, ikan buntal bukanlah hasil yang diharapkan sebab tak boleh dimakan. Menurutnya, sejak pagi tadi dah hampir 50 ekor ikan buntal yang diperolehi.

Sepanjang kami memerhati para pemancing, memang kami nampak masing-masing ‘berjaya’ menaikkan ikan buntal. Nak kata, begitu banyaknya ikan buntal di kawasan tersebut. Tapi mestilah ada ikan yang bagus hasilnya, sebab tu ada ramai pemancing bertumpu di Pantai Merdeka.

Bot dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai
Dah selesai makan dan melihat-lihat sekitar, marilah kita naik bot untuk ke seberang sana - Tanjung Dawai. Tempat naik bot ni ada di sebelah hujung kanan kawasan pantai. Tak ada jeti khas, kita turun je ke pasir pantai tu untuk naik bot. Jadinya kalau nak naik bot, silalah pakai pakaian dan kasut bersesuaian untuk keselamatan dan memudahkan langkah kita.

Bot dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai
Kami penumpang terakhir masuk bot. Kami duduk di barisan akhir dekat dengan pemandu bot. Dalam bot ni terdapat 10 buah bangku. Selesalah kalau duduk seorang satu, kalau berdua kenalah duduk berhimpit sikit. Tapi ok je, sebab perjalanan sangatlah dekat cuma beberapa minit. Tambangnya RM3 seorang satu hala. Bayar bila kita dah sampai di Tanjung Dawai.

Bot dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai
Tiga papan tanda info penting. Tambang bot untuk upacara keagamaan pun ada, upacara apa agaknya tu ya? 

Apa ada di Tanjung Dawai? InsyaAllah ceritanya pada catatan akan datang.



Monday 22 August 2022

Ustazah Zaman Dulu-Dulu : Jejak Wanita-Wanita Merdeka


Buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu
Judul : USTAZAH ZAMAN DULU-DULU
Penulis : Maisarah Mohd. Pauzi
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan pertama 2018
Jumlah halaman : 186

Judul asal naskhah ini adalah Wanita-Wanita Merdeka. Ia kemudiannya diberi judul baru, iaitu Ustazah Zaman Dulu-Dulu kerana tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat dalam naskhah ini sememangnya mempunyai latar belakang pendidikan agama selayaknya seperti ustazah pada zaman sekarang.

Penulisan naskhah ini dibahagikan kepada lima bahagian :
  1. Tokoh Kemerdekaan
  2. Peristiwa
  3. Novel Emansipasi Wanita Tanah Melayu
  4. Citra Wanita dalam Karya Seni & Sastera
  5. Sejarah Silam Perempuan Nusantara

Tokoh Kemerdekaan

Bahagian yang paling menarik bagi saya adalah bahagian yang memperkatakan berkenaan empat orang tokoh kemerdekaan wanita. Saya kongsikan secara ringkas berkenaan empat orang tokoh tersebut :
  • Ibu Zain atau nama asalnya Zainun Munshi Sulaiman, tokoh yang memperjuangkan pendidikan untuk anak perempuan. Beliau telah menubuhkan Kolej Tengku Ampuan Mariam (KTAM) di Johor Bahru atas tujuan membantu anak-anak perempuan untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.
  • Aishah Ghani selaku Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia (1973 - 1984), beliau antara yang telah merangka undang-undang baru pentadbiran keluarga Islam yang memperketat syarat poligami. Beliau jugalah yang telah menukar nama institusi seperti Pusat Pemulihan Akhlak kepada Pusat Perlindungan Seri Puteri. Walaupun nampak kecil, tetapi sebenarnya pertukaran nama tersebut memberi kesan kepada penghuni institusi terbabit.
  • Shamsiah Fakeh, seorang tokoh wanita yang sanggup berjuang dengan mengangkat senjata demi menentang penjajah British dan memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Sewaktu Undang-undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, gerakan yang menuntut kemerdekaan telah diharamkan. Disebabkan UMNO (gerakan yang tidak diharamkan British) pada masa tersebut masih belum memperjuangkan kemerdekaan, maka beliau tiada pilihan selain terpaksa menyertai komunis. Apabila jalan diplomasi sudah tertutup dan beliau pula enggan berkompromi dengan penjajah British, maka satu-satunya jalan adalah dengan mengangkat senjata.
  • Khatijah Sidek, digelar sebagai Ibu Kemerdekaan Nusantara kerana perjuangan beliau bermula di tanah kelahirannya di Indonesia sehinggalah berkembang di Malaya. Pernah menyertai UMNO dan kemudian tersingkir atas satu fitnah.

Di antara empat orang tokoh di atas, Khatijah Sidek merupakan tokoh yang tidak saya kenali atau tidak tahu berkenaan beliau. Manakala tokoh yang paling menarik perhatian saya ialah Shamsiah Fakeh kerana jalan perjuangan beliau yang radikal dan cukup berani. Menurut saya, jalan diplomasi dan perjuangan mengangkat senjata kedua-duanya diperlukan demi mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan tanah air. 

Saya pernah membaca dua buah naskhah berkenaan Shamsiah Fakeh dan membuat perkongisan di blog. Jemput baca Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin & Perempuan dan Memoir Shamsiah Fakeh : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10


Perempuan Pemimpin Serambi Mekah

Pembacaan menjadi seronok apabila kita mengetahui suatu perkara baru yang menimbulkan rasa kagum. Begitulah perasaan saya sewaktu membaca bab Perempuan Pemimpin Serambi Mekah pada bahagian akhir naskhah ini. Penulis membawa kita mengenali tokoh-tokoh wanita yang memperjuangkan kemerdekaan di tanah Acheh, negeri yang digelar sebagai Serambi Mekah.

Teruja saya apabila mengetahui di kepulauan Melayu ini dahulunya pernah mempunyai pemerintah wanita, iaitu Sultanah Safiatuddin Tajul Alam Shah. Baginda merupakan sultanah pertama Acheh. Lebih mengagumkan, Acheh juga mempunyai laksamana wanita iaitu Laksamana Kuemalahayati. Bukan setakat itu, Acheh juga mempunyai srikandi ulung yang memimpin pasukan gerila menentang Belanda dalam Perang Acheh. Beliau ialah Cut Nyak Dien.

Buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu
Isi buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu : Jejak Wanita-Wanita Merdeka.
Secara keseluruhannya, naskhah ini sesuai untuk kita mengenali secara ringkas tokoh-tokoh wanita di negara kita khasnya dan di kepulauan Melayu amnya. Mereka ini mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, dengan ilmu mereka bangkit penuh semangat menentang penjajah demi mencapai kemerdekaan. Pada hari ini selepas hampir 65 tahun kita merdeka dari penjajah, kita juga perlu penuh semangat memperjuangkan kemakmuran tanah air melalui kata-kata dan tindakan kita.

Memetik kata-kata Buya Hamka :

Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. 







Wednesday 17 August 2022

Outdoor Expo 2022

Pada awal bulan Ogos, saya menemani encik suami ke Selangor kerana encik suami perlu bertugas sempena berlangsungnya pameran MAHA (Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism). Tapi tidaklah saya ikut bersama ke MAEPS Serdang tu, penat pula seharian di sana nanti.

Cenderahati MAHA 2022
Kenangan dari MAHA 2022, dapat beras 5 kg jenama Ladang’57, roti Gardenia dan minuman coklat EcoBrown. Alhamdulillah.
Encik suami bertugas pada hari Sabtu, jadinya hari Ahad tu dah boleh bergerak balik ke PP. Sebelum balik tu bolehlah kalau saya nak ke MAHA. Tapi saya tak berminat pula nak ke MAHA kerana ada acara lain yang lebih menarik minat saya dan encik suami. Tak laratlah kalau nak pergi ke dua tempat pameran dalam sehari dan lepas tu nak balik ke utara pula.


AHAD | 07.08.2022
OUTDOOR EXPO 2022

Kami memilih untuk ke Outdoor Expo 2022 di Kompleks Sukan Kelana Jaya, Selangor. Ini merupakan kali pertama kami ke pameran dan jualan sebegini. Satu pengalaman baru.

Kami tiba di sini sekitar pukul 11.15 pagi. Pengunjung sudah pun ramai sebab Outdoor Expo ni sudah pun bermula seawal pukul 8 pagi. Gerai pameran dan jualan berada di dalam dan di luar dewan.

Outdoor Expo 2022
Pameran oleh Tentera Darat Malaysia pun ada. Bolehlah bergambar sambil memegang senjata api di sini.

Outdoor Expo 2022
Jungle survival, tapi cantik siap anyaman. Hehe.

Outdoor Expo 2022
Ada tiga syarikat dan orang persendirian pembuat pisau dan parang yang turut mempamerkan dan menjual hasil kerja tangan mereka. Semuanya orang Melayu. Menarik buatan pisau dan parang yang dihasilkan. Tapi saya tak berpeluang memotret secara dekat pisau dan parang tersebut kerana bersesak dengan pengunjung lain.

Outdoor Expo 2022
Ini pula acara yang sedang berlangsung di dalam dewan. Ada gerai-gerai pameran dan jualan juga di dalam ni. Tak begitu luas, sekejap je dah boleh habis pusing satu dewan.

Kami berada di Outdoor Expo ni hampir satu jam. Seronok juga sebab kita dapat lihat produk depan mata, jadi mudahlah nak bertanya lanjut. Encik suami lebih tertarik dengan pisau, saya pula tertarik dengan pakej aktiviti luar. Dari aspek harga, hampir semuanya dijual pada harga biasa. Kecuali barangan aktiviti berkhemah, memang banyak juga potongan diberi. Inilah tujuan pameran diadakan, iaitu untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada peminat aktiviti luar.

Kami meninggalkan tempat ini setelah membeli sebuah alat pengasah pisau dan pakej penginapan Sedim Rainforest Resort, Kedah. Selain tu, para pengunjung yang mendaftar diri juga diberi cenderahati shopping bag Decathlon. Kalau dulu, beg tersebut kami dapat percuma saja setiap kali berbelanja di Decathlon. Sekarang dah kena bayar RM5 untuk sebuah beg. Beg Decathlon ni memang berkualiti baik, tahan lama. Beg yang kami dapat beberapa tahun lalu masih kami gunakan sehingga hari ini.







Monday 15 August 2022

Riadah Pagi di Tanah Rata, Cameron Highlands

SABTU | 30.07.2022

Bagi peminat alam semula jadi dan mereka yang sukakan aktiviti merentas hutan (jungle trekking), Cameron Highlands menawarkan sekitar 14 denai hutan (jungle trail) untuk diterokai.

Hasil carian di internet, saya dapati denai hutan #4 (Jabatan Perhutanan ke Parit Waterfall) menawarkan laluan paling mudah, tak memerlukan juru pandu arah dan mengambil masa sekitar 30 minit perjalanan bagi satu hala. Manakala denai hutan #5 (MARDI ke denai hutan #3) adalah laluan kedua paling mudah, tak memerlukan juru pandu arah dan mengambil masa sekitar 1 jam perjalanan bagi satu hala.


DENAI HUTAN #5 | MISI YANG TAK TERLAKSANA

Saya memilih untuk ke denai hutan #5 (MARDI ke denai hutan #3) kerana lokasi MARDI yang terletak tak begitu jauh dari penginapan kami iaitu di The Cool Point Hotel. Jadinya bolehlah saya dan encik suami berjalan kaki dari hotel menuju ke MARDI, tak perlu naik kereta pada hari Sabtu yang sesak dengan kenderaan di jalan raya.

Berpandukan Google Maps (carian : Jungle Trail 5), saya pilih mod berjalan kaki. Kami melintasi jalan, kemudian berjalan di laluan taman rekreasi dan padang awam, sehinggalah kami tiba di MARDI - Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands.

Tiba di kawasan parkir, kami ambil jalan ke kiri (dalam gambar). Seorang pengawal yang berada di situ bertanya, “Nak pergi mana?”. Saya jawab, “Trail 5”. Pengawal tadi menganggukkan kepala. Selepas itu baru kami faham kenapa dia bertanya, sebabnya kawasan taman agro ni tidak semua berpagar. Jadinya ada kemungkinan orang boleh masuk melawat (melalui bahagian yang tak berpagar) tanpa membayar tiket di kaunter. Kami pula tidaklah berminat nak masuk taman agro ni sebab dah pernah masuk beberapa kali sebelum ini.

Perjalanan diteruskan dengan melalui jalan tar yang mendaki. Kami berjalan perlahan saja dek kepenatan dan sambil menikmati keindahan flora di sepanjang laluan. Setelah berjalan sejauh 1.3 km (berdasarkan kiraan jarak di Google Maps), akhirnya kami tiba di laluan permulaan denai hutan #5. Lokasinya bersebelahan dengan deretan rumah peranginan KoMARDI.

Tapi tak jauh pun kami berjalan, langkah kami terhenti bila melihat denai permulaan yang tak begitu jelas. Tertutup dengan rumput-rumput tinggi. Bimbang pula kalau kami masuk dan sesat, terpapar berita berkenaan sepasang ‘remaja purba’ diselamatkan setelah tersesat di hutan Cameron Highlands. Haha! Tambahan pula masing-masing dah kurang semangat sebab dah kepenatan mendaki jalan tadi. Maka, seorang ajak patah balik dan seorang lagi setuju aje. Yaa…sudah. Begitulah berakhirnya misi denai hutan yang tak terlaksana.

Marilah kita berpatah balik. Beginilah laluan kami tadi. Ni foto semasa nak menuruni jalan. Masa naik tadi tak larat dah nak berfoto-foto. Layan jaga pernafasan je sambil sesekali berhenti sebab terpesona memerhati bunga-bunga cantik yang tumbuh liar di tepi jalan dan di dalam semak belukar. Seronoknya di CH ni, cuaca nyaman sejuk je. Langsung tak berpeluh. Jadinya selesa jelah sepanjang berjalan.


SANTAI PAGI DI PADANG AWAM MDCH

Dah tak jadi jalan-jalan dalam hutan, marilah kita jalan-jalan di padang awam saja. Sebuah padang yang dijaga baik dan lengkap dengan kemudahan untuk orang awam beriadah.

Di tepi padang ada disediakan laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal (warna biru). Sebelah tu aliran Sungai Bertam. Dasar sungai bukanlah batuan atau pasir, tapi dah disimen mungkin untuk memudahkan kerja pembersihan. Memang bersih pun sungai ni, sedap mata memandang.

Orang lain berbasikal, berjoging atau berjalan kaki, saya pula sibuk memerhati dan memotret sana sini.

Selain disediakan bangku batu di tepi laluan, di sini terdapat beberapa buah tempat rehat berbentuk tube.

Di seberang padang sana, kelihatan Masjid Abu Bakar dan bangunan sekolah.


TAMAN KEPUTERAAN 

Dari padang, kami menuju ke Taman Keputeraan pula. Lokasinya cuma bersebelahan dengan padang awam tadi.

Terdapat sebuah menara jam dan taman permainan kanak-kanak.

Eh, ada almari comel menempatkan bahan bacaan. Usaha yang baik! Saya ambil masa lama sedikit di sini sebab menyusun bahan bacaan yang bersepah-sepah tu. Sakit mata saya tengok. Ada buku berbahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Beginilah saya apabila ke tempat yang penuh dengan hijau alam. Sibuk memerhati dan memotret segala yang terlihat menarik di mata saya. Walaupun akhirnya banyak yang kena delete, sebab tak semua yang cantik dipandang mata, akan nampak cantik dalam bentuk foto.

Letak satu foto bunga sebagai kenangan.

Ok, itu sajalah catatan riadah pagi kami di Tanah Rata, Cameron Highlands. Keseluruhan masa yang diambil adalah sekitar 1 jam 30 minit dan dapatlah 6,000 langkah untuk pagi ni. Alhamdulillah, seronok dapat jalan-jalan menikmati udara pagi yang nyaman di CH. Orang pun tak ramai, tenang je.




Thursday 11 August 2022

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands Sudah Boleh Dilalui

JUMAAT | 29 JULAI 2022

Selesai urusan encik suami di Kuala Lipis, perjalanan kami diteruskan untuk kembali ke rumah di PP. Berdasarkan jarak dan masa, memang lebih baik jika kami melalui jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands (Laluan Persekutuan 102 juga dikenali sebagai Jalan Ringlet - Sungai Koyan).

Beberapa hari sebelumnya, saya dah pun buat semakan status laluan tersebut di laman FB rasmi ‘JKR Cameron Highlands’. Ini kerana sejak bulan Mei 2022, laluan ini ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di beberapa tempat. Kalau tak semak status, nanti kecewa bila tiba di pertengahan jalan kena berpatah balik pula. 

Jadinya dah boleh lalu atau tidak ni? Alhamdulillah, dah boleh lalu bermula 7 Julai 2022 lalu. Tetapi pembukaan sebelah laluan dan untuk kenderaan ringan dengan had muatan 5 tan ke bawah sahaja sebab kerja-kerja penyelenggaraan masih belum siap.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands
Berdasarkan catatan di blog, kali terakhir kami melalui jalan ini adalah pada bulan Mac 2022. Iaitu sekitar 4 bulan yang lalu. Papan tanda amaran kawasan lintasan hidupan liar (dengan gambar gajah) tu macam baru juga dipasang. Tak tahulah kot memang dah lama wujud tapi saya yang tak perasan. Siap ada nombor telefon PERHILITAN tertera di situ.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Lokasi pertama.
Ada 2 tempat di mana hanya sebelah laluan saja dibuka. Ini yang pertama, lokasinya berhampiran Empangan Susu.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Lokasi kedua.
Dan satu tempat lagi ni terletak tak jauh selepas lokasi pertama tadi. Saya rasa seram juga bila pandang kawasan tanah yang runtuh semasa melalui kedua-dua tempat ni. Tempat-tempat lain cuma ada sedikit kerosakan jalan atau runtuhan kecil di bahu jalan. 

Sampai di simpang tiga ini, tamatlah laluan dengan jarak sekitar 80 km. Nak balik rumah PP, ambil ke kiri untuk lalu Jalan Tapah. Tapi kami ambil ke kanan, sebab kami nak bermalam di Tanah Rata. Dari Tanah Rata boleh terus lalu Jalan Simpang Pulai untuk balik rumah. Walau pun sedia maklum esok hari Sabtu mesti sesak jalan di CH, tambahan pula cuti Awal Muharam. Kami bukan nak jalan ke mana pun, sekadar nak menikmati udara sejuk dan nyaman di CH.

Aidilbadri Strawberries Tanah Rata
Makan di Aidilbadri Strawberries Cafe & Farm.
Sampai di Tanah Rata, kami terus ke Kampung Taman Sedia untuk mengisi perut. Masa tu dah lewat petang, iaitu sekitar pukul 6.20 petang. Kedai makan yang ada di situ banyak yang sedang berkemas untuk menutup operasi. Mujur ada sebuah kedai makan yang masih menerima pengunjung. Dapatlah kami makan di Aidilbadri Strawberries Cafe & Farm. Pertama kali kami mencuba makan di sini. Alhamdulillah sedap nasi lemak sambal strawberi, scone dan yang paling sedap fudgy brownies.

———————————————————————————————-

Esok paginya hajat di hati nak pergi mengulang makan fudgy brownies, tapi memang tak dapatlah. Hujung minggu di Cameron Highlands adalah hari-hari yang cukup sesak. Walaupun konon dah berpagian (sampai di Kampung Taman Sedia sebelum pukul 8 pagi), tapi kami tak dapat parkir. Siap pusing belakang ikut jalan ke Jabatan Perhutanan tu pun masih tak dapat tempat parkir yang selamat. Takpelah, bukan rezekinya. Syukur juga dah dapat makan petang semalam, lagi pun tak bagus selalu makan manis-manis (ayat pujuk hati…haha).

Tengah hari Sabtu, disebabkan kesesakan teruk dari pekan Tanah Rata arah ke Kea Farm, kami ambil keputusan lalu Jalan Tapah untuk balik ke rumah (sepatutnya ikut Jalan Simpang Pulai untuk balik ke utara). Berdasarkan pengalaman lalu, kami pernah ambil masa selama beberapa jam dari Pekan Tanah Rata untuk sampai ke simpang tiga Kampung Raja disebabkan kesesakan jalan.

Jadinya pilihan terbaik adalah melalui Jalan Tapah. Kenderaan kami bergerak lancar kecuali di beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti di Cameron Bharat Plantation. Merasalah kami melalui Jalan Tapah yang dah bertahun tak pernah kami lalui. Jalan Tapah ni merupakan laluan dari/ke Cameron Highlands yang paling mencabar berbanding laluan lain - sempit, berliku dan ada tempat yang sukar untuk kita nampak kenderaan dari arah bertentangan.



Wednesday 10 August 2022

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang

Sudah beberapa entri saya bercerita tentang kedai makan Warong Muse yang terletak di Muse Ecopark, Gua Musang. Kali ini saya nak berkongsi cerita tentang sebuah kedai kopi yang terletak di kawasan sama, iaitu di Muse Ecopark.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Inilah kedai kopinya - KB Brewster, merupakan salah sebuah cawangan KB Brewster yang terdapat di Kelantan.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Pemandangan alam yang menarik, kawasan ini dilatari perbukitan batu kapur.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Nun di hujung sana terletaknya Warong Muse.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Sebuah kedai kopi dengan konsep moden dan minimalis. Kalau orang sekarang panggil kedai kopi hipster. Di sini kita boleh pilih nak duduk di bahagian dalam kedai atau nak lebih santai boleh pilih duduk di bahagian luar saja.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Menu yang ditawarkan di sini - minuman kopi, ada juga minuman selain kopi dan pilihan makanan Barat.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Ada juga beberapa pilihan kek. Ish...menggoda sungguh, tapi kena kawal diri supaya tak makan terlampau banyak. Tak apa, yang kita belum cuba makan ni Insya Allah kita ‘simpan’ untuk kunjungan akan datang ya. Hehe.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Inilah pilihan kami - hot latte, cold mocha, chicken chop dan pasta bolognese. Pasta bolognese di sini menggunakan pasta angle hair. Kalau buat sendiri di rumah pun saya gunakan angle hair sebab lebih sedap dan senang dikunyah berbanding spaghetti.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Kami makan di meja luar, lebih santai sambil menikmati suasana sekitar.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Pemandangan luas dari meja makan kami - landasan keretapi, kawasan perumahan baru, kubah Masjid Razaleigh dan perbukitan. Santai sungguh makan di sini sambil dihembus angin petang.

KB Brewster di Muse Ecopark, Gua Musang
Ni foto hari lain (esok harinya), singgah lagi ke sini membeli minuman dan donut sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis pula. Kebetulan saya nampak keretapi menghampiri kawasan Stesen Keretapi Gua Musang ni, segera saya memotret. Setelah beberapa kali makan di kawasan Muse Ecopark, ini kali pertama saya nampak keretapi lalu di sini. Insya Allah jika ada kesempatan, teringin juga saya nak mencuba naik keretapi ke laluan berdekatan. 

Ada ke Gua Musang? Bolehlah mencuba menu yang ada di KB Brewster ni. Harganya saya rasa agak premium jika diukur berdasarkan lokasi (bandar Gua Musang). Tetapi dengan konsep kedai dan rasa makanan serta minuman yang memenuhi cita rasa, ianya boleh dikatakan berbaloi.