Tuesday 28 September 2021

Feri ‘Pulau Rimau’

Cerita hari Ahad lepas. Sebelum ke Queensbay Mall, saya dan suami sempat berjalan-jalan di sebuah taman awam berhampiran. Masa ni sekitar pukul 10 pagi, tak begitu ramai pengunjung.

Dua laluan disediakan - satu untuk aktiviti joging dan satu lagi untuk aktiviti berbasikal.

Taman awam ni terletak di pesisiran pantai dan bertentangan dengan Pulau Jerejak. Ni pandangan sebelah kiri, boleh nampak Jambatan Pulau Pinang. Juga ada sebuah feri ‘berlabuh’.

Ini pula pemandangan sebelah kanan, boleh nampak Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Feri ‘Pulau Rimau’
Feri yang kelihatan sedang berlabuh tadi, itulah feri Pulau Pinang dengan nama feri ‘Pulau Rimau’. Hairan juga kenapa ianya semacam tersadai di sini.

Feri ‘Pulau Rimau’
Selepas itu barulah saya tahu bahawa feri ini sudah dibeli oleh sebuah syarikat dan berkemungkinan bakal diubah menjadi restoran. Buat masa sekarang, di sinilah feri ini ‘berlabuh’. Entah apa pula kisahnya dengan feri-feri lain.

Untuk info - selepas 126 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan feri sudah ditamatkan pada penghujung tahun 2020.

Memori Feri Pulau Pinang
Seumur hidup, cuma sekali saja saya berkesempatan merasai pengalaman menaiki feri Pulau Pinang iaitu sekitar 15 tahun lalu. Kebetulan masa tu suami ada kerja luar di Juru (bahagian tanah besar PP). Terus kami ambil peluang untuk merasa bawa kereta menaiki feri ke bahagian pulau PP. Memang teruja sungguh masa tu.

Sayangnya, bila dah berpindah ke PP ni tak sempat pulak merasa naik feri lagi. Tau-tau dah tamat perkhidmatan. Hmm…tiada rezeki. 



Friday 24 September 2021

Ekuinoks September 2021

 Semalam merupakan hari ekuinoks. Apa itu ekuinoks?
Jom baca info pada poster berikut :

Poster fb Apadilangit.
Poster fb falakonline.
Inilah juga masanya untuk kita lihat di manakah kedudukan TEPAT arah TIMUR dan BARAT dengan cara melihat matahari TERBIT dan TERBENAM.

Disebabkan kedudukan rumah saya di PP ni cuma menghadap matahari terbenam, jadinya tiadalah gambar matahari terbit untuk melihat kedudukan tepat arah timur. Boleh diusahakan, tapi kurang rajin pulak nak keluar rumah.

Ekuinoks September 2021
Matahari terbenam pada 23 September 2021, 7:07pm. Sila klik gambar untuk paparan lebih jelas.
Matahari yang kita nampak akan sentiasa berubah kedudukan terbit/terbenam, tidak tetap pada satu kedudukan saja (hakikatnya matahari berada tetap pada kedudukannya, cuma bumi yang berputar mengelilingi matahari. Boleh tonton DI SINI untuk pengetahuan).

Maka semalam dapatlah saya lihat di manakah kedudukan tepat BARAT dengan cara melihat kedudukan matahari terbenam (lihat gambar di atas). Beginilah cara lain nak tentukan arah, selain menggunakan kompas.

Begitu indah dan hebat kuasa Allah mengatur segalanya. Kita sebagai mukmin seharusnya berfikir dan merenung kejadian alam. Semoga dengan rasa ingin tahu kita tentang persoalan ‘bagaimana sesuatu terjadi’, akan mengukuhkan keimanan kita kepada Allah.






.

Wednesday 22 September 2021

Aduan Kerosakan Lampu Jalan TNB Menerusi SMS, Mudah dan Pantas!

Salah satu lampu jalan di lorong rumah Mak saya di kampung Johor mengalami kerosakan. Saya cuba menghubungi talian 15454 untuk membuat aduan kerosakan. Selepas menekan pilihan bahasa, terus muncul suara memberitahu lokasi-lokasi yang sedang mengalami gangguan elektrik. Eh, panjang pulak dia bercakap dari satu negeri ke satu negeri. Malas nak menunggu, saya tamatkan panggilan.

Saya kemudiannya buka laman web TNB, mencari kalau ada cara lain untuk kita buat aduan. Oh, rupanya boleh juga buat aduan menerusi SMS. Begini caranya 👇🏽

Tangkap layar daripada laman web TNB.

Saya tak daftar, terus je buat aduan sebab yakin nombor telefon saya sudah ada dalam sistem TNB. Ini bukan kali pertama saya buat aduan kerosakan lampu jalan.

Saya menghantar SMS di atas pukul 2.36 petang, 20 September lalu. Sejurus selepas itu, satu panggilan masuk diterima (tertera lokasi pemanggil - Semenyih). Rupa-rupanya panggilan dari pihak TNB berkenaan aduan SMS saya tadi. Pantas!

Setelah menjawab beberapa soalan pengesahan aduan dan memberi maklumat berkenaan tiang lampu yang rosak (besi atau konkrit, berbayar bulanan atau tidak, paling penting - nombor tiang), saya diberi jaminan bahawa kerosakan akan dibaiki dalam tempoh 24 jam.

Saya fikir tentu esok hari baru pihak TNB akan baiki. Saya buat aduan pun dah petang. Tapi sekitar pukul 8.30 malam (hari yang sama), saya terima panggilan dari seseorang bertanyakan lokasi lorong rumah Mak saya. Katanya nak baiki lampu jalan yang rosak. Terkejut juga, tak sangka mereka buat kerja jugak waktu malam.

Alhamdulillah, selesai hal lampu jalan rosak hanya dalam tempoh masa kurang 7 jam daripada masa aduan dibuat. Memang terbaik sungguh servis TNB 👍🏽

Selepas itu baru saya tahu bahawa sudah bertahun lama ada servis SMS ni. Saya je yang ketinggalan info. Jadinya saya catatkan di blog kot ada orang yang belum tahu macam saya jugak 😄. Tapi sebelum buat aduan tu kenalah pastikan tu tiang lampu di bawah selenggaraan pihak mana. Bukan semua tiang lampu kepunyaan TNB tau. Boleh tahu dengan membaca info pada tiang lampu berkenaan.



Tuesday 14 September 2021

Perempuan dari Masa Lalu

 
Judul : PEREMPUAN DARI MASA LALU
Penulis : Wafa Awla
Penerbit : Jiwa
Jumlah halaman : 93
Harga : RM20

Membaca judul buku ini saja sudah terbit rasa nyaman, apatah lagi bila saya membaca isinya. Perempuan dari Masa Lalu merupakan kumpulan 34 puisi dan monolog karya sulung Wafa Awla. Ini juga merupakan buku puisi pertama karya penulis Malaysia yang saya miliki. Sebelumnya, saya sudah memiliki sebuah buku puisi berjudul Dikatakan atau Tidak Dikatakan, Itu Tetap Cinta. Hasil karya penulis dari Indonesia, Tere Liye.

Membaca susunan kata di dalam buku Perempuan dari Masa Lalu, sungguh membuat hati saya tenang. Benarlah, kata-kata indah mampu memukau perasaan. Kata-kata yang memujuk rasa. Ditambah dengan ilustrasi, pembacaan puisi menjadi lebih menarik.


Antara puisi yang saya gemari - Puisi Itu Seperti Apa?, Menulis Kepada Takdir dan Seorang Perempuan dari Masa Lalu. Juga monolog Kepada Seseorang yang Patah Hati dan Kepada Seseorang yang Pernah Jatuh Hati.

Aku pernah mencuri ketawa engkau dan menangkapnya. Aku membebaskannya ketika aku sunyi dan aku akan memakainya di mulutku selepas itu. Aku pernah diam-diam menadah air mata engkau dan melarikannya. Malam itu aku menukarnya menjadi sebuah doa…” - petikan monolog Kepada Seseorang yang Pernah Jatuh Hati.


Satu lagi keistimewaan naskhah ini, terdapat kod bar yang membawa pembaca ke aplikasi Spotify. Penulis akan membacakan puisinya untuk kita. Bukan semua, tetapi beberapa puisi terpilih. Walaupun saya sudah membaca sendiri puisi tersebut, tetapi saya masih suka mendengar ia dibacakan oleh penulis. Ada yang mahu dengar? Boleh cari ‘Cik Hujan Podcast’ di aplikasi Spotify.

Saiz buku puisi ini juga kecil (17 cm x 11.5 cm), mudah dipegang juga dibawa ke mana-mana. Bagi saya, buku puisi bukanlah kita baca sekali dan simpan. Tetapi pada masa-masa tertentu kita akan mengulang baca puisi tertentu yang memberi kita kekuatan dan rasa tenang.

Perempuan dari Masa Lalu, mengajar kita untuk melepaskan kenangan dan ingatan masa lalu tanpa perlu melupakan. Ia juga membuatkan kita mampu untuk menanam harapan dan menyiram rindu. Saya bukanlah peminat puisi, tetapi naskhah ini berjaya membuatkan saya menikmati keindahan puisi.

Di akhirnya nanti
kita akan menyedari
bahawa setiap permohonan kita sebenarnya
sudah diperkenankan
walaupun bukan dengan cara yang kita inginkan.
- Perempuan dari Masa Lalu, Wafa Awla



Saturday 11 September 2021

Catatan 11.9

 Catatan hari ini…

Lepas beli barang dapur, terus ke kedai Mee Kuah Ketam To’kun untuk membeli makanan tengah hari. Tapi rupa-rupanya kedai masih belum beroperasi. Mujur boleh beli bungkus (perlu ke lokasi premis untuk servis penghantaran makanannya di tempat lain, tak jauh dari lokasi kedai makan). Mee Kuah Ketam pilihan suami, set nasi ayam kicap (nasi putih, ayam masak kicap, kuah kari, sayur kobis) pilihan saya.

Sebelum ni saya dah sejuk bekukan daun limau purut, daun pandan, daun kunyit dan bunga kantan. Buat pertama kali, saya akan sejuk bekukan pula daun kari. Beli sebungkus daun kari 15 gram. Dalam gambar ni daun kari dan bunga kantan yang sedang ditos. Boleh baca DI SINI bagi yang nak tahu cara simpan daun-daun herba guna teknik pembekuan (freezing). Bunga kantan tu je cara berbeza sikit, lepas tos, belah empat sebab saiz besar, terus masukkan dalam bekas penyimpanan dan simpan di peti sejuk beku.

Maha Suci Allah yang menjadikan keindahan langit senja, bertukar-tukar warnanya dalam sekejapan masa. Gambar ni saya ambil pada pukul 7.30 malam. Belum pernah jemu mata saya memerhati warna langit senja, ada satu perasaan yang menenangkan bila memandangnya.

Sengaja saya abadikan perkara-perkara sekecil di atas sebagai satu memori sepanjang menetap di PP. Tiba suatu masa, catatan ini akan jadi pengubat rasa jika saya merindui detik-detik hari ini. Bagus juga kalau kita tahu tempoh masa kita untuk sesuatu, kita jadi lebih menghargai setiap detik waktu yang berjalan. 

Bagi yang belum tahu, saya menetap di PP cuma untuk tempoh dua tahun dan insyaAllah akan kembali ke rumah sendiri di NS pada pertengahan tahun hadapan.



Friday 10 September 2021

#howmuchhaveyouchangedchallenge

Di media sosial sekarang tengah popular #howmuchhaveyouchangedchallenge. Masing-masing tayang gambar dulu dan sekarang. Saya tertarik pada satu gambar ni…
.
.
.
Gambar oleh Fb : stresskmk

…kerana inilah realitinya 😂😢. Umur semakin meningkat, kadar metabolisme badan makin menurun. Dulu-dulu makan banyak/macam-macam pun berat badan kekal di bawah 50 kg. Sekarang ni nak dapat berat badan ideal iaitu 54 kg pun belum pernah tercapai. Pernahlah hampir-hampir tercapai, tu pun sebab saya mengalami sakit gigi berbulan-bulan. Susah nak mengunyah, mampu makan sikit jelah sampai jadi turun berat badan. Bila gigi dah boleh kunyah, hmmm…berat pun terus-terusan meningkat. Nak kekalkan cara pemakanan yang sihat dan jaga pengambilan kalori memang bukan mudah.

Nak selit sedikit peringatan bagi yang sertai cabaran begini, kalau gambar lama kita tak menutup aurat maka tak perlulah kita letak ya. Memanglah bagus sebab nampak perubahan baik (dulu terbuka, sekarang sudah menutup), tapi tak perlulah kita dedahkan aurat kita yang sekarang kita dah tutup. Kadang bila seronok sertai benda begini, kita jadi terlupa. Takpe, kalau dah terbuat kita boleh delete.



Wednesday 8 September 2021

Nak Ke Mana Tu???

Beberapa hari yang lalu, saya minta jiran di rumah NS untuk tolong kumpulkan segala bil dan surat di peti surat rumah saya. Dah lebih 8 bulan tak dapat menjenguk rumah, mesti penuh peti surat.

Selepas tu jiran hantar kepada saya gambar surat-surat yang sudah diikat kemas dan juga gambar berikut…

Hahaha…tu diaaa, nak menjalar ke manalah tu? Masa bulan Mac jiran (yang lain) ada hantar gambar, nampak macam dah mati pokoknya. Agaknya lepas tu musim hujan, hidup kembalilah dia. Menjalar ke arah rumah, jangan sampai saya balik tengok dia melilit di ampaian baju hujung tu sudahlah 😂

Ni gambar yang saya ambil semasa balik ke rumah NS pada September 2020 lalu. Tinggal dua pokok ni yang masih ada di sana. Money plant / pothos dan orkid harimau. Yang lain semua dah bagi orang. Money plant yang cantik melilit tiang pun dah bagi orang, dalam pasu ni tertinggal sikit dan dia berkembang biak sendiri.

Bila tengok gambar rumah NS, sayu jugak hati. Cepatlah segalanya berlalu, nak balik jenguk rumah NS dan balik kampung di Johor.


Tuesday 7 September 2021

Daulat Tuhanku


Judul : DAULAT TUHANKU
Penulis : Zahiruddin Zabidi
Penerbit : Thukul Cetak
Tahun terbit : 2017
Jumlah halaman : 176
Harga : RM25

Buku dengan judul dan wajah kulit depan yang mengundang rasa pelik ini saya dapat dengan harga yang murah semasa jualan lelong buku-buku terbitan Thukul Cetak (syarikat penerbitan buku indie yang sudah pun menutup operasinya pada awal tahun 2020 lalu).

Daulat Tuhanku. Ya, bukan Daulat Tuanku seperti kebiasaannya. Pada bahagian belakang kulit buku, ada dinyatakan :

Ada pelbagai takrif ‘Daulat’ menurut Kamus Dewan terbitan DBP, apapun kesimpulan akhirnya kita akan berjumpa dengan Raja segala Raja ini kelak dan melihatnya serta berdialog dengannya di negeri abadi yang mana akan dizahirkan kerajaan agung-Nya. Saat itu kita hanya perlukan dan sangat mahukan satu perkara sahaja daripada-NYa iaitu - Rahmat!

Hasil carian saya di laman PRPM menemukan takrifan ‘Daulat’ yang bersesuaian diguna pakai kepada Tuhan, iaitu mempunyai kedudukan yang tinggi dan berkuasa (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Buku Daulat Tuhanku membawakan penulisan berkenaan politik, sejarah dan isu semasa yang bersangkutan agama Islam di peringkat Malaysia juga antarabangsa. Buku yang menarik, cuma kadang kala saya rasa kurang puas membaca apabila ada sesetengah topik yang agak tergantung (saya berharap ada huraian lebih lanjut).

Non-Muslim Bukan Kafir

‘Non-Muslim Bukan Kafir’ merupakan antara topik yang menarik bagi saya. Ianya berjaya menjawab persoalan yang bermain difikiran saya berkenaan wajarkah kita menggelar semua orang bukan Islam sebagai kafir?

Buku ini memberikan jawapan bahawa (menurut Dr. Zakir Naik), kita perlu melihat maksud sebenar ‘kafir’ yang berasal daripada perkataan ‘ka-fa-ra’ yang membawa maksud tolak. Kafir bermaksud menolak. Orang kafir, orang yang menolak bagi berakidah dengan akidah tauhid.

Persoalan yang timbul adalah bagaimana mereka wajar digelar kafir (orang yang menolak), sedangkan tidak pernah ada yang memberi, mengajak dan menegakkan hujah kepada mereka? Agak tersentak di sini kerana bila difikirkan pernahkah diri saya sendiri melakukan tugas dakwah tersebut?

Menurut penulis lagi, seseorang itu hanya layak dinamakan sebagai kafir setelah berlakunya proses dakwah dan telah tertegak hujah sehingga mereka tidak mampu menafikan lagi kebenaran Islam, namun memilih untuk menolak.

Selepas ini, tentunya malu untuk saya menggelar kafir kepada mereka yang bukan Islam lantaran kelemahan diri sendiri yang tak mampu melakukan tugas mengajak mereka kepada Islam. 

Daulat Tuhanku, bacaan bagus bagi kita memahami pelbagai isu seputar dunia Islam. Pembaca juga dapat mengetahui pelbagai judul buku yang menjadi bahan rujukan penulis, sekaligus memudahkan kita jika mahu mendalami satu-satu perkara dengan mencari dan membaca langsung buku-buku yang dinyatakan oleh penulis.


Sunday 5 September 2021

Anjung Indah, Balik Pulau

Nak menikmati suasana hutan, Taman Negara Pulau Pinang masih belum dibuka. Jadinya tadi pagi suami ajak pusing-pusing naik kereta ke bahagian pulau PP. Bila dah berbulan terperap dalam radius dibenarkan, tentulah seronok dapat melihat-lihat pemandangan yang berbeza. Suami tanya, nak ikut jambatan yang mana? Tentulah saya pilih Jambatan Kedua, sebab laluan lebih panjang bolehlah saya berlama-lama menikmati keindahan yang terbentang disepanjang perjalanan. Juga kurang kenderaan, lebih aman.

Cuaca panas terik hari ini di PP. Cantik gumpalan awan memutih berlatarkan langit biru.

Anjung Indah, Balik Pulau
Sebenarnya kami tak ada destinasi nak dituju. Sekadar nak jalan-jalan melihat PP. Tapi perlu jugalah memilih destinasi, jadinya saya ajak suami ke Anjung Indah di Balik Pulau. Kali pertama kami ke Balik Pulau sekitar September tahun lalu, catatannya DI SINI.

Anjung Indah terletak di laluan P14 Jalan Tun Sardon (dikenali sebagai Route P14), belum pun sampai bandar Balik Pulau. Saya ternampak tempat ni semasa kali pertama ke Balik Pulau tahun lalu. Disebabkan jalan di sini berbukit dan berliku-liku, tak dapatlah suka-suka nak berhenti berpatah balik.

Laluan berbukit dan berliku-liku. Kami gunakan aplikasi Google Maps supaya tak terlepas lokasi Anjung Indah di sebelah kanan jalan raya.

Alhamdulillah tiba di Anjung Indah. Banyak juga prop disediakan untuk yang gemar bergambar. Tapi sedih pulak nampak bendera koyak begitu dan jadi cacat pemandangan.

Anjung Indah - tempat di mana kita boleh melihat pemandangan dari kedudukan yang tinggi. Saya tak pasti berapa ketinggian di sini. Juga ada deretan kedai makan yang telah ditinggal sepi. Tentunya sebab pandemik, tak ramai lalu dan singgah di sini. Sebab tu juga bendera koyak pun tak ada siapa nak ganti.

Ni pandangan menghadap ke jalan raya. Nampak payung biru putih? Sedang elok kami nak membelok tadi, di situlah ada SJR (Sekatan Jalan Raya). Saya nampak sebahagian kedai yang terbiar di sini jadi tempat rehat para petugas. Jadinya taklah sunyi sangat, selain kami ada polis dan askar.

Menikmati pemandangan dari tempat tinggi memang mengasyikkan! Dalam gambar ni tak berapa jelas, tapi pemandangan di sini memang indah dilihat dengan mata sendiri. Lautan luas, pantai dan bangunan-bangunan di bawah sana menyajikan keindahan.

Leka saya memerhati, juga sibuk memotret keindahan yang ada. Walaupun mungkin tidaklah seindah mana, tapi cukuplah buat mengubat rindu saya pada hijau hutan. Mungkin sebab berada di tempat tinggi dan dikelilingi kehijauan, tempat ni tak terasa bahang dek terik mentari tengah hari.

Sudah puas hati memerhati sekitar, kami ambil keputusan berpatah balik saja. Tak teruskan ke bandar Balik Pulau. Sebelum menyeberangi jambatan untuk kembali ke Seberang Perai, kami singgah membeli makanan tengah hari di Medan Selera Seri Pantai. Beli bungkus dan makan dalam kereta sambil menghadap laut. Memang dah siap membekal air sejuk, air panas dan peralatan makan. Nak makan di medan selera tadi pun boleh juga, sebab berada di tempat terbuka dan boleh pilih meja dengan jarak sesuai. Tapi kami lebih selesa makan dalam kereta saja.

Beginilah jalan-jalan di musim pandemik. Alhamdulillah, dah cukup seronok. Oh ya, sepanjang perjalanan kali ni tak pulak disoal sewaktu melalui beberapa SJR. Memang berbeza bila melalui SJR di sempadan daerah SPS - SPT yang hampir setiap kali akan disoal. Nasib-nasiblah kan, yang penting kita memang tak buat salah.


Friday 3 September 2021

Ini Buku JIWA

Akhirnya, yang ditunggu-tunggu tiba jua. 5 buah buku pra tempah terbitan JIWA selamat saya terima beberapa hari yang lalu. Agak lama menunggu ia siap dicetak dek kekangan operasi kilang percetakan pada musim pandemik. Jangkaan buku-buku ini siap adalah pada pertengahan Julai lalu. Bukan buku terbitan JIWA saja, malah buku-buku terbitan syarikat lain pun mengalami nasib yang sama. Beginilah antara cabaran syarikat penerbitan ketika pandemik.

Set 5 buah buku JIWA dipos dalam kotak berwarna hitam, luarnya berbalut dengan plastik bubble. Lebih istimewa, buku-buku ini dibungkus pula dengan pembungkus warna merah. Warna yang sesuai dengan tema swacinta (cintai diri sendiri) yang dibawa oleh JIWA.

Ada sepucuk surat cinta daripada JIWA yang dilipat dua dan disimpan rapi dalam sampul coklat. Surat cinta kan, kenalah baca sorang diri tak boleh tayang di sini. Haha. Juga satu rantai kunci emoji.

Inilah 5 buah buku terbitan sulung JIWA. Empat buah judul terbitan semula dan sebuah terbitan baru. Terbitan semula di bawah syarikat JIWA ini merupakan suntingan baru dan terdapat penambahbaikan isi/bab. Buku berjudul Penulis Yang Disayangi Tuhan terbitan terdahulu oleh syarikat lain, saya dah pernah baca (boleh baca ulasan saya DI SINI). Tertanya-tanya juga apa penambahbaikan isi/bab dalam buku terbitan JIWA ni.

Penanda buku istimewa bagi setiap judul buku. Sangat menarik!

Novel, puisi dan catatan perasaan. Yang mana satu nak mula baca dulu?

JIWA muncul sesuai pada masanya, ketika ramai di antara kita rasa tertekan dengan situasi pandemik. Juga terbeban emosi dengan berita-berita sedih dan segala himpitan hidup. Mungkin dengan membaca buku-buku JIWA dapatlah memberi sedikit kekuatan dan kelegaan pada emosi pembaca.

Bagi yang nak mengikuti saluran media sosial JIWA, boleh ke Facebook/Instagram/Twitter @inibukujiwa. Kalau nak mendapatkan buku-buku di atas (secara set atau sebuah dua pun boleh) terus ke warungkakibukuejen sah buku JIWA.