Thursday 29 July 2021

30 Tahun Persahabatan


Gambar kenangan pertemuan pada 28 - 29 Julai 2018.

Sepatutnya pada tahun ini, saya dan kawan-kawan sekolah menengah merancang untuk mengadakan pertemuan. Reunion sempena 30 tahun persahabatan kami. Tapi apa kan daya, situasi pandemik hampir menguburkan segalanya termasuklah perancangan kami.

Cuma mampu mengenang detik indah pada pertemuan selama dua hari satu malam, tiga tahun lalu. Gelak tawa, keriuhan usik-mengusik, tidur bersama, solat jemaah bersama, masak bersama dan segala-galanya. Semuanya penuh keseronokan, riuh sama seperti zaman kami bersama selama 5 tahun di asrama dulu. Lupa pada usia masing-masing yang sudah menginjak 40 pada tika itu.

Semoga perancangan kami dapat direalisasikan pada tahun hadapan, dengan izin Allah. Sesungguhnya bila usia semakin meningkat, keberadaan bersama kawan-kawan sekolah bagaikan satu suntikan vitamin bahagia. Mengenang cerita lalu, gambar zaman sekolah, semuanya menghadirkan rasa bahagia.

1991 - 2021, 30 tahun persahabatan dan insya Allah kekal selamanya.


Wednesday 28 July 2021

Di Mana Terangnya Bulan

Judul : DI MANA TERANGNYA BULAN
Penulis : Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS Litera
Tahun terbit : 2013
Jumlah muka surat : 339
Harga : RM25

Buku yang saya miliki ini merupakan buku edisi 1+1, sebuah buku dengan dua judul novel. Saya membelinya kerana nak membaca novel berjudul Penulis Yang Disayang Tuhan (boleh baca ulasannya DI SINI). Setelah sekian lama, barulah saya membaca judul satu lagi iaitu Di Mana Terangnya Bulan.

Melihat kulit buku, saya sangkakan watak utama novel ini adalah seorang perempuan. Tetapi rupa-rupanya novel ini mengisahkan watak seorang pelajar lelaki di Kolej Melayu Tinggi bernama Kamarul. Ia berkisar perjuangan Kamarul demi meneruskan pengajiannya di kolej tersebut. Tetapi ceritanya tidaklah seringkas itu.

Kamarul menghadapi pelbagai cabaran - teman serumah yang tiba-tiba menghilangkan diri dan kemunculan lelaki berambut panjang yang tiba-tiba menjadi teman serumahnya. Kamarul juga secara terpaksa telah terlibat dengan geng penjenayah. 

Walaupun kisah Kamarul penuh dengan keserabutan pelbagai masalah, novel ini disampaikan secara humor yang sering membuat saya tersenyum geli hati. Mana tak geli hati, kalau ketua geng penjenayah merupakan seorang yang minat memasak dan suka memberi nasihat.

Petikan novel 
Hati ini umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap kita. Jadi sekiranya hati kita gelap, dan samar, ia juga akan dapat dilihat pada sikap kita. Mudahnya, hati kita ini, boleh samar, boleh gelap dan juga boleh menjadi terang. Tetapi, samar, gelap dan terangnya bulan bukan kerana cahayanya sendiri. Tetapi cahaya daripada matahari. Hati kita juga begitu, samar, gelap dan terangnya hati kita bukan kerana hati itu sendiri tetapi akibat daripada apa yang kita niatkan. Niat itu yang memancarkan cahaya kepada hati, ia juga yang memberikan gelap dan samar. Jadi berhati-hati dengan apa yang kamu niatkan.” - halaman 335.

Di Mana Terangnya Bulan, bacaan santai yang menghiburkan dan membawa mesej yang baik kepada pembaca. 


Monday 19 July 2021

Kiriman Dari Kampung

Jumaat lepas, adik ipar bagitau ada membuat pengeposan buah dari kampung untuk kami. Hari Sabtu, semak status dah keluar untuk penghantaran. Sampai ke malam tunggu, tak ada pulak. Dah malam-malam tu orang kurier telefon bagitau akan hantar esok (Ahad) dan bertanya sama ada kami ada di rumah atau tidak.

Alhamdulilillah…semalam waktu tengah hari bungkusan selamat diterima. Kiriman buah-buahan dari rumah mak mentua saya di Batu Pahat, Johor. Jauh perjalanan buah-buahan ni dari selatan ke utara. 

Berat kotak ni. Bila dibuka, penuh dengan buah rambutan dan manggis. Entah berapa kilo saya pun tak pasti. Cuma tau caj pos untuk bungkusan ni sebanyak RM22, menggunakan khidmat kurier J&T.

Alhamdulillah…buah-buah semua masih dalam keadaan baik. Tapi kalau dah tak elok pun, tak boleh salahkan kurier. Pengeposan makanan di atas tanggungan risiko sendiri.

Buah rambutan dan manggis hasil pokok di rumah mak mentua.

Sekali hadap je, habis kira-kira 1/3 daripada isi kotak tadi. Tak boleh nak berlama-lama makan di rumah, sebab suami ada temujanji vaksin dos pertamanya di Dewan Serbaguna Sungai Bakap. Sambung balik petangnya.

Alhamdulillah…semua buah-buahan dapat dimakan kecuali sebiji manggis je isi buah rosak. Walaupun tak dapat balik kampung, dapat juga merasa hasil buah di kampung. Tercapai hasrat mak mentua nak bagi anak-anak merasa. Selain untuk keluarga kami, buah-buahan ni juga dipos ke keluarga adik di Perlis. Cuma yang tinggal di Sabah je tak dapat nak poskan.



Saturday 17 July 2021

Durian IOI RM13/kg?

Siang tadi semasa keluar membeli barang dapur, kami singgah membeli durian di sebuah gerai durian di hadapan Masjid As-Solihin Kampung Kepala Gajah. Suami kata, sementara tengah musim durian ni kita makanlah puas-puas (ayat nak kurangkan rasa bersalah sebab membeli durian lagi dan lagi…haha).

Kali ni suami memilih durian IOI yang sudah merekah hujungnya. Menurut penjual, durian IOI gred A (saiz besar) ni baru sampai semalam tetapi hari ini sudah merekah hujungnya disebabkan cuaca panas. Harga biasa untuk durian IOI gred A, RM25/kg. Tapi sebab dah merekah, penjual menawarkan harga RM13/kg. Memang sangat murah!

Setiap durian berikat getah dihujungnya sebab dah merekah. Sebelum beli, durian ditebuk sedikit untuk melihat isi durian.

Satu daripada tiga biji buah durian yang kami beli ni mempunyai 7 pangsa. Orang kata kalau buah durian lebih 5 pangsa, isinya kurang padat dan sedikit. Tak pastilah maksudnya macam mana, yang ni saya tengok ok je banyak. Pangsa yang kosong tu sebab dah dimakan/ambil letak dalam bekas.

Antara isi buah durian IOI.

Sebahagian makan terus, sebahagian lagi simpan dalam peti sejuk.

Kalau nak membeli buah durian, memang perlu elak beli yang merekah sebab berkemungkinan isinya dah tak elok dan masam. Tapi kalau merekah dan elok, apa salahnya kan. Dapatlah makan durian sedap dengan harga rendah daripada biasa. Yang kami perasan, bezanya cuma bau durian ni dah tak berapa kuat dan agak kurang ‘gas’. 







Thursday 15 July 2021

Catatan Pengalaman Suntikan Dos Pertama Vaksin CoronaVac (Sinovac)

Alhamdulillah, semalam (Rabu, 14 Julai 2021) saya sudah pun selesai menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. Lokasi Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) saya di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang terletak kira-kira 13 km dari rumah.

Temujanji vaksin pukul 2 petang. Saya tiba di sini lebih awal iaitu sekitar pukul 1.40 petang. Pukul 1-2 petang merupakan waktu rehat di PPV. Jadinya saya perlu duduk menunggu di kerusi bahagian luar dewan ni sehingga pukul 2 petang. Kelebihan datang awal, dapatlah saya menunggu di khemah awal (yang ada orang ramai sedang duduk tu). Bila menghampiri pukul 2 petang, kerusi sebelah kiri yang kosong tu pun dah dipenuhi orang ramai.

Di sinilah saya duduk menunggu. Alhamdulillah cuaca sedang-sedang je, tak hujan dan tak panas terik. Ada sebiji kipas di bahagian tengah khemah ni, betul-betul kat atas saya. Nyaman la jugak.

Pukul 2 petang, barisan dah mula bergerak masuk ke dewan. Kerusi depan kosong, yang belakang akan diarahkan bergerak lagi ke depan. Begitulah seterusnya. Sebelum masuk ke dewan, kita akan melalui stesen pertama - saringan gejala dan suhu (imbas suhu pada alat pengimbas) dan terus ke stesen kedua - pendaftaran.

Di stesen kedua - pendaftaran, beri kad pengenalan dan petugas bertanya “Ada kencing manis, darah tinggi…?”. Saya kemudiannya diberi Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 ni dan nombor pendaftaran. Sempatlah duduk sekejap sambil isi borang sebelum diarahkan masuk ke dewan. Dalam dewan, perlu duduk lagi menunggu giliran di stesen ketiga - konsultasi dan persetujuan imunisasi. Hulurkan borang tadi dan kad pengenalan, doktor bertanya sejarah penyakit (juga umur dan pekerjaan, terdiam kejap lupa umur sendiri…haha).

Seterusnya, duduk di sini pula menunggu giliran di stesen keempat - suntikan vaksin. Ada dua barisan untuk setiap bilik suntikan vaksin. Masuk berdua. Yang bagusnya, jururawat aturkan masuk berdua tu sama jantina je. Jadinya takdelah kita perempuan ni rasa tak selesa terpaksa terima suntikan depan lelaki.

Tiba giliran, saya masuk bersama seorang perempuan berbangsa Cina. Dua orang jururawat menanti dan memberi salam kepada saya (patut saya la yang masuk beri salam…aduhai lupa pulak). Saya duduk di sebuah kerusi yang tersedia. Jururawat bertanya, “Umur berapa? Ada kencing manis, darah tinggi?”. Beliau kemudiannya beritahu, “Ok ni vaksin Sinovac, 0.5 ml”. Sambil menunjukkan kepada saya jarum suntikan vaksin yang dipegangnya. Saya singsing lengan baju sebelah kiri dan bersedia untuk menerima suntikan. Jururawat beritahu lagi, “Saya cucuk ya..”. Tanpa rasa sakit walau sedikit pun, tau-tau dah siap! Jururawat tunjukkan sekali lagi jarum suntikan tadi, “Ok, ni dah cucuk ya..”. Lepas tu tak terus keluar, sebab menunggu perempuan berbangsa Cina tadi yang masih bersoal jawab mengenai vaksin dan masih belum dicucuk vaksin. Kedua-dua jururawat melayan dan menjawab dengan sangat baik.

Dah siap, kami berdua keluar dari bilik suntikan vaksin dan diminta imbas kod bar di luar bilik (klik imbas pada bahagian temujanji vaksin MySejahtera kita). Lepas tu terus ke satu kaunter lain untuk mendapatkan kad vaksinasi. Kat sini pun sekali lagi perlu duduk menunggu giliran.

Kad vaksinasi saya, tertera ‘Anda telah menerima vaksin CoronaVac’. Biasa kita sebut Sinovac, sebenarnya Sinovac tu nama syarikat pengeluar - Sinovac Life Sciences Co. Ltd. China. Nama vaksin ialah CoronaVac. Lepas dapat kad ni, kita ke stesen kelima - pemerhatian.

Duduk sekitar 15 minit di stesen pemerhatian untuk pemantauan kesan sampingan. Tengok orang sebelah selfie, saya pun terus selfie jugak. Hehe. Lepas tu edit la sendiri guna aplikasi Canva jadi gini. Kat sini tak ada plakad atau apa-apa prop ‘Saya Sudah Divaksin’ tu. Bagus juga, agak kurang selamat jika berkongsi pegang benda yang sama.

Lepas keluar dewan baru ada satu prop frame, tapi saya tak bergambar kat situ sebab datang seorang je. Tak mau la kasi orang pegang handphone kita semata-mata untuk ambil gambar. Dalam situasi merebaknya varian delta yang lebih ganas ni, saya rasa tak selamat nak berkongsi pegang apa-apa (termasuk pegang plakad atau minta tolong orang ambil gambar guna handphone kita). Ni pun dah rasa tak selesa sebab asyik bertukar tempat duduk, saya nampak ada juga yang sentiasa guna sanitizer spray setiap kali sebelum duduk di kerusi.

Ok, sekian catatan pengalaman saya. Alhamdulillah urusan dari mula menunggu sampai keluar dewan mengambil masa sekitar 1 jam. Proses berjalan lancar, kecuali pada awalnya ada sedikit kekeliruan dek petugas RELA yang saya rasa tak memberi arahan dengan jelas dan kemudiannya mula bercakap dengan nada marah terhadap orang ramai.

Berkenaan kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin CoronaVac, Alhamdulillah sehingga setakat ini (selepas lebih 24 jam suntikan) saya baik-baik saja. Cuma sesekali ada terasa sengal sedikit pada lengan yang disuntik bila melakukan pergerakan tangan. Berbeza bagi mereka yang mendapat suntikan Pfizer / AstraZeneca yang nampaknya lebih memberi reaksi pada tubuh penerima.

Temujanji dos kedua saya insyaAllah pada hari ke-21 selepas dos pertama, iaitu pada 4 Ogos 2021.



Wednesday 14 July 2021

Risalah #MalaysiaMembaca

 
Judul : RISALAH #MALAYSIAMEMBACA
Penulis : kompilasi penulis
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2019 (cetakan kedua, 2021)
Jumlah muka surat : 127
Harga : RM25

Naskhah ini merupakan kompilasi penulisan oleh 8 orang pencinta buku (antaranya Dr. Maszlee Malik, Nurul Izzah Anwar dan Hasrizal Abdul Jamil) berkenaan perjalanan peribadi mereka sebagai pembaca buku sehingga mempengaruhi hidup sehingga kini. Siapa yang mendorong mereka minat membaca? Buku-buku apa yang mengubah hidup mereka sehingga menjadi siapa mereka pada masa sekarang? Itu yang menarik minat saya untuk meneruskan pembacaan buku Risalah #MalaysiaMembaca ini.

Berkenaan dengan slogan dan tanda pagar #MalaysiaMembaca, ia dipilih dan mula dipopularkan sewaktu Dr. Maszlee Malik menyandang jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 2019 dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu.                                                                                                                                                                                                                                                                               

Antara kata-kata / petikan menarik di dalam buku ini :
1. “Tidak perlu menghancurkan buku untuk meruntuhkan peradaban, sebaliknya hanya perlu memastikan orang berhenti membaca, runtuhlah segala-galanya.” - Ray Bradbury

2. “HAMKA yang kurasakan dirinya itu ialah sebuah lautan yang begitu luas dan di dalamnya penuh dengan rahsia kehidupan.” - Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad.

3. Jika kita tidak membaca, kita tidak bertumbuh.

4. Merantau mengajar kita menterjemahkan teks kepada konteks. Melihat catatan tinta, di alam nyata. Buku membahaskan keberanian, merantau memberi peluang mengasahnya.

5. Buku apabila tidak dibaca, ia hanyalah lembaran-lembaran kertas tanpa makna. Jadi, ia sia-sia. Buku memerlukan pembaca, untuk ia menjadi buku.

6. Peribadi yang kuat menentukan arus, bukan ditentukan oleh arus.

7. Mengisi waktu dengan dapatan yang berfaedah, hasilnya bukan serta-merta. Prosesnya mengambil masa. Anda akan melihat dunia cerah, walau mungkin kelam kepada sesetengah warganya.

8. Sedangkan membaca bukan pilihan tetapi ialah keperluan. Seperti kita perlu makan untuk mengenyangkan perut, kita juga perlu membaca buku untuk mengenyangkan minda.

9. Membaca ialah perjalanan diri, bukan perlumbaan dengan orang lain.

10. …buku ialah senjata yang mampu mempengaruhi pemikiran dan peribadi seseorang.

Hasil pembacaan buku Risalah #MalaysiaMembaca ini juga membuatkan saya berminat nak membaca beberapa judul buku yang disebutkan oleh para penulis. Antaranya - The Alchemist karya Paulo Coelho (terjemahan Bahasa Melayu dengan judul Ahli Alkimia), Manuklon karya Rahmat Haron dan  Sejarah Umat Islam karya HAMKA. Saya juga mendapati hampir semua penulis di dalam buku ini mengangkat karya-karya HAMKA sebagai antara bahan bacaan yang mereka gemari.




Monday 12 July 2021

Kucing Tidur


Rupanya-rupanya istilah ‘kucing tidur’ bagi durian ada dalam kamus DBP…hehe.

Orang lain dah lama ber’durian’, kami baru merasa durian untuk musim kali ini. Dapatlah isi durian ‘kucing tidur’ ni. Sebiji durian, cuma ada empat ulas. Isinya tebal, rasanya manis. Beli kat pasaraya C-Mart, tu yang siap ada tanda harga. Pertama kali beli durian kat pasaraya tau…haha. Durian jenis apa? Tak pasti pulak.

Hajat di hati nak merasa makan durian di Balik Pulau sementara tinggal di PP ni. Tapi nampaknya belum ada rezeki. Pandemik hampir membataskan segalanya. Takpelah, semua ini datang daripada Allah. Kita hamba-Nya cuma perlu kekal sabar dan terus berusaha serta berdoa supaya dapat melepasi detik sukar ini.


Friday 9 July 2021

SMS Di Subuh Jumaat

 Subuh tadi, saya terima satu SMS…

Wah…saya agak terkejut bercampur gembira. Terus jari menekan aplikasi MySejahtera.


Alhamdulillah! Saya dapat tarikh untuk vaksinasi dos pertama.

InsyaAllah 5 hari lagi. Terus rasa berdebar, entah apa sebabnya. Haha. Tanya suami, kot dia pun terima SMS serupa. Boleh kami pergi bersama. Tapi agak hampa, tiada.

Sekitar pukul 7 lebih, barulah suami pula dapat SMS. Alhamdulillah, suami dapat tarikh temujanji pada 18 Julai. Lega rasanya bila sama-sama dah dapat tarikh temujanji. Sebab kami daftar hari yang sama dengan niat boleh dapat tarikh sama. Tapi takpe tak sama pun, yang penting dua-dua dapat. 

Sebenarnya saya dah rasa pasrah menunggu sejak Februari, berebut slot vaksin AZ tempohari pun gagal. Jadinya saya berdoa kepada Allah supaya berikan saya tarikh dan jenis vaksin yang sesuai untuk diri saya. Saya dah tak kisah cepat atau lambat. Alhamdulillah hari ini dapat juga.

Semoga Allah permudahkan urusan vaksinasi kita, moga cepat semua orang yang mendaftar dapat vaksin. Yang tak mahu daftar, saya doakan moga Allah membuka pintu hati mereka. Kita semua berharap agar dapat segera keluar daripada situasi pandemik ni. Vaksin adalah salah satu usahanya.


Tuesday 6 July 2021

Nak Masak Apa Dengan Udang?

Baru-baru ni ada orang beri kepada suami saya udang segar dari kolam air masin dalam kuantiti yang agak banyak. Walaupun saya tak suka makan udang, tapi saya seronok tengok udang segar yang banyak tu dan rasa semangat nak memasak.

Jadinya nak masak apa dengan udang banyak-banyak? Inilah antara hasil masakan saya menggunakan udang…

Paprik udang.

Sambal goreng Jawa. Digandingkan pula dengan ayam masak kicap, terus rasa macam hari raya kat kampung kami di Johor. Kalau di kampung saya Pontian, biasanya kami masak sambal goreng Jawa versi cerah. Manakala di kampung suami Batu Pahat, sambal goreng Jawa versi gelap (kicap). Yang ni saya masak versi tengah-tengah, tak gelap sangat dan tak cerah sangat…hehe.

Biasanya masak tomyam merah, kali ni saya masak tomyam putih. Pertama kali saya memasak tomyam putih dan pertama kali saya membeli sos ikan (antara bahan untuk masak tomyam putih). Sedap hirup kuahnya. Cara memasaknya saya tengok di You Tube Che Nom.

Cucur udang, dah dua kali buat. Kali pertama makan cara utara, iaitu dimakan dengan kuah sambal kacang. Kali kedua, makan dengan sos cili je (tambah dengan air panas sikit dan kacau kasi cair). Disebabkan saya tak makan udang, ada sebahagian dimasak tanpa udang (kira cucur sayur laa…isi taugeh dan kucai).

Masakan udang yang mula-mula saya terfikir nak buat bila nampak udang banyak - sambal udang. Kali ni saya tambah sos tiram sikit, sedap!

Masakan semalam - lontong. Makan dengan sambal kacang Jamilah Mansor yang dicampur potongan daging burger Ramly. Yang ada udang tu untuk suami, saya punya tanpa udang. Licin kami berdua makan!

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas rezeki ini.

Nak masak apa dengan udang? Bolehlah cuba masakan di atas. 


Saturday 3 July 2021

Jalan-jalan Hujung Minggu (versi PKP)

Dengan sekatan PKP - tak boleh merentas daerah dan pergerakan tidak melebihi 10 km radius, beginilah acara ‘jalan-jalan’ hujung minggu saya…

Ke Lesong Mart Membeli Barang Keperluan

Inilah kedai yang menjadi kunjungan saya hampir setiap hujung minggu. Kat sini dapatlah saya membeli ayam Ladangku dan telur ayam segar (kuning telur yang masih kukuh dan elok bentuk bulatnya). Kerap kali bila membeli telur ayam di pasaraya berhampiran rumah, saya dapat telur ayam yang dah tak segar.

Kat kedai ni terdapat banyak pilihan produk buatan Muslim. Saya dapati di bahagian utara ni memang lebih rancak penghasilan produk Muslim berbanding di tempat lain. Jadinya ada banyak pilihan produk dan bermacam jenama. Antara produk dari utara yang saya suka guna - rempah kari cap 0 dan kicap Mudim.

Hmm…saya tak tau nak rasa geli hati atau rasa marah dengan peraturan sekarang. Alat tulis dah jadi barang larangan jual. Geleng kepala.


‘Makan Angin’ Dari Dalam Kereta
Selesai membeli barang keperluan, saya ajak suami ‘makan angin’. Kereta kami menghala ke IKEA Batu Kawan.

Deretan pokok kelapa yang menarik perhatian saya.

Unit kediaman dan unit komersial Utropolis, Batu Kawan. Tahun lepas semasa nak mencari rumah sewa, Utropolis ni antara yang masuk dalam senarai pilihan kami. Syukur jumpa rumah lain (yang sekarang saya duduk), sebab Utropolis ni mahal (bagi kami) dan persekitaran yang tak berapa seronok untuk didiami. Cuma seronok dekat dengan IKEA dan Design Village je la, mudah nak jalan-jalan. Tapi musim pandemik bukan boleh jalan-jalan pun, semua tutup. Hehe.

Kereta kami kemudiannya masuk ke Kawasan Perindustrian Batu Kawan sebelum menghala balik ke rumah. Barulah tau kilang Western Digital pun ada kat sini. Ternampak juga bangunan asrama Western Digital (macam belum beroperasi), nampak ada papan tanda klinik dan kedai gunting rambut di bangunan tersebut. Bagus sungguh.

Ok, beginilah cerita jalan-jalan hujung minggu saya hari ini. Sengaja saya abadikan di blog sebagai satu memori, maklum saja keberadaan saya di PP ni hanyalah sementara.






.